PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Ulama’ Patani di Terengganu: Sejarah dan Peranan (Dari Tuan Hassan Besut hingga Haji Abdul Rahman Pombeng) Ahmad Fathy al-Fatani Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Kompleks Islam Darul Naim, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Abstrak: kertas yang ditulis ringkas ini, akan disentuh mengenai beberapa orang ulama’ asal Patani yang memilih berhijrah dan bermukim di negeri Terengganu Darul Iman dalam tempoh dua abad terakhir, abad 19 dan abad 20, juga peranannya serta sumbangannya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah dan upayanya mengangkat citra ilmu di kalangan masyarakat negeri Terengganu, baik di kalangan petinggi kerajaan negeri maupun di peringkat orang awam. Turut disentuh ialah dampak atau kesan peranan mereka dalam melestarikan budaya ilmu dan tradisi pengajian Islam di Terengganu, termasuk sumbangannya dalam melahirkan tokoh-tokoh ulama’ tempatan Terengganu seperti To’ Ku Tuan Besar (1795-1878), Baginda Sultan Omar (memerintah 1839-1876), To’ Ku Paloh (1830an-1918), Sultan Zainal Abidin III (memerintah 18811918), Haji Omar Duyung Besar dan lain-lain.
PENGENALAN Lama sebelum negeri Patani Darul Salam jatuh ke tangan Siam pada 17851), negeri Patani telah di kenali sebagai “negeri para ulama” atau ardhu al ulama’, berbanding dengan negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Melayu. Sejauh yang dapat dikesan, ulama’ pertama yang di ketahui muncul di Patani bernama Faqih Wan Musa bin Mohd Salleh al Laqihi yang bukan sahaja seorang ulama’ dan penulis kitab, tetapi juga pemimpin sekaligus pengasuh pondok yang didirikannya di Kampung Sena, Patani pada paruh kedua abad 16. Menurut maklumat, inilah “pondok pertama” diketahui pernah direkodkan di Patani, iaitu kira-kira satu abad selepas negeri Patani secara rasmi menjadi kerajaan atau negeri Islam pada 1457.2 Selepas Kampung Sena, ulama’, berikut institusi pondok juga muncul secara bergiliran di berbagai tempat di Patani. Antaranya yang patut di catat ialah pondok Teluk Manak yang didirikan oleh Wan Husin Sanawi (juga berasal dari Kampung Sena), sekalian dengan masjid tuanya yang bersejarah, dan pondok Lebai Wan Abdul Mubin di Kampung Pauh Bok (penghujung abad 17 dan berterusan sepanjang abad 18 dengan tokoh-tokoh guru yang terdiri dari anak-anaknya; Sheikh Wan Abdul Rahman bin Wan Abdul Mubin dan Wan Abdullah bin Wan Abdul Mubin). Selepas Wan Abdul Rahman dan Wan Abdulah pondok ini diteruskan oleh keturunan Wan Abdul Mubin seterusnya; masing-masing bernama Sheikh Mohd Salleh bin Wan Abdul Rahman dan Sheikh Abdullah bin Mohd Salleh bin Sheikh Wan Abdul Rahman bin Lebai Wan Abdul Mubin.
Patut dicatat bahawa, beberapa orang ulama’ besar Patani yang muncul pada awal abad 19 seperti Sheikh Daud bin Abdullah al Fatani (meninggal 1846) dan Tuan Hasan Besut (Sheikh Hasan bin Ishak al Fatani) diketahui pernah belajar di Pondok Pauh Bok ini. Ulama’ lain yang turut di kesan belajar di pondok yang sama ialah Sheikh Abdul Samad al Falimbani, penulis kitab Siyar al Salikin yang terkenal itu. Kemudian, kira-kira pada akhir abad 18 inilah, yakni pada waktu Pondok Pauh Bok tengah aktif, negeri Patani mengalami kekalahannya di tangan Siam. Peristiwa ini, seperti disebut di atas, terjadi pada 1785, apabila Sultan Patani yang terakhir – Sultan Muhammad – terbunuh dalam perang menentang Siam yang menceroboh masuk ke negerinya. Kejatuhan Patani tak hanya menyaksikan kejatuhan kuasa politiknya, tetapi juga kehidupan rakyat dan negerinya, baik ekonomi, sosial maupun kehidupan beragama. Bayangkan, betapa sebuah negeri yang kaya dan nyaman dengan institusi beraja dan kehidupan beragama yang kental, tiba-tiba hancur dan punah dilanda perang. Meskipun Patani berusaha bangkit selepas kekalahan ini, namun upaya ini tidak pernah berhasil. Beberapa siri pemberontakan yang dilancarkan ke atas pihak berkuasa Siam menemui kegagalan. Paling akhir dan paling besar ialah pemberontakan pada tahun 1832 yang dilancarkan secara bergabung dengan Kedah. Selepas pemberontakan ini orang Patani “mati kutu” dan terpaksa menerima hakikat kekalahannya kepada Siam. Yang menjadi pokok pembicaraan kita di sini ialah dampak kekalahan ini dari segi kehidupan
486
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
keagamaan dan pembelajaran ilmu agama di Patani. Tidak lama selepas kekalahan ini negeri Patani menyaksikan ramai rakyatnya berhijrah ke negerinegeri lain, baik di peringkat pemimpin, hulubalang, perajurit biasa, maupun orang awam. Tidak terkecuali ialah ulama’-ulama’nya. Gelombang perpindahan ini diperkirakan bermula pada akhir abad 18, yakni tidak lama selepas Patani kalah dan berterusan sepanjang abad 19, dan malah berlanjut sehingga sekarang. Ulama’ Patani di Terengganu: Saya tidak ingin menyentuh banyak tentang kaum muhajirin Patani dalam skala besarnya ke berbagai pojok dunia Melayu atau malah ke tanah Hijaz. Akan tetapi, marilah kita sekarang melihat perpindahan ulama’ ini ke Terengganu, sebuah negeri yang terletak di selatan Patani dan yang pernah mempunyai kaitan sejarah dan politik yang rapat dengan Patani. Rombongan ulama’ Patani pertama yang dikesan tiba di Terengganu ialah rombongan yang dipimpin oleh To’ Sheikh Qadhi – Haji Wan Mohd Amin Wan Yaacob – ayahanda kepada To’ Sheikh Duyong. Peristiwa ini diperkirakan terjadi pada dekad 1820 an atau malah lebih awal, yakni selepas orang Patani berkali-kali gagal dalam upayanya melepas diri daripada Siam (1789, 1791 dan 1808)3). Turut sama dalam rombongan ini ialah Sheikh Abdul Kadir (kemudian dimasyhurkan dengan nama Sheikh Abdul Kadir Bukit Bayas) yang pada waktu itu telah dikenali sebagai seorang “alim” dari Patani. Adapun To’ Sheikh Duyong, yang juga di bawa ayahnya dalam perpindahan ini, masih lagi berada dalam usia bawah umur dan kerananya masih perlu belajar kepada ayahnya di Kampung Paya Bunga dan kemudiannya kepada Sheikh Abdul Kadir di Bukit Bayas. Selain Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas atau kadang-kadang dipanggil ‘Tuan Bukit Bayas’ dan To’ Syeikh Duyong, turut berhijrah ke Terengganu selepasnya ialah keluarga Syeikh Daud al-Fatani dan Syeikh Nik Dir al-Fatani (Nik Abdul Kadir bin Wan Abdul Rahman). Namun, tidak seperti dua orang ulama’ pertama, kedua-dua Syeikh Daud al-Fatani dan Syeikh Nik Dir ini tidak sampai bermukim dan menetap di Terengganu, tetapi hanya sekadar singgah beberapa waktu di Pulau Duyong Kecil sebelum kemudiannya berangkat ke Makkah dan menetap di sana4). Tiga orang ulama’ kenamaan asal Patani yang lain yang turut berhijrah dan bermukim di Terengganu ialah Tuan Hasan Besut atau nama lengkapnya Syeikh Hasan Ibnu Ishak al-Jawi alFatani (junior Syeikh Daud al-Fatani), Haji Husin Kampung Lapu (murid Tuan Hasan Besut) dan terakhir Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng. Bagi mengenali ulama’-ulama’ ini dari dekat, di bawah ini saya peturunkan tarajum mereka secara ringkas, sekalian dengan peranan mereka selama berada di Terengganu. Mohon maaf, kalau saya
hanya memilih lima orang daripada mereka sebagai mewakili. Tuan Hasan Besut (1860): Tokoh ulama’ ini seangkatan dengan Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas. Nama lengkapnya, seperti tercatat pada kitab-kitab karangannya ialah Syeikh Hasan bin Ishak al-Jawi al-Fatani. Digelar ‘Tuan Hasan Besut’ kerana beliau lama bermukim dan mengajar di daerah Besut, juga di Terengganu. Sama seperti Syeikh Abdul Kadir dan tokoh selepasnya, To’ Syeikh Duyong, Tuan Hasan adalah imigran dari Patani. Beliau dipercayai datang ke Besut pada dekad 1830-an, iaitu ekoran ‘zaman payah’ yang melanda Patani selepas peristiwa pemberontakan Patani menentang Siam pada 1832. Kecuali itu, maklumat mengenai kampung halamannya di Patani, juga nama-nama gurunya, tidak diperoleh. Namun ada dugaan bahawa beliau berasal dari kampung-kampung sekitar Pauh Bok dan sempat belajar kepada Syeikh Abdul Rahman dan Syeikh Mohd Saleh, guru Pondok Pauh Bok yang terkenal itu. Pada waktu beliau datang ke Besut, beliau dipercayai sudah dikenali sebagai ‘orang alim’. Seorang saudaranya, Syeikh Ali bin Ishak, sebaliknya menetap di Makkah, menjadi mertua kepada dua orang ulama’ asal Patani bernama Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani dan Syeikh Nik Muhammad bin Tuan Abdullah Kerisik (lebih dikenali kemudian dengan nama Syeikh Nik Mat Besar). Di kalangan masyarakat Besut, Tuan Hasan dianggap sebagai ‘guru pertama’ mereka. Melalui tokoh inilah citra pengajian Islam di daerah Besut dikatakan bermula. Kedatangan beliau ke Besut disambut baik oleh wakil Raja Terengganu di Besut pada waktu itu. Baginda yang kebetulan sedang ketiadaan guru telah menerima baik kedatangan Tuan Hasan. Selain dilantik menjadi guru istana, beliau juga diserah tugas menjadi imam Masjid Raja di Besut. Tuan Hasan tinggal di Tanjung Gong Surau, Besut dan membuka halaqah pengajiannya di sana. Kepadanya ramai anak-anak muda Besut dan kawasan sekitarnya datang berguru. Kedudukannya yang seperti ini, ditambah dengan peranannya selaku penasihat kepada wakil Raja Terengganu di Besut dalam perkara-perkara keagamaan telah menyebabkan namanya sangat dihormati dan dimuliakan. Dua orang murid beliau yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Husin Kampung Lapu, tokoh yang kemudiannya dikenal sebagai orang yang memperkenalkan sistem pengajian pondok di Besut, dan Haji Said Kampung Lama. Tuan Hasan meninggalkan dua buah karya tulis: Hidayah al-Mukhtar, sebuah terjemahan hadis 40 mengenai ‘kelebihan ilmu yang mulia’ bagi al-Hafiz Abdul ‘Azim al-Munziri dan Ayyuha al-Walad, sebuah terjemahan karya Imam al-Ghazali dengan
487
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
judul yang sama. Kitab pertama selesai beliau salin pada hari Jumaat 26 Muharram1249/14 Jun 1833, manakala kitab kedua selesai beliau terjemah di Makkah pada malam Isnin 14 Rabi’ al-Awwal 1266/27 Januari 1850. Tuan Hasan Besut meninggal dunia pada 18605) tanpa meninggalkan anak. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Palembang, Besut. Tuan Bukit Bayas (1864): Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Kadir bin Wan Abdul Rahim bin Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Fakih Ali al-Malibari. Lahir di Patani pada suatu tarikh yang tidak diketahui, tetapi diperkirakan pada suku terakhir abad 18. Berhijrah ke Terengganu pada dekad 1820-an bersama-sama dengan rombongan yang dipimpin oleh To’ Syeikh Qadhi – bapa kepada To’ Syeikh Duyong. Di Terengganu, beliau mula-mula tinggal di Kampung Patani (dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sekarang), sebelum kemudiannya bermukim di Bukit Bayas, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Kuala Terengganu. Kerana tempat tinggalnya dan pusat kegiatannya menyebar ilmu bertempat di Bukit Bayas, maka melekatlah namanya menjadi ‘Tuan Bukit Bayas’, dan nama ini lebih masyhur ketimbang nama sebenarnya – Syeikh Abdul Kadir. Kecuali itu, latar belakang pendidikannya di Patani (juga di tempat-tempat lain) serta nama gurugurunya tidak diperoleh. Meskipun ada maklumat yang menyebut bahawa beliau pernah belajar di Kuala Bekah, Patani dan kemudiannya di Makkah, dan di antara guru-gurunya termasuklah Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Mohd Saleh bin Abdul Rahman Pauh Bok dan Syeikh Mohd Zain Faqih Jalaluddin Acheh (sewaktu di Makkah), akan tetapi maklumat ini tidak meyakinkan. Barangkali di peringkat andaian, berdasarkan zaman hidupnya sahaja. Yang pasti ialah, pada waktu beliau menyertai rombongan orang Patani berhijrah ke Terengganu, namanya sudahpun dikenal sebagai ‘orang alim’. Di Bukit Bayas, Syeikh Abdul Kadir mengajar berbagai bidang ilmu, merangkumi Usul al-Din, Fiqh, Tasawwuf dan lain-lain. Selain di Bukit Bayas, beliau pun membuka pusat pengajian serupa di Kampung Paya Bunga, Duyong dan di beberapa tempat yang lain. Antara mereka yang pernah mengikuti halaqah pengajian beliau termasuklah To’ Syeikh Duyong, To’ Ku Tuan Besar dan Sultan Terengganu sendiri – Baginda Umar. Kemuncak kerjaya beliau sebagai ilmuan Islam terjadi pada waktu beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu oleh Baginda Sultan Umar – muridnya. Kedudukannya yang seperti ini – Mufti merangkap guru Sultan – membolehkannya memainkan peranan utama dalam pemerintahan kerajaan Terengganu. Atas nasihat beliau selaku
Mufti, ditambah dengan minat Sultan sendiri kepada agama, menyebabkan banyak dasar-dasar kerajaan negeri Terengganu dirancang berselari dengan kehendak-kehendak Islam. Keadaan ini dapat dilihat misalnya pada kuatkuasa beberapa undang-undang Islam dalam sistem pentadbiran negeri Terengganu pada zaman pemerintahan Baginda Sultan Umar. Patut disebut bahawa Syeikh Abdul Kadir adalah pengamal tariqat tasawwuf aliran Syatariyyah, sebuah aliran tasawwuf yang juga dianut oleh Syeikh Daud al-Fatani. Maka tidak hairan, jika karya Syeikh Daud yang bertajuk al-Manhal al-Safi fi Bayan Rumuz Ahli al-Sufi menjadi salah satu kitab pegangan beliau yang utama (malah, pernah ada anggapan sesetengah pengkaji bahawa kitab berkenaan adalah karya tulis beliau sendiri). Syeikh Abdul Kadir disebut-sebut mempunyai empat orang isteri dan 23 orang anak. Beliau meninggal dunia pada tahun 1864 di Bukit Bayas, Kuala Terengganu. Sebuah karya beliau, tetapi masih dalam bentuk manuskrip bertajuk al-Targhib wa al-Tarhib fi al-Bai’ wa al-Syira’ selesai beliau tulis pada 1234 bersamaan 1818 Miladiyyah (sekarang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu, di Kuala Lumpur). To’ Syeikh Duyong (1889): Tokoh asal Patani (Chabang Tiga) ini, seperti pendahulunya, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas dan Tuan Hasan Besut, juga mencipta namanya di Terengganu. Saking berpengaruhnya beliau di kalangan petinggi kerajaan negeri Terengganu, sampai-sampai beliau pernah digelar ‘Lidah Negeri Terengganu’. Nama sebenar To’ Syeikh Duyong ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mohd Amin. Ayah beliau, Haji Wan Mohd Amin bin Wan Yaakub, lebih akrab dipanggil To’ Syeikh Qadhi, juga adalah seorang ulama’ asal Patani. Pada dekad 1820-an, beliau (ayah To’ Syeikh Duyong) mengetuai rombongan orang Patani berhijrah ke Terengganu. Termasuk dalam rombongan ini ialah Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas (tokoh bilangan (ii) di atas) dan anaknya yang sedang meningkat remaja – Wan Abdullah. Tidak seperti Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Wan Abdullah tidak sempat mengenyam pendidikan awal di Patani, tetapi di Terengganu. Hal ini terjadi kerana pada waktu beliau dibawa ayahnya berhijrah ke Terengganu, usia beliau masih di bawah umur. Di samping belajar dengan ayahnya sendiri di Kampung Paya Bunga (tempat kediaman barunya di Terengganu), beliau berulang-alik ke Bukit Bayas – belajar kepada Syeikh Abdul Kadir – bersama-sama seorang rakan asal Terengganu bernama To’ Ku Tuan Besar. Selepas Terengganu, Wan Abdullah dihantar ayahnya belajar di Patani – negeri tumpah darahnya. Walaupun tidak ada maklulmat mengenai nama guru-gurunya diperoleh, namun, berdasar kepada zamannya, beliau dipercayai sempat belajar di
488
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Pondok Bendang Daya dan di pondok-pondok lain yang sezaman dengannya. Selepas di Patani, beliau menyambung belajar di Makkah pula. Namun penting diketahui, semua tahap pembelajaran ini ditempuhnya sebelum tahun 1846. Selepas pulang dari Makkah pada 1846, Wan Abdullah yang kini bergelar Haji Wan Abdullah memulakan kegiatannya mengajar di Pulau Duyong Kecil. Di tempat baharu ini, beliau mendirikan sebuah masjid berdekatan dengan rumahnya. Belakangan, di antara rumah dengan masjid inilah tertumpah segala kegiatan hidup beliau. Adapun bidang ilmu yang beliau ajar ialah Usul al-Din, Fiqh, Tafsir dan Tasawwuf. Pelajar-pelajarnya mulai berdatangan ‘menadah’ kitabnya masing-masing yang pada waktu itu masih dalam bentuk tulisan tangan. Kerana tempat mengajarnya di Pulau Duyong, maka lama-kelamaan melekatlah namanya menjadi ‘To’ Syeikh Duyong’. Dan benar saja, pondoknya makin lama makin ramai didatangi pelajar, jauh dan dekat. Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Baginda Sultan Umar, Sultan Zainal Abidin III, Haji Umar Duyong Besar, To’ Ku Paloh, Haji Abdul Hamid Nerus dan anaknya sendiri – Haji Wan Muhammad bin Wan Abdullah. Satu hal yang menarik ialah, dua orang Sultan yang menjadi murid beliau datang sendiri berguru kepada beliau di Pulau Duyong – bukan sebaliknya – beliau yang datang mengajar di istana. Kerana ketokohannya, To’ Syeikh Duyong kemudiannya dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan gurunya, Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas, yang meninggal dunia. Sepanjang hidupnya, beliau sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan – Baginda Sultan Umar (mangkat 1876), Sultan Ahmad Shah II (mangkat 1881), dan Sultan Zainal Abidin III (mangkat 1918). Semasa menjadi Mufti, khidmatnya sebagai penasihat agama kepada Sultan sangat terserlah. Selain itu pengaruhnya dalam pentadbiran negeri juga besar. Pernah pada suatu masa beliau diutus Baginda Sultan Umar ke Kelantan bagi merundingi Sultan Kelantan supaya menyekat sokongan rakyat Kelantan kepada Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir yang memberontak terhadap dasar disentralisasi Sultan Terengganu. Manakala pada waktu meletus perang saudara di Pahang antara Wan Ahmad dengan Bendahara Wan Mutahir, nasihat beliau juga diminta bagi menentukan pihak mana yang harus didekati Sultan. To’ Syeikh Duyong meninggal dunia di rumahnya di Pulau Duyong Kecil pada 12 Jumad alAkhir 1306 bersamaan 14 Februari 1889. Ada diceritakan bahawa Sultan Zainal Abidin III telah berangkat sendiri ke Pulau Duyong Kecil bagi melayat dan menyembahyangkan jenazah gurunya. Tuan Guru Haji Husin Kampung Lapu (1917): Nama lengkapnya ialah Haji Husin bin Haji Mohd
Amin. Beliau ialah murid Tuan Hasan Besut (Syeikh Hasan bin Ishak al-Fatani) dan orang pertama yang memperkenalkan sistem pengajian pondok di daerah Besut. Tuan Guru Haji Husin berasal dari Nat Dang, Patani (sekarang termasuk dalam Changwad atau Wilayah Yala). Tarikh lahirnya tidak diketahui. Sebelum berangkat ke Makkah, beliau dipercayai telah belajar di beberapa buah pondok di Patani. Kemudiannya, setelah beberapa lama pulang dari Makkah, beliau turut berhijrah ke Besut, menurut jejak langkah gurunya – Tuan Hasan. Seperti dikatakan, Haji Husin adalah orang pertama yang memperkenalkan sistem pondok di Besut. Tidak seperti gurunya yang sekadar membuka halaqah pengajian kitab di samping mengajar keluarga diraja, Haji Husin sebaliknya maju lebih ke hadapan dengan membuka pondok pengajian di Kampung Lapu pada 1905. Wakil Raja Terengganu di Besut, Tengku Muda, telah bermurah hati mengurniakan tapak tanah bagi tujuan pembangunan pondok dan rumah kediaman beliau. Kampung Lapu yang sedia ramai dengan penduduk (kerana kedudukannya yang strategik sebagai pusat perdagangan tradisional di kawasan Besut) segera menjadi terkenal. Maka tidak hairan jika kehadiran Haji Husin sangat dialu-alukan. Pondok beliau diserbu oleh para pelajar dari kawasan sekitar, malah dari Kelantan juga. Pada tahun 1916, diperkirakan tidak kurang dari 40 buah pondok didirikan di sekitar rumah kediamannya. Sama seperti gurunya, Tuan Guru Haji Husin Kampung Lapu juga menjadi tokoh rujukan masyarakatnya. Malah, beliau sering diajak berunding oleh wakil Raja Terengganu di Besut. Dalam hal ini, peranan, tugas dan kedudukan beliau persis mewarisi peranan dan kedudukan gurunya – Tuan Hasan Besut. Kematian Tengku Muda dan pelantikan Tengku Wok sebagai wakil Raja di Besut tidak merubah fungsi dan kedudukan beliau di kalangan keluarga bangsawan Besut. Tuan Guru Haji Husin meninggal dunia pada 1917, iaitu pada waktu pondoknya sedang berkembang pesat. Tempat beliau sebagai guru pondok diteruskan oleh anaknya Haji Muhammad. Tidak lama kemudian, Haji Muhammad berpindah ke Kuala Besut, mendirikan pondoknya sendiri, dengan meninggalkan pondok ayahnya di Kampung Lapu kepada bapa saudaranya (adik Tuan Guru Haji Husin) – bernama Tuan Guru Haji Abdullah. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng (2008): Tuan Guru Haji Abdul Rahman termasuk antara beberapa orang tokoh pendakwah yang tidak asing lagi bagi negeri Terengganu. Selama lebih kurang dua dekad sejak 1981, beliau sangat aktif berdakwah di negeri Darul Iman ini. Tak hanya selaku seorang pensyarah dan pakar rujuk di tempatnya bertugas, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu, tetapi juga
489
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
selaku Tuan Guru bagi masyarakat Kuala Ibai khasnya dan Kuala Terengganu amnya, juga sebagai khatib dan imam masjid, penceramah agama di Radio Malaysia Kuala Terengganu dan lain-lain. Meskipun bukan anak jati negeri Terengganu, akan tetapi bagi seorang pendakwah dan ilmuan agama sepertinya, tidak ada sempadan negeri atau geografi yang mampu menyekat kegiatan beliau. “Bumi Allah adalah luas dan di mana pun kita berada, kita dituntut untuk mengajar dan berdakwah”, demikian kira-kira falsafah hidup yang beliau anut sebagaimana tercermin dari ativiti hidup beliau sejak dahulu. Tuan Guru Haji Abdul Rahman lahir di sebuah kampung bernama Pombeng, dalam daerah Penarik, Patani pada tahun 1930. Kerana tempat lahir dan negeri asalnya ini, maka beliau kemudian dikenali dengan laqab “Haji Abdul Rahman Pombeng (tempat lahir) al-Fatani (negeri asalnya)”. Selepas belajar di sekolah dasar bahasa Thai sehingga darjah empat, beliau pindah belajar di Madrasah (pondok) Kuala Beruas pada 1941, berguru kepada Haji Abdul Rahman Saghir bin Mohd Dahhan, seorang to’ guru Patani yang kemudiannya dimasyhurkan dengan nama ‘To’ Beruas’ itu. Selepas enam tahun di pondok ini, kira-kira pada 1947, beliau memondok di Bermin (cuma tiga bulan sahaja), dan kemudiannya di Pondok Mak Enggol (lebih kurang setahun). Pada tahun 1948, pada waktu beliau berusia 18 tahun, dan selepas berkahwin dengan Fatimah – anak gurunya To’ Beruas – beliau naik ke Makkah untuk menyambung belajar di peringkat yang lebih tinggi sebagaimana layaknya anak-anak pondok Patani pada zamannya. Di Makkah, Haji Abdul Rahman mula-mula belajar di sekolah dasar (ibtidai) kerajaan Saudi, sebelum memasuki al-Ma’had al-Ilmi al-Saudi pada 1953. Antara guru-gurunya di sini ialah Syeikh Abdul Malik Malla, Syeikh Said Jundal, Syeikh Mahmud Sawaf (Iraq), Syeikh Abu al-Wafa (Mesir), Syeikh Badran, Syeikh Mutawalli, Ali al-Siba’i dan lainlain. Pada 1959, beliau mulai belajar di berbagai halaqah kitab di Masjid al-Haram, mengitari guruguru yang mengajar di masjid berkenaan, atau malah di rumah-rumah persendirian. Antaranya termasuklah nama-nama seperti Syeikh Alawi bin Abbas al-Maliki, Hasan Masyat, Syed Amin alKutubi, Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Kadir alFatani, To’ Ahyad, Syeikh Daud Sulaiman alKalantani, Syeikh Abdul Kadir al-Mandili, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan lain-lain. Dalam masa yang bersamaan juga beliau menyempatkan diri belajar di Kulliyah al-Syariah, Makkah (sekarang Jami’ah Umm al-Qura) tetapi tidak tamat. Selain belajar, di Makkah jugalah Haji Abdul Rahman mulai berjinak-jinak dengan badan pelajar. Antara badan pelajar tempat beliau bergiat ialah
‘Jam’iyyah al-Islamiyyah al-Fataniyyah’, sebuah badan pelajar Patani di Makkah yang selain bertujuan untuk memelihara perpaduan dan menjaga kebajikan pelajar, juga bertujuan untuk membangkitkan kesadaran politik di kalangan pelajar Patani di Makkah. Antara ahli-ahli badan ini ialah Pak Ya Kelaba, Haji Wan Ahmad bin Wan Ismail (Kerisik), Haji Ismail Pitsuwan (Ligor), Haji Hasbullah (Kokpor), Haji Nik Mahmud Penarik, Haji Arsyad Palas, Haji Abdul Hadi Yala, Dr Abdul Ghani Yaakub dan lain-lain. Dalam badan ini, beliau mula-mula duduk sebagai ahli biasa, tetapi kemudian, tidak lama sebelum pulang ke Patani, meningkat menjadi Yang Dipertuanya. Kegiatannya di Patani: Tidak lama selepas pulang, Haji Abdul Rahman memulakan kegiatannya yang pertama pada 1961 – mendirikan Mu’assasah alThaqafah al-Islamiyyah di kampung kelahirannya – Pombeng, Penarik. Namun, tidak seperti institusi pengajian Islam sebelumnya, mu’assasah atau tepatnya ‘Yayasan Islam’ pimpinan beliau lebih luas jangkauannya; ia tidak lagi berbentuk sebuah pondok tradisi tetapi sudah mengacu kepada sebuah organisasi pengajian yang merangkumi kedua-dua sistem pondok dan sekolah sekaligus. Dua puluh tahun lamanya beliau berhabis waktu dan berkuras tenaga mengembangkan yayasan yang didirikannya ini. Selama tempoh ini – 1961 hingga 1981 – cukup ramai ilmuan dan cerdik pandai Islam Patani yang telah terdidik di yayasan yang diasuhnya ini. Pada masa yang sama juga beliau aktif dalam perjuangan pembebasan Patani melalui organisasi BNPP (Barisan Nasional Pembebasan Patani), bersama-sama pejuang Patani yang lain. Adalah dipercayai bahawa bibit bagi kegiatan ini tumbuh sejak beliau menyertai Jam’iyyah al-Islamiyyah alFataniyyah sewaktu di Makkah dahulu. Penglibatan beliau dalam badan yang disebut terakhir ini mencapai pundaknya pada penghujung dekad 1970an, dan menyaksikan beliau pada akhirnya terpaksa berhijrah dari tanah airnya, Patani, untuk bermukim di Malaysia. Peristiwa yang berlaku pada 1981 ini disebutnya sebagai ‘mudhdharran’ atau secara terpaksa atau terdesak. Di Malaysia, beliau mula-mula tinggal di Lundang, Kota Bharu sehingga Oktober 1981. Menjelang akhir tahun yang sama, atas pelawaan seorang pemborong bernama Haji Wan Uthman bin Wan Ahmad, beliau berhijrah ke Terengganu. Tidak lama di Terengganu, beliau menerima tawaran menjadi pensyarah di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu. Dalam percakapannya kepada saya beliau menyebut penerimaan tawaran ini sebagai sesuatu yang perlu direbut dalam upayanya mencari ruang untuk mengajar dan berdakwah yang menjadi falsafah hidupnya sejak lama. ‘Tidak ada motif lain’ katanya.
490
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
‘Kalau untuk hidup, saya boleh bermukim dan mengajar di Makkah’, katanya melanjutkan. Kegiatannya di Terengganu: Selepas menerima tawaran menjadi pensyarah KUSZA, bermulalah era perkhidmatan beliau di Terengganu. Selain mengajar, dan sesuai dengan kelayakan ilmu yang ada padanya, beliau menjadi semacam ‘pakar rujuk’ atau tempat bertanya di kalangan pensyarahpensyarah muda dan bagi apa-apa masalah agama yang berbangkit di Terengganu. Otoritas beliau dalam hal ini, kian hari kian terserlah. Sehingga, meskipun selepas menjangkau usia bersara, namun khidmat beliau tetap diperlukan di KUSZA. Dalam masa yang sama, beliau mengatur jadual mengajar di madrasah yang dibina dalam kawasan rumahnya di Kuala Ibai (madrasah ini kemudiannya berkembang menjadi Pondok Dar al-Salam), menjadi khatib keliling di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu, berceramah di corong Radio 3 Kuala Terengganu, dan satu hal yang tetap tidak lekang dari kegiatan hidupnya ialah kekal menjadi anggota gerakan jihad Islam Patani. Perkhidmatannya di KUSZA terpaksa berakhir pada 1997 apabila beliau menjalani ‘pelarian politik’ sekali lagi. Kali ini ke suatu tempat yang sangat jauh, iaitu Sweden (Eropah). Turut bersama dalam rombongan beliau ialah beberapa orang pemimpin politik Patani seperti Haji Mohd Amin, Dr Wan Abdul Kadir dan lain-lain. Selepas pulang ke Terengganu pada 1998, beliau berusaha memajukan pondoknya – Pondok Dar al-Salam – di Kuala Ibai, Terengganu. Dengan dibantu oleh beberapa orang tenaga pembantu serta dengan kemudahan asrama yang disediakan atas usaha penderma-penderma, beliau tampaknya tidak pernah bercuti dari tugas yang dipilihnya sejak awal – mengajar, berdakwah dan berjihad. Selain terlibat dengan kerja-kerja di atas, beliau pun pernah menyempatkan diri menulis satu dua buah risalah kecil yang disebutnya ‘kutaibat’. Antaranya termasuklah Akhlaq al-Ulama’ (1995), Ta’liq ala Matn al-Ajrumiyyah (1997), Mabadi’ alJihad fi Sabilillah (1998) dan Afkar Jihadiyyah fi alIslam (1999). Sebelum itu, semasa berada di Patani, beliau telah menghasilkan siri buku-buku tafsir berjudul al-Tafsir al-Wadhih bagi menjadi teks pengajian murid di yayasannya. Patut dicatat, semua tulisannya setakat ini tertulis dalam bahasa Arab. Demikian juga riwayat hidupnya yang ditulis ringkas (satu muka surat sahaja) yang diserahkannya kepada saya. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng menerima tokoh Ma’al Hijrah daripada Baginda Sultan Terengganu – Sultan Mizan Zainal Abidin – pada 1 Muharram 1423. Sewaktu membaca berita ini melalui akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mac 2002 (halaman 25) saya tersenyum puas. Dalam hati saya terlintas fikiran bahawa di sebalik peristiwa atau takdir Allah SWT ke atas hambaNya,
tersembunyi hikmat yang tidak terjangkau. Dalam hal ini, siapa menyangka bahawa Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng yang seolah-olah ‘terusir’ keluar dari tanah kelahirannya, tiba-tiba mendapat tempat dan sanjungan yang layak baginya di sebuah bumi lain – bumi Darul Iman. Meninggal dunia di Kuala Terengganu pada 4 Mac 20086). Peranan dan Sumbangan Ulama’ Patani: Terdapat beberapa kesimpulan atau rumusan yang dapat ditarik dari tarajum ringkas di atas. Kesemua tokoh tampaknya sangat berperanan dalam pengajian ilmu-ilmu Islam, baik dalam bentuk institusi pondok, pengajian halaqah mahupun dalam bentuk pendidikan Islam moden sekarang. Perbezaan bentuk ini tentu saja sangat terkait dengan perubahan mode atau gaya pendidikan pada zaman di mana sang tokoh hidup dan berbakti (bandingkan institusi pengajian Tuan Bukit Bayas atau To’ Syeikh Duyong dengan KUSZA pada zaman Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng).Melalui sessi pengajian inilah, ulama’ Patani berupaya menjernihkan aqidah umat Islam Terengganu yang pada abad 19 itu masih bercampur dengan unsur khurafat dan kepercayaan karut warisan zaman Hindu atau animisma lama (misalnya amalan puja pantai dan persembahan sesajen kepada tempat-tempat yang dianggap berpuaka atau angker dan lain-lain), di samping meluruskan amalan ibadat harian berasaskan fiqh mazhab Shafie’ sebagaimana yang tertuang dalam kitab-kitab yang menjadi teks pengajian mereka. Mencetak ulama’ pelapis dari kalangan masyarakat tempatan Terengganu. Dalam hal ini adalah menarik untuk dilihat bahawa ulama’ulama’ ini, hasil dari kesungguhan mereka mengajar bertahun-tahun, berjaya memunculkan ramai ulama’ tempatan yang pada gilirannya nanti berperanan mendidik dan mengajar generasi baru selepas mereka pula. Beberapa orang tokoh Terengganu yang sempat muncul pada paruh kedua abad 19, misalnya To’ Ku Tuan Besar dan To’ Syeikh Duyong (murid Tuan Bukit Bayas), Haji Said Kampung Lama dan Haji Husin Kampung Lapu (murid Tuan Hasan Besut), Baginda Sultan Umar, Sultan Zainal Abidin III, Haji Umar Duyong Besar dan To’ Ku Paloh (murid To’ Syeikh Duyong) dan lain-lain, tidak syak lagi menjadi bukti nyata atas kejayaan didikan ulama’-ulama’ ini. Melalui murid-murid inilah citra keilmuan ulama’ Patani berlangsung langgeng di Terengganu. Dua orang daripada ulama’ ini dilantik menjadi Mufti Terengganu – Tuan Bukit Bayas dan To’ Syeikh Duyong. Malah, To’ Syeikh Duyong sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan
491
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Terengganu (Baginda Sultan Umar (mangkat 1876), Sultan Ahmad Syah II (mangkat 1881) dan Sultan Zainal Abidin III (mangkat 1918)). Semasa menjadi Mufti, peranan ulama’-ulama’ ini sangat besar dan pengaruhnya sangat luas. Tuan Bukit Bayas misalnya pernah menasihatkan Baginda Sultan Umar agar menghentikan kiriman ufti kepada Siam, manakala To’ Syeikh Duyong pula pernah diutus Baginda Sultan Umar ke istana Kelantan bagi merundingi Sultan Kelantan agar menyekat sokongan rakyat Kelantan kepada Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir yang memberontak kepada Sultan. Selain itu, pada waktu meletus perang saudara di antara Wan Ahmad dengan Bendahara Wan Mutahir di Pahang, beliau kerap dirundingi bagi menentukan sikap yang harus diambil Sultan dalam isu ini. Atas nasihatnya, Sultan kemudian memutuskan bagi membantu Wan Ahmad atas alasan ‘walaupun peperangan itu perang saudara di antara sesama Islam, tetapi Wan Ahmad berjuang menuntut haknya..’. Saking besarnya pengaruh to’ Syeikh Duyong dalam kerajaan Terengganu sampai-sampai beliau pernah diberi jolokan ‘Lidah Negeri Terengganu’. Adapun Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng, maka meskipun beliau tidak dilantik menjadi mufti, namun kedudukannya sebagai pakar rujuk di KUSZA dapat dianggap mewakili kedudukan ini. Seolah-olah mengiktiraf akan peranannya yang seperti ini, maka pada tahun 2002, kerajaan negeri Terengganu telah menganugerahkan ‘Tokoh Maal Hijrah’ negeri Terengganu kepada beliau sempena kedatangan tahun Hijriyyah 1423 pada tahun berkenaan. Membangunkan citra ilmu dan nuansa keIslaman di Terengganu. Ini misalnya dapat dilihat pada kemunculan institusi pengajian Islam di Terengganu dan minat rakyat kepada ugama. Selain itu, nuansa keIslaman ini juga dapat dilihat pada pengaruh Islam dalam sistem pentadbiran kerajaan Terengganu, terutama pada zaman pemerintahan Baginda Sultan Umar dan Sultan Zainal Abidin III. Pada masa Baginda Umar misalnya, Baginda pernah melarang orang bukan Islam membina rumah-rumah ibadat baharu (kecuali yang telah dibina sebelumnya), di samping mengenakan hukum qisas, rejam dan ta’zir ke atas pesalah curi, zina dan makan di khalayak ramai dalam bulan puasa7). Manakala pada zaman Sultan Zainal Abidin III pula, baginda dikatakan sangat cenderung kepada ugama. Ini dapat dilihat misalnya apabila baginda mempunyai beberapa orang penasihat ugama dan ulama’ yang sentiasa dirundingi dalam apa-apa perkara berkaitan agama dalam kerajaannya. Antaranya, gurunya To’ Syeikh Duyong, To’ Ku Paloh dan Haji Wan
Muhammad (anak To’ Syeikh Duyong)8). Selain itu, pada zaman baginda jugalah dua buah kitab dalam bidang ketatanegaraan, masing-masing berjudul Itqan al-Muluk dan Nasihat Segala Raja-Raja dihasilkan di Terengganu. Kitab pertama adalah sebuah kitab perlembagaan negeri Terengganu bertarikh 1911, manakala kitab kedua dihasilkan lebih awal – bertarikh 1300 Hijriyyah bersamaan 1882 Miladiyyah. Kedua-dua kitab ini tidak mempunyai nama penulis, tetapi dipercayai disusun oleh ramai tenaga ulama’ dan cerdik pandai negeri Terengganu pada waktu itu – termasuk To’ Ku Paloh. Kedua-dua kitab ini menjadi panduan kepada Sultan dan kerajaan Terengganu dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negerinya9). Tidak semua tokoh menghasilkan karya tulis. Namun demikian beberapa orang dari mereka seperti Tuan Bukit Bayas, Tuan Hasan Besut dan malah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng ada meninggalkan beberapa karya tulis. Walaupun tidak semua karya tulis ini sampai kepada kita sekarang (seperti naskhah al-Targhib wa al-Tarhib fi al-Bai’ wa al-Syira’, oleh Tuan Bukit Bayas), namun beberapa karya Tuan Hasan Besut dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng sempat dipelajari dan ditadah orang (kitab Ayyuha al-Walad terjemahan Tuan Hasan Besut misalnya pernah dicetak ulang di alMatba’ah al-Kamaliah, Kota Bharu pada 1926). Diaspora Ulama’ Patani: Sebenarnya penyebaran ulama’ Patani ke negeri-negeri Melayu di Semenanjung Melayu, malah di Nusantara, sudah lama terjadi. Ia tak hanya berlaku setelah Patani kalah kepada Siam, malah lebih awal dari itu. Pada paruh pertama abad 16 misalnya, sudah ada orang Patani jadi Mufti dalam kerajaan Buton, Sulawesi Selatan. Namanya Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fatani. Tokoh ini adalah pendakwah Islam yang ulet yang berjaya mengIslamkan Raja Buton ke - 6 yang tadinya beragama Hindu, bernama Halu Oleo pada 1538. Selepas Raja memeluk Islam dan berganti nama kepada Sultan Qaimuddin, turut memeluk Islam ialah rakyatnya. Nah! Selepas kerajaan Buton menjadi kerajaan Islam, orang Patani ini diberi penghormatan menjadi Muftinya yang pertama10). Kecuali itu, seorang lagi ulama’ Patani yang dilantik menjadi Mufti dalam kerajaan Nusantara ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani. Tokoh ini dilantik menjadi Mufti dalam Kerajaan Mempawah, Kalimantan Barat sekarang (di sebelah utara Pontianak dan selatan Sarawak) pada suatu tarikh yang tidak jelas, tetapi di percayai pada pertengahan abad 18. Patut dicatat bahawa pengaruh Patani dalam Kerajaan Mempawah dan Sambas pada waktu ini sangat besar, terutama pada pertengahan abad 19. Hal ini terjadi kerana seorang Sultan Sambas,
492
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
bernama Sultan Muhammad Safiuddin, termasuk dalam senarai murid-murid utama Syeikh Daud alFatani semasa di Makkah, di samping Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar, seorang ulama’ Sambas yang terkenal dan penyebar tariqat tasawwuf aliran Qadiriyyah sekaligus Naqshabandiyyah di kawasan Kalimantan Barat11). Saking besarnya pengaruh ulama’ Patani ini di Sambas, dapatlah dilihat apabila Syeikh Daud alFatani sendiri pernah berangkat ke Sambas memenuhi undangan muridnya – Sultan Sambas pada dekad 1820-an, dan sewaktu di Sambas, sambil menunggu perahu layar yang membawanya pulang ke Patani, beliau sempat menulis karyanya yang bernama Dhiya’ al-Murid (Ismail Che Daud memetik kertas kerja Dr. Abdul Jalil Hassan yang mencatat bahawa kitab berkenaan “ditulis di Sambas, Kampung Parit Dalam hampir (maksudnya: di sisi atau di samping) Sultan Muhammad Safiuddin”)12. Sementara itu, seorang ulama’ Patani lain pada zaman belakangan, Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani berhijrah ke Jambi, Sumatera, mendirikan madrasah sekaligus menjadi pengetuanya di sana. Ini terjadi pada 1925. Pada tahun 1929, beliau berpindah ke Klang, Selangor kerana menerima pelantikan menjadi penasihat agama Kerajaan Selangor, dan kemudiannya Syaikhul Islam negeri Selangor. Semasa di Selangor, tokoh ini sempat mendirikan Madrasah al-Ulum alDiniyyah di Klang pada 1933, menulis buku teks agama dan menyusun kurikulum pelajaran agama di masjid-masjid dalam negeri Selangor, di samping mengiringi Sultan Alauddin Sulaiman Syah melawat England pada 1935 dan memimpin rombongan Sultan Hishamuddin Alam Syah menunaikan ibadat haji. Beliau bersara dari jawatan ini pada 1953 dan meninggal dunia di Makkah pada 195613). Kembali kepada ulama’ Patani di Terengganu. Sejatinya peranan ulama’ Patani di Terengganu, baik ketokohannya mahupun kepimpinannya, sangat mengemuka terutama pada sepanjang abad 19 dan berlanjut sehingga awal abad 20 melalui kader-kader yang terlatih di institusi-institusi pengajian mereka. Namun, tak hanya untuk abad 19, malah sehingga pada pertengahan abad 20 sekalipun, peranan ulama’ ini masih terasa dan wujud. Cuma sahaja dalam bentuknya yang lain. Misalnya melalui jaringan pengajian dan hubungan murid-guru yang tetap berlangsung secara timbal balik antara dua buah negeri ini. Juga melalui penggunaan kitab-kitab jawi Patani yang menjadi teks pengajian di institusi pendidikan Islam di Terengganu. Ada banyak cerita yang boleh disebut bagi menyokong fakta ini. Antaranya ialah kehadiran seorang ulama’ Patani, To’ Kelaba namanya, di istana Sultan Zainal Abidin III, sehingga Sultan menjadi sangat tertarik kepadanya. Anak bongsu To’ Kelaba, Pak Su Latif, menceritakan kepada saya bahawa rumah ayahnya di Teluban atau Selindung Bayu tidak lain adalah
‘hadiah’ Sultan Zainal Abidin III kepada To’ Kelaba. Rumah berkenaan sebenarnya adalah sebuah rumah yang telah siap dibina di Kuala Terengganu, tetapi kemudian dirombak dan dipunggah dengan perahu besar Terengganu ke Teluban. Sesampai di Teluban, rumah berkenaan dipasang semula di atas tapak rumah yang ada sekarang oleh kepala tukang kiriman Sultan bernama Wan Umar. Sebelum itu, ada banyak cerita seputar keturunan ‘To’ Syed Terengganu’ di Patani. Malah datuk kepada seorang ulama’ Patani – To’ Guru Dala – dikatakan berasal dari leluhur yang datang dari Terengganu (Haji Abdul Rahman bin Mohd Arsyad bin Abdul Ghani). Ini belum lagi mengambil kira akan bilangan santri asal Terengganu yang datang belajar ke Patani, berguru kepada mereka, dan kemudiannya bermukim dan wafat di Patani. Antaranya termasuklah seorang ulama’ bernama Haji Mahmud bin Mohd Yusof, seorang ulama’ penyalin kitab-kitab jawi Patani yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Murid Tuan Bukit Bayas dan sahabat kepada To’ Ku Tuan Besar ini, kemudiannya belajar di Makkah, antara lain berguru kepada Syeikh Nik Dir al-Fatani (wafat 1898). Pulang dari Makkah, beliau berhijrah ke Patani dan menetap di Kampung Pusing, dalam Wilayah Yala dan meninggal dunia di sana pada suatu tarikh yang belum ditemui. Selain mengajar, tokoh ini diketahui banyak menyalin kitab, nyaris mengalahkan To’ Kelaba. Di antara anak-anaknya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Reman, guru penerus di pondok ayahnya di Kampung Pusing14). Pada era selepas Perang Dunia Ke-2, datanglah seorang santri dari Kuala Terengganu ke Patani. Namanya Muhammad (kemudiannya Haji Muhammad). Mula-mula beliau berguru kepada Haji Wan Abdul Kadir di Melor, Kota Bharu. Tetapi kemudian menyambung belajar di Patani, berguru kepada ulama’ Patani yang terkenal bernama To’ Bermin. Selepas To’ Bermin meninggal dunia pada 1957, Haji Muhammad tidak pulang ke Terengganu, sebaliknya menetap di Bermin, menjadi pengganti gurunya mengajar di pondok. Di Patani, penama ini lebih dikenali dengan nama Haji Mat Terengganu. Saya sempat menziarahi penama ini pada bulan Jun 1993 sebelum beliau meninggal dunia pada 27 Disember 1995 dalam usia 85 tahun. Sehingga pada paruh kedua abad 20, hubungan Terengganu-Patani ini tetap berlanjut meskipun tidak serancak pada abad 19 atau pada awal abad 20 sebelumnya. Kali ini dalam bentuk lain pula. Kebanyakannya dalam bentuk pelarian politik dan ‘politik cari makan’. Ramai di antara mereka datang ke Terengganu mencari perlindungan politik sekaligus mencari rezeki, menjadi pengusaha restoran atau sekadar jadi tukang masak. Namun tidak kurang juga yang menjadi guru atau tenaga pengajar di sekolah-sekolah atau di institusiinsititusi pengajian Islam di Terengganu – termasuk KUSZA (dahulunya) atau Universiti Darul Iman dan
493
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Universiti Sultan Zainal Abidin kemudiannya. Malah ada di antara mereka yang berdikari mengajar di halaqahnya sendiri atau di institusi pondok tradisional yang diasaskannya seperti yang berlaku di Kerandang, Jerteh (saya lupa nama gurunya). Selain di Terengganu, patut juga dicatat bahawa ulama atau cerdik pandai Patani juga ramai yang berhijrah ke Kedah dan membuka pondok atau institusi pengajian di sana. Misalnya Haji Ishak (murid Syeikh Daud al-Fatani) yang membuka pondok di Pulau Pisang, Jitra, Kedah pada dekad 1840-an (dipercayai pondok pertama diasaskan di Kedah)15), To’ Syeikh Jarum (murid Tuan Minal) yang mendirikan pondok di Derga pada penghujung abad 1916), dan Haji Husin Che Dol (juga murid Tuan Minal) yang membangunkan perkampungan sekaligus pondok di Gajah Mati, Pendang pada awal abad 20, bersambung dengan menantunya – Pak Cu Him Gajah Mati (adik bongsu Pak Da Ail). Malah Tuan Minal sendiri, pada akhirnya juga turut berhijrah ke Kedah dan kemudiannya ke Seberang Prai, di mana beliau meninggal dunia di Kampung Padang Lalang, Bukit Mertajam, diperkirakan pada 1913. Akhirnya, saya suka mengakhiri kertas ini dengan sebuah pertanyaan mudah, tetapi barangkali memerlukan analisis panjang untuk menjawabnya; kenapa orang Patani suka berhiijrah ke Terengganu atau ke Kedah, padahal untuk sampai di Terengganu, mereka terlebih dahulu perlu melalui atau melintasi sebuah negeri lain bernama Kelantan? Demikian juga jika mereka mahu ke Kedah. Tak dapat tidak mereka terpaksa melalui jalan darat yang sukar, merentasi daerah Ulu Patani yang berbukit dan berhutan lebat sebelum sampai di Baling (jalan utama Kedah-Patani pada abad 19). Kenapa mereka tidak berhijrah atau tidak tertarik untuk bermukim dan mengajar di negeri yang lebih dekat, iaitu Kelantan (maksud saya dengan perpindahan ini ialah perpindahan ulama’ atau cerdik pandainya, bukan orang awam). Jawapan bagi soalan ini tampaknya akan memerlukan satu diskusi atau perbincangan yang lain pula. Terima kasih.
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
NOTA HUJUNG 1
2
3
Ibrahim Shukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Matbaah Majlis Agama Islam Kelantan, Kota Bharu, 1958, hal. 84 dan seterusnya. W.K. Che Man, “ Islam In Contemporary Patani” dalam Akdemika bil. 34, Universiti Kebangsaan Malaysia, Januari 1989, hal. 111. Ahmad Fathy al-Fatani, Pengantar Sejarah Patani, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2001, hal. 54 – 56.
15
16
494
Patut dicatat bahawa selama transit di Pulau Duyong Kecil inilah, Sheikh Nik Mat Kechik@Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fatani dilahirkan – kira-kira pada tahun 1844. Wan Mohd Shaghir Abdullah, Penyebaran Islam dan Silsilah Ulama’ Sejagat Dunia Melayu (siri 13), Khazanah Fataniyyah, Kuala Lumpur, 2000, hal. 37. Ditulis berdasarkan maklumat langsung dari mulut beliau sendiri. Lihat juga Ahmad Fathy alFatani, “Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pombeng al-Fatani” dalam Pengasuh bil. 574 (April – Julai 2002), hal. 2-7. Wan Hussin Wan Embong, “Peranan dan Pengaruh To’ Ku Tuan Besar” dalam Muhammad Abu Bakar, Ulama’ Terengganu – Dalam Sorotan, Utusan Publication, Kuala Lumpur 1991, hal. 140 – 142. MISBAHA, Terengganu dari Bentuk Sejarah Hingga 1918, Utusan Publication, Kuala Lumpur 1978, hal. 193. Abdul Razak Mahmud, “Persuratan Islam di Kelantan, Terengganu dan Patani sehingga Awal Abad ke – 20”, kertas kerja Bengkel Penulisan Prosa Islam, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur di Kota Bharu pada 29 Julai 2000. Lihat juga Dr. Sidek Fadhil, “Islam dalam Pemerintahan dan Budaya Masyarakat Melayu – Penumpuan kepada Kes Terengganu”, kertas kerja Seminar Islam di Terengganu pada 14 – 17 Julai 1991 di Kuala Terengganu. Lihat H.M. Bibit Suprapto, Ensiklopedia Ulama’ Nusantara, Gelegar Media Indonesia, Jakarta, 2009, hal. 143 – 146. Lihat Dr. Hj. Sri Mulyati M.A., Tasawwuf Nusantara, Kencana Prenada Media Group, Jakarta 2006, hal. 175-179. Ismail Che Daud (penyelenggara), Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1), Majlis Agama Islam Kelantan, Kota Bharu 2001, hal. 30. Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama’ Besar dari Patani, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2002, hal. 278-280. Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, Penyebaran Islam dan Silsilah Ulama’ Sejagat Dunia Melayu (siri 14), Khazanah Fataniyyah, Kuala Lumpur 2000, hal. 24-34. Zahidi Dato’ Zainol Rashid, “Sejarah Pondok di Kedah” dalam Pengasuh bil. 516 (Disember 1991), hal. 37-38. Wan Shamsuddin Mohd Yusoff, “To’ Sheikh Jarum Derga” dalam Pengasuh bil. 555 (Nov.Dis.1998), hal. 20- 22.