Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot, Tambunan, Sabah Mohd Sopiee Shiddeq, Noor Lizza Mohamed Said & Md Yazid Ahmad Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW yang digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam yang mampu melakukannya. Perkahwinan dikira sah menurut agama Islam sekiranya perkahwinan tersebut telah memenuhi rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Namun, terdapat sebahagian masyarakat Muslim yang masih mengamalkan adat perkahwinan mengikut budaya kaum masing-masing termasuklah penduduk Muslim dari kaum Dusun di Mukim Kirokot daerah Tambunan. Penduduk Muslim kaum Dusun di Mukim Kirokot daerah Tambunan adalah salah satu pecahan suku kaum Dusun yang terdapat di negeri Sabah. Kaum tersebut mempunyai kepelbagaian keunikan tersendiri yang menarik untuk dikaji sama ada melalui cara hidup, kebudayaan atau kesenian yang berbeza dengan suku kaum Dusun yang lain. Ia juga turut dapat dilihat melalui adat perkahwinan yang diamalkan oleh mereka. Hal tersebut menimbulkan persoalan kepada masyarakat sama ada perkahwinan mengikut adat tersebut selaras dengan hukum syarak atau sebaliknya. Justeru, artikel ini akan mengkaji adat-adat perkahwinan yang diamalkan oleh penduduk Muslim kaum Dusun di Mukim Kirokot Daerah Tambunan, Sabah dari segi pelaksanaan dan hukumnya.
Kedudukan Adat dalam Islam Adat berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kebiasaan. Dari sudut istilah, adat ialah segala kebiasaan sesuatu golongan masyarakat yang menjadi peraturan hidup mereka secara tidak langsung (Abdullah 1975: 3). Adat turut dikenali sebagai tradisi yang kebiasaannya dilakukan secara berulang kali sehingga diterima sebagai suatu peraturan tatasusila pada sesuatu masyarakat (Zaydan 2008: 133). Adat mempunyai kedudukan di dalam mempengaruhi pembinaan sesuatu hukum dalam agama Islam. Hal tersebut boleh dilihat melalui aplikasi kaedah fiqh:
126
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
Maksudnya: Adat menjadi hukum. Kaedah fiqh tersebut hanya boleh diaplikasikan terhadap sesuatu perkara yang tidak mempunyai dalil daripada nass mengenai hukum sesuatu perbuatan tersebut. Manakala sesuatu perbuatan yang telah mempunyai penetapan hukum melalui dalil nass maka adat tersebut adalah tertolak untuk dijadikan sebagai hujah hukum dalam Islam (Zaydan 2008: 133). Pada asasnya, sesuatu adat adalah harus untuk dilakukan selagi tidak terdapat dalil atau hujah yang menolak perbuatan adat tersebut (alQaradawi 2014: 7). Hal tersebut berdasarkan kepada kaedah fiqh:
Maksud: Hukum asal bagi sesuatu adalah harus sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharaman. Berdasarkan hujah-hujah tersebut, penulis berpendapat bahawa adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot pada asalnya adalah harus untuk dilakukan selagi tidak terdapat dalil atau hujah daripada nass yang mengharamkan perbuatan adat perkahwinan tersebut. Namun penulis tidak menafikan perlu dilakukan pengkajian secara menyeluruh terhadap adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot sebagai satu kaedah untuk mengkaji secara terperinci sama ada kesemua adat perkahwinan adalah boleh diterima atau tidak menurut syariat Islam.
Pisasawaan (Perkahwinan) Kaum Dusun Di Mukim Kirokot, Tambunan Perkahwinan menurut adat istiadat kaum Dusun adalah sesuatu yang suci dan dianggap sebagai asas pembentukan sesuatu masyarakat. Kaedah perkahwinan yang dianjurkan mengikut adat istiadat kaum Dusun adalah sangat rumit namun perlu dipatuhi oleh kaumnya. Undang-undang berkaitan adat istiadat termasuk adat perkahwinan penduduk kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan pada masa kini adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri Daerah Tambunan Sabah.
Hubungan Perkahwinan yang Dilarang Berdasarkan Adat Kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan Perkahwinan bagi kaum Dusun di Mukim Kirokot membawa makna yang besar dan luas iaitu bukan sahaja sekadar menyatukan kedua suami dan isteri malahan turut menyatukan kedua kobpinaian1 dan paganakan 2 yang tiada talian hubungan kekeluargaan. Hal tersebut
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
127
kerana kaum Dusun tidak membenarkan perkahwinan dilangsungkan antara pasangan yang masih dalam lingkungan keluarga mereka iaitu sehingga empat kali bersepupu. Gambaran hubungan perkahwinan antara keluarga terdekat yang dilarang oleh adat kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan adalah seperti berikut:
Rajah 10.1: Hubungan Perkahwinan Yang Dilarang Oleh Adat Kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan, Sabah Rajah 10.1 di atas menggambarkan kedudukan hubungan perkahwinan yang dibenarkan mengikut adat kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan iaitu pada keturunan keempat dalam lingkungan kekeluargaan. Sekiranya terdapat perkahwinan pada generasi sebelum peringkat keempat maka ia dianggap sesuatu kesalahan yang dikenali dengan nama mintarom atau sumbang mahram dan sogit3 akan dikenakan sebagai pomitas iaitu pemutus hubungan kekeluargaan supaya perkahwinan antara mereka menjadi sah menurut adat istiadat kaum Dusun.
Pemilihan Jodoh Pemilihan jodoh dalam kalangan kaum Dusun dilakukan melalui dua cara sama ada dipilih oleh keluarga atau pun dipilih sendiri oleh pasangan tersebut. Keluarga memainkan peranan penting dalam mempertemukan pasangan terutama bagi pemilihan jodoh. Namun, kaum Dusun terutama golongan muda masa kini lebih cenderung untuk memilih pasangan mereka sendiri. Hal tersebut kerana aktiviti sosial
128
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
masyarakat Dusun yang bertambah bebas pada hari ini berbanding sebelumnya. Tidak terdapat ciri-ciri khusus yang ditetapkan dalam pemilihan jodoh berdasarkan adat kaum Dusun di Mukim Kirokot. Namun dalam peringkat ini, lelaki yang hendak berkahwin hendaklah memilih seseorang perempuan yang mempunyai kedudukan luar daripada lingkungan keluarga terdekat mereka (Sahlan 2014). Selain itu, turut digalakkan kepada lelaki untuk memilih pasangan daripada keturunan daripada keluarga yang baik serta berakhlak tinggi sebagai pilihan utama bagi menjamin kelahiran generasi yang turut mempunyai keturunan dan berakhlak mulia daripada perkahwinan mereka kelak. Kecantikan turut termasuk ciri-ciri untuk memilih calon isteri namun ia hanya bersifat sampingan. Malahan turut digalakkan memilih perempuan yang mengetahui tugas sebagai seorang isteri seperti memasak, mengemas rumah dan melayan suami dan anak bagi menjamin kebahagiaan rumah tangga mereka kelak.
Moi Mongudio (merisik) Moi mongudio bermaksud “pergi bertanya” dalam bahasa Melayu. Kaum Dusun di Mukim Kirokot mengguna istilah tersebut dalam tujuan untuk merisik seseorang dengan pergi bertanya kepada orang tersebut atau kepada ibu bapa orang itu. Seperti kata mereka “moi mongudio om haro sanganu” yang bermaksud “pergi bertanya sama ada telah berpunya” (Sahlan 2014). Segala urusan merisik mestilah dibuat pada sebelah pagi. Urusan merisik pada sebelah petang atau malam adalah tidak dibenarkan sama sekali mengikut adat kaum Dusun. Hal tersebut kerana urusan merisik yang dilakukan sebelah petang atau malam dikhuatiri akan mengganggu keluarga perempuan yang hendak dirisik. Wakil yang dilantik hendaklah pergi merisik wanita yang hendak dipinang tersebut kepada kedua ibu bapa atau penjaga bagi wanita tersebut sekiranya ia seorang yatim-piatu. Terdapat beberapa keadaan wanita yang hendak dipinang yang perlu diambil perhatian oleh wakil merisik yang dilantik ketika merisik iaitu (Arena Wati 1978: 16):
Wanita yang hendak dirisik sedang dalam proses risikan oleh orang lain Sekiranya wanita tersebut berada dalam keadaan sedang dalam proses risikan oleh orang lain maka proses merisik yang terkemudian tersebut
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
129
hendaklah ditangguh terlebih dahulu sehingga diketahui keputusan muktamad proses merisik terdahulu sama ada diterima atau tidak. Sekiranya keputusan proses merisik terdahulu tersebut diterima seterusnya beralih ke proses pertunangan, maka proses merisik terkemudian tersebut akan dibatalkan serta merta. Manakala sekiranya proses merisik terdahulu tersebut gagal, maka proses merisik yang datang terkemudian boleh diproses selanjutnya.
Wanita yang hendak dirisik telah ditunang oleh orang lain Sekiranya wanita yang hendak dirisik tersebut sedang dalam proses pertunangan dengan orang lain, maka wakil proses merisik tersebut hendaklah menghentikan proses merisik tersebut.
Wanita yang hendak dirisik tidak bertunang dan bebas daripada proses merisik orang lain Hanya wanita yang berada dalam keadaan ketiga ini dibenarkan untuk dilakukan proses merisik sebelum dipinang oleh lelaki yang menghantar wakil dalam urusan proses merisik tersebut. Proses merisik dibuat berulang kali dan mengikut peringkat demi peringkat dan boleh memakan masa selama berhari-hari bahkan mampu mencapai waktu berbulan-bulan. Hal tersebut kerana banyak faktor yang perlu diambil kira untuk diketahui dengan jelas oleh kedua ibu bapa lelaki antaranya, susunan keluarga, akhlak, kemampuan dan lainlain berkaitan dengan seseorang wanita sebelum setuju dikahwinkan kepada anak lelaki mereka.
Momouaboi (Rundingan Pertunangan) Pada peringkat ini, kebiasaannya ibu bapa atau ahli keluarga tertua atau sahabat karib bagi pihak lelaki kaum Dusun akan pergi sendiri ke rumah ibu bapa perempuan tersebut untuk melakukan rundingan sama ada ibu bapa perempuan tersebut bersetuju untuk menerima hasrat perkahwinan atau tidak (Arena Wati 1978: 18). Sekiranya ibu bapa perempuan tersebut tidak bersetuju, maka perbincangan pertunangan tersebut tidak akan diteruskan. Namun sekiranya ibu bapa perempuan tersebut bersetuju maka perbincangan pertunangan tersebut akan dilakukan. Seterusnya kedua-dua pihak tersebut hendaklah memastikan talian hubungan mereka tidak termasuk dalam lingkungan keluarga yang dilarang berkahwin. Sekiranya terdapat talian hubungan kekeluargaan dalam lingkungan keluarga yang dilarang kahwin bagi mereka, maka bayaran pomitas4 perlu dibayar dengan sempurna sebelum pertunangan dilakukan antara
130
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
kedua pasangan. Pomitas tersebut diperlukan sebagai tanda memutuskan hubungan dalam lingkungan kekeluargaan bagi pihak lelaki dan perempuan agar perkahwinan boleh dijalankan (Jacqueline 2012: 50). Bayaran pomitas yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Anak Negeri di Daerah Tambunan ialah pihak lelaki akan didenda dengan seekor kerbau atau nilai wang sama dengan harga kerbau yang kemudiannya akan diberikan kepada penduduk kampung pihak perempuan tersebut. Selain itu, lelaki dan perempuan masing-masing turut dikenakan sogit seekor khinzir atau nilai wang sama dengan harga khinzir dan satu tajau5 yang tidak kurang daripada RM30.00. Sogit tersebut kemudiannya hendaklah diserahkan kepada keluarga masing-masing secara misulak atau bersilang iaitu perempuan kepada keluarga pihak lelaki dan sebaliknya bagi lelaki (Sahlan 2014). Sekiranya tidak terdapat keperluan pomitas di antara keluarga lelaki dan perempuan, maka perbincangan kedua pihak akan tertumpu kepada kadar bayaran nopung serta tarikh yang sesuai bagi pembayaran nopung,6 sahakoi7 dan kasawaan.8 Selain itu, turut dibincangkan mengenai jumlah bayaran balanja dapur.9 Pada pendapat penulis, balanja dapur dan nopung adalah dua perkara yang berbeza iaitu balanja dapur ialah wang hantaran atau hantaran iringan bagi pemberian nopung. Ini kerana balanja dapur yang berfungsi sebagai pemberian tambahan kepada mahar. Oleh itu, balanja dapur adalah suatu pemberian berbentuk hibah yang diberikan atas kerelaan hati suami tanpa terhad jumlahnya (Mustafa 1995: 72).
Sahakoi dan Miaboi/Mihaboi (Pertunangan Rasmi) Dalam bahasa Dusun, majlis pertunangan rasmi dikenali dengan sahakoi yang bermaksud “masuk rumah”. Manakala pertunangan dalam bahasa Dusun disebut miaboi atau mihaboi iaitu berasal daripada perkataan taboi yang bermaksud “tunangan orang” dan perkataan haboi atau tali pingang gelung rotan merah yang dipakai oleh anak gadis yang telah bertunang berdasarkan amalan kaum Dusun pada suatu masa dahulu. Walaupun amalan tersebut sudah tidak diamalkan namun istilahnya masih digunakan oleh kaum Dusun bagi menggambarkan Majlis pertunangan rasmi sebenar (Jacqueline 2012: 52). Pada majlis tersebut, pasangan lelaki yang hendak bertunang, ibu bapanya, semua adik-beradiknya, ahli kobpinaiannya dan molohing 10 atau ketua kampung daripada kampungnya akan datang ke rumah pasangan perempuan tersebut. Keluarga daripada kedua belah pihak akan duduk bertentangan antara sama lain dan semua hadiah
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
131
pertunangan daripada keluarga pihak lelaki akan dipersembahkan di hadapan ahli keluarga perempuan tersebut. Turut hadir molohing daripada kampung pihak perempuan beserta orang-orang tua yang ada di kampung perempuan tersebut (Sahlan 2014). Seterusnya, molohing atau ketua kampung daripada kampung pihak lelaki akan menyentuh sekali lagi mengenai persetujuan terakhir dalam segala perkara yang telah dibincangkan pada peringkat rundingan pertunangan (momouaboi) iaitu tarikh pembayaran nopung dan kesawaan11 serta jumlah nopung dan balanja dapur. Selain itu, kedua-dua kemolohingan 12 pihak lelaki dan perempuan turut berperanan dalam menyemak serta mengesahkan sama ada wujud hubungan keluarga jauh kedua belah pihak atau tidak serta menyemak sama ada pomitas telah dilaksana dengan sempurna atau belum sekiranya terdapat hubungan lingkungan keluarga yang diharamkan untuk berkahwin terhadap pasangan bertunang mengikut adat istiadat kaum Dusun (Jacqueline 2012: 62). Sekiranya telah selesai kesemua perkara tersebut, kedua kemolohingan daripada pihak lelaki dan perempuan kemudiannya akan mengeluarkan dua salinan borang pertunangan rasmi yang mengandungi segala butir pertunangan untuk diisi dan ditandatangani oleh kedua lelaki dan perempuan yang hendak bertunang tersebut serta disaksikan oleh ibu bapa daripada kedua belah pihak. Borang tersebut kemudiannya akan disimpan sebagai rekod pertunangan oleh keluarga kedua belah pihak lelaki dan perempuan. Borang pertunangan rasmi untuk kaum dusun di Mukim Kirokot dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri Daerah Tambunan. Pada masa dahulu, hasil persetujuan pertunangan yang dipersetujui di dalam perbincangan akan dicatatkan dalam surat perjanjian sebagai bukti. Namun kini, surat perjanjian pertunangan turut dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri dalam bentuk borang pertunangan rasmi (Sahlan 2014). Kemudiannya ketua kampung pihak perempuan turut akan memainkan peranan sebagai perasmi upacara majlis sahakoi dan miaboi atau mihaboi. Pasangan yang bertunang akan bertukar cincin, memotong kek dan mereka akan berkongsi suapan kek tersebut. Selepas habis upacara tersebut, maka lelaki dan perempuan dianggap telah bertunang secara sah. Mengikut adat kaum Dusun, kedua belah pihak pasangan sama ada lelaki atau perempuan boleh memutuskan tali pertunangan yang telah diikat antara mereka. Namun, sekiranya pertunangan tersebut diputuskan oleh pihak perempuan maka keluarga pihak perempuan tersebut hendaklah memulangkan semula hadiah pertunangan yang telah diberikan dengan jumlah dua kali ganda. Sebaliknya, hadiah
132
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
tersebut tidak perlu dipulangkan semula sekiranya pihak lelaki yang memutuskan ikatan pertunangan tersebut (Arena Wati 1978: 20). Ketika dalam tempoh pertunangan, pasangan yang bertunang adalah tertakluk kepada pantang larang dalam pertunangan mengikut adat. Pasangan bertunang tersebut adalah dilarang bertemu dan bergaul bebas sesama mereka seperti pasangan yang telah berkahwin. Mereka dilarang berdua-duaan lebih-lebih lagi tinggal bersama sebelum berkahwin (Sahlan 2014). Menurut kepercayaan kaum Dusun, sekiranya pasangan yang bertunang tersebut melanggar pantang larang tersebut, maka mereka percaya, bencana atau nasib buruk akan menimpa pasangan bahkan terhadap seisi keluarga kedua belah pihak pasangan tersebut. Justeru, bagi mengelakkan pantang larang tersebut berlaku, pasangan bertunang yang melanggar pantang-larang ketika dalam pertunangan akan dikenakan sogit (Jacqueline 2012: 62).
Nopung (Hantaran Perkahwinan) Pada masa kini, bayaran perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot di daerah Tambunan terdiri daripada nopung dan balanja dapur. Nopung turut dikenali dengan nama berian di sesetengah kampung dalam mukim tersebut iaitu hantaran tradisional yang diberikan oleh ibu bapa bakal pengantin lelaki kepada ibu bapa bakal pengantin perempuan bagi tujuan mengesahkan perkahwinan (Sahlan 2014). Nopung dianggap bayaran hantaran paling penting dalam sesuatu perkahwinan kaum Dusun di Tambunan. Nopung tersebut boleh diserahkan pada bila-bila masa dalam tempoh selepas majlis sahakoi sehingga sebelum majlis perkahwinan. Penyerahan nopung dilakukan dengan cara ibu bapa bakal pengantin lelaki tersebut sendiri dengan diiringi oleh ahli kobpinaian mereka ke rumah ibu bapa bakal pengantin perempuan (Jacqueline 2012: 62). Fungsi nopung ialah: 1. Ganti rugi kepada ibu bapa bakal pengantin perempuan atas sebab “kehilangan” anak mereka. 2. Mengesahkan perkahwinan dalam masyarakat mengikut adat supaya diakui status misawo-sawo13 bakal pengantin tersebut kelak. 3. Membenarkan pasangan yang telah berkahwin mempunyai hak dalam melakukan hubungan kelamin. 4. Mengesahkan anak yang lahir daripada perkahwinan pengantin secara adat kaum Dusun. 5. Memastikan isteri mendapat hak perlindungan dan sokongan daripada suaminya dalam perkahwinan mereka. 6. Mempertahankan kedudukan sama rata kedua pasangan suami isteri dalam perkahwinan.
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
133
Pada tahun 1980an, kadar bayaran nopung di Mukim Kirokot adalah (Jacqueline 2012: 65): 1. Dua ekor kerbau dewasa. 2. Seekor ayam jantan dewasa. 3. Seekor khinzir. 4. Sebiji tempayan. 5. Sebuah gong. 6. Sebiji mangkuk seramik. Setiap bayaran nopung tersebut hendaklah ditunaikan dalam keadaan sempurna tanpa wujud kecacatan. Pada hari ini, Mahkamah Anak Negeri daerah Tambunan telah menetapkan bayaran nopung yang standard di daerah Tambunan termasuklah di Mukim Kirokot Tambunan. Antaranya: 1. Seekor kerbau dewasa yang tanduknya sudah tumbuh sepenuhnya. 2. Satu bagaton iaitu sebuah tempayan pusaka besar. Sahlan (2014) turut menyatakan bahawa sekiranya kaum Dusun di Mukim Kirokot tidak mampu menyediakan bayaran nopung barangan tersebut secara tradisional iaitu dalam bentuk wang yang sama nilainya dengan nopung yang telah ditetapkan. Anggaran bagi jumlah wang tersebut adalah RM 3,000.00, namun beliau turut tidak menafikan bahawa nilai tersebut akan meningkat sesuai dengan peningkatan harga barangan nopung tradisional di pasaran semasa.
Balanja dapur (Belanja Dapur) Balanja dapur adalah daripada perkataan bahasa Melayu yang bermaksud “belanja dapur”. Ia mula diperkenalkan sejak tahun 1980an dan bertujuan untuk membantu dalam sumbangan kewangan kepada ibu bapa pengantin perempuan dalam mengadakan kenduri perkahwinan. Di sesetengah kampung dalam kawasan Mukim Kirokot turut mengadakan bayaran tambahan dalam balanja dapur yang dikenali dengan istilah kinoruakan do lampin sebagai simbolik penghargaan kepada jasa ibu bapa pengantin perempuan dalam membesarkan anaknya (Jacqueline 2012: 64). Mahkamah Anak Negeri di daerah Tambunan pada masa ini telah menetapkan bahawa bayaran standard bagi balanja dapur ialah RM 12,000.00 atau lebih. Jumlah bayaran tersebut turut akan dipengaruhi oleh perubahan harga barangan yang diperlukan dalam perbelanjaan kenduri perkahwinan berdasarkan harga semasa (Sahlan 2014).
134
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
Kasawaan (Majlis Perkahwinan) Kasawaan adalah upacara terakhir dan kemuncak bagi adat istiadat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan. Upacara tersebut boleh diadakan selepas pemberian nopung telah disempurnakan dan diadakan secara berperingkat serta memakan masa berhari-hari. Ini kerana upacara tersebut dibuat secara besar-besaran dan sangat meriah bagi meraikan pasangan yang bakal berkahwin.
Mongongoi Hari pertama kasawaan bermula dengan acara mongongoi, iaitu sekumpulan kobpinaian pengantin lelaki akan datang menjemput pengantin perempuan dari rumahnya ke rumah pengantin lelaki. Kumpulan kobpinaian akan memalu gong secara berirama semasa mengiringi sepanjang perjalanan pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki. Pada masa dahulu turut dimainkan alat muzik tradisional kaum Dusun lain sebagai muzik tambahan seperti bungkau dan sompoton.14 Namun pada masa kini, alat muzik tambahan tersebut kurang dimainkan kerana sebilangan generasi muda kaum Dusun di Mukim Kirokot sahaja yang mewarisi kebolehan tersebut. Pakaian pengantin perempuan pada proses ini adalah berpakaian lengkap sinimbayaka dan dilengkapi sunduk serta topi sirung sebagai penutup kepala. Pengantin perempuan turut diiringi sekumpulan kobpinaian perempuannya. Perbuatan iringan tersebut dikenali sebagai misohusuk dan kobpinaian perempuan tersebut digelar sohusuk.
Moirabat Sebaik sahaja sampai di rumah pengantin lelaki. pengantin perempuan dan sohusuknya akan dijemput duduk. Seterusnya acara moirabat akan dilakukan iaitu pengantin lelaki akan menghidangkan tapai kepada pengantin perempuan. Acara ini secara tidak langsung menemukan pengantin lelaki dan perempuan secara bersemuka sebagai sesi perkenalan antara satu sama lain (Jacqueline 2012: 64). Ini adalah pertemuan pertama bagi pengantin lelaki dan perempuan pada suatu masa dahulu. Namun kini, ia tidak boleh dianggap sebagai pertemuan pertama pasangan pengantin kerana perubahan pergaulan sosial yang semakin rapat di antara lelaki dan perempuan pada kaum Dusun di Mukim Kirokot pada masa kini.
Miaya wagu Seterusnya acara miaya wagu akan dilangsungkan dengan dimulai dengan persandingan pasangan pengantin ke atas kohoban.15 Kemudian
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
135
seorang bobolian 16 akan mengetuai upacara tersebut dengan membaca rinait 17 khas kepada pasangan pengantin bagi tujuan merestui perkahwinan mereka. Bobolian tersebut turut akan menanggalkan sirung18 yang dipakai oleh pengantin perempuan sebagai simbol untuk membuang semua sumpahan daripada perkahwinan pasangan pengantin. Kemudian bobolian tersebut akan meneruskan acara dengan membacakan suatu rinait khas pada atas lipatan kain yang dipintal dengan loceng giring kecil serta kemudiannya menyapukan bahagian atas sunduk pengantin perempuan bagi meneruskan upacara pembuangan sumpahan terhadap pengantin. Selepas upacara oleh bobolian tersebut berakhir, jamuan kemudiannya akan dihidangkan kepada pengantin tersebut. Pasangan pengantin pada masa ini akan saling menyuapkan makanan antara satu sama lain sambil duduk di atas kohoban sebagai upacara terakhir dalam peringkat miaya wagu tersebut. Selepas acara tersebut berakhir, pengantin perempuan serta sohusuknya akan pulang ke rumah ibu bapa pengantin perempuan tersebut semula. Pada peringkat ini, pengantin perempuan belum boleh lagi tinggal di rumah suaminya.
Makan Balanja (majlis jamuan besar-besaran) Pada hari berikutnya, pengantin lelaki dengan diiringi oleh kesemua kobpinaiannya akan pergi ke rumah pengantin perempuan bagi acara makan balanja yang diadakan secara besar-besaran bagi meraikan perkahwinan pasangan tersebut. Makan balanja adalah suatu kenduri kahwin yang diadakan oleh kaum Dusun di Mukim Kirokot untuk meraikan pengantin yang baru berkahwin. Dinamakan sebagai makan balanja kerana makan daripada harta balanja dapur yang diberikan oleh pengantin lelaki sebagai hantaran tambahan bagi nopung (Sahlan 2014). Sesetengah penduduk kampung di kawasan Mukim Kirokot akan mengadakan acara makan balanja anak mereka dengan memilih hari bersempena dengan moginakan, iaitu salah satu upacara keramaian besar-besaran tradisional kaum Dusun yang akan berlangsung selepas penuaian tanaman padi yang melimpah ruah sebagai tanda kesyukuran terhadap rahmat Tuhan (Jacqueline 2012: 67). Majlis tersebut akan berlangsung secara meriah iaitu selama tiga atau empat hari dan dianjurkan oleh paganakan termasuk semua kobpinaian, penduduk sekampung dan sahabat handai masing-masing yang berasal dari jauh dari tempat penempatan mereka. Namun pada masa kini, makan balanja kebiasaannya hanya berlangsung selama
136
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
sehari semalam sahaja bagi menjimatkan kos, masa dan tenaga (Sahlan 2014). Tapai atau arak beras kaum Dusun adalah antara hidangan tradisional yang wajib dihidangkan di majlis makan balanja tersebut. Ia dikira sebagai pelengkap majlis tersebut (Jacqueline 2012: 67).
Rumusan Adat Perkahwinan Kaum Dusun di Mukim Kirokot Daerah Tambunan Berdasarkan Perspektif Islam Pada kajian penulis, terdapat beberapa perkara yang dapat dikenal pasti amalan adat istiadat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot daerah Tambunan yang bercanggah dengan syariat agama Islam. Antara yang menjadi isu utama percanggahan tersebut ialah: 1. Adat istiadat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan tidak memenuhi rukun perkahwinan Islam. Hal tersebut kerana hasil pemerhatian penulis, adat istiadat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan tidak memenuhi rukun perkahwinan yang telah digariskan di dalam syariat Islam. Isu ini adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian kerana hukum sesuatu perkahwinan hanya menjadi sah sekiranya memenuhi rukun perkahwinan yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Rukun perkahwinan mengikut syariat Islam hendaklah melengkapi rukun-rukun iaitu: a) Sighah iaitu lafaz ijab kabul. b) Perempuan yang akan dikahwini. c) Lelaki yang hendak dikahwini. d) Wali. e) Dua orang Saksi. 2. Hubungan perkahwinan yang dilarang mengikut adat perkahwinan kaum Dusun yang bertentangan dengan syariat Islam Perkahwinan yang dilakukan antara pasangan yang masih dalam lingkungan keluarga sehingga empat generasi adalah dilarang mengikut adat kaum tersebut. Perbuatan tersebut bagi kaum tersebut dikira sebagai satu kesalahan sumbang mahram dan akan dikenakan denda bagi sesiapa yang melakukannya. 3. Perkara tersebut adalah menyalahi amalan perkahwinan yang dianjurkan oleh syariat Islam. Hal ini kerana Islam masih membenarkan hubungan perkahwinan seperti itu untuk dilakukan walaupun tidak menggalakkannya. Tetapi tidak sampai mengharamkan hubungan perkahwinan tersebut. 4. Kadar bayaran nopung iaitu mahar perkahwinan mengikut adat kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan.
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
5.
6.
7.
8.
137
Kadar bayaran nopung yang dikenakan oleh ibu bapa bakal pengantin perempuan kepada bakal pengantin lelaki sangat tinggi sehingga membebankan bakal pengantin lelaki tersebut. Pada mereka, kadar bayaran nopung yang tinggi adalah lambang kemegahan status keluarga mereka. Kemudiannya mereka berlumba-lumba dalam meningkatkan kadar bayaran tersebut walaupun terpaksa menanggung bebanan hutang yang banyak. Perbuatan tersebut turut menyebabkan pasangan pengantin hidup melarat selepas berkahwin. Harta yang digunakan sepanjang tempoh urusan adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan. Kebanyakan harta yang digunakan bagi urusan perkahwinan mengikut adat kaum tersebut adalah terdiri daripada harta yang tidak diiktiraf oleh syariat Islam seperti penggunaan haiwan khinzir yang diharamkan kepada umat Islam. Harta tersebut sepatutnya digunakan daripada jenis harta yang diiktiraf oleh syariat Islam. Contohnya, menggantikan penggunaan haiwan tersebut kepada haiwan yang dihalalkan mengikut syarak seperti kambing dan lembu. Hidangan makanan dan minuman yang dihidang sepanjang adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan. Amalan kaum tersebut yang menggunakan makanan tradisional mereka sebagai hidangan wajib di dalam adat perkahwinan mereka seperti tapai iaitu arak beras adalah sesuatu yang menyalahi syariat Islam. Hal tersebut kerana makanan tersebut adalah diharamkan di dalam Islam. Hidangan tersebut sewajarnya digantikan dengan makanan yang dihalalkan di dalam agama Islam. Peranan Bobolian di dalam adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan. Adat istiadat perkahwinan kaum tersebut yang menggunakan peranan bobolian untuk melakukan upacara merestui dan membuang sial kepada kedua pasangan pengantin dengan menggunakan bacaan mentera khas adalah sesuatu yang sangat bersalahan dengan syariat Islam. Perbuatan tersebut dianggap sebagai syirik iaitu menyekutukan Allah yang menjadi salah satu dosa besar di dalam agama Islam. Peranan bobolian tersebut hendaklah dielakkan untuk dilakukan di dalam adat perkahwinan kaum tersebut. Perbelanjaan harta untuk mengadakan makan balanja sebagai majlis walimat al-‘urs kaum Dusun di Mukim Kirokot, Tambunan. Amalan adat kaum tersebut yang menggunakan perbelanjaan kos yang tinggi dalam melakukan majlis makan balanja melebihi daripada sehari iaitu dilakukan pada siang dan malam adalah suatu
138
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
perbuatan yang sangat melampau. Amalan tersebut menyebabkan berlakunya pembaziran kepada perkara-perkara yang tidak perlu. Adalah lebih elok sekiranya pembaziran tersebut dapat dielakkan dengan digunakan pada jalan kebaikan seperti bersedekah atau sebaliknya. Sekurang-kurangnya dapat menghulurkan bantuan kepada pihak yang kurang bernasib baik dan seterusnya menambah amal kebajikan. 9. Pakaian pengantin perempuan hendaklah menepati ciri-ciri pakaian Islam. Pakaian pengantin perempuan hendaklah menepati ciri-ciri yang dibenarkan oleh syariat Islam iaitu menutup aurat dan tidak berlaku tabarruj iaitu berlebih-lebihan dalam berhias. Perbuatan tabarruj bukan sahaja berlaku apabila pengantin perempuan berpakaian tidak menutup aurat bahkan ia turut termasuk walaupun pengantin perempuan tersebut memakai pakaian menutup aurat tetapi menghiasi diri dengan solekan yang melampau serta memakai pelbagai perhiasan sehingga menyebabkan lelaki terpegun dan naik syahwat melihat dirinya. Hal tersebut adalah dilarang oleh agama Islam kerana kecantikan pengantin perempuan tersebut adalah halal untuk suaminya sahaja manakala ia tetap menjadi haram untuk dipertontonkan kepada selain suaminya. Dalam hal ini, pakaian tradisional kaum tersebut yang digunakan dalam adat perkahwinan adalah dibenarkan agama Islam selagi menutup aurat dan bebas daripada perbuatan tabarruj.
Cadangan Penambahbaikan Adat Perkahwinan Kaum Dusun di Mukim Kirokot Daerah Tambunan Agar Menepati Syariat Islam Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penulis terhadap adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan, beberapa cadangan yang pada pendapat penulis perlu dikemukakan mengenai adat tersebut. Antaranya: 1. Beberapa budaya yang baik yang selari dengan syariat Islam perlu diperkukuh dan diteruskan bagi memelihara keunikan adat perkahwinan kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan, agar adat tersebut boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat lain. 2. Pihak berkuasa agama Islam perlu lebih peka dan menggiatkan usaha untuk menghantar para pendakwah secara tetap di kawasan Mukim Kirokot bagi memastikan kefahaman kaum Dusun di kawasan tersebut terhadap keperluan pelaksanaan adat perkahwinan mereka yang menepati syariat Islam. Hal tersebut kerana kebiasaannya guru-guru agama yang dihantar ke kawasan tersebut
Kedudukan Adat Perkahwinan Kaum Dusun Muslim di Mukim Kirokot
3.
4.
5.
6.
139
tidak dapat bertahan lama dalam melaksanakan dakwah di Mukim tersebut. Pihak berkuasa agama turut perlu giat melakukan pemantauan secara berterusan agar dakwah Islam dapat dijalankan dengan berterusan dan berupaya membina kefahaman mendalam kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan terhadap agama Islam. Badan bukan kerajaan seperti ABIM dan PERKIM perlu menyalurkan bantuan berupa pendidikan agama Islam dan motivasi kepada penduduk kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan. Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung di Mukim Kirokot hendaklah bertindak mengenal pasti masalah adat perkahwinan kaum Dusun di mukim tersebut yang bertentangan dengan ajaran agama Islam dan membuat perubahan terhadap adat tersebut. Para penduduk kaum Dusun di Mukim Kirokot perlu memberikan kerjasama dengan bersama-sama membanteras adat perkahwinan kaum mereka yang menyalahi syariat Islam.
Kesimpulan Penduduk kaum Dusun di Mukim Kirokot Tambunan adalah masyarakat yang mempunyai keistimewaan daripada pelbagai aspek termasuklah adat perkahwinan. Namun terdapat kelompongan terhadap adat perkahwinan kaum tersebut iaitu wujud perbuatan adat yang bertentangan dengan syariat Islam yang perlu diubah dan diperbaiki agar selaras dengan hukum perkahwinan yang dianjurkan oleh agama Islam.
Nota Hujung 1. Kobpinaian pada bahasa Melayu bermaksud saudara mara terdekat. 2. Saudara mara jauh dikenali dengan istilah “bau-bau bacang” dalam bahasa Melayu. 3. Suatu denda yang dikenakan kerana melakukan sesuatu kesalahan mengikut adat kaum Dusun. 4. Bayaran denda adat kaum Dusun yang dikenakan bagi memutuskan hubungan kekeluargaan bagi membolehkan perkahwinan di antara sepupu boleh dilakukan. 5. Turut dikenali dengan nama luping di sesetengah kampung iaitu sejenis tembikar tradisional yang mempunyai nilai mengikut adat kaum Dusun. 6. Bayaran yang diwajibkan kerana perkahwinan dalam adat Dusun. 7. Majlis pertunangan mengikut adat Dusun. 8. Majlis perkahwinan mengikut adat Dusun. 9. Bayaran tambahan selain nopung yang dikenakan kerana perkahwinan dalam adat Dusun.
140
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
10. Seseorang yang dianggap sebagai ketua bagi masyarakat suku kaum Dusun. Kebiasaannya dipilih daripada mereka yang berumur lebih tua dalam masyarakt tersebut. 11. Adat istiadat perkahwinan kaum Dusun. 12. Individu yang menjadi ketua bagi suatu kelompok suku kaum Dusun. Kebiasaannya terdiri daripada ketua kampung. 13. Bermaksud status pasangan suami isteri yang sah dalam bahasa Melayu. 14. Alat muzik tradisional Dusun yang diperbuat daripada buluh. 15. Sejenis tikar tradisional kaum Dusun. 16. Individu yang mempunyai kuasa ghaib menurut kaum Dusun. Ia berfungsi seperti bomoh mengikut masyarakat melayu. 17. Bacaan mentera dalam bahasa Dusun kuno. 18. Sejenis topi tradisional kaum Dusun.
Rujukan al-Qur’an Al-Karim. Abdullah Siddik. 1975. Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Abdul Karim Zaidan. 2008. al-Wajiz: 100 Kaidah Fiqh dalam Kehidupan Sehari-hari. Terj. Muhyiddin Mas Rida. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar. Arena Wati. 1978. Dusun: Satu Tinjauan Dalam Konteks Kepercayaan, Kultus Dan Hukum Adat Di Sabah. Sabah: Penerbitan Yayasan Sabah. Jacqueline Pugh-Kitingan. 2012. Kadazan Dusun. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad. Mustafa Hj. Daud. 1995. Perkahwinan Menurut Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors SDN. BHD. Sahlan Bin Hamidin. 2014. Adat Perkahwinan Kaum Dusun Di Mukim Kirokot Tambunan. Ketua Anak Negeri Mukim Kirokot Tambunan. Temu bual, 18 April. Yusuf al-Qaradawi. 2014. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Terj. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi SDN. BHD.