9:27:22 AM
1
TEKS UCAPAN
'Bangsa Angkasa' bertamadun hebat ALHAMDULILLAH, eloklah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka sekali lagi kita dapat bersama-sama menghadiri perhimpunan bersejarah di Dewan Merdeka yang indah ini. Masih seakan-akan terdengar gema laungan Merdeka, Merdeka, Merdeka! di dataran dan stadium seluruh negara sempena Sambutan Perayaan 50 tahun Kemerdekaan pada 31 Ogos 2007 lalu. Wanita, Pemuda dan Puteri telah tampil dengan gagah dalam melakar sejarah, sempena sambutan setengah abad pembinaan tamadun negara. Setinggi-tinggi tahniah kita rakamkan kepada semua. Wanita, Pemuda dan Puteri Saudara-saudari adalah sayap utama, tulang belakang parti keramat kita, parti Umno. Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai bidang tugas dan kumpulan sasar berbeza, namun matlamatnya tetap sama. Sesungguhnya matlamat mulia kita ialah untuk mendaulat agama, membela bangsa dan membina negara. Arena pentas juang kita bukan hanya di gelanggang nasional, namun merentas hingga ke persada internasional. Kejayaan kita kini dari mendasari lautan hinggalah melangit ke angkasa lepas. Saudara-saudari adalah saf pejuang parti yang terbukti dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum, menjadi barisan hadapan menghadapi parti pembangkang. Kepintaran, kegagahan dan kesegaran daya juang saudara-saudari membantu memastikan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan kita yang masih panjang. Saudara-saudari adalah pewaris perjuangan dan sumber generasi baru yang sedang dan bakal menjadi pemimpin bangsa. Pucuk pimpinan dan Majlis Tertinggi sentiasa mengiktiraf hakikat penting ini. Kita akan terus bersama menyokong idealisme serta aspirasi saudara saudari. Perjuangan kalian semua akan sentiasa dikenang oleh anak bangsa dan insya-Allah akan sentiasa dikurnia keberkatan. Dalam setengah abad negara kita merdeka, Perhimpunan Agung Umno kali ini menempa sejarah tersendiri. 50 tahun kemerdekaan adalah peristiwa penting sebagai batu tanda perjuangan sebuah negara bangsa. Tahun-tahun yang berlalu adalah jejak bertapak negarawan dan pejuang yang telah melakar sejarah demi membina tamadun. Saudara-saudari adalah pendukung tamadun negara bangsa yang telah dan sedang dibina. Terpikul di bahu, digalas dan dipangku suatu amanah untuk merencana dan
www.happysus.com
1
9:27:22 AM
2
TEKS UCAPAN membina peradaban 50 tahun kedua yang sudah bermula pada detik 12 malam 31 Ogos 2007 lalu. Langkah bertapak kita selepas ini adalah jejak-jejak perwira yang akan menjadi ingatan untuk 50 tahun akan datang. >> Mengangkasa Tamadun Bangsa Bangsa kita yang sekian lama berkampung di hulu dan membumi di darat perlu menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan. Dalam persaingan global sekarang ini tidak cukup dengan mengantarabangsakan Melayu. Malahan, kita sudah sampai ke tahap tertinggi iaitu mengangkasakan bangsa kita. Semuanya bermula dengan impian besar, impian yang kini semakin menjadi realiti. Peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad diangkat Allah ke langit Sidratul Muntaha, sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir oleh manusia. "Bangsa Angkasa" atau 'space nation' adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi. Bangsa Angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa. Justeru, 'Mengangkasa Tamadun Bangsa' adalah tema ucapan saya pada tahun bersejarah ini. Istilah 'mengangkasa' yang dimaksudkan ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan, impian dan cita-cita. Ia boleh juga bermakna menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada kini ke tahap lebih tinggi. Ia bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti. Tamadun pula bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan pada taraf kemajuan pembangunan serta perkembangan pemikiran, termasuk sosial, budaya, politik dan ekonomi yang mencapai tahap yang tinggi. Ia juga dikenali sebagai peradaban iaitu keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu masyarakat. Ibnu Khaldun, adalah tokoh sarjana Islam pertama yang membuat kajian khusus mengenai tamadun dalam bukunya Muqaddimah. Tulisan beliau itu adalah karya kurun ke-14 sedangkan di Eropah perkataan civilisation hanya mula diungkapkan pada kurun ke-18. Tamadun Malaysia yang terus kita bina adalah kombinasi peradaban Melayu Islam dan nilai-nilai yang baik serta universal daripada tamadun China, India, Barat mahupun Timur. Merujuk kepada istilah bahasa Arab yang lain, tamadun adalah sama pengertiannya dengan hadarah atau umran. Apabila diutarakan hasrat mengangkasa hadarah atau tamadun, ia adalah sejajar dengan gagasan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai gagasan
www.happysus.com
2
9:27:22 AM
3
TEKS UCAPAN Islam Hadhari, pendekatan Islam yang menekankan aspek tamadun. Hasrat kita di satu ketika, peradaban yang dibina mampu mencapai tahap terbilang, setinggi dan seluas angkasa, menjadi rujukan dan tanda aras kepada seluruh dunia. Jika diteliti dalam perjalanan membina peradaban 50 tahun negara dan 61 tahun Umno, mengimbau langkah patriot ke arah kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan, ternyata jalan-jalannya tidaklah terlalu mudah dan tidak juga terlalu sukar. Ketika kita berada di persimpangan, pemimpin kita telah membuat pilihan yang tepat. Kita tidak mabuk kuasa tetapi lebih mengutamakan permuafakatan demi membina negara majmuk ini. Kini, untuk 50 tahun kedua pembinaan tamadun negara, penyambung warisan iaitu generasi baru kepada pejuang dan rakyat zaman merdeka, sedang meneruskan perjuangan. Umpamakan sebuah larian berganti-ganti yang panjang, baton larian dan obor perjuangan itu kini berada di tangan kiri dan kanan setiap kita yang bergelar pemimpin, besar atau kecil dalam dewan ini serta di luar sana. Jika saya katakan pewaris pejuang dan pembina peradaban itu adalah kita semua, ya benar, kitalah orangnya; Mamat dan Dollah, Timah dan Joyah, Sabran dan Suparman; Fidah, Hisham dan Ani; Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia, untuk mendukung amanah menggalas perjuangan mengangkasa tamadun bangsa? >> Sejarah Pembinaan Tamadun Membina peradaban memerlukan usaha berterusan. Ia telah dibina ketika zaman kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka dulu. Ketika itu, rantau kita dikenali sebagai pusat Tamadun Melayu Islam. Kemudian bangsa kita berpecah dan lemah, dijajah bersilih ganti selama 446 tahun, hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Dalam memperjuang dan mengisi kemerdekaan, kita terhutang budi yang tiada taranya, kepada negarawan pembina tamadun negara; Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad serta pemimpin kaum lain juga. Mereka adalah Pengasas Negara Bangsa, Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan, Bapa Perpaduan, Bapa Pemodenan dan pembina tanah air tercinta ini. Selepas setengah abad berlalu, kita dapat melihat pembangunan yang mengubah landskap di bandar-bandar ibu negeri, di Kuala Lumpur dan di Putrajaya. Menara berkembar KLCC yang tertinggi di dunia tersergam gagah di bumi bertuah. Putrajaya adalah lambang terbaru dalam usaha pembinaan hadarah. Aman, makmur, harmoni, Tamadun bangsa, diangkasakan, Di tanah air tercinta ini, Satu idealisme perjuangan, Mari bersama kita renungi, Tanpa noktah, tiada kesudahan.
www.happysus.com
3
9:27:22 AM
4
TEKS UCAPAN Menyingkap khazanah sejarah, selepas wujud peradaban terutama Romawi dan Parsi, maka Tamadun Islam telah mewarnai kehidupan, menguasai dunia selama hampir 700 tahun iaitu dari kurun kesembilan hingga kurun ke-15. Antara pusat kegemilangan Islam pada ketika itu selain Makkah dan Madinah ialah Baghdad, Cordova, Bukhara, Damsyik, Marakesh, Samarkhand, Kufah, Toledo, Isfahan dan Granada. Sedangkan dunia Barat pula, pada masa itu berada dalam zaman kelam sebelum tibanya zaman pembaharuan. Namun, mulai kurun ke-15, dunia Barat mengambil alih, menjajah ke serata tempat untuk menyebar ideologi 3G; Gold, Gospel and Glory atau 3K; Kekayaan, Ketuhanan dan Keagungan. Akibat pelbagai sebab, Kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Maka bermulalah era Tamadun Barat yang cuba disogokkan kepada kita. Berkat agama Islam, bahasa dan budaya Melayu, jati diri kita, tetap teguh hingga kini. Kaum Cina dan India yang berhijrah, telah kita terima sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama membangun negara. >> Lima Teras Mengangkasa Tamadun Bangsa Memiliki sejarah peradaban yang gemilang itu penting, tetapi yang lebih utama ialah zaman ini dan akan datang itu mestilah lebih gemilang. Nostalgia warisan lepas adalah untuk teladan dan sempadan. Pada saat ini, kita di sini dan eloklah pada hari esok dan lusa, tamadun setinggi angkasa itu sepatutnya sudah berada di depan mata. Perjalanan yang panjang berliku telah diimbas dengan ringkas untuk mengingatkan kita kepada kejayaan dan kegagalan. Untuk seterusnya, kita memerlukan ‘peta jalan dan batu tanda’ perancangan hebat dan pelaksanaan yang cekap bagi memastikan kegemilangan. Ucapan ini hanyalah suatu pemangkin terhadap usaha bersepadu membabitkan iltizam politik, jentera parti dan kerajaan dengan dukungan semua rakyat. Tamadun yang holistik merangkumi himpunan membabitkan agama, budaya, warisan, bahasa, sejarah, kesenian, sains, teknologi, kreativiti, inovasi, bangunan, gedung ilmu, prasarana desa, pekan, kota dan kehidupan masyarakat sesebuah negara. Justeru, pada pandangan saya, untuk mengangkasa tamadun bangsa, kita memerlukan lima teras utama berikut: • • • • •
Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju, Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan, Agama dan budaya sebagai asas peradaban, Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan; dan Kestabilan politik sebagai prasyarat.
>> Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju Dalam ucapan pada 2005 di perhimpunan ini, saya mengutarakan perlunya 'Menjana Melayu Glokal' iaitu Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Kita hebat
www.happysus.com
4
9:27:22 AM
5
TEKS UCAPAN dalam negara dan kita berperanan di arena antarabangsa bertunjangkan kepada budaya Melayu dan ajaran Islam yang mulia. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke seantero dunia. Dalam mengangkasa tamadun bangsa, Melayu Glokal adalah suatu dimensi baru yang menuntut kita melonjak ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing untuk berlumba menjadi yang terbaik di pentas dunia. Glokalisasi pula ialah suatu proses pemikiran dan perlakuan dalam kehidupan manusia yang ingin hebat di arena global di samping cemerlang di medan lokal. Pemikiran glokal ini, hendaklah direalisasikan oleh semua agar dapat bersama membina negara yang berjaya. Terpenting untuk menjadi Melayu Glokal ialah melalui minda yang diasah dan diasuh dengan sempurna. Maka, pada tahun lalu di perhimpunan ini, saya menyarankan untuk 'Memacu Minda Melayu'. Bermula daripada otak yang sihat, terbentuklah minda, akal dan pemikiran iaitu kunci untuk membuka pintu kejayaan. Jika kita ingin maju, gunakanlah kapasiti minda ke tahap maksimum untuk bertarung di gelanggang dunia. Sesungguhnya, pertarungan pada masa kini dan masa hadapan adalah pertarungan minda. Lantaran itu, minda Melayu perlu dipacu dengan pembelajaran dan latihan mengenai pemikiran positif, kreatif, lateral, proaktif dan inovatif. Saya telah menyarankan agar perlunya mengubah minda Melayu melalui kepemimpinan transformasi, bekerja sebagai satu pasukan, menjayakan agenda Melayu, melalui pegangan akidah dan terus membina generasi muda. Semuanya ini adalah resipi untuk kekuatan mental bangsa Melayu Glokal yang berminda kelas pertama. Kita perlu mencipta pemikiran baru dalam persekitaran dan realiti baru agar roh perjuangan sentiasa segar dan relevan. Maksud pemikiran baru ialah berfikir dalam kerangka minda mengikut peredaran masa, kreatif dan inovatif mencipta metodologi baru dalam membawa perubahan. Selain kuasa politik dan kuasa ekonomi, pada hemat saya, kuasa minda adalah yang terpenting dan mesti dimiliki bagi memastikan kegemilangan tamadun yang sedang dibina. Dengan semangat glokal dan kuasa minda yang hebat, maka kejayaan demi kejayaan akan terus kita capai. Contohnya, tepat jam 9.21 malam, 10 Oktober 2007 yang lalu, pada malam 28 Ramadan, seluruh negara dan dunia Islam seharusnya bergembira kerana dikurniakan seorang angkasawan, Dr Sheikh Muszhapar Shukor.
www.happysus.com
5
9:27:22 AM
6
TEKS UCAPAN Beliau berjaya sebagai angkasawan meneroka alam ciptaan Tuhan, mengharumkan Malaysia dan menjadi orang Melayu Islam pertama berada dalam bulan Ramadan dan Syawal di angkasa lepas. Ini adalah contoh kejayaan secara literal, maksud mengangkasa tamadun bangsa yang menjadi tema ucapan saya. Seorang lagi, Mejar Dr Faiz Khaleed juga telah berjasa, sebagai sahabat pemberi semangat dan angkasawan pasukan kedua. Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjadi frasa baru perbualan kita, di mana juga. Perkataan angkasawan disebut dalam istilah aeroangkasa seumpama astronaut Amerika dan cosmonaut Rusia. Kejayaan sempena 50 tahun kemerdekaan ini tercatat dalam lipatan sejarah dengan tinta emas yang terukir sepanjang zaman. Kita akan terus melangkah ke era penerokaan baru untuk memahami ilmu dan teknologi aeroangkasa. Usaha ini bukan sekadar menghantar seorang angkasawan, tetapi adalah simbol impian satu bangsa yang boleh mencapai kejayaan setinggi bintang. Kejayaan ini juga memberi semangat bahawa sebenarnya anak Melayu, anak Malaysia mampu mencapai ke puncak pelbagai kegemilangan. Maka, di perhimpunan bersejarah ini, kita merakamkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan angkasawan negara. Mudah-mudahan ia akan terus menjana motivasi di kalangan anak bangsa, menjadi idola generasi muda dan teladan rakyat Malaysia untuk menempa nama dalam semua bidang agar menggenggam kemanisan kejayaan perjuangan. Dalam masa kurang 48 jam, antara 21 dan 23 Oktober 2007, negara sudah mencipta tiga sejarah pada peringkat antarabangsa. Pada masa itu, Dr Sheikh Muszaphar selamat mendarat di bumi, berjaya melengkapkan misi sebagai angkasawan pertama negara. Di Perancis, kapal selam tercanggih, Scor pene dilancarkan dengan nama KD Tunku Abdul Rahman, menjadi kapal selam pertama negara. Sementara itu, Menteri Pelajaran kita pula berjaya menjadi Ahli Lembaga Eksekutif Unesco dengan undi tertinggi bagi rantau Asia Pasifik. Ini adalah simbol kejayaan yang unik dan menjadi peristiwa bersejarah, sebagai petanda cita-cita mengangkasa tamadun bangsa adalah usaha yang bukan khayalan. >> Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan Perubahan zaman telah menukarkan penekanan terhadap faktor modal tanah, bangunan dan wang, kepada yang lebih utama iaitu modal insan. Kita ingin membina generasi yang disebut Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 100, sebagai Ulul Al-Bab, generasi yang mempunyai pemikiran bernas, menggunakan akal fikiran, cerdik dan bijaksana untuk membina kehidupan.
www.happysus.com
6
9:27:22 AM
7
TEKS UCAPAN Generasi ini adalah insan yang terampil dengan pekerti dan akhlak termulia, lengkap dengan ilmu dan kefahaman agama, malah pada ketika yang sama mahir dalam pelbagai bidang. Mereka adalah graduan pelbagai jurusan, doktor pakar, akauntan bertauliah, jurutera, arkitek dan peguam serta usahawan tulen. Sementara, jiwa dan pekerti mereka adalah penuh dengan keimanan dan ketakwaan. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan tahun ini juga menuju ke arah membina generasi Ulul Al-Bab, insan berminda saintifik dan bertaqwa. Ia telah ditegaskan dalam ucapan dasar Presiden sewaktu Perhimpunan Agung Umno tahun 2006 mengenai pembinaan masyarakat Ulul Al-Bab yang membolehkan ummah mendaki tangga kemajuan hingga ke puncak kejayaan. Firman Allah yang pertama daripada keseluruhan ayat al-Quran adalah Iqra' iaitu Bacalah. Tafsiran yang luas terhadap Iqra’ ialah pendidikan menyeluruh dari buaian hingga ke liang lahad, dalam segala aspek ilmu dunia akhirat. Jika bangsa Melayu dan umat Islam menghayati, mengamalkan semangat Iqra' , suruhan menuntut ilmu, maka kita yakin kegemilangan peradaban akan dapat dibina semula. Pada setiap tahun, satu angka yang besar pelajar keluaran sekolah menengah di negara ini tamat alam persekolahan dengan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa memiliki kemahiran lain. Angka ini perlulah dikurangkan secepat mungkin. Mereka mesti dicari dan diberi pelbagai latihan yang sesuai dengan pasaran semasa industri dan keperluan negara. Memberi kemahiran kepada anak bangsa dan peluang kali kedua ini, mestilah diberikan fokus bersepadu dan tindakan segera oleh semua pihak yang berkaitan. Generasi baru Felda misalnya sedang melalui transformasi dilatih melalui falsafah jika generasi pertama meneroka ladang, generasi seterusnya perlu meneroka minda. Setakat tiga tahun ini, lebih 19,000 orang telah dan sedang diberi pelbagai kemahiran termasuk 169 bakal menjadi jurutera penyelenggaraan pesawat. Lulusan dari Malaysia Airlines Engineering Training Centre (METC) ini mempunyai pengiktirafan antarabangsa dan boleh berkhidmat di serata dunia. Mereka bakal menjadi generasi glokal, walaupun asalnya dari rancangan nun jauh di luar bandar. Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah diluluskan pengambilan 200,000 pelajar menjelang tahun 2010 sedang giat melaksanakan keputusan itu. Kampus baru UiTM dilancarkan di Kuala Pilah, sementara kampus di Puncak Alam serta Fakulti Perubatan dan Pergigian di Sungai Buluh sedang dalam pembinaan. Kampus negeri kedua di Tapah, di Bukit Besi dan di Bertam, serta Kampus Kota di Johor Baru, Melaka dan di Kota Bharu sedang dalam pelaksanaan. Sejumlah 22 kolej francais sudah mula beroperasi membantu UiTM mencapai hasrat 200,000 pelajar itu.
www.happysus.com
7
9:27:22 AM
8
TEKS UCAPAN Sebagai sumbangan Umno secara langsung kepada pendidikan anak bangsa, Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR) sekarang ini dimiliki sepenuhnya oleh parti kita. UniTAR setelah disusun dan distrukturkan sepenuhnya akan menjadi universiti yang khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan kepimpinan. Kurikulumnya sedang dibangunkan bersama Babson College Amerika Syarikat, sebuah kolej nombor satu di dunia dalam bidang pendidikan keusahawanan. Semuanya ini menjadi bukti usaha kita untuk merungkaikan lambakan ketempangan bangsa yang telah bertimbun sekian lama. Kini, terdapat lebih 330,000 siswa-siswi di IPTA seluruh negara. Daripada angka itu, lebih 200,000 atau 60 peratus setiap tahun adalah siswi yang berumur puteri, bakal menjadi wanita muda yang profesional. Bayangkan kekuatan puteri pelbagai kaum itu yang bakal bekerja di seluruh pelosok negara. Bayangkan kekuatan Puteri Umno dan juga Pemuda jika siswa-siswi Melayu itu suatu ketika nanti menjadi ahli Umno dan turut bersama mengangkasa tamadun bangsa. Bayangkan ibu bapa yang merasa amat bahagia kerana melahirkan generasi yang berjaya. Percayalah bahawa umat Melayu boleh maju. Percayalah bahawa kita boleh berjaya. Kita boleh maju dan berjaya untuk mencapai apa saja citra dan cita-cita mulia. Syarat utamanya ialah melalui ilmu dan pendidikan. Oleh itu, pelaburan terpenting sesebuah keluarga Melayu bukan untuk memiliki tanah, rumah dan kereta besar saja. Namun, yang nombor wahid adalah untuk memastikan anak-anak, cucu-cicit kita menguasai ilmu dan berjaya dalam pendidikan setinggi mungkin. >> Agama dan budaya sebagai asas peradaban Mendaulatkan Islam adalah perjuangan mulia yang wajar dikekalkan dalam sebuah negara Islam Malaysia. Umno adalah peneraju, pembela, pejuang agama kita yang suci. Jangan kita tergelincir daripada landasan kebenaran dan menggadai prinsip untuk mendaulatkan agama. Pendekatan Islam Hadhari adalah contoh kreatif pemikiran yang melihat Islam melebihi kebiasaan daripada agama yang hanya berbentuk ritual. Pada ketika yang sama, hak kebebasan kaum lain untuk mengamalkan agama mereka tetap termaktub dalam Perlembagaan negara. Hakikatnya, Islam adalah suatu budaya, cara hidup yang syumul dan sempurna mencakupi keseluruhan hal kehidupan. Islam adalah mengenai akidah, syariah, akhlak dan juga aspek pembangunan. Umat Islam wajar menjadi contoh termasuk dalam mencipta sejarah dan membina personaliti terbilang sebagaimana pada zaman kegemilangannya. Perbalahan soal ritual dan tertutupnya minda, terhadap kepentingan menguasai kedua-dua ilmu wahyu dan ilmu duniawi hanya akan melemahkan kita.
www.happysus.com
8
9:27:22 AM
9
TEKS UCAPAN Sewaktu Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam berlangsung pada awal tahun ini di Kuala Lumpur, bertema "Sains Islam Mendahului Zaman", telah dihimpunkan 150 ciptaan ilmuwan Islam yang menakjubkan. Teknologi sains itu memberi anjakan paradigma baru dalam bidang astronomi, geografi, navigasi, penerokaan alam, perubatan, matematik, kesenian, arkitek dan pelbagai lagi. Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam sebuah hadis antara lain bermaksud: "Barang siapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya satu jalan menuju Syurga...". Cendekiawan Islam dulu pastinya telah mentafsir hadis ini dengan persis sekali hingga menghasilkan pelbagai kejayaan dalam membina tamadun manusia. Nama-nama besar dalam sejarah tamadun Islam telah termaktub sebagai saintis, pencipta dan cendekiawan. Ibnu Sina yang dilahirkan pada 980 Masihi adalah seorang tokoh perubatan dunia yang terulung. Bukunya Al-Qanun Fil Tabib diterjemahkan ke dalam 15 bahasa dan menjadi rujukan beratus-ratus tahun dalam bidang perubatan. Sebuah buku beliau yang lain menghuraikan 760 jenis penyakit. Al-Farabi pula digelar Aristotle kedua, adalah ahli falsafah Islam yang terkenal. Al Razi telah menghasilkan 200 karangan termasuk buku dan majalah dalam bidang sains, sejarah dan falsafah. Al-Hazen mahir dalam bidang falak, matematik dan geometri. Jabir Ibnu Haiyan dikenali sebagai bapa ilmu kimia moden. Al-Zahrawi adalah seorang pakar bedah manakala Al-Khawarizmi sarjana matematik dan astronomi. Sementara AlGhazali pula adalah seorang ulama tafsir, tasawuf dan falsafah yang telah menulis 300 buah kitab. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk mencapai ke tahap kehebatan cendekiawan Islam yang disebut itu. Namun, jika kita selalu alpa, buat kerja alang-alang dan alon-alon (bahasa Jawa yang bermaksud lambat-lambat), dengan pelbagai alasan, maka alamat akan alah atau kalah kita di gelanggang persaingan dalam alaf yang mencabar. Semuanya juga bermula dengan al – alpa, alang-alang, alon-alon, alasan, alamat kita alah dalam alaf ini. Apa yang kita usahakan ini adalah sesuai dengan firman Allah dalam surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud: "Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembusi (menjangkau) keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi, maka cubalah menembusi keluar. Kamu tidak akan menembusi keluar melainkan dengan satu kekuasaan". Tafsiran semasa ayat ini adalah merujuk kepada istilah kekuasaan untuk merentasi langit dan bumi. Kekuasaan boleh diertikan sebagai kekuatan minda dan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kekayaan
www.happysus.com
9
9:27:22 AM
10
TEKS UCAPAN harta benda, serta sikap mereka yang ingin berjaya seperti mengamalkan budaya ketepatan. Setelah dirancang dan diusahakan dengan penguasaan ilmu dan budaya kerja yang hebat, dengan izin Allah SWT jua, merentasi langit dan bumi akan menjadi realiti. >> Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah Melayu masih belum menguasai ekonomi yang sewajarnya. Kita mesti terbabit dengan aktif dalam bidang ekonomi, barulah pengagihan kekayaan itu merata sifatnya. Kaedah kongsi kuasa pelbagai kaum di negara ini sepatutnya bukan hanya dalam politik tetapi tidak kurang penting ialah berkongsi kuasa ekonomi. Kita tidak berhasrat untuk merampas hak orang lain. Namun, yang kita kehendaki ialah sepotong kek yang lebih saiznya daripada kek ekonomi yang sudah tentunya semakin membesar. Ini adalah satu usaha untuk kita melangsai himpunan kelemahan bangsa yang terkumpul sekian lama. Ada pemimpin pembangkang Melayu pernah menyebut bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu ditolak kerana memperkayakan sebilangan kecil Melayu dan menuduh hanya tiga empat kerat saja yang dapat. Dasar Ekonomi Baru sebenarnya telah mewujudkan banyak kejayaan seperti menambah golongan menengah Melayu. Kejayaan lain ialah menambah bilangan akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera, juru ukur dan peguam Melayu kepada 42,414 orang atau 38.8 peratus. Ini ialah daripada 109,532 orang profesional sebagaimana data laporan Rancangan Malaysia Kesembilan. Angka 42,414 orang Melayu ini bukannya tiga atau empat kerat, berbanding pada awal DEB, profesional Melayu hanyalah lima peratus atau 225 orang saja. Pihak pembangkang jangan sekali-kali cuba memalsukan fakta yang benar! Selain angka itu, ratusan ribu orang Melayu lagi adalah hasil produk DEB, lulusan pelbagai universiti, juga adalah anak kelahiran dasar ini. “Anak-anak DEB” kebanyakannya adalah dari pekan dan desa yang asalnya serba kekurangan, termasuklah sebilangan besar yang berada dalam dewan ini. Seorang Melayu yang menjadi ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang terkemuka di negara ini, menguruskan berbilion ringgit urusan syarikat, mengakui bahawa beliau adalah anak seorang buruh, bersyukur dan bangga menjadi anak DEB. Oleh itu, selagi Umno ada, selagi hayat dikandung badan, kita akan sentiasa berjuang untuk meneruskan agenda ekonomi Melayu. Agenda ini bukan saja untuk kebaikan kita, tetapi untuk perpaduan seluruh rakyat di Malaysia. Melayu mesti menjadi bangsa yang hebat dan terbukti telah melayari lautan, mendaki
www.happysus.com
10
9:27:22 AM
11
TEKS UCAPAN gunung tertinggi, merentasi, menerjuni kutub dan merenangi selat. Kita sedang mencuba ekspedisi ekstrim di tujuh benua, berbasikal mengelilingi dunia, meredah samudera juga meneroka angkasa. Namun, Melayu mesti juga hebat dalam penguasaan ekonomi, berniaga di arena antarabangsa, bersaing dalam persekitaran Kekonomi, hebat mencipta dengan memiliki paten dan harta intelek, menceburi bidang perniagaan strategik dan menguntungkan. Barulah kita boleh menjadi bangsa yang berdarjat dan membina tamadun yang bermartabat. Atas prinsip pengagihan ekonomi yang adil dan perkongsian kuasa ekonomi, maka kerajaan telah melancarkan tiga koridor baru pembangunan wilayah. Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER) adalah usaha yang bukan satu fatamorgana atau pun mimpi di siang hari. Wilayah Ekonomi Sabah dan Sarawak juga akan dilancarkan. Dalam beberapa tahun akan datang, transformasi yang besar kepada landskap pembangunan sosioekonomi di merata tempat seluruh negara akan berlaku. Hasrat kita ialah agar tiada kelompok yang tidak akan merasai nikmat pembangunan negara. Kelima-lima wilayah ini adalah ilham Presiden dan Perdana Menteri, dibantu kita semua bagi membangunkan negara agar akhirnya tamadun yang dibina adalah lebih seimbang dan tidak berpusat hanya di Lembah Klang. Paling mustahak ialah pembabitan kita mengambil inisiatif dan peluang dalam pembangunan wilayah-wilayah itu. Jangan sekali lagi untuk sekian kalinya, peluang sebesar ini kita lepaskan berlalu tanpa berbuat sesuatu, untuk membuat lonjakan berganda, memperkasa ekonomi bangsa dan negara. Sehubungan itu, “budaya wiraswasta” dan karier sebagai usahawan mestilah ditanamkan sejak di bangku sekolah dan menara gading lagi. Merujuk Kamus Dewan 2007, wiraswasta ialah orang yang bijak dan berkebolehan dalam mengusahakan perniagaan dan perdagangan secara profesional. Kita berharap syarikat GLC akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu menggandakan usahawan Melayu termasuklah wiraswasta wanita yang berdaya saing dan berdaya tahan. 50 GLC juga sedang menempa kejayaan berkat kegigihan pengurusan dan profesional yang majoritinya Bumiputera. Pada masa yang sama, kita mesti mencari formula seumpama tongkat ali dan kacip fatimah bagi meningkatkan daya tahan ahli perniagaan Melayu dalam persaingan kampung sejagat yang semakin menggugat. Antara formula daya tahan usahawan ialah melalui peningkatan ilmu dan kemahiran berdagang. Berniaga adalah seumpama berenang di dua lautan; merah dan biru. Saya telah merujuk mengenai “Strategi Lautan Biru” yang menekankan hal mencipta pasaran tanpa saingan dan kaedah menjadikan persaingan tidak lagi relevan. Jangan berenang di lautan merah yang penuh dengan persaingan berdarah. Bidang perniagaan baru wajarlah diterokai oleh ahli perniagaan Melayu. Antaranya ialah
www.happysus.com
11
9:27:22 AM
12
TEKS UCAPAN pengeluaran produk halal, bidang perubatan, logistik, bioteknologi, pertanian moden, kewangan Islam, aeroangkasa, minyak dan gas, pelancongan dan animasi. Ribuan graduan lulusan universiti atau yang makan gaji dengan syarikat, wajar menjadi usahawan, berani menghadapi risiko setelah mendapat ilmu dan latihan yang cukup. Setelah semuanya diusahakan, kita mahu suatu ketika nanti wujud sekumpulan usahawan yang mantap, generasi wiraswasta bangsa yang akan berjaya menguasai ekonomi negara. >> Kestabilan politik sebagai prasyarat mengangkasa tamadun Kestabilan politik adalah prasyarat kepada tamadun yang ingin kita bina dengan bercirikan keamanan, keharmonian serta kemakmuran. Realiti politik di negara ini menghendaki kita terbabit dan memenangi pilihan raya. Kemenangan pula hendaklah dengan majoriti lebih dua pertiga untuk memerintah dengan berkesan demi memastikan kestabilan. Tahun hadapan adalah tahun keempat dalam penggal pilihan raya kali ke-11 ini. Tarikh pilihan raya ke-12 kita serahkan kepada Perdana Menteri. Sekarang ini radar politik semakin jelas dan suhu politik semakin panas. Paling penting ialah persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya. Bukanlah persediaan itu maknanya menempah 'bush jacket' baru atau baju kurung bergemerlapan. Atau mula mengadu domba dan ke sana sini membawa salinan biodata diri. Jika kita telah ditakdirkan dipilih, maka terpilihlah kita. Sama ada terpilih atau tidak, terimalah segalanya dengan reda, kerana setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya. Persiapan yang saya maksudkan ialah pengaktifan jentera pilihan raya di cawangan, peti undi, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bahagian di seluruh negara. Terdapat sekurang-kurangnya 15 portfolio dalam jawatankuasa pilihan raya. Jangan ia hanya berada dalam laporan atau atas softboard di bilik gerakan. Ia wajar bergerak secara nyata di akar umbi, mengadakan pelbagai aktiviti menemui rakyat serta turun padang dalam erti kata yang sebenar. Keyakinan kita mengulangi kejayaan dalam pilihan raya akan datang ini adalah sangat berasas. Tahniah atas kerjasama dan kerja keras semua, maka Pas telah tewas di Kuala Berang. Kemudian Pas terlepas kerusi Pengkalan Pasir dan Bebas hilang deposit di Batu Talam. DAP pula tertiarap di Machap dan PKR kecundang di Ijok. Kita menang dengan majoriti yang cemerlang kerana sokongan rakyat yang mantap kepada parti keramat Umno dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang bersyarah
www.happysus.com
12
9:27:22 AM
13
TEKS UCAPAN bagai halilintar, terbukti rakyat dan pengundi adalah lebih pintar. Mereka bijak memilih yang mana kaca dan yang mana permata. Pas, PKR dan DAP tidak akan mampu untuk mengatasi rekod kecemerlangan Barisan Nasional. Selama 50 tahun memerintah, Barisan Nasional telah berlaku adil untuk manfaat semua di tanah air tercinta. Berkat amal soleh kita yang cekap memimpin, berkat pembelaan kita kepada agama, bangsa dan negara, insya-Allah, Barisan Nasional akan terus menjadi pilihan dan akan terus menguasai kerajaan. Jika berkata, dari kalbu, Bila berjanji, orang percaya; Mari kita, bersatu padu, Untuk menangi, pilihan raya. Bila berjanji, orang percaya, Perlu diingat, jati diri; Untuk menangi, pilihan raya, Membela rakyat, membangun negeri.
Saya ingin mengulangi pendekatan 4M sebelum ini sebagai formula kesiagaan parti kita menghadapi pilihan raya. M pertama ialah merapatkan barisan antara sesama Umno, Wanita, Pemuda, Puteri dan parti dalam komponen Barisan Nasional. M kedua ialah menambah ahli dan pengundi yang sewajarnya sentiasa diteruskan. M ketiga ialah mesra rakyat membabitkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya. Sementara M keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan cekap serta berkesan.
Kita perlu menambat hati serta minda orang ramai terhadap apa yang kita lakukan. Ada dua kaedah utama untuk menarik hati rakyat iaitu dengan melakukan perkara yang rakyat suka dan menghindarkan perkara yang mereka benci. Sesiapa pun suka terhadap kebajikan, pembelaan, cepat menyelesaikan masalah, kerja kuat, ceria, mudah didekati dan sederhana. Khidmat yang baik kepada rakyat tidak mengira masa; siang, malam, pagi, petang, subuh mahupun senja.
Apabila hati rakyat sudah tertambat – umpama dara dan teruna yang sedang berkasih akan membawa ke jinjang pelamin – nescaya sokongan rakyat kita dapat. Bila Barisan Nasional menang, rakyat akan senang! Rekod Barisan Nasional sememangnya membawa kesenangan kepada rakyat dalam bentuk prasarana asas, pendidikan
www.happysus.com
13
9:27:22 AM
14
TEKS UCAPAN percuma, kesihatan, pertanian era baru, peluang pekerjaan, perniagaan, pembuatan, perkhidmatan dan kehidupan yang berkualiti. Pada ketika yang sama, kita perlu turut memerangi jenayah dan saling ambil peduli kesengsaraan orang lain demi memastikan ketenteraman awam. Kadang-kadang kita terlupa bahawa keamanan tidak terjadi dengan sendiri. Ada negara yang sentiasa bergolak disebabkan pelbagai hal. Mereka mati berperang dan kebuluran. Sebaliknya orang kita pula mati kemalangan jalan raya atau sebab tidak menjaga makan. Tidak dinafikan ada perkara yang boleh dibaiki, namun secara umumnya, rakyat berpuas hati hidup aman, makmur dan harmoni. >> Cabaran Mengangkasa Tamadun Bangsa Sebagai satu bangsa, orang Melayu tidak mampu lagi berpecah. Sejarah adalah guru terbaik kehidupan agar kita tidak mengulangi kekhilafan. Jika perpecahan berlaku, bererti semua mengundang padah kerana ia akan menyebabkan pemerintahan yang kita tunjangi mengecil dan akhirnya menyusahkan bangsa sendiri. Inilah antara cabaran utama dalam usaha kita mengangkasa tamadun bangsa. Perpecahan bangsa yang berlaku di atas perbezaan politik akan membawa petaka. Mereka yang sentiasa benci kepada segala usaha pemimpin Melayu yang ditunjangi Umno adalah sebenarnya melemahkan bangsa. Pemimpin pembangkang pernah menganjurkan agar perubahan dibuat secara demonstrasi jalanan dan sering memutar belit isu agama untuk mendapatkan sokongan. Sedarilah, realiti politik hari ini yang mana kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh jika kita bertikai dan berpecah. Kelemahan politik dan ekonomi akan mengembalikan orang Melayu ke zaman sebelum merdeka di mana kita daif, lekeh dan tidak ada jati diri. Ingatlah, bahawa bangsa yang malas akan malap, bangsa yang merempit akan merempat dan bangsa yang tiada wawasan akan ditewaskan. Perpecahan juga akan menjejaskan umat Islam Malaysia yang dianggap contoh. Tentu semua tidak mahu apa yang terjadi di beberapa negara Islam yang berkonflik berlaku di negara kita. Jauhkanlah bencana ini dan bersatulah kerana apabila kuasa tidak ada lagi di tangan, maka tangisan air mata darah sekalipun tidak akan bermakna. Pantun ini wajar dijadikan hembusan iktibar: Tegak rumah, kerana sendi, Runtuh sendi, rumah binasa; Tegak bangsa, kerana budi, Runtuh budi, bangsa binasa.
www.happysus.com
14
9:27:22 AM
15
TEKS UCAPAN Jika berfikir, jangan termenung, Mencari idea, kerja berkat; Bulat air, kerana pembetung, Bulat manusia, kerana muafakat. >> Penyelesaian Pertikaian Apabila kita bercakaran, maka perlulah dicari jalan penyelesaian. Saya pernah menyebut falsafah tiga hujung orang Bugis dalam menyelesaikan perbalahan. Hujung pertama ialah hujung lidah, iaitu melalui perbincangan, dialog dan musyawarah. Hujung kedua ialah hujung "anunya" itu, berdamai melalui perkahwinan dengan membina silaturahim dan keluarga. Hujung ketiga ialah hujung keris iaitu melalui peperangan dan pertumpahan darah. Ini adalah pilihan terakhir, selalunya tidak akan diguna sebab telah memadai dengan dua hujung sebelumnya. Begitulah kaedah penyelesaian konflik salah satu suku kaum Melayu kita yang elok untuk dijadikan teladan. Namun, simbolisme keris dalam budaya Melayu membawa erti yang pelbagai mengikut era dan waktu. Ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan bahawa tarikh merdeka adalah pada 31 Ogos 1957, dalam program khas di Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956, Wanita Umno telah menyerahkan sebilah keris berumur 100 tahun yang kemudian dihunus sebagai tanda kejayaan perjuangan dengan disaksikan penuh kebanggaan oleh semua kaum. Jadi, apabila Pemuda Umno menjadikan keris Panca Warisan sebagai simbol, dikucup dan dihunus, tidak wajarlah ia dijadikan isu khasnya oleh pihak pembangkang. Pemuda bukan mengisytiharkan perang, tetapi menegaskan perjuangan untuk membela nasib bangsa dalam ruang lingkup hak serta perlembagaan negara. Janganlah dikelirukan maksudnya hingga boleh menjejaskan perpaduan negara. Perpaduan adalah amat penting demi menjaga kerukunan hidup dalam kerencaman kaum dan agama. Mari kita mengambil iktibar daripada kisah penderma dan penerima jantung baru-baru ini yang merentas sensitiviti antara kaum. Adik Muhammad Fikri Nor Azmi, 17 tahun, telah menjalani pemindahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 15 Disember 2005. Beliau telah menerima jantung daripada seorang penderma bukan Melayu. Sekarang beliau sihat dan hidup normal seperti remaja lain. Satu kes yang terbaru, setelah setahun menunggu, pada 5 Oktober 2007, adik Tee Hui Yee, 14 tahun, dibedah setelah menerima jantung yang didermakan oleh seorang remaja Melayu dan kemudiannya jantung seorang remaja Cina yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Pasukan pembedahan IJN membabitkan 34 orang doktor dan pembantu pakar terdiri daripada 24 orang Melayu, lima orang Cina dan lima orang India diketuai oleh Datuk Dr Azhari Yakub dan Dr Mohamad Ezani Md Taib.
www.happysus.com
15
9:27:22 AM
16
TEKS UCAPAN Inilah dua kisah benar yang menyentuh hati, menjadi lambang perpaduan yang amat unik dan bersejarah. Kisah ini elok kita jadikan teladan yang berupaya merapatkan hubungan kaum dan amat baik untuk dijadikan resipi dalam mengangkasa tamadun bangsa. Ia juga adalah lambang kejayaan kepakaran perubatan dan lambang kehebatan profesional bangsa kita. >> Nilai Mulia Tamadun Melayu mampu bekerja kuat, boleh berdisiplin, selalunya taat, mengutamakan kesepakatan, sanggup berjuang demi kebenaran dan saling membantu. Istilah "kulaan mengayuh berumbai" dalam bahasa Banjar misalnya, membawa maksud saudara yang bekerja bersama-sama. Mari kita bina bangsa ini atas kekuatan nilai murni agar kita sentiasa dihormati. Ayuh kita belajar juga daripada kekuatan bangsa lain. Kita mesti mengamalkan suruhan Islam yang indah lagi universal. Segera kita membina kekuatan diri berteraskan nilai mulia dan wawasan yang dikongsi bersama. Perjuangan pemimpin dan ahli Umno selama 61 tahun wajar dimuhasabah agar sentiasa menuju ke arah kemuliaan. Perjuangan dulu banyak mengorbankan harta, masa, tenaga secara sukarela. Kini, semuanya membabitkan bayaran, kos dan imbuhan dengan pelbagai faedah dan kaedah. Dulu, tiada rasuah politik atau politik wang. Sekarang untuk bertanding G7 dan G2 pun ada gejala politik wang. Semuanya ini mestilah dikuburkan jika perjuangan kita hendak dimurnikan. Seorang veteran Umno berpesan dalam bentuk sindiran mengenai nilai politik sekarang ini menyebut: Tebang buluh dengan kapak, Bila hulur baru nampak. Ada duit, mudah dikuit, Tiada wang, tergolek seorang. Sejajar dengan nilai mulia juga, perjuangan kita wajar sentiasa diperbaiki agar ia lebih berkesan. Usaha untuk menambah "inovasi yang bernilai" adalah sesuai dengan konsep 'value innovation' dalam ilmu pengurusan terkini. Tidak cukup dengan kaedah lama dalam melaksanakan aktiviti. Umpamanya, petugas parti menggunakan pembaris dan pensil untuk memeriksa daftar pemilih. Era kini perlu dilengkapkan dengan kecanggihan pelbagai jenis komputer untuk tugasan seumpama itu. Contohnya sebuah 'Personal Digital Assistant' (PDA) sebesar dompet boleh memuatkan seluruh data yang terperinci mengenai pengundi di sesebuah
www.happysus.com
16
9:27:22 AM
17
TEKS UCAPAN kawasan. Dulu cukup sekadar menghantar surat untuk sesuatu permohonan. Kini kita mengguna laman web, portal, e-mail, SMS dan MMS. Dulu pejabat wakil rakyat cukup sekadar di satu ruang rumah kedai. Kini sudah banyak pejabat dan pusat servis bergerak seperti menggunakan van. Ini adalah contoh penambahbaikan terhadap perkhidmatan kita kepada rakyat. >> Semangat Juang Mengimbas kembali sejarah untuk mencapai kemerdekaan, yang wajar dijadikan teladan ialah kekayaan semangat juang pada ketika itu walaupun mereka miskin harta. Ramai yang sanggup berjalan jauh, menderma gelang emas, naik basikal tua, menumpang lori ikan, berkorban wang, masa, tenaga secara sukarela hanya ingin terbabit dalam gerakan memerdekakan negara. Mereka masa itu miskin harta tetapi kaya dengan semangat juang. Setelah masa berubah, kini kita berkuasa, sistem nilai juga semakin berbeza. Awas! asakan nilai materialisme boleh melebur jati diri. Kepada generasi muda yang tetap cinta dan kasihkan perjuangan parti Umno ini, dirakamkan tahniah atas segala kesetiaan. Kepada generasi lama, yang terus-terusan mencurah bakti selama ini, tidak terbalas jasa mereka kepada ibu pertiwi. Tidak dinafikan wujud kelemahan di kalangan kita seperti kurang gemar membayar hutang, kurang menepati masa, kurang tekun, kurang suka kepada kerja tertentu hingga menyebabkan kebanjiran tenaga asing. Tentunya ini semua perlu diubah kepada budaya baru, budaya yang kaya dengan semangat juang seperti generasi terdahulu. Segera kita bebaskan sikap negatif yang bersangkar dalam kepompong diri. Ayuh kita suburkan semangat sukarela untuk membela agama, bangsa dan negara. Marilah kita menjadikan perjuangan suci ini sebagai suatu jihad dan amal soleh yang pahalanya adalah berpanjangan. Kita perlu mengguna dan meneruskan segala kebijaksanaan dan pragmatisme yang ada demi memperkasa usaha untuk melonjak ke mercu jaya. Kedua-dua sifat ini adalah contoh ciri utama kepemimpinan transformasi iaitu kepemimpinan yang berwawasan dan berkesan dalam tindakan bagi membangun bangsa dan mentadbir negara. Pemimpin transformasi akan sentiasa berjuang untuk mengubah kegagalan kepada kejayaan dan kemunduran kepada kemajuan. >> Mengukuhkan Akar Umbi Perjuangan Struktur Umno bermula di cawangan, bahagian, negeri dan pusat. Mustahak ia kukuh di akar umbi kerana ahli-ahli berpusat di cawangan, bertebaran di seluruh negara. Data terkini ialah jumlah ahli Umno seramai 3,345,612 orang, cawangan 20,391 buah,
www.happysus.com
17
9:27:22 AM
18
TEKS UCAPAN bahagian 191 di 13 negeri. Andainya kita mempunyai tiga atau empat pemimpin iaitu Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, maka Umno mempunyai hampir 60,000 orang pemimpin akar umbi di seluruh negara. Inilah bukti kehebatan parti kita yang menjadi tonggak pelbagai kejayaan! Hakikatnya ialah Umno yang kuat bermula di peringkat cawangan. Baikilah cawangan kita dengan menambah ahli, mendaftar pengundi, mengadakan aktiviti, bersama membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana banjir, membantu orang kurang upaya, ibu dan bapa tunggal, warga emas dan berkempen rumah ke rumah. Hendaklah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di lingkungan pengaruh kita. Seperti sebuah pokok, tidak akan subur, mekar bunga dan lebat buahnya jika akar umbi yang mencari air dan makanan tidak berfungsi dengan baik. Bajailah dengan nilai murni perjuangan agar ia terus subur. Pohon Umno yang rendang dapat dijadikan naungan dari panas dan hujan; tumpang berteduh bukan hanya untuk orang Melayu, namun rakyat Malaysia secara keseluruhan. >> Merakyatkan Perjuangan Umno Kita perlu merakyatkan perjuangan Umno dengan menyebarkan semangat perjuangan parti kepada seberapa ramai rakyat. Semangat perjuangan Umno adalah untuk membela semua di negara ini. Apabila kita membasmi kemiskinan, kita membasmi tanpa mengira kaum. Jika membuat kebajikan melalui program sosial, tumpuan kita kepada semua. Limpahan gema perjuangan kita melangkaui batasan bangsa dan agama. Merakyatkan perjuangan juga bermaksud membuka pintu Umno seberapa luas kepada semua orang Melayu. Oleh itu, gerakan menambah ahli mesti diteruskan melalui Kempen Keluargaku Ahli Umno yang telah pun dilancarkan. Kita mesti memastikan anak-anak dan saudara-mara kita terlebih dulu menjadi ahli Umno. Semakin ramai ahli, maka semakin merakyatlah perjuangan kita. Tradisi membela rakyat adalah semangat waja perjuangan. Membela rakyat pelbagai kaum di kota dan desa adalah tugas utama Umno dan Barisan Nasional. Kepuasan tercapai bila dapat membantu khasnya mereka yang susah dan memerlukan. Gembira tidak terkata seorang yang miskin apabila rumah yang bocor kita ganti atapnya, lantai yang reput kita tukar baru dan anak yang ramai kita bantu persekolahan. Inilah contoh tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebat. >> Gagasan Besar Perjuangan Umno mempunyai gagasan yang besar untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu
www.happysus.com
18
9:27:22 AM
19
TEKS UCAPAN dan rakyat Malaysia. Antara gagasan besar kita ialah semangat Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020, Pendekatan Islam Hadhari, Misi Nasional, Pembangunan Seimbang melalui lima koridor dan Gagasan 2057. Pada hari ini, selaras dengan gagasan besar itu, marilah kita meneruskan langkah dengan penuh sedar untuk Mengangkasa Tamadun Bangsa. Agenda Melayu tetap menjadi agenda Umno yang utama. Melayu masih tertinggal dalam pelbagai bidang. Agenda Melayu meliputi sosioekonomi, pendidikan, pembangunan yang adil, mendaulat agama Islam demi maslahat umum. Kita telah menyuratkan pelbagai perkara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membela bangsa. Agenda Melayu sebenarnya adalah suatu Agenda Nasional. Kaum lain wajar sentiasa memahami bahawa jika Melayu maju, ia akan menguntungkan semua. Perpaduan rakyat juga akan bertambah kukuh, sementara negara pula akan terus bersinar di ufuk yang aman dan makmur. Kita mesti terus memantapkan politik, menguasai ilmu dan pendidikan, memurnikan sosiobudaya serta terbabit aktif dalam ekonomi sewaktu meniti arus gelombang globalisasi. Persiapan rakyat dan generasi akan datang adalah menjadi amanah Umno dan pimpinannya. Tanggungjawab berat ini mesti kita galas, mesti kita dokong demi memastikan obor gagasan besar perjuangan bangsa, terus marak menyala, menyinari seluruh pelosok negara. >> Kemantapan Jentera Pilihan Raya Selama ini, Wanita telah bertungkus lumus, tanpa mengira masa, berkhidmat untuk keluarga, parti dan negara. Semangat sukarela dan komitmen yang tinggi kepada pelbagai aktiviti telah mekar menjadi budaya cemerlang Wanita. Hasrat agar 30 peratus bilangan pembuat keputusan terdiri daripada wanita akan terus kita usahakan. Datuk Seri Rafidah Aziz, bersama jentera Pergerakan Wanitanya dengan gigih sudah tentu akan memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang. Pemuda terus melangkah gagah dengan pelbagai program yang menarik. Suara Pemuda semakin lantang menyuarakan hati nurani bangsa. Langkah Pemuda semakin jauh ke persada dunia. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, bersama angkatan Pemuda, tentunya akan menjadi benteng dan penggempur utama terhadap parti pembangkang tidak kira di mana juga mereka berada.
www.happysus.com
19
9:27:22 AM
20
TEKS UCAPAN Puteri pula terus menyerlah dalam meremajakan parti melalui pelbagai aktiviti kreatif, mewakili suara generasi baru wanita muda. Kecanggihan era digital dan perubahan tahap pendidikan menjadikan kewujudan Puteri bertambah relevan. Datuk Noraini Ahmad yang telah menyarankan penubuhan Puteri Barisan Nasional, bersama pasukan Puterinya sudah pasti akan dapat mengukuhkan jentera pilihan raya. Kemantapan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri ini hanya akan bermakna jika kita semua memberi sokongan jitu dan dukungan padu kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional, yang diterajui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dengan semangat perwira membujur lalu melintang patah, berazimat "Takkan Melayu hilang di dunia", berkat rahmat dari Allah SWT; marilah kita bersatu tenaga bersama memastikan kemenangan besar pilihan raya, demi mencapai hasrat Mengangkasa Tamadun Bangsa. Bismillahirrahmanirrahim, Ya Allah Tuhan Semesta Alam, Kami pohon rahmat dan berkat-Mu, Kurniakanlah kekuatan dan perpaduan. Kami pohon kudrat dan hidayah-Mu, Anugerahkanlah kedamaian dan kemakmuran. Kami pohon naungan dan lindungan-Mu, Untuk mendaulatkan agama, Membela bangsa dan Membina negara yang tercinta. Di bawah naungan rahmat-Mu, Kami merintis jejak negarawan. Di bawah lindungan berkat-Mu, Bersama menggaris tapak perjuangan. Di bawah lembayung kudrat-Mu, Kami menjana umat cemerlang. Di bawah limpahan reda-Mu, Bersama Mengangkasa Tamadun Bangsa. Amin, amin, Ya Rabbal Alamin. Dengan lafaz doa yang mulia itu, dengan penuh sukacita, saya merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno tahun 2007. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Petikan : http://www.emedia.com.my/Misc/Umno55/artikel/najib/20071106092136/Article5
www.happysus.com
20