LAPORAN NATIONAL YOUTH CAMP (NYC) TAHUN 2016 ANJURAN YAYASAN DANA KEBAJIKAN MUSLIM MALAYSIA 28 – 31 JULAI 2016 (Mahasiswa) di Pulau Tuba, Langkawi & 5-7 OGOS 2016 (Mahasiswi) di Ayer Baloi, Pontian, Johor & Kg. Poring, Ranau, Sabah *** Bersempena dengan bulan kemerdekaan Negara, seramai 270 orang sukarelawan Youth of Happiness (YOSH) dari Insitut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia telah terpilih untuk menyertai National Youth Camp (NYC) 2016. NYC yang bertemakan Aspirasi 59 Tahun Merdeka ini telah dianjurkan di tiga tempat iaitu pada 28 hingga 31 Julai di Pulau Tuba, Langkawi bagi mahasiswa, seterusnya pada 5 hingga 7 Ogos bagi mahasiswi di Kg. Poring, Ranau, Sabah, Tanjung Piai juga Ayer Baloi, Pontian, Johor. Bagi pemilihan lokasi program NYC tahun ini, tiga tempat yang sangat bersejarah di Malaysia ini telah dipilih kerana mepunyai nilai sejarah yang tersendiri di samping menjadi kawasan pelancongan yang masyhur bagi para pelancong di dalam mahupun luar negara. Bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2016 di bawah usaha murni Kementerian Pelancongan dan Kebudayan Malaysia, dengan pembabitan kami dalam mengadakan program bersifat rekreasi luar di sini dapat membuka lagi mata masyarakat bahawa Pulau Langkawi adalah lokasi yang ideal untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan bagi penggemar aktiviti lasak. Penganjuran NYC di tiga lokasi ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong ke tiga destinasi eko pelancongan Malaysia ini. National Youth Camp (NYC) merupakan salah satu program berbentuk kem yang melibatkan mahasiswa universiti awam dan swasta seluruh Malaysia serta sebahagiannya daripada Mesir dan New Zealand. Mahasiswa yang terlibat terdiri daripada penuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Penglibatan NYC kali ini tidak terbatas kepada golongan mahasiswa sahaja, malah turut mendapat sokongan dan penyertaan daripada pekerja golongan professional seperti doktor, jurutera dan usahawan. Sebahagia daripada mereka tidak dapat menyertai NYC secara penuh, namun mereka turut terlibat dalam mengibrkan bendera Jalur Gemilang dan juga formasi nombor 59 di ketiga-tiga tempat NYC. NYC 2016 yang dianjurkan oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Youth Challenge (YC), Neo Synergy Training Centre (NSTC) dan Wilderness Malysia Sdn Bhd ini bertujuan untuk mempersiap golongan belia di negara kita untuk membina kecergasan tubuh badan dan kecerdasan minda. NYC telah dijalankan pada waktu cuti semester bagi mahasiswa IPT seluruh Malaysia. Peluang julung kali berkumpul ini digarap sebagai platform untuk saling bertukar idea, pengalaman dan juga pendedahan kerjaya daripada golongan professional yang terlibat. Bersempena dengan bulan kemerdekaan, modul NYC telah dirangka agar sejajar dengan hasrat untuk tampil sebagai program yang mengumpulkan barisan belia yang beintegriti dan cinta akan Negara.
NYC di Pulau Tuba, Langkawi Bermula 28 Julai hingga 31 Julai 2016, seramai 60 orang mahasiswa yang terdiri daripada sukarelawan Youth of Happiness (YOSH) YDKMM telah terpilih untuk menjadi peserta NYC 2016 selama 4 hari 3 malam di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah. YDKMM melaksanakan program NYC ini atas dasar untuk mewujudkan golongan belia yang mempunyai kualiti kepimpinan yang baik serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan ketangkasan fizikal dan mental. Pengetahuan yang telah diberikan sepanjang program NYC berlangsung bertepatan dengan usaha membangunkan individu berwibawa yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi, nilai kerohanian dan moral yang tinggi Antara slot menarik dalam NYC siswa kali ini ialah aktiviti berkayak di Perairan Pulau Tuba, Langkawi. Para peserta yang juga merupakan sukarelawan Youth of Happiness (YOSH) telah menjalankan ekspidisi kayak bermula di Selat Reban ke Jeti Pulau Tuba sejauh 8 km. Di dalam perjalanan mengelilingi Pulau Tuba, para sukarelawan telah berhenti di antara Tanjung Rami dan Pulau Pasir untuk melakukan formasi kayak berbentuk 59 bersempena 59 tahun kemerdekaan Malaysia. Formasi ini adalah hasil cetusan ilham oleh Penasihat YDKMM, Dr Hj Mohd Hizul Azri bin Hj Md Noor. Walaupun usaha untuk membentuk formasi kayak tersebut bukan suatu perkara yang mudah, namun hasil usaha yang gigih oleh para peserta telah menjadikan formasi kayak tersebut hampir menjadi angka 59. Majlis perasmian pembukaan (NYC) tahun 2016 ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Encik Mohd Syafiq Bin Zainal.
NYC (Siswi) di Kg Poring, Ranau, Sabah Pada 5 hingga 7 Ogos yang lalu, seramai 95 orang sukarelawan Youth of Happiness (YOSH) dari Insitut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia telah terpilih untuk menyertai National Youth Camp (NYC) 2016 anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Kg. Poring, Ranau Sabah. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kg Poring, Ranau, Sabah memakan masa hampir tiga jam dengan panorama yang indah sepanjang perjalanan. Tiga destinasi utama pelancongan yang mempunyai banyak sejarah telah dipilih sebagai destinasi untuk penyerahan bendera, iaitu Rumah Terbalik Tamparuli, Sabah Memorial Park dan juga Kinabalu Park, Kundasang. Seramai 10 orang peserta yang mewakili IPT masing-masing telah terlibat dalam slot penyerahan bendera di tiga tempat pelancongan ini. Sebaik sahaja tiba di Kg Poring, sesi taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pengerusi Kg Poring, Tuan Jainis di Dewan Komuniti. Sebanyak 100 buluh dipotong oleh orang kampung untuk digunakan bagi tujuan memacak bendera. Jalur Gemilang dan bendera negeri sabah dipacak pada jarak 20 meter sepanjang 2 kilometer dari pintu pagar Sekolah Kebangsaan Poring, Ranau hingga ke Kolam Air Panas Poring. Orang kampung turut menyokong usaha sukarelawan YOSH memacakkan bendera Malaysia dan bendera negeri Sabah di sepanjang jalan. Golongan remaja dan juga penduduk kampung turut turun padang ketika aktiviti ini dijalankan. Kemeriahan suasana ketika memacakkan bendera di sepanjang jalan Kg Poring ini telah dapat memecahkan tembok perkenalan antara para peserta dan penduduk kampong. Aktiviti Waving Flag ini secara tidak langsung dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Pada hari kedua, slot yang menguji stamina para peserta juga turut dijalankan iaitu ekspedisi mendaki ke Air Terjun Langanan, Poring. Air terjun ini merupakan air terjun yang kedua tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 3.5 km dari Kolam Air Panas Poring. Sepanjang pendakian, peserta membawa bersama bendera Malaysia, bendera Sabah dan juga bendera Youth of Happiness (YOSH) bagi memupuk semangat patriotik dan kesukarelawanan dalam diri para peserta. Walaupun pendakian yang memakan masa hampir dua jam setengah ini sangat menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta, namun mereka sangat berpuas hati dan gembira
apabila berada di puncak Air Terjun Langanan. Kesegaran air terjun dan air sungai benar-benar dapat menghilangkan segala kepenatan ketika pendakian. Sebagai simbolik kejayaan, bendera Malaysia, bendera negeri Sabah dan juga bendera YOSH dikibarkan oleh para peserta. Sebelum pulang ke Kinabalu Poring Vacation Lodge, para peserta berkumpul di kawasan padang bagi melakukan formasi 59 sebagai simbolik ulang tahun ke-59 kemerdekaan Negara. Usaha melakukan formasi ini telah diketuai oleh kem komanden, saudari Farah Hazimah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dibantu oleh saudari Syafiqah Salimun dari Universiti Teknologi Petronas (UTP). Semua peserta yang terdiri daripada sukarelawan YOSH telah memberikan kerjasama yang baik untuk menghasilkan formasi yang kemas dan teratur berbentuk 59. Slot pada pagi Ahad bertemakan bakti sosial dan kemasyarakatan. Para peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama telah diamanahkan untuk menziarahi penduduk miskin dan juga muallaf di Kg. Poring, manakala kumpulan kedua ditugaskan untuk membaik pulih dan mengecat semula Dewan Komuniti untuk dijadikan perpustakaan mini. Seramai 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswi, beberapa orang akauntan dan usahawan, juga para pelajar pascasiswazah telah terlibat dalam aktiviti ziarah. Antara sumbangan yang berjaya dikumpul oleh para sukarelawan YOSH termasuklah bahan bacaan, buku akademik, Al-Quran terjemahan, beras dan barangan dapur sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin. Aktiviti ini telah dapat memberi peluang kepada para peserta untuk merasai dan berkongsi kegembiraan dengan penduduk kampung. Pada masa yang sama, kerja-kerja gotong royong seperti mengecat, membersihkan kawasan dewan, menghias dewan, membuat rak dan menyusun buku telah dilakukan. Para peserta turut memanfaatkan masa ketika bergotong royong untuk bersilaturrahim dengan penduduk kampung. Hal ini kerana penduduk kampung turut bersama-sama menjayakan usaha membina mini perpustakaan dari awal hingga hari terakhir. Majlis perasmian penutupan NYC di Sabah tahun 2016 telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr Joachim Gunsalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang merangkap Pembantu Menteri Perumahan Sabah
NYC (Siswi) di Ayer Baloi, Pontian, Johor Program NYC di Selatan telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di BioCafe Kampung Ayer Baloi, Pontian, Johor Darul Takzim. Diharapkan transformasi dan hala tuju NYC pada kali ini dapat melahirkan golongan belia yang berkemahiran dalam pelbagai aspek seperti komunikasi, pengurusan, interpersonal selain mempunyai personaliti yang baik. Seramai 120 orang sukarelawan YOSH telah terlibat dengan aktiviti Amazing Race bermula pada 5 Ogos 2016. Dalam slot ini, aktiviti formasi 59 kemerdekaan telah dilakukan dengan menggunakan barangam terpakai iaitu tin minuman. Formasi 59 daripada tin minuman ini telah dibentuk oleh para sukarelawan di Penghujung Selatan Tanah Besar Asia, iaitu di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor. Tanjung Piai telah dipilih sebagai tempat utama mengibarkan Jalur Gemilang kerana Taman Negara di sini merupakan salah satu tarikan utama pelancong di negeri Johor. Aktiviti ini dijalankan bersempena dengan tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-59 pada tahun ini, juga sebagai solidariti golongan belia untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, aktiviti utama NYC di sini juga adalah Penyerahan Keluarga Angkat di Kg Ayer Baloi dan Kg Pulai Sebatang, Pontian Johor. Seramai 20 rumah keluarga angkat menerima antara lima hingga lapan sukarelawan sebagai anak angkat di rumah masing-masing. Dengan adanya program anak angkat ini, golongan mahasiswa bukan hanya berinteraksi dalam kalangan mereka di dalam universiti, malah dapat mendekatkan lagi golongan mahasiwi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Suasana mensantuni keluarga angkat dieratkan lagi dengan penganjuran Karnival Kesihatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada hari Sabtu, 6 Ogos 2016. Masyarakat setempat telah dididik tentang kepentingan menjaga kesihatan oleh golongan doktor perubatan yang terlibat, termasuklah Dr Noranisah Razali dari Hospital Ipoh, Perak, Dr Siti Rahayu Abdul Samad dari Hospital Sungai Buloh dan juga mahasiswi Sains Kesihatan yang masih menuntut di IPT seluruh Malaysia.
Slot 5 Rencah 5 Rasa telah mencungkil bakat para peserta dalam memasak. Masa diberikan kepada setiap kumpulan untuk menyediakan juadah yang berasaskan buah nanas. Kreativiti para peserta dapat dilihat apabila mereka turut membuat bentuk 59 daripada buah nanas sebagai simbolik kepada ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke-59 tidak lama lagi. Majlis perasmian penutupan NYC di Pontian, Johor pada tahun ini telah disempurnakan oleh Tuan Zainal Bin Mohammad, Ketua Nazir Pendidikan Johor pada hari Ahad jam 12 tengah hari.
PENUTUP
NYC 2016 ini telah berakhir dengan sempurna sekali berkat kerjasama daripada semua pihak, termasuklah pihak krew Malaysia Hai Ini yang turut menyertai aktiviti NYC di Pulau Tuba, Langkawi dan juga sepanjang di Kampung Poring, Ranau, Sabah. Para sukarelawan dan peserta juga telah memberikan respon dan sokongan yang sangat baik terhadap program ini dan berharap program ini dapat dijalankan pada masa hadapan, seterusnya mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak. Harapan kami dari pihak penganjur dan sekretariat NYC 2016, semoga penganjuran program NYC ini mampu memberikan impak maksima kepada golongan mahasiswa dan juga masyarakat luar bandar. Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, moga dengan penganjuran lebih banyak program belia sebegini dapat menyemarakkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan masyarakat Malaysia, selari dengan hasrat kerajaan untuk menyiapkan generasi pelapis bangsa, agama dan tanah air yang bersemangat patriotik dan mempunyai jati diri yang tinggi.