LAPORAN BERGAMBAR AKTIVITI GOTONG-ROYONG “MENCEGAH NYAMUK AEDES DAN DEMAM DENGGI” ANJURAN KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT) JALAN H DAN K, PRESINT 11 DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERWAKILAN KESEJAHTERAAN BANDAR (MPKB) SUB ZON B DAN PEJABAT KESIHATAN PUTRAJAYA 7 APRIL 2012 (SABTU) SEKITAR JALAN P11 K/1 HINGGA JALAN P11 K/13, PRESINT 11, PUTRAJAYA
1.
2.
Pengenalan 1.1.
Berdasarkan sebaran am melalui media massa dan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Putrajaya didapati kes demam denggi semakin meningkat dari semasa ke semasa dan Presint 11 mencatat peningkatan kes yang ketara. Berdasarkan maklumat tersebut timbul kesedaran di kalangan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan H dan K, Presint 11 untuk menganjurkan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua penduduk.
1.2.
Ketetapan telah diambil untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong ini dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB) Sub Zon B dan Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 7 April 2012 bersamaan hari Sabtu mulai jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi di sekitar Jalan P11 K/1 hingga Jalan P11 K/13.
Pelaksanaan 2.1
Gerak kerja yang dilaksanakan dalam aktiviti gotong-royong ini ialah: a) Penduduk lelaki (dewasa dan remaja) berkumpul di Rumah Komuniti. Dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan bergerak ke semua Jalan K. Meronda di bahagian depan dan belakang rumah untuk mengutip sebarang benda atau objek yang tidak diperlukan lagi oleh tuan rumah tetapi dipercayai boleh menakung air tempat nyamuk membiak akan dikumpulkan di suatu tempat untuk dibuang. Di samping itu, memantau di kawasan sekitar jika terdapat tempat atau bekas yang boleh menakung air dan dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk, hendaklah dilaporkan kepada urusetia. b) Kaum ibu dan remaja perempuan pula diminta membuat pemeriksaan di dalam rumah masing-masing bagi memastikan tidak terdapat sebarang bekas yang boleh menyebabkan nyamuk membiak.
Barangan yang tidak diperlukan lagi perlu diletakkan di tempat pembuangan sampah dan akan dikutip oleh peserta gotong-royong untuk dikumpulkan setempat.
3.
Tindakan Susulan 3.1
4.
KRT akan mengambil langkah susulan dengan membuat laporan secara rasmi kepada pihak yang berkaitan supaya mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan nyamuk aedes terus membiak di kawasan Jalan H dan K, Presint 11.
Penghargaan 4.1
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan H dan K, Presint 11 ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut sama menjayakan aktiviti gotong-royong ini. Ia ditujukan kepada: a) Pejabat Kesihatan Putrajaya; b) Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB) Sub Zon B; c) Semua penduduk yang terlibat.
“MENCEGAH DENGGI, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”
Laporan disediakan oleh; Azmi bin Alang Ahmad Pengerusi KRT Jalan H dan K Presint 11 Merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB) Subzon B Putrajaya
En. Imran dari Pejabat Kesihatan Putrajaya telah menyampaikan taklimat ringkas tentang bahaya penyakit demam denggi, evolusi nyamuk aedes dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit ini dari terus merebak.
Walaupun hari cuti sudi juga En. Imran bin Azra’ai, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah datang memberikan taklimat kepada penduduk. Banyak juga maklumat berguna yang boleh dikongsi bersama…
Sebahagian daripada penduduk yang khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan. Ada juga yang membawa anak untuk turut serta termasuk juga beberapa remaja yang merupakan ahli Jiran Muda.
Terpaksalah berdiri di seberang jalan yang agak teduh sedikit. Maklumlah Rumah Komuniti kecil dan tidak menampung jumlah kehadiran yang ramai…
Sebahagian lagi penduduk yang turut serta yang dikenali datang dari Jalan K/7 dan K/10.
Amboi! Sahabat kita ni, kedua-duanya mendengar dengan penuh minat sambil berpeluk tubuh…
Penduduk yang sama tetapi diambil dari sudut yang berbeza. Syukurlah kehadiran mereka telah dapat menjayakan aktiviti gotongroyong ini. Semangat kesukarelawanan mereka patut dicontohi kerana boleh menyelamatkan nyawa.
Walaupun masing-masing ada hal yang perlu dilaksanakan pada hari Sabtu ni namun sanggup datang dulu bergotong-royong dulu, terima kasih semua…
Sebahagian dari bunting yang dipasang oleh petugas Pejabat Kesihatan untuk memberikan maklumat dan pengetahuan tentang demam denggi. Di belakang bunting ada meja Pejabat Kesihatan yang menyediakan risalah denggi dan borang peraduan yang menyediakan hadiah kepada kanak-kanak yang turut hadir.
Amboi! sahabat kita En. Husini siap berjaket SRS lagi, memang semangat habis…
Berdasarkan pemantauan yang dibuat semasa gotongroyong ini, terdapat peserta Kebun Komuniti yang mengumpulkan botol kosong untuk menakung air hujan.
Botol tersebut tidak ditutup rapi maka boleh menjadi tempat nyamuk membiak. Oleh kerana pengusaha kebun tidak turut serta bergotong-royong maka petugas membuang semua air yang bertakung.
En. Zalazfian beserta dua petugas Pejabat Kesihatan sibuk membuang air yang bertakung…
Botol tersebut dikumpulkan di suatu tempat untuk dibuang. Selepas ini, satu perjumpaan dengan pengusaha kebun ini akan dibuat supaya mereka mengikut cara pengairan yang betul bagi mengelakkan tempat pembiakan nyamuk.
Selain botol kecil, tong dan botol besar digunakan untuk menakung air hujan. Petugas mengutipnya dari kebun dan dikumpukan setempat.
Selain itu, terdapat juga plastik yang digunakan untuk membalut buah-buahan tetapi plastik itu tidak ditebuk yang boleh menyebabkan air bertakung.
Kelihatan plastik yang digunakan jenis tebal dan tidak mudah pecah. Jika tidak ditebuk maka air boleh bertakung dalam jangka masa yang lama maka mudahlah nyamuk membiak.
Tanpa disedari pekebun mahukan supaya buahbuahannya subur dan tidak mudah rosak sebaliknya perbuatannya boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak dan mengancam nyawa penduduk.
Sebahagian daripada botol dan palstik yang telah dikumpul untuk dibuang…
Di kebun sebelah lebih banyak bekas air yang dijumpai. Semasa membuat pemeriksaan di sini memang banyak nyamuk yang berterbangan dan menggigit petugas gotong-royong.
Botol dan bekas air ini dipercayai dikutip dari rumah penduduk. Walaupun terdapat botol yang ditutup namun jelas kelihatan masih banyak botol yang dibiarkan terbuka bertujuan untuk menakung air hujan.
Oleh kerana pengusaha kebun tiada maka terpaksalah petugas gotong-royong memecah dan mengumpulkan botol tersebut untuk dibuang. Patutlah penduduk merungut banyak nyamuk di surau An Nur (bersetentang dengan kebun) rupa-rupaya banyak takungan air berdekatan.
Lihatlah betapa banyaknya botol dan bekas plastik yang dikumpulkan. Tong sampah besar milik Alam Flora pun tak muat.
Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Asri Him (berdiri), Imam Masjid Tuanku Mizan kerana telah memaklumkan kepada urusetia dan Pegawai Kesihatan (En. Rozaimi) terdapat banyak air bertakung dalam lubang ini…
Hasil pemantauan juga didapati kesemua kotak atau lubang inspection chamber milik SYABAS dari Jalan K/1 hingga K/13 digenangi air jernih yang dalamnya separas lutut dipercayai boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Jika kotak pemeriksaan ini tidak disenggara dengan betul dengan membuang air yang bertakung secara kerap tentu menjadi tempat yang paling strategik nyamuk membiak. Apatah lagi nyamuk aedes yang sukakan air jernih.
Pegawai Kesihatan berkata jumlah air itu cukup banyak sehingga ikan juga boleh diternak di situ. Oleh itu, pihak SYABAS perlu dimaklumkan tentang masalah tersebut. Penduduk juga perlu memerhatikan sekitar kawasan rumah mereka mungkin ada tempat lain air boleh bertakung dan membiakkan nyamuk.
Selain untuk mencantikkan kawasan persekitaran rumah, pasu bunga juga boleh menjadi sarang nyamuk jika sekiranya tanah dalam pasu itu menjadi keras dan menyebabkan air bertakung. Oleh itu, penduduk mesti selalu memeriksa pasu bunga di sekeliling mereka dan pastikan air tidak bertakung. Tanah dalam pasu hendaklah selalu digembur.
Dalam longkang ini didapati air bertakung kerana paras simennya (gradient) tidak sekata menyebabkan lubang terbentuk. Semasa pemerhatian didapati ada beberapa ekor jentik-jentik hidup.
“MENCEGAH DENGGI, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”