PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Keterlibatan Ulama’ dalam Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu 1
Mohd Roslan Mohd Nor, 2Mohamad Fauzi Zakaria & 1Noorzahidah Mohd Zain 1
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur 2 Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Islam Selangor (KUIS) Bandar Seri Putra, Bangi, 43000 Kajang, Selangor
Abstrak: Kebiasaannya para cendekiawan Islam atau para ulama’ sinonim dengan penumpuan mereka kepada keilmuan Islam seperti mengajar, membuka pondok dan seumpamanya. Namun begitu, para ulama’ juga sebenarnya terlibat di dalam gerakan kesedaran dikalangan rakyat untuk membangkitkan kesedaran sewaktu zaman penjajahan. Kertas ini bertujuan untuk mengkaji sumbangan para ulama dengan merujuk kepada beberapa orang tokoh perjuangan kemerdekaan dari kalangan mereka khususnya di negeri Terengganu. Semangat mereka harus dicontohi generasi kini terutama golongan berilmu agar keilmuan mereka boleh memberi manfaat untuk dikongsi bersama dengan masyarakat. Golongan ulama’ yang terlibat dalam perjuangan menentang penjajahan ini pastinya telah memberi sumbangan yang besar kepada kemerdekaan negara, keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat negara ini.
PENGENALAN Perjuangan menuju kemerdekaan adalah bermatlamat untuk mencapai kebebasan bangsa, agama dan tanah air tercinta dari dijajah oleh pihak asing terutamanya Inggeris dan Belanda yang mana ia melibatkan dua aspek iaitu aspek dalaman dan aspek luaran. Aspek dalaman yang menjadi pencetus memperjuangkan kemerdekaan tanah air oleh para ulama’ dan pejuang disebabkan oleh faktor keislaman kerana rakyat Tanah Melayu terutamanya Kelantan dan Terengganu yang sangat berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidak mahu berada selamanya di bawah penjajah yang tidak mementingkan agama malah berlainan kepercayaan dan akidah. Manakala faktor luaran pula adalah disebabkan oleh campur tangan penjajah dalam adat istiadat dan adat resam Melayu. Sebagaimana yang kita telah ketahui, ulama berperanan mereka adalah mempertahankan agama dan tradisi keilmuan Islam kerana merka lebih tahu mengenai kebenaran al-Quran dan as-Sunnah serta ilmu Syariah dan Naqliat. Ulama juga merupakan pemimpin tertinggi dalam umat Islam. Martabat yang mulia dan kedudukan yang tinggi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada para ulama’ ini tidak terjejas dan tidak patut dipertikaikan selama mana para ulama itu sendiri dapat memelihara kemuliaan diri dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin tertinggi umat Islam. Selain itu, ulama’ dan pejuang kemerdekaan berasal dari seluruh pelosok negeri. Apa yang ingin diketengahkan di sini adalah mengenai ulama dan pejuang dari negeri Terengganu. Antara ulama dan
pejuang kemerdekaan yang sangat berjasa dalam memperjuangkan tanah air terutamanya di Terengganu ialah Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan beberapa orang ulama dan pejuang yang lain. Apa yang amat diharapkan oleh generasi terdahulu kepada generasi pada hari ini khususnya golongan muda supaya mereka menghargai jasa pejuang terdahulu serta mengekalkan apa yang kita nikmati sekarang. Selain itu, generasi muda juga seharusnya menjadi generasi yang tahan menangkis sebarang perkara yang boleh meruntuhkan dan merosakkan apa yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu serta mempunyai jiwa yang kental dalam mengharungi cabaran globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat agar dapat memupuk semangat patriotisme dalam masyarakat terutamanya generasi muda. Memahami Etimologi: Ulama bererti orang yang ahli dalam pengetahuan agama Islam.1 Dari segi bahasa pula ulama adalah jamak jam’u kepada perkataan ‘alima yang diambil daripada kata kerja (fi’lu) dalam bahasa Arab. Alima-yalamu adalah bermaksud tahu atau mengetahui. Jadi ‘alim itu ialah orang yang tahu dan ulama itu ialah orang-orang yang mengetahui.2 Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia menggunakan perkataan ulama dalam bentuk jamak, iaitu alim yang bermaksud seseorang yang mengetahui. Manakala dari segi makna atau istilah yang dipakai oleh orang ramai adalah perkataan alim (ulama); iaitu orang yang mengetahui hukum hakam
300
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
dan peraturan-peraturan Islam berdasarkan kepada sumber-sumber utama iaitu al-Quran dan al-Hadith.3 Selain itu, terdapat beberapa ayat al-Quran di mana di dalamnya menyatakan bahawa Allah S.W.T. mengangkat darjat para ulama seperti mana firman Allah S.W.T dalam Surah an-Nahlu ayat 43 Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.
Perkataan ulama juga telah dinyatakan dengan jelas dalam surah al-Fatir ayat 28 maksudnya: Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Menurut Umar Hasyim, apabila seseorang itu dinamakan ulama, maka ia memberi gambaran tentang seorang individu lelaki yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi berbanding dengan orang lain yang berada dalam lingkungan masyarakatnya.4 Menurut Mohd Kamal Hassan pula, ulama’ ialah mereka yang memiliki kaedah integrasi iman kepada Allah S.W.T., ilmu bermanfaat, amal yang salih dan akhlak yang mulia yang semuanya didasarkan kepada doktrin tauhid dalam mencari, mempelajari, mengajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka.5 Istilah ulama sebenarnya bukan menjurus kepada bidang agama sahaja seperti mana yang dianggap oleh masyarakat pada hari ini, tetapi ia membawa erti yang lebih luas iaitu sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang berkualiti dan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai, penguasaan dalam bidang sains dan teknologi serta mahir dalam ilmu kesusasteraan dan sebagainya di samping seorang ulama itu seorang yang soleh, berakhlak mulia dan sebagainya. Ulama dan Perjuangan Kemerdekaan di Terengganu: Terengganu adalah sebuah negeri di pantai timur yang terkenal dengan keindahan pantainya serta tempat pendaratan penyu untuk bertelur terutama di Pantai Rantau Abang. Namun begitu, sejarah awal negeri Terengganu tidak jelas kerana tidak banyak penemuan fakta sejarah tetapi terdapat beberapa catatan Terengganu Darul Iman oleh seorang saudagar cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang ada menyebut negeri ini sebagai sebahagian jajahan takluk Palembang di Sumatera. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Biwah, terdapat bukti kukuh betapa manusia terawal yang pernah tinggal di negeri Terengganu Darul Iman bermula sejak tahun 4000 Sebelum Masihi. Selain itu,
terdapat juga bukti lain iaitu penemuan Batu Bersurat Terengganu yang terdapat catatan nama Raja Mandalika yang menunjukkan bahawa Terengganu pernah berada di bawah kekuasaan pemerintah Islam.6 Biarpun kemasukan British agak lewat berbanding negeri-negeri lain di pantai barat, namun kekecohan yang dibawanya adalah sama yang mana pihak British juga menggunakan polisi ekonomi dan pentadbiran yang memihak kepada kepentingannya sahaja. Terengganu merupakan salah sebuah negeri yang terletak di bawah kekuasaan Siam. Namun, selepas Perjanjian Bangkok 1909 maka dengan rasminya Terengganu menerima seorang penasihat British pada tahun 1919.7 Sebaik menerima penasihat British, peraturan baru telah diperkenalkan bagi memenuhi kepentingan pihak British serta memperkenalkan pelbagai cukai yang membebankan. Hal ini telah menimbulkan perasaan kurang puas hati di kalangan penduduk Terengganu termasuklah Sultan Terengganu sendiri. Hal ini akhirnya menyebabkan tercetusnya pemberontakan yang bermula pada tahun 1922, 1925 dan pemberontakan terakhir pada tahun 1928. Pemberontakan tersebut sebenarnya dicetuskan oleh Haji Abdul Rahman Limbong walaupun beliau tidak terlibat secara langsung tapi semangat dan kata-kata beliau telah menaikkan semangat penduduk di sekitarnya pada masa itu. Selain itu juga, pencetus kepada penentangan terhadap British disebabkan oleh peristiwa kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah ke tangan golongan sekular pimpinan Kamal Antartuk yang ditaja oleh British telah menyebabkan Haji Abdul Rahman Limbong tidak berdiam diri. Sesuai dengan Dasar Itqanul Muluk yang melarang taat kepada Sultan yang menyerahkan negeri kepada bangsa Eropah. Oleh itu Haji Abdul Rahman Limbong bersama beberapa para ulama tempatan seperti Syed Saqqaf bin Tok Ku Paloh, Haji Musa bin Abdul Ghani Minangkabau, Imam Taib Ahmad Pasi Nering, Lebai Abdul Rahman, Tok Janggut dan Lebai Hassan Kuala Menjing telah melancarkan gerakan jihad dan Perang Sabil untuk menghalau British dan mengembalikan kuasa Sultan Muhammad. Pada tahun 1928, dianggap kemuncak bagi kebangkitan ini di mana rakyat Terengganu diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong telah mengangkat bendera merah atau bendera stambul yang membuktikan ada hubung kait yang rapat antara kebangkitan ini dengan Jihad Uthmaniyah.8 Dalam konteks kelahiran ulama di Terengganu dan pengaruh mereka dalam mencetuskan penentangan terhadap penjajahan serta penerimaan masyarakat terhadap perjuangan mereka itu adalah hasil daripada proses orientasi keagamaan yang telah berjalan dalam jangka masa yang panjang yang mana ia boleh dikatakan sebagai satu pertembungan yang kontras di antara nilai-nilai tamadun dan kebudayaan yang telah diasaskan oleh Islam dengan
301
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
sistem nilai dan kaedah yang bertentangan dengan yang dihayati dan diikuti serta berpunca daripada pihak yang selamanya telah dianggap sebagai musuh. Haji Abdul Rahman Limbong: Kalau kita bercakap tentang sejarah perjuangan ulama dalam memperjuangkan Terengganu, kita pasti akan terfikirkan jasa yang amat besar dimainkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong dalam mengetuai perjuangan penduduk melawan British. Nama sebenar beliau adalah Haji Abdul Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Kadir.9 Manakala gelaran “Limbong” adalah kerana pembabitannya sebagai guru di Kampung Limbong yang terletak di Cukai, Kemaman.10Beliau adalah seorang ulama dan pencetus dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air tercinta yang mana berjuang menggunakan corak agama terutamanya di Terengganu. Sejak dari kebangkitan 1922 sehingga kebangkitan 1925 dan seterusnya pemberontakan 1928, penglibatannya jelas sekali apabila tokoh tempatan dari Kuala Berang datang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana sepatutnya untuk diambil tindakan. Malah nama beliau turut tercatat dalam surat-surat kerahan agar berkumpul di Kuala Berang dan Telemong sebelum tercetusnya pemberontakan ini. Oleh kerana itu, sebagai hukumannya beliau dibuang negeri ke Mekah dengan harapan penentangan terhadap British tidak akan lagi wujud di Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong sangat dikagumi oleh anak muridnya dan juga penduduk Terengganu terutamanya penduduk Ulu Terengganu kerana beliau mengekalkan unsur-unsur ‘nativisme’ di dalam masyarakat. Misalnya masyarakat Ulu Terengganu pada tahun 1920-an yang merasai tekanan akibat campur tangan pihak Inggeris dalam pemerintahan negeri Terengganu. Masyarakat di Ulu Terengganu mahukan suasana seperti dahulu yang mana Terengganu bebas memerintah negeri mereka tanpa campur tangan pihak asing. Lalu mereka telah menjadikan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai role model dalam perjuangan mereka.11 Perbahasan tentang Kebangkitan 1921-1928, serta pembabitan Haji Abdul Rahman Limbong dalam peristiwa tersebut yang mana Haji Abdul Rahman Limbong telah disyaki bertanggungjawab dalam kegelisahan Kaum Tani di Ulu Terengganu semenjak berlakunya Kebangkitan 1928 yang menjadi punca kepada gerakan protes rakyat desa. Salah seorang pegawai Inggeris yang membuat laporan mengenai kekacauan di Ulu Terengganu 1928, H.W.Thomson telah membuat kesimpulan bahawa kekacauan itu keseluruhannya dirancang oleh Haji Abdul Rahman Limbong. J.L. Humphreys, penasihat British pula dalam laporannya menyifatkan penentangan oleh pengikut ulama itu sebagai penderhakaan. Akibatnya tokoh itu telah dibuang negeri ke Mekah bagi meredakan
ketegangan sosio-politik dalam negeri12 dan beliau meninggal dunia di sana pada 29 November 1929.13 Kemunculan Haji Abdul Rahman Limbong di dalam masyarakatnya jelas merangkumi dua bidang utama iaitu bidang pendidikan Islam dan mencetus kebangkitan masyarakatnya menentang penjajah yang saling berkaitan antara kedua bidang tersebut di mana, agama dan politik tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain kerana kedua-duanya saling berkaitan antara satu sama lain. Tok Guru Haji Abas: Nama sebenar beliau adalah Haji Abas bin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Abas. Beliau seorang ulama yang berkebolehan menguasai bahasa Arab dan Urdu, berkebolehan dalam beberapa mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah serta merupakan ilmuan Islam yang berperanan besar dalam pendidikan Islam khususnya pengajian pondok di Terengganu.14 Tok Guru Haji Abas telah dilahirkan di Kampung Bukit Puteri, Besut pada tahun 1909(1327H). Sebelum melanjutkan pelajarannya ke Mekah pada tahun 1923, beliau dikenali sebagai Haji Abas Kemucut kerana kebolehan dan daya ingatannya yang sangat kuat ketika berusia 14 tahun.15 Selepas kembali ke tanah air, beliau telah menjadi seorang mubaligh dan pengkritik yang mana beliau telah bergerak melalui masjid dan pondok dengan membahaskan tentang persoalanpersoalan yang sering ditimbulkan oleh golongan muda iaitu penentangan terhadap amalan-amalan tradisi dalam masyarakat seperti kenduri arwah dan pembacaan talkin. Namun begitu, beliau lebih tertumpu kepada isu-isu kebangsaan, khasnya kehadiran kaum imigran yang dirasakan menggugat politik dan ekonomi bumiputera. Beliau telah menyeru supaya rakyat Terengganu amnya dan Besut khususnya supaya memulau kedai-kedai orang Cina. Akibat daripada tindakan beliau itu, beliau telah ditahan beberapa bulan pada tahun 1936 oleh pihak Inggeris atas tindakannya itu berdasarkan laporan yang dibuat oleh orang-orang Cina terhadap pihak Inggeris. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat beliau dalam perjuangannya dalam menetang penjajahan terutamanya menentang kemasukan golongan imigran ke tanah air kita.16 Satu lagi peristiwa menarik yang melibatkan Haji Abas pada masa pendudukan Jepun adalah bagaimana beliau telah menyelamatkan orang tertentu dari dihantar ke Burma yang mana ketika beliau diarahkan oleh 0CPD untuk hantar namanama orang yang akan ke Burma tetapi beliau tidak mematuhi arahan OCPD tersebut dan meletakkan orang tertentu di pondoknya. Namun, persembunyian di pondoknya hanya sementara sahaja kerana pada waktu malam, orang tertentu tersebut telah melarikan diri.17 Walaupun beliau bukanlah seorang tokoh yang mengangkat senjata tetapi peranan beliau melindungi orang-orang tertentu dari dihantar ke
302
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Burma dan penentangan kemasukan imigran ke tanah air kita adalah satu sumbangan yang cukup besar dalam mempertahankan tanah air kita dari dijajah dan diperkotak katikkan oleh orang asing terutamanya orang Barat. Tok Ku Paloh: Nama beliau adalah Sayid Abdul Rahman bin Muhammad al-Idrus merupakan anak Tok Ku Tuan Besar. Jasa belaiu dalam bidang agama, sosial dan politik di Terenganu susah ditolak banding dengan sesiapa pun terutamanya pada masa kini. Beliau dilahirkan pada tahun 1236H/1817M di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu.18 Pada awalnya, Tok Ku Paloh mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyong(Wan Abdullah bin Mohd. Amin) sehinggalah beliau melanjutkan pelajaran di Mekah. Apabila pulang ke negeri asalnya, beliau telah mengajar di surau bapanya di Chabang Tiga tetapi kemudiannya berpindah ke Kampung Paloh yang jauhnya kira-kira lima batu dari Kuala Terengganu yang mana beliau telah mendirikan pondoknya di sini. Pengajarannya telah berjaya menarik ramai penuntut yang bukan sahaja dari sekitar Terengganu bahkan penuntut dari Pahang dan Kelantan. Selain itu juga, Haji Badul Rahman Limbong dan Lebai Abdul Rahman (Tok Janggut) yang terlibat dalam kebangkitan di Hulu Terengganu pada tahun 1920an juga pernah mengikuti pengajian agama di Surau Tok Ku Paloh. Sepanjang hidup, beliau mengajar dalam pelbagai bidang namun bidang yang paling diminatinya ialah tasawuf.19 Perasaan tidak puas hati timbul sejak kemasukan Penasihat British ke Terengganu yang mana golongan ulama’ terutamanya Tok Ku Paloh telah sebar idea antipenjajahan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam tulisannya (Maarij AlLahfan), yang mencela golongan munafik yang dianggapnya sebagai golongan yang lebih berbahaya daripada orang kafir itu sendiri dan kedua-duanya adalah seteru Allah dan orang Islam.20 Dalam Pemberontakan Pahang, penentangpenentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah berundur dan hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan dari kerajaan. Walau bagaimanapun, mereka telah menghubungi Tok Ku Paloh lalu beliau telah memberi semangat baru kepada pejuang-pejuang tersebut dalam mempertahankan Pahang dari dijajah oleh British. Setelah mendapat perlindungan daripada Tok Ku Paloh di Paloh serta diajar dengan ilmu menentang musuh.21 Setelah itu, dengan sokongan Tok Ku Paloh serta sokongan Sultan dan rakyat Terengganu, mereka bersedia melancarkan serangan tahap kedua berdasarkan kepada kecintaan kepada agama dan tanah air dengan menggunakan semboyan “Perang Jihad” yang telah ditiup oleh Tok Ku Paloh.22 Di samping itu juga, beliau telah memberi bantuan seramai 200 orang Terengganu dan Kelantan kepada para pejuang Pahang seterusnya mereka telah menggempur dan
menyerang British hingga berjaya menawan kubu British di Jeram Ampai, Pahang.23 Tok Ku Paloh juga diberi mandat daripada Sultan untuk menghadirkan diri untuk berunding dengan wakil British. Namun, rundingan pertama di atas kapal British terpaksa ditangguhkan kerana kapal British tiba-tiba senget beberapa kali apabila Tok Ku Paloh menyengetkan serbannya. Hal ini menakutkan wakil British dan menganggap kejadian itu sebagai sihir, sedang hal itu adalah karamah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada Tok Ku Paloh. Oleh itu, rundingan seterusnya telah dilakukan di rumah Tok Ku Paloh.24 Mengikut laporan diterima, angkatan perang British yang datang menyerang Terengganu telah berjaya dipatahkan oleh Tok Ku Paloh kerana mengikut dakwaan pihak British, mereka nampak beribu-ribu pahlawan Terengganu yang lengkap bersenjata bersedia untuk menyerang kapal British. Lalu mereka mengundur diri. Hal ini juga disebabkan oleh karamah yang dimiliki oleh Tok Ku Paloh. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh dalam diri Tok Ku Paloh itulah yang membuatkan pihak British tidak berjaya menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917 ketika berusia 100 tahun.25 Di samping itu, kalau kita lihat dari aspek lain, ketokohan dan kewibawaan Tok Ku Paloh terserlah kerana berjaya menimbulkan perasaan bimbang di kalangan pihak British terutamanya ketika membangkitkan semula semangat pejuang kemerdekaan negeri Pahang dengan melaungkan semangat jihad. Kehadirannya juga telah menggagalkan usaha-usaha awal British untuk bertapak di Terengganu. KESIMPULAN Sebagaimana yang kita ketahui, Tanah Melayu mula dijajah secara rasminya setelah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 yang mana telah menyebabkan runtuhnya Tamadun Melayu yang seterusnya kita terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing Seperti British, Belanda, Siam dan Jepun dalam tempoh yang sangat lama iaitu kira-kira 450 tahun tanpa kita sedari. Hal ini telah menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang mundur dan lemah akibat penjajahan yang begitu lama ini. Justeru itu, diantara orang yang awal bangkit menetang penjajah dan seterusnya memerdekakan Tanah Melayu adalah para ulama’. Para ulama’ sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir mereka bagi melihat bangsa kita terutama Melayu dapat kembali dan bebas dari jajahan kuasa asing serta mampu memerintah tanah air sendiri tanpa campur tangan pihak asing. Akhirnya, apa yang dapat disimpulkan di sini bahawa semangat perjuangan ulama’ dan pejuang kemerdekaan menentang penjajahan patutlah dicontohi dan hargai atas sikap mereka yang,
303
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
sanggup berkorban nyawa dan harta benda dalam mempertahankan tanah air kita. Selain itu juga, kita juga dapat lihat sikap berdisiplin yang tinggi di kalangan ulama dan pejuang yang menjadi salah satu penyebab utama perjuangan mereka berjaya dengan jayanya sehingga digeruni oleh penjajah. Oleh itu, generasi hari ini mestilah mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa penentangan ulama’ dan pejuang terdahulu terhadap penjajah agar generasi hari ini tiidak tunduk kepada sebarang bentuk penjajahan sama ada dari segi fizikal atau mental.
11 12
13
14 15 16 17 18
NOTA HUJUNG 1
2
3
4
5
6
7
8 9
10
Noresah Baharom et.al (Ed.) (2007), Kamus Dewan Edisi Keempat, c.2, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 1759. Ismail Bin Muhammad Ismail (1991), “Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Peranannya Dalam Perkembangan Islam Di Malaysia”, (Latihan Ilmiah, Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), h. 30. Ahmad Zahiruddin Uthman (2010/2011), “Peranan Ulama Dalam Sistem Politik Malaysia”, (Latihan Ilmiah, Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya), h. 14. Umar Hasyim (1978), Peranan Ulama Pewaris Nabi, Johor: Pena Emas. Mohd. Kamal Hassan, Penghayatan Dalam Mempelajari Dan Mengembangkan Ilmu, dlm. Jurnal Pendidikan Islam, bil.33, September, 1985, h. 14. Wan Maizura Wan Mahmud (2006), Pahlawan Kelantan, Terengganu Dan Negeri Sembilan, Selangor: Pustaka Cahaya Intelek, h. 15-16. Riduan Mohd Nor & Mohd Fadli Ghani (2007), Ulama’ Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan, Selangor: MHI Publication, h. 69. Ibid., h. 108. Wan Maizura Wan Mahmud (2006), Pahlawan Kelantan, Terengganu Dan Negeri Sembilan, Selangor: Pustaka Cahaya Intelek, h. 19. Timah Hamzah (1981), Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu Satu Kajian Ketokohan Dan Kepimpinan Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 27.
19
20
21 22 23
24
25
304
Ibid., h. 53-54. T.p (1991), Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Muhammad Abu Bakar (peny.), Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd., h.197-198. Wan Maizura Wan Mahmud (2006), Pahlawan Kelantan, Terengganu Dan Negeri Sembilan, Selangor: Pustaka Cahaya Intelek, h. 27. T.p (1991), op.cit., h.120. Ibid., h.12. Ibid., h.123. Ibid., h.125. Wan Maizura Wan Mahmud (2006), Pahlawan Kelantan, Terengganu Dan Negeri Sembilan, Selangor: Pustaka Cahaya Intelek, h. 28. Shafie Abu Bakar (1991), Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad (Tok Ku Paloh) Berasaskan Karangannya Ma’arij Al-Lahfan, (Kertas Kerja Seminar Kolokium Masyarakat Melayu Abad Ke-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia, 26 Oktober 1991), h. 190. Shafie Abu Bakar (1991), Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad (Tok Ku Paloh) Berasaskan Karangannya Ma’arij Al-Lahfan, (Kertas Kerja Seminar Kolokium Masyarakat Melayu Abad Ke-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia, 26 Oktober 1991), h 205. Ibid., h. 18. Ibid., h. 33. Abdul Rahman Abdullah (1994), Gerakan Anti Penjajahan Di Malaysia 1511-1950: Pengaruh Agama Dan Tarikat, Kuala Lumpur: Penerbitan Kintan Sdn. Bhd., h. 83. Shafie Abu Bakar (1991), Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad (Tok Ku Paloh) Berasaskan Karangannya Ma’arij Al-Lahfan, (Kertas Kerja Seminar Kolokium Masyarakat Melayu Abad Ke-19 di Universiti Kebangsaan Malaysia, 26 Oktober 1991), h. 37. Wan Maizura Wan Mahmud (2006), Pahlawan Kelantan, Terengganu Dan Negeri Sembilan, Selangor: Pustaka Cahaya Intelek, h. 38-39.