KOD ETIKA KOPERASI KANDUNGAN PRA KATA PENDAHULUAN PRINSIP-PRINSIP KOPERASI AMALAN TERBAIK DALAM ETIKOP I. Yakin dan komited untuk mendukung prinsip koperasi. II. Bertindak dalam batasan dan kawalan perundangan. III. Meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan koperasi. IV. Mengutamakan kepentingan koperasi. V. Prihatin dan peka terhadap persekitaran PENUTUP
PRA KATA Sejajar dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang bermatlamat untuk memantapkan etika serta membudayakan integriti di kalangan masyarakat koperasi Kod Etika Koperasi atau dikenali sebagai ETIKOP diterbitkan. ETIKOP adalah juga bersesuaian dengan tadbir urus, pengurusan, kewangan, dan kawal selia yang berkesan seperti mana yang terkandung dalam Dasar Koperasi Negara. ETIKOP telah menggariskan beberapa nilai yang harus diikuti sebagai satu budaya dalam pengurusan dan pentadbiran koperasi. Matlamat ETIKOP adalah untuk menyumbang kepada meningkatkan integriti nasional dengan tujuan seperti berikut:• Meningkatkan kualiti pengurusan dan hala tuju koperasi dalam prestasi perniagaan. • Mencapai tahap akauntabiliti yang tinggi di kalangan anggota Lembaga. • Menggalakkan keterbukaan dan ketelusan dalam hubungan antara anggota dengan anggota Lembaga • Mempergiatkan penglibatan dan keanggotaan koperasi. Berbeza dengan dokumen perundangan, pematuhan ETIKOP sebagaimana kod etika lain, adalah secara sukarela dan tidak mengikat pihak yang berkaitan. Apa yang penting ETIKOP dijadikan sebagai garis panduan yang harus diikuti oleh semua pihak yang terlibat. Dato' Zainuddin bin Haji Abdul Rahman Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi 21 Julai 2004
PENDAHULUAN ETIKOP merangkumi himpunan nilai moral sejagat termasuk amanah, benar, adil, bersih dan bersyukur. Nilai seperti ini perlu diterap, dihayati, diamal dan dimantapkan oleh setiap komponen dalam koperasi meliputi anggota koperasi, anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman, pengurusan dan kakitangan koperasi. Nilai yang luhur mencerminkan integriti koperasi sebagai organisasi yang berlandaskan konsep dan prinsip tersendiri. Misalnya, aktiviti koperasi yang dijalankan bertujuan untuk memberi perkhidmatan secara langsung kepada anggotanya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan dengan harga berpatutan dan berkualiti. Begitu juga dengan prinsip keprihatinan kepada masyarakat di mana koperasi seharusnya bertindak berlandaskan konsepnya bukan sahaja untuk memberi faedah kepada anggotanya tetapi juga masyarakat umum. Tadbir urus terbaik hendaklah dilaksanakan sebagai prinsip yang menjiwai pengurusan dan pentadbiran koperasi serta membimbing perlakuan semua pihak yang terlibat dalam koperasi. Amalan baik ini adalah bagi menangani pelbagai masalah dan penyelewengan akibat daripada salah guna kuasa, rasuah dan penipuan.
PRINSIP-PRINSIP KOPERASI Koperasi bergerak berlandaskan tujuh (7) prinsip seperti berikut:o o o o o o o
Keanggotaan sukarela dan terbuka Kawalan demokratik oleh anggota Penglibatan ekonomi anggota Autonomi dan kebebasan Pendidikan, latihan dan maklumat Kerjasama antara koperasi dan Prihatin terhadap masyarakat
AMALAN TERBAIK DALAM ETIKOP Nilai murni ini diterjemahkan dalam ETIKOP yang bercirikan kejujuran, keterbukaan, ketelusan, kepertanggungjawaban serta keprihatinan. Dalam menghayati ETIKOP, semua pihak yang terlibat dalam koperasi harus melaksanakan tanggungjawab statutori, fidusiari dan operasi. Tanggungjawab statutori hendaklah dipatuhi seperti mana yang termaktub dalam perundangan koperasi mengenai tingkah laku, sistem dan prosedur serta pengawasan dan pengawalan perjalanan koperasi. Tanggungjawab fidusiari pula adalah satu tanggungjawab yang diamanahkan yang mana kegagalan melaksanakannya merupakan satu perlakuan pecah amanah. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab operasi pula dilihat sebagai mungkir janji.
Setiap nilai ETIKOP adalah sama penting dan harus dijadikan teras dan dihayati seperti berikut:I.
Yakin Dan Komited Untuk Mendukung Prinsip Koperasi Koperasi terdedah kepada tiga krisis utama iaitu: •
Krisis kredibiliti – orang ramai tidak yakin dengan keupayaan koperasi menyelesaikan masalah sosio-ekonomi mereka.
•
Krisis pengurusan – koperasi menghadapi kekangan sebagai majikan dan pihak anggota Lembaga tidak dapat membezakan antara urusan dasar dengan urusan harian yang dikendalikan oleh pengurus dan pekerja koperasi.
•
Krisis ideologi – pihak yang terlibat dengan koperasi tidak dapat membezakan antara entiti koperasi dengan entiti perniagaan lain.
Untuk menangani krisis di atas, pihak yang terlibat haruslah mengamalkan etika berikut:•
Anggota koperasi mengamalkan prinsip kawalan demokratik melalui penglibatan dalam mesyuarat agung dan penyertaan dalam aktiviti koperasi.
•
Anggota Lembaga koperasi berusaha menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti yang diperlukan oleh anggota dengan harga yang berpatutan.
•
Anggota Lembaga dan pengurusan koperasi meningkatkan keupayaan dalaman koperasi dan mengamalkan sikap berdikari.
•
Semua pihak yang berurusan menghormati prinsip koperasi.
dengan
koperasi
memahami
dan
II.
Bertindak Dalam Batasan Dan Kawalan Perundangan Perundangan koperasi merangkumi Akta dan Peraturan Koperasi, Pekeliling dan Garis Panduan Ketua Pendaftar, Undang-Undang Kecil Koperasi dan Aturan Aktiviti. Kepertanggungjawaban dan peranan setiap pihak yang terlibat dalam koperasi telah digariskan dalam perundangan koperasi. Nilai etika yang termaktub dalam perundangan koperasi adalah:•
Hak sama rata anggota yang layak menghadiri, mengundi dan bersuara dalam mesyuarat agung koperasi menggambarkan sifat keterbukaan dan ketelusan dalam membuat keputusan secara demokrasi dalam koperasi.
•
Juruaudit koperasi hendaklah memberi gambaran benar dan saksama tentang transaksi kewangan dan kedudukan pengurusan koperasi.
•
Anggota Lembaga hendaklah berhemat dan bertekun dalam menguruskan koperasi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Koperasi, Peraturan-peraturan, Undang-Undang Kecil Koperasi dan arahan mesyuarat agung. Mereka juga hendaklah bertanggungan secara bersama dan berasingan sekiranya gagal bertindak sedemikian.
•
Anggota Lembaga hendaklah memastikan maklumat dan rekod mengenai penubuhan, pendaftaran, keanggotaan, pengendalian dan kewangan koperasi sentiasa disimpan dan dikemas kini.
III.
Meningkatkan Profesionalisme Dalam Pengurusan Koperasi Pengurusan dan pentadbiran koperasi memerlukan peningkatan ilmu dan kemahiran bagi tujuan meningkatkan profesionalisme dalam koperasi. Etika yang dimaksudkan adalah:•
Semua anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah mengikuti kursus wajib dalam pengurusan dan pentadbiran koperasi.
•
Anggota Lembaga perlu menyediakan peluang pendidikan dan latihan di kalangan pekerja dan anggota koperasi.
•
Kepimpinan koperasi perlu mewujudkan keyakinan orang ramai terhadap koperasi sebagai satu perusahaan perniagaan yang mapan.
•
Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah menjalankan tugas secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
IV.
Mengutamakan Kepentingan Koperasi Semua pihak yang terlibat dalam koperasi mestilah mengutamakan kepentingan koperasi terlebih dahulu berbanding dengan kepentingan sendiri. Ini bermakna bahawa seseorang mestilah mengelakkan dirinya terlibat dalam sebarang keadaan di mana terdapat konflik antara kepentingan diri dan tanggungjawab. Etika yang dimaksudkan adalah:•
Anggota Lembaga mestilah berlaku adil dalam menimbang apa-apa permohonan daripada anggota.
•
Anggota mestilah berani berkorban demi masa depan dan kemajuan koperasi.
•
Anggota Lembaga mengisytiharkan kepentingannya urusan yang melibatkan perniagaan dengan koperasi.
dalam
apa-apa
V.
Prihatin Dan Peka Terhadap Persekitaran Koperasi adalah satu perusahaan perniagaan yang terdedah kepada isu dan cabaran persekitaran yang sentiasa berubah. Isu dan cabaran ini boleh diatasi melalui peningkatan produktiviti dan teknologi, pengurangan kos perniagaan, peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan berinovatif. Etika yang dimaksudkan adalah:•
Anggota koperasi mestilah setia, ikhlas dan jujur apabila berurusan dengan koperasi.
•
Pihak pengurusan koperasi bersedia mewujudkan rangkaian perniagaan di kalangan koperasi dan dengan pihak ketiga.
•
Anggota Lembaga peka dengan perubahan persekitaran seperti perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, globalisasi, liberalisasi, deregularisasi dan dasar Kerajaan yang boleh memberi implikasi ke atas koperasi.
PENUTUP ETIKOP bertujuan untuk mewujudkan keyakinan anggota dan persepsi masyarakat terhadap gerakan koperasi di samping memelihara kredibiliti dan integriti gerakan koperasi secara berterusan. Kod ini merupakan dokumen tambahan dan harus dirujuk bersekali kepada dokumen lain yang berkaitan dengan koperasi. Pelancaran kod ini adalah konsisten dengan usaha Kerajaan untuk mewujudkan gerakan koperasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam pembangunan negara.