PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI KELANTAN DAN BRUNEI1
Oleh: Dr Muhammad Fathi Yusof & Dr Nazri Mansur
PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM
Undang-undang jenayah Islam adalah sebahagian dari syariat Islam yang syumul. Syariat Islam ialah asas kepada undang-undang yang dikehendaki oleh Allah S.W.T sebagaimana yang termaktub dalam AlQuran atau As-Sunnah. Syariat Islam merupakan hukum Allah S.W.T yang mengandungi persoalan aqidah (kepercayaan), syariat (perundangan), akhlak dan lain-lain perkara berkaitan urusan kehidupan yang diturunkan kepada manusia. Al-Quran menjelaskan:
Maksudnya: Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. (Al-Jaatiyah 18)
Undang-undang jenayah Islam diamalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW. Ia juga pernah diamalkan di Tanah Melayu tetapi dipinggirkan selepas kedatangan penjajah. Kini usaha untuk kembali mendaulatkan undang-undang Islam ini giat dijalankan oleh pendokong perjuangan Islam.
1
Diterbitkan dalam Muhammad Fathi Yusof & Ahmad Nazri Mansur. 2014. “Perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam di Kelantan dan Brunei.” In: (Editor, Azhar Yahya) Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah: Teori & Realiti, KUIZM Publication. Pp. 133-150
1
Di Alam Melayu zaman ini undang-undang Islam jenayah telah dilaksnakan di Brunei dan Acheh. Di Malaysia, terdapat enakmen-enakmen undang-undang jenayah Islam di Terengganu dan Kelantan. Walau bagaimana pun, oleh kerana beberapa halangan, ia belum dapat dikuatkuasakan. Kertas ini bertujuan untuk menjelaskan perkembangan semasa perlaksanaan undang-undang Islam di Brunei dan Kelantan.
PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI BRUNEI
Menurut Mohamad Hashim Kamali dalam tulisannya menyatakan; “Secara amnya perlaksanaan hudud dilihat sebagai suatu komponen penting dalam pergerakan kebangkitan Islam dan tentunya tidak terhad di Kelantan atau Malaysia sahaja”.
Langkah yang diambil oleh Kerajaan Brunei untuk melaksanakan hukum hudud adalah menjadi sebahagian daripada kebangkitan dan kesedaran tentang kewajipan dan tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakannya.
Kerajaan Brunei sendiri yang pernah diwakili oleh pihak Darul Ifta’ (pejabat Mufti Brunei) telah datang ke Kelantan pada 2006 untuk meneliti dan mengkaji tentang beberapa perkara berkaitan dengan enakmen undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993. Ia bertujuan melakukan persiapan bagi mendraf undang-undang jenayah Islam untuk dilaksanakan di Brunei. Perkara ini turut diperakui sendiri oleh pihak Mufti Brunei semasa kunjungan hormat YAB Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yakob pada akhir tahun 2013 yang lalu.
Ini menggambarkan sumbangan Kelantan dan perkaitannya dalam konteks perlaksanaan hudud yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Brunei berkuat kuasa 1 April 2014.
Kerajaan Brunei terlebih dahulu berjaya melaksanakannya berbanding dengan Kerajaan Kelantan yang masih memerlukan beberapa perkara melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut. Ini kerana sikap Sultan Brunei Hassanal Bolkiah yang mengambil tanggungjawab sebagai pemerintah untuk melaksanakan kewajipan melaksanakan hudud. Sultan Hassanal Bolkiah bertitah
2
menerusi pengenalan hudud ke dalam sistem perundangan, "akan memenuhi tanggungjawab kita kepada Allah".
Selain daripada enakmen undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993, Kerajaan Brunei turut menjadikan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pas di Terengganu sebagai rujukan. Ini dinyatakan sendiri oleh pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) dan Jabatan Mufti Brunei semasa lawatan Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Yahaya Ali ke Brunei baru-baru ini.
Mulai April tahun 2014, Kerajaan Brunei akan secara beransur-ansur menginstitusikan hukuman seperti sebatan, memotong anggota badan dan merejam, susulan daripada kebenaran untuk Kod Penal Syariah yang baru.
Perancangan pelaksanaan undang-undang Islam yang diputuskan kerajaan berkenaan dilakukan secara berperingkat iaitu selepas enam bulan pertama diikuti dengan 12 bulan dan seterusnya selepas 24 bulan.
Kerajaan Brunei menggunakan media radio dan televisyen di Brunei untuk memberikan kefahaman melalui siaran khas mengenai undang-undang Islam sebelum ia dilaksanakan mulai April 2014, antaranya termasuk melibatkan pegawai Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) untuk menerangkan perkara itu kepada rakyat.
Namun disebalik usaha murni yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Brunei tersebut, terdapat beberapa suara kritikan meresap ke dalam media sosial mengkritik usaha ke arah melaksanakan hudud, dan ini menyebabkan Sultan Hassanal memberi amaran keras. Antara titah baginda ; "Mereka tidak boleh dibenarkan melakukan penghinaan ini tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke mahkamah, mereka akan menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah pada April,”
PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI MALAYSIA
3
Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia sejak sekian lama. Apabila PAS mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, satu pasukan khas telah diwujudkan untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik dan mengamal undang-undang. Hasilnya pada tahun 1993, satu Rang Undang-undang Jenayah Syariah II telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kelulusan undang-undang ini merupakan satu kejayaan besar kepada perjuangan Islam di dalam negara.
Walau bagaimana pun, hasrat ini mendapat tentangan keras dari pemimpin negara pada waktu itu. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menulis satu surat bertarikh 15 Julai 1994 yang menyatakan secara jelas larangan pelaksanaannya serta memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil jika ia diteruskan. Dengan mengambilkira amaran itu dan pengalaman kerajaan Kelantan di bawah PAS pernah berdepan dengan pengisytiharan darurat dan dirampas kuasa melalui tindakan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) pada tahun 1977, maka hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan.
Usaha yang serupa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah pemerintahan PAS (1999-2004) apabila Enakmen Jenayah Syariah 2002 telah diluluskan. Undang-undang ini telah diperkenan oleh DYMM Sultan Terengganu pada 2 Sempember 2002, disiarkan dalam warta pada 23 September 2002 dan diisytiharkan berkuatkuasa pada 27 Oktober 2003. Namun, ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kerjasama dari kerajaan Persekutuan Malaysia.
Walau pun undang-undang jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu belum dapat dilaksanakan, ia merupakan satu kejayaan dalam dakwah kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Pertamanya, ia membuktikan bahawa undang-undang jenayah Islam boleh dikanunkan dengan sempurna dan baik melalui mekanisme perundangan moden. Kedua, ia meneroka medan ijtihad yang berani khususnya berkaitan dengan perlaksanaannya dalam sebuah negara berbilang kaum. Ketiga, ia menunjukkan bahawa pejuang Islam benar-benar jujur ingin melaksanakan hukum Allah, bukan sekadar menjadikannya sebagai retorik datau propaganda politik. Keempat, ia menjinakkan hati masyarakat agar semakin dekat dengan syariat Islam dan yakin dengan kemampuan Islam menyelesaikan kemelut jenayah yang membarah.
4
Hasilnya, selepas hampir 20 tahun, kini parti nasionalis sekular seperti UMNO sudah mempunyai sikap terbuka untuk menerima hudud. Soal keikhlasan mungkin boleh dipertikaikan. Apa yang penting suara desakan dari dalam parti itu menunjukkan kejayaan dakwah ke arah pelaksanaan Islam. Demikian juga dengan lonjakan ketara sokongan bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.
Persoalan yang timbul kini ialah dari sudut pelaksanaannya. Apakah sebenarnya penyelesaian kepada penguatkuasaan yang tertangguh ini. Di manakah ia sepatutnya bermula.
MELAKSANAKAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH
Pada dasarnya terdapat dua bentuk halangan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 Terengganu. Halangan pertama ialah halangan politik iaitu sikap kerajaan Persekutuan yang tidak menyokong, tidak memberikan kerjasama serta melarang pelaksanaannya. Halangan kedua ialah halangan perundangan. Berikut dijelaskan terlebih dahulu halangan perundangan.
Halangan Perundangan
Halangan perundangan yang jelas ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan skop kuasa Mahkamah Syariah. Seksyen 2 Akta itu memperuntukkan bahawa:
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undangundang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:
5
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.
Akta ini menetapkan had dari sudut jenis atau skop kesalahan iaitu ‘kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut’. Buat masa ini skop kesalahan ini ditafsirkan secara luas sesuai dengan keluasan Syariah Islam itu sendiri. Dalam enakmenenakmen jenayah syariah yang sedia ada sudah mengandungi kesalahan-kesalahan seperti berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabiie, musahaqah dan seumpamanya. Bahkan bentuk kesalahan yang ada dalam jenis hukum hudud seperti zina dan qazaf pun sudah ada dalam undang-undang hari ini. Lihat contohnya seksyen 22 hingga 38 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Sesetengah kesalahan yang disebut dalam enakmen ini sebenarnya juga diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan. Contohnya seseorang yang didakwa melakukan kesalahan liwat, dia tertakluk kepada dua undang-undang iaitu enakmen jenayah syariah dan juga Kanun Keseksaan. Berdasarkan hakikat ini dapat disimpulkan bahawa kewujudan kesalahan-kesalahan seperti mencuri, bunuh dan lain-lain seperti yang disebutkan dalam Enakmen Jenayah Syariah 2 Kelantan adalah tidak bercanggah dengan Akta. Jika hukuman bagi kesalahan itu ada disebut dalam ajaran Islam, maka ia juga sepatutnya dianggap sebagai sebahagian dari jenayah Syariah.
Namun demikian, seksyen 2 mengehadkan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah dari sudut hukuman. Mahkamah Syariah tertakluk kepada had hukuman maksimun tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Had inilah merupakan halangan sebenar kepada enakmen jenayah syariah Kelantan dan Terengganu.
Mamandangkan enakmen jenayah Syariah menetapkan hukuman yang lebih tinggi seperti iaitu seratus rotan dan penjara yang lebih lama, maka ia dikira pertentangan dengan Akta. Demikian juga hukuman yang tidak disebut oleh akta itu seperti rejam dan potong tangan tidak boleh berkuat kuasa kerana bertentangan dengan Akta. Mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan undangundang Persekutuan akan dikira tidak sah dan batal.
6
Bagi mengatasi halangan ini Parlimen perlu membuat pindaan ke atas Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 iaitu dengan menaikkan had yang disebut itu sesuai dengan kadar yang ditetapkan oleh enakmen-enakmen terbabit.
Adakah bercanggah dengan Perlembagaan?
Isu kedua adalah berkaitan dengan percanggahan antara enakmen jenayah syariah Kelantan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 4 secara jelas menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal. Mana-mana akta atau Enakmen, termasuk enakmen jenayah syariah tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.
Aspek yang disebut bercanggah ialah Perkara 74 memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dan mentadbir dalam ruang bidang kuasa masing-masing. Jika mana-mana kerajaan membuat undang-undang diluar bicang kuasanya, undang-undang itu adalah pertentangan dengan Perlembagaan.
Oleh itu enakmen ini dianggap bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia mengadakan kesalahankesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang sebahagian besarnya bertindan dengan kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahankesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang menghadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.
Namun begitu dakwaan bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan masih boleh dipertikaikan. Ini kerana, jika ia dianggap bercanggah maka undang-undang ke atas kesalahan berjudi, muncikari, zina, sumbang mahram, persetubuhan luar tabiie, musahaqah, zina dan qazaf yang sedia ada kini dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri juga dianggap bercanggah. Namun setakat ini tiada orang yang mencabarnya, dan ia diterima umum sebagai undang-undang yang sah.
7
Contoh terbaik untuk menggambarkan pendekatan mahkamah dalam kes ini ialah kes Mamat bin Daud lwn. Kerajaan Malaysia2. Dalam kes ini plaintif-plaintif telah dituduh di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang baru dipinda bagi menambah satu kesalahan baru iaitu melakukan tindakan di atas asas agama, yang boleh menjejaskan perpecahan atau menyebabkan atau menjejaskan keharmonian di antara rakyat yang menganut agama yang sama atau berbeza. Mereka dituduh melakukan tindakan yang menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat Islam iaitu apabila bertindak sebagai bilal, khatib dan imam yang tidak bertauliah. Mereka menuntut pengisytiharan bahawa s. 298A adalah ultra vires dengan Perkara 74 kerana ia secara ‘intipati dan isi’ (pith and substance) berkaitan dengan agama Islam yang tertakluk kepada bidangkuasa negeri, dan Parlimen tidak ada kuasa untuk membuat undangundang tersebut.
Setelah meneliti secara terperinci, Mahkamah Agung telah memutuskan dengan majoriti tiga daripada lima orang hakim, bahawa tindakan yang dilarang oleh akta tersebut tiada kaitan langsung dengan ‘keselamatan awam’ yang tertakluk kepada bidangkuasa Persekutuan, sebaliknya ia menyentuh secara langsung dengan agama Islam yang terletak di bawah bidangkuasa negeri. Menurut Salleh Abas KHN :
Dengan melihat dari sudut pandangan yang sepatutnya, setakat untuk perlaksanaan ke atas orang-orang Islam, seksyen yang dipertikaikan ini adalah satu undang-undang yang bertujuan untuk memastikan agama Islam diamalkan di negara ini menepati panduan, aturan dan amalan yang dibenarkan oleh negeri-negeri…. Dalam meluluskan seksyen yang dipertikaikan ini, saya tidak fikir bahawa Parlimen boleh bergantung kepada kuasa perundangan berasaskan ketenteraman awam kerana penggunaan kuasa tersebut akan menyebabkan pertembungan secara langsung dengan kuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang dan mengawal urusan amalan agama Islam.3
2
(1988) 1 MLJ 119
3
Ibid, hlm 122
8
Seah dan Mohamad Azmi HHMA yang turut bersetuju dengan keputusan pengisytiharan pembatalan seksyen berkenaan menjelaskan;
…apa yang perlu diambilkira adalah isi atau intipati kepada sesuatu statut bukannya bentuk atau sifat luarannya… sebanyak mana pun ‘kosmetik’ digunakan untuk membuat ‘hiasan perundangan’ tidak dapat menutup penyamaran dalam perundangan. Matlamat, tujuan dan bentuk seksyen yang berkenaan mesti diterokai untuk mengenalpasti rupa sebenar dan intipati sesuatu undang-undang dan untuk mengenalpasti kategori undang-undang tersebut…4
Hujah majoriti berkisar di sekitar tujuan dan matlamat sebenar yang membawa kepada kewujudan seksyen 298A Kanun Keseksaan itu. Walaupun diakui bahawa ia mempunyai kaitan dengan ketenteraman awam, tetapi hubungannya dengan pengamalan agama Islam adalah lebih dekat dan hampir dengan tujuan undang-undang itu diperkenalkan.
Keputusan ini memberikan ‘perlindungan’ kepada kuasa perundangan terpenting kerajaan negeri iaitu hal ehwal agama Islam. Contohnya dalam kes terdahulu iaitu Tengku Nik Maimunah lwn Majlis Ugama dan Adat Melayu Negeri Terengganu [1979] 1 MLJ 157, mahkamah telah mutuskan bahawa persoalan wakaf adalah di bawah bidangkuasa negeri berdasarkan Perkara 74 dan Senarai Negeri, Jadual Kesembulan, maka undang-undang negeri yang berkaitan iaitu Enekmen Pentadbiran Undang-undang Islam Terengganu 1955 adalah berkuatkuasa. Selagi negeri-negeri tidak menyerahkan kuasa membuat undang-undang kepada kerajaan Persekutuan melalui beberapa mekanisme seperti Perkara 76 yang membenarkan kerajaan Persekutuan membuat undang-undang di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri dengan sebab-sebab tertentu, selagi itulah Negeri mempunyai kuasa perundangan mutlak ke atas urusan agama Islam. Jika di lihat kepada pendekatan yang telah digunakan dalam kes-kes ini, kita dapat andaikan bahawa enakmen jenayah syariah yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan dan Terengganu adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
4
Ibid, hlm. 123
9
Halangan politik
Walau bagaimana pun, halangan utama ialah halangan politik. Jika ada kemahuan politik kekangan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta boleh dirungkaikan dengan mudah. Jika kekangan politik ini dapat diatasi tindakan yang wajar dilakukan untuk menjamin kelancaran pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa) 1965 bagi membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes jenayah berkaitan dan menjatuhkan hukuman-hukuman seperti potong tangan, sebat dan mati. Peluasan kuasa ini bukan hanya dapat dinikmati oleh Kelantan dan Terengganu, bahkan juga untuk negeri-negeri lain.
Selain itu, bagi memberikan laluan yang lebih selesa, agar tidak dianggap wujud percanggahan antara enakmen jenayah syariah dan undang-undang Persekutuan, maka perkataan ‘kecuali mengenai perkaraperkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan’ perlu digugurkan dari Butiran 1 Senarai Negeri. Bagi memberikan ruang yang lebih selesa perkataan jenayah syariah dan skopnya perlu dimasukkan dalam Senarai Negeri.
Pilihan yang lain ialah dengan memberikan kuasa khusus kepada Kelantan dan Terengganu untuk meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan
jenayah. Pada dasarnya bidangkuasa
jenayah adalah di bawah bidangkuasa Pusat melalui Jadual Kesembilan Perlembagaan, namun Parlimen boleh meluaskan kuasa kerajaan negeri melalui Perkara 76A. Oleh itu enakmen jenayah syariah boleh berkuatkuasa jika ia diberikan laluan melalui kaedah ini.
Hak bukan Islam
Pemimpin dan rakyat bukan Islam tidak seharusnya gusar dengan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan. Persoalan hak asasi sewajarnya menjadi pertimbangan mereka. Ini kerana hasrat untuk diadili melalui undang-undang Islam adalah sebahagian dari hak asasi rakyat Kelantan untuk beramal dengan agama sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Jika mereka dihalang untuk mendapat keadilan melalui sistem perundangan Islam,
mereka sebenarnya dinafikan hak asasi untuk mengamalkan agama mereka sendiri.
10
Selain itu, hak untuk diadili dengan undang-undang jenayah syariah juga merupakan hak demokratik rakyat Kelantan. PAS secara terbuka dan jelas menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan undangundang Islam. Undi majoroti yang diberikan kepada PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 membuktikan kewujudan hasrat rakyat Kelantan untuk mengamalkan undang-undang jenayah Islam. Menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermakna menafikan hak demokratik rakyat Kelantan.
MEKANISME PERLAKSANAAN
Sesuatu undang-undang hanya menjadi adil dan berkesan jika di dilaksanakan dengan cara yang teliti, saksama dan cekap. Dokumen perundangan sahaja tidak mencukupi. Kerajaan yang melaksanakan undang-undang Islam perlu mempunyai garis panduan yang mencukupi, dokongan modal insan yang berkelayakan dan cekap serta tenaga penguatkuasa yang sedia berkerjasama.
Berikut disenaraikan keperluan yang dimaksudkan itu:
1.
Perlaksana Dokumentasi Perundangan. Ia termasuklah kaedah-kaedah atau peratauran-peraturan sebatan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan pemenjaraan, kaedah-kaedah atau peraturanperaturan rejam dan sebagainya.
2.
Persiapan Prasarana & Modal Insan. Kerajaan perlu memperkasakan agensi penguatkuasa, pendakwaan dan kehakiman.
3.
Integrasi Agensi Negeri dan Pusat. Penglibatan dan kerjasama agensi persekutuan yang terlibat secara langsung iaitu Jabatan Penjara Malaysia, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.
4.
Usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan. Perlu ada usaha sistematik, bersungguh-sungguh dan berterusan untuk mendidik rakyat agar menjauhi jenayah.
PENUTUP
11
Perbincangan ini bertujuan untuk melihat aspek yang boleh diambil titik pertemuan bagi menyelaraskan tindakan perlaksanaan Enakmen kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dengan pihak Kerajaan Persekutuan. Keizinan untuk melaksanakan enakmen tersebut bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya ia mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan dan juga di kalangan ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa) 1965 dan seterusnya bersetuju serta menyokong pindaan berkenaan.
Komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan Kelantan melalui kenyataan terbaru pada 2 April 2014 oleh YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob Menteri Besar Kelantan. Menurut beliau, satu rang undangundang persendirian (private bill) akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidangkuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam enakmen hudud.
Beliau turut memberi jaminan, Kerajaan Negeri Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015 sekiranya Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen.
RUJUKAN :
Abdul Aziz Bari, Pelaksanaan Syariah Dalam Konteks Perlembagaan Negara, Seminar Perlaksanaan Syariah Islam di Malaysia-56 Tahun Merdeka: Halangan & Penyelesaian, 2013 Ahmad Ibrahim, Undang-undang Islam Di Mahkamah Sivil, Al-Ahkam Jilid 1,DBP Kuala Lumpur 1995 Lembaga Penyelidik Undang-undang, Perlembagaan Persekutuan(hingga 1 Mac 2010), International Law Books Services 2010 Lembaga Penyelidik Undang-undang ,Undang-undang Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan (hingga 20 November 2001), International Law Books Services 2001
12
Lembaga Penyelidik Undang-undang ,Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) (hingga 30 September 2000), International Law Books Services 2000 Mahmud Saedon A. Othman, Institusi Pentadbiran Undang-undang & Kehakiman Islam, DBP Kuala Lumpur 1998 Mohamad Hashim Kamali, Terjemahan -Hukuman Dalam Undang-undang Islam; Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu,Ilmiah Publishers 2003 Mohd Azlim Zainury, Brunei Mampu Jadi Model Hudud,Sinar Harian, 2 Mac 2014 The Malaysian Insider, Pelaksanaan Hudud Brunei Tidak Mungkin Ditiru di Malaysia- Sun, Mar 2, 2014 Wartawan Sinar Harian , Akta Mahkamah Syariah 1965 Jadi Penghalang? , Sinar Harian, 17 November 2013
13