MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA KES NO: 21(26)/4-840/12 ANTARA RIDWAN FARID BIN SUBAIRI DAN MERCURY MARINE SDN. BHD. AWARD NO:
551 TAHUN 2017
DI HADAPAN
:
Y.A. PUAN SITI SALWA BINTI MUSA (Bersidang Berseorangan)
TEMPAT
:
Mahkamah Perusahaan Malaysia Kuala Lumpur
TARIKH RUJUKAN
:
14.06.2012
TARIKH SEBUTAN
:
15.08.2012, 25.09.2012, 30.10.2012, 22.11.2012, 17.12.2012, 21.01.2013, 07.02.2013, 27.02.2013, 11.07.2013, 25.07.2013, 29.01.2014, 29.04.2014, 05.02.2015, 04.04.2016, 19.04.2016, & 22.08.2016.
TARIKH PERBICARAAN
:
16.07.2013 & 16.07.2014
PERWAKILAN
:
Encik Peter Kandiah wakil Pihak Yang Menuntut dari Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC). Encik Mohan Ramakrishnan dari Tetuan Ramakrishnan & Associates, Peguam Pihak Responden (Syarikat). (1)
RUJUKAN: Rujukan ini dibuat oleh YB Menteri Sumber Manusia pada 14 Jun 2012 berdasarkan subseksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Ianya berpunca daripada pembuangan kerja Ridwan Farid bin Subairi oleh Mercury Marine Sdn Bhd.
AWARD
1.
Kes ini adalah satu rujukan oleh YB Menteri Sumber Manusia dibawah
seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang berbangkit dari pembuangan kerja Ridwan Farid bin Subairi (“Pihak Yang Menuntut-”PYM”) oleh Mercury Marine Sdn. Bhd. (“Syarikat”) pada 14.12.2010.
2.
Pihak Yang Menuntut mula bekerja dengan Syarikat pada 01.06.2008
sebagai Eksekutif Jualan.
Terma dan syarat pekerjaan Pihak Yang Menuntut
adalah seperti yang dinyatakan di dalam Surat Perlantikan bertarikh 24.04.2008 seperti yang dilampirkan di dalam eksibit CH-2 dalam Penyataan Tuntutan Pihak Yang Menuntut. Pada 14.12.2010 Pihak Yang Menuntut telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Pihak Syarikat melalui surat penamatan perkhidmatan seperti yang ditunjukkan oleh eksibit CH-3. Gaji terakhir yang diterima oleh Pihak Yang Menuntut sebelum penamatan perkhidmatannya adalah sebanyak RM 2,768.00 termasuk elaun tetap sebanyak RM 500.00. (2)
3.
Pihak Yang Menuntut tidak berpuas hati atas pembuangan kerjanya dan
telah mengadu kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan, seterusnya kes Pihak Yang Menuntut telah dirujuk oleh YB Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan untuk diadili.
Pihak Yang Menuntut mendakwa pembuangan
kerjanya adalah dibuat tanpa bersebab atau alasan yang adil. Pihak Yang Menuntut memohon dikembalikan semula dalam jawatannya.
4.
Adalah fakta yang tidak dipertikaikan bahawa Pihak Yang Menuntut
telah dibuang kerja. Oleh itu, isu dalam kes ini adalah samada pembuangan kerja Pihak Yang Menuntut adalah dengan sebab atau alasan yang adil. Dalam kes di hadapan, Pihak Syarikat perlu mengemukakan keterangan bahawa Pihak Yang Menuntut telah melakukan salahlaku yang didakwa. Beban bagi membuktikan salahlaku tersebut adalah di atas imbangan kebarangkalian (Kes Telekom Malaysia Kawasan Utara v Krishnan Kutty Sanguni Nair & Anor [2002] 3 CLJ 314).
5.
Menurut keterangan Pihak Syarikat, punca yang membawa kepada
tindakan ke atas Pihak Yang Menuntut adalah apabila Pihak Yang Menuntut dikatakan melakukan salah laku kerana telah memuat naik / menyimpan gambar / video lucah menggunakan komputer riba Syarikat. Keterangan saksi-saksi Syarikat (3)
COW 1 dan COW 2 menyatakan bahawa komputer riba Pihak Yang Menuntut telah diambil alih Pegawai Teknologi Maklumat Syarikat untuk diselenggara dan ketika penyelenggaraan dibuat didapati terdapat video / gambar bahan lucah yang telah dimuat turun dan disimpan dalam komputer riba tersebut. Menurut COW 1 dan COW 2, Pegawai Teknologi Maklumat telah memanggil mereka untuk melihat bahan lucah yang terdapat di dalam komputer riba tersebut. Keterangan COW 1 dan COW 2 seterusnya menyatakan bahawa Pihak Yang Menuntut telah dipanggil dan ditunjukkan video / gambar lucah yang terdapat di dalam komputer riba beliau dan COW 1 dan COW 2 mendakwa Pihak Yang Menuntut mengakui telah memuat turun video / gambar lucah tersebut. Seterusnya Pihak Syarikat telah mengeluarkan surat penamatan bertarikh 14.12.2010 menamatkan perkhidmatan Pihak Yang Menuntut atas alasan telah melakukan salahlaku iaitu melanggar peraturan-peraturan Syarikat sebagaimana yang terdapat di dalam The Brunswick Guide To Conduct In The Workplace yang diguna pakai oleh Syarikat.
6.
Pihak Yang Menuntut menafikan telah memuat turun video / gambar
lucah di dalam komputer ribanya. Ini kerana Pihak Yang Menuntut mendakwa Pihak Syarikat mempunyai sistem penghalang ''firewall'' yang menghalang muat turun bahan-bahan lucah ke dalam komputer Syarikat. Pihak Yang Menuntut mendakwa video / gambar lucah tersebut berkemungkinan di hantar oleh (4)
pelanggan Syarikat yang menghantar dokumen melalui 'bluetooth' atau emel kerana hal ini pernah berlaku sebelum ini dimana beliau akan hanya membuka fail yang relavan dan akan serta merta memadamkan fail-fail yang tidak berkaitan. Pihak Yang Menuntut mendakwa beliau tidak dapat menghalang atau mengawal sebarang bahan yang dihantar oleh sesiapa samada melalui bluetooth atau emel ke komputer riba beliau. Dalam keterangannya Pihak Yang Menuntut menyatakan bahawa komputer riba beliau telah diambil oleh Pegawai Teknologi Maklumat Syarikat tanpa pengetahuan beliau beberapa hari sebelum penemuan video / gambar lucah tersebut. Pada hari kejadian beliau telah dipanggil oleh COW 1 dan COW 2 dan ditunjukkan video / gambar lucah yang didakwa itu. Pihak Yang Menuntut menyatakan beliau tidak ada bersama-sama dengan Pegawai Teknologi Maklumat semasa pemeriksaan dan penemuan video/gambar lucah tersebut daripada komputer ribanya dan menafikan telah memuat turun bahan lucah tersebut.
7.
Pihak Yang Menuntut mendakwa sebelum dipecat pada 14.12.2010 beliau
tidak diberikan surat tunjuk sebab mengenai dakwaan apa-apa salah laku dan telah tidak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan mengenai salah laku yang dikatakan tersebut. Pihak Yang Menuntut mendakwa telah dibuang kerja secara terus tanpa apa-apa penyiasatan / inkuari dilakukan terlebih dahulu. Oleh itu (5)
Pihak Yang Menuntut mendakwa tindakan Pihak Syarikat adalah bertentangan dengan keadilan asasi, mala fide, dan amalan pekerjaan yang tidak saksama.
8.
Pihak Syarikat mengakui telah memecat Pihak Yang Menuntut melalui
surat bertarikh 14.12.2010 tanpa membuat apa-apa inkuari. Menurut COW-1 dan COW-2 Pihak Syarikat berhak menamatkan perkhidmatan Pihak Yang Menuntut berdasarkan klausa 8 dalam Surat Perlantikan (eksibit CH-2). Walaubagaimanapun Mahkamah ini berpandangan sungguh pun terdapat klausa yang membenarkan penamatan kerja tanpa notis, Pihak Syarikat perlu memberi notis kepada Pihak Yang Menuntut mengenai salahlaku yang didakwa itu dan memberi peluang kepada Pihak Yang Menuntut untuk memberikan penjelasan. Perkara ini adalah hak dan asas kepada keadilan asasi yang mana gagal dipatuhi oleh Pihak Syarikat. Namun kegagalan Pihak Syarikat mematuhi keadilan asasi ini tidaklah akan menjadikan pemecatan Pihak Yang Menuntut dibuat tanpa sebab atau alasan yang adil. Ini kerana perbicaraan di Mahkamah Perusahaan adalah suatu perbicaraan semula di mana Mahkamah akan mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak. Seterusnya berdasarkan keterangan yang dikemukakan itu, Mahkamah akan membuat dapatan samada Pihak Syarikat atas imbangan kebarangkalian berjaya membuktikan salahlaku terhadap Pihak Yang Menuntut.
(6)
9.
Selepas mendengar dan menilai keterangan yang dikemukakan,
Mahkamah ini mendapati bahawa atas imbangan kebarangkalian, Pihak Syarikat gagal membuktikan salah laku yang didakwa dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut Pihak Syarikat gagal membuktikan bahawa terdapat bahan lucah (video / gambar) di komputer riba Pihak Yang Menuntut. Pihak Syarikat gagal untuk mengemukakan sebarang bukti mengenai video / gambar lucah daripada komputer riba Pihak Yang Menuntut itu. Menurut COW 1 dan COW 2, mereka melihat bahan-bahan lucah tersebut pada hari kejadian.
Walaubagaimanapun
tiada video atau gambar-gambar yang dikemukakan di Mahkamah. COW 1 dan COW 2 juga gagal menjelaskan atau menerangkan apakah tajuk video atau gambar itu. Saksi-saksi Pihak Syarikat mengesahkan tidak menyimpan bahan-bahan lucah yang ditemukan di komputer riba itu untuk dijadikan bahan bukti.
10.
Pihak Syarikat juga gagal membuktikan bahawa Pihak Yang Menuntut
yang memuat turun bahan lucah yang berada dalam komputer riba Pihak Yang Menuntut. Keterangan COW-1 dan COW-2 menunjukkan bahawa komputer riba Pihak Yang Menuntut telah diambil oleh Pegawai Teknologi Maklumat untuk diselenggara.
Walaubagaimanapun kedua-dua saksi Syarikat ini tidak dapat
mengingati bila komputer riba tersebut diambil.
Pihak Yang Menuntut
memberikan keterangan bahawa komputer riba itu diambil tanpa pengetahuannya (7)
pada 08.12.2010 iaitu beberapa hari sebelum penemuan video / gambar lucah. Keterangan ini tidak dipertikaikan oleh Pihak Syarikat. Pihak Yang Menuntut mendakwa semasa pemeriksaan dan penemuan bahan lucah tersebut beliau tidak ada bersama-sama dengan Pegawai Teknologi Maklumat dan mendakwa berkemungkinan bahan lucah tersebut dihantar bersama-sama dokumen yang dihantar oleh pelanggan Syarikat samada melalui bluetooth atau emel. Mahkamah ini berpandangan bahawa penjelasan Pihak Yang Menuntut adalah munasabah dan boleh diterima. Keterangan saksi-saksi Syarikat menyatakan bahawa bahan lucah itu ditemukan melalui 'tracking system' yang digunakan oleh Syarikat. Walaubagaimanapun tiada keterangan yang dikemukakan mengenai 'tracking system' ini, tiada apa-apa keterangan dokumentar yang dikemukakan berhubung system ini yang menunjukkan bahawa bahan-bahan lucah tersebut telah dimuat turun oleh Pihak Yang Menuntut. Mahkamah mendapati bahawa semasa penemuan bahan-bahan lucah tersebut, komputer riba tersebut bukan berada di bawah jagaan atau kawalan Pihak Yang Menuntut. Oleh itu adalah tidak selamat untuk Mahkamah ini mendapati bahawa Pihak Yang Menuntutlah yang telah memuat turun bahan-bahan lucah tersebut .
11.
Dalam kes ini Pihak Syarikat tidak memanggil Pegawai Teknologi
Maklumat untuk memberikan keterangan bagi Pihak Syarikat. (8)
Oleh itu Pihak
Yang Menuntut tidak berpeluang untuk menyoal balas saksi ini bagi mengenal pasti bagaimana bahan-bahan lucah itu ditemukan dan 'tracking system' yang diguna pakai dalam penemuan bahan-bahan lucah tersebut. Pihak Yang Menuntut juga tidak berpeluang untuk menyoal balas mengenai pengawalan dan jagaan komputer riba itu semasa berada ditangan Pegawai Teknologi Maklumat tersebut. Mahkamah berpandangan beliau lah satu-satunya saksi yang dapat menjelaskan bagaimana bahan-bahan lucah itu boleh berada di dalam komputer riba Pihak Yang Menuntut dan dapat mengesahkan bahawa Pihak Yang Menuntutlah yang memuat turun bahan-bahan lucah tersebut.
Walaubagaimanapun beliau tidak
dipanggil untuk memberikan keterangan. Mahkamah mendapati kegagalan Pihak Syarikat memanggil saksi ini telah melumpuhkan kes Pihak Syarikat.
12.
Setelah menilaikan keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh
Pihak Syarikat dan Pihak Yang Menuntut, dan dengan mengambil kira subseksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta) untuk bertindak mengikut ekuiti, perasaan hati nurani dan merit teguh kes tanpa memperdulikan keteknikan dan bentuk undang-undang Mahkamah ini merumuskan bahawa Pihak Syarikat atas imbangan kebarangkalian gagal membuktikan bahawa Pihak Yang Menuntut telah melakukan salahlaku seperti yang didakwa. Oleh itu pembuangan kerja Pihak Yang Menuntut adalah tanpa atas sebab atau alasan yang adil. (9)
13.
Semasa diberhentikan Pihak Yang Menuntut telah bekerja dengan Pihak
Syarikat selama 2 tahun 6 bulan dan menerima gaji pokok sebanyak RM 2,768.00 dan elaun tetap sebanyak RM 500.00 sebulan.
Pihak Yang
Menuntut telah
mendapat pekerjaan lain 5 bulan selepas dibuang kerja dengan gaji pokok sebanyak RM 3,670.00 dan elaun tetap sebanyak RM 630.00. Pihak Yang Menuntut telah memplidkan pengembalian kedudukan jawatan (reinstatement). Mahkamah memutuskan bahawa pengembalian kedudukan jawatan Pihak Yang Menuntut dalam kes ini adalah tidak sesuai memandangkan Pihak yang Menuntut telah menjawat jawatan baru. Dengan itu, adalah wajar dan adil untuk Mahkamah ini mengawardkan ganti rugi kewangan kepada Pihak Yang Menuntut iaitu ganti rugi gaji kebelakang dan tambahan ganti rugi galang ganti berdasarkan tempoh lama bekerja dengan Syarikat. Jadual Kedua [sub seksyen 30 (6A)] Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan sekiranya gaji kebelakang diberikan kepada Pihak Yang Menuntut jumlahnya mestilah tidak melebihi 24 bulan.
Memandangkan
Pihak Yang Menuntut telah mempunyai pekerjaan baru 5 bulan selepas penamatan perkhidmatannya daripada Syarikat, Mahkamah akan menolak sebanyak 40% daripada jumlah keseluruhan gaji kebelakang yang akan diterima oleh beliau. Oleh itu jumlah ganti rugi kebelakang yang akan diturunkan adalah seperti berikut: 24 bulan x RM 3,268.00 = RM 78,432.00 - 40% = RM 47,059.20
(10)
Bagi ganti rugi galang ganti diambil berkerja jawatan asal, Mahkamah memberikan 2 bulan gaji iaitu; 2 bulan x RM 3,268.00 = RM 6,536.00 Jumlah keseluruhan : RM 47,059.20 + RM 6,536.00 = RM 53,595.20
Sebagai perintah muktamad, Mahkamah ini memerintahkan Pihak Syarikat membayar Pihak Yang Menuntut melalui Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejumlah RM 53,595.20 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Tiga Ribu Lima Ratus Sembilan Puluh Lima dan Dua Puluh Sen sahaja) setelah ditolak potongan statutori jika ada) dalam tempoh 30 hari tarikh award ini.
DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH PADA 14 APRIL 2017. -t.t( SITI SALWA BINTI MUSA ) PENGERUSI MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA KUALA LUMPUR.
(11)