Malaysia Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2007 Dikeluarkan oleh Biro Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama, namun Kerajaan mengenakan beberapa sekatan ke atas hak ini. Agama Islam diiktiraf oleh Perlembagaan sebagai “agama kebangsaan”, tetapi penganut agama Islam selain mazhab Sunni banyak dikenakan sekatan dan golongan yang menyimpang daripada kepercayaan Sunni yang diterima umum boleh dikenakan tindakan “pemulihan”. Orang bukan Islam bebas menganut agama pilihan mereka dengan beberapa syarat. Tiada perubahan pada sikap rasa hormat terhadap kebebasan beragama oleh Kerajaan sepanjang tempoh yang diliputi oleh laporan ini. Pihak Kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada pelbagai institusi Islam dan menyediakan dana yang terhad kepada komuniti keagamaan bukan Islam. Pihak berkuasa peringkat negeri menguatkuasakan undang-undang agama Islam yang dilaksanakan melalui mahkamah Islam ke atas semua orang yang berbangsa Melayu (dan juga orang Islam yang lain) dalam hal-hal yang membabitkan undang-undang keluarga dan juga hal-hal sivil yang lain. Kerajaan menyekat pengedaran bahan bacaan dalam bahasa Melayu mengenai agama Kristian di Semenanjung Malaysia dan melarang orang bukan Islam daripada mengambil penganut baru daripada kalangan orang Islam. Orang Islam tidak dibenarkan untuk bertukar kepada agama lain. Sejak beberapa tahun yang lalu, sistem mahkamah sivil di negara ini telah beransur-ansur menyerahkan kawalan undang-undang kepada Mahkamah Syariah bagi beberapa perkara yang tertentu dalam bidang undang-undang keluarga yang melibatkan pertelingkahan antara orang yang Islam dengan yang bukan Islam. Menurut undang-undang Syariah yang berkuat kuasa di seluruh negara, orang yang bukan Islam mestilah memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan orang Islam. Dalam beberapa kes yang berlaku sewaktu tempoh laporan ini, pihak berkuasa agama peringkat negeri telah menahan dan cuba untuk “memulihkan” iman pasangan orang Islam yang telah cuba meninggalkan Islam, atau orang Islam yang telah berkahwin dengan orang yang bukan Islam di gereja atau di kuil. Perkahwinan seperti itu tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam. Anak-anak hasil perkongsian hidup tersebut kadangkala dipisahkan oleh pihak berkuasa agama Islam daripada penjagaan ibu bapa, sementara menunggu “pemulihan” ibu atau bapa Islam yang ditahan itu. Beberapa peguam yang terkemuka dan pejuang hak asasi manusia telah membantah terhadap amalan ini, dan beberapa kes mahkamah yang berkaitan dengannya masih sedang dikaji semula di Mahkamah Persekutuan (iaitu mahkamah tertinggi negara). Kerajaan Amerika Syarikat telah membincangkan hal-hal kebebasan beragama dengan Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada dasarnya untuk menganjurkan hak asasi manusia. Bahagian I. Demografi Agama Negara ini mempunyai keluasan 127 ribu batu persegi, dan penduduk seramai 26.6 juta orang. Mengikut angka banci tahun 2000, kira-kira 60 peratus penduduk menganut agama Islam; 19 peratus beragama Budda; 9 peratus beragama Kristian; 6 peratus beragama Hindu; dan 3 peratus Konfusianisme, Taoisme, dan agama tradisional lain yang dianuti oleh kaum Cina. Yang selebihnya menganut agama lain seperti animisme, Sikhisme, dan Baha’i. Bangsa Melayu yang beragama Islam mencakupi lebih kurang 55 peratus daripada jumlah penduduk. Dasar yang sudah lama diamalkan oleh Kerajaan memberikan keistimewaan dari segi ekonomi dan pendidikan kepada bangsa Melayu, iaitu penduduk majoriti di negara ini, yang kesemuanya dikategorikan mengikut undang-undang sebagai orang Islam sewaktu lahir. Parti-parti politik kebanyakannya ditubuhkan mengikut bangsa dan agama. Bilangan badan mubaligh asing pelbagai agama yang bergiat di negara ini tidak dapat ditentukan. Bahagian II. Kedudukan Kebebasan Beragama Rangka Kerja Undang-undang/Dasar Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama, namun Kerajaan mengenakan beberapa sekatan ke atas hak ini. Kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada sebuah pertubuhan Islam yang terdiri
daripada pelbagai institusi kerajaan, separa kerajaan dan institusi lain, dan secara tidak langsung menyediakan dana yang terhad kepada komuniti bukan Islam. Kerajaan negeri menguatkuasakan undangundang Syariah terhadap orang Islam dalam beberapa hal budaya dan sosial namun pada amnya tidak mengganggu amalan keagamaan komuniti bukan Islam. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, memperkenalkan konsep "Islam Hadhari" , yang dihuraikannya sebagai suatu “pendekatan” yang mengingatkan orang Islam bahawa “Islam yang sebenarnya adalah agama yang toleran, berkemajuan dan mencintakan keamanan," dan dihasratkan untuk memupuk toleransi antara agama dan kesederhanaan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Kerajaan menganjurkan 10 rukun "Islam Hadhari" di sekolah-sekolah dengan memasukkannya ke dalam kurikulum mandat kerajaan, melalui ceramah-ceramah agama dalam perkhidmatan awam, melalui dialog dan forum, dan melalui media elektronik dan cetak. Sungguhpun fasal 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, mahkamah tertinggi negara telah memutuskan sewaktu tempoh laporan ini, bahawa orang Islam yang hendak bertukar kepada agama lain mestilah mendapatkan kelulusan mahkamah Syariah terlebih dahulu. Keputusan mahkamah secara sahnya menghalang orang Islam daripada bertukar agama, oleh sebab mahkamah Syariah selama ini hanya telah mengizinkan permohonan segelintir orang sahaja untuk bertukar kepada agama lain. Undang-undang Syariah yang ditadbir oleh kerajaan negeri menerusi mahkamah Syariah dipakai terhadap seluruh masyarakat Islam, yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Undang-undang Syariah ini dan tahap penguatkuasaannya berbeza di setiap negeri. Mahkamah Syariah tidak memberikan keutamaan yang sama kepada keterangan kaum wanita. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membaktikan khidmat untuk membela hak asasi wanita telah mengadu bahawa kaum wanita tidak mendapat layanan yang saksama daripada mahkamah Syariah dalam hal-hal perceraian dan penjagaan anak. Pada bulan Disember 2005, Parlimen telah meluluskan Akta Undang-undang Keluarga Islam (AUKI) sebagai usaha untuk melaraskan undang-undang Syariah di seluruh negara. AUKI melemahkan kemampuan seseorang isteri Islam untuk menguasai harta bendanya sendiri sewaktu dalam keadaan berkahwin, serta meningkatkan kemampuan lelaki Islam untuk menceraikan isterinya, berkahwin lebih daripada satu, dan menuntut hak ke atas harta isterinya apabila dia mengahwini isteri baru. Berikutan bantahan oleh para pejuang hak asasi wanita terhadap peruntukan ini dan beberapa peruntukan yang lain dalam AUKI, pihak peguam negara telah memulakan suatu kajian semula terhadap undang-undang tersebut. Setakat 30 Jun 2007, undang-undang tersebut belum lagi diwartakan, dan pejabat peguam negara masih meneruskan kajian semula terhadap cadangan pindaan AUKI tersebut. Pendaftar Pertubuhan, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, menentukan sama ada sesebuah organisasi keagamaan itu boleh didaftarkan dan oleh itu layak menerima bantuan kewangan kerajaan dan manfaat lain ataupun tidak. Kerajaan enggan mengiktiraf pelbagai pertubuhan agama, dan supaya dapat bergiat secara halal, kumpulan-kumpulan ini kadangkala mendaftarkan pertubuhan mereka di bawah Akta Syarikat. Sebagai contoh, Kerajaan mengatakan bahawa Rufaqa Corporation, yang telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan diiktiraf oleh Pendaftar Syarikat negara, adalah suatu badan agama yang sesat yang sedang cuba menghidupkan semula ajaran pergerakan Al-Arqam yang telah diharamkan. Walaupun beberapa kerajaan negeri telah mengisytiharkan Rufaqa Corporation sebagai kumpulan agama yang sesat dan telah merampas bahan-bahan keagamaan dan menurunkan gambar potret Ustaz Ashaari, iaitu pengasas Al-Arqam, daripada premis-premis perniagaan mereka, namun pihak berkuasa belum lagi menghentikan operasi perniagaan mereka. Undang-undang membenarkan pihak negeri memusnahkan berhala dan rumah-rumah ibadat yang tidak berdaftar. Beberapa NGO mengadu tentang perobohan kuil dan makam Hindu yang terletak di atas tanah milik kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Binaan ini biasanya didirikan di atas ladang milik persendirian sebelum negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada sekitar waktu itu, tanah ladang yang menempatkan banyak makam dan kuil Hindu dipindah milik kepada Kerajaan. Pengawalan masjid-masjid dilaksanakan pada peringkat negeri dan bukan oleh Kerajaan persekutuan. Pihak berkuasa agama peringkat negeri melantik para imam untuk masjid-masjid dan menyediakan panduan bagi isi kandungan semua khutbah. Kerajaan negeri mempuyai kuasa terhadap pembinaan rumah ibadat bukan Islam dan peruntukan tanah perkuburan bukan Islam.
Kerajaan melarang pengedaran terjemahan kitab Injil dalam bahasa Melayu, pita rakaman Kristian, dan bahan bercetak yang lain di Semenanjung Malaysia. Pada bulan April 2005, Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa salinan kitab Injil dalam bahasa Melayu mesti dicetak “Bukan Untuk Orang Islam” pada kulit depannya dan hanya boleh diedarkan di gereja dan di kedai buku Kristian sahaja. Pengedaran bahan bercetak Kristian dalam bahasa Melayu dikenakan beberapa sekatan sahaja di Malaysia Timur. Kerajaan melarang penerbitan dan perdebatan awam yang dikatakan boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama. Pada tahun 2006, Kerajaan telah mengharamkan sekurang-kurangnya 18 buah buku yang bertemakan agama, termasuklah The Battle for God, oleh Karen Armstrong. Dua buku sebelum itu oleh Armstrong, iaitu A History of God dan Muhammad: A Biography of the Prophet, telah diharamkan pada tahun 2005. Kerajaan terus menetapkan bahawa semua kakitangan kerajaan yang beragama Islam perlu menghadiri kelas agama yang diluluskan oleh Kerajaan. Sekolah awam pada amnya menawarkan pendidikan Islam, yang diwajibkan ke atas pelajar-pelajar Islam. Pelajar-pelajar bukan Islam pula dimestikan menjalani pendidikan moral atau etika. Sekolah-sekolah swasta bebas menawarkan kurikulum agama bukan Islam sebagai pilihan bagi pelajar bukan Islam. Pembelajaran di rumah tidak dikenakan sebarang sekatan. Kerajaan menawarkan bantuan kewangan hanya kepada sekolah-sekolah agama Islam swasta yang bersetuju untuk membenarkan penyeliaan oleh Kerajaan dan mengikuti kurikulum yang diluluskan oleh Kerajaan. Di sekolah-sekolah kerajaan pada peringkat rendah dan menengah, perhimpunan para penuntut kerap dimulakan dengan bacaan doa Islam oleh seorang guru atau oleh ketua murid. Badan-badan kawalan Kerajaan mengenakan tekanan terhadap wanita bukan Islam untuk memakai tudung semasa menghadiri majlis-majlis rasmi. Pada bulan Disember 2006, kerajaan Kelantan menggubal undangundang yang melarang wanita Islam yang bekerja di kedai dan restoran daripada “berpakaian kurang sopan”. Peraturan pakaian ini mewajibkan pemakaian tudung dan hanya membenarkan muka dan tangan dinampakkan. Undang-undang tersebut juga menyatakan bahawa wanita bukan Islam harus mengelak daripada memakai pakaian yang “seksi” atau “tidak sopan”. Wanita yang melanggar peraturan pakaian ini boleh didenda sehingga RM500 (AS$146). Para pemimpin hak asasi wanita dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkritik undang-undang baru ini sebagai terlampau menyekat. Di bawah pimpinan PAS, kerajaan negeri Kelantan terus mengharamkan teater tarian Melayu asli, melarang iklan yang memaparkan wanita yang tidak menutup aurat, mewajibkan wanita Islam supaya memakai tudung, dan mengenakan denda ke atas sesiapa yang tidak patuh dalam tempoh laporan ini. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa kerajaan negeri telah membatalkan beberapa larangan undang-undang Islam yang telah dikuatkuasakan sebelum itu dan membenarkan pula pengendalian pawagam dan dewan konsert yang mengasingkan penonton mengikut jantina, pertunjukan fesyen untuk penonton wanita sahaja, dan pusat biliard/snuker untuk lelaki sahaja. Usaha untuk menarik orang Islam menjadi penganut baru agama lain dilarang sama sekali, namun tiada halangan yang dikenakan untuk menarik orang yang bukan beragama Islam. Beberapa hari keagamaan dikenal pasti sebagai cuti rasmi, seperti Hari Raya Puasa (Islam), Hari Raya Korban (Islam), Hari Keputeraan Nabi Muhammad (Islam), Hari Wesak (Buddha), Deepavali (Hindu), Krismas (Kristian), dan di Malaysia Timur, Good Friday (Kristian). Sekatan terhadap Kebebasan Beragama Orang Islam tidak dibenarkan untuk bertukar kepada agama lain. Dalam beberapa keputusan sewaktu tempoh laporan ini, mahkamah awam telah menyerahkan kuasa kepada mahkamah Syariah dalam hal-hal keluar masuk agama Islam, dan dalam kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam yang melibatkan orang Islam berlawan dengan orang yang bukan Islam. Sesetengah kes tersebut masih sedang dirayu di Mahkamah Persekutuan. Pada 30 Mei 2007, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seseorang Islam mestilah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa dia telah “murtad” (keluar dari Islam) sebelum dia boleh menukar kad pengenalannya. Oleh sebab keizinan untuk murtad (keizinan untuk bertukar
kepada agama lain) jarang-jarang sekali diberikan oleh Mahkamah Syariah, maka keputusan mahkamah itu sebenarnya menafikan hak undang-undang orang Islam untuk bertukar kepada agama lain. Keputusan mahkamah yang dibuat pada tahun 2007 ini disebabkan oleh rayuan bagi sebuah kes tahun 2005 yang melibatkan mahkamah yang kedua tertinggi di negara ini, iaitu Mahkamah Rayuan, menolak permohonan seorang Islam yang telah memeluk agama Kristian, untuk menukar catatan agama yang tertera pada kad pengenalannya. Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mestilah terlebih dahulu meluluskan permohonan seseorang rakyat Islam untuk bertukar kepada agama lain. Oleh sebab agama yang tertulis pada kad pengenalan Cik Lina akan kekal sebagai “Islam” dan oleh sebab Peruntukan Perkahwinan Sivil dalam Akta Membaharui Undang-undang tahun 1976 menegah orang Islam daripada merasmikan perkahwinan di bahawa undang-undang sivil, Cik Lina tidak akan dibenarkan di sisi undangundang untuk mengahwini kekasihnya yang beragama Katolik. Dengan menyatakan kes itu sebagai “hal kepentingan orang ramai”, Mahkamah Persekutuan (mahkamah tertinggi negara) telah bersetuju untuk membicarakan rayuan Cik Lina dan mempertimbangkan setakat manakah kuasa yang patut dipegang oleh Mahkamah Syariah untuk menentukan kes murtad. Sehingga penghujung tempoh laporan ini, keputusan masih belum lagi tercapai bagi rayuan kes yang melibatkan pengurusan mayat seorang Hindu yang dikatakan telah memeluk agama Islam sebelum dia mati. Isteri lelaki itu yang beragama Hindu berbalah dengan pihak berkuasa Islam berkenaan agama yang patut mengendalikan pengebumiannya, kerana menurutnya, tiada bukti yang jelas bahawa suaminya telah memeluk Islam. Isterinya sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi awam yang menyatakan bahawa mahkamah tersebut tidak ada kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana kes itu melibatkan seorang Islam, meskipun perayu itu bukan seorang Islam. Mahkamah Syariah telah memutuskan sebelum itu bahawa lelaki itu beragama Islam dan pihak berkuasa Islam telah mengebumikannya mengikut upacara Islam. Pada 13 Mac, Mahkamah Rayuan telah menyokong keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seseorang mualaf Islam untuk memulakan tuntutan cerai dalam mahkamah Syariah, mendapatkan hak penjagaan anak-anak bawah umur daripada pasangannya yang bukan Islam, dan secara bersendirian berkuasa menukar agama anak-anak tersebut kepada Islam. Berikutan kutukan terhadap keputusan mahkamah awam itu oleh para pemimpin agama bukan Islam dan Majlis Peguam, Mahkamah Rayuan telah bersetuju untuk menangguhkan perintah hukuman tersebut sehingga isteri yang bukan Islam itu selesai melaksanakan segala ikhtiar dalam proses rayuannya di Mahkamah Persekutuan. Proses tersebut masih berterusan setakat 30 Jun 2007. Kes-kes penjagaan anak yang lain telah timbul sewaktu tempoh laporan ini yang mencerminkan pergolakan pertindihan undang-undang antara mahkamah Syariah dengan mahkamah awam mengenai hal-hal undangundang keluarga yang menyabungkan orang Islam dengan orang yang bukan Islam. Salah satu kes ini melibatkan Puan Revathi Masoosai, 29 tahun, yang telah dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh neneknya, walaupun dia dilahirkan kepada ibu bapa Islam dan telah didaftarkan sebagai seorang Islam sewaktu lahir. Puan Revathi telah memfailkan suatu akuan berkanun pada tahun 2001 yang mengenalkan dirinya sebagai seorang Hindu. Selepas dia berkahwin dengan seorang lelaki Hindu pada tahun 2004, bersembahyang sebagai seorang Hindu, dan melahirkan anak pada bulan Disember 2005, pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menuduh Puan Revathi murtad daripada Islam dan menuntut hak penjagaan terhadap anak perempuannya yang baru dilahirkan. Puan Revathi telah menolak. Pada 8 Januari 2007, Puan Revathi telah ditahan di bawah perintah Mahkamah Syariah. Meskipun dibantahi oleh Puan Revathi dan suaminya, MAIM telah meletakkan anak perempuan kelamin tersebut dalam jagaan ibu Puan Revathi yang beragama Islam. Penahanan “pemulihan” pertama Puan Revathi selama 100 hari telah dilanjutkan pada 18 April 2007 selama 80 hari lagi, kononnya kerana dia enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam sewaktu dalam tahanan. Suaminya telah memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 14 Mei, dalam usaha untuk membebaskan Puan Revathi. Suaminya mendakwa bahawa pusat pemulihan agama yang menahan isterinya itu tidak diwartakan sebagai pusat tahanan. Setakat 30 Jun 2007 yang lepas, Puan Revathi masih dalam tahanan, dan Mahkamah Tinggi belum lagi membicarakan permohonan habeas corpus oleh suaminya. Pada 28 April 2007, beberapa pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menggeledah rumah pasangan wanita Islam dengan lelaki Hindu yang telah berkahwin pada bulan Julai 2006 di sebuah kuil Hindu. Menurut laporan polis yang dibuat oleh si-suami dan petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi, pegawai-pegawai JAIS telah memberitahu pasangan tersebut bahawa perkahwinan mereka secara Hindu itu dianggap tidak sah. JAIS telah menyatakan bahawa mereka telah membawa keluar wanita itu dari rumah pasangan tersebut kerana disyaki "berkhalwat" (iaitu bersekedudukan dengan lelaki yang bukan
suaminya). Si-isteri masih berada dalam tahanan dan sedang menjalani “pemulihan” iman sehingga penghujung tempoh laporan ini. Saman yang dibuat oleh suaminya masih menunggu keputusan. Walaupun kaedah pengawalan berbeza mengikut negeri, namun Kerajaan dan parti pembangkang PAS telah cuba untuk menggunakan masjid-masjid di negeri yang mereka kuasai untuk menyampaikan mesejmesej yang berbau politik. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional (parti perikatan kerajaan) menghalang imam-imam yang menyokong parti pembangkang daripada menyampaikan khutbah di masjid, menguatkuasakan dengan tegasnya sekatan yang dikenakan terhadap isi kandungan khutbah, menggantikan penyelia masjid dan ahli-ahli jawatankuasanya yang kelihatan memihak kepada pembangkang, dan mengugut untuk menutup masjid-masjid yang mempunyai kaitan dengan parti pembangkang. Begitu juga, kerajaan negeri Kelantan, yang dikuasai PAS, dilaporkan melarang imam-imam yang menyokong Barisan Nasional daripada menyampaikan khutbah di masjid. Kerajaan membangkang apa yang dianggap sebagai tafsiran “sesat” Islam, dan mengatakan bahawa pandangan kumpulan-kumpulan yang sesat ini menggugat keselamatan negara. Menurut tapak web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 56 ajaran sesat telah dikenal pasti dan dilarang terhadap orang Islam setakat 30 Jun 2006. Ini termasuklah Syiah, meditasi transendental, dan ajaran Baha’i, antara lainnya. Kerajaan mengatakan bahawa ajaran-ajaran sesat boleh memecahbelahkan umat Islam. JAKIM telah mengeluarkan garis panduan bertulis tentang apa yang dianggap sebagai kelakuan atau kepercayaan yang “sesat”. Pihak berkuasa agama peringkat negeri, dalam menentukan perkara-perkara ini, pada amnya mengikuti garis panduan persekutuan. Ahli kumpulan-kumpulan yang dianggap sesat boleh ditangkap dan ditahan dengan izin Mahkamah Syariah untuk “dipulihkan” dan dikembalikan kepada “ajaran Islam yang sebenar”. Pada bulan Jun 2005, Menteri Hal Ehwal Agama memberitahu parlimen bahawa 22 kumpulan agama yang sesat dengan anggaran 2,820 pengikut telah dikenal pasti di negara ini. Beliau menyatakan bahawa anggota kumpulan-kumpulan ini boleh didakwa, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau “dipulihkan”. Kerajaan mahupun pihak berkuasa agama tidak memberikan data bagi bilangan orang seperti itu yang telah didakwa atau “dipulihkan”. Kerajaan terus mengawasi kegiatan kumpulan minoriti Syiah yang kecil-kecil. Menurut Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST), Kerajaan menyekat permohonan visa paderi dari luar negeri yang berumur kurang daripada 40 tahun sebagai cara untuk menyekat kemasukan mereka ke negara ini. Meskipun wakil kumpulan bukan Islam tidak menganggotai jawatankuasa imigresen yang meluluskan permohonan visa, namun MCCBCHST diminta untuk memberikan nasihat. Artikel 11 menyatakan bahawa sebuah NGO yang diberi nama mengikut fasal kebebasan beragama dalam Perlembagaan telah menganjurkan empat forum awam untuk membincangkan perlindungan perlembagaan bagi orang bukan Islam, yang dipandang sebagai telah terhakis. Tiga forum terakhir yang dibiayai sama ada telah dibatalkan ataupun disingkatkan atas permintaan polis, berikutan kemunculan ramai pembantah yang terdiri daripada orang Islam, sama ada yang sebenar atau yang diancam sahaja. Sewaktu debat mengenai topik agama sedang bertambah rancak pada bulan Julai dan Ogos 2006, Perdana Menteri telah memberi amaran kepada pihak media utama dan pihak media Internet supaya tidak mengheboh-hebohkan perbalahan mengenai tajuk-tajuk agama. Beliau juga telah mengarahkan semua NGO—yang Islam dan yang bukan Islam—supaya menghentikan kenyataan umum dan kegiatan yang boleh menimbulkan lagi kontroversi agama. Artikel 11 tidak lagi menganjurkan perbincangan awam sepanjang tempoh yang dilaporkan. Pada 23 April, 2007, seorang menteri di jabatan Perdana Menteri telah mengisytiharkan penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PPPN), yang terdiri daripada wakil agama-agama yang utama di negara ini. PPPN dikatakan telah bermesyuarat beberapa kali sepanjang beberapa bulan sebelum pengumuman Menteri tersebut. Para pemimpin agama dikatakan telah menggunakan PPPN untuk menyuarakan kebimbangan mereka secara sulit kepada Perdana Menteri, mengenai kontroversi hal-hal kebebasan beragama di negara ini. Ada kalanya, kelulusan bagi permit pembinaan mengambil masa yang sangat lama. Kumpulan agama yang kecil-kecil telah melaporkan bahawa kerajaan-kerajaan negeri kadangkala menggunakan kanun pengehad kawasan dan pembinaan bangunan untuk menghalang pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam. Setakat penghujung tempoh laporan ini, kes mengenai bakal perobohan sebuah kuil yang berusia 150 tahun yang tidak berdaftar di Negeri Sembilan masih lagi tergantung. Pada bulan Mei 2006, pihak kuil telah meminta injunksi mahkamah terhadap perobohan tersebut setelah para pegawai negeri mengumumkan
hasrat mereka untuk berbuat demikian. Kuil ini menduduki tanah milik kerajaan yang telah dikhaskan untuk pembinaan jalan raya. Kira-kira 300 penganut menggunakan kuil ini. Pada bulan Julai 2006, berikutan pertikaian yang berlangsung selama 11 tahun, seorang hakim mahkamah tinggi telah menghalang sebuah pemaju tanah di Pahang daripada memusnahkan sebuah kuil Hindu di atas tanah yang dibeli oleh pemaju tersebut. Hakim tersebut telah membuat keputusan bahawa kuil tersebut telah berada di situ sebelum tanah tersebut dibeli dan mempunyai hak untuk terus wujud di atas tanah tersebut. Pemaju tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, dan kuil itu masih kekal di situ sehingga penghujung tempoh laporan ini. Sejak tertewasnya PAS di Terengganu dalam pilihan raya bulan Mac 2004, pegawai kerajaan negeri dan tempatan telah banyak melonggarkan penguatkuasaan syarat pakaian bagi wanita. Penindasan Kebebasan Beragama Menurut Kerajaan, tiada seorang pun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) atas sebab keagamaan dalam tempoh liputan laporan ini. Kerajaan mengambil berat tentang ajaran sesat yang boleh memecahbelahkan umat Islam. Ahli kumpulankumpulan yang dianggap sesat boleh ditangkap dan ditahan dengan izin Mahkamah Syariah untuk “dipulihkan” dan dikembalikan kepada “ajaran Islam yang sebenar”. Setakat 30 Jun 2007, pihak berkuasa agama masih mencari Ayah Pin, ketua kumpulan aman keagamaan di Terengganu yang dikenali sebagai Kerajaan Langit, dan salah seorang daripada empat isterinya kerana menyokong amalan yang “sesat” itu. Pada tahun 2005, atas arahan pegawai-pegawai kerajaan negeri, polis telah menangkap lebih kurang 70 ahli kumpulan Kerajaan Langit dan memusnahkan semua bangunan yang bukan kediaman di kawasan kumpulan tersebut. Seorang daripada 70 pengikut Kerajaan Langit yang ditangkap itu bersetuju untuk menjalani pemulihan agama. Kes terhadap pengikut Ayah Pin yang lain masih menunggu keputusan sehingga akhir tempoh laporan ini. Pada bulan Julai 2004, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan oleh empat pengikut Ayah Pin yang menuntut akuan berkanun bahawa pengikut-pengikut Kerajaan Langit berhak untuk mengamalkan agama pilihan mereka. Mahkamah Persekutuan mengatakan bahawa cubaan mereka untuk meninggalkan Islam tidak membebaskan mereka daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri. Pada 14 November 2006, JAIS telah menahan 107 orang, termasuklah beberapa orang kanak-kanak, sewaktu suatu serbuan di Kuala Lumpur terhadap orang yang disyaki merupakan pengikut kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan. Walaupun semua tahanan kemudiannya telah dibebaskan, JAIS menyatakan bahawa mereka bercadang untuk mendakwa enam daripada tahanan yang telah ditangkap itu di Mahkamah Syariah. Kerajaan telah mengharamkan al-Arqam pada tahun 1994, dan menggelarnya sebagai kumpulan “sesat”. Ashaari Muhammad, pemimpin seramai lebih kurang 10,000 pengikutnya, seterusnya terkurung selama 10 tahun atas perintah tahanan rumah. Ashaari telah menubuhkan sebuah syarikat induk, Rufaqa Corporation, untuk menguruskan kepentingan perniagaannya sewaktu beliau ditahan. Rufaqa Corporation telah disiasat kerana dikatakan menyokong usaha membangkitkan semula kumpulan al-Arqam. Pada 1 Mac 2007, JAIS telah menggeledah 28 rumah orang yang ada hubungan dengan Rufaqa Corporation untuk mengumpul lagi bahan bukti terhadap syarikat tersebut. JAIS juga telah menggeledah beberapa premis perniagaan Rufaqa Corporation pada 2 Mac 2007, mengoyakkan poster dan papan tanda yang mengandungi perkataan "Rufaqa" dan merampas buku dan bahan-bahan lain yang memaparkan Ashaari. Penukaran Agama Secara Paksaan Tiada laporan tentang berlakunya penukaran agama secara paksaan, ataupun kes warganegara Amerika Syarikat di bawah umur diculik atau dibawa keluar secara haram dari Amerika Syarikat, ataupun keengganan untuk membenarkan warganegara seperti itu untuk pulang ke Amerika Syarikat. Penambahbaikan dan Perkembangan Positif dari segi Kebebasan Beragama Pada 22 Februari 2007, Perdana Menteri secara terang-terang mengkritik usaha jabatan agama Islam beberapa negeri untuk menubuhkan “pasukan pengintai” untuk mengawasi kelakuan peribadi orang Islam. Perdana Menteri menyatakan bahawa kegiatan seperti itu mencerobohi hak persendirian rakyat. Beliau
menyatakan bahawa sebaliknya, pihak berkuasa agama Islam negeri haruslah bertumpu pada programprogram yang meneguhkan nilai-nilai Islam dan akhlak masyarakat. Berikutan komen Perdana Menteri itu, tiada satu pun badan penguasa agama Islam negeri yang menubuhkan atau meneruskan program yang mengawasi kelakuan peribadi orang Islam. Namun begitu, pihak berkuasa agama Islam negeri masih terus mengawasi kelakuan orang Islam di khalayak ramai dan kelakuan yang dianggap tidak sopan (misalnya, berkhalwat), masih akan dihukum dengan denda dan “pemulihan” agama. Bahagian III. Penindasan dan Diskriminasi dalam Masyarakat Terdapat hanya beberapa laporan tentang penindasan atau diskriminasi masyarakat yang berdasarkan kepercayaan atau amalan agama. Kerajaan kadangkala bertindak untuk mengurangkan perbincangan tentang pertelingkahan agama yang kontroversial antara orang Islam dengan orang yang bukan Islam. Pada 5 November 2006, polis telah bertindak cepat dan tegas untuk melindungi penganut-penganut di sebuah gereja Katolik di Ipoh, apabila lebih 1,000 orang Islam berhimpun untuk membantah upacara merenjis air sebagai tanda memeluk agama katolik yang konon-kononnya dijalankan bagi beberapa ratus kanak-kanak Islam. Khabar angin itu sebenarnya palsu, dan Ketua Polis Negara kemudiannya mengisytiharkan bahawa mereka yang telah memulakan khabar angin itu merupakan ancaman kepada ketenteraman awam dan keselamatan negara. Perdana Menteri pula mengumumkan bahawa pihak yang telah memulakan khabar angin itu hendaklah dihukum seberat-beratnya. Pada 20 November 2006, polis telah menahan sepasang suami isteri dari Ipoh yang disyaki telah memulakan khabar angin tersebut. Pasangan tersebut kemudiannya telah dibebaskan dengan ikat jamin, dan penyiasatan Kerajaan terhadap kejadian itu masih berterusan setakat 30 Jun 2007. Pada bulan Ogos 2006, suatu risalah telah disebarkan dengan meluas, yang mengandungi ancaman bunuh terhadap seorang peguam hak asasi manusia Islam yang terkenal, yang telah memainkan peranan utama dalam menganjurkan perbincangan mengenai Fasal 11 Perlembagaan. Beliau secara terang-terang memberi amaran tentang pencerobohan Mahkamah Syariah terhadap bidang kuasa sistem mahkamah sivil. Para pemimpin politik yang bukan Melayu dan pemimpin pelbagai agama telah mengkritik risalah tersebut. Beberapa pemimpin NGO dan ahli-ahli politik pembangkang berperasaan bahawa kritikan kerajaan terhadap ugutan bunuh itu tidak lantang, kerana tiada seorang pun menteri kabinet yang mengutuknya secara umum. Sehingga 30 Jun 2007, polis masih meneruskan siasatan terhadap ancaman bunuh tersebut, walaupun tiada tangkapan yang telah dilakukan. Bahagian IV. Dasar Kerajaan Amerika Syarikat Kerajaan Amerika Syarikat telah membincangkan hal-hal kebebasan beragama dengan Kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada dasarnya untuk menganjurkan hak asasi manusia. Wakil kedutaan mengekalkan dialog yang aktif bersama ketua dan wakil pelbagai kumpulan agama, termasuklah yang tidak diiktiraf secara rasminya oleh Kerajaan. Kedutaan menyelaraskan pembiayaan seorang pemegang biasiswa Fulbright yang mengkaji hal-hal antara agama sementara mengajar sebagai pensyarah di sebuah universiti awam. Kedutaan juga telah menaja lawatan oleh sarjana Islam dari Amerika, membiayai program masyarakat awam dan pertukaran wakil organisasi bukan kerajaan yang berusaha untuk meningkatkan toleransi keagamaan, rasa hormat terhadap kepelbagaian, dan hak asasi serta bersikap terbuka di negara ini.