PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Amaluddin Darus: Kepimpinan dan Sumbangan dalam Perkembangan PAS Anwar Muttaqin & Roziah Sidik @ Mat Sidek Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor
Abstrak: Artikel ini bertujuan untuk membincangkan seorang tokoh pengasas dan penyebar Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Kelantan dan juga sumbangan serta peranan beliau di dalam memperjuang dan menerapkan ideologi PAS kepada masyarakat Kelantan khususnya dan Tanah Melayu umumnya. Tokoh tesebut adalah Senator Amaluddin Darus yang merupakan Ahli Dewan Negara yang mewakili negeri Kelantan selama 15 tahun. Dalam artikel ini mencatatkan sejarah penubuhan PAS di Kelantan, usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau, kepimpinan dan peranannya dalam PAS di peringkat cawangan, negeri juga pusat, strategi pilihanraya dan penyusun kembali Dewan Pemuda PAS. Terdapat juga hasil-hasil karya beliau sepanjang bergiat di dalam politk juga selepas tidak bergiat di dalam politk lagi.
PENGENALAN Asal usul kemunculan PAS adalah sebahagian dari ahli-ahli Biro Agama Umno yang mengisi perjuangan Islam namun kegagalan Umno untuk menjunjung nilai-nilai syariah dan matlamat Umno sendiri yang tidak mempunyai keutamaan kepada syariah menyebabkan timbul kesedaran kepada ulama untuk mewujudkan suara mereka yang tersendiri. Ulama merasakan suara mereka kurang didengar oleh kepimpinan Umno dan ini menyebabkan terjadinya persidangan ulama, badanbadan dan pertubuhan-pertubuhan Islam pada 24 November 1951 yang bertempat di perkarangan Kelab Melayu Bagan di Butterworth, Pulau Pinang dan diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955. Maka dalam persidangan ini, satu keputusan yang mendapatkan sokongan ramai telah ditetapkan bagi menubuhkan parti politik yang mana diberi nama Parti Islam Se-Malaya (PAS). Bermulanya dari tahun 1951, PAS mula menjadi saingan baru kepada Umno. Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya didaftarkan dengan Pendaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) atau PAS sebelum Pilihan Raya Pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam persidangannya pada 25 Disember 1971 kepada Parti Islam Se-Malaysia yang kekal ke hari ini ekoran dari pembentukan Malaysia. Kesedaran menubuhkan PAS ini adalah kerana tuntutan agama itu sendiri iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah akan kemungkaran. Ia merupakan perkara yang wajib dilaksanakan oleh seluruh penganut agama Islam yang beriman. Dalam hal ini mendirikan masyarakat yang berasaskan akidah dan
syariah Islamiyyah adalah wajib dan perkara ini tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan wujudnya jamaah atau pertubuhan. Dengan matlamat dan misi yang jelas untuk menegakkan Islam ini mencetuskan minat seorang tokoh pengasas PAS Kelantan untuk mula berjuang demi agama Islam dan Parti PAS. PAS juga mudah tumbuh di kalangan mereka yang berlatar belakangkan pendidikan Islam pada awal penubuhannya dan sehingga ia makin merebak luas menghimpunkan kekuatan dari pelbagai golongan hingga ke hari ini. Perkembangan Awal PAS di Kelantan: Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama ditubuhkan PAS dimana Pejabat Agung Pas ialah di Madrasah Agama, Seberang Perai dan berkembang pesat di negeri Perak terutamanya kawasan Perak Utara. PAS berkembang di persekitaran sekolah agama seperti madrasah dan pondok dan halaqah-halaqah ilmu malah pendokong-pendokongnya terdiri daripada tokoh-tokoh pendidikan Islam. Ulama dan golongan agama di situ adalah kekuatan utama kepada PAS kerana sejak dahulu lagi dalam sistem orang Melayu, Ulama dan agamawan ini diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Perjuangan PAS terus berkembang dan muncul di Kelantan sehingga menjadi kubu kuat PAS dari awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini. PAS di Kelantan diasas dan dikembangkan oleh seorang ahli bomba iaitu Amaluddin Darus yang berasal dari Kedah. Beliau mula tertarik dengan dasar dan matlamat PAS iaitu menegakkan sistem Islam sejak awal penubuhan PAS di Pulau Pinang. Permulaanya beliau mula meninjau pendapat kawan-kawannya yang sefahaman dengan beliau terhadap perjuangan PAS namun beliau gagal mendapatkan kawan-
495
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
kawan yang mahu ikut serta dalam perjuangan parti Islam tersebut di Kota Bharu. Selepas beliau ditugaskan di Pasir Mas, beliau telah menemui kawan-kawan yang sealirannya dengannya seperti Ahmad Yatim dan Mohamad Nor Haji Senik yang kemudiannya bersama-sama beliau melahirkan PAS cawangan Pasir mas setelah cukup bilangan ahliahlinya. Sejak itu beliau mula menjalankan kegiatan untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat tempatan. Walau bagaimanapun di peringkat awalnya beliau tidak terus memperkenalkan PAS sebaliknya lebih membicarakan tentang persoalan agama, kesedaran beragama dan kesedaran politik Islam. Apabila PAS mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama di Kepala Batas dan menegaskan tujuan penubuhan PAS juga adalah memperjuangkan kemerdekaan, barulah beliau mula memperkenalkan PAS kepada orang ramai di sekitar Pasir Mas. Beliau sendiri juga menegaskan kepada orang ramai bahawa hanya PAS satu-satunya parti yang perlu diberi sokongan oleh orang-orang Islam. Berikutan dengan itu, satu majlis penerangan tentang garis perjuangan PAS telah diadakan di Masjid Pasir Mas selepas sembahyang Jumaat. Penerangan itu telah disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Haji Hussain Cik Dol yang kebetulan pada waktu itu berada di Kelantan. Seterusnya Amaluddin Darus mengirimkan surat kepada Pejabat Agung PAS untuk mendapatkan salinan undang-undang tubuh beserta borang keahlian dan pada 16 Disember 1952, segala yang diminta telah dikirimkan kepada beliau. Setelah itu, Amaluddin Darus mula bergerak mencari ahli untuk PAS dari kedai kopi, kedai buku dan surat khabar. Apabila ahli-ahli yang berdaftar mencapai lebih 60 orang, satu mesyuarat untuk menubuhkan cawangan PAS di Pasir Mas telah diadakan di Masjid Pasir Mas pada 23 Julai 1953. Omar bin Yusof telah dilantik sebagai Yang Dipertua Cawangan dan setiausahanya adalah Amaluddin Darus yang memilih jawatan itu dari jawatan Yang Dipertua kerana lebih baik untuk melaksanakan kerja-kerja kepartian dan penolong setiausahanya ialah Ahmad Yatim. Maka rasmilah PAS cawangan Pasir Mas iaitu cawangan PAS yang pertama ditubuhkan di negeri Kelantan dan di Pantai Timur. Dengan tertubuhnya cawangan Pasir Mas, ia menjadi rentetan kepada penubuhan kedua cawangan PAS iaitu di Macang pada 21 September 1953. Amaluddin Darus menyatakan: PAS adalah anak kecil yang baru dilahirkan. Ia adalah terlalu baru. Tetapi ianya adalah sebagai satu alat penyatuan tenaga gerakan untuk membuat contoh kegiatan-kegiatan menurut pengajaran Islam. Sehingga dengan kekuatan ini akan melahirkan kenyataan-kenyataan yang akan menarik perhatian manusia lain di samping membangun dan menyuburkan rasa kasih sayang di kalangan ahli-ahli-ahli atau anggota-anggotanya.
Dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pasir Mas yang pertama, beliau menyampaikan garis-garis
kerja yang perlukan dilakukan oleh ahli-ahli iaitu menghidupkan kembali ajaran Islam dari sekecilkecilnya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. antaranya ialah hak muslim terhadap muslim yang lain iaitu memberi salam, mendoakan ketika bersin, memberi nasihat, melawat orang sakit dan orang mati dan memberi hadiah bantuan simpati. Slogan PAS cawangan Pasir Mas ketika itu ialah hidupkan ajaran Islam di dalam masyarakat dan tanamkan keyakinan bahawa apabila membantu agama Allah, Allah jua yang akan membantu kelak. Berikut adalah antara catatan Amaluddin Darus dalam usaha mengembangkan PAS di Kelantan: Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi ke sana dan menemui imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah di sana. Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorang pun pedulikan saya.Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar. Saya meminta se cawan teh dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajiban saya. Se moga ini semua tidak akan disiasiakan oleh Allah. Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh!” katanya, "Boleh saya tanya sikit?". Saya merenung pemuda ini dan mempersilakan dia membuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi. Demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?" Saya tersenyum kepadanya. Dia mengulang lagi, "Bila PAS boleh perintah Kelantan?".“Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi, Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi menggantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok guru-tok guru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan insya Allah akan memerintah negeri Kelatan ini.” Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai itu barangkali. Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengingatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu. Katanya, "Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai tahun 1958 saya telah menyokong PAS.
Begitulah kisah kemasukan PAS di Kelantan oleh Amaluddin Darus. Beliau berusaha hari ke hari menyampaikan syarahan dan penerangan berkenaan PAS di masjid, surau dan rumah kepada masyarakat Kelantan terutamanya Tok Guru-Tok Guru di pondok-pondok di sekitar Kelantan. Usaha gigih menyebarkan perjuangan PAS akhirnya mendapat sokongan daripada golongan Tok Guru pondok yang mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat negeri itu dan seterusnya dengan pantas berkembang dalam sendi masyarakat Kelantan. Antara faktor PAS diterima oleh rakyat Kelatan adalah kerana unsur-unsur agama telah sedia ada
496
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
tertanam di dalam hati rakyat di Kelantan dan peranan tok-tok guru yang dihormati oleh masyarakat. Penglibatan beberapa orang ulama dan tuan guru pada peringkat awal memberi impak yang besar kepada politik Melayu. PAS mendapat tempat dan sokongan di kawasan-kawasan yang terdapat banyak institusi pengajian agama seperti pondok, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Penglibatan tuan-tuan guru menjadi modal kepada PAS dalam kempen pilihan rayanya di samping suasana agama di sekitarnya yang memudahkan PAS memberi penerangan bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Kejayaan PAS menarik golongan agama dan ulama menyebabkan mereka terlibat dalam kepimpinan parti di semua peringkat dan mereka menganggap bahawa penyertaan mereka dalam politik adalah sebahagian daripada kehidupan beragama. Biografi Ringkas: Amaluddin Darus dilahirkan di Kulim, Kedah pada hari Isnin, 1 Rejab 1346 bersamaan dengan 24 Disember 1927. Beliau mendapat pendidikan awal pada zaman kanakkanaknya di Kulim dan seterusnya mendapat pendidikan agama Islam di Madrasah al-Huda di Pulau Pinang tetapi pelajarannya terganggu apabila tentera jepun menyerang Tanah Melayu dan Madrasah tersebut ditutup serta merta pada 1941. Rancangan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Indonesia terhalang disebabkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Maka hasratnya terhenti untuk menyambung pelajaran. Pada Januari 1947 beliau menyertai pasukan Bomba Malayan Union dan dipilih untuk dihantar ke pusat latihan di Kuala Lumpur tetapi beliau telah memilih Negeri Kelantan untuk berkhidmat.pada mulanya beliau bertugas di Kota Bharu namun telah ditukar ke Pasir Mas.Maka bermulalah pada awal tahun 1950, beliau aktif memperkenalkan perjuangan PAS pada masyarakat Kelantan khususnya di Pasir Mas sedangkan beliau masih dalam jawatan kerajaan sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada 20 April 1958 demi untuk memberi seluruh perhatian kepada perjuangan PAS. Sebagai seorang yang telah ikut serta menyumbang dan membina parti PAS, beliau telah menjawat jawatan-jawatan di peringkat nasional sebagai Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ahli Jawantankuasa Agong dan Pengarah Pilihanraya. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara yang mewakili negeri Kelantan selama 15 tahun iaitu dari 1959 hingga 1974. Sumbangan dan Kepimpinan Amaluddin Darus: Sepanjang tahun 1953, syarahan penerangan PAS dibuat oleh Amaluddin Darus di masjid-masjid, surau-surau dan di rumah-rumah sahaja. Beliau juga membuat kursus perjuangan dan politik Islam seminggu sekali dan kehadiran peserta-peserta bertambah dari hari ke hari. Kursus-kursus ini
menyebabkan PAS makin diterima oleh masyarakat khususnya di kalangan Tok Guru. Pada Ogos 1953, PAS mengadakan Mesyuarat Agung yang kedua di Bagan Datok, Hilir Perak. Isu yang diperbincangkan dalam mesyuarat itu sangat penting dan berkaitan dengan persoalan nasional sehingga membawa kepada satu Mesyuarat Agung Khas pada 26 September 1953 yang diadakan di Tanah Liat, Bukit Mertajam. Amaluddin Darus menjadi Perwakilan Pasir Mas di dalam mesyuarat yang dihadiri oleh perwakilan-perwakilan PAS di Tanah Melayu. Persoalan yang timbul adalah apabila Yang Dipertua Agong PAS yang pertama, Haji Ahmad Fuad telah melibatkan diri dalam ‘Perhimpunan Kebangsaan’ yang dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar. Ada di antara ahli jawantankuasa PAS yang menyokong dan membangkang usul ini sehingga membawa kepada pedebatan di kalangan perwakilan-perwakilan yang hadir. Ketika itu, Amaluddin Darus mencadangkan bahawa PAS cawangan Pasir Mas menyokong tuntutan National Convention tetapi PAS tidak perlu menyertainya. Cadangan ini membawa kepada perbahasan dan diterima dengan pindaan. Namun Haji Ahmad Fuad tetap bertegas untuk menyertai Perhimpunan Kebangsaan tersebut dan akhirnya pindaan itu diterima dan ditambah lagi seperti berikut: Bahawa Mesyuarat Agung Khas yang bersidang pada hari ini bersetuju menyokong tuntutan Perhimpunan Kebangsaan dan ikut menyertai di dalamnya, dengan syarat sekiranya didapati sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan cita-cita perjuangan PAS, maka PAS hendaklah menarik diri daripadanya. Menurut Amaluddin Darus, beliau mahukan satu parti Islam yang tidak menjadi alat atau diperalatkan oleh sesiapa jua. Cita-cita perjuangan Islam adalah tidak bersamaan dengan cara perjuangan Umno. Matlamat perjuangan dan cara menyampaikan juga berlainan. Maka tiada tolak ansur dalam perkara tersebut kerana boleh merosakkan parti. Akhirnya PAS hanya hadir dalam Perhimpunan Kebangsaan untuk dua persidangan sahaja dan sesuai dengan keputusan Mesyuarat Agung Khas, PAS telah pun mengundurkan diri secara teratur. Tahun 1954, cawangan PAS mula lahir selepas Pasir Mas dan Macang iaitu cawangan Kota Bharu dan Pasir Putih. Seterusnya diikuti dengan cawangan kelima iaitu cawangan Tanah Merah dan penubuhan cawangan Tanah Merah dapat memindahkan ahliahli dan beberapa ranting yang dulunya dalam Pas cawangan Pasir Mas ke dalam cawangan tersebut. Ini adalah dasar yang direncanakan oleh Amaluddin Darus iaitu satu cawangan PAS untuk satu jajahan di negeri Kelantan. Mesyuarat Agung PAS yang ketiga diadakan di Titi Serong, Kerian Perak pada Ogos 1954 di mana PAS Kelantan hanya diwakili oleh cawangan Pasir Mas iaitu Amaluddin Darus sendiri. Agenda utama mesyuarat itu adalah untuk membincangkan undang-
497
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
undang PAS yang baru dan antara cadangan Amaluddin Darus yang diterima dan dipinda ialah: Pegawai-pegawai Agung dan Jawantankuasa PAS hendaklah dipilih dilantik daripada ahli-ahli biasa PAS yang menjadi ahli atau anggota parti lain. Dewan Ulama PAS hanya diadakan peringkat negeri dan pusat sahaja.
Ahli dan tidak pada
Pada 1955, Mohammad Asri telah dilantik menjadi Persuruhjaya PAS Kelantan dan Amaluddin Darus menjadi Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan juga Yang Dipertua PAS cawangan Kota Bharu. Telah banyak kerja-kerja setiausaha dan pentadbiran dilakukan oleh Amaluddin Darus termasuklah kempen Pilihanraya Umum yang pertama pada tahun yang sama bagi pihak Mohammad Asri yang bertanding di mana PAS telah meletakkan sebelas calon dan tiga calon di Kelantan tetapi ketiga-tiga calon tersebut kalah. Kemenangan PAS hanya di Kerian, Perak iaitu Tuan Haji Ahmad Tuan Husain. Seterusnya Pejabat PAS Kelantan ditubuhkan dan merupakan pusat kegiatan PAS dari tahun 1955 hingga 1959 hasil derma ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. PAS semakin berkembang pada tahun 1956 dari usaha Amaluddin Darus memberi penerangan di seluruh Kelantan, menubuhkan dan mengaturkan kerja ranting-ranting di dalam cawangan Kota Bharu dan juga mengumpul derma untuk kegiatan PAS. Persiapan untuk menerbitkan majalah Suara Islam sebagai lidah rasmi PAS Malaya telah diusahakan oleh Mohammad Asri dan Amaluddin Darus. Bilangan pertama terbit pada 17 Disember 1957 yang memuatkan artikel-artikel ucapan Zulkifli Mohamad pada Mesyuarat Agung PAS yang ketiga. Lagu PAS juga telah dicipta oleh PAS Kelantan dan pada 23 Disember 1956, lagu tersebut diterima sebagai lagu rasmi PAS dalam Mesyuarat Agung PAS di Kuala Lumpur. Senikata ataupun liriknya adalah seperti berikut: Bersatulah wahai kaum muslimin Dengan semangat dan roh kebenaran Berjihadlah wahai kaum muslimin Walau kalah ataucapai kemenangan Bersatulah wahai kaum muslimin Dengan obor sinar kebahagiaan Berjihadlah wahai kaum muslimin Walau rebah atau tegak kejayaan Berjuanglah wahai ansharullah Dengan semangat waja yang tak kenal kalah Berkorbanlah wahai yang beriman Dengan harta dan segenap kepunyaan Bergerak ke gerbang jaya Agar bebas dan kekal merdeka Beramallah wahai roh suci Hingga nyata benarnya janji Rabbi Selamatlah persatuan Islam melangkah Membimbing umat ke medan siasah
Berpedomankan Quran dan Sunnah Suburlah hidupnya dan berbuah
Selain dari usaha-usaha yang dilakukan oleh Amaluddin Darus berkenaan majalah dan lagu, beliau juga membantu mengembangkan PAS di Terengganu dengan memberikan penerangan perjuangan PAS di Kuala Terengganu. Pilihan Raya Umum 1959: Banyak usaha dan kerja yang telah dijalankan oleh Amaluddin Darus dan rakan-rakan pengerak PAS yang lain untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai PAS kepada rakyat khusunya di Kelantan dan Terengganu.segala usaha ini berhasil dengan bertambagnya ahli dan cawangan-cawangan juga ranting-ranting PAS di kedua-dua negeri tersebut. Sehinggalah Mesyuarat Agung PAS pada 25 Disember 1958, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS dan Pengarah Pilihanraya. Ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar yang telah diserahkan oleh kepimpinan PAS yang di pimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi di mana untuk menghadapi piliharaya umum yang kedua pada 1959. Ketika umurnya baru menjangkau 31 tahun, beliau bermula pada 1 Januari 1959 dengan melakukan kerja-kerja pejabat Agung bagi seluruh Tanah Melayu. Beliau pergi memberi kursus-kursus mengenai cita-cita perjuangan PAS, cara-cara kerja pilihanraya, taktik-taktik penerangan dan menyampaikan pidato di rapat-rapat umum sekurang-kurangnya tiga kali sehari bermula dari bulan Februari hingga Mei ke serata Tanah Melayu. Sebelum Pilihanraya 1959 satu peristiwa fitnah besar telah berlaku di Perlis dan Kedah iaitu musuh PAS telah menyebarkan surat layang kepada semua masyarakat negeri tersebut yang menyatakan bukti Ketua PAS iaitu Dr. Burhanuddin Helmi mempunyai hubungan dengan Komunis dan sesiapa yang menyokong PAS bermaksud mereka menyokong Komunis. Dari fitnah tersebut, menjadi tanggungjawab Amaluddin Darus sebagai Ketua Penerangan Pas untuk menyusun jawapan-jawapan kepada sebaran fitnah tersebut, Pemuda PAS Perlis dan Kedah berusaha menyalin jawapan tersebut dan menyebarkan kepada rakyat secepat mungkin. Dengan sebaran fitnah itu, PAS mengalami kekalahan yang teruk di Perlis dan Kedah. Namun berbeza pula bagi negeri Kelantan dan Terengganu, PAS memenangi kedua-dua negeri iaitu Terengganu dengan 13 daripada 24 kawasan yang dipertandingkan manakala kejayaan terbesar adalah di negeri Kelantan dengan 28 dari 20 kawasan yang dipertandingkan. Dengan kemenangan ini, beliau mengutuskan telegram kepada Persuruhjaya PAS Kelantan, Muhammad Asri iaitu seperti berikut: Kemenangan tuan-tuan adalah kemenangan saya dan kita, gembira sambil bersyukur. Selesai pilihanraya bagi negeri-negeri maka pada Julai 1959, urusan untuk menghadapi Pilihanraya Parlimen semakin giat dilakukan. Antara
498
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
yang bertanding adalah Dr Burhanuddin (Besut), Khadijah Sidek (Dungun), Hasan Adli (Kuala Terengganu), Zulkifli Mohamad (Bachok), Othman Abdullah (Tanah Merah), Datuk Raja Muhammad Hanifah (Pasir Mas Hilir), Haji Ahmad Abdullah (Kuala Kelantan dan Amaluddin Darus (Ulu Kelantan). Semua calon-calon PAS memenangi kawasan-kawasan yang ditandingi kecuali Amaluddin Darus yang tewas dengan majoriti 464 undi dengan lawannya Yang Mulia Tengku Indraputra yang mewakili perwakilan.Setelah kekalahan tersebut beliau tidak berhenti begitu sahaja tetapi pergerakan PAS terus bergerak aktif dengan ceramah-ceramah dan pidato yang diberikan kepada anggota-anggota PAS sehinggalah beliau ditawarkan menjadi Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri Kelantan pada Ogos 1959 dan pada September beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang dibuka rasmi oleh Yang Dipertuan Agong. Maka selepas Pilihan Raya Umum 1959, PAS menjadi satu golongan pembangkang yang terbesar di Parlimen. PAS memaikan peranan sebagai pembangkang yang aktif dan adil iaitu anggotaanggota PAS tidak membuat bangkangan sematamata, jika sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan ini baik maka disokong dan jika kurang baik akan diberi pandangan dan teguran membina sehingga tidak akan ditentang habis-habisan. Setiap anggota pembangkang juga mempunyai kebebasan untuk berbicara dalam garis-garis yang telah ditetapkan oleh PAS sendiri. Menurut Amaluddin Darus, PAS telah memenangi dan berkuasa di dua buah negeri dalam Negara Persekutuan Tanah Melayu tetapi cita-cita politik PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan perlaksanaan cara hidup dan hukum-hukum Islam dalam diri individu, masyarakat dan urusan pemerintahan negara tidaklah dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam keadaan yang sedang wujud di mana perlembagaan negeri tidak boleh digubal jika ia membatasi perlembagaan persekutuan. Cita-cita politik PAS hanya dapat diisi sedikit demi sedikit sekiranya PAS menguasai kekuasaan di peringkat Persekutuan. Dewan Pemuda PAS: Pada Disember 1959 iaitu ketika kongres Dewan Pemuda PAS telah memberikan kepimpinan Dewan Pemuda PAS kepada Amaluddin Darus bagi memulihkan jentera Dewan tersebut yang hampir lumpur. Manakala Mesyuarat Agung PAS pula telah melantik beliau menjadi Ahli Jawantakuasa Kerja Agung PAS. Tugasan dan tanggungjawab ini amatlah berat namun dipikul dengan penuh amanah. Pertukaran kepimpinan yang berlaku pada tahun ini ternyata memberikan kesan yang besar kepada Dewan Pemuda Pas. Sebagai tokoh yang pernah bergiat cergas dalam usaha mengembangkan PAS di
Kelantan dan menjadi Pengarah Pilihan Raya PAS 1959, Amaluddin Darus ternyata mempunyai formula tersendiri untuk memulihkan organisasi Dewan Pemuda PAS ini. Dua strategi asas yang digunakan oleh beliau ialah: Mengadakan usaha-usaha memperkemaskan organisasi Dewan Pemuda PAS memulakan usaha membina fikrah Islam di kalangan ahli-ahli. Beliau yang juga merupakan lulusan Madrasah al-Huda, Pulau Pinang telah berjaya menyusun usaha untuk mengemaskan pentadbiran Dewan Pemuda PAS di cawangan-cawangan dengan mendaftarkan cawangan, mengadakan lawatan kerja ke cawangan, menyediakan kod pengurusan cawangan, mengemaskan sistem keahlian dan mewujudkan hubungan antara cawangan. Selain itu Dewan Pemuda PAS negeri juga mula ditubuhkan untuk menyelaraskan cawangan-cawangan sekain mewujudkan beberapa jawatankuasa kecil di peringkat pusat. Pada tahun 1961, Dewan Pemuda PAS Pusat telah meletakkan syarat iaitu perlunya 20 orang ahli bagi membolehkan sesebuah cawangan Dewan Pemuda PAS ditubuhkan dan menjelang pertengahan 1966, 31 buah cawangan Dewan Pemuda PAS yang aktif telah berjaya dibentuk. Tempoh antara 1962 hingga 1965 ini boleh dianggap sebagai tahap kedua organisasi Dewan Pemuda PAS bergerak secara tersusun selepas penyusunan tahap pertama yang dilakukan oleh Ustaz Hassan Adli. Amaluddin Darus juga telah memulakan kursuskursus pembinaan kader-kader dan gerakan pembinaan kefahaman Islam. Langkah pertama yang diambil dengan mengarahkan semua ahli Dewan Pemuda membaca dan memahami karya Hasan alBanna, Arahan dan Peraturan yang telah diterjemahkan. Serentak dengan itu, buku Tata Negara Islam, karya bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Budiman Radzi mula dipasarkan. Seterusnya melatih kader-kader Dewan Pemuda PAS berkenaan dengan kursus kepimpinan, pentadbiran,politik dan pilihan raya, menerbitkan risalah-risalah tentang politik Islam, demokrasi Islam, masyarakat Islam, ekonomi Islam, kebudayaan Islam, negara Islam dan undang-undang Islam juga memberi kursus mengenai penyusunan parti, menanam kesedaran berparti sambil menunjukkan di mana titik-titik kelemahan yang menyebabkan cita-cita PAS tidak dapat dilaksanakan seperti konsep Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS. Satu perkara yang penting ketika dewan ini berada di bawah pimpinan Amaluddin Darus ialah usaha mewujudkan semula gerakan mahasiswa Islam sebagai ejen tarbiyah kepada Dewan Pemuda PAS. Usaha dan idea ini secara tidak langsung telah mencetuskan penubuhan Persatuan Kebangsaan
499
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Pelajar Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) atau kemudiannya dikenali sebagai PKPIM telah memberi ruang kepada pelajar-pelajar Islam di institusi pengajian tinggi untuk mendekati Islam dengan lebih menyeluruh. Walaupun PKPIM tidak mempunyai hubungna secara langsung dengan Dewan Pemuda PAS tetapi PKPIM telah diasaskan oleh tokoh-tokoh yang pernah ditarbiyahkan oleh Dewan Pemuda PAS dan juga telah dipimpin oleh tokoh-tokoh Dewan Pemuda PAS. Pencernaan fikrah Islam yang berlaku pada era kepimpinan Amaluddin Darus bukan sahaja sebagai fasa pertama penerapan pemikiran Islam di kalangan generasi muda oleh sebuah gerakan Islam tetapi juga merupakan titik asas kepada kebangkitan Islam pada dekad 1970 dan 1980.
Adakah Imam Mahdi Telah Muncul Israa dan Mikraj dan Percobaan Manusia Ke Langit Alim tetapi Jahil Impian Yahudi Menjelang Ajalnya Wasiat Zulkiflee Muhammad Keruntuhan Arab dan Kebangkitan Islam Pelawat dari Angkasa Al-Quran dan Manusia di Bumi Islam Agama Manusia Sejagat Berkenalan dengan al-Quran Serba Salah Melayu di Malaysia Agama itu Ideologi Ideologi itu Agama Demokrasi dan Diktator (Sepanjang Sejarah Malaysia)
Kerajaan Pas Kelantan: Pada tahun 1962, sumbangan terhadap kerajaan PAS Kelantan juga telah dilakukan apabila Amaluddin Darus mewakili pejabat Agung PAS dalam menganggotai Jawantankuasa Perancangan Dasar yang mana berbagai perkara yang dibincangkan seperti membaiki pentadbiran pejabat agama dan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu. Dalam mesyuarat itu juga, beliau telah mencadangkan penubuhan Kolej Islam di Kelantan yang bertujuan sebagai pelopor untuk melahirkan para intelek muslimin yang kaya dengan ilmu dan cita-cita Islam dan para intelek mampu untuk berbakti di segala bidang dan lapangan yang diperlukan oleh kehidupan masyarakat. Cadangan ini di masukkan dalam ucapan titah belanjawan tahun 1963 yang telah disampaikan pada pembukaan sidang Dewan Negeri tahun 1963 dan menjadi salah satu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan sehingga tertubuhnya Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri sehingga ke hari ini.
Beliau juga pernah menghadiri forum yang dianjurkan oleh Univesiti Kebangsaan Malaysia sebagai ahli panel pada tahun 1977. Antaranya forum yang bertempat di Universiti tersebut adalah:
Karya dan Pemikiran: Amaluddin Darus juga adalah seorang tokoh yang sangat aktif dalam bidang penulisan. Ia dapat dijadikan sebagai sumber panduan kepada golongan pemikir ataupun umum bagi membentuk pemikiran kritis dan terbuka mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Beliau telah menghasilkan buku-buku, penulisan dalam artikel-artikel di dalam majalah dan surat khabar berkaitan dengan politik,sosial dan agama. Antara kertas kerja tersebut ialah:
Manusia di Langit dan Manusia di Bumi Pintu Langit Mula Dibuka Yakjuj dan Makjuj Bertarung di Malaysia Lintasan Politik Malaysia Satu Cabaran Kenapa saya tinggalkan PAS Mahu ke Mana Kita Kembali ke Masjid Di Balik Tabir Menjelang Isa Turun ke Bumi
Politik Malaysia tahun 2000 iaitu pada 4 Februari 1977 Ke mana Politik Malaysia iaitu pada 1 Januari 1977 KESIMPULAN Berdasarkan keterangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa Amaluddin Darus sememangnya mempunyai peranan dan sumbangan yang besar terhadap penubuhan dan pergerakan PAS hingga ke hari ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan peranan dan sumbangan yang beliau miliki serta ketokohannya yang tersendiri dalam politik dan ini merupakan antara faktor beliau amat dikagumi dan disegani oleh kawan mahupun musuh politik beliau. Selain dari itu bakat kepimpinan yang ada pada beliau telah terserlah sejak beliau masih muda lagi iaitu usianya baru di awal 20 an. Komitmen serta kesungguhan beliau terhadap sesuatu pekerjaan membuatkan beliau telah diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam organisasi termasuklah di dalam parti PAS. Sumbangan beliau berkaitan dengan politik, ekonomi dan pendidikan di Kelantan telah mewujudkan sistem yang baik pada hari ini. Banyak lagi sumbangan beliau yang tidak dikemukakan khususnya semasa beliau menjadi Ahli Dewan Negara selama 15 tahun. Pemikiran beliau yang menjangkaui zaman dan penuh realistik ini sangat diperlukan oleh PAS khususnya dalam membina dan melancarkan organisasi PAS disamping menjadi tokoh yang sentiasa dikenang oleh generasi PAS masa kini. Oleh itu, sebagai generasi baru yang akan menyambung perjuangan para perjuang PAS terdahulu, semestinya generasi baru PAS mengambil berat dan juga mengambil tahu terhadap perjuangan
500
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
dan jasa-jasa yang telah ditaburkan, bukan sahaja sebagai pewaris kepada ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh para pejuang, malahan sepatutnya kita hendaklah meneruskan perjuangan mereka agar perjuangan parti yang berasaskan agama Islam diterima oleh masyarakat moden sekarang. RUJUKAN Abdul Razak Mahmood. 1989. “Berkenalan Dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Kelantan”, Pengasuh, Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bil 498. Alias Haji Mohd Noor. 2000. Tokoh-Tokoh Ulamak Kelantan Darul Naim, Kota Bharu: Pustaka Aman Press. Amaluddin Darus. 1977. Kenapa Saya Tinggalkan PAS. Harimau Press Sdn Bhd: Kuala Lumpur Latihan Ilmiah: Paridah Ali. 1974/75. Sejarah Awal Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di Kelantan 1953-1959. Jabatan Sejarah. UKM. Ishak Saat. 2007. Sejarah Politik Melayu pelbagai Aliran. Karisma Publications Sdn. Bhd: Selangor.
Mohammad Agus Yusoff. 1994. Politik Kelantan selepas Pilihanraya 1990. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Muhamad Husain. 1996. Perubahan dan cabaran Kerajaan Angkatan Di Kelantan. Kota Bharu: Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Riduan Mohd. Nor. 2004. Pengaruh Pemikiran Ikhwanul Muslimin terhadap Parti Islam SeMalaysia (PAS). Kuala Lumpur: Riduan Mohd Nor. Riduan Mohamad Nor. 2011. Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan. Kuala Lumpur: Jundi Resources. Yusri Yusoff. 1995. Kelantan penentu agenda politik Malaysia. Kuala Lumpur: Daisini Communications. Temubual Temuramah dengan Muttaqin Amaluddin anak Amaluddin Darus di rumahnya di Port Dickson, pada 10hb. November 2011
501