Bab 1 ETNOGRAFI KAMPUNG BUKIT BANGKONG Choi Kim Yok, Kamila Ghazali, Siti Ikbal Sheikh Salleh
Latar Belakang Geografi Kampung Kampung Bukit Bangkong terletak di daerah Sepang, kira-kira 103 kilometer dari Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, jalan yang terdekat adalah melalui K.L.Seremban Highway untuk menuju ke bandar Sepang di barat daya, dekat Morib. Perkampungan kaum Mah Meri terletak tidak jauh daripada Pantai Bagan Lalang, Sungei Pelek. Kampung ini adalah salah satu daripada tiga kampung di kawasan yang sama, yang dinamakan Banghuris, iaitu, nama singkatan untuk Kampung Bukit Bangkong A (untuk penduduk orang Mah Meri) , Kampung Bukit Bangkong B (penduduknya orang Melayu) dan Kampung Ulu Teris (diduduki orang Melayu). Luas kampung ini adalah lebih kurang 260 ekar. Pada keseluruhannya, adalah dijangka bahawa jumlah orang Mah Meri di Malaysia sekarang adalah lebih daripada 2000. Mereka tinggal di tempat di pesisiran pantai seperti Tanjung Sepat, Bukit Bangkong, Morib, Teluk Lokah ?, dan Pulau Carey. Mengikut satu banci yang dibuat dalam tahun 80an, bilangan penduduk orang Mah Meri pada masa itu adalah lebih daripada 1000. Roland Werner (1974), dalam kajiannya tentang Mah Meri, berkata bahawa terdapat 15 perkampungan besar dan beberapa kampung kecil. Hanya 4 terletak dekat dengan laut. Yang lain berada di pedalaman. Werner menyebut nama beberapa kampung Mah Meri di negeri Selangor, iaitu Kampung Sungai Bumbun, Kampung Jugra, Kampung Bukit Mangkok (Bangkong?) dan Kampung Tanjong Sepat.
Sejarah Kampung Dan Komuniti Nama “Mah Meri” bermakna “orang hutan” (Mah = orang, Meri = hutan). Orang Mah Meri telah tinggal di Kampung Bukit Bangkong sejak beberapa abad. Mengikut satu cerita rakyat, mereka berasal dari Pulau Sulawesi. Mengikut cerita lain, orang Mah Meri datang dari selatan, dari Johor, Singapura atau dari pulau-pulau yang berjiranan. Werner melaporkan bahawa di Pulau Carey, informan-informannya sebulat suara menyatakan bahawa nenek moyang mereka datang dari satu kawasan hutan dan sungai dekat Endau, antara Johor dan Pahang. Kampung Bukit Bangkong yang terletak di pesisiran pantai dekat Morib, adalah kawasan simpanan orang asli. Orang Mah Meri tidak diberi geran untuk tanah mereka. Dalam kawasan yang luasnya 260 ekar, setiap keluarga mempunyai “lot” atau bahagian tanah masing-masing dan tanah ini diwarisi daripada datuk nenek mereka dahulu. Orang Mah Meri mempunyai beberapa cerita tentang tempat asal mereka dan juga asal usul kampung mereka. Mengikut cerita seorang informan Roland Werner, nenek moyang puak orang asli ini belayar dalam sebuah kapal yang tersekat pada beting pasir sebelum tiba ke destinasi mereka. Ini kerana mereka tidak mematuhi pantang larang dalam kapal, iaitu, mereka dilarang membuka mata sebelum sampai ke destinasi mereka. Oleh sebab mereka tidak sabar, mereka membuka mata terlalu awal. Kapal mereka pun tersekat dan terus menjadi tebing pasir, dan beting pasir pula menjadi tanah… Roland Werner, dalam kajiannya, merujuk kepada sebuah kampung Mah Meri di negeri Selangor yang bernama Kampung Mangkok. Secara kebetulan, dalam perbualan antara Profesor Asmah dengan informannya, Puan Anitun bt Abdullah, dibincang asal usul nama kampung dan informan merujuk kepada adat masa dahulu, apabila orang mengadakan kenduri, mereka boleh meminjam pinggan mangkuk! Mengikut informan ini, pada masa dahulu wujud sebuat bukit tertongkol dan bukit ini asalnya daripada kapal. Di bukit itu memang ada pinggan mangkuk tetapi sekarang sudah tidak ada kerana orang membawa masuk anjing. Mengikut cerita dongeng ini, dalam kapal itu, ada pantang larang, iaitu tidak boleh mencelik mata dan tidak boleh membawa masuk anjing jika hendak belayar. Bukit itu sudah tiada lagi kerana ada orang membawa masuk anjing ke dalam kapal! Tetapi, mengikut Encik Adit bin Ari, anak saudara Tok Batin Ahboy anak Darus, nama kampung ini dari dulu memang Bukit Bangkong dan bukan Bukit Mangkok. Katanya, kampung diberi nama Bukit Bangkong kerana terdapat banyak pokok bangkong (“macam pokok cempedak”) di atas bukit ini. Pada masa Perang Dunia Kedua, separuh bukit telah runtuh kerana dibom. Oleh itu, jenis pokok ini, iaitu pokok bangkong sudah tiada lagi di situ.
(N.B. cerita Tok Batin mengenai asal usul Mah Meri akan dimasukkan bila terjemahan transkripsi disiapkan nanti. Semua cerita akan ditulis dengan lengkap dan dimasukkan dalam lampiran)
Demografi Menurut banci tahun 2001 dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Shah Alam, jumlah penduduk Mah Meri di Kampung Bukit Bangkong adalah 430 orang. Jumlah ini merangkumi 94 buah keluarga. Di kalangan mereka ini, 10 keluarga adalah hasil perkahwinan campuran dengan bangsa Melayu dan 2 dengan bangsa Cina. Hasil temuduga bersama penduduk kampung, didapati ada juga segelintir perkahwinan campuran dengan orang Asli bangsa Temuan. Walau bagaimanapun, mereka ini diterima oleh penduduk bangsa Mah Meri dan tidak dianggap sebagai orang luar. Seterusnya, menurut data yang didapati dari JHEOA, 147 (34.2%) penduduk bangsa Mah Meri adalah beragama Islam manakala 23 (5.3%) penduduk beragama Kristian. Selain itu, sebahagian besar penduduk kampung memegang kepada kepercayaan animisme. Di kalangan mereka yang beragama Islam, terdapat penganut yang memilih Islam sebagai cara hidup walaupun keluarga mereka kekal dengan kepercayaan mereka. Ada juga yang menganut agama Islam atau Kristian kerana berkahwin. Menurut Puan Anitun, beliau sebenarnya dari keluarga Mah Meri yang animis. Dengan keyakinan sendiri dan kerana bergaul dengan orang Islam, beliau telah mengambil keputusan untuk menganut agama Islam. Pada peringkat awal, memang ada yang kurang faham tentang konsep menganut agama Islam. Tetapi, sekarang perhubungan kekeluargaan tiada masalah dan pergaulan bersama masyarakat Mah Meri pun tidak terganggu. Semua upacara tidak kira yang Islam, Kristian maupun animis, dihadiri bersama. Kebanyakan kaum lelaki terdiri dari pekebun kecil atau berusaha di ladang kelapa sawit. Lima peratus mencari pendapatan sebagai nelayan. Mereka menangkap ikan dengan cara merawai. Sebahagian kecil dari penduduk Mah Meri adalah pekerja kilang, buruh dan pekerja sektor swasta. Bagi kaum wanita pula, lima puluh peratus dari mereka adalah pekerja kilang. Sebahagian dari mereka bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa (Kuala Lumpur International Airport – KLIA) yang tidak jauh dari kampung mereka. Dari segi taraf pendidikan, hampir semua dalam lingkungan 50 tahun ke atas memang tidak melalui pendidikan formal langsung. Sekiranya mereka mendapat pendidikan formal, ia hanya ke tahap sekolah rendah sahaja. Di sebaliknya, mereka yang dibawah 50 tahun mendapat pendidikan formal sekurang-kurangnya ke tahap tingkatan tiga. Ada juga yang sudah mencapai tahap maktab walaupun jumlahnya adalah sangat
kecil. Kampung Bukit Bangkong mempunyai satu sekolah rendah. Menurut JHEOA, bagi tahun 2001, sekolah ini berjaya mencapai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang terbaik di antara semua sekolah di perkampungan orang Asli. Sehubungan dengan ini, ada kemungkinan sikap penduduk kampung lebih terbuka kepada pencapaian akademik demi mempertingkatkan keadaan sosio-ekonomi mereka.
Susunan Masyarakat Struktur Organisasi Masyarakat Mah Meri Kampung Bukit Bangkong terletak di bawah pentadbiran daerah Sepang di negeri Selangor. Seorang pegawai daerah dipertanggungjawabkan ke atas segala hal ehwal daerah di bawah struktur organisasi persekutuan. Namun begitu, kaum orang Asli mempunyai struktur organisasi sendiri dan Tok Batin menjadi perantara orang Mah Meri dengan pegawai daerah. Satu jawatankuasa diwujudkan untuk membantu Tok Batin dan juga kerajaan negeri dalam semua urusan pentadbiran kampung. Carta organisasi bagi jawatankuasa ini dan bagaimana ia tersusun dalam masyarakat Kg Bukit Bangkong adalah seperti di bawah: Susunan Organisasi Masyarakat Mah Meri di Bukit Bangkong Tok Batin
Laksamana
Jenang
Jugrah
Penggawa
1
2
3
4
5
6
7
Ahli Jawatankuasa
Susunan Organisasi Mah Meri di Kampung Bukit Bangkong
8
Dengan adanya jawatankuasa seperti di atas, masyarakat kampung boleh meminta bantuan dari mana-mana pihak mengenai masalah yang dihadapi. Tidak semestinya Tok Batin sahaja yang dihubungi malah biasanya seseorang yang memerlukan bantuan akan menghubungi ahli di peringkat bawah dahulu bergantung kepada kerumitan masalah. Sekiranya ahli itu tidak dapat membantu beliau akan menghubungi ahli jawatankuasa di peringkat yang lebih atas dan seterusnya. Semasa penyelidikan ini dijalankan Tok Batin Kampung Bukit Bangkong adalah Batin Ahboy anak Darus. Laksamananya pula adalah Adit bin Ari. Laksamana Adit juga merupakan pemangku kepada Tok Batin dan di antara tugasnya ialah untuk mengambil tempat Tok Batin dalam apa jua hal sekiranya Tok Batin uzur atau tidak dapat menjalankan tugas. Tugas Jenang pula ialah untuk “menyenangkan anak buah”. Sekiranya ada pertelingkahan atau salah faham di antara penduduk, beliaulah yang menenangkan keadaan. Jugrah pula mendapat arahan dari Jenang ke atas. Menurut Encik Adit, asalnya nama Jugrah ini dikatakan dari „kerah‟. Dialah yang biasa mengerah orang atau budak-budak muda untuk membuat kerja atau untuk melaksanakan arahan Tok Batin. Tugas Penggawa pula sebagai ketua komiti ahli jawatankuasa. Penggunaan istilah „komiti‟ di sini adalah bagi membezakan organisasi Mah Meri dengan organisasi lain. Terdapat lapan orang ahli jawatankuasa di bawah Penggawa. Selain dari itu, Penggawalah yang membuka cerita dalam upacara merisik dan meminang. Di bahagian yang seterusnya fungsi Tok Batin diterangkan dengan lebih lanjut.
Tok Batin, Ciri-ciri Kelayakan dan Peranan Masyarakat Mah Meri adalah orang yang mementingkan aman damai, keadilan dan berpegang kuat kepada adat dan kepercayaan. Untuk mempastikan bahawa masyarakatnya hidup dengan aman damai dan mengikut panduan yang telah diturunkan oleh nenek moyang mereka, seorang ketua kampung, atau lebih dikenali dalam bahasa Mah Meri sebagai Tok Batin, dilantik. Tok Batin mempunyai kedudukan yang paling tinggi dari segi hierarki sosial dalam komuniti Mah Meri. Beliau berfungsi sebagai ketua dan pemimpin untuk apa jua tujuan pun. Misalnya, beliau akan menjadi hakim untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul, pertelingkahan atau pergaduhan yang berlaku di kalangan penduduk kampung. Di zaman dahulu, Tok Batin dilantik mengikut keturunan, iaitu anak lelaki yang berkelayakan dari keluarga yang sama. Apa yang dimaksudkan dengan berkelayakan di sini ialah seorang Batin perlu mempunyai ciri kepimpinan yang adil dan saksama, jujur, cerdik, tidak mementingkan diri sendiri, mempunyai pengalaman yang luas, dan mempunyai pengetahuan mengenai semua adat resam serta pantang larang bangsa Mah Meri. Menurut Tok Batin yang ditemuduga, seorang Tok Batin dikatakan mempunyai „dua belas bintang‟. Ini dikenalpasti dengan melihat tapak tangan. Beliau berkata sekiranya seseorang itu mempunyai dua belas bintang, beliau sudah pasti
mempunyai kesemua ciri-ciri yang dikehendaki untuk menjadi seorang Tok Batin. Menurut Tok Batin lagi, “Ada orang cerdik pandai tapi tak cukup ilmu dan tidak berakal ... kalu tidak berakal, boleh ditipu… ” Selain itu, satu syarat bagi Tok Batin ialah beliau harus memegang kepada kepercayaan animisme. Sekiranya orang itu telah masuk Islam atau Kristian, beliau tidak layak menjadi Tok Batin. Dalam masyarakat Mah Meri terdapat upacara yang berlainan di mana Tok Batin diperlukan untuk memastikan ia dijalankan dengan sempurna. Misalnya dalam upacara perkahwinan, Tok Batin perlu memastikan semua langkah diambil mengikut urutan yang betul. Beliau juga melafazkan beberapa pengucapan di peringkat yang berlainan. Tok Batin di Kampung Bukit Bangkong semasa penyelidikan ini dijalankan, iaitu Batin Ahboy anak Darus, juga pandai dalam hal jampi-menjampi untuk memulihkan pesakit dan sebagainya. Oleh itu, Tok Batin juga berperanan sebagai Tok Dukun. Lazimnya, ilmu jampi-jampi dipelajari secara lisan daripada nenek moyang yang dahulu menjadi Tok Batin juga . Ilmu jampi ini juga dikenali dengan „kederat‟. Ia dalam bentuk pengucapan yang berlainan. Tok Batin menerangkan bahawa ada bermacam-macam jenis „kederat‟ seperti „kederat tahan badan‟ (untuk tahan dari menjadi tua) dan „kederat sumpahan‟. Ada sesetengah pengucapan untuk kederat ini yang sangat panjang. Seorang Tok Batin memang mempunyai kekuatan dan kuasa kerana kederat ini, yang disamakan dengan „daulat‟ yang terdapat dalam sejarah bangsa Melayu, bermakna rakyat tidak boleh bantah atau melanggar kehendak Tok Batin. Tetapi bukan semua kederat atau jampi diturunkan. Oleh itu lama-kelamaan, semakin kuranglah pengetahuan mengenai hal jampi-menjampi ini.
Pelantikan Tok Batin Pada zaman dahulu, perlantikan Tok Batin merupakan perlantikan Sultan. Sepertimana yang disebutkan di atas, perlantikan Tok Batin adalah berdasarkan keturunan. Menurut Batin Ahboy, setelah seorang Tok Batin mengenalpasti yang mana satu di antara anak lelakinya berkelayakan untuk menjadi pengganti baginya, Sultan yang akan melantik Tok Batin yang baru ini secara rasmi. Tetapi sekarang, seorang Tok Batin dipilih secara undian oleh masyarakat kampung. Seterusnya, nama calon ini dihantar kepada Pejabat Kerajaan Selangor untuk dilantik secara rasmi oleh Kerajaan. Peranan Tok Batin selain daripada yang disebut di atas adalah untuk membantu kerajaan dalam hal pentadbiran kampung. Dengan itu perlantikan secara rasmi ini dijalankan dan seseorang yang dilantik sebagai Tok Batin juga menerima elaun kerajaan.
Perlantikan Tok Batin ini dikatakan bukan mengikut keturunan lagi tetapi apa yang diperhatikan di Kampung Bukit Bangkong ialah ia masih mengikut keturunan walaupun bukan secara langsung. Menurut Batin Ahboy, beliau adalah cicit kepada Batin Todak. Batin Todak pula mempunyai ramai anak lelaki tetapi hanya seorang layak menjadi penggantinya, iaitu Batin Bulus. Seterusnya, Batin Bulus mempunyai anak lelaki bernama Darus, iaitu bapa kepada Batin Ahboy. Selain itu Batin Bulus juga mengambil anak angkat lelaki berketurunan Cina, iaitu Selai. Selai yang dipilih sebagai penggantinya sebab beliau yang lebih layak daripada Darus. Setelah Batin Selai, Batin Ahboy dipilih dan kekal sampai sekarang. Di sini kita boleh lihat bahawa walaupun tidak secara langsung, iaitu Batin Selai adalah bapa saudara angkat kepada Batin Ahboy, perlantikan masih kekal dalam satu keluarga. Setelah Batin Ahboy, besar kemungkinan penggantinya adalah Laksamana Adit, pemangkunya sekarang dan juga bertalian saudara dengan Batin Ahboy. Beliau merupakan anak saudaranya sendiri. Rajah berikut menggambarkan perhubungan saudara yang diterangkan di atas:
Batin Todak
Batin Bulus
Darus
Batin Ahboy
Laksamana Adit
a
b
Batin Selai (anak angkat)
Ari
a
b
c
SISTEM KEPERCAYAAN Orang Mah Meri menganut animisme. Terdapat juga beberapa keluarga Islam dan Kristian disebabkan pertembungan rapat orang Asli dengan orang Melayu dan akibat usaha orang Kristian sejak zaman colonial, terdapat sekarang beberapa keluarga Muslim dan Kristian. Tetapi kebanyakan orang Mah Meri di Kampung Bukit Bangkong masih berpegang pada animisme, iaitu kepercayaan bahawa setiap benda (batu, pokok dll.) mempunyai semangat (roh). Nama “moyang” diberi kepada roh-roh ini yang mempunyai kuasa yang berlainan. Ada moyang yang baik, ada moyang jahat dan ada moyang yang neutral dalam hubungannya dengan manusia. Werner memberi nama 154 orang moyang. Setiap moyang ada legendanya. Beberapa cerita telah dikumpulkan oleh penyelidik projek ini dan semua cerita itu boleh dirujuk dalam lampiran buku ini. Orang Mah Meri percaya pada satu alam di mana roh pergi selepas meninggal dunia. Jika seseorang itu baik, dia akan duduk di tempat yang aman dan jika dia membuat dosa, dia akan direbus dalam kuali (kawah). Orang jahat apabila menyeberangi titian di atas kuali akan jatuh dalam air panas di dalam kuali. Kepercayaan ini diajar dari kecil. Kanak-kanak diajar supaya beradab sopan dan tidak menderhaka dengan orang tua. Kepercayaan ini tidak banyak berbeza daripada kepercayaan orang Islam pada siratulmustakim, iaitu titian halus yang melintasi neraka untuk ke syurga. Selain daripada itu, ibubapa juga merujuk kepada matahari terbenam sebagai alat merebus orang jahat untuk menakutkan anak-anak mereka. Seperti orang Islam, orang Mah Meri pun percaya pada malaikat. Mereka percaya bahawa nasi periuk tidak boleh dibiar sampai kosong kerana malaikat akan balik makan nasi itu. Kalau nasi sudah habis, air diletakkan di dalam periuk. Orang Mah Meri sering menggunakan jampi untuk melindungi diri daripada mara bahaya. Biasanya, Tok Batin atau Tok Dukun yang mahir menggunakan jampi. Jampi digunakan untuk sesuatu tujuan yang tertentu, misalnya, untuk membangkitkan mayat seperti jampi degok, jampi lahuei (burung hantu), jampi serantiung (serantiuk?), dan jampi pelepas yang digunakan selepas mengebumikan mayat dan masa pulang ke rumah. Jampi juga digunakan oleh orang tua masa uri dipotong dan nama diberi kepada bayi.
PANTANG LARANG Berkenaan Kematian Orang Mah Meri percaya bahawa hari yang ada orang mati adalah hari nahas. Mereka tidak bekerja pada hari itu. Orang yang pergi ke rumah orang mati tidak boleh memetik
daun, dan tidak boleh menyangkul. Mereka hanya boleh makan dan minum sahaja. Jika daun dipetik orang itu boleh mati. Setiap orang kampung berkenaan tidak boleh menjahit baju pada hari tersebut. Selepas mayat itu dikebumikan pada hari besoknya, barulah ia dibenarkan menjahit pakaian. Begitu juga, ia dilarang memotong kuku pada hari tersebut. Pada hari kematian juga, setiap orang kampung tidak boleh memasang kelambu di dalam rumah. Jika perkara ini dilakukan, mayat akan bangkit dari kubur dan menjadi hantu dengan keadaan kuku yang panjang, biji mata yang merah dan akan mencekik leher mangsa-mangsa yang masih hidup. Kadang-kandang habis satu kampung dicekiknya. Kucing hitam atau mana-mana kucing tidak boleh dibiarkan melangkah mayat kerana ditakuti mayat akan bangun. Kepercayaan ini juga didapati di kalangan orang Cina yang menganut Taoisme. Jika ada mayat di dalam rumah, ahli keluarga tidak dibenarkan tidur sepanjang malam itu dan terpaksa menunggu sehingga mayat itu dikebumikan pada hari besoknya. Ia dianggap sebagai berkabung di atas kematian seseorang ahli keluarga.
Berkenaan Sembahyang Kubur Dalam upacara sembahyang kubur, tidak boleh dipersembahkan pulut kuning, tetapi nasi merah. Jika diberikan pulut kuning ketika upacara ini, nescaya pada hari besoknya, hantu kubur akan meminta nyawa seorang lagi. Di kawasan kubur ada tempat “lepas” di mana jampi melepas digunakan. Di tempat itu, orang perlu menyebut kata-kata berikut: “Adoi, awak hendak pulak ya…” Tangkal jampi dibaca dan bunyinya adalah seperti berikut: “bas melibas kemang mesusah meduduk, melepas, diri melepas, akau melepas sarok batal, kelayok bangkai, kelamoik”. Selepas membaca tangkal itu, mereka mengira satu sampai tujuh dan tarik daun pokok kelapa yang dianyam seperti ketupat. Jika tersangkut, ini bermakna ada bahaya yang akan menimpa orang itu, misalnya ia akan dilanggar kereta atau menjatuh ke dalam sungai atau ke dalam laut, atau pun anak akan mati, ada jembalang yang datang mengganggu mereka dan sebagainya.
Berkenaan Pantang Larang Selepas Pengkebumian Selepas pengkebumian dilakukan, ahli-ahli keluarga balik ke rumah tanpa melihat ke belakang untuk mengelakkan kemungkinan roh si mati mengikut mereka. Dalam perjalanan ke rumah, mereka mengetuk batu-batu dan melangkah unggun api (uih) yang disediakan di hadapan atau dekat rumah, sebelum masuk ke dalam rumah. Kemudian mereka mencuci kaki dengan air. Semua ini adalah untuk membuang sial yang berkaitan dengan kematian ahli keluarga.
Tujuh hari selepas si mati dikebumikan, kenduri diadakan tetapi mereka tidak boleh memasak lebih dan tidak boleh merasa makanan itu. Kalau dimakan, mereka mungkin akan jatuh sakit, sama ada pening kepala, demam atau pun sakit kelayong (demam tiga bulen dan boleh mati).
Berkenaan Penyakit Orang Mah Meri menggunakan dua helai daun pokok kelapa yang dianyam seperti ketupat dan dijampi oleh Tok Batin atau Tok Dukun sebagai pendinding untuk membuang sial, menghalang semua hantu dan sebagainya. Sesiapa pun boleh menganyam. Daun kelapa itu dianyam supaya dapat ditarik dan dipisahkan. Apabila tiba masa untuk menggunakannya, kedua-dua helai pokok kelapa itu boleh ditarik dan dipisah. Ianya digunakan sebagai penghabis penyakit. Misalnya, apabila seseorang terkena penyakit dan ubatnya sudah habis, ini boleh digunakan sebagai penghabis penyakitnya, iaitu membuang penyakit yang tinggal sikit-sikit sahaja. Daun kelapa ini juga boleh digunakan sebagai pendinding membeli kereta baru dan sebagainya.
Berkenaan Pantang Larang Ketika Mengandung dan Selepas Bersalin Terdapat beberapa pantang larang terhadap perempuan yang mengandung dan selepas bersalin. Terdapat juga pantang lelaki, iaitu suami perempuan yang mengandung.
Berkenaan Pantang Larang Masa Mengandung Rambut perempuan yang mengandung tidak boleh disiput atau ditutup dengan kain selendang, tetapi hendaklah dibiarkan terurai begitu sahaja, kerana pembentukan rambut itu sebenarnya berkait rapat dengan uri bayi yang ada di dalam kandungan ibunya. Jika rambut itu disiput, besar kemungkinan uri bayi itu akan menjadi bersimpul dan menimbulkan masalah ketika proses kelahiran nanti. Perempuan yang mengandung tidak boleh makan makanan “bisa” seperti ikan kabarung, ikan sembilang, ikan pari, ikan lidah. Kalau dimakan, perempuan akan susah bersalin, atau pun anak akan cacat. Ia tidak boleh duduk dekat pintu rumah kerana ditakuti menghadapi kesulitan ketika hendak bersalin. Jika ia hendak duduk, mestilah duduk di atas tikar. Kalau hendak berjalan, perlu berhati-hati supaya tidak terhantuk kayu di ambang pintu. Perempuan itu boleh menjadi gila dan melupa orang, melupa anaknya, dsb.
Suami tidak boleh memukul atau membunuh binatang liar seperti ular, katak dan sebagainya, kerana dibimbangi bayi yang akan lahir itu menjadi cacat. Suami dan isteri tidak boleh melangkah benang, pemancing ikan, jala ikan, tali perahu atau paku untuk mengelakkan uri daripada melekat. Suami dan isteri tidak boleh menyembelih ayam. Leher bayi boleh menjadi putih-putih. Isteri tidak boleh membelah atau memotong ikan dan suami tidak boleh memaku rumah dan memotong apa-apa barang dengan parang atau pisau kerana takut anak yang akan lahir itu menjadi sumbing. Suami atau isteri dilarang menetak buluh kerana ditakuti anak yang dalam kandungan ibu itu akan mengalami keguguran. Perempuan yang mengandung wajar elakkan diri dari memakai rantai leher atau pun mengikat rambut kerana ditakuti uri bayi melilit lehernya sendiri.
Berkenaan Pantang Larang Selepas Bersalin Selepas bersalin perempuan mematuhi pantang selama 2 minggu. Ia tidak boleh keluar. Api pelita dipasang siang dan malam dan perut diurut dengan batu miat selama 3 hari. Selepas itu, perut disapu lada hitam dan dibarut selama 4 hari. Dapur karang disediakan dan diletak di sebelah ibu selama 7 hari. Dapur ini tidak boleh dialihkan. Selepas 3 atau 4 hari (biasanya 7 hari) perempuan itu boleh mandi dengan air panas yang direbus dengan akar kayu. Badannya diurut dengan daun pisang yang telah dibakar. Perempuan itu dikehendaki duduk berlunjur kaki dan di bawah kakinya diletakkan sebuah pisau besi supaya badannya jadi sihat dan kuat seperti pisau itu. Semasa mandi jampi-jampi dibaca biasanya oleh orang tua. Perempuan itu boleh mandi sendiri atau dibantu oleh bidan atau ibu, kakak atau ahli-ahli keluarga lain. Selepas mandi, perempuan itu digalakkan melakukan sedikit senaman yang ringan dan berbarut dengan lada hitam dan air asam jawa yang dimasak sehingga pekat terlebih dahulu. Bahan-bahan ini disapu di sekeliling perutnya bagi mengecilkan uterusnya. Perempuan yang lepas bersalin, hendaklah berhati-hati jika ia hendak berjalan di dalam rumah agar jangan terhantuk tiang kayu pintuk masuk rumah. Jika ini berlaku, nescaya ia akan menjadi seorang yang gila, lupa anak lupa keluarga dan lupa jiran. Masa pantang, biasanya ia tidak makan makanan yang bias seperti ikan kembung, ikan belukang dan ikan pari yang dianggap bias. Ia juga digalakkan makan bawang putih, garam dan minum air halia dan air panas. Isteri yang dalam pantang bersalin tidak dibenarkan melakukan hubungan jenis dengan suaminya selama 2 bulan.
Jika tidak sihat dia tidak membasuh kain.
Berkenaan Bayi Baru Lahir Lantai papan rumah hendaklah disimbah dengan tiga tempayan air kerana menurut kepercayaan orang Mah Meri, jika lantai itu tidak disimbah dengan air, apabila ibu atau bapa bayi itu mati kelak, papan lantai itu akan melekat di atas belakang ibu bapa. Jika mereka mempunyai lapan orang anak, bererti lapan keping lantai papan itu akan melekat di belakang.
Berkenaan Uri Bayi Tali pusat diurut sampai putih sebelum dipotong dengan sebatang buluh yang yang ditajamkan di hujungnya dan dijampi oleh mak bidan terlebih dahulu. Jika buluh ada miang-miang, ini tidak baik untuk bayi. Apabila uri (osok) putus, ianya dibasuh dengan air dan disapu dengan garam. Mak bidan akan berjampi dengan mengunyah sirih, pinang dan kapur sehingga lumat. Selepas itu, uri disembur dengan bahan-bahan yang dikunyah oleh mak bidan. Selepas itu, uri dibungkus dengan tikar lama. Bungkusan itu disimpan beberapa hari (biasanya 3 hari, iaitu selepas ibu sudah mandi), dan dipastikan ianya sudah kering sebelum ditanam atau digantung, biasanya pada dahan pokok berhampiran dengan rumah. Jika uri itu basah, perut bayi akan kembong. Uri digantung sampai kecut dan jatuh ke tanah. Jika suka, pelita dinyalakan apinya dan dibiarkan menyala beberapa hari sehingga ia padam dengan sendirinya. Api tidak dibiarkan padam terlalu cepat. Menurut kepercayaan orang Mah Meri, jika api itu padam terlalu cepat, bererti kemungkinan besar ada hantu yang akan mengganggu bayi itu sehingga ia sentiasa menangis dan meracau. Sekiranya budak menangis tanpa berhenti dan tidak mahu makan, dipercayakan bahawa anak itu sakit perut. Sejenis meja tinggi (hanggar) dibuat dengan papan dan 4 tiang. Uri dijemur di bawah matahari supaya menjadi panas. Bila bayi tidak menangis lagi, urinya digantung lagi.
Berkenaan Membuang Sial Sebelum Berkahwin Sebelum upacara akad nikah (untuk orang Mah Meri yang beragama Islam) dan majlis perkahwinan dilangsungkan, kedua-dua pengantin dikehendaki mengikir gigi masingmasing (kikei dekmoi) untuk membuang sial semasa bujang dahulu. Adat ini diamalkan sehingga sekarang dan ia dilakukan sekarang di klinik-klinik gigi.
Berkenaan Pantang Larang Di Laut Suami isteri dilarang berzina di kawasan laut kerana ditakuti mana-mana kapal pelancongan atau kapal-kapal lain ditimpa kemalangan laut seperti karam dan
sebagainya. Jika seseorang itu sering melakukan perkara-perkara sumbang di kawasan laut, maka hantu laut yang berambut panjang dan mengerbang itu akan menelannya. Jika seseorang itu memberi makan telur kepada hantu laut, nescaya ia tidak akan mendapat seekor ikan pun sekiranya ia memancing ikan di laut.
Berkenaan Pantang Larang Ketika Mencari Binatang-Binatang Laut Jika seseorang itu hendak mencari binatang-binatang laut yang hidup di pantai seperti pepahat, siput atau kepah, ia dilarang membawa pisang atau memakannya. Sebelum turun ke laut untuk memancing atau mengail ikan, seseorang itu tidak boleh makan pisang. Jika ia memakan pisang juga, bererti binatang-binatang laut yang dicari itu tidak akan berhasil. Jika seseorang itu hendak mencari kepah atau siput laut (kejeng) atau ketam (katep), ia dilarang membawa timba air. Tetapi ia hendaklah menggunakan tong gedik sahaja (tong besar yang diperbuat daripada kayu supaya ia tidak boleh menakung air). Jika ia membawa juga timba air itu, nescaya semua kepah dan siput itu akan lari ke tempat lain. Begitu juga, jika seseorang itu turun ke tengah laut untuk mencari ikan dan sebagainya, ia tidakk boleh membawa timba air kerana ditakuti rezeki yang dicari itu tidak berhasil.
Berkenaan Pantang Larang Di Hutan Jika seseorang itu pergi ke mana-mana hutan termasuk hutan bakau atau lading-ladang getah, ia tidak boleh menutup lubang periuk nasi dengan rapat kerana jika ia memakan nasi yang ditutup rapat penutupnya itu ditakuti ia akan menjadi seorang yang pelupa.
Berkenaan Kempunan Makanan Jika seseorang itu pergi ke tempat-tempat kerja di samping ada hajat hendak makan roti canai, lempeng atau nasi, tetapi tidak sempat untuk memakannya, maka ia akan kempunan dan mungkin akan ditimpa bala. Umpamanya, jika seseorang itu memotong kayu api, tiba-tiba tangannya luka terkena kapak. Oleh itu, jika seseorang itu tidak sempat hendak menjamah makanan yang dihajati itu, atau ia tidk mempunyai wang untuk membelinya, maka ia hendaklah menjilat tangan sebelah kiri dan kanan. Kemudian, ia hendaklah menyebut kata-kata seperti berikut: “cok mani pun dah lepaih pantang e e…, kalau eed jilat tapak ti kiri, ti kanan, eed lepaih pantang eed, punan eed…eed udah cok, kena masa mu dah… tak kena apa lagi …” (Pergi mana pun lepas pantang saya, kalau saya jilat tapak tangan kiri, tangan kanan, saya lepas pantang saya, kempunan saya sudah pergi, tidak kena apa lagi).
Berkenaan Penggunaan Alat-Alat Makan dan Minum Sudu-sudu yang digunakan untuk makan dan minum atau pun garpu tidak boleh dijadikan barang permainan oleh kanak-kanak. Jika ia digunakan juga untuk tujuan tersebut, besar kemungkinan mereka akan menjadi gagap.
Berkenaan Bercakap Bohong Jika setiap seseorang itu suka bercakap bohong, maka penyakit-penyakit seperti demam panas, demam denggi, taun dan sebagainya boleh menimpa dirinya, keluarganya atau pun keturunannya.
Berkenaan Pantang Larang Di Dalam Rumah Ketika berada di dalam rumah, seseorang itu tidak boleh melambung sesuatu barang, menendang dinding atau bermain batu seremban. Jika ini dilakukan juga, itu menandakan bahawa barang-barang keperluan harian seperti barang-barang dapur akan naik harganya dan menjadi mahal.
Berkenaan Perbuatan Yang Membawa Mala Petaka Orang Mah Meri dilarang mengetawakan, mengejek, menghina atau mencela binatang seperti katak, tahi, kemaluan lelaki atau kemaluan perempuan. Mereka juga tidak boleh mencaci atau memaki sesuatu barang yang sangat penting dalam kehidupan mereka seperti meludah api atau memaki hujan kerana ditakuti berlaku mala petaka (culau) dalam keluarga mereka. Pepahat tidak boleh dimasak dengan sayur labu kerana dibimbangi mala petaka seperti banjir, ribut, punting beliung akan berlaku di kampung mereka. Setiap rumah mesti disediakan garam kerana apabila seseorang jiran itu meminta sedikit garam, tuan rumah mesti memberinya. Jika garam tidak dapat diberikan kepada jiran kerana kehabisan, bererti mala petaka akan berlaku dalam keluarga itu.
Berkenaan Makan Dekat Bendul Pintu Seseorang itu tidak boleh makan apa-apa makanan dekat bendul pintuk (genol) kerana jika anaknya meninggal dunia, kemungkinan besar orang itu tidak sempat mengadap kematiannya dan pengkebumiannya disebabkan ia dihalang di tengah perjalanan oleh halangan seperti hujan, banjir atau ribut.
Berkenaan Anak Dara Setiap anak dara dilarang duduk di hadapan pintuk rumah. Jika perbuatan ini dilakukan juga, menandakan bahawa pertunangannya akan putus pada satu masa nanti. Anak dara sunti juga dilarang bersiul, menyanyi atau berpantun ketika memasuki rumah kerana ditakuti mendapat suami tua. Anak dara juga tidak boleh makan berpindah-pindah tempat. Jika dilakukan juga, ini menandakan bahawa ia akan bertukar-tukar suami. Jika ia kekal dengan seorang suami sahaja, maka besar kemungkinan suaminya itu akan diambil oleh orang lain. Bunga raya yang cantik jika dicucuk sendiri oleh anak dara sunti di rambutnya ditakuti menjadi mambang met. Maksudnya, mata orang lain boleh tertipu apabila melihat seseorang memakainya, iaitu jika orang tua yang memakainya, ia kelihatan seperti orang muda dan sebaliknya, jika anak dara yang memakainya, ia kelihatan seperti orang tua.
Berkenaan Perkahwinan Antara Sepupu Perkahwinan antara sepupu dibenarkan dalam masyarakat Mah Meri tetapi perkahwinan seperti ini tidak digalakkan jika bapa kedua-dua mempelai itu merupakan adik beradik. Mereka menganggap perkahwinan antara dua sepupu itu adalah dari benih yang sama seperti adik beradik juga. Selain itu, perkahwinan antara sepupu biasanya dianggap panas dalam masyarakat Mah Meri kerana kebiasaannya perkahwinan yang dibina itu sering berlaku pergaduhan antara suami isteri dan rumahtangga mereka tidak aman serta tidak berpanjangan.
Berkenaan Berkahwin Dua Dalam Satu Masa Dalam masyarakat Mah Meri, seseorang perempuan tidak dibenarkan bersuami dua secara sah dalam satu masa.
ADAT RESAM Masyarakat Mah Meri memang kaya dengan adat resam mereka tersendiri. Berikut adalah beberapa adapt resam berkaitan dengan kelahiran, perkahwinan, perayaan dan adapt kematian.
Adat “Basuh Lantai” Satu adapt orang Mah Meri untuk menyambut anak yang baru lahir ialah adat “basuh lantai”. Dalam upacara ini, penghuni rumah di mana bayi itu dilahirkan perlu menhyiram air sehingga tiga tempayan untuk membasuh lantai di rumahnya. Sekiranya ia tidak buat
demikian, apabila si ibu atau bapa bayi mati, papan lantai itu akan melekat di atas belakang ibu dan bapa di alam baka. Kalau ada lapan orang anak dan mereka tidak “basuh lantai” untuk kelapan-lapan mereka, lapan keping papan lantai akan melekat di belakang mereka. Sekiranya, si ibu atau bapa itu sudah mati dahulu, satu cara untuk mengatasi ini ialah apabila bertukar bidan. Bidan yang baru ini perlu melakukan upacara “basuh lantai” ini.
Adat Menanam Pengkeras Satu lagi adapt yang diamalkan dalam menyambut anak yang baru dilahir ialah menanam pengkeras apabila bayi baru lahir. Pengkeras ini menggunakan kelapa tua, sikat, pisau lipat, cermin, jarum, lada hitam dan garam jantan. Semua ini diserahkan kepada Mak Bidan sekali gus untuk ditanam.
Adat Perkahwinan Majlis perkahwinan biasanya dilangsungkan selama 3 hari dan 3 malam berturut-turut bagi keluarga yang mampu. Sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan, kedua-dua pengantin dikehendaki mengikir gigi masing-masing (kikei dekmoi) untuk membuang sial semasa bujang dahulu. Bagi masyarakat Mah Meri yang beragama Islam, akan nikah, majlis berinai dan memasang kelambu pula biasanya dilangsungkan pada hari Jumaat. Dalam majlis akad nikah, pihak pengantin lelaki dikehendaki membawa barang-barang hantaran sekali lagi seperti sepasang baju, kain batik, pinggan mangkuk, gelas, cawan, sudu kaca, cermin muka dan barang-barang alat solek serta mas kahwin sebanyak RM44.00. Jika berkemampuan, pihak pengantin lelaki juga boleh menghadiahkan barang-barang perhiasan seperti rantai, cincin dan subang kepada pengantin perempuan di samping barang-barang yang tersebut di atas. Barang-barang yang seperti ini dipilih untuk dibuat hantaran ialah besar kemungkinan kerana ia berkaitan dengan kehidupan kaum perempuan. Pihak perempuan pula tidak dikehendaki membalas apa-apa barang hantaran kepada pihak lelaki. Majlis akad nikah biasanya dihadiri oleh para pemimpin masyarakat Mah Meri seperti Tok Batin, Laksamana, Jenang, Jugrah dan Penggawa serta pendudukpenduduk kampung. Begitu juga, Tok Kadi yang menikahkan kedua-dua mempelai itu dan wali-wali bagi kedua-dua pihak pengantin dimestikan hadir, kerana tanpa kehadiran mereka majlis akad nikah tidak dapat dilangsungkan. Pada malam hari Sabtu pula, majlis persandingan dilangsungkan dan dalam majlis ini Tok Batin akan mempersembahkan tujuh buah pantun dalam bahasa Mah Meri yang melambangkan perkahwinan kepada kedua-dua mempelai tersebut. Selepas itu, diadakan majlis tari menari dan nyanyian beramai-ramai. Nyanyian tersebut dinamakan Talul kerana ada sebutan lul, lul, lul dihujungnya. Pada hari Ahad pula diadakan upacara “Mandi air bunga” kepada kedua-dua mempelai dan selepas upacara ini selesai, maka
berakhirlah majlis perkahwinan tersebut. Pada tetamu yang hadir majlis-majlis selama tiga hari berturut-turut dijamu dengan berbagai-bagai hidangan. Bagi masyarakat Mah Meri yang tidak beragama Islam pula, majlis perkahwinan dilangsungkan tanpa akad nikah dan surat nikah, tetapi perkahwinan itu perlu mendapat pengesahan Tok Batin dan pemimpin-pemimpin Mah Meri yang lain. Seluruh penduduk kampung dijemput hadir dan dijamu seperti yang biasa dilakukan.
Adat Hiasan Rambut Pengantin Perempuan Pada zaman dahulu, rambut pengantin perempuan di kalangan masyarakat Mah Meri diadalah seperti tanduk lembu. Tanduk ini dibuat daripada sabut kelapa yang dibentuk seperti tanduk dan diletakkan di atas kepala pengantin perempuan sebagai mahkota. Manakala rambutnya pula dililit di sekeliling sabut kelapa yang berbentuk tanduk itu. Rambut pengantin itu juga dihias dengan sejenis bunga yang dinamakan “tak n”, iaitu sejenis bunga yang berbentuk butang baju yang berwarna ungu. Hiasan rambut pengantin yang seperti ini sangat jarang digunakan di kalangan masyarakat Mah Meri pada masa ini dania hampir pupus kerana kebanyakan mereka sudah terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Melayu yang menghias rambut pengantin perempuan dengan cara yang lebih simple.
Adat Mandi Bunga Pengantin Dalam upacara ini, kedua-dua pengantin baru dikehendaki bangun pagi lebih awal untuk dilakukan upacara mandi bunga kepada mereka berdua. Sebelum upacara ini dilakukan, ibu bapa kedua-dua belah pihak pengantin itu dikehendaki menyapu bedak ke muka kedua-dua mempelai itu. Selepas itu, mereka berdua duduk berlunjur kaki dengan tangan yang bersilang dan diletakkan kain putih di atas kepala mereka. Kemudian, mereka disiram dan dimandikan dengan tiga tempayan air yang bercampur dengan berbagaibagai jenis bunga. Kedua-dua bedak dan air bunga mandian itu dijampi terlebih dahulu oleh Tok Dukun sebelum ianya digunakan.
Adat Penentuan Mendapat Anak Lelaki/Perempuan Menurut kepercayaan masyarakat Mah Meri, jika pasangan yang berumahtangga itu ingin mendapatkan anak lelaki, mereka hendaklah mencuri senduk lauk dari rumah jiran mereka. Jika mereka ingin mendapatkan anak perempuan pula, mereka dikehendaki mencuri lesung batu dari rumah jiran mereka juga. Apabila bayi itu besar sedikit, mereka dikehendaki membeli lesung batu yang baru dan memulangkannya semula kepada jikaran yang dicuri batu lesungnya itu.
Adat Kematian Apabila adapt kematian dalam masyarakat Mah Meri, berita kematian diwar-warkan kepada seluruh kampung. Tok Batin akan datang ke rumah untuk menjalankan upacara sembahyang. Anak-anak kepada si mati itu mesti mandikan dan bedakkan mayatnya. Bedak yang digunakan dibuat daripada beras, daun limau dan daun pandan yang digiling semua. Kain kapan disediakan untuk dibuat baju, kain sarung atau seluar untuk si mati. Selepas dimandi, badan si mati di sapu bedak dan dipakaikan baju yang dijahit. Mayat dibalut dengan kain putih (hendi) dan dimasukkan ke dalam keranda (kande) untuk dikebumikan. Jika rumah rumah dekat dengan tanah perkuburan, keranda akan dipikul, dan jika jarak antara rumah dan kubur adalah jauh, keranda ditarik dengan menggunakan kenderaan. Sekiranya kubur belum siap, orang kampung akan menunggu sehingga kubur itu siap sebelum upacara pengkebumian dimulakan. Mula-mula, keranda diturunkan ke dalam lubung kubur (serut kemuit) yang disediakan. Kemudian, tanah diambil dan dibuang ke dalam lubang. Tanah dibubuh untuk menutup lubang dan mentera dibaca oleh dukun atau bomoh. Dalam mentera atau tangkal yang dibaca, dukum meminta si mati supaya jangan mengganggu orang kampung. Selepas upacara itu, keluarga balik ke rumah tanpa melihat ke belakang sehingga sampai ke rumah. Dalam perjalanan ke rumah, mereka mengetuk batu-batu dan apabila sampai ke rumah, mereka dikehendaki melangkah unggun api (uih) yang disediakan sebelum masuk ke rumah. Kemudian mereka mencuci kaki dengan air. Upacara ini mempunyai banyak persamaan dengan upacara pengkebumian orang Cina yang masih mempraktikkan tradisi lama yang berasal dari Taoisme. Orang Mah Meri percaya kepada roh elok dan roh jahat atau “roh bajau”, tetapi balasan daripada roh-roh tersebut tidak diketahui. Dalam sistem kepercayaan Mah Meri tidak wujudnya konsep dunia akhirat atau syurga. Mereka mempunyai konsep “dunia lain” (asik). Mayat mana-mana orang Mah Meri yang meninggal dunia akan dikebumikan di tanah perkuburan dengan diletakkan batu nisan (nincat) yang tidak ditulis apa-apa keterangan. Jika keluarga si mati mampu, batu semen akan digunakan yang ditulis nama, tarikh lahir dan tarikh kematian si mati. Di sampang itu, mereka akan mencacakkan sebuah payung di atas perkuburan sebagai tanda untuk mengenali tanah perkuburan si mati. Payung itu dibiarkan di atas tanah tersebut sehingga ia menjadi reput dan pupus dengan sendirinya. Di kawasan kubur ada tempat “lepas” di mana jampi melepas digunakan. Selepas membaca tangkal itu, mereka mengira satu sampai tujuh dan tarik daun pokok kelapa yang dianyam. Jika tersangkut, ini bermakna ada bahaya yang akan menimpa orang itu. Kenduri diadakan pada hari ketiga dan hari ketujuh selepas si mati dikebumikan. Pada hari ketiga, kenduri diadakan dalam keluarga si mati. Pada hari itu, semua barang si mati
seperti baju, buku-buku, kasut dan sebagainya dibakar. Hari pembakaran ini dinamakan hari Nig. Pada hari ketujuh pula yang dikenal sebagai hari mujuh, kenduri diadakan untuk orang ramai. Tok Batin adalah ketua upacara ini. Pada suatu ketika dahulu, adatnya ialah untuk memasak cukup-cukup, tidak boleh lebih. Hanya tujuh periuk digunakan untuk memasak nasi. Anggarannya ialah tujuh periuk menandakan hari ketujuh. Dengan itu, undangannya perlu ramai untuk menghabiskan hidangan yang banyak itu. Ceritanya, pada hari ke seratus, seratus periuk makanan perlu dimasak. Di zaman sekarang ini, orang Mah Meri tidak mengamalkan ini lagi. Makanan yang disediakan adalah mengikut kemampuan masing-masing. Pada hari ketujuh juga, anak sulung akan membahagikan harta pusaka (sakak) seperti tanah dan barang kemas dan sebagainya.
Penggunaan Nombor Orang Mah Meri biasanya menggunakan nombor-nombor ganjil seperti tiga atau lima atau tujuh untuk berurusan dengan orang-orang halus (mak haluih).
Permainan Batak Permainan ini adalah permainan kejar-kejar yang dimainkan oleh lima atau enam atau tujuh orang kanak-kanak.
MIMPI Mimpi merupakan aspek penting dalam sistem kepercayaan orang Mah Meri. Mimpimimpi yang dikumpulkan adalah seperti berikut: Mimpi gigi patah : ahli keluarga kita akan meninggal dunia dalam beberapa hari lagi. Mimpi orang mati : umur kita akan panjang (jika bermimpi ahli keluarga mati atau melawat orang yang mati) Mimpi orang sakit: kita akan menjadi sihat dan tidak mudah ditimpa apa-apa penyakit. Mimpi sampan : mimpi yang tidak baik kerana sampan diibaratkan sebagai keranda (perahu) yang menandakan bahawa salah seorang ahli keluarga kita akan meninggal dunia dalam masa yang terdekat. Mimpi ikan: kita akan ditimpa penyakit. Sekiranya ikan itu besar, maka besar dan teruklah penyakit. Tetapi sekiranya ikan itu kecil, maka kecilnya penyakit kita. Mimpi kubur, : kita akan mendapat rezeki yang berlipat ganda dalam kehidupan. batu nisan atau air pasang
Mimpi dipatuk ular: sekiranya seseorang lelaki bermimpi dipatuk ular, bererti ia akan mendapat isteri cantik. Tetapi jika ia bermimpi dipatuk ular putih, bererti ia akan mendapat isteri hodoh.
Tanda-Tanda Berikut adalah tanda-tanda yang dipercayai mempunyai makna tertentu: Ular masuk rumah: Kelip-kelip masuk : ke rumah Gatal di kedua-dua: tapak tangan Mata bergerak : Tidur tidak : membasuh kaki Memelihara ikan : puyu dalam rumah
ada jejaka yang akan datang untuk meminang anak dara kampung. ribut taufan akan melanda kawasan kampung. seseorang itu akan mendapat duit.
seseorang itu akan melihat sesuatu yang tidak elok. seseorang itu akan didatangi mimpi yang buruk semasa tidur.
rumah tidak boleh dipukau oleh orang lain. (Sebab lain yang lebih pragmatic ialah ikan puyu mudah dipelihara tanpa menggunakan oksigen dan ia memakan jentik-jentik) Teringin mengayam: kemarau akan berlaku di kampung itu. Tikar untuk dijadiKan tempat tidur Bintang masuk ke : hantu/syaitan telah masuk ke dalam rumah dan sesuatu perkara dalam rumah buruk akan berlaku kepada keluarga. Burung liar masuk : jika seekor burung liar seperti burung gagak atau burung hantu ke dalam rumah masuk ke dalam rumah kita, tetapi keadaannya kelihatan jinak, itu tanda satu alamat buruk (tenung) akan berlaku. (Tenung ertinya “buatan orang”, contohnya sekiranya seseorang itu ditimpa penyakit, maka tok bomoh yang merawatnya akan mengirimkan penyakit itu ke tempat lain melalui burung yang dilepaskannya itu. Sekiranya ada orang yang memegang burung tersebut, maka penyakit itu akan berpindah kepadanya pula).
Kesenian Orang Mah Meri adalah tukang kayu yang mahir membuat rumah yang mempunyai perhiasan tradisional. Mereka juga terkenal di Malaysia sebagai pengukir patung-patung serta topeng yang menggambarkan moyang-moyang mereka. Setiap moyang mempunyai bentuk yang unik dan cirri-ciri istimewa yang digambarkan oleh patung dan topengnya. Patung dan topeng Mah Meri menunjukkan dengan jelas expresi air muka moyang-moyang yang berlainan. Seni mengukir patung dan topeng
masih dilakukan di Pulau Carey di mana terdapat pengukir kayu yang mahir membuat ukiran yang begitu unik dan rumit bentuknya. Tetapi di Kampung Bukit Bangkong, penyelidik tidak nampak patung-patung atau topeng di kawasan kampung. Mengikut Encik Adit bin Ari, Laksamana kampung ini, kemahiran membuat patung dan topeng sudah hilang. Beliau ingat masa dulu, abangnya, Atal bin Ari, (yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu dalam umur 40an), pernah membuat patung. Sekarang, walaupun masih ada orang yang membuat patung atau topeng, mereka melakukan kegiatan ini secara bersuka-suka sahaja. Orang Mah Meri di kampung ini tidak belajar lagi kesenian ini. Pada masa dahulu, rumah-rumah Mah Meri mempunyai perhiasan khususnya pada tingkap. Bahagian atas tingkap mempunyai pola-pola geometric. Bumbung rumah lama dibuat daripada atap nipah dan dinding dibuat daripada kayu bakau yang senang didapati daripada tepi laut. Sekarang kebanyakan rumah mempunyai atap zink dan dinding kayu, kerana lebih tahan dan juga murah.
Alat Muzik Alat muzik tradisional yang digunakan oleh kaum Mah Meri ialah biola (jula), gong besi (tawak) dan gong buluh (dik tengkeng). Di Kampung Bukit Bangkong, hanya Tok Batin yang boleh main biola dan seni ini mungkin akan pupus jika orang muda tidak belajar memainkan muzik tradisional. Sambil memainkan biola, Tok Batin menyanyi lagu berdasarkan pantun. Penyelidik telah merakamkan dan mengumpulkan lirik beberapa buah lagu Mah Meri.
Lagu-Lagu Pantun atau lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu rakyat seperti lagu laboih, lagu lampat, (lihat lampiran). Lagu-lagu tersebut dinyanyikan pada masa kenduri, bila tetamu datang dan mereka ingin menyeronokkan majlis. Dari lagu ini, kita boleh membuat andaian bahawa mungkin pada masa dahulu, kampung pemain muzik terdiri daripada enam orang: seorang bermain biola, seorang bermain gong, seorang lagi bermain gendang (basa) dan tiga orang bermain gong buluh.