LAPORAN AKTIVITI PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR (KEBUDAYAAN) KE SABAH ANJURAN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN KELUARGA (PERBADANAN ASET KERETAPI) PUSPANITA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
TUJUAN Kertas ini bertujuan untuk membentangkan Program Lawatan Sambil Belajar (Kebudayaan) ke Sabah yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Keluarga PUSPANITA Cawangan Kementerian Pengangkutan serta perbelanjaan yang telah dibuat bagi menjayakan program berkenaan Program Lawatan Sambil Belajar (Kebudayaan) Ke Sabah telah dihoskan oleh Perbadanan Aset Keretapi dengan matlamat untuk Penganjuran program lawatan ini adalah bagi mencapai objektif yang telah digariskan iaitu:i)
Mendedahkan ahli-ahli PUSPANITA Cawangan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan lebih dekat mengenai suasana kehidupan masyarakat di negeri Sabah khususnya daripada segi sosial, ekonomi dan kebudayaan,
ii)
Menjalin dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli PUSPANITA Cawangan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan masyarakat khususnya kaum wanita di Sabah,
iii)
Menyertai dan mempelajari aspek kebudyaan dan kesenian negeri Sabah khususnya semasa perayaan Pesta Keamatan; dan
iv)
Menimba pengalaman, memahami dan menghayati konsep perpaduan kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia.
PENYERTAAN Program ini dibuka penyertaannya kepada semua ahli PUSPANITA Cawangan Kementerian Pengangkutan. Sambutan yang diterima terhadap penganjuran program ini adalah memuaskan dengan penyertaan seramai 30 ahli sejajar dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Antara jabatan/agensi yang menyertai program ini ialah Perbadanan Aset Keretapi, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia. Bayaran sebanyak RM550 telah dikenakan terhadap setiap peserta yang mengikuti lawatan ini.
PERUNTUKAN KEWANGAN Bagi menjayakan program ini, peruntukan kewangan sebanyak RM2,900 telah diterima daripada pihak PUSPANITA Kementerian Pengangkutan. Peruntukan yang telah diberikan itu digunakan untuk menampung kos pengangkutan para peserta sepanjang tempoh lawatan dan kos pentadbiran. Ringkasan mengenai agihan peruntukan yang diterima adalah seperti jadual di bawah.
BIL.
PERKARA
HARGA (RM)
JUMLAH (RM)
1.
Kos Pengangkutan
600.00 x 4 hari
2,400.00
2.
Pelbagai
500.00
500.00
Jumlah Keseluruhan
2,900.00
AKTIVITI-AKTIVITI Program lawatan ini telah diadakan pada 28 hingga 31 Mei 2010 (Jumaat-Isnin). Para peserta diminta berkumpul di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) pada pukul 8.30 pagi dengan penerbangan masing-masing dijadualkan pada pukul 10.30 pagi dan 11.10 pagi menggunakan Air Asia. Peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 12.30 tengahari dan 1.10 petang dan kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Jabatan Laut Sabah untuk sesi taklimat dan jamuan makan tengahari. Kemudian para peserta bertolak ke daerah Beaufort untuk acara seterusnya. Setibanya di Beaufort kira-kira pukul 8.00 malam, para peserta disambut oleh ahli jawatankuasa penganjur Majlis Muhibah Ria Mayang Parlimen Beaufort di Rumah Rehat Kerajaan Beaufort. Pada malam itu, para peserta telah diraikan dalam Majlis Muhibah Ria Mayang Parlimen Beaufort di Dewan Janang Gayuh, Kampung Kukut, Beaufort. Pelbagai jenis persembahan kebudayaan masyarakat tempatan telah disajikan oleh penduduk setempat antaranyan tarian Bisaya, persembahan Kulintang, Gambus dan persembahan kebudayaan 1 Malaysia yang dibawakan khas oleh pelajar-pelajar Kumpulan Seni dari Sekolah Menengah Kebangsaan
Beaufort 2. Selain menyaksikan persembahan kebudayaan yang berwarna-warni, para peserta turut dipelawa untuk turut serta dalam persembahan kebudayaan itu merasai keenakan makanan tradisi masyarakat di daerah itu.
Pada keesokkan harinya (29 Mei 2010) para peserta di bawa melawat Tapak Tamu Mingguan Beaufort untuk melihat pelbagai barangan dan hasil pertanian yang dijual masyarakat setempat. Antara hasil pertanian yang menarik yang boleh dilihat adalah ambuyat, lokan, umbut rotan, pelbagai jenis siput dan kerang serta belacan Beaufort yang sangat terkenal. Selepas itu, para peserta di bawa melawat ke Daerah Kuala Penyu dan Menumbok merangkumi lawatan ke Kampung Ulu Sekalong untuk melihat usaha penternakan ikan dalam sangkar yang diiktiraf paling berjaya di dalam Parlimen Beaufort, lawatan ke Kampung Laut Membakut untuk meninjau usaha menyediakan makanan kering dan ikan liking oleh Biro Pembangunan Wanita Daerah Mengundi Menumbok dan menyertai sambutan Hari Keluarga. Para peserta juga dihidangkan dengan makanan tradisional masyarakat di daerah ini serta pelbagai jenis tarian antara yang terkenal adalah tarian manok-manok. Kesemua program ini telah diurus seliakan oleh PUAN HAJAH JOHAIR BT MATLANI selaku Pengerusi MAYANG Parlimen Beaufort merangkap Pengerusi Biro Latihan dan Pembangunan Sosial UMNO Bahagian Beaufort.
Pada sebelah petangnya, para peserta bertolak ke Kundasang untuk meneruskan sesi lawatan ke daerah itu yang sememangnya terkenal dengan aktiviti pertanian tanah tinggi. Setibanya di sana, para peserta menginap di Biro Tata Negara Kundasang. Lokasinya yang berada di kawasan tanah tinggi memberikan suasana yang nyaman dan selesa kepada para peserta. Pemandangan
gunung-ganang yang menarik dengan
hamparan ladang-ladang sayur yang menghijau selain deretan gerai-gerai menjual pelbagai jenis hasil pertanian termasuk bunga-bungaan sememangnya menarik perhatian para peserta. Aturcara diteruskan dengan lawatan ke kaki Gunung Kinabalu. Walaupun tanpa kasut dan pakaian yang sesuai ada sebahagian peserta telah berjaya sampai ke kaki Gunung Kinabalu dengan hanya berjalan kaki yang sejauh kira-kira lima kilometer termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga Puan Rohani Harun. Kesempatan untuk bergambar dengan berlatar belakangkan gunung tertinggi di Asia itu tidak dilepaskan para peserta. Peserta kemudiannya dibawa menjamu selera di Mount Kinabalu Heritage Resort & Spa tajaan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah. Selepas itu, para peserta bertolak ke Kota Kinabalu dan menginap di Asrama Rumah Pembangunan Masyarakat Sabah. Pada sebelah malamnya para peserta dijamu dengan makanan yang enak-enak di Hotel Hyatt,
Kota Kinabalu hasil tajaan MAHB. Dalam majlis itu, para peserta turut beramah mesra dengan wakil-wakil dari MAHB yang hadir meraikan rombongan kami.
Hari terakhir, para peserta berpeluang menghadiri perayaan Pesta Keamantan di KDCA, tempat berlangsungnya acara yang menjadi perayaan utama penduduk di Sabah. Di sana para peserta berpeluang untuk melihat rumah tradisional pelbagai suku kaum di Sabah dan juga barangan kraftangan mereka. Setiap kali melawat ke satu-satu rumah tradisional itu, para peserta berpeluang melihat pelbagai keunikan kebudayaan mereka daripada pelbagai aspek seperti peralatan muzik, pakaian, barangan perhiasan, senjata dan cirri-ciri istimewa rumah tersebut. Peserta juga berpeluang membeli cenderamata dan makanan tradisional yang turut dijual di sana. Sebelum meninggalkan KDCA, para peserta turut berkesempatan melihat peserta-peserta pertandingan Ratu Cantik yang menjadi acara kemuncak sambutan perayaan itu. Selepas itu, lawatan diteruskan dengan sesi taklimat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah dan jamuan makan tengahari yang diadakan di ibu pejabat JPJ. Sebelum bertolak pulang, para peserta dibawa membeli belah ke Pasar Filipina yang terkenal dengan pelbagai hiasan diri berasaskan mutiara, hasil laut dan barangan kraftangan masyarakat tempatan.
Atas
kerjasama
dan
sokongan
semua
pihak,
PAK
selaku
Jawatankuasa
Pembangunan Keluarga berjaya menganjurkan program ini. Program ini banyak memberi pendedahan dan membuka mata para peserta mengenai kebudayaan pelbagai suku kaum di Sabah khususnya semasa berada di Beaufort. Selain itu, peluang untuk melihat aktiviti ekonomi penduduk di ketiga-tiga daerah itu juga telah menambah pengetahuan dan membuka mata para peserta untuk melihat bagaimana penduduk khususnya kaum wanita menjana ekonomi keluarga. Di harapkan dengan adanya aktiviti seumpama ini di masamasa akan datang, ahli-ahli PUSPANITA akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka mengenai ‘kekayaan’ yang dimiliki masyarakat Malaysia. Disediakan oleh: AJK PUSPANITA PERBADANAN ASET KERETAPI
JUMLAH PERBELANJAAN PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR (KEBUDAYAAN) KE SABAH ANJURAN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN KELUARGA (PERBADANAN ASET KERETAPI)
BIL.
PERKARA
HARGA (RM)
JUMLAH (RM)
1.
Kos Pengangkutan
500.00 x 4 hari
2,000.00
2.
Pelbagai 900.00 (bayaran telefon, pembelian ubatubatan, kenderaan (sebelum program), pembelian kertas, cetakan buku program, fotostat, barangan untuk cenderamata, hiasan dan lain-lain kos pentadbiran)
900.00
Jumlah Keseluruhan
2,900.00