LAPORAN PROGRAM TEAM BUILDING KUMPULAN ASASI KEJURUTERAAN M4 TARIKH TEMPAT
: 02 dan 03 Mac 2013 : Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang
PROGRAM TEAM BUILDING KUMPULAN ASASI KEJURUTERAAN M4 Satu program ‘team building’ telah dianjurkan oleh Kumpulan Asasi Kejuruteraan M4 selama dua hari satu malam bermula dari 02 Mac 2013 hingga 03 Mac 2013. Program ini disertai oleh 23 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar kumpulan M4 sendiri. Rombongan kami diiringi oleh seorang pensyarah Asasi iaitu mentor kumpulan M4 sendiri, Cik Nor Faridah Hanim bte Mat Junit. Kami bertolak ke Dusun Eco Resort,Bentong dengan menaiki bas yang disediakan pihak UiTM pada pukul 8.30 pagi. Setibanya di persimpangan ke Genting Highlands, bas yang kami naiki telah mengalami kerosakan. Lebih kurang 1 jam dan lebih, kami menunggu kehadiran mekanik. Semuanya berjalan lancar apabila kerosakan telah diperbaiki. Pada pukul 12.00 tengah hari, kami tiba di Dusun Eco Resort,Bentong yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang program itu berlangsung. Setelah sampai di destinasi, kami terus diberikan penerangan oleh pihak Dusun Eco Resort mengenai kawasan rekreasi tersebut sebelum diberikan kunci chalet tempat penginapan kami. Kami diberikan enam buah chalet A shape dan sebuah chalet bagi pensyarah kami. Sebelum ke tempat penginapan, kami menjamu makanan tengah hari yang disediakan pihak Dusun Eco Resort. Di sini, kami dilatih untuk makan secara berjemaah dan selesainya sahaja makan, kami dikehendaki membasuh pinggan dan cawan seperti mana peralatan tersebut disediakan. Tepat jam 2 petang, aktiviti pertama yang kami jalankan ialah jungle trekking. Taklimat aktiviti disampaikan oleh pihak Dusun Eco Resort. Kami dikehendaki menjaga segala pantang larang ketika berada di dalam hutan. Perjalanan yang kami pilih ialah trek selama 2 jam. Kami dibawa merentasi kawasan hutan bukit. Kami didedahkan dengan banyak ilmu semasa berada di dalam hutan. Pelbagai jenis flora dan fauna yang kami temui dan jarang ditemui di luar hutan. Kami juga bernasib baik kerana dipertemukan dengan sebatang sungai di mana airnya yang semula jadi mengalir melaluinya. Kami berhenti sebentar untuk menikmati kesegaran air mineral tersebut. Cabaran berjalan sambil mendaki bukit yang agak curam ditambah pula dengan kawasan tanah yang licin, benar-benar menguji semangat setia kawan dan kerjasama. Kesan daripada aktiviti lasak itu, maka sedarlah kami bahawa kekuatan fizikal kami begitu terbatas. Hal ini berpunca daripada kekurangan latihan jasmani dan senaman dalam kalangan anggota kami sendiri. Kini, kami sedar bahawa untuk menjadi pelajar yang berjaya, kesihatan adalah amat penting., bak kata pepatah Melayu, otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat. Begitu pun,
kami tetap bersyukur kerana dapat melakukan semua aktiviti lasak itu dengan sempurna. Aktiviti tersebut berakhir pada jam 4.15 petang. Setelah selesai minum petang, kami meneruskan aktiviti kedua iaitu abseiling dan repelling. Kami diberikan taklimat mengenai aktiviti tersebut. Ramai di antara kami yang belum pernah melakukan aktiviti ini. Kami ditunjukkan demo sebelum melakukannya. Kami dikehendaki memakai segala peralatan keselamatan untuk mengelakkan sebarang kecederaan. Seorang demi seorang peserta mengambil giliran untuk melakukannya. Ada juga di antara kami yang gayat apabila berada di atas untuk dilepaskan. Aktiviti ini sangat menguji ketahanan mental untuk berhadapan dengan situasi yang agak mencemaskan. Semua peserta berjaya melakukan aktiviti ini dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. Pada sebelah malamnya, kami menikmati hidangan bufet BBQ di kantin. Seterusnya, kami meneruskan aktiviti di Dewan Lentang. Aktiviti yang kami jalankan ialah sebuah permainan yang diberi nama ‘Pembunuh, Doktor dan orang kampung’. Objektif permainan ini melatih kita agar lebih peka dalam membuat pilihan. Permainan ini juga menyelitkan unsurunsur kejujuran dan keberanian dalam setiap kalangan pemainnya. Mentor kami juga menyertai permainan ini dan ternyata beliau lebih cekap berbanding dengan kami. Pelbagai telatah dan ragam yang menghiburkan dapat dilihat dan kami berpeluang untuk lebih mengenali sikap rakan anggota kumpulan M4. Sebelum meneruskan permainan seterusnya, kami membuat
pelan
mengejut untuk sambutan ulang tahun Mentor kami. Kami memberikan sebuah kek berbentuk hati dah menghadiahi beliau sekeping kad ucapan yang mengandungi tandatangan kami semua menteenya. Kami makan kek itu bersama-sama seterusnya kami mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar bersama mentor kami. Kami bersurai tepat jam 11.30 malam. Pada keesokan paginya, kami bersarapan bersama-sama pada jam 7.30 pagi. Sesudahnya bersarapan, kami meneruskan aktiviti ketiga kami iaitu, berakit. Kami bergerak ke tempat berakit yang tidak jauh dari tempat penginapan kami dengan berjalan kaki. Sebelum memulakan aktiviti, kami dikehendaki membuat dua kumpulan. Setelah itu, kami diberikan taklimat oleh Encik Azman, pengendali aktiviti berakit. kami diarahkan untuk membuat rakit sendiri. Kami dikehendaki mengambil 7 batang buluh panjang, 2 batang buluh kecil, 10 buah tong air dan beberapa ikat tali untuk membuat rakit. Pengendali memberikan sedikit tunjuk ajar dan tips untuk membuat rakit. Kami diberikan masa selama 30 minit untuk menyiapkannya. Bagi memudahkan kerja, kami dibahagikan tugas untuk menyiapkan bahagian masing-masing dalam
setiap kumpulan. Setelah selesai, pengendali aktiviti mengarahkan supaya kami menjunjung rakit tersebut secara beramai-ramai bagi sesi menguji. Aktiviti berakit diteruskan dengan berakit secara bergilir-gilir dimulai dengan 5 orang dalam setiap rakit diikuti 6 orang selebihnya. Skil menyusun dalam mengimbangkan rakit sangat dititikberatkan dalam slot ini. Seterusnya, semua peserta dikehendaki menaiki rakit dan berakit tanpa menggunakan pendayung. Pelbagai ragam dan strategi tersendiri ditunjukkan oleh setiap pasukan dalam mengimbangi rakit tersebut. Semangat kerjasama setiap ahli kumpulan begitu jelas ditunjukkan oleh setiap peserta dalam aktiviti ini. Sikap saling membantu juga lahir dalam setiap diri peserta. Pengendali aktiviti memberikan ulasan yang sangat membina jati diri peserta setelah selesai keseluruhan aktiviti. Tepat jam 10.30 pagi, kami menikmati minum pagi. Sebelum berangkat pulang, kami menunaikan hajat masing-masing untuk merasai kenikmatan mandi kolam di Dusun Eco Resort. Kesegaran dan kejernihan air kolamnya sangat memuaskan hati kami. Sebahagian daripada rakan-rakan kelas kami mula menunjukkan bakat berenang mereka apabila kami mengadakan pertandingan renang. Aktiviti ini sangat mengeratkan lagi hubungan kami antara rakan sekelas. Hubungan kami sangat rapat bagaikan isi dengan kuku sepanjang 2 hari 1 malam kami berada di sini. Tepat jam 12 tengah hari, kami mulai bersiap untuk pulang ke Puncak Alam. Sebelum berangkat, kami menikmati hidangan tengah hari dan seterusnya menunggu bas pada jam 3 petang. Kesimpulannya, sepanjang 2 hari 1 malam di Dusun Eco Resort , banyak pengalaman yang kami timba dalam mengeratkan hubungan ahli kelas kami. Segala yang baik akan kami praktikkan setibanya di Puncak Alam. Pihak kami amat berpuas hati terhadap aktiviti yang dijalankan dan segala fasiliti yang disediakan pihak resort. Kerjasama daripada semua pihak benar-benar berjaya menyedarkan dan meningkatkan keyakinan diri kami. Jutaan terima kasih kepada pihak
Pusat Asasi kerana memberikan kami peluang untuk menimba pengalaman
seindah ini.
DISEDIAKAN OLEH, 11 MAC 2013. (NUR FILZAH BT YASAK) Setiausaha Program Team Building Asasi Kejuruteraan Kumpulan M4, UiTM Kampus Puncak Alam.
LAMPIRAN
AKTIVITI JUNGLE TREKKING
AKTIVITI ABSELLING DAN REPELLING
AKTIVITI BERAKIT
PESERTA MENJAMU SELERA
RAGAM PESERTA KETIKA ‘GAMES’