Ramadan, Iqra’ dan Tamadun * Mohammad Hannan Hassan Timbalan Dekan, Akademi Muis
Pendahuluan Dalam sejarah kewujudan manusia, secara khusus umat Islam, terdapat banyak peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah. Namun, kepentingan dan nilai sejarah peristiwa-peristiwa ini tentunya tidak sama. Ada yang lebih penting. Ada yang kurang penting. Ada pula yang boleh disifatkan sebagai terpenting atau penentu (defining moment). Tentunya peristiwa yang boleh disifatkan sebagai penentu ini hanya sedikit kerana kepentingannya dan nilainya. Jika saya boleh memilih peristiwa ini saya pilih saat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya, dan menerima perintah pertamanya di gua Hira’. Nilai sejarah peristiwa gua Hira’ ini bukan pada gahnya kejadian ini, seperti peperangan besar atau pembukaan kota besar. Tetapi kepada impak kepada tamadun manusia selepas itu. Peristiwa turunnya wahyu pertama telah banyak diceritakan. Tetapi nilai sejarah dan tamadun peristiwa ini mungkin tidak dibincangkan sekerap rentetan cerita turunnya wahyu pertama. Sesungguhnya kepentingan dan nilai peristiwa ini tidak hanya untuk umat Islam. Ia adalah saat penentu (defining moment) untuk umat Islam dan tamadun manusia umumnya yang bermula di gua Hira’. Keterbatasan ruang dan masa tidak membolehkan saya membincangkan perkara ini secara terperinci. Saya bermaksud di sini membincangkan secara ringkas nilai tamadun kepada perintah pertama Allah ini, yakni IQRA’. Ini dengan kita menganalisis maksud perintah Iqra’ ini. Dengan memahami maksud dan nilai tamadun Iqra’ ini saya kemudian berhujjah bahawa walaupun wahyu terakhir telah tamat dengan wafatnya Khātam al-Anbiyā’, Allah sebenarnya tidak berhenti berkomunikasi dengan manusia. Dalam ertikata lain, komunikasi antara langit dengan bumi tidak pernah terputus sehingga hari ini dan seterusnya.
*
Disampaikan pada Ceramah Khas Nuzulul Qur’an, anjuran Masjid Kassim, Singapura, pada 17 Ramadan 1434 / 25 Julai 2013. Tulisan ini dipetik dari siri rencana yang saya siapkan untuk Berita Harian Singapura sepanjang Ramadan 1434 dengan beberapa penyesuaian, perubahan dan penambahan. Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam menyiapkan tulisan ini saya tidak sempat untuk merujukkan semua hujjahhujjah kepada sumber-sumbernya seperti biasanya dalam tulisan ilmiah kerana keterbatasan masa dan akses kepada rujukan-rujukan ini. Penelitian selanjutnya boleh dibuat bagi yang berminat.
1
Kenapa Perintah Membaca Kepada Seorang Yang Tidak Membaca? Kenapa seorang yang “ummi” dipilih sebagai seorang Nabi? Dengan Hikmah Ilahi, Allah memilih seorang yang ummi sebagai Nabi terakhir, dan diutuskan pula dalam masyarakat yang pada umumnya ummi. Allah berfirman: Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Umm i, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka… [al-Qur’ān, al-A‘rāf (7): 157]
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Um m i yang beriman kepada Allah dan KalimahkalimahNya (Kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayat petunjuk. [al-Qur’ān, al-A‘rāf (7): 158]
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Umm iyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [al-Qur’ān, al-Jumu‘ah (62):2]
Para ahli tafsir telah memberikan berbagai pandangan mengenai makna ummi di sini. Saya tidak bermaksud membahaskan pandangan-pandangan ahli tafsir ini. Pada umumnya, ummi difahamkan sebagai seorang yang tidak membaca dan tidak menulis. Mafhum ini memang ada asasnya dalam semantik Bahasa Arab. Kekata ummi juga telah masuk ke dalam perbendaharaan Bahasa Melayu. Kamus Dewan Bahasa mentakrifkan ummi sebagai seorang yang tidak berpendidikan atau orang yang buta huruf. Secara etimologi, makna ini tidak jauh dari makna asal dalam Bahasa Arab.
Buta huruf sering dikaitkan dengan tidak berpendidikan. Kaitan buta huruf dan tidak berpendidikan adalah agak moden, di mana kemampuan membaca dan menulis diajarkan di sekolah, dan oleh itu persekolahan dikaitkan dengan maksud pendidikan. 2
Namun begitu, pada zaman dahulu (pra-persekolahan), seseorang mendapat pendidikan tidak semestinya melalui sekolah yang mengajarkan membaca dan menulis. Mereka dididik secara oral dan praktikal. Mereka diajarkan makna, prinsip dan nilainilai kehidupan secara oral, melalui pantun, syair, pepatah dan kata-kata hikmah. Mereka belajar membina bangunan, bertani, berjual beli dan sebagainya secara praktikal, bukan melalui buku teks atau sekolah. Mereka tidak kurang berpendidikan walaupun mereka tidak membaca dan menulis (buta huruf). Namun, untuk tujuan penulisan ini, saya gunakan makna ummi dalam erti kata yang difaham umum, yakni seorang yang buta huruf, yang tidak membaca dan menulis.
Ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama dengan perintah untuk membaca (Iqra’), Nabi Muhammad SAW menjawab “aku tidak membaca.” Perintah tadi diulang, dan jawapan yang sama diberikan oleh Nabi Muhammad. Sehingga akhirnya Nabi “membaca” dengan mengulangkan apa yang disampaikan secara lisan kepada beliau oleh malaikat Jibril. Seluruh al-Qur’an - wahyu Ilahi - disampaikan secara lisan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Walaupun Rasulullah SAW seorang yang ummi (buta huruf), sesungguhnya Rasulullah SAW adalah orang yang paling berpendidikan, walaupun beliau tidak membaca dan menulis. Ini kerana beliau dididik oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui sebagaimana beliau ungkapkan dalam sebuah hadith. Tuhanku yang telah mendidikku (addabanī rabbī); dan Dia telah memperolekkan pendidikanku.1
Memang Rasulullah tidak membaca dan tidak menulis, ummi atau buta huruf. Beliau membesar dalam masyarakat yang pada umumnya juga ummi. Pada hakikitanya, keummian beliau adalah kelebihan dan mukjizat bagi Rasulullah, dan antara bukti kenabian Nabi Muhammad SAW. Antara hikmahnya yang dinyatakan oleh ahli tafsir dan ulama’ ialah agar Rasulullah SAW tidak dituduh mencipta al-Qur’an dari dirinya hasil daripada bacaan-bacaan beliau dari kitab-kitab suci sebelum beliau, atau dari buku-buku falsafah dan hikmah sebelumnya. Bagaimana beliau boleh mengadakan alQur’an sedangkan beliau tidak membaca dan tidak menulis, beliau itu ummi?
1
Walaupun hadith ini diterima oleh ahli hadith sebagai hadith ḍa‘īf, tetapi maksudnya adalah betul dan tiada percanggahan. Ibn Taymiyyah menganggap hadith ini ḍa‘īf tetapi maksudnya ṣaḥīḥ.
3
Namun demikian, kita perlu juga mengambil kira satu lagi tafsiran dan penelitian sejarah mengenai makna ummi ini. Walaupun ummi boleh diertikan sebagai buta huruf, ia tidak bermakna bahawa Nabi Muhammad kekal sebagai seorang ummi sehingga akhir hayatnya. Jika kita meneliti semantik bahasa Arab, ketika Nabi menjawab malaikat Jibril bahawa beliau tidak membaca kita faham bahawa yang dimaksudkan oleh beliau ialah beliau tidak membaca waktu itu. Ia tidak bermakna bahawa beliau tidak berpotensi untuk mampu membaca, atau beliau tidak membaca sampai bila-bila. Dalam hal ini, persoalannya bukan samada Nabi itu ummi atau tidak sewaktu turun wahyu perintah Iqra’, tetapi apakah Nabi kekal dalam keadaan ummi sepanjang hayatnya, atau apakah pernah Nabi membaca atau menulis? Ini dikhilafkan para ulama’.
Dalam hal ini, amat menarik jika kita pertimbangkan tafsiran yang diberikan oleh Imam al-Alūsī (wafat 1270h/1854m) dalam tafsir beliau “Rūḥ al-Ma‘ānī” dalam menafsirkan ayat Surah al-A‘rāf, ayat 157-158 yang disebutkan di atas. Setelah meriwayatkan pandangan-pandangan ulama’ terdahulu yang mengatakan bahawa makna ummi ialah yang tidak membaca dan tidak menulis, beliau menukil beberapa riwayat lain yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak kekal sebagai buta huruf pada akhir hayatnya. Setelah menerima wahyu beliau mula membaca dan menulis.
Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada tahun 6 Hijrah di mana Nabi menandatangani perjanjian dengan Quraysh, Nabi mampu membaca perjanjian yang ditulis. Dikatakan juga Nabi menulis sebahagian dari perjanjian ini. Dalam erti kata lain, memang betul Nabi tidak membaca dan menulis ketika diturunkan wahyu. Tetapi Nabi tidak kekal buta huruf. Beliau kemudian membaca dan menulis. Tentunya ini didorong oleh wahyu pertama yang beliau terima: perintah untuk membaca – Iqra’.
Apakah Pengajaran dari keummian Rasulullah SAW? Membaca dan membaca. Jika tidak boleh membaca, belajarlah membaca. Jika belum membaca, mulakanlah. Jika malas membaca, ubahlah. Inilah semangat Ramadan yang harus kita diingatkan. Ramadan bukan hanya bulan berpuasa dan bulan di mana pintu Rahmat dibuka luas. Ramadan juga bulan di mana pintu komunikasi antara langit dan bumi dibuka luas. Ia mengingatkan kita akan komunikasi pertama antara langit dan bumi pada Rasul terakhir. Wahyu pertama langit ialah perintah membaca, melalui ungkapan mudah Iqra’. Saya fikir setiap Muslim, walaupun tidak memahami bahasa Arab, faham makna ungkapan ini. Sebagaimana ramai memahami makna ummi, ramai lagi yang memahami makna Iqra’ ini. 4
Jika ada satu perkara yang ingin kita capai dalam bulan Ramadan ini selain dari berpuasa, pastinya ia adalah membaca. Kerana ia adalah perintah pertama langit yang disampaikan pada bulan Ramadan. Bukan perintah berpuasa, bukan perintah bersolat, bukan perintah berzakat. Tetapi perintah membaca. Jika Rasulullah SAW telah menunjukkan kita bila diperintah membaca beliau belajar membaca, kita yang sudah mampu membaca, tidakkah perintah membaca ini menjadi lebih signifikan?
Apa Tujuan Membaca? Untuk Apa Kita Membaca? Mungkin soalan yang kita tanya ialah apa yang perlu kita baca? Tetapi, sebelum kita bertanya apa yang perlu kita baca kita perlu bertanya untuk apa kita membaca atau apa yang ingin dicapai dari membaca. Dengan kita memahami objektif membaca ini membincangkan objek atau bahan membaca akan lebih bererti.
Untuk menjawab soalan ini kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang dimaksudkan dengan Iqra’ dari segi bahasanya. Dalam bahasa Arab, iqra’ atau kata asalnya qara’a bermakna menghimpun atau menggabungkan. Ibn Manẓūr (wafat 711h/1311m), pakar Bahasa Arab tersohor dan penulis kamus klasik Arab terkenal Lisān al-‘Arab, berkata al-Qur’an yang asal katanya ialah qara’a, bermakna ‘himpunan’ (aljam‘). Demikian juga ahli Tafsir al-Biqā‘ī (wafat 885h/1480m) dalam tafsirnya Nuẓum alDurar mengatakan al-Qur’an juga dipanggil al-Jam‘ al-A‘ẓam atau ‘himpunan agung.’ Qara’a, mengikut Prof Quraish Shihab dalam Tafsir al-Mishbahnya, juga membawa makna menelaah, mendalami, meneliti dan mengetahui ciri-ciri sesuatu.
Para pakar bahasa Arab dan ahli tafsir menjelaskan al-Qur’an dinamakan himpunan kerana ia menghimpunkan ayat-ayat, surah-surah, cerita-cerita, perintah dan cegahan, dan sebagainya. Penjelasan ini tidak lah silap. Namun perlu diamati apa yang dimaksudkan di sini ialah himpunan wasilah atau strategi penyampaian, dalam bentuk ayat, dan kemudian surah; dan melalui cerita, diskripsi, perintah, cegahan dan seumpamanya. Jika diteliti ayat-ayat al-Qur’an secara keseluruhannya kita akan faham bahawa pada setiap yang disampaikan terkandung maksud, hikmah dan mesej penting yang ingin disampaikan.
5
Cerita mengisi bahagian besar di dalam al-Qur’an. Runtunan cerita yang termuat dalam al-Qur’an ini bukan hanya bertujuan memberi informasi atau sebagai pelipur lara. Tetapi tersirat dalamnya maksud-maksud yang tinggi nilainya, hikmah yang perlu dipelajari dari kejadian alam dan manusia. Cerita adalah strategi menyampaikan maksud, hikmah dan rahsia-rahsia kejadian dan ciptaan. Demikian juga ketika Allah menggambarkan hari kiamat, hari akhirat, syurga dan neraka, dan seumpamanya, ini semua tidak bermaksud setakat memberi maklumat-maklumat mengenai fenomena ini.
Ayat-ayat hukum yang hanya mengisi lebih kurang 10% dari isi al-Qur’an juga perlu difahami bukan hanya sebagai ayat-ayat perintah dan cegahan, atau ritual yang perlu dijalankan. Sebaliknya, kita perlu memahami maksud, tujuan, atau rahsia hukumhukum Allah ini. Inilah yang dimaksudkan ulama’ dengan al-Maqāṣid al-Shar‘iyyah atau tujuan-tujuan Shari‘āh. Dalam menulis buku agungnya Iḥyā’ Ulūm al-Dīn, Imam alGhazzālī (wafat 505/1111m) tidak hanya membincangkan ritual ibadah, hukum ahkamnya, syarat-syaratnya dan sebagainya. Tetapi beliau menamakan setiap bab sebagai asrār atau rahsia-rahsia. Maka dinamakannya Bab Rahsia-Rahsia Taharah, Bab Rahsia-Rahsia Solat, Bab Rahsia-Rahsia Zakat dan seterusnya.
Kalimah ‘ayat’ sendiri bermaksud petunjuk. Ia menunjuk kepada maksud atau hakikat sesuatu. Sebagai contoh ayat ‘membaca adalah jendela dunia’ hanyalah merupakan kumpulan simbol-simbol dalam bentuk huruf dan kalimah atau ayat. Himpunan kalimah-kalimah ini yang membentuk satu ayat memberikan erti tertentu. Dan ia tidak habis di situ, erti ini juga ingin menunjuk kepada maksud atau tujuan tertentu. Makna dan maksud dari aturan ayat inilah yang menjadi tujuan membaca ayat-ayat ini. Ayatayat al-Qur’an adalah petunjuk kepada maksud atau makna tertentu, hikmah atau tujuan tertentu.
Kerana itu dalam menamakan buku-buku tafsir mereka ramai ahli tafsir memberi isyarat kepada pembaca akan maksud penulisan mereka. Sebagai contoh, al-Kashshāf (Penjelasan atau pendedahan kepada rahsia-rahsia bahasa dalam al-Qur’an) oleh alZamakhsharī (wafat 538/1143m), Mafātīh al-Ghayb (Kunci-Kunci kepada maksud-maksud yang ghayb atau tidak jelas bagi orang biasa) oleh al-Rāzī (wafat 606h/1209m), Anwār alTanzīl wa Asrār al-Ta’wīl (Cahaya-cahaya al-Qur’an dan Rahsia-Rahsia tafsiran) oleh alBaydawi (wafat 685h/1286m) dan banyak lagi.
6
Setelah memahami makna iqra’ ini, yakni membaca atau menghimpun, maka kita faham yang dimaksudkan menghimpun di sini ialah menghimpunkan makna, maksud, rahsia atau hikmah di sebalik apa yang disampaikan. Saya tidak merujuk di sini apa yang mungkin dipanggil sebagai makna batin atau makna di sebalik makna yang mungkin digunakan, atau lebih tepat disalahgunakan oleh sebahagian orang. Ini memerlukan pembahasan khusus, dan memerlukan ilmu dalam sains bahasa dan makna, semantik, prinsip-prinsip tafsir, usul al-fiqh dan banyak lagi bidang ilmu yang diperlukan.
Ketika Nabi pertama kali menerima perintah untuk membaca, ia mungkin difahami sebagai membaca teks atau huruf-huruf tertentu yang membentuk ayat. Maka itu Nabi menjawab “aku tidak membaca.” Diulangi perintah ini beberapa kali, dan jawapan yang sama diberikan. Allah kemudian mengulangi perintahnya iqra’: Bacalah dan Tuhan kamu Maha Pemurah. Di sini bermulalah pelayaran iqra’ Rasulullah SAW menerima langsung daripada Tuhan Yang mencipta. Tuhan Yang mencipta manusia dari segumpal darah. Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.
Seperti yang saya katakan di atas, Nabi menyahut perintah Allah ini dengan belajar membaca dan menulis. Namun yang lebih utama juga Nabi belajar membaca dan menerima dari Tuhan maksud dan hikmah di sebalik segala ciptaan dan kejadian, dan ini bermula dari penciptaan manusia. Nabi menghimpunkan hikmah dan maksud di sebalik segala yang diajarkan atau dibacakan kepadanya. Dan Nabi menerima ini langsung dari Allah Yang Maha Pencipta.
Tugas membaca tidak habis setakat menerima (proses input). Setelah menerima perintah membaca dalam erti kata menghimpun, menelaah, meneliti dan mengetahui ciri-ciri atau hikmah-hikmah dan tujuan-tujuan, Nabi menerima sejurusnya perintah menyampaikan makna, maksud dan hikmah-hikmah ini (proses output). Ini diterima pada wahyu yang diberi selepas iqra’ dalam surah al-Muddaththir dan al-Muzzammil yang turun selepas ayat-ayat iqra’.2 Dan sesungguhnya antara makna kalimah iqra’ juga adalah “menyampaikan.” Di sini tersirat satu lagi tujuan membaca, yakni menyampaikan dan menyebarkan. Membaca dalam ertikata menghimpun berkait rapat 2
Para ulama’ khilaf dalam menentukan ayat yang turun selepas lima ayat pertama Surah al-‘Alaq atau Iqra’. Pada umumnya, ayat-ayat dalam Surah al-Muzzammil, al-Muddaththir, dan al-Qalam diterima sebagai antara ayat-ayat awal. Dan terdapat juga pandangan-pandangan lain.
7
dengan menyampaikan dan mengajarkan. Mencari ilmu dan kemudian mengajarkan dan menyebarkan ilmu adalah asas pembinaan tamadun.
Membaca Apa? Memahami matlamat sesuatu perbuatan adalah penting. Saya telah jelaskan bahawa matlamat Iqra’ atau membaca bukan hanya menghimpunkan butiran-butiran maklumat. Yang lebih utama ialah menghimpunkan maksud, hikmah dan rahsia sesuatu. Setelah memahami matlamat membaca ini, kita bertanya, apa yang harus kita membaca?
Dalam perintah Iqra’ Allah tidak jelaskan objek membaca – membaca apa? Allah membiarkan begitu umum. Sebenarnya, keumuman ini mengilhamkan erti yang mendalam. Khususnya jika kita telah memahami makna dan matlamat Iqra’. Allah memerintahkan kita untuk membaca dalam ertikata menghimpun, menelaah, dan meneliti maksud, tujuan dan hikmah sesuatu. Dan ini boleh diraih dari berbagai sumber yang tersurat dan yang tersirat. Dan kita diperintah untuk membaca semua ini dan menghimpunkan hikmah dari semua sumber.
Yang dimaksudkan dengan tersurat ialah segala yang tertulis. Dalam lima ayat wahyu pertama Allah sebutkan pena: Dia (yakni Allah) yang mengajar manusia dengan perantaraan qalam atau pena, yakni penulisan. Dalam wahyu selepas Iqra’, qalam diulangi lagi. Allah berfirman, “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis.” (al-Qur’ān, al-Qalam: 1)
Iqra’ dan qalam, atau membaca dan menulis, sebenarnya menunjukkan misi ketamadunan al-Qur’an. Jika Nabi tidak membaca dan menulis (ummi yang dibincangkan di atas), dan perintah ini juga disampaikan kepada masyarakat Arab ketika itu yang pada umumnya juga ummi, dan wahyu disampaikan kepada Rasul secara lisan dan belum dituliskan dan dibukukan seperti yang kita baca sekarang, jadi apa makna perintah membaca yang tertulis di sini kepada Nabi dan orang Arab ketika itu?
8
Perintah ini bukan hanya untuk masa turunnya wahyu. Ia adalah perintah untuk masa itu demi membangun masa depan. Allah Maha Mengetahui bahawa akan terbangunnya tamadun manusia yang berasaskan kepada pembacaan dan penulisan. Kemukjizatan utama manusia ialah pada kemampuan manusia mencipta bahasa dan tulisan yang menghimpunkan maklumat dan maksud-maksud. Ini tidak dimiliki oleh makhluk lain. Didorong perintah Iqra’ dan qalam inilah masyarakat Islam pertama membangunkan tamadun manusia yang menjadi inspirasi dan asas kepada tamadun manusia hingga ke hari ini.
Allah memerintah manusia untuk membaca segala-galanya yang termaktub. Ini tidak terbatas hanya kepada al-Qur’an, tetapi apa jua ilmu-ilmu bermanfaat yang termaktub atau tersurat. Bukan hanya membaca apa yang dikatakan sebagai ‘buku-buku atau ilmu-ilmu agama.’ Kerana sesungguhnya rahsia dan hikmah Allah termaktub dalam semua ilmu-ilmu. Dan kita diminta untuk meneliti, menelaah dan menghimpunkan rahsia dan hikmah ini. Sesungguhnya tidak ada pemisahan antara “ilmu agama/akhirat” dengan “ilmu dunia,” atau “ilmu sekular.” Jika mempelajari ilmu dunia tanpa mempelajari ilmu agama dianggap sebagai sekularisasi (dan timbulnya istilah sekolah sekular atau pendidikan sekular), tidak kurang sekular bila seseorang mempelajari ilmu agama tanpa mempelajari ilmu dunia. Yang perlu dipertimbangkan ialah bukan apa yang dipelajari, tetapi untuk tujuan apa dipelajari.
Seorang Muslim adalah seorang yang luas pembacaannya. Dia menghimpunkan berbagai displin ilmu. Dia meneliti, menelaah dan menghimpunkan rahsia dan hikmah Ilahi dari semua sumber-sumber dan displin-displin ilmu.
Keumuman perintah membaca termasuk perintah membaca apa yang tersirat. Maksud dan hikmah-hikmah Ilahi ini tersirat pada semua ciptaan Allah dan kejadian alam ini. Pada gugurnya daun dari pokok, matinya kehidupan alam, pertukaran malam dan siang, pergolakan manusia dan seterusnya tersirat rahsia, maksud dan hikmah yang perlu diteliti dan dihimpunkan. Tidakkah kita lihat bagaimana Allah mengajarkan anak Adam bagaimana menguruskan mayat saudaranya dengan melihat seekor burung. Allah berfirman: Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorekngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat
9
menimbuskan mayat saudaraku? Kerana itu menjadilah dia dari golongan orangorang yang menyesal. [al-Qur’ān, al-Mā’idah (5): 31]
Melalui selemah-lemah binatang, atau sekecil-kecil binatang Allah mengajar manusia. Dan contoh-contoh ini banyak Allah terangkan di dalam al-Qur’ān. Antaranya Allah mengingatkan kita, Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau orangorang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.
Maka, janganlah kita memperlekehkan ayat-ayat tersirat ini sekecil mana sekalipun. Tentunya, untuk menghimpunkan hikmah ini kita terlebih dahulu perlu memiliki dan memahami maklumat dan ilmu mengenai segala ini.
Sedari kecil hingga ketika menerima wahyu, Nabi Muhammad SAW telah dididik jiwa dan mindanya untuk mampu membaca ayat-ayat tersirat ini. Ini melalui amalan bertafakkur dan bertadabbur yang memang biasa Nabi lakukan. Bahkan, wahyu pertama diturunkan ialah ketika Nabi sedang bertafakkur di gua Hira’. Jiwanya yang bersih membolehkan beliau melihat maksud dan hikmah pada ayat-ayat tersirat ini.
Ketika Allah memerintah Rasulullah untuk membaca, ia bukan perintah untuk membaca hanya apa yang akan disampaikan oleh Jibril sewaktu itu di gua Hira’. Tetapi Allah berkata kepada Rasulullah: Bacalah! dan bersedialah untuk terus membaca secara berterusan dan konsisten. Kamu, wahai Muhammad, akan terus membaca dan menghimpun makna-makna dan hikmah-hikmah ini bukan hanya melalui wahyuwahyu yang akan terus disampaikan, tetapi juga melalui kejadian-kejadian alam, kehidupan dan pergolakan dalam masyarakatmu, dan sejarah manusia. Maka teruslah bertafakkur, bertadabbur, membaca mesej, makna-makna dan hikmah yang ingin disampaikan.
10
Allah Terus Menurunkan “Wahyu” Hingga Hari Ini? Sesungguhnya, perintah membaca yang tersurat dan tersirat ini kekal hingga ke hari ini. Ia perintah bukan hanya kepada Rasulullah dan umat manusia pada zaman Rasulullah. Ia adalah perintah abadi kepada semua manusia sepanjang masa. Jika kita memahami ini, tidak kah ia bermakna Allah masih terus berkomunikasi dengan kita (“wahyu” tersirat)? Pada setiap saat dan detik dalam kehidupan kita, Allah berbicara kepada kita. Cuma apakah kita mendengar, melihat, membaca, dan memahami?
Sesiapa yang menyahut perintah ini dia lah yang akan berjaya dan cemerlang. Jika kita masyarakat Islam mendakwa al-Qur’an ini adalah Kitab kita, tidak kah kita lebih utama untuk menyahut perintah ini? Setiap Ramadan yang datang mengingatkan kita akan peristiwa turunnya al-Qur’an yang bermula dengan perintah membaca. Tidak kah Ramadan mengingatkan kita akan misi ketamadunan ini?
Jika kita perhatikan aturan surah-surah al-Qur’an, menyusuli surah Iqra’ ialah surah alQadr. Surah al-Qadr mengingatkan kita akan al-Qur’an yang diturunkan pada laylat alqadr, yang diturunkan dari Lūḥ al-Maḥfuẓ ke langit dunia. Al-Qur’an kemudian disampaikan secara berperingkat. Dan peringkat pertama atau perintah pertama ialah Iqra’.
Surah al-Bayyinah pula menyusuli surah al-Qadr. Al-Bayyinah bermaksud kejelasan dan bukti yang nyata. Al-Qur’an diturunkan dengan hujjah-hujjah yang nyata. Al-Bayyinah berbicara kepada dan mengenai ahl al-Kitab (Yahudi, Nasrani dan mereka yang menerima kitab sebelum ini). Ia menegaskan kepada ahl al-Kitab bahawa al-Qur’an dan Rasul ini datang dengan hujjah-hujjah atau bukti-bukti yang nyata, di atas dasar ilmu. Bahkan lebih dari itu, mereka dan kita diminta untuk “membaca” hujjah-hujjah ini yang tersurat dan tersirat. Al-Qur’an penuh dengan seruan dan perintah untuk bertadabbur dan bertafakkur.
Kesimpulan Ringkasnya, umat Islam dibangunkan di atas asas penting, yakni Iqra’ atau Bacalah. Perintah Iqra’ adalah perintah mencari makna dalam kehidupan, dan perintah
11
membangunkan tamadun manusia yang bermakna (meaningful), bertujuan (purposeful), dan berhikmah. Dalam menjalankan amanah memakmurkan bumi ini, Allah tidak membiarkan manusia tanpa panduan dan bimbingan. Allah terus menyampaikan panduan dan bimbingan ini sehingga hari ini. Jika wahyu tersurat telah berhenti dengan wafatnya Rasulullah SAW Nabi Terakhir, wahyu tersirat terus disampaikan kepada kita manusia. Tugas manusia ialah untuk mencari, meneliti, menelaah dan menghimpunkan makna-makna ini daripada ayat-ayat Allah yang tersirat. Ketika kita diperintah untuk mendirikan solat, menunaikan zakat dan haji, menguruskan masyarakat dan negara, berjual-beli dan seterusnya kita diperintahkan untuk meneliti, menelaah dan menghimpunkan maksud, hikmah dan tujuan dari segala amalan ini, dan memastikan bahawa tujuan-tujuan ini (al-Maqāṣid al-Shar‘iyyah) terpelihara. Kewajipan ini tidak terbatas pada meneliti dan menghimpunkan, bahkan diwajibkan juga untuk mengajarkan, menyebarkan dan menyampaikan makna, maksud dan hikmah ini.
Kita adalah umat yang membaca. Yang membaca segala-galanya yang bermanfaat dan bermakna.
12