Pemilihan pasangan (PS) 1. Asam di darat ikan di laut, bertemu dalam belanga juga./ 2. Garam di laut, asam di gunung, bertemu dalam belanga juga. Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya. 3. Jika bunga tak hendak dipersunting, boleh dibuat peraksi kain. Seorang perempuan yang baik budi pekertinya itu, jika tidak berkenan kita beristeri akan dia sebab umurnya terlebih ataupun tidak elok parasnya, boleh juga diperisteri akan dia supaya menjadi ketua rumah. 4. Bersunting bunga keduduk, berdiri tak sama tinggi, duduk tak sama rendah. Seorang yang mulia beristerikan perempuan yang hina itu serba salah jadinya, kerana bila dibawa masuk ke majlis orang-orang yang berbangsa menjadi rendah ia, dan ke dalam majlis orang-orang yang hina tak patut disamakan kerana ia isteri orang yang mulia. 5. Meriba puan kosong. Berbinikan anak dara yang telah hilang manikamnya di dalam sulit. (yang telah binasa bikirnya). 6. Seperti permata salah serudi. Anak orang yang berbangsa tinggi bersuaminya seorang yang hina. 7. Telaga mencari timba. Perempuan yang mencari lelaki. 8. Seperti pungguk merindukan bulan, bulan mengambang dikandung awan. Seorang yang sangat berahikan seseorang perempuan yang elok paras tetapi dapat dilihatnya dari jauh sahaja perempuan itu telah diambil oleh orang yang kaya atau orang yang tinggi darjat. Ataupun harapan yang tiada berkesudahan akan sesuatu yang tentu tiada boleh mendapatkannya. 9. Seperti permata baik tak kena ikatannya. Seorang perempuan yang berbangsa tinggi bersuaminya seorang yang hina. 10. Biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tiap-tiap suatu itu hendaklah sama sepadan setaraf. 11. Gajah ditelan ular lidi. Orang yang bangsawan diperisteri oleh orang kebanyakan. 12. Cacing menelan naga; gajah dialahkan oleh pelanduk;atau gajah mati dicatuk katak. Orang berbangsa besar diperisteri oleh orang kecil.
13. Adapun pipit itu sama pipit juga dan yang enggang itu sama enggang juga. Adapun taraf perjodohan kahwin, dan persahabatan itu menurut pangkat besar dan kecil dan hina mulia dan miskin kaya baharulah sempurna. 14. Pipit hendak meminang anak enggang. Si hina atau miskin hendak bersemenda kepada yang mulia atau kaya. 15. Tebuan meminang anak labah-labah. Orang besar hendak bersemenda kepada orang kecil-tiada padan orang kaya dan mulia itu dengan orang miskin dan hina. 16. Hendak mengayuhkan perahu (sampan) bertambat. 1. Tiadalah boleh hendak kahwin dengan bini orang, atau seorang perempuan yang masih lagi di dalam edah dengan lakinya itu. 2. Barang sesuatu yang hendak diperbuat itu hendaklah dahulu diperiksa dan dilepaskan tiaptiap hal yang melarang kejayaan. 17. Alangkah baik (= elok) berbini tua, perut kenyang pengajaran (= pemanja) datang. Orang beristeri tua biasanya beroleh kesenangan kerana disayangi oleh isterinya. 18. Ayam seekor bertambang dua. Gadis seorang, dua bujang yang ingin. 19. Bandot tua makan lalap muda. Lelaki tua beristerikan perempuan muda. Bandot = kambing jantan;lalap = ulam, daun muda. 20. Bomoh mencari orang sakit. Orang perempuan mencari suami; ibu bapa mengemukakan anak gadisnya. 21. Burung pipit sama enggang, mana boleh sama terbang. Persahabatan atau perjodohan yang tidak sepadan tidak akan selamat;tiap-tiap orang mesti mencari golongannya sendiri, barulah sempurna. 22. Cacing menelan naga. Anak orang bangsawan diperisteri oleh orang kebanyakan; orang yang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah. 23. Enau mencari (=memanjat) sigai. Perempuan mencari lelaki. 24. Gundahkan buah dimakan burung. Bersusah hati terhadap wanita yang sudah menjadi isteri orang.
25. Hendak bersunting bunga mala. Hendak beristeri perempuan tua. 26. Hendak bersunting bunga yang belum diseri kumbang. Hendak beristeri anak gadis. 27. Hati mengayuhkan perahu tertambat. Hendak kahwin dengan perempuan yang masih dalam edahnya 28. Gajah dialahkan oleh pelanduk. Orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang lemah; perempuan bangsawan yang diperisteri oleh orang kebanyakan. 29. Jangan bagai babi merasa gulai. Orang yang hina tidak patut berjodoh dengan orang bangsawan. 30. Kalau bersahabat cari sama babat. Pilihlah kawan daripada golongan sendiri. Babat = pasang, suku, golongan. 31. Kalau bunga bukan (=tidak) sekuntum. Lelaki ataupun perempuan bukan seorang di atas dunia ini. 32. Kasih itu roh (= semangat) yang buta. Kasih tidak memilih yang baik atau yang cantik saja. 33. Kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta, kasih ibu sama rata, kasih sahabat sama binasa. Kasih yang sama beradalah kasih yang sempurna, sebab biar bagaimanapun kasih seseorang itu akan kawannya namun kerana harta bercerai juga akhirnya. 34. Kuah tertunggang ke nasi, nasi akan dimakan juga. Perkahwinan antara kaum keluarga sendiri. 35. Kuah tertumpah ( = tertuang) ke nasi. Anak yang dikahwinkan dengan kemanakan; sesuatu yang sewajarnya. 36. Lalat memanglah mencari puru. Lelaki yang jahat memang mencari perempuan jahat. 37. Lepas bantal berganti tikar. Kahwin dengan saudara atau keluarga isteri yang sudah meninggal.
38. Luka tangan kerana berebutkan tembikar pecah. Mendapat bahaya kerana berebutkan perempuan jahat. 39. Mabuk di enggang lalu. Sangat tertarik hatinya kepada orang yang belum dikenal. 40. Mabuk kerana beruk berayun. Gilakan wanita cantik yang tak mungkin didapat; asyik melihat sesuatu yang tidak berguna. 41. Mandi di telaga di tepi jalan, bersunting bunga tahi ayam. Orang lelaki yang suka kepada perempuan jahat. 42. Masak durian, masak manggis. Perbandingan antara lelaki yang tidak dapat menyembunyikan rahsia hatinya dengan perempuan yang dapat menyembunyikan rahsianya sehingga tiada diketahui orang. 43. Matilah kuman kena pelantik, sekalian alam melimpah darahnya. Orang biasa yang kahwin dengan orang bangsawan, sehingga menjadi buah percakapan di merata-rata tempat. Pelantik = belantik, tombak yang berpegas untuk membunuh binatangt perburuan. 44. Mencongak ( = mendongak) rupa kerbau jantan kemudian. Lelaki yang berjalan dengan cemburu di belakang isterinya. Mencongak = mengangkat kepala, mendongak. 45. Menghubung hendak panjang, menyebar hendak lebar. Perkahwinan yang akan menambahkan keluarga di kedua belah pihak. 46. Menggantikan lapik. Memperisterikan bekas isteri saudaranya. 47. Minyak habis sambal tak enak. Peralatan perkahwinan diadakan secara besar-besaran, tetapi perjodohannya tidak kekal. 48. Naga ditelan ular lidi. Anak orang bangsawan kahwin dengan orang kebanyakan. 49. Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk. Pada sangka beristeri (bersuami) orang kaya, kiranya beristeri (bersuami) orang miskin. 50. Padi dikebat dengan daunnya. Anak dikahwinkan dengan kemanakan.
51. Perigi mencari timba. Perempuan yang mencari lelaki. 52. Sangkar emas, tenggeram suasa. Lelaki yang menanti isterinya dengan rumah yang bagus serta cukup alat perkakasnya. 53. Satu sangkar dua burung. Dua orang perempuan yang menyukai seorang lelaki. 54. Sayangkan kain, buangkan baju; sayangkan lain, buangkan aku. Isteri yang mencari kekasih lain. 55. Sebagai asam dengan garam. Sepadan benar; akan bertemu juga akhirnya, ( tentang lelaki dan perempuan yang memang jodohnya). 56. Seperti anjing menggonggong bangkai. Lelaki jahat yang membawa perempuan jahat. 57. Seperti bulan dengan matahari Sudah sepadan benar. 58. Seperti permata baik tak kena ikatannya. Perempuan terpelajar bersuamikan lelaki yang rendah budi pekertinya. 59. Ternanti-nanti bagai berlakikan raja. Berhajat kepada orang yang tidak berkehendak kepadanya. 60. Tidak sama air hujan dengan air telaga. Orang bangsawan dengan orang biasa tidak sama derajatnya (darjatnya). 61. Tonggak dalam air boleh diraba, tetapi air di dalam tonggak tidak teraba. Perkataan dapat didengar dan diketahui, tetapi isi hati tiada siapa yang dapat mengetahuinya. 62. Ulam mencari sambal. Perempuan yang mencari lelaki. 63. Bagai bertepuk sebelah tangan. Cinta kasih yang tidak berbalas. 64. Sirih berlipat datang sendiri. Mendapat orang yang dicintai dengan tidak payah berusaha; beroleh keuntungan dengan mudah.
65. Tali terentang tidak putus, sangkutan tergantung tidak rekah. Pertalian keluarga kerana perhubungan perkahwinan. 66. Hendak bersunting bunga mala. Hendak berkahwin dengan perempuan tua. 67. Hendak memakan kecundang orang. Hendak berkahwin dengan seorang perempuan janda bekas permainan orang. 68. Bercinta akan geliga di mulut orang. Berahikan anak bini orang, atau seseorang perempuan yang kuat dikawali oleh lakinya, atau siapa-siapa yang berkuasa, atau berkehendak akan sesuatu yang berharga, yang molek atau yang payah mendapatnya itu, pada hal yang demikian ada di dalam penjagaan orang yang kuat dan berkuasa. 69. Jangan berebutkan tembikar pecah. Siapa-siapa yang berebutkan tembikar yang telah pecah nescaya luka tangan padahal tembikar itu tidak boleh dipakai jika dapat sekalipun. Pengertiannya: bahawa jangan berlawan atau berkelahi kerana seorang perempuan jalang yang tidak boleh membaiki tabiatnya dan tidak layak diperbuat isteri. 70. Hendak bersunting bunga yang belum diseri kumbang. Hendaki beristerikan anak muda atau perawan muda. 71. Kalau bunga bukan sekuntum. Perempuan bukan seorang sahaja; banyak perempuan yang lain lagi. 72. Kumbang tidak seekor, bunga tidak sekaki. Lelaki bukan seorang, perempuan pun bukan seorang. 73. Pecah buyung tempayan ada. Hilang seorang ada seorang lain gantinya. 74. Hang tak kurang sanggul, aku tak kurang tengkolok. Jika engkau boleh dapat perempuan lain, aku pun boleh dapat laki lain; ertinya kalau seorang tiada berkenan banyak orang lain yang ingin (kerap menjadi pada perbantahan di antara orang laki bini, dan dua kekasih). 75. Lepas bantal berganti tikar. Orang yang kahwin dengan saudara atau keluarga isterinya yang telah mati atau bercerai hidup. 76. Alangkah baik berbini tua perut kenyang pengajar datang. Jika orang muda beristerikan perempuan tua, selalulah suami itu manja kerana kasih isterinya itu kepadanya.
77. Bagai rotan asal berinsang dicucuk belaka. 78. Asal terbang burunglah, asal berinsang ikanlah. Bidal ini dan yang dahulunya bersamaan ertinya laki-laki yang tiada memilih kekasih, asalkan perempuan jadilah.