Rujuk semula(perkahwinan) (RS) 1. Seperti pinang pulang ke tampuk. 2. Seperti sirih pulang ke gagang. Seorang yang telah bercerai laki isteri kemudian berbalik pula. (bidal yang terdahulu itu sama ertinya). 3. Sudah diludah dijilat balik. Seorang membuangkan isterinya dengan dihalau kemudian dipujuknya balik. 4. Mendaki bukit sungai abu*tiba di atas terlelap pula *bagaimana hati tak seru *nampak janda elok pula. Pantun orang tua-tua bagi seorang yang telah bercerai dengan isterinya dan kemudian daripada beberapa lama tekenang ia akan jandanya itu lalu berbalik.
Kehidupan Keluarga (KKg) 1. Bagaimana tidak kumbang jinak terbang beredar, jika tidak kerana bunga kembang di taman. Bagaimana pemuda-pemuda tidak berulang-alik di dekat rumah, jika tidak kerana perawan cantik ada di situ. 2. Terambau kerbau kerana rumput muda. Rosak anak muda kerana melihat perempuan muda yang elok. 3. Lidah perempuan itu ialah senjatanya yang tiada dibiarkannya berkarat. Perempuan itu berrsenjatakan lidahnya kerana semakin lama semakin bertambah ia fasih berkata-kata di dalam berbantah dan meleter dan lain-lainnya. 4. Bagaimana hari tak hujan katak bentung dalam telaga berteriak selalu. Seseorang yang selalu pergi datang ke rumah seorang dengan tiada berhad itu adalah sesuatu maksud tersembunyi dalam hatinya kerana sesuatu pemandangan yang berkenankannya. 5. Tebu masuk ke mulut gajah. Perawan yang elok ke dalam tangan teruna yang molek masakan terlepas lagi. 6. Jauh dari mata jauhlah dari hati. Saudara atau keluarga yang jauh tempat kediamannya itu dan jarang-jarang atau tidak sekali-kali itu tiadalah berapa dikasihi demikian jugalah di antara sahabat-sahabat yang telah berjauh-jauhan. 7. Leka sentiasa di lipatan sanggul fikiran singkat akal pun tumpul. Banyak berkurung dengan perempuan ialah perbuatan yang merosakkan fikiran yang sempurna dan menjadikan seseorang itu bodoh.
8. Takutkan tuma dibuangkan kain. Sayangkan rugi bagi perbelanjaan isi rumah atau yang sepatut tanggungannya, tetapi apabila dinyahkan mereka itu menjadi keaibanlah bagi diri. 9. Bersaksi ke lutut. anak saudara atau sahabat kita sendiri kita dijadikan saksi dalam sesuatu perkara yang menyatakan kebenaran kita. 10. Membasahkan garam sendiri. 11. Menghujani garam sendiri. Menolong orang lain, menindih saudara atau kaum kerabat sendiri. Ataupun merendahkan mutu sendiri atau sebagainya. 12. Besar, besar istana raja; kecil, kecil pondok sendiri. Walau bagaimanapun senang di rumah besar kepunyaan orang, tidaklah sama dengan kesenangan di rumah sendiri. 13. Biar nasi terbuang, asal jangan periuk pecah. Kesukaran waktu melahirkan anak;biar mati anak, asal ibunya selamat. 14. Hinggap mencengkam (dahan), terbang menumpu (dahan). Jika merantau hendaklah cari keluarga atau akwan kenalan tempat menumpangkan diri. 15. Hutan jauh diulangi, hutan dekat dikendana. Harta benda (kaum keluarga) baik jauh atau dekat , hendaklah sentiasa dijaga. Kendana = dijaga, diamatamat. 16. Jangan buat kerbau tanduk panjang. Jangan ikut campur dalam urusan orang lain. 17. Jangan diajar anak harimau makan daging. Jangan digembirakan anak orang yang berkuasa berbuat zalim. 18. Jika tiada tersapu arang di muka, baiklah mati daripada hidup. Lebih baik mati daripada menanggung malu. 19. Kain sehelai berganti-ganti. Suami isteri yang miskin. 20. Kecil anak besar onak. Anak pada masa kecilnya menyukakan hati tetapi apabila sudah besar keraplah pula ia mendatangkan kesusahan kepada ibu bapanya.
21. Kecil jangan (= tak boleh ) disangka anak, besar jangan (= tak boleh ) disangka bapa. Pengetahuan dan kelebihan itu bukan tertentu kepada orang tua-tua sahaja, selalu juga terdapat pada orang-orang muda. 22. Malam berselimut embun, siang bertudung awan. Sangat melarat dan miskin, tiada mempunyai rumahtangga. 23. Malu, kalau (=jikalau) anak harimau menjadi anak kambing. Tidak patut anak orang baik-baik menjadi bodoh, atau anak orang berani menjadi penakut. 24. Manusia tahan kias, binatang tahan palu. Mengajar manusia dengan sindiran, mengajar binatang dengan pukulan. 25. Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur. Masa kecillah diajar dan didik, jangan tunggu sampai sudah besar. 26. Melentur biarlah waktu rebung. Mengajar anak-anak biarlah selagi kecil, apabila telah besar, keraslah hatinya dan tidak dapat diajar lagi. 27. Mencari yang sehasta sejengkal. Menyelidiki jauh dekatnya perhubungan kaum kerabat. 28. Menyisip keris tak bersarung dipinggang. Memelihara anak tanpa memberi ilmu pengetahuan akhirnya menyusahkan ibu bapanya juga. 29. Putus tali tempat bergantung, terban tanah tempat berpijak. Kehilangan orang tempat menumpang hidup kerana sudah jauh terpisah atau sudah meninggal. 30. Seberat-berat beban, di atas kepala juga. Kitalah yang menanggung nafkah keluarga sendiri, orang lain sekadar melihat saja. 31. Selompat hidup, selompat mati. Menghadapi bahaya maut ( perempuan yang susah bersalin atau orang yang sakit berat). 32. Sepandai-pandai mencencang, landasan juga yang habis. Yang mengerjakan pesta kahwinlah yang banyak menanggung rugi. 33. Seperti cebok (= gayung) dengan tempayan. Ibu bapa menghimpunkan harta, anaknya menghabiskan. 34. Seperti kapak naik pemidangan (=peminangan). Pemidangan = tempat sireh.
35. Seumpama telur sesarang, dierami induknya. Anak-anak yang mendapat jagaan yang sempurna daripada orang tuanya. 36. Tampak ijuk tak bersagar, lurah tak berbatu. Seseorang yang diperlakukan dengan sehendak hati, kerana tidak ada kaum kerabatnya yang disegani orang. 37. Tebu seruas berulat pula. Anak hanya seorang, buruk pula perangainya. 38. Tebu setuntung jadi separak. Anak gadis seorang, setelah kahwin beranak banyak pula. Setuntung = sepotong kecil. 39. Ternak bergembala, parak berpagar. Harta milik harus dijaga, lebih-lebih lagi anak gadis. 40. Terpaut bertali, tertambang berlantak. Terikat oleh adat. 41. Tidak dapat dua keris di dalam satu sarung. Tidak mungkin seorang perempuan bersuami sampai dua orang dalam satu masa. 42. Untung bagai untung kapas. Orang yang banyak penanggungannya. 43. Upah bidan pun tak berbayar. Anak-anak nakal yang menyusahkan ibu bapanya. 44. Kuat lilit kerana simpulnya. Tiada kekuatan yang ramai melainkan kerana pakatannya juga. 45. Janganlah itik pula hendak diajar berenang. Jangan hendak mengajar seseorang yang sedia sudah pandai pada pekerjaannya. 46. Jangan meludah ke langit. Jangan mengeji ibu bapa atau saudara kita yang tua daripada kita kerana kita juga yang malu. 47. Jangan memijak benang arang orang. Jangan mencabuli kehormatan rumahtangga orang, yakni jangan diusik anak bini orang. 48. Benang arang orang jangan dipijak. Jangan mencabuli rumahtangga orang.
49. Menyisip keris tak bersarung di pinggang. Memelihara anak yang jahat dengan tidak diberi ilmu apadanya nescaya dieprsusahnya kita dahulu sebelum ia menyusahkan orang lain.