ISU-ISU DALAM PERSETUJUAN DAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN SEBELUM PERCERAIAN SECARA BERSAMA Siti Shamsiah Hj Md Supi Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
PENDAHULUAN Membubarkan perkahwinan ialah tindakan terakhir yang akan dilakukan oleh suami isteri apabila rumahtangga menghadapi krisis setelah pelbagai usaha dibuat bagi menyelamatkan perkahwinan yang dibina. Pembubaran itu boleh berlaku sama ada secara persefahaman oleh kedua-dua pasangan, atau dipohon oleh salah satu pihak. Dalam hukum-hakam perkahwinan, terdapat beberapa bentuk pembubaran perkahwinan iaitu dengan menjatuhkan talak oleh pihak suami kepada isterinya, taklik, tebus talak atau khuluk dan fasakh. Perkahwinan juga boleh dibubarkan secara li'an, anggapan mati dan pertukaran agama, sama ada seseorang itu memeluk agama Islam, atau keluar daripada agama Islam (Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah 2006: 161). Dalam konteks perundangan Islam di Malaysia, hukum-hakam kekeluargaan ini diolah, disusun dan diperuntukkan dalam akta/ enakmen undang-undang keluarga Islam negerinegeri. Menurut peruntukan yang ada, pembubaran perkahwinan dengan cara mentalak isteri disebut sebagai "perceraian secara persetujuan bersama". Oleh sebab setiap bentuk pembubaran perkahwinan mempunyai kaedah dan implikasi yang tertentu, maka ia mempunyai prosedur yang tersendiri supaya tiap-tiap status perkahwinan yang didaftarkan dalam negara ini mempunyai rekod dan boleh dibuat rujukan. Setiap kaedah yang disediakan atau diperuntukkan dalam Undang-undang Syariah yang dikanunkan, dapat memainkan peranannya secara efektif dan efisien jika kedua-dua belah pihak saling tidak menimbulkan masalah antara satu sama lain, atau tidak mengeruhkan lagi kemelut yang telah sedia berlaku dalam perkahwinan terbabit. Di sinilah bermulanya perbincangan tentang persetujuan, atau perjanjian persefahaman yang terlaksana oleh pasangan suami isteri yang telah sama-sama mencapai kata putus untuk membubarkan perkahwinan mereka. PERCERAIAN SECARA BERSAMA SERTA PERSEFAHAMAN SEBELUM PERCERAIAN Sebagaimana yang telah disebutkan dalam Pengenalan perbincangan ini, "perceraian secara bersama" adalah bentuk pembubaran perkahwinan yang ringkas dengan suami menjatuhkan talaknya terhadap isteri. Walau bagaimanapun, terdapat perceraian secara bersama yang mengandungi cerita dan isu-isu tertentu di sebaliknya. Ia tidak sekadar perbuatan melafazkan talak terhadap isteri, yang kemudiannya merantaikan kesan tertentu kepada kedua-dua belah pihak. Iaitu, apabila seseorang suami 166
menceraikan isterinya, wanita berkenaan akan mempunyai hak mutaah dan nafkah idah yang perlu ditunaikan oleh bekas suaminya itu. Apa yang berlaku terhadap kes-kes perceraian secara bersama ini, terdapat pengubahsuaian terhadap hak-hak asal selepas perceraian di pihak wanita yang terlibat. Malah terdapat juga persefahaman yang melibatkan kepentingan harta bekas isteri, dan haknya sebagai ibu kepada anak-anak yang terdapat dalam perkahwinan. Kes-kes yang berkaitan akan dikemukakan bagi menunjukkan terdapatnya persefahaman "tersendiri", yang melibatkan hak-hak selepas perceraian, sebelum lafaz talak dibuat oleh pihak suami. Dalam perbincangan ini, "persefahaman" dirujuk sebagai persetujuan dengan cara berunding. Ini bermakna, persetujuan tanpa perundingan tidak mencapai maksud persefahaman (http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=persefahaman). Manakala "perjanjian" pula bermakna persetujuan yang dibuat antara dua pihak atau lebih (Kamus Dewan 2005: 609). Dalam konteks perundangan, ia akan dipateri dan perlu dipatuhi. Ia juga mempunyai implikasi perundangan kepada pihak yang melanggari persetujuan berkenaan. Sementara hak atau kepentingan pihak satu lagi yang terkandung dalam perjanjian berkenaan akan dilindungi dan terjaga disebabkan kedua-duanya terikat dengan perjanjian tersebut. Perbincangan ini cuba meninjau wujudnya persetujuan antara kedua-dua belah pihak suami isteri yang telah bersepakat untuk mengakhiri perkahwinan mereka secara lafaz talak, atau perceraian secara bersama sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Ia adalah tinjauan terhadap persetujuan yang dibuat sebelum talak dilafazkan oleh pihak suami, dan perkara-perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua mereka melibatkan penafian keseluruhan atau sebahagian hak selepas perceraian, sedangkan hak-hak berkenaan telah dinyatakan secara mutlak menurut al-Quran, Hadis dan ijmak ulama. Contohnya jika perceraian berlaku dalam kategori talak raj'ie, ulama bersepakat mengatakan wajib bagi pihak suami untuk menyediakan nafkah termasuklah makan pakai dan tempat tinggal selama dalam tempoh idah (Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah 2006: 68). Malah suami dilarang daripada menghalau isteri tersebut dari rumah dalam tempoh berkenaan. Dari satu sudut pula, pada dasarnya setiap perjanjian yang termeterai atau persetujuan individu terhadap syarat-syarat tertentu, perlulah diakuri dan diikuti. Apatah lagi apabila persetujuan itu telah ditandatangani dan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada perintah mahkamah. Ia sesuatu yang mengikat pihak-pihak yang terlibat, dan pihak-pihak berkenaan perlu memikul tanggungjawab terhadap perkara yang telah dipersetujui. Dalam ayat pertama Surah al-Maidah, Allah berfirman secara tegas dengan mafhumnya, “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu...” Maksud "janji" dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan Allah dan manusia sesama mereka. Manakala firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 177 pula bermaksud: "Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.”
167
Walau bagaimanapun, yang menjadi isu di sini ialah persetujuan berkenaan boleh dilihat sebagai suatu persefahaman berat sebelah, ataupun persetujuan yang menggugurkan hakhak yang telah pun diperuntukkan, dan ulama sepakat menghukumkannya sebagai wajib untuk ditunaikan oleh pihak suami. Adakah ia suatu perkara yang dibenarkan oleh Syariah, sedangkan seolah-olahnya ia merupakan manipulasi yang dilakukan oleh pihak suami sebagai tuan punya kepada talak (sahib al-talaq) atas nama janji? Pada masa yang sama, ia telah termeterai atau telah menjadi perintah mahkamah, dan kedua-dua bentuk ini adalah mengikat pihak-pihak menurut undang-undang. Contoh-contoh Kes Dalam kes Salmah lawan Marat (No. Kes: 08100-014-0015-2013), plaintif telah membuat tuntutan fasakh pada Januari 2013. Dalam kes ini plaintif dan defendan kedua-duanya diwakili peguam. Pada 20 Jun 2013 mahkamah telah mengarahkan supaya kes dibicarakan. Peguam defendan telah memohon secara lisan supaya Jawatankuasa Pendamai dilantik. Mahkamah memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pendamai hanya wujud dalam kes di bawah Seksyen 47 sahaja. Walau bagaimanapun, disebabkan kedua-dua belah pihak bersetuju, permohonan tersebut telah dibenarkan. Kedua-dua pihak perlu melantik wakil masing-masing untuk terlibat dalam Jawatankuasa Pendamai. Dalam masa yang sama kes fasakh perlu berjalan seperti biasa. Jika ada sebarang persetujuan, pihak-pihak perlulah memaklumkannya kepada mahkamah. Perbicaraan kes diteruskan. Namun pada 25 Februari 2014, peguam defendan menyatakan defendan bersetuju untuk menceraikan plaintif di bawah Seksyen 47 sekiranya tiada tuntutan yang akan dibuat oleh plaintif sebelum dan selepas perceraian. Plaintif bersetuju dan mahkamah membenarkan perceraian di bawah Seksyen 47 pada 11 Mac 2014. Dalam kes Zulina lawan Syed Fazli pula (No. Kes: 08100-014-0027-2013), plaintif pada awalnya membuat tuntutan fasakh. Walau bagaimanapun, pihak-pihak bersetuju untuk bercerai di bawah Seksyen 47, iaitu perceraian secara bersama. Ketika kes ini sedang berjalan, anak berada di bawah jagaan defendan, dan plaintif boleh lawat pada bila-bila masa. Apabila kes ini selesai, pihak-pihak bersetuju untuk memberikan pilihan kepada anak mereka. Dalam kes ini, plaintif bersetuju untuk tidak menuntut harta sepencarian. Manakala dalam kes Mariam lawan Nizam (No. Kes: 08600-014-0089-2013), plaintif membuat tuntutan fasakh dengan alasan bahawa defendan terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Plaintif mengetahui perkara ini hanya selepas tiga bulan perkahwinan. Tuntutan fasakh di bawah Seksyen 53 kemudiannya ditukar kepada Seksyen 47 perceraian secara persetujuan bersama. Plaintif dan defendan bersetuju bercerai di bawah Seksyen 47, dan plaintif tidak akan membuat apa-apa tuntutan yang melibatkan hak plaintif. Sementara dalam Kes Ainon lawan Harun (No. Kes: 11005-014-0139-2014), plaintif yang berumur 69 tahun ketika tuntutan fasakh dibuat telah menyertakan beberapa alasan dalam tuntutannya. Antaranya, adalah disebabkan plaintif tidak mampu melayan kehendak batin defendan, dan bimbang menjadi isteri yang tidak taat. Selain itu plaintif mengalami gangguan emosi, mental dan sentiasa dalam keadaan tertekan untuk hidup bersama-sama defendan. Sikap defendan yang mudah panas baran dan tidak mesra dengan anak-anak plaintif juga menyebabkan kehidupan plaintif menjadi tidak aman, apatah lagi defendan juga seorang yang sukar untuk bertolak ansur. 168
Akhirnya, defendan menerima kehendak plaintif dan bersetuju untuk menceraikan plaintif tetapi meletakkan syarat dengan plaintif tidak akan menuntut apa-apa, iaitu nafkah idah dan harta sepencarian. Plaintif bersetuju dengan syarat tersebut. Mahkamah kemudiannya membenarkan pihak yang bertikai untuk mengubah tuntutan daripada kes fasakh kepada perceraian persetujuan bersama di bawah Seksyen 49 dan mahkamah telah memberikan kebenaran kepada defendan untuk lafaz talak. Di Selangor pula, kes Shamsiah lawan Zainul (No. Kes: 10002-055-0782-2008), plaintif pada awalnya membuat tuntutan fasakh terhadap defendan. Tuntutan fasakh ini dibuat pada tahun 2008, setelah permohonan perceraian secara bersama pihak plaintif, tidak dipersetujui oleh pihak defendan. Sebenarnya pada tahun 2004, plaintif pernah mengemukakan permohonan perceraian secara bersama tetapi telah menarik balik permohonan beliau. Pada tahun 2011, defendan membuat tawaran kepada pihak plaintif untuk menceraikan plaintif dengan syarat plaintif perlu menggugurkan nafkah idah, mutaah, hutang-piutang suami isteri, harta sepencarian dan hak jagaan anak-anak. Plaintif bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh pihak defendan, maka defendan menceraikan plaintif dengan lafaz talak. SOROTAN TERHADAP CONTOH-CONTOH KES YANG BERKAITAN Melihat kepada kelima-lima kes berkenaan, pada awalnya plaintif membuat tuntutan fasakh. Tuntutan fasakh ialah kaedah pembubaran perkahwinan yang tidak melibatkan persetujuan pihak suami, ataupun pihak suami enggan menunaikan hasrat isteri dan memudahkannya. Kelima-limanya bukan perbicaraan secara ex-parte, dan suami selaku defendan bersikap responsif dalam perjalanan perbicaraan. Selepas kes-kes berkenaan berjalan dalam satu tempoh tertentu yang berbeza-beza, pihak suami atau defendan membuat tawaran untuk melepaskan isteri secara lafaz talak tetapi dengan syarat-syarat tertentu yang perlu diakuri oleh pihak isteri. Kelima-lima plaintif akur dengan tawaran yang dibuat oleh pihak defendan walaupun syarat-syarat yang dikemukakan oleh pihak defendan merupakan hak-hak hakiki pihak plaintif, termasuklah hak terhadap harta sepencarian. Hak penjagaan anak pula lebih dilihat kepada kebajikan anak-anak yang terdapat dalam perkahwinan, walaupun ia tidak menafikan kepentingan suami isteri yang bertikai sebagai ibu bapa yang menjaga. Ini boleh dilihat dalam keputusan kes Babji Babjan lawan Zainab Mohd Salleh dengan mahkamah merujuk kepada Seksyen 76 berkenaan kuasa bagi mahkamah untuk mengubah perjanjian penjagaan atau nafkah anak. "Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat sesuatu perjanjian berhubung dengan penjagaan atau nafkah seseorang anak, sama ada perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam perjanjian itu, jika Mahkamah berpuas hati bahawa adalah munasabah dan untuk kebajikan anak itu berbuat demikian."
169
Melihat kepada kelima-lima latar belakang kes ini, seolah-olahnya ia menunjukkan kesukaran di pihak isteri untuk membebaskan diri mereka. Tawaran perceraian secara lafaz talak oleh pihak suami walaupun dengan syarat-syarat tertentu dan mungkin sehingga menjejaskan hak dan kepentingan pihak isteri, telah diterima. Seolah-olahnya nilai kebebasan diri isteri jauh lebih mahal berbanding dengan hak-hak yang terpaksa dilepaskan. Sedangkan, Syariah telah pun menyediakan instrumen yang khusus dan lebih telus jika pihak suami merasakan ia berhak untuk mendapat ganti rugi disebabkan pembubaran perkahwinan yang dimahukan oleh pihak isteri, iaitu dengan menawarkan khuluk ataupun tebus talak. KHULUK, PERCERAIAN SECARA BERSAMA DAN PERBANDINGANNYA Khuluk menurut fuqaha adalah pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh isteri dengan membayar sejumlah wang, atau dengan nilai tertentu kepada suaminya. Ia disandarkan kepada ayat 229 Surah al-Baqarah, yang antaranya bermaksud: "Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)." Keharusan untuk menebus diri oleh pihak isteri juga boleh dilihat pada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ibn 'Abbas r.a., yang memberi erti: Isteri Thabit bin Qais (Jamilah bintu Abdullah), telah berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, saya tidak meragui akhlak dan agamanya, tetapi saya takut akan melakukan kufur (dengan meneruskan perkahwinan ini). Nabi SAW bertanya, "Adakah kamu mahu menebuskan (talak) dengan kebunmu?" Jawab isteri Thabit, "Ya", lalu Nabi SAW mengarahkan kepada Thabit, "Terimalah kebunnya, dan ceraikan dia dengan talak satu." Untuk mengguna pakai kaedah pembubaran perkahwinan ini, majoriti ulama Mazhab Hanafi (Ibn al-Hammam 1970, 4: 217), Maliki (Ibn Rushd t.t., 2: 51), Shafi'i (Al-Ramli 1967: 391), Hanbali (Al-Bahuti 1955: 471), dan Zahiri (Ibn Hazm t.t.: 235) berpendapat tiada ukuran minimum mahupun maksimum untuk menentukan nilai 'iwad atau pampasan yang perlu diberikan kepada pihak suami. Malah Ibn Hazm mengatakan bahawa isteri boleh menebus talak dengan semua hartanya. Selanjutnya Ibn Taimiyyah memberikan fatwanya bahawa 'iwad melalui pelepasan hutang atau hak adalah dibenarkan. Fatwa ini diberikan ketika beliau ditanya mengenai seorang isteri yang ingin menebus talak dengan melepaskan semua haknya, dan isteri akan menjaga anak tanpa meminta duit nafkah daripada suami (Ibn Taimiyyah t.t.: 232). Berdasarkan maksud dan konsep khuluk ini, mungkin kita sama-sama dapat melihat bahawa perceraian secara bersama dengan syarat-syarat tertentu, mempunyai persamaan dengan perceraian secara tebus talak. Ini kerana kedua-duanya memberi manfaat kepada pihak suami. Manfaat tebus talak lebih dalam bentuk pemberian pampasan atau ganti rugi ('iwad) kepada suami. Manakala manfaat daripada perceraian secara bersama dengan bersyarat, sekurang-kurangnya memberikan kos lepas kepada pihak suami dengan tidak
170
menunaikan hak-hak isteri yang telah diceraikan setakat mana hak-hak itu dilepaskan. Walau bagaimanapun, ia boleh melibatkan kerugian yang besar jumlahnya. Selain ia melibatkan 'iwad atau manfaat kepada pihak suami, kedua-dua pihak sama-sama bersepakat mahu menamatkan akad pernikahan. Isteri juga dimestikan untuk bersetuju dengan syarat yang ditentukan oleh pihak suami, yang pada tebus talak ia bersangkutan dengan penentuan jumlah pampasan, manakala bagi perceraian secara persetujuan bersama bersyarat pula ialah syarat-syarat yang sebenarnya boleh dikira menurut nilai wang semasa. Persamaan lain yang boleh dilihat pada kedua-duanya ialah isteri terikat dengan keputusannya untuk bersetuju kepada penentuan yang dibuat oleh pihak suami. Pada khuluk, isteri terikat dengan perlu membayar 'iwad kepada pihak suami, manakala perceraian secara persetujuan bersama dengan bersyarat ialah isteri harus akur bahawa ia telahpun terhalang daripada hak-hak yang dimiliki kerana telah bersetuju untuk menggugurkannya. Kedua-duanya sama-sama melibatkan kepentingan si isteri terhadap pemilikan harta iaitu kedua-duanya mengurangi kadar harta yang pada asalnya menjadi milik atau haknya. Yang membezakannya adalah dari sudut lafaz. Dari sudut bilangan talak pula terdapat perbezaan dalam kalangan ulama sama ada ia mengurangkan bilangan talak ataupun jumlahnya masih kekal (Ibn Rushd 1994: Jil. 3, 135). Walau bagaimanapun, di sebalik persamaaan yang terdapat pada kedua-duanya, adalah amat penting untuk kita memerhatikan kriteria-kriteria lain yang ada pada tebus talak, juga tujuan khuluk diperuntukkan dengan bentuknya yang jelas. Dalam hal ini, sekalipun Syariah tidak menetapkan kadar minimum atau maksimum bagi nilai tebusan ini, ia bukan dalam semua keadaan bahawa pihak suami boleh membuat tuntutan dan seterusnya mengambil 'iwad tersebut. Jika suami melakukan kemudaratan terhadap isteri, atau menyulitkan keadaan isteri sehingga menyebabkan isteri terpaksa meminta cerai melalui khuluk, maka suami tidak berhak mengambil 'iwad berkenaan (Ibn Hazm t.t.: 236, Ibn Qudamah t.t., 7: 51 & Mawsu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 1990, 19: 242). Mereka berhujah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 19 yang mafhumnya berbunyi: "Dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." Dari sudut logik akal dan kemanusiaannya, perbuatan menentukan kadar penebusan secara yang membebankan isteri tentulah bersifat zalim dan menganiaya. Imam Malik tidak meletakkannya sebagai haram tetapi menurut beliau, ia berlawanan dengan makarim alakhlak, iaitu kemuliaan akhlak seseorang. Malah ada yang menisbahkan pendapat Imam Malik ini kepada pandangan jumhur. Apa yang penulis dapat rumuskan apabila melihat kepada pensyariatan khuluk dan pandangan-pandangan ulama mengenainya ialah, Syariah amat mementingkan keadilan 171
apabila berlaku sebarang pertikaian sesama manusia, yang dalam konteks perbincangan ini merupakan pertikaian suami isteri. Hukum-hakam dan pandangan-pandangan yang diutarakan oleh ulama adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan sesama manusia. Malah khuluk adalah pengimbang kepada perceraian secara talak yang dimiliki suami (Ibn Rushd: 2, 41). Tidak adanya ukuran maksimum bagi pembayaran 'iwad ataupun pampasan adalah kebebasan yang diberikan kepada pihak isteri untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan. Walaupun dalam kes Jamilah bintu Abdullah lawan Thabit bin Qais, Jamilah ingin menawarkan lebih daripada apa yang pernah diberikan oleh Thabit sebagai mahar perkahwinan mereka, dan hasrat itu kemudiannya ditolak oleh Nabi SAW dengan mengatakan bahawa, "Tambahan itu tidak perlu, memadai kebunnya sahaja...", tetapi ia harus berlangsung tanpa adanya keadaan yang memudaratkan isteri dalam perkahwinan berkenaan. Ia hadis yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni dengan isnad yang sahih (alDaruqutni 2001: Jil. 3, 249). Persoalannya di sini, jika tebus talak ataupun khuluk telah diperuntukkan secara kemas bagi menyelesaikan pertikaian suami isteri, dalam keadaan pihak-pihak (juga menurut pertimbangan mahkamah) berasakan suami layak untuk mendapat ganti rugi dengan perpisahan yang berlaku, mengapa perlu dibenarkan perceraian secara persetujuan bersama tetapi di sebaliknya mengandungi persetujuan yang memberikan manfaat yang amat menguntungkan pihak suami tetapi berat sebelah. Dalam hal ini manfaat yang diterima oleh suami tentulah amat signifikan jumlah atau nilainya, walaupun ia dalam bentuk kos lepas. Dalam isu khuluk pun, Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih daripada Ali bahawa dinyatakan, "Suami tidak boleh mengambil daripada isterinya melebihi pemberian yang pernah diberikan kepada si isteri." Pendapat yang serupa juga diriwayatkan daripada Thawus, Atha' dan az-Zuhri (Ibn Abi Syaibah 2006: Jil. 10, 53-55). Ini merupakan pendapat Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya iaitu Ahmad serta Ishaq. Selanjutnya, telah diriwayatkan daripada Maimun bin Mahran, beliau berkata "Barangsiapa yang mengambil melebihi apa yang pernah diberikannya dahulu, bererti ia tidak menceraikan dengan cara yang baik" (Ibn Abi Syaibah 2006: Jil. 10, 53-55). Bahkan, Sa'id bin al-Musayyab berkata, "Aku tidak menyukai suami mengambil semua yang pernah diberikannya, hendaklah ia meninggalkan sedikit untuk isterinya." Malah ada ketikanya isteri terpaksa menggugurkan mutaah sedangkan sebahagian daripada tujuan mutaah adalah bagi meringankan beban isteri, merawat kesedihan yang berlaku dan modal baginya untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Dalam kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi, Kadi Besar menjelaskan: "Mutaah adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri sebab 'isar (ketidakmampuan) suami atau aib yang ada padanya. Ia bukan diwajibkan kerana kehilangan kasih sahaja kerana itu mutaah juga diwajibkan dalam keadaan di mana isteri menebus taklik dari suaminya.
172
Mutaah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang tercerai akan merasa malu dan mungkin pula menerima prasangka buruk dari masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya maka itulah mutaah diwajibkan ke atas suami" (Jurnal Hukum 11: 68-69). Itu belum lagi bagi kes-kes dengan pihak isteri perlu akur dengan syarat yang melibatkan kepentingannya terhadap hartanya sendiri seperti hutang-piutang suami isteri seperti dalam kes Shamsiah lawan Zainul dan harta sepencarian. Dalam dunia Syariah, pensyariatan satu-satu perkara itu tentulah mengandungi hikmah dan tujuan tertentu. Hanya manusia yang kurang berakhlak yang akan memanipulasi kesempatan dan ruang yang ada supaya keputusan itu memihak dan kena dengan kepentingan mereka walaupun ia tidak adil untuk pihak lain. Hampir kesemua kes contoh yang disorot dan ditinjau memperlihatkan pihak suami meletakkan syarat supaya nafkah idah digugurkan sebelum talak dilafazkan kecuali dalam kes Zulina lawan Syed Fazli. Sedangkan dalam kaedah khuluk yang telah diperuntukkan, pihak isteri adalah pihak yang dengan sukarela menawarkan kepentingan materialnya untuk digugurkan, bagi membebaskan dirinya daripada perkahwinan. Walaupun kepentingan materialnya itu mempunyai nilai yang sama dengan nilai nafkah idah yang layak diterimanya jika diceraikan secara lafaz talak. NAFKAH IDAH Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, hukum bagi pihak suami untuk menyediakan nafkah bagi perceraian yang berlaku secara talak raj'ie termasuklah makan pakai dan tempat tinggal selama dalam tempoh idah adalah wajib, dan ia disepakati oleh ulama. Malah suami ditegah daripada mengeluarkan isteri daripada rumah yang disediakan dalam tempoh berkenaan. Dalam ayat pertama Surah at-Talaaq, Allah SWT berfirman yang antaranya bermaksud: "...Janganlah kamu mengeluarkan dari rumah-rumah kediaman mereka (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Itulah hukum-hakam Allah (maka janganlah kamu melanggarinya). Sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia telah menzalimi diri sendiri..." Al-Maraghi mentafsirkan "...Itulah hukum-hakam Allah (maka janganlah kamu melanggarinya...", sebagai merujuk kepada urusan-urusan yang berkaitan dengan cerai, idah, perhitungan idah dan perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT serta perintah supaya isteri yang dicerai tidak dikeluarkan daripada rumah berkenaan, dengan pengecualian jika isteri terbabit melakukan perlanggaran dengan melakukan perkaraperkara keji dan dilakukan secara terang-terangan (Al-Maraghi 2001, Jil. 14: 7064). Beliau seterusnya mentafsirkan "...Sesiapa yang melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia telah menzalimi diri sendiri ...", bahawa Allah SWT menghukumkan golongan ini sebagai zalim terhadap dirinya sendiri, dan membahayakan dirinya sendiri tanpa dia menyedarinya. Ini kerana ia tidak akan tahu kesudahan daripada perbuatannya.
173
Sedangkan Allah SWT amat berkuasa untuk mendetikkan hati manusia selepas perlanggaran itu, dan mendorongkannya ke arah situasi yang bertentangan. IMPLIKASI PERSETUJUAN MENURUT KEPUTUSAN KES Dalam kes Babji Babjan lawan Zainab Mohd Salleh, plaintif dalam kes ini memfailkan permohonan untuk mengubah Perintah/ Perjanjian Persetujuan yang dirakam sebelum itu di Majlis Sulh dan direkodkan mahkamah. Permohonan itu adalah terhadap perintah mengenai nafkah anak, hak jagaan dan mutaah. Defendan membuat bantahan awal memohon agar pihak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membatalkan permohonan-permohonan berkenaan (plaintif). Diputuskan oleh mahkamah bahawa permohonan untuk mengubah perintah mengenai nafkah anak dan hak jagaan anak boleh diteruskan berdasarkan Seksyen 76 Akta Undangundang Keluarga Islam 1984. Manakala bantahan awal terhadap pemfailan permohonan untuk meminda perintah persetujuan mengenai bayaran mutaah sebanyak RM50,000.00 kepada RM20,000.00 adalah dibenarkan. Maka jumlah mutaah yang perlu dibayar adalah kekal sebanyak RM50,000.00. Alasan Mahkamah adalah merujuk kepada Arahan Amalan No. 5 tahun 2006; No. 11 tahun 2005 dan No. 15 tahun 2006. YA Hakim dalam kes itu berkata: "Arahan Amalan No, 5 tahun 2006 ini dijadikan sandaran, iaitu menyatakan berkaitan Kesan Perjanjian Sulh: kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut. Tafsiran bagi maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ dalam Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini juga perlu diperjelaskan, iaitu mahkamah berpendapat bahawa kesan suatu perjanjian secara sulh bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu sahaja, malah turut bermaksud bahawa tidak boleh dibuat pindaan tanpa persetujuan pihak yang satu lagi dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapai persetujuan bersama antara pihak-pihak. ... Berdasarkan pemakaian Arahan Amalan No. 5 tahun 2006 ini, ... setiap perjanjian sulh yang dimaksudkan dalam Arahan Amalan juga membawa maksud perjanjian bersama. Kedua-dua terma ini perlu dibaca bersama dan dengan itu mana-mana perkara berkenaan persetujuan bersama turut disebut ‘dan/atau sulh’. Contoh yang Mahkamah berikan ialah Arahan Amalan No. 11 tahun 2005 iaitu: Mahkamah Rendah Syariah hendaklah merekodkan apa-apa terma Persetujuan Bersama dan/atau Sulh tetapi tidak boleh mengendorskan dalam kes-kes yang mana bidang kuasanya adalah termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Begitu juga dengan Arahan Amalan No. 15 tahun 2006: Perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yang belum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah iddah dan mut’ah dan hak anak iaitu hadhanah dan nafkah anak." 174
Melalui kes ini dan Arahan Amalan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa hak-hak tertentu isteri walaupun telah menjadi sebahagian daripada persetujuan suami isteri sebelum perceraian, tidak mengikat isteri disebabkan ia berlaku sebelum talak dilafazkan. Seperkara lagi jika di peringkat Mahkamah Rendah Syariah pihak-pihak bersetuju agar isteri menggugurkan haknya dalam harta sepencarian, ia tidak boleh dikuatkuasakan kerana harta sepencarian tidak berada dalam bidang kuasa Mahkamah Rendah. Begitu juga yang berlaku dalam kes Rahima Binti Baba V Abu Hanifah Bin Bachik, dalam aspek nikah idah dan mutaah. Mahkamah Kadi meluluskan permohonan perceraian itu dengan menambah bahawa atas persetujuan bersama Mahkamah Kadi meluluskan syaratsyarat yang diberikan suami terhadap isteri dan penerimaannya diterima isteri. Antara syarat-syarat yang ditetapkan atau dipersetujui itu adalah suami akan menceraikan isteri dengan syarat suami tidak akan membayar nafkah iddah, mutaah dan sebagainya. Selepas perceraian itu plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah. Mahkamah telah menolak tuntutan itu kerana plaintif telah menggugurkan haknya ke atas tuntutan itu sebagai syarat perceraian. Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan Syariah Selangor mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menyatakan hal harta sepencarian dengan merujuk kepada kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Dr. Wahbah Zuhaili berkenaan syarat pelepasan (ibra'). Dalam rujukan mereka, perkara yang hendak diibra'kan adalah berupa hak dan bukan barang; dan perkara yang hendak diibrakkan itu hendaklah wujud ketika ibra' dilakukan. Tiada syarat perkara yang hendak diibrakkan itu diketahui atau maklum kadar dan sifatnya. Menurut mereka, "...Setelah kami meneliti kami dapati hak Pemohon pada waktu itu adalah hak yang sah untuk diibrakkan. ... Dalam hal ini kami dapati bahawa harta-harta yang menjadi tuntutan Perayu adalah selari dengan definisi harta sepencarian menurut seksyen 2 diatas.". Keputusan rayuan bagi nafkah idah dan mutaah pula tidak sah diibra'kan kerana hak-hak ini masih belum wujud sehinggalah jatuh talak. Oleh yang demikian hak-hak ini masih boleh dituntut oleh Perayu jika ingin berbuat demikian. Sementara dalam kes Joriah binti Doralim lawan Ibrahim bin Mamat pula, pemohon menuntut bayaran nafkah idah dan juga mutaah sebanyak RM5,000.00. Mahkamah Tinggi Syariah Melaka memutuskan bahawa tuntutan mutaah ditolak kerana dalam catatan Sijil Daftar Cerai ada tertulis "tidak menuntut", yang boleh ditafsirkan bahawa plaintif bersetuju untuk tidak menuntut. Menurut Y.A.A., persoalan dalam kes ini adalah, sama ada hak nafkah itu sudah terlupus kerana catatan "tidak menuntut" seperti mana yang tercatat dalam sijil daftar cerai sebagai persetujuan ataupun sebaliknya. Seterusnya, mahkamah tidak teragak-agak, pembelaan berikut ialah res judicata, jika tidak dibuktikan catatan "tidak menuntut", membawa erti "bukan tidak mahu menuntut". Melihat kepada keputusan-keputusan yang dibuat terhadap kes-kes ini, menunjukkan bahawa keputusan yang diambil oleh mahkamah turut mengambil kira aspek teknikal dan posedur seperti isu yang berlaku dalam kes Joriah. 175
Penulis turut beranggapan bahawa Arahan Amalan belum lagi berkuat kuasa pada ketika kes Rahima diputuskan di peringkat rayuan berkaitan hal harta sepencarian. Ini kerana persetujuan plaintif untuk menggugurkan hak-haknya adalah ketika berada di peringkat Mahkamah Kadi. Sedangkan Arahan Amalan No. 11 Tahun 2005 menyebut: Mahkamah Rendah Syariah hendaklah merekodkan apa-apa terma Persetujuan Bersama dan/atau Sulh tetapi tidak boleh mengendorskan dalam kes-kes yang mana bidang kuasanya adalah termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. KESIMPULAN Antara perkara yang dapat dirumuskan dalam perbincangan ini ialah penulis berpandangan bahawa perceraian secara persetujuan bersama tetapi mengandungi syarat-syarat tertentu yang perlu diakuri, dan kemudiannya menjadi perintah mahkamah sebenarnya adalah manipulasi terhadap ruang yang terdapat dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Seolah-olahnya mengambil kesempatan terhadap keadaan pihak isteri yang telah terdesak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan. Ia adalah helah untuk memperlihatkan kepada umum bahawa perceraian yang berlaku adalah dengan lafaz talak, dan mengelakkan diri daripada kaedah khuluk ataupun tebus talak. Sedangkan, dengan persamaan ciri-ciri yang ada antara kedua-duanya, tebus talak lebih bersifat telus. Malah, apabila digali secara mendalam berkaitan panduan, nasihat dan hikmah tebus talak yang dijelaskan oleh ulama, kaedah ini ternyata lebih berakhlak dan lebih "gentleman" (sifat yang lebih budiman untuk suami). Dengan hikmahnya untuk mengelakkan daripada berlakunya ketidakadilan kepada pihak-pihak yang terlibat, maka penulis mencadangkan supaya pihak mahkamah melakukan inisiatif tertentu agar perceraian yang berlaku lebih bersifat telus. Jika dalam permohonan poligami mahkamah boleh menolak permohonan jika mendapati kedudukan kewangan pemohon tidak kukuh, dengan tujuan menjaga maslahah semua pihak yang terlibat dan bakal terlibat (bakal isteri yang hendak dikahwini), maka inisitiaf yang seumpama ini juga sebenarnya boleh diusahakan. Dalam konteks khuluk jika satu-satu jumlah 'iwad yang perlu diadakan dan diberi oleh pihak isteri dalam keadaan suami melakukan kemudaratan kepada pihak isteri, atau menyukarkan keadaan isteri sehingga ia terdesak untuk meminta cerai melalui tebus talak, implikasinya suami tidak berhak untuk menerima 'iwad berkenaan. Begitu juga jika jumlah itu adalah sesuatu yang membebankan kepada isteri, itu juga tidak dianjurkan oleh Islam dan bertentangan dengan akhlak Muslim. Maka konsep yang sama juga seharusnya terpakai supaya maqasid al-Syariah itu sentiasa dapat dipelihara dan terlangsung. Al-Ghazali berkata: "Maqasid al-Syariah bertujuan untuk menjaga lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka, sesuatu yang berperanan menjaga lima perkara ini dikira sebagai maslahah, dan sesuatu yang merosakkan lima perkara ini dikira sebagai mafsadah, dan menolaknya adalah maslahah." (Al-Ghazali 1937: 287)
176
Dalam hal ini, mahkamah boleh mempertimbangkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak isteri supaya ia adalah jumlah yang memang mampu untuk ditanggung. Tujuannya adalah bagi menjaga maslahah harta isteri yang menjadi sebahagian daripada maqasid al-Syariah. Demi kelangsungan kehidupan isteri selepas berlakunya perceraian. Penulis seterusnya mencadangkan supaya di peringkat awal lagi, iaitu di peringkat suami isteri mula-mula merujuk pertikaian mereka, supaya pihak mahkamah memberikan perhatian kepada isu ini. Elemen inquisitorial umpamanya, boleh digunakan untuk mendorong pihak-pihak supaya mengambil kaedah yang lebih telus. Walaupun dengan Arahan Amalan yang diguna pakai, hak-hak berkenaan boleh dibicarakan di peringkat yang lebih tinggi. Ini tentunya lebih ekonomik dari sudut tenaga dan masa. BIBLIOGRAFI Al-Quran Buku Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam Di Malaysia. Malayan Law Journal Sdn. Bhd. Ahmad Mustafa Al-Maraghiy & Muhammad Thalib. 2001. Tafsir Al-Maraghiy, Jilid 3, Juzuk 5 & 6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah Md. Supi. Manual Undang-undang Keluarga Islam. Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Abdul Hamid Kisyik. 1995. Bimbingan Islam Untuk Mencapai Keluarga Sakinah. AlBayan. Al-Bahuti & Mansur bin Yunus bin Idris. 1955. Al-Rawd al-Murabba‘ Sharh Zad alMustaqna’. Kaherah: Matba‘ah al-Sunnah al-Nabawiyyah. Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad. Al-Mustasfa. 1937. Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi. Al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 2001. ed. Muhammad Thalib. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Al-Ramli & Shams al-Din Muhammad bin Abu al-‘Abbas. 1967. Nihayah al-Muhtaj Sharh al-Minhaj Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi. Hassan Salleh. 1989. Asas Kekeluargaan Islam, Bahasan Empat Mazhab: Syafi’i, Hanafi, Maliki Dan Hanbali. Dewan Bahasa dan Pustaka. Ibn al-Hammam, Kamal al-Din bin ‘Abd al-Wahid. 1970. Fath al-Qadir Sharh al-Hidayah. Kaherah: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi. Ibn Abi Syaibah, 'Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah. 2006. Al-Musannaf, ed. Muhammad 'Awwamah. Jeddah dan Damsyiq: Dar al-Qiblah li al-Thaqafah alIslamiyyah dan Mu'assasah 'Ulum al-Qur'an. Cetakan Pertama.
177
Ibn Hazm & Abu Muhammad ‘Ali bin Ahmad bin Sa‘id. Al-Muhalla. Beirut: Al-Maktab al-Tijari li al-Nashr wa al-Tawzi'. Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait: Tiba‘ah Dhat a-Salasil. Ibn Qudamah, ‘Abdullah bin Ahmad. 1990. Al-Mughni. Riyad: Maktabah al-Riyad alHadithah. Ibn Rushd, Muhammad bin Ahmad bin Muhammad. 1994. Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid. ed. Muhammad Subhi Hassan Hallaq. Kaherah & Riyadh: Maktabah Ibn Taimiyyah dan Maktabah al-'Ilm. Cetakan Pertama. Ibn Taimiyyah, Taqiy al-Din Ahmad al-Harani, ed. Sayyid Husin al-‘Affani & Khairi Sa‘id. Majmu‘ah al-Fatawa. Kaherah: Al-Maktabah al-Taufiqiyyah. Kamus Dewan. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka. Edisi Keempat. Mustafa Hj. Daud. 1991. Perkahwinan Menurut Islam. Utusan Publications Distributors Sdn. Bhd. Hadis Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, Muhibb al-Din al-Khatib dan Qusay Muhib al-Din al-Khatib. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath, 1986, 9:307. Al-Daruqutni, 'Ali bin 'Umar. 2001. Sunan al-Daruqutni, ed. 'Ali Muhammad Mu'awwad dan 'Adil Ahmad 'Abd al-Mawjud. Beirut: Dar al-Ma'rifah. Cetakan Pertama. Kes Babji Babjan v Zainab Mohd Salleh 29 [2009] 2 Jh 175. Joriah Binti Doralim v Ibrahim Bin Mamat 14 [2001] 1 Jh 89. Joan Mary Sulaiman @ Joannah Mariam v Sulaiman Bin Haji Musa 27 [2009] 2 Jh 213. Rahima Binti Baba v Abu Hanifah Bin Bachik 19 [2005] 1 Jh 171
Kes Yang Tidak Direkodkan Ainon binti Ismail v Harun bin Chik (Kuala Terengganu, No. Kes: 11005-014-0139-2014) Salmah bt Uda Mat Esa v Abdul Marat bin Ahmad (Perak, No. Kes: 08100-014-0015-2013) Siti Mariam bt Shaari v Khairil Nizam bin Nordin (Perak, No. Kes: 08600-014-0089-2013) Shamsiah v Zainul (Selangor, No. Kes: 10002-055-0782-2008) Zulina binti Badiulzaman v Syed Mohd Fazli bin Syed Mohd Arip (Perak, No. Kes: 08100-0140027-2013) Laman Web 178
Dewan Bahasa dan Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=persefahaman.
179