PENGURUSAN HARTA PUSAKA MAHJUR ALAIH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: SATU KAJIAN LITERATUR Fariza Mohamad Tajuddin & Mohd Zamro Muda ABSTRAK Harta pusaka ialah segala harta dan hak-hak kebendaan yang ditinggalkan oleh si mati untuk diwarisi oleh waris atau bukan waris. Pengurusan harta pusaka adalah milik mutlak individu. Namun begitu, golongan mahjur alaih seperti kanak-kanak, orang gila dan orang yang sakit tenat merupakan golongan yang terhalang dari mengendalikan harta bendanya disebabkan beberapa hal yang terdapat pada dirinya. Justeru, pengurusan harta pusaka mereka perlu dikendalikan oleh orang yang lebih berkelayakan. Dengan ini, satu tinjauan literatur mengenai pengurusan harta pusaka mahjur alaih menurut perspektif Islam dilakukan bertujuan menyingkap konsep pengurusan harta pusaka mahjur alaih. Di samping itu, kajian ini bertujuan mengkaji keutamaan bagi orang yang menguruskan harta pusaka mereka dan mengenalpasti bentuk atau cara pengurusan harta pusaka mahjur alaih. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kualitatif menerusi reka bentuk analisis kandungan. Kaedah pengumpulan data berbentuk kajian kepustakaan telah digunakan bagi membolehkan pengkaji mengumpul maklumat dari aspek teoritikal yang menjadi fokus kajian ini. Dapatan kajian mendapati banyak penulisan mengenai pengurusan harta pusaka menurut perspektif Islam, namun penulisan mengenai pengurusan harta pusaka mahjur alaih tidak diberi penekanan pada penulisan sebelum ini. Justeru kajian ini penting bagi mengkaji konsep pengurusan harta pusaka majur alaih agar ini menjadi satu garis panduan dan memberi sumbangan terhadap bidang ilmu. PENDAHULUAN Islam adalah agama yang sempurna mencakupi segala bidang kehidupan manusia termasuklah pembahagian harta pusaka. Pembahagian harta pusaka adalah pengagihan harta si mati kepada waris dengan cara menentukan bahagian saham kepada yang berhak dengan cara yang betul mengikut hukum faraid. Setelah waris memiliki hartanya, beliau boleh menggunakanya secara mutlak harta yang diperolehinya. Pengurusan harta pusaka yang betul dan bertepatan dengan kehendak hukum syara' dapat menjamin kehidupan golongan yang tidak berkeupayaan. Kemampuan manusia berbeza-beza untuk menguruskan sesuatu perkara termasuklah harta yang diperolehi. Ia adalah berdasarkan keupayaan fizikal dan mental seseorang untuk mengurus harta tersebut agar harta tersebut dapat digunakan secara baik dan sistematik mengikut skop peredaran harta yang betul. Individu yang sihat fizikal dan mentalnya mampu menjaga dirinya sendiri, mampu mengurus dan mentadbir hartanya dengan baik. Namun begitu, terdapat juga golongan yang lemah mental atau fizikalnya. Mereka tidak mampu mengurus diri mereka apatah lagi harta yang mereka perolehi. Mereka ini dipanggil mahjur alaih.
246 KONSEP PENGURUSAN HARTA PUSAKA Definisi Pengurusan Pengurusan bermaksud perihal kerja dan sebagainya dengan mengurus sesuatu. Contohnya mengurus syarikat, badan perniagaan dan lain-lain (Kamus Dewan 1998). Manakala, menurut Juhary Haji Ali pula pengurusan adalah sesebuah organisasi yang merupakan unit sosial yang terdiri daripada manusia yang berkerjasama dan saling bergantung antara satu sama lain untuk mencapai matlamat individu, kumpulan dan organisasi (Juhary Ali 2004). Pengurusan yang sistematik dan saling bekerjasama antara satu sama lain mampu menjamin kelancaran aktiviti yang dilakukan oleh sesebuah organisasi. Selain itu, pengurusan menurut Jaafar Muhammad ialah satu proses mengagihkan input organisasi termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan untuk tujuan mengeluarkan output iaitu segala barangan yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai. (Jaafar Muhammad 1999). Berdasarkan definisi pengurusan di atas, dapat disimpulkan pengurusan merupakan pengawalan dan pentadbiran sesebuah organisasi atau individu untuk mencapai matlamat dan objektif yang tersendiri. Pengurusan dan perancangan yang sistematik hasil kerjasama antara satu sama lain dapat mengawal dan mentadbir sesebuah organisasi agar ianya lebih berprestasi. Manakala, mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu (http://www.academia.edu). Oleh itu, pengurusan kewangan perlulah dikendalikan oleh orang yang berkelayakan dan berkemahiran untuk mengurus harta tersebut agar pengaliran harta atau wang tersebut mengikut skop peredaran harta yang betul. Definisi Harta Pusaka Harta pusaka pada bahasa ialah apa yang ditinggalkan seseorang selepas kematiannya. Manakala dari segi istilah pula ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada barang bernilai dan hak-hak yang akan diwarisi oleh waris-waris disebabkan kematian pewaris. (Balhaj Arabi 2009). Harta yang diwariskan merupakan harta alih dan harta tidak alih. Harta alih ialah harta yang boleh bergerak, boleh dibawa kemana-mana, contohnya kenderaan seperti kereta, motosikal, motobot, senjata api seperti pistol dan senapang. Berbagai jenis wang simpanan di institusi kewangan, saham-saham dalam syarikat dan koperasi, wang tunai, barang-barang kemas dan binatang ternakan yang telah dibuktikan sah kepunyaan si mati. (Sulaiman Kadimi 2008) Harta tidak alih pula ialah tanah dan segala benda-benda yang tidak boleh diubah kedudukannya seperti rumah atau bangunan. Definisi Mahjur Alaih Perkataan mahjur berasal dari perkataan Bahasa Arab iaitu “ ”الحجرdengan huruf ha berbaris atas ( ), huruf jim berbaris sukun ( ) dan huruf ra berbaris depan ( )
247 bermaksud terhalang. Dari segi istilah syarak pula “ ”الحجرditakrifkan dengan pelbagai takrifan, antaranya ialah: 1)
Menurut Muhammad al-Khatib as-Syarbini mahjur ialah cegahan untuk pengelolaan harta(Muhammad as-Syarbini al-Khatib 2004)
2)
Menurut al-Syeikh Zakaria Muhammad al-Ansori: “Terhalang daripada mengendalikan sesuatu yang khusus dengan sebab yang khusus”(Zakaria Muhammad al-Ansori 1997).
3)
Menurut Muhammad Nawawi Umar al-Jawi: “Terhalang dari mengendalikan harta semata-mata tidak pada yang lainnya” (Muhammad Nawawi 1998).
Berdasarkan takrifan di atas, golongan mahjur alaih ialah golongan yang terhalang dari menguruskan harta sendiri disebabkan wujudnya sebab-sebab khusus yang terdapat pada diri mereka sendiri sehingga boleh menghalang mereka dari mengurus dan mentadbir harta mereka sendiri. Ulama fiqh telah membahaskan golongan yang termasuk dalam kategori mahjur alaih. Majoriti ulama mengatakan Golongan ini terdiri daripada enam kumpulan iaitu: 1)
Kanak-kanak ialah anak yang belum baligh atau belum mukallaf sama ada lelaki atau perempuan. Halangan menguruskan harta ke atas mereka diangkat apabila mereka sudah baligh(Muhammad Nawawi 1998). Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya. (An-Nisa’ 4 : 6) 2)
Orang gila pula ialah orang yang hilang akal yang diibaratkan pada keseluruhan perbuatan dan perkataannya yang melalui akal. Oleh itu, golongan ini terhalang dari menguruskan harta sehingga dia sedar atau siuman dari gila (al-Nawawi 2002). Menurut Abdul Karim Zaidan, gila atau hilang akal terbahagi kepada dua bahagian iaitu gila disebabkan asal atau azali, dan gila kerana yang mendatang (Abdul Karim Zaidan 2006).
3)
Safih ialah golongan yang lemah akalnya. Dari sudut pengurusan harta, golongan ini tidak pandai menguruskan harta dengan baik. Sekiranya harta diserahkan kepada mereka, dikhuatiri akan menyebabkan pembaziran pada harta mereka disebabkan lemahnya akal dan tidak pandai untuk menguruskan harta. Firman Allah SWT:
248
Maksudnya: Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta mereka yang ada dalam jaga kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. (An-Nisa’ 4 : 5) 4)
Muflis ialah orang yang ketiadaan harta sama ada kurangnya harta atau kehabisan harta disebabkan terikat dengan hutang.
5)
Sakit ialah golongan yang sakit tenat atau sakit yang berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh. Golongan ini juga terhalang dari menguruskan harta mereka.
6)
Hamba juga terhalang dari menguruskan pusaka mereka kerana golongan hamba dimiliki oleh tuannya. Golongan ini tidak diizinkan melakukan sebarang jenis perniagaan atau pengurusan harta melainkan diizinkan oleh tuannya (Muhammad Nawawi 1998).
PERNYATAAN MASALAH KAJIAN Pengurusan harta pusaka adalah milik mutlak individu. Setiap individu layak mengendalikan dan mentadbir hartanya sendiri namun begitu sekiranya individu tidak sihat mental atau fizikalnya, hartanya perlu diuruskan dan ditadbir oleh orang yang berkelayakan. Dewasa ini, kita sering didedahkan dengan penyelewengan harta pusaka terutamanya apabila ianya melibatkan golongan yang tidak berkemampuan seperti kanak-kanak, orang gila, orang sakit dan sebagainya. Contoh yang terbaru, penyelewengan dan penganiayaan terhadap lima beradik yatim piatu disebabkan ibu dan bapa mereka yang maut digilis lori dalam satu kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras di Jalan Loke Yew seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Mei 2014. Berikutan kejadian tersebut, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mewujudkan saluran bantuan yang memberi nombor akaun bank palsu di laman sosial termasuk facebook untuk mengutip derma bagi pihak lima beradik itu. Kesusahan lima beradik ini telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan diri mereka. Seharusnya lima beradik yatim piatu ini perlu dilindung dan diberi bantuan yang sewajarnya bukan ditindas dan dianiaya untuk kepentingan diri. Selain itu, kebanyakkan masyarakat tidak tahu dan tidak faham cara untuk menguruskan harta pusaka. Oleh hal yang demikian, mereka mengabaikan pengurusan harta pusaka. Hal ini menyebabkan berlakunya pembekuan harta pusaka. Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Jun 2011 menunjukkan sebanyak RM42 billion harta pusaka dibekukan berikutan waris tidak membuat sebarang
249 tuntutan terhadap harta pusaka tersebut disebabkan si mati tidak meninggalkan wasiat. Perkara ini menunjukkan kebanyakkan masyarakat mengambil mudah mengenai hal pengurusan dan pembahagian harta pusaka. Mereka masih kurang pengetahuan dan pemahaman berkaitan wasiat dan harta pusaka. Akibatnya harta pusaka terpaksa dibekukan oleh kerajaan. TINJAUAN LITERATUR Kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti pengurusan harta mahjur alaih dalam mewarisi harta dan undang-undang yang wujud bagi melindungi hak mereka.Ianya merupakan langkah bijak dalam membendung penyalahgunanaan kuasa untuk mentadbir harta mahjur alaih. Oleh itu, bahagian ulasan kepustakaan ini akan membincangkan kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji terdahulu yang menjawab kepada persoalan kajian. Merujuk kepada karya-karya ulama kontemporari, terdapat pola penulisan yang diketengahkan apabila membincangkan pengurusan harta pusaka mahjur alaih. Di antaranya, kajian yang mengupas tentang pengurusan harta pusaka anak yatim yang masih dibawah umur seperti yang dihasilkan oleh Yusof bin Muhammad dalam bukunya yang bertajuk fatawa wa ahkam khasah bil tiflu. Penulis ini telah mengemukakan satu tajuk khusus berkaitan kanak-kanak yang merangkumi tajuk solat kanak-kanak, khitan, bersuci, haji, zakat dan hukum-hukum harta kanak-kanak dan lain-lain lagi. Namun penulisan berkaitan pengurusan harta pusaka dalam buku ini tidak begitu terperinci kerana ia hanya subtopik dari tajuk zakat dan hukum-hukum harta kanak-kanak. Di samping itu, ada juga karya-karya fuqaha yang bertajuk al-Taqrir wa al-Tahbir karya Ibn Amir al-Haj, Sharh manar al-anwar fi usul al-fiqh karya Abd al-Latif, alNazariyyah al-ammah karya Mahmasaniyy, al-Muamalat al-maliyah fi Ukud alIslamiyyah baina Imam Ulwais wa al-Mazahib al-fiqhiyyah karya Shaima’ Hamid. Karya ulama’ ini membincangkan tentang kelayakan seseorang untuk mentadbir hartanya dan tahap umur bagi kanak-kanak untuk mentadbir hartanya. Ianya menjadi sumber rujukan penting bagi membahaskan tajuk pengurusan harta pusaka mahjur alaih dari perspektif Islam. Kuasa mengurus harta bagi orang yang masih belum sempurna kelayakannya dalam mengurus hartanya diletakkan dibawah kuasa wali atau wasi untuk menguruskan harta tersebut.Ianya berdasarkan tulisan al-Jubayr dalam tulisannya al-Wilayah ala alghayr.Kuasa mengurus harta oleh wali bagi golongan yang tidak berkelayakan ini telah disepakati oleh jumhur ulama. Golongan yang perlu ditahan harta mereka untuk menjalankan sebarang urusan transaksi ialah kanak-kanak, orang gila, hamba dan orang bodoh.Selain itu, golongan yang mempunyai kelayakan untuk mengurus harta mereka tetapi tertegah disebabkan perkara-perkara atau halangan-halangan tertentu.Golongan ini seperti orang yang sakit tenat, muflis, dan sebagainya. Di samping itu, penagih dadah juga boleh dikategorikan dalam golongan ini kerana sebab yang wujud atas dirinya.Namun begitu, al-Jubayr tidak membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan golongan ini.Ianya lebih tertumpu kepada golongan yang tidak sempurna kelayakannya untuk menguruskan harta pusaka dan ianya menjadi perbahasan ulama feqah.
250 Karya-karya ulama’-ulama’ ini membuktikan bahawa kanak-kanak yang tidak berkelayakan perlu ditadbir dan diuruskan hartanya oleh walinya atau wakil daripada walinya. Timbul persoalan di sini, sekiranya wali menguruskan harta mereka, Adakah wali boleh menggunaan harta mereka untuk membuat pelbagai transaksi sama ada urusan zakat, pelaburan dan sebagainya. Apakah ianya dibolehkan oleh syarak? Selain daripada kupasan secara umum, perbincangan tentang pengurusan harta pusaka mahjur alaih ini, ianya tidak terkecuali daripada membincangkan tentang tajuk wali.Persoalan tentang wali dan isu-isu berkaitan wali terhadap harta dan susunan wali dapat dirujuk di dalam buku yang bertajuk hukuk al-tiflu fi syariah islamiah karya Basyir Ahmad Abu Khadnanash.Penulis ini banyak membincangkan tentang wali terhadap harta, susunan wali dan syarat mereka.Perbincangan ini dapat merungkaikan persoalan tentang orang yang berhak menguruskan pusaka mahjur alaih dan syarat-syarat yang diperlukan untuk menjadi wali. Selain itu, karya-karya fuqaha yang terkenal seperti al-madkhal li al-fiqh al-Islamiyy karya Muhammad Salam, Sharh al-ahkam al-shariyyah fi al-ahwal al-shakhsiyyah karya al-Abyaniyy, Ahkam al-muamalat al- shariyyah karya Aliyy al-Khafif juga merupakan asas rujukan yang penting yang membahaskan tentang jenis wali dan kuasa wali dalam melaksanakan kewajipannya untuk menguruskan harta orang di bawah tanggungannya. Ianya satu tajuk penting sebelum mengfokuskan kepada pengurusan harta mahjur alaih. Di samping itu, perbincangan tentang konsep akad wasiat dan wisayah di Malaysia juga ada dibincangkan dalam prosiding konvensyen kebangsaan pengurusan harta pusaka, wasiat dan wakaf.Perbincangan ini merupakan satu tajuk kecil hasil kajian Mat Noor Mat Zain dalam tulisannya Kuasa Wali dalam Pengurusan Harta Pusaka Menurut Islam.Di antara topik yang dibahaskan dalam tulisannya seperti kelayakan dan kuasa menjalankan urusan kehartaan, konsep akad wisayah, kewajipan wasi dan kuasa pengurusan harta. Penulisan yang menyentuh mengenai harta pusaka, maksud wasi dan syarat-syarat alwasi telah diulas oleh Ahmad Tarmizi Yusof dalam bukunya yang bertajuk Pewaris Jutawan Kaedah Merancang dan Menguruskan Harta Pusaka Islam.Buku ini membincangkan konsep harta pusaka, peranan wasi dan langkah perancangan harta.Ianya antara sumber rujukan penting untuk merancang dan menguruskan harta golongan mahjur alaih agar harta mereka dapat diuruskan dengan sebaiknya. Selain itu, buku yang berjudul Perancangan dan Pengurusan Perwarisan Islam terbitan Amanah Raya Berhad menyentuh mengenai sistem Perwarisan Islam. Ianya membahaskan tentang pembahagian harta pusaka dalam Islam serta konsep amanah.Apa yang menarik berkaitan buku ini ialah terdapat isu berkaitan amanah terutama bagi individu yang dilantik sebagai pemegang amanah atau wasi untuk menguruskan harta golongan mahjur alaih. Oleh itu, buku ini menjadi antara rujukan penting untuk penulis membahaskan berkaitan pengurusan harta pusaka mahjur alaih dari perspektif Islam.
251 KESIMPULAN Banyak kajian yang telah dijalankan berhubung dengan tajuk ini. Namun begitu, setakat ini belum ditemui lagi kajian secara terperinci berkenaan dengan Pengurusan Harta Pusaka Mahjur Alaih dari Perspektif Syarak. Pada dasarnya, kupasan mengenainya bukanlah secara terperinci dan dibincangkan dalam suatu bab yang khusus tetapi merupakan pecahan kecil dari bab-bab yang lain. Hasil penelitian daripada kajian-kajian yang diketengahkan di atas didapati ia bukanlah suatu kajian yang khusus mengenainya tetapi diletakkan dalam perbahasan topik-topik lain. Kedua-dua ulama fiqh silam dan terkini juga tidak menyentuh persoalan yang hendak dikaji secara terperinci. Namun begitu, kajian-kajian yang lepas ini telah meletakkan prinsip-prinsip umum baginya dan harus dijadikan asas kepada pengembangan kajian selanjutnya yang lebih bersifat praktikal dan semasa. Sehubungan dengan itu, telah tiba masanya satu kajian yang lengkap mengenai tajuk ini dibuat untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang permasalahan ini dan seterusnya meleraikan kekeliruan di kalangan masyarakat sekaligus mengeluarkan mereka dari kelompok yang cetek pengetahuan tentang pengurusan harta pusaka mahjur alaih.
Rujukan Al-Quran al-Abyaniyy. t.th. Sharh al-ahkam al-shariyyah fi al-ahwal al-shakhsiyyah. Beirut & Baghdad: Maktabah al-Nahdah. al-Atiq, Yusuf bin Muhammad bin Ibrahim. 1998. fatawa wa ahkam khasah bil tiflu. Saudi: Dar al-Somi’i. Aliyy al-Khafif. 1996. Ahkam al-muamalat al-shariyyah. Kaherah: Dar al-Fikr alArabiyy. al-jawi, Muhammad Nawawi. 1998. Futu al-habib al-ghari'. Beirut: Dar al-kitab alilmiyyah. al-Jubayr, Hani bin Abdullah bin Muhammad. al-Wilayah ala al-Ghayr. www.saaid.net/Doat/hani/h6.doc an-Ansori, Zakaria Muhammad. 1997. Tuhfatu thulab bi syarah matan tahrir tankih albab fi fiqh Imam as-syafie. Beirut: Dar al-kitab al-ilmiyyah. as-Syarbini, Shamsuddin Muhammad. 2004. Al-iqna’ fi hal alfaz abi suja’. Beirut: Dar al-kitab al-ilmiyyah. Basyir Ahmad. 2005. hukuk al-tiflu fi syariah islamiah. Libya: Dar al-Kitab alWatoniyyah.
252 Fitri Abdul Rahman. 2007. Bagaimana Mengurus Harta Pusaka. Selangor: PTS Publishing Sdn. Bhd. Ibn al-Malik, Abd al-Latiff. 1308H. Sharh manar al-anwar fi usul al-fiqh. t.tp.: alMatbaah al-Nafisah al-Uthmaniyyah. Ibn Amir al-Haj. 1316H. al-Taqrir wa al-Tahbir. 2 jil. Mesir: al-Matbaah al-Kubra alAmiriyyah. Jaafar Muhammad. Asas Pengurusan. 1999. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti. Juhary ali & ishak ismail. 2004. Prinsip dan Amalan Pengurusan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Mahmasaniyy, Subhiyy. 1967. al-Nazariyyah al-ammah. Jil. 2. Beirut: Dar al-Ilm li al-Malayin. Utusan Malaysia. 2014. 24 Mei. Utusan Malaysia. 2011. 29 Jun. http://www.academia.edu