Prosiding Seminar Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Arab 2014 • disunting oleh: Zamri Arifin, Maheram Ahmad, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Lazim Omar, Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Khazri Osman, Al Muslim Mustapa & Mohd Shahrizal Nasir • ©Fakulti Pengajian Islam, UKM & Fakulti Kontemporari Islam, Unisza • ISBN 978-967-5478-78-9
SUMBANGAN ABU HAYYAN AL-ANDALUSI DALAM MEMPERMUDAHKAN PEMBELAJARAN NAHU Wan Moharani Mohammad,1 Lubna Abdul Rahman,2 Hakim Zainal,3 Maheram Ahmad,4 Mat Nawi Mat Jusoh,5
[email protected] Universiti Sains Islam Malaysia 3, 4 Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 5 Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka. 1,2
Abstrak: Pengkaji bidang nahu mengakui bahawa ilmu nahu diasaskan bagi memelihara bahasa Arab dan al-Qur’an al-Karim daripada kesalahan dan al-lahn. Setelah ulama Basrah dan Kufah memainkan peranan dalam meletakkan asas-asas ilmu nahu, ia mula berkembang di seluruh wilayah Islam selari dengan perkembangan Islam sendiri. Perkara ini turut disaksikan di bumi Andalus yang menerima Islam dan seterusnya turut menyaksikan ilmu nahu berkembang di sana. Memandangkan bahasa Arab itu sendiri merupakan satu bahasa yang baharu bagi penduduk Andalus pada ketika itu, maka tidaklah menghairankan kita apabila penduduk Andalus menghadapi kesukaran untuk menguasainya. Bagi mengatasi masalah ini, tokoh bahasa Arab khususnya ulama nahu telah mula mengorak langkah memainkan peranan mereka bagi mempermudahkan pembelajaran nahu di Andalus. Usaha ini yang berterusan selama berkurun lamanya, dapat kita perhatikan menerusi kajian terhadap karya nahu ulama Andalus. Salah seorang daripada ulama nahu Andalus yang terkenal ialah Abu Hayyan al-Andalusi. Antara karya beliau yang terkenal dalam bidang nahu ialah alTazyil wa al-Takmil dan Irtishaf al-dharab selain al-Bahru al-Muhit yang cukup terkenal dalam bidang tafsir. Kertas kerja ini yang merupakan kajian kepustakaan, adalah kajian tinjauan terhadap sumbangan Abu Hayyan dalam bidang nahu melalui sorotan terhadap kehidupan beliau, ketokohan, karya serta pandangan dan prinsip beliau dalam bidang ilmu nahu. Adalah didapati bahawa Abu Hayyan telah berusaha ke arah mempermudahkan pembelajaran nahu bahasa Arab khususnya menerusi aspek memberikan komentar terhadap karya nahu yang terdahulu serta penulisan berbentuk ringkasan pandangan beliau dalam bidang nahu. Beliau juga sedikit sebanyak, dengan cara beliau yang tersendiri, terkesan dengan gerakan ibn Mada’ al-Qurtubi yang menyeru ke arah taysir nahu. PENGENALAN Tujuan utama ilmu nahu diasaskan adalah untuk memelihara al-Qur’an al-Karim daripada kesalahan dan al-Lahn. Memandangkan kepada kepentingan ilmu nahu tersebut maka ia turut tersebar seiring dengan tersebarnya Islam ke pelusok alam. Apabila Islam sampai ke Andalus, penduduk Andalus turut mula mempelajarinya. Sebagai suatu bahasa yang baru kepada 1
penduduk Andalus, maka bukanlah menjadi satu kepelikan bagi mereka merasakan kesukaran dalam mempelajari bahasa Arab khususnya ilmu nahu yang mengandungi pelbagai kaedah dan permasalahan. Maka ulama nahu di Andalus telah mengorak langkah untuk mempermudahkan pembelajaran nahu antara lainnya demi kepentingan penduduk Andalus. Usaha mempermudahkan Nahu serta pembelajarannya berlansung berkurun lamanya menerusi usaha-usaha tokoh-tokoh nahu yang lahir di Andalus. Menerusi kajian yang dilakukan terhadap usaha tokoh-tokoh ini, diharapkan kita akan dapat melihat sumbangan mereka terhadap pencapaian objektif mempermudahkan nahu. Ini dapat dilihat menerusi karya-karya tokoh besar dalam bidang nahu di Andalus. Antara bentuk usaha yang dilakukan ialah menulis karya komentar (sharh) bagi karya-karya nahu sebelumnya, menulis ringkasan karya ilmu nahu serta penulisan karya nahu dalam bentuk syair yang mudah diingati. Antara usaha yang dikatakan sebagai cubaan untuk memudahkan nahu ialah apa yang disebut sebagai revolusi Ibn Mada’ al-Qurtubi (Ibn Mada’,1979). Ibn Mada’ telah menyarankan tiga perkara besar ke arah mempermudahkan nahu menurut pandangan beliau. Tiga perkara tersebut ialah: 1. Penghapusan cawamil nahwiyah. Dalam konteks ini ibn Mada’ telah menyandarkan hujahnya kepada ibn Jinni bahawa al-cAmal al-haqiqi ialah kepada si penutur (alMutakallim) dan bukannya sebagaimana yang dikatakan oleh ahli nahu bahawa alc amal itu adalah dari alfaz serta macaninya. 2. Pembuangan cillah thaniah dan cillah salisah dan memadailah dengan cillah pertama sahaja yang dianggap sebagai cillah sebenar dalam peraturan secara zahirnya. 3. Pembuangan tamarin yang diandaikan oleh ahli nahu. Selain Ibn Mada’, terdapat ramai tokoh nahu Andalus yang telah berusaha ke arah mempermudahkan nahu serta pembelajarannya. Antara mereka ialah, Abu Hayyan alAndalusi yang merupakan salah seorang daripada ahli tatabahasa Andalus yang agak terkesan dengan pandangan Ibn Mada’ dengan cara beliau yang tersendiri. Justeru, objektif kertas kerja ini ialah memaparkan sedikit sebanyak usaha yang telah dilakukan oleh Abu Hayyan alAndalusi ke arah mempermudahkan pembelajaran Nahu.
ABU HAYYAN AL-ANDALUSI Nama sebenar beliau ialah Athir al-Din Abu Hayyan Muhammad bin Yusuf bin Ali bin Yusuf bin Hayyan al-Nifzi. Perkataan al-Nifzi adalah kata yang dinisbahkan kepada suatu kabilah Barbar. Beliau dilahirkan di Gharnatah, Andalus, pada akhir bulan shawal tahun 654H (Abd al-cal Salim Makram,1995). Maka bolehlah dikatakan bahawa beliau adalah anak kelahiran bumi Andalus yang hidup pada zaman pergolakan Andalus.
Abu Hayyan mendapat pendidikan di pelbagai tempat, antaranya ialah Gharnatah, Malaqah, Mariyah, Tunis, Iskandariyah Mesir, Qaherah dan lain-lain (Abd al- cal Salim Makram,1995) . Ini menunjukkan bahawa Abu Hayyan adalah seorang yang sangat rajin dalam menuntut ilmu. Berguru dengan ramai guru di pelbagai lokasi secara tidak langsungnya, sudah tentulah telah memberikan peluang kepada beliau mengecapi pelbagai pengalaman hidup dalam persekitaran yang berbeza. 2
Sejarah telah menunjukan bahawa Abu Hayyan telah keluar dari Andalus dan berhijrah ke timur pada tahun 679H (al-Maqqari,1997). Dikatakan bahawa beliau telah berhijrah keluar dari Andalus kerana berlaku suatu peristiwa antaranya dengan Ibn Tiba c. Turut dinyatakan bahawa antara punca beliau berhijrah ialah kerana beliau ingin melarikan diri daripada mempelajari ilmu falsafah (Abd al-cal Salim Makram,1995). Di sini kita seakan dapat melihat personaliti Abu Hayyan yang tidak menggemari falsafah. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang mulia, elok tutur katanya, dipercayai hujahnya, khusyuk dalam membaca al-Qur’an al-Karim (Abd al-cal Salim Makram,1995). Perjalanannya yang jauh meninggalkan halaman akhirnya membawa beliau ke Mesir dan mencurahkan tenaga beliau dalam bidang keilmuan khususnya dalam bidang bahasa Arab iaitu nahu. Beliau, akhirnya telah dipanggil menghadap Tuhan pada tahun 745H di Kaherah (al-Maqqari, 1997).
KETOKOHAN ABU HAYYAN Abu Hayyan merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam pelbagai bidang keilmuan. Ini diakui oleh ramai ulama, al-Kamal Jacfar dalam penceritaannya terhadap Abu Hayyan menyatakan bahawa “Beliau adalah Shaikh al-Dahr wa Alimuhu”, “Muhyi al-Fan Al-Adabi” (Ibn Hajar al-cAsqalaniy, t.t). Beliau juga dikatakan mempunyai pengetahuan yang baik tentang ilmu tarajim al-Nas wa macrifah tabaqatihim (Ibn cImad al-Hanbali, 1986). Abu Hayyan dikenali sebagai seorang yang amat mencintai ilmu dan rajin dalam menuntut ilmu. Ini jelas dari apa yang dikatakan oleh al-Safadi tentang beliau “ Dan aku tidak melihat seorang guru yang lebih sibuk dari beliau, kerana aku tidak melihatnya melainkan ia mendengar (ilmu) atau berkerja atau menulis, dan aku tidak melihatnya dalam keadaan selain itu” (al-Maqqiri, 1997). Walaupun Abu Hayyan menguasai pelbagai bidang keilmuan, namun beliau lebih dikenali dalam bidang nahu bahasa Arab. Al-Safadi mengelarkan beliau sebagai Imam Nuhat pada masanya sama ada di barat mahupun di timur. Beliau juga dianggap sebagai seorang yang unik dalam bidang tersebut. Dikatakan bahawa beliau telah berkhidmat untuk bidang nahu bagi tempoh selama 80 tahun, mengkaji dan mencari penyelesaian kepada permasalahan nahu sehinggalah beliau meninggal dunia (al-Maqqari, 1997, (Abd al-cal Salim Makram,1995). Selain daripada itu beliau juga merupakan seorang tokoh yang menguasai pelbagai bahasa. Antara bahasa asing tersebut ialah bahasa Parsi dan bahasa Turki. Dikatakan bahawa beliau mempunyai karangan dalam kedua-dua bahasa tersebut (Abd al-cal Salim Makram,1995). Ini menunjukan kemampuan beliau yang agak tinggi dalam pelbagai bahasa yang dapat membantu dalam pembentukan ketokohan beliau. Salah satu keistimewaan Abu Hayyan ialah beliau dikenali sebagai seorang yang memiliki ramai guru. Ini bertepatan dengan keadaan beliau yang banyak bermusafir dan jauh perjalanan dalam menuntut ilmu pengetahuan. Antara guru belaiu yang mashur ialah Abu Jacfar Ibn Tibac, Abu Hassan al-Abazi, Abu Jacfar bin Zubair, Ibn Doi’ic dan Ibn Nahhas (Ibn c imad al-Hanbaki, 1986). Bahkan Abu Hayyan sendiri menyatakan bahawa jumlah guru yang beliau mendengar bagi memperolehi ilmu ialah lebih kurang 450 orang. 3
Ketokohan Abu Hayyan juga terserlah apabila kita mengkaji karya beliau dalam bidang nahu terutamanya. Antara karya beliau yang masyhur dalam bidang nahu ialah: 1. Al-Tazyil wa al-Takmil fi sharh al-tashil 2. Irtishaf al-darab min lisan arab Manakala antara karya beliau yang lain dalam bidang tafsir ialah al-bahru al-muhit yang banyak membicarakan aspek bahasa. Sumbangan beliau bukan sahaja dilihat daripada kesungguhan beliau mempelajari nahu, menghasilkan karya nahu, bahkan dapat kita lihat menerusi ramainya tokoh yang lahir hasil didikan beliau. Antara anak muridnya yang masyhur ialah: 1.Taqyudin al-Subki 2.Al-Jamal al-Asnawi 3.Ibn Abi Qasim 4.Ibn cAqil 5.Ibn Maktum 6.Nazir al-Jaish Ibn cImad sendiri menyatakan bahawa “Anak-anak muridnya telah menjadi imam-imam dan syeikh-syeikh semasa beliau masih hidup”.
MAZHAB NAHU ABU HAYYAN Berhubung perkara al-simac dalam penghujahan nahu, pandangan Abu Hayyan adalah seperti pandangan Basriyun yang menganggap bahawa bukan semua kabilah berada dalam kedudukan yang sama. Hujah atau dalil al-simac perlu dipilih dan disaring dan tidak semuannya boleh diterima begitu sahaja (Abd al-cal Salim Makram,1995). Daripada segi al-qias pula, Abu Hayyan turut cenderung kepada golongan basriyyun. Al-Qias pada pandangan Abu Hayyan hanya digunakan apabila terdapat dalil yang banyak yang menjadi asas kepada qias tersebut (Abd al-cal Salim Makram,1995). Daripada segi penerimaan al-qiraat dalam penghujahan nahu pula dikatakan bahawa Abu Hayyan adalah dipercayai berada pada kedudukan pertengahan antara ulama basriyun dan kufiyun serta Ibn Malik kerana beliau menerima qiraat mutawatirah sebagai dalil manakala bagi qiraah shazah pula beliau mengamalkan prinsip berhati-hati (Abd al-cal Salim Makram,1995). Daripada segi penghujahan hadis dalam nahu pula, penulis hanya ingin menukilkan apa yang dikatakan oleh Abdul al-cal Salim Makram (1995), “Beliau tidak membenarkan dirinya untuk keluar dari usul mereka (basriyun) daripada segi penghujahan dengan hadis” Kajian Abu Hayyan berhubung penghujahan dalam nahu serta pemilihan dalilnya merupakan salah satu sumbangan beliau ke arah mempermudahkan pembelajaran bidang nahu Arab. 4
SOROTAN KARYA ABU HAYYAN DALAM USAHA MEMPERMUDAHKAN PEMBELAJARAN NAHU a. al-Tazyil wa al-Takmil fi Sharh kitab al-Tashil Kitab ini melambangkan salah satu aspek Abu Hayyan dalam usahanya mempermudahkan pembelajaran nahu. Aspek yang dimaksudkan ialah penulisan berbentuk komentar kepada karya nahu yang terdahulu. Ini adalah kerana kitab ini merupakan komentar atau sharh kepada kitab al-tashil yang ditulis oleh Ibn Malik (Abu Hayyan,1996) Al-Suyuti (t.t) menyataan bahawa tidak ada dua buah kitab yang lebih hebat dari kitab al-Tazyil dan Irtishaf, yang dikarang dalam bahasa Arab. Antara keistimewaan kitab ini ialah kandungan ilmiahnya yang begitu banyak, wajah-wajah yang pelbagai bagi sesuatu masalah nahu serta pandangan ahli nahu yang pelbagai dalam kebanyakan tajuk yang dibicarakan. Ia turut mengandungi komentarnya yang terdiri daripada analisanya, penerangannya, taclil serta pentarjihan (Abu Hayyan, 1996). b. Irtishaf al-Darab fi lisan al-arab Kitab ini pula melambangkan aspek kedua Abu Hayyan ke arah mempermudahkan Nahu iaitu aspek meringkaskan karya Nahu. Ini kerana kitab ini adalah ringkasan kepada karyanya terdahulu iaitu al-Tazyil wa al-Takmil (Abu Hayyan, 1998). Selain itu, di sini boleh juga dibicarakan hubungan antara kitab Irtishaf dan kitab alTashil karya Ibn Malik. Ini kerana kitab al-Tazyil wa al-Takmil sendiri adalah sharh kepada kitab al-Tashil karya Ibn Malik. Dalam membicarakan hubungan kitab Irtishaf karya Abu Hayyan dan kitab Tashil karya Ibn Malik, didapati Abu Hayyan al-Andalusi telah berusaha ke arah mempermudahkan pembelajaran nahu. Sebagai contohnya, Ibn Malik dalam kitab Tashil serta sharhnya membicarakan tentang huruf Jar dalam tajuk “Bab huruf al-Jar siwa al-musthana biha”. Dalam tajuk ini, Ibn Malik tidak membicarakan tentang keseluruhan huruf Jar. Antara huruf Jar yang tidak dibicarakan dalam bab ini ialah Khala, Cada dan Hasha. Beliau memulakan perbicaraan huruf Jar dengan harf Min tanpa membuat pembahagian atau klasifikasi harf Jar, khususnya sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Hayyan (Ibn Malik, 2001). Manakala Abu Hayyan dalam kitab Irtishafnya pula telah membicarakan keseluruhan huruf Jar termasuk Khala, Cada dan Hasha dalam tajuk besar “alMajrur”. Tajuk “al-Majrur” ini pula yang dibahagikan kepada tajuk Harf (Jar), Idafah dan al-Tabciyyah. Dalam tajuk Harf Jar pula Abu Hayyan membahagikannya kepada bahagian yang lebih kecil iaitu Uhadi, Thuna’iy, Thulathiy dan Rubaciy (Abu Hayyan,1998). Kesimpulannya, dalam konteks bandingan antara kitab Irtishaf dan kitab Tashil ini, kita melihat usaha Abu Hayyan ke arah mempermudahkan pembelajaran nahu dari tiga aspek. Yang pertamanya ialah perbicaraan secara menyeluruh yang mencakupi semua jenis harf Jar yang mengandungi pelbagai macaniy. Yang keduanya pula ialah usaha beliau memberikan gambaran am di mana letaknya kedudukan perbicaraan harf Jar dalam nahu bahasa Arab. Yang ketiganya pula ialah pembahagian harf Jar mengikut bilangan huruf sesuatu perkataan. Ketiga-tiga aspek ini diyakini sedikit sebanyak telah memudahkan pembelajaran dan kajian nahu, khususnya harf jar dalam konteks contoh ini. c. al-Bahru al-Muhit Al-Bahru al-muhit merupakan salah satu kitab Abu Hayyan yang masyhur dalam bidang tafsir. Ia dianggap sebagai salah satu kitab tafsir yang penting terutamanya bagi pengkaji yang ingin mengkaji wajah-wajah icrab al-Qur’an al-Karim (Abu Hayyan, 1993). Dikatakan 5
bahawa al-Bahru al-muhit ini ditulis atas asas bahasa dan juga nahu. Antara aspek bahasa yang diambil berat dalam kitab ini ialah aspek mufradat ayat, ghawamid icrab serta wajah balaghah (Abu Hayyan, 1993). ABU HAYYAN DAN REVOLUSI IBN MADA’ KE ARAH TAYSIR NAHW Abu Hayyan adalah antara tokoh yang terkesan dengan saranan Ibn Mada’ ke arah mempermudahkan nahu. Beliau bersependapat dengan Ibn Mada’ dalam aspek pengguguran c Ilah thaniah dan cllah tsalisah dalam nahu (Khadijah al-Hadithi, 2001). Bagaimanapun Abu Hayyan tidak menyeru kepada pengguguran teori amil dalam nahu sebagaimana yang disarankan oleh Ibn Mada’(Shauqi Dayf, t.th). Di sini kita melihat bahawa Abu Hayyan mempunyai prinsip yang tersendiri dalam mempermudahkan nahu. Seakan beliau setuju dengan mempermudahkan nahu tapi tidaklah sampai ke tahap yang boleh menghilangkan jati diri nahu bahasa Arab itu sendiri. KREATIVITI DALAM PANDANGAN ABU HAYYAN Abu Hayyan dianggap sebagai ulama Nahu pada zaman pertengahan, dan sebelumnya telah terdapat ramai ahli nahu daripada pelbagai mazhab, namun begitu, beliau tetap berupaya mengeluarkan pandangannya yang tersendiri dalam mengupas persoalan nahu. Antara pandangan tersebut ialah apa yang dibincangkan oleh Ibrahim cAbud al-Samira’iy (2007) berkaitan dengan lam ibtida’, ma nakirah mawsufah serta isu tarkhim calam murakkab tarkib mazjiy. Abu Hayyan juga banyak memberikan komentar terhadap pandangan ulama nahu terdahulu sebagaimana yang dinyatakan oleh Abd al-cal Salim Makram (1995). Antaranya komentar Abu Hayyan terhadap Tsaclab berkaitan partikel lam yang menasabkan ficl. Begitu juga dengan komentarnya terhadap al-Mubarrid dalam isu camal can nasibah li mudari’c al-mahzufah. Beliau juga turut membicangkan pandangan Ibn Malik dalam masalah ziyadah harf jar iwadan. KESIMPULAN Antara bentuk usaha yang dilakukan oleh ulama nahu Andalus ke arah mempermudahkan pembelajaran nahu ialah menulis karya komentar (sharh) bagi karya-karya nahu sebelumnya, menulis ringkasan karya ilmu nahu serta penulisan karya nahu dalam bentuk syair yang mudah diingati. Antara usaha yang dikatakan cubaan untuk memudahkan nahu ialah apa yang dikatakan sebagai revolusi Ibn Mada’ al-qurtubi yang menyarankan tiga perkara besar ke arah mempermudahkan nahu pada pandangan beliau. Tiga perkara tersebut ialah: 1. Penghapusan cawamil nahwiyah. 2. Pembuangan cillah thaniah dan cillah salisah 3. Pembuangan tamarin yang diandaikan oleh ahli nahu Sumbangan Abu Hayyan dapat dilihat daripada kesungguhan beliau mempelajari nahu, menghasilkan karya nahu serta ramainya tokoh yang lahir hasil didikan beliau. Kitab al-Tazyil wa al-Takmil merupakan salah satu aspek Abu Hayyan dalam usahanya mempermudahkan pembeljaran nahu. Aspek yang dimaksudkan ialah penulisan berbentuk komentar kepada karya Nahu yang terdahulu. Ini adalah kerana kitab ini merupakan komentar atau sharh kepada kitab al-tashil yang ditulis oleh Ibn Malik. 6
Kitab Irtishaf al-Darab fi lisan al-carab pula melambangkan aspek kedua Abu Hayyan ke arah mempermudahkan Nahu iaitu aspek meringkaskan karya Nahu. Ini kerana kitab ini adalah ringkasan kepada karyanya terdahulu iaitu al-Tazyil wa al-Takmil. Dalam kitab ini juga, kita dapat melihat usaha Abu Hayyan untuk mempermudahkan pembelajaran nahu, apabila dibandingkan dengan al-Tashil karya Ibn Malik. Al-bahru al-muhit merupakan salah satu kitab Abu Hayyan yang masyhur dalam bidang tafsir. Ia boleh dianggap sebagai salah satu sumbangan Abu Hayyan dalam bidang nahu juga kerana ia mengambilberat antara lainnya aspek wujuh icrab. Abu Hayyan adalah antara tokoh yang terkesan dengan saranan ibn Mada’ ke arah mempermudahkan nahu. Bagaimanapun kita melihat bahawa Abu Hayyan mempunyai prinsip yang tersendiri dalam mempermudahkan nahu. Seakan beliau setuju dengan gerakan Ibn Mada’ untuk mempermudahkan nahu tapi tidaklah sampai ke tahap yang boleh menghilangkan jati diri nahu bahasa Arab itu sendiri. Abu Hayyan dianggap sebagai ulama nahu pada zaman pertengahan dan sebelumnya telah terdapat ramai ahli nahu daripada pelbagai mazhab, namun begitu, beliau tetap berupaya mengeluarkan pandangannya yang tersendiri dalam mengupas persoalan nahu. Akhir kata adalah diharapkan agar kitab-kitab Abu Hayyan al-Andalusi ini terus diberikan perhatian yang sewajarnya memandangkan manafaat yang banyak yang boleh kita ambil dari warisan ratusan tahunan ini. Semoga tokoh yang banyak memberikan sumbangan ini terus diberikan ganjaran oleh Allah Tacala di atas usaha yang beliau curahkan.
RUJUKAN al-cAsqalani, Ibn Hajar. (t.th). al-Durr al-kaminah fi acyan almi’ah al-thaminah. Matbacah Quran Hydar Abad al-Andalusi, Abu Hayyan. 1993. al-Bahr al-Muhit. Bayrut: Dar al-Kutub al-ilmiyyah Abu Hayyan al-Andalusi. 1996. al-Tazyil wa al-takmil fi sharh kitab al-Tashil. Dimashq al-Andalusi, Abu Hayyan.1998. Irtishaf al-dharab min lisan al-cArab. Al-Qahirah: Maktabat al-Khanji Dayf, Shawqi. T.th. al-Madaris al-nahwiyah. Bayrut: Dar al-Macarif al-Hadithi, Khadijah. 2001. al-Madaris al-nahwiyyah. Irbid: Dar al-Amal Ibn cImad al-Hanbali. (1986). Shadharat al-dhahab fi akhbar man dhahab. Dimashq: Dar Ibn Kathir. Ibn Mada’. 1979. al-Radd cala al-nuhah. Tahqiq Muhammad Ibrahim al-Banna. Dar alIctisam. al-Maqqari. 1997. Nafh al-tib min ghusn al-Andalus al-ratib. Bayrut: dar al-Sadir Makram, cAbd al-cal Salim. 1995. al-Madrasah al-nahwiyah fi misr wa al-sham fi al-qarnain al-sabic wa al-thamin min al-hijrah. Bayrut: Mu’assasat al-Risalah al-Samarrayy, Ibrahim cAbud. 2007. al-Mufid fi al-madaris al-nahwiyyah. Amman: Dar alMasirah al-Suyuti. t.th. Bughyat al-Wucah fi tabaqat al-lughawiyin wa al-nuhat. Lubnan:al-Maktabah al-Asriyyah. al-Suyuti.t.th. Hamc al-hawamic fi sharh jamc al-jawamic. Misr: Maktabah taufiqiyyah.
7