LAPORAN KELAB LAWATAN SAMBIL BELAJAR
a) Nama Program
:
Program Lawatan Sambil Belajar ke Petrosains
b) Tarikh Program
:
2 March 2013 (Sabtu)
c) Tempat Program
:
Suria Klcc Jalan Ampang, Parkson Suria KLCC, 50088 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
d) Penganjur
:
Kelab Lawatan Sambil Belajar
e) Peserta
:
Ahli Kelab Lawatan Sambil Belajar (30 orang)
Pengenalan
Lawatan ke Petrosains ini merupakan aktiviti yang telah dirancang untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum bagi Kelab Lawatan Sambil Belajar, Palam The Boots pada semester 2 kali ini. Peserta yang menyertai aktiviti ini ialah ahli-ahli kelab sendiri. Aktiviti kokurikulum ini telah dijalankan selama sehari iaitu hari Sabtu. Bagi memastikan program ini berjalan lancar, kelab ini telah membentuk satu ahli jawatan kuasa kerja yang diketuai oleh saudara Mohd. Hazim Sadiq bin Abdul Samad. Organisasi ini telah dipantau oleh Puan Nor Fazlina bt. Baharuddin selaku penasihat dan pembimbing dalam pengurusan serta pembentukan program ini.
Objektif
Aktiviti ini bertujuan untuk
- Menimba ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam mengenai teknologi untuk dijadikan sebagai pendorong untuk berjaya - Mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli - Mendapatkan keseronokan, ketenangan minda dan kepuasan kendiri - Menikmati kehidupan yang tenang di luar rutin harian sebagai pelajar UiTM
Ringkasan Perjalanan Program
Para peserta seramai 30 orang dan seorang pengiring bertolak pada jam 10.30 pagi dan tiba di lokasi sekitar jam 12.00 tengah hari. Sepatutnya, bas yang akan membawa kami tiba pada jam 9.00 pagi tetapi telah lewat menyebabkan perancangan yang kami telah aturkan sedikit terganggu. Sedikit peringatan juga telah diberikan oleh Puan Nor Fazlina sebelum perjalanan agar kami sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di destinasi lawatan. Setelah tiba di lokasi yang dituju, kami diberikan sedikit taklimat ringkas sebelum masuk ke Petrosains agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Di dalam Petrosains, kami dapat mengetahui cara-cara minyak diperoleh dan teknologi yang sedia ada pada masa kini. Kami terpaksa memendekkan masa ketika di dalam kerana kesuntukan masa. Kami keluar dari Petrosains kira-kira jam 3.00 petang untuk menunaikan solat Zohor dan membeli makanan tengah hari masing-masing. Sekitar jam 4.00 petang, kami dikehendaki untuk kembali semula di pintu hadapan Petrosains untuk program yang kedua iaitu Sultan of Science. Di dalam aktiviti ini, kami didedahkan dengan teknologi yang telah dilakukan oleh orang Islam pada zaman dahulu seperti Al-Jazari yang mencipta jam. Ramai yang tahu kurun ke-16 adalah zaman emas orang Islam, tapi selain pernyataan itu, apa lagi yang kita tahu? Saintis Islam pernah hebat, tapi sehebat mana? Benar-benar hebatkah? Percaya dan tahu adalah dua perkara berbeza. Maksudnya bila orang beritahu kita Islam pernah gemilang. Kita percaya. Kepercayaan pada pernyataan itu kita sangka adalah pengetahuan, walhal kita tak tahu apa-apa tentangnya. Banyak yang kami peroleh walaupun sedikit sahaja dalam masa yang singkat. Sekitar jam 5.00 petang, kami keluar untuk bertolak pulang tetapi malangnya, bas yang dijanjikan tiba lewat sekali lagi pada jam 6.15 petang. Namun, episod malang bermula sekali lagi kerana dalam perjalanan pulang, bas yang kami naiki menghadapi kerosakan. Kami selamat tiba di UiTM sekitar jam 10.15 malam.
Aktiviti kali ini sungguh menyeronokkan dan mencabar serta kami berharap agar pihak pengurusan bas Trans Rengit dapat memperbaiki perkhidmatan yang dijanjikan terutama dari segi masa dan pihak pengurusan UiTM dapat menyediakan syarikat bas yang lebih berkualiti kepada para pelajar.
Disediakan Oleh, Setiausaha Kelab Lawatan Sambil Belajar 2012/13 UiTM Kampus Puncak Alam
Gambar-gambar
Para pelajar sedang menunggu ketibaan bas.
Tidak ketinggalan juga para pelajar sedang menunggu di tempat menunggu bas
Sedikit taklimat diberikan setelah tiba di destinasi
Para pelajar beratur sebelum masuk ke Petrosains
Para pelajar beratur untuk menuggu giliran menaiki kenderaan sekilas masa
Para pelajar khusyuk melihat aplikasi yang terdapat dalam Petrosains
Replika kereta lumba bagi menarik perhatian orang ramai
Replika kapal yang digunakan oleh Laksamana Cheng Ho
Replika jam yang dicipta oleh Al-Jazari
Globe yang direka untuk mengkaji bintang