SINGAPORE MOSQUES KORBAN COMMITTEE JKMS Secretariat Centre, Singapore Islamic Hub 273 Braddell Road, Singapore 579702 Tel: 63591408 Fax: 62537572 email:
[email protected]
14 Oktober 2011 KENYATAAN JKMS TERHADAP MAKLUM BALAS AWAM DI FORUM BERITA HARIAN
Sejak pengumuman butiran ibadah Korban 2011 oleh Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) pada 27 September lalu, beberapa pandangan dan keprihatinan telah disuarakan masyarakat. 2 Perkara utama yang ditimbulkan ialah soal harga kambing yang dikatakan tinggi iaitu $443.50 bagi seekor kambing biri-biri ($68.50 atau 18 peratus lebih tinggi dari tahun lepas). Ada yang bertanya sama ada ini disebabkan monopoli (kerana hanya satu syarikat yang dilantik sebagai syarikat pengendali korban bertauliah (Approved Korban Vendor - AKV). Timbul juga andaian yang membayangkan ada pihak yang cuba menangguk di air keroh dengan mengambil untung berlebihan. Tidak kurang yang menyeru supaya JKMS kembali menggunakan pengangkutan laut kerana dianggap lebih murah. Sesetengah juga mahu supaya JKMS mendapatkan bekalan haiwan dari negaranegara jiran terdekat Singapura demi mengelakkan kos pengangkutan yang tinggi. 3 Pihak JKMS ingin memberi jaminan bahawa kami telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi kepentingan jemaah dan masjid-masjid. JKMS dibentuk pada 1990-an oleh beberapa masjid di Zon Timur sebagai langkah untuk mengelakkan berulangnya insiden-insiden negatif yang menjejas kelicinan ibadah korban sebelum itu. 4 Berikutan pandangan yang kurang tepat yang tersebar di media, JKMS ingin menjelaskan duduk perkara dalam beberapa isu yang ditimbulkan: Kenaikan harga – adakah kerana ambil untung berlebihan? 5 Kenaikan harga tahun ini disebabkan 4 faktor utama ekoran pengaruh pasaran bebas yang berada di luar kawalan JKMS. Pertama, nilai matawang Australia yang semakin kukuh. Kedua, kesan inflasi yang menaikkan kos-kos pengendalian dan pentadbiran seperti kuarantin, insurans, makanan haiwan dan
1
pengangkutan. Faktor ketiga dan faktor terbesar ialah bencana alam iaitu banjir dan kemarau di beberapa bahagian Australia yang menjejas bekalan kambing dan ini mengakibatkan faktor keempat iaitu kenaikan harga kambing di ladangladang ternakan. 6 Kenaikan harga ini sudah kami jangkakan. Ia juga sejajar dengan kenaikan harga perkhidmatan dan barangan secara am di Singapura termasuk kenaikan tinggi harga daging yang ketara di pasar-pasar dan juga pasaraya setempat berbanding setahun lalu. 7 Kami sedar sebahagian masyarakat mungkin tidak selesa dengan kenaikan ini. Oleh itu, kami terus berusaha untuk mencari jalan keluar sebelum mengumumkan butiran kepada umum. 8 Pertama, kami mengadakan banyak perbincangan dengan pihak Mini Environment Service Pte Ltd (MES) – syarikat pengendali ibadan korban yang dilantik JKMS, untuk menyemak semula harga yang ditawarkan. Setelah berbincang dan mengambil kira cabaran yang dihadapi termasuk faktor-faktor penyebab kenaikan kos dan mutu khidmat yang disediakan, kami dapati harga itu adalah yang terbaik yang boleh ditawarkan. 9 Kedua, apabila kami sedar harga ini tidak dapat dikurangkan, kami malah telah meneroka kemungkinan untuk membuka tender baru tahun ini dengan harapan agar syarikat pembekal lain boleh tampil dan menawarkan harga yang lebih rendah. MES pula bersedia untuk memberi laluan jika syarikat lain mampu berbuat demikian walaupun MES telah memenangi kontrak sebagai pengendali sehingga 2012. JKMS kemudian menjemput beberapa syarikat pembekal mapan dengan harapan mereka akan menyertai tender jika ia diadakan. Tetapi malangnya syarikat-syarikat ini tidak bersedia untuk berbuat demikian. 10 Ketiga, dalam usaha untuk terus mencari jalan keluar, JKMS mendapati tidak seperti tahun-tahun sudah, harga kambing gurun tahun ini lebih rendah berbanding kambing biri-biri. Oleh itu, JKMS bekerjasama dengan MES untuk menawarkan alternatif kepada jemaah iaitu gambing gurun (Ferral Goat) pada harga $395. 11 Semua usaha tambahan ini telah menyebabkan JKMS menganjakkan tarikh pengumuman butiran korban kepada awam tahun ini. Tiada monopoli 12 Sebenarnya, soal monopoli tidak timbul. JKMS melantik MES melalui sistem tender terbuka pemerintah, GeBIZ (Government Electronic Business) – wadah yang menyediakan peluang kepada syarikat swasta untuk berurus niaga dengan sektor awam.
2
13 Tawaran tender Korban 2010 berlangsung dari 30 April hingga 31 Mei 2010 di laman www.gebiz.gov.sg . Selain mengiklankan tawaran tender di akhbar, kami juga menjemput beberapa syarikat mapan untuk menyertai tender itu. Tetapi akhirnya hanya MES yang berbuat demikian. Meskipun MES merupakan satu-satunya syarikat yang berminat, JKMS tetap meneliti kemampuan syarikat itu dari segi modal berbayar dan kemahiran untuk menjalankan tugas seperti yang ditetapkan. Untuk menjamin kepentingan jemaah dan masjid iaitu mengelakkan insiden-insiden pahit seperti kambing lewat tiba yang menjejas kelicinan ibadah korban sebelum ini, JKMS meletakkan syarat dan spesifikasi yang ketat. Ini termasuk memerlukan bakal vendor untuk membentangkan pelan alternatif sekiranya berlaku sebarang kegenjotan. JKMS melantik MES untuk tempoh 3 tahun berakhir 2012 setelah berpuashati dengan kedudukan kewangan MES yang kukuh dan kemampuannya untuk menyediakan khidmat yang diperlukan berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini. Kembali guna pengangkutan laut? 14 Pada 1997, ibadah korban di masjid-masjid setempat tidak dapat dijalankan kerana syarikat pembekal gagal membawa kambing ke sini. Pada 2002, kambing korban tiba hanya sehari sebelum Aidiladha. Pada 2004 pula bekalan kambing korban datang selepas Aidiladha. Ketiga-tiga insiden ini berpunca dari masalah yang timbul ekoran penggunaan kapal laut. Kesemuanya telah mencetuskan kegelisahan awam. Ekoran itu, Panel Siasatan yang dibentuk selepas insiden pada 2004 telah menasihatkan agar JKMS mencari sistem pengangkutan yang berisiko rendah dan dapat memastikan bekalan sampai tepat pada waktunya. 15 JKMS melaksanakan saranan Panel Siasatan dengan menggunakan pesawat pertama kali pada 2009 . JKMS mengambil kesempatan kemelesetan ekonomi ketika itu yang mengakibatkan kos pengangkutan udara lebih murah berbanding kapal laut. 16 Pengalaman kami juga menunjukkan bahawa menggunakan pengangkutan udara memberi kebaikan-kebaikan lain berbanding kapal laut: • Jadual ketibaan yang lebih pasti. Pengangkutan laut sering terdedah kepada risiko cuaca yang berubah-ubah dan ini menjejas jadual ketibaan kapal laut; • Jika berlaku kerosakan, pesawat mudah diganti berbanding kapal laut • Kerja-kerja pemunggahan kambing dari pesawat lebih mudah dikendalikan. Hasilnya, mutu kambing yang lebih baik ekoran jumlah kematian dan kecederaan yang rendah • Melalui pesawat, kambing dikurung hanya sekitar 7 jam berbanding sekurang-kurangnya 7 atau 8 hari di laut. Ini juga menghasilkan mutu daging yang lebih baik kerana kambing tidak terkurung dalam keadaan yang kotor dan tertekan begitu lama. 3
• •
Maklum balas yang positif dari masjid-masjid sejak pesawat mula digunakan pada 2009 Dari segi kos, perbezaan harga tahun ini adalah kecil iaitu hanya sekitar $25 lebih rendah melalui kapal laut bagi setiap ekor kambing. Namun perbezaan risiko yang dikaitkan melalui jalan laut adalah jauh lebih tinggi berbanding pengangkutan udara.
Import haiwan ternakan dari negara-negara jiran terdekat 17 Penguasa Pertanian, Makanan dan Ternakan (AVA) menetapkan bahawa import kambing hidup ke Singapura hanya boleh dilakukan dari dua sumber iaitu Australia dan New Zealand.. Malaysia dan Indonesia tidak berada dalam senarai negara pembekal yang dibenarkan AVA. Kelebihan JKMS – Melindungi masjid dan masyarakat 18 Khidmat yang ditawarkan JKMS melalui MES datang dengan jaminan. Ini termasuk memastikan jenis dan saiz kambing yang baik. Jika kambing didapati kecil atau cacat, ia boleh digantikan dengan segera tanpa kos tambahan. Sekiranya berlaku sebarang kegenjotan, MES akan menampung semua kos yang diperlukan tanpa melibatkan jemaah atau masjid. Masjid-masjid juga tidak perlu membayar sebarang wang pendahuluan kepada MES. Sebaliknya semua wang tempahan jemaah akan dimasukkan ke dalam ”Akaun Korban Muis”. MES tidak akan menerima bayaran sehingga segala urusan korban telah dijalankan dengan sempurna. Ini bermakna sekiranya berlaku musibah, masjid-masjid boleh mendapatkan semula jumlah yang telah mereka bayar kepada JKMS dan memulangkannya kepada jemaah. MES juga perlu memenuhi syarat-syarat ketat yang ditentukan AVA supaya kesihatan kambing terpelihara. Inilah antara jaminan dan perlindungan kepada para jemaah dan masjid yang gigih diusahakan JKMS. 19 Perkara genting yang perlu diingat semua pihak ialah hakikat bahawa masjid-masjid adalah sebuah pertubuhan yang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak (non legal entity). Jadi sekiranya masjid mendapatkan bekalan kambing dari pembekal selain JKMS, mereka harus bersedia menanggung risiko tinggi. Sekiranya musibah melanda, wang jemaah akan hangus dan mereka sukar dibantu kerana masjid tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pembekal bebas yang tidak menepati janji. Bersatu Teguh 20 Seperti maklum, ibadah korban bukanlah satu ibadah yang wajib. Ia juga tidak seharusnya menjadi projek mencari dana bagi masjid-masjid setempat. Sebaliknya, ia merupakan satu khidmat masjid kepada masyarakat Islam yang ingin melakukan ibadah korban dan aqiqah di Singapura walau sekecil mana
4
jumlahnya. Dengan melakukan korban di sini, jemaah dapat menyaksikan sendiri dan menghayati makna dan pengertian ibadah itu bersama-sama anggota keluarga. Di samping melihat dan meraikan semangat gotong-royong masyarakat di masjid, jemaah juga berpeluang merasakan nikmat berkongsi daging korban atau aqiqah dengan jiran tetangga dan golongan kurang bernasib baik sekaligus menyebarkan syiar Islam di sini. Oleh itu, terpulanglah kepada niat dan keikhlasan individu yang ingin melakukan ibadah ini sama ada di sini atau di luar negeri. 21 Hakikatnya, JKMS sedar masih terdapat ruang untuk memperbaiki operasi ibadah korban di sini. Oleh itu, JKMS dengan rendah hati mengundang masyarakat untuk tampil dan sama-sama memperhalusi dan memperkukuh sistem yang ada kini demi kebaikan kita bersama di hari muka, InsyaAllah. Haji Saat Matari (Pengerusi) & 42 anggota Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura 2011
5