IMAN DAN HARAKAH Ringkasan daripada iman dan harakah –Hisyam Soqr (Terjemahan Ustaz Mohd Asri Hashim) Di antara perkara badihi (iaitu kewujudan dan penerimaan terhadapnya tidak memerlukan kepada sebarang dalil) dalam aqidah Islam ialah Allah SWT telah mengakhirkan semua syariat dengan turunnya syariat Islam. Dengan itu, menjadi perkara badihi juga bahawa syariat Islam ialah syariat yang akan kekal sehingga hari kiamat. Ia terpelihara disebabkan pemeliharaan yang dilakukan Allah. Pemeliharaan tersebut berlaku dengan pemeliharaan Al-Quran. Itulah kitab mukjizat yang tidak mempunyai sebarang kebatilan. Pemeliharaan juga berlaku dengan terpeliharanya sunnah Rasulullah yang merupakan penjelas dan penerang. Begitu juga dengan asas-asas yang menjadi tunggak kepada kebanyakan hukum syarak. “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberikan al-Kitab (al-Quran) dan seumpamanya” Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah Pemeliharaan tidak hanya mencukupi dengan terpeliharanya perkara tersebut. Ia tidak mencukupi sehinggalah ia dihayati oleh rijal dan sehingga ia berperanan di dalam realiti kehidupan manusia. Sebab itu pemeliharaannya merangkumi pemeliharaan terhadap contoh-contoh yang menghidupkan nas-nas syariat. Selepas itu, manusia akan hidup berdasarkannya. Sabda Rasulullah SAW: “akan sentiasa ada segolongan daripada umat ini yang melaksanakan arahan Allah. Orang yang tidak bersama mereka tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka sehinggalah Allah mendatangkan keputusan-Nya sedangkan mereka berada di dalam keadaan demikian.” Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah Selagi al-Kitab dan as-Sunnah terpelihara sehingga hari kiamat dan selagi contoh yang bercirikan alim, ‘amil dan daie terpelihara sehingga hari kiamat, maka tidak hairanlah jika nas-nas tersebut amat berhajat kepada golongan yang disebutkan oleh hadis di atas dalam setiap perkara yang memerlukan kepada beriltizam kepada agama dan berdakwah kepadanya. Di antara nas-nas yang menarik dan mengandungi banyak unsur pengajaran ialah ‘Hadis Sihir, Ghulam dan Rahib’. Ia bolehlah dianggap sebagai kisah dakwah atau sebagai hikayat Iman yang telah berlaku sekian lama. Haddab bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah daripada Sabit bin Abdur Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja; “Usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam (budak/ remaja) untuk aku ajarkan kepadanya ilmu sihir.” Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Di perjalanannya menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, dia akan dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib. Rahib menjawab; “ Apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah; Keluargaku menyebabkan aku pulang lewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah; Ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.” Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata; “Pada hari ini, aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal.” Maka dia
1
mengambil seketul batu lalu berdoa; “Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu-lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang. Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, “Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. Kamu akan diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku.” Ghulam tersebut mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit buta sejak lahir, sopak dan dia juga mengubati berbagai lagi penyakit. Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; “Semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepadaNya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya; “wahai Fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Beliau menjawab; “Tuhanku.” Raja bertanya lagi; “Apakah kamu mempunyai tuhan selainku.” Beliau menjawab; “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa menghadap. Raja berkata kepadanya; “Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai lagi yang kamu lakukan.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka dia pun diseksa. Dia terus menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai ke kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut. Ghulam pun berdoa; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang telah dilakukan oleh kawankawan kamu?” ghulam pun menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak,campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa; ; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang dilakukan oleh kawankawan kamu?” dia menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Kemudian dia berkata kepada raja; “Sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja berkata; “Apakah dia?” ghulam menjawab; “Kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan
1
lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” dan panahlah aku. Sekiranya kamu melakukan sedemikian, kamu boleh membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang, menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya. Selepas itu raja berkata; “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya. Anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata; “Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam.” Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya; “Apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman.” Lalu raja memerintahkan supaya digali parit dan dinyalakan api. Raja berkata; “Sesiapa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehingga datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata; “Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.” Sahih Imam Muslim. Firman Allah; “Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. (Parit) api yang dipenuhi bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Dan mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha terpuji.” (Al-Burujj : 4-8)
HURAIAN HADIS “Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir.” 1)
Nabi SAW tidak menyebut masa, tempat dan nama peribadi yang terlibat dalam kisah ini. Ini supaya yang tinggal hanyalah pengertian (ma’ani) hadis dan hadis kekal dalam keumumannya; tidak dikaitkan dengan masa dan tempat. Dan supaya pengalaman dakwah yang dapat dicungkilkan daripada kisah dapat dimanfaatkan oleh semua masyarakat sehingga berlakunya kiamat.
2)
Nabi SAW telah menghubungkan pengalaman ini dengan realiti dakwah dan jamaah di zaman baginda melalui sabdanya “sebelum kamu” . Ini seolah-olah Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat dan muslimin selepas mereka; “ini adalah kisah saudara kamu di sisi Allah di zaman dulu. Inilah pengalaman mereka menghadapi kebatilan. Belajar dan ambillah pengajaran yang terdapat di dalamnya.”
3)
Nabi SAW menjelaskan dalam hadis di atas bahawa sistem pemerintahan dalam masyarakat tersebut adalah sistem yang rosak. Ini disebabkan ia dibina di atas hawa nafsu dan kezaliman. Di sana terdapat raja yang menegakkan kerajaannya di atas asas sihir, tukang nujum dan paksaan. Kerajaan yang tertegak di atas asas-asas tersebut tidak akan berjaya selama-lamanya di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya semua sistem pemerintahan yang tidak dibina berdasarkan syariat langit dan hukum Allah, maka ia semestinya akan terbina berdasarkan hawa nafsu
1
dan kezaliman sekalipun bentuknya adalah berbagai-bagai, sekalipun dilakukan dalam bentuk undang-undang dan teori-teori yang menipu. Perkara ini berlaku pada zaman moden ini di semua negara (Islam atau pun bukan Islam). Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja; “Usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam (budak/ remaja) untuk aku ajarkan kepadanya ilmu sihir.” Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. 1)
Hadis di atas menampakkan keprihatinan ahli sihir dan kebimbangannya daripada hilangnya ilmu sihir dan kedudukannya di dalam sistem pemerintahan. Oleh itu dia mengingatkan usianya yang lanjut kepada raja dan meminta seorang ghulam untuk dia mengajar ilmunya itu supaya risalah sihirnya berpanjangan dan penguasaannya terhadap negara berterusan. Ia tidak akan berkubur dengan matinya ahli sihir.
2)
Ahli sihir telah meminta ghulam yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu mempunyai kemampuan untuk memahami, cerdik, bijak dan bersedia untuk menerima ilmu dan pengajaran. Ini kerana setiap tugas dan pekerjaan terdapat mereka yang layak memikulnya. Semakin besar tugas, susah dan penting, maka ciri-ciri yang sesuai dengannya adalah lebih tinggi mendalam dan kuat.
3)
Raja telah memperkenankan permintaan ahli sihir. Dia telah memilih seorang ghulam yang sesuai dan menghantarnya kepada ahli sihir supaya dia belajar daripadanya.
Pengajaran di sudut dakwah 1)
Ahli batil banyak berkorban dan mencurahkan tenaga mereka untuk menjayakan kebatilan mereka. Golongan sosialis berusaha menyebarkan akidah mereka yang sesat. Mereka berkorban, dipenjara dan berjuang kerananya. Golongan Kristian pula sanggup menjelajahi hutan belantara dan kawasan padang sahara demi mengajak manusia kepada akidah mereka yang batil dan menyeleweng. Negara-negara Kristian membelanjakan harta dan jiwa untuk menjaga dan menyebarkan agama mereka. Golongan Yahudi pula bekerja siang dan malam, bergerak di seluruh dunia untuk menguasai dunia secara terang-terangan tanpa segan-silu lagi. Di manakah muslimin dalam hal ini? Sedangkan merekalah pembawa obar-obar kebenaran yang jelas dan al-Quran yang mulia.
Apakah mereka terdiri daripada pemerintah yang zalim dan fasik, kafir yang keluar dari agama, ataupun mereka adalah pemaksiat yang bergelumang dengan dosa dan noda, dan orang-orang jahil pendokong dajal dan khurafat. Mereka adalah majoriti dan pembawa kebenaran adalah minoriti. Sebahagian mereka pula hanya bersembahyang dan berpuasa. Selepas itu, mereka tidak pedulikan apa yang berlaku. Yang lain pula hanya sibuk bercakap tanpa beramal. Golongan daie pula sedikit, tapi malangnya mereka sibuk bercakaran sesama sendiri. Sepatutnya mereka memusatkan tenaga menghadapi kebatilan yang mengepung dan memerangi mereka. Mereka hendaklah meneliti kembali hati-hati mereka, nasib mereka, realiti kehidupan mereka dan mereka hendaklah cepat-cepat kembali kepada Allah sebagai seorang pekerja, pejuang dan hanya menjadikan Allah sebagai tujuannya dengan mengenepikan semua selainnya. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta kamu berjihad pada jalan Allah dengan
1
harta benda kamu dan diri-diri kamu. Itulah yang lebih baik kepada kamu, sekiranya kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn’. Itulah keuntungan yang besar. Dan yang lain kamu sukai (ialah) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira ini kepada orang-orang mukmin. Wahai orang-orang beriman, jadilah kamu penolongpenolong (agama) Allah sepertimana Nabi Isa Ibni Maryam berkata kepada pengikut-pengikutnya: “Siapakah yang menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?”, penolong-penolongnya menjawab: “Kamilah penolong-penolong (agama) Allah”, maka berimanlah segolongan dari Bani Israel dan segolongan lagi kufur. Maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang beriman ke atas musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. (As-Saf : 10-14) 2)
Peranan generasi baru dan pemuda dalam membawa sebarang bentuk dakwah dan ideologi adalah terlalu besar bahkan merekalah sebagai tiang seri dan bekalannya. Oleh itu, prihatin terhadap mereka, mendidik dan menyediakan mereka untuk membawa risalah dakwah dan jihad adalah tidak boleh diabaikan. Ahli sihir (contoh ahli batil) memahami pengertian ini. Dia tidak meminta daripada raja seorang yang telah berusia dan tua tetapi yang dipinta adalah seorang ghulam. Ini disebabkan pemuda dan generasi baru mempunyai kemampuan untuk menerima, belajar, diberi tunjuk ajar dan tarbiah. Juga kerana mereka mudah untuk mengubah tradisi dan adat serta kefahaman mereka. Begitu juga kerana kemampuan yang tinggi dan kekuatan semangat sebagai penolak untuk bergerak yang mereka miliki. Keruntuhan sesebuah bangsa atau masyarakat adalah berpunca dari runtuhnya akidah dan rosaknya pemuda mereka. Ustaz Hassan al-Banna telah berkata; “Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keyakinan kepadanya kuat, keikhlasan dalam membawanya sempurna, semangat dalam memperjuangkannya meningkat dan adanya kesediaan untuk berkorban dan bekerja demi merealisasikannya. Keempat-empat rukun ini iaitu keyakinan, keikhlasan, semangat dan bekerja hampir-hampir menjadi ciri-ciri pemuda. Ini kerana asas keyakinan ialah akal yang cepat memahami, asas ikhlas ialah hati yang bersih, asas semangat ialah kuat kehendak, asas bekerja ialah muda keazaman. Kesemua ini tidak dimiliki kecuali pemuda.”
“Di perjalanannya menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya.” Mereka yang memerhati petikan ini akan menimbulkan persoalan di mindanya; “Bagaimanakah hubungan antara ghulam dan rahib mula terjalin?” untuk menjawabnya, di sana ada beberapa kemungkinan, 1. Ghulam, ketika dalam perjalanannya memerlukan sesuatu atau berhajatkan pertolongan seperti minuman, makanan, tempat berehat dan berteduh dan sebagainya. Maka dia mendapati rumah rahib atau ada orang yang menunjukkan kepadanya. Dengan itu rahib pun memberikan pertolongan yang diperlukan dan melayannya dengan baik serta melakukan perbincangan dengannya. Maka ghulam berasa senang hati terhadap rahib tersebut. Jiwanya mula tertarik kepada rahib itu dan dia mula menghadiri majlis rahib dan mendengar pengajarannya. 2. Rahib memerhatikan ghulam yang setiap hari melalui jalan yang berhampiran dengan rumahnya. Kemungkinan dia bertanya kepada orang ramai mengenai ghulam tersebut, keadaannya dan keluarganya. Dengan itu dia merancang untuk berkenalan dan mengikuti perkembangannya. Suatu
1
ketika datanglah peluang yang dinantikan. Maka rahib menggunakan peluang tersebut untuk melayannya dengan baik, berbual dan berbincang dengannya sehinggalah ghulam merasa senang hati dengan rahib. Dengan itu, ghulam pun sentiasa menemuinya dan mendengar pengajarannya. 3. Ghulam telah mendengar beberapa syubhat (kekeliruan) atau tohmahan yang disebarkan oleh orang ramai terhadap rahib yang sedang beribadat itu. Ataupun mereka memberi amaran kepadanya supaya tidak berjumpa dengan rahib disebabkan dia sentiasa melalui jalan yang berdekatan dengan rumah rahib. Oleh kerana perkara yang diceritakan adalah keterlaluan, maka ghulam dengan sengaja datang berjumpa rahib untuk mengetahui hakikat yang sebenar. Maka rahib berkenalan dengannya, melayannya dengan baik, bercakap dan berbincang dengannya sehingga dia merasa senang hati dengan rahib dan tertarik kepadanya. Pengajaran di sudut dakwah 1)
Daie wajib berlemah lembut dengan orang ramai. Kalau tidak dia akan bersikap kasar dan keras hati. Dengan itu, dia sendiri yang memusnahkan benih-benih penerimaan dan sokongan orang ramai. Natijahnya, daie akan tersisih daripada orang ramai sedangkan merekalah sasaran dakwah para daie. Dengan itu juga, daie telah menghalang dirinya daripada mendapat ganjaran yang besar bahkan apa yang diperolehi ialah dosa sekiranya orang ramai bertindak menentang dakwah.
2)
Daie wajib menggunakan peluang yang ada dengan baik dalam hubungannya dengan orang ramai. Ini bertujuan untuk membina hubungan dengan mereka dan mengeratkan serta mengukuhkannya. Daie hendaklah menggunakan peluang yang ada untuk kepentingan orang ramai dan kepentingan dakwah dengan cara mengajar mereka kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran serta memindahkan mereka daripada golongan pemaksiat kepada golongan mukminin yang sentiasa berusaha melakukan ketaatan dengan izin Allah, kelebihan dan taufikNya.
3)
Daie tidak sepatutnya merasa sempit dada ketika mendengar syubhat dan penipuan serta tohmahan yang dilontarkan kepadanya. Semua ini kadangkadang boleh menjadikan manusia tertarik dan memberi sokongan kepadanya apabila mengetahui hakikat yang sebenar dan akhlaknya. Ini juga akan membawa seseorang untuk meminta penjelasan terhadap hakikat yang sebenarnya.
“Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, dia akan dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib. Rahib menjawab; “ Apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah; Keluargaku menyebabkan aku pulang lewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah; Ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.”
1
1)
Mad’u hendaklah bersabar ketika menuntut ilmu, bersabar lantaran panjangnya tempoh tarbiah, bersungguh-sungguh dan sangup bersusahpayah, sentiasa mendampingi mereka yang sepatutnya didampingi sebagaimana yang dilakukan oleh ghulam terhadap rahib. Dia telah berjumpa rahib sebanyak dua kali sehari yang menyebabkan kelewatannya.
2)
Kita dapat perhatikan dalam petikan hadis ini bahawa beberapa kefahaman terhadap tarbiah telah tersebar luas dalam masyarakat (sekalipun mereka berada dalam kekufuran dan kesesatan). Ahli sihir memukul ghulam kerana kelewatannya dan tidak beriltizam dengan waktu yang ditentukan. Begitu juga dengan keluarga ghulam. Pada zaman ini juga, kita dapati terdapat
beberapa peraturan dan adab-adab umum di negara kafir. Mereka telah menghayatinya demi kebaikan masyarakat dan negara mereka. Sedangkan kita masih jauh daripada melaksanakannnya. Ini menyebabkan ramai yang terfitnah termasuklah anak-anak umat Islam. Menjadi kewajipan kepada semua muslimin (terutamanya golongan daie) mengambil berat semua aspek pentarbiahan akhlak dan tindak-tanduk. Mereka semestinya menganggap sebagai bahagian asasi dan salah satu rukun tarbiah. Begitu juga dalam pembinaan peribadi muslim. 3)
Pukulan yang diterima oleh ghulam adalah sebahagian daripada ujian dan cubaan. Mad’u semestinya sanggup mengorbankan waktu, tenaga dan harta demi mempelajari dakwah dan tarbiah berdasarkan kefahamannya yang betul. Setiap kali usaha yang dicurahkan lebih besar, maka hasilnya adalah lebih bermakna dan tarbiah adalah lebih mendalam.
4)
Daie yang bercirikan murabbi semestinya membezakan di antara aduan yang berbentuk meinta keuzuran dan meninggalkan tanggungjawab dan aduan yang benar-benar ingin menjaga dakwah dan melepasi halangan yang membantut usaha dakwah. Kedua-dua bentuk aduan ini tidak dapat dibezakan kecuali daie yang cerdik, berpengalaman dan berfirasat. Mutabaah yang bersungguh-sungguh disertai dengan pergaulan mesra dapat membantu daie dalam bertindak dan membuat keputusan.
5)
Sekalipun tekanan yang dihadapi ghulam hasil pukulan yang dikenakan oleh ahli sihir dan keluarganya disebabkan kelewatannya, dia masih lagi mampu menyembunyikan agama barunya yang benar dan hubungannya dengan rahib daripada pengetahuan orang ramai. Lidahnya tidak sesekali menuturkan perkara tersebut walaupun dengan satu perkataan, atau pun bertindakbalas secara tidak disedari yang menyebabkan terbongkar sebahagian atau semua yang berlaku. Ini merupakan bukti betapa mendalamnya tarbiah yang diberikan oleh rahib kepadanya dan baiknya penerimaan ghulam serta iltizamnya.
6)
Kita juga dapat perhatikan bahawa rahib tidak memberhentikan pertemuannya dengan ghulam, atau mengurangkannya kerana bimbangkan kesulitan. Sebaliknya beliau mencari jalan penyelesaian dalam bentuk lain yang tidak memberi kesan terhadap hubungan dakwah dan tarbiah yang sedia terjalin. Daie semestinya tidak merasa tertekan dan memandang remeh ketika menghadapi sebarang suasana terhadap pertemuan-pertemuan tarbiah atau mencuaikannya. Sebaliknya, daie semestinya menyelesaikan masalah tersebut tanpa menggadaikan amalan dan bekalan harian, bekalan pemikiran dan bekalan harakah untuk daie dan mad’u.
Pengajaran di sudut dakwah. 1)
Pertemuan di antara rahib dan ghulam berlaku dua kali sehari. Pertemuanpertemuan ini memberikan pengajaran kepada kita terhadap kepentingan tarbiah tertumpu dan intensif serta hubungan yang mesra untuk sampai kepada kualiti yang diingini. Ia juga memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya memahami suasana yang dihadapi oleh mad’u dan kesan terhadap mereka serta menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
2)
Hubungan di antara mad’u dan daie adalah berbentuk dua hala dan bukan hanya terbatas kepada urusan dakwah sahaja. Mad’u perlulah sentiasa diminta supaya menceritakan berkenaan diri dan masalah peribadinya lebihlebih lagi masalah dakwah kepada daie untuk dia mengetahui suasanasuasana yang dihadapi oleh mad’u dan mengemukakan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Ini juga dapat membantu diae untuk melakukan pergaulan sempurna dengannya dan menyempurnakan jalan tarbiah bersamanya.
1
3)
Daie sepatutnya hidup bersama-sama mad’u. Daie hendaklah merasakan bahawa mad’u adalah pintu yang besar untuk mendaptkan pahala dan dia adalah teman rapatnya dalam perjalanan menuju jihad di jalan Allah. Dengan itu, daie akan mentarbiah, memberi peringatan, menolong, menyelesaikan masalah peribadi dan dakwah mad’u sekadar yang termampu dilakukan. Imam Syahid Hasan al-Banna telah menyifatkan seorang mujahid dengan terperinci. Beliau berkata; “Saya menggambarkan seorang mujahid sebagai individu yang telah mempersiapkan bekalannya, telah mendapatkan kesedarannya dan apa yang tersemat di jiwa dan terbuku di hatinya menguasai dirinya. Oleh itu beliau adalah seorang yang sentiasa berfikir, tersangat mengambil berat, sentiasa bersedia, apabila dipanggil dia menjawab, apabila diseru dia menyahut. Pergi dan pulangnya, percakapan dan perbualannya, kesungguhan dan berguraunya tidak melebihi apa yang ditetapkan olehnya untuk dirinya sendiri. Kerjanya hanyalah menunaikan segala tanggungjawab yang dihalakan kepadanya segala kehidupan dan kehendaknya. Dia sentiasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Kamu dapat membaca melalui raut wajahnya, melihat melalui kilauan kedua matanya dan mendengar daripada tutur katanya kedukaan yang membara dan kepedihan yang tersembunyi di dalam hatinya, keazaman yang benar yang melimpah dari jiwanya dan semangat yang berkobar-kobar serta matlamat yang jauh.”
4)
Pengajaran lain ialah penyelesaian yang dianjurkan oleh rahib kepada ghulam iaitu yang berhubung dengan menolak kefasadan dan mendapatkan maslahah (manfaat). Rahib telah menyuruh ghulam berbohong kepada ahli sihir dan keluarganya untuk menyelamatkannya daripada kesakitan yang benar-benar dirasainya.
Imam Nawawi telah membuat komentar terhadap hadis ini dengan katanya; “Hadis ini mengandungi hukum harus berbohong ketika dalam peperangan dan seumpamanya dan ketika ingin menyelamatkan diri daripada binasa atau orang lain. Iaitu diri yang diharamkan daripada dibunuh.” Daripada Ummu Kalsum binti ‘Utbah katanya: Aku tidak mendengar Rasulullah memberi kebenaran untuk berbohong kecuali dalam peperangan, menyelesaikan perbalahan di antara manusia, perbualan suami dengan isterinya dan perbualan isteri dengan suaminya. Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Majmu’ Buhuth Fiqhiyah dalam kajiannya mengenai Dhorurah Dalam Syariat Islam di bawah tajuk “Harus berbohong dan bersumpah dusta kerana dhorurah.” Beliau berkata; Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya juga telah meriwayatkan daripada ahli fikah di kalangan tabie’n mengenai harusnya berbohong dan bersumpah dusta demi menyelamatkan nyawa dan harta pelakunya atau pun nyawa atau harta orang lain daripada tindakan si zalim dan seumpamanya. Riwayat-riwayat tersebut merupakan peninggalan fikah lama yang telah berjaya membongkar salah satu sudut yang penting daripada fikah Islam di dalam menghadapi realiti kehidupan. Ia juga menunjukkan bagaimana fikah Islam mengambil kira niat manusia dan kesudahan sesuatu perbuatan. Antara riwayat yang disebut dalam tafsir al-Qurtubi ialah apa yang telah dinyatakan oleh Hassan al-Basri (r.a) sebagai jawapan terhadap pertanyaan yang diajukan kepadanya. Hassan al-basri telah ditanya mengenai sultan zalim yang meminta seorang lelaki bersumpah atau dia menunjukkan tempat persembunyian orang yang dicari-carinya supaya dapat disiksa dengan zalim, atau pun tempat simpanan harta supaya dia dapat merampasnya dengan cara yang tidak sebenar? Beliau menjawab; “sekiranya dia
1
bimbang terhadap keselamatan diri atau hartanya, maka bersumpahlah dan sumpahnya itu tidak akan dikenakan kafarah.” Perkara yang semestinya diperingatkan ialah bahawa berbohong yang di luar daripada apa yang diharuskan oleh syarak adalah termasuk dalam dosa besar. Perkara penting juga bahawa para pemuda yang bekerja untuk Islam mestilah memahami bahawa perkara ini mempunyai garis sempadan yang telah ditentukan oleh syarak dan kita wajib berpandukan kepadanya. Kita janganlah melampauinya yang menyebabkan kita akan kehilangan banyak kebaikan. Kita juga janganlah mencuai dan bermudah-mudah dengannya yang akan menyebabkan perjalanan kita menuju kepada keredhaan Allah akan tergendala. Kedua-dua ini adalah dimurkai oleh Allah SWT. Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata; “Pada hari ini, aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal.” Maka dia mengambil seketul batu lalu berdoa; “Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu-lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang. 1)
Ketika hubungan di antara ghulam dan rahib berterusan dan mendalam, tiba-tiba berlaku menghalang perjalanan orang ramai. Peristiwa penting dan mengakibatkan perpindahan besar serta peranan ghulam.
berjalan dengan teratur, peristiwa binatang yang yang menjadi persoalan dalam marhalah dakwah
Perhatikanlah kata-kata ghulam “Pada hari ini, aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal.” Adakah kata-kata ini memberi makna bahawa ghulam masih lagi ragu-ragu dalam keyakinannya terhadap kebenaran ajaran rahib dan kebaitlan pegangan ahli sihir? Atau ia bermakna meminta peringkat ‘hakkul yakin1’ demi mendapatkan ketenteraman hati yang sepenuhnya. Yang jelasnya, permintaannya adalah untuk membulatkan keyakinan sepertimana permintaan Nabi Ibrahim kepada Tuhannya; “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya? Nabi Ibrahim menjawab: bahkan aku (percaya), akan tetapi untuk menenangkan hatiku.” [al-Baqarah: 260] Pengertian ini menjelaskan kepada kita bahawa seorang muslim secara umumnya dan daie khususnya mengalami berbagai perkembangan yang berbeza dan peringkat keimanan yang tidak sama. Ghulam pada mulanya tidak mengetahui sedikitpun mengenai agama yang benar ini. Kemudian dia belajar dan dididik oleh rahib serta melalui beberapa pemeringkatan dalam keimanannya sehinggalah berlakunya peristiwa ini yang memindahkan keimanannya kepada keyakinan sebagai tanda bermulanya marhalah dakwah yang baru khususnya bagi ghulam. Sesungguhnya Allah telah mempersiapkan ghulam untuk itu. Para daie semestinya menjadikan ilmu, amal dan tarbiah sebagai jalan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dan sentiasa mencari peluang untuk 1
Terdapat tiga peringkat keyakinan; Ilmu Yakin, Ainul Yakin dan Hakkul Yakin. Ibnu Tamiah berkata; Ilmu yakin ialah apa yang didapati melalui pendengaran, perkhabaran, perbandingan dan pemerhatian. Ainul Yakin pula melalui apa yang disaksi dan dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Manakala Hakkul Yakin ialah yang dia sendiri terlibat, merasai dan mengetahuinya melalui pengajaran yang diambil. Contoh yang pertama; seseorang mendengar bahawa di sana ada madu dan dia membenarkannya. Atau dia melihat kesan madu dan mengakui kewujudannya berdalilkan kesan tersebut. Contoh kedua; mereka yang melihat madu dan menyaksikan dengan kepalanya sendiri. Peringkat ini lebih tinggi dari peringkat yang pertama. Contoh ketiga; mereka yang makan madu dan merasai kemanisannya. Sememangnya diakaui bahawa peringkat ini lebih tinggi dari sebelumnya.
1
mempertingkatkan diri dan ikhwah yang bersamanya. Dia juga semestinya tidak berhenti-henti daripada mengorbankan tenaganya demi memperbaiki hati dan menghisab diri. Janganlah dia tertipu dengan sangkaan bahawa para daie akan sampai ke satu tahap yang tidak memerlukan kepada persiapan diri dan menjadi sempurna. Sesungguhnya iman mempunyai tingkatan dan peringkatnya. Beruntunglah mereka yang berkorban di dunia dan bersikap zuhud terhadapnya serta bertemu Allah ketika berada di tingkatan iman yang paling tinggi hasil kurniaan Allah dan rahmat-Nya. 2)
Dalam peristiwa ghulam meminta perkara luar biasa daripada Allah, dia telah mengambil anak batu dan berdoa kepada Tuhannya, kemudian melontarnya. Dengan lontaran itu binatang tersebut mati. Sesungguhnya mengambil sebab yang dibenarkan adalah perkara penting yang semestinya tidak dilupai oleh para daie. Allah telah menjadikan undang-undang dan peraturan yang tidak berubah untuk alam ini. Allah jugalah telah mengarahkan mukminin supaya mengambil sebab-sebab kemudian bertawakal sepenuhnya kepada-Nya. Inilah yang dilakukan ghulam dengan mengambil sebab yang dibenarkan (melontar dengan batu) kemudian berdoa kepada Allah (dalam keadaan bertawakal dan meminta kepada-Nya). Hasilnya binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai dan menakutkan itu mati disebabkan batu kecil yang dilontarkan oleh ghulam yang beriman.
3)
Prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan cuba menyelesaikannya adalah pengajaran lain yang dapat diambil oleh para daie melalui petikan ini “... bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalulalang.” Begitulah yang semestinya dilakukan oleh daie kepada Allah; sangat cintakan kepada kebaikan dan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah orang ramai. Ini kerana dia disuruh melakukan kebaikan, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Juga kerana perilaku seumpama ini akan membuka hati-hati manusia. Allah berfirman; “Wahai orang-orang beriman! Ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadat kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amalamal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat) (al-Hajj: 77) Semestinya kita tidak melupakan perkara yang penting ini. Oleh itu, kita hendaklah bergaul dengan orang ramai, bersabar terhadap apa yang mereka lakukan, cuba menyelesaikan masalah mereka sekalipun mereka bergelumang dengan maksiat yang ditutup dengan kejahilan. Bahkan masyarakat ghulam adalah kafir, bukan hanya bermaksiat kepada Allah. Kita hendaklah menyeru mereka hanya kepada dakwah Allah, berpegang teguh kepada tali-Nya yang kukuh dan tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan takwa. Perlu diingatkan, kita sewajibnya tidak terlalu mementingkan perkara ini sehingga menyebabkan kita melupai kewajipan dakwah dan matlamatnya yang besar.
Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, “Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. 1)
Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Ini adalah dalil yang menunjukkan bentuk hubungan di antara daie dan mad’unya. Ghulam telah bertemu dengan rahib untuk memberitahunya apa yang berlaku dan apa yang diperkatakan oleh orang ramai. Apakah yang dapat kita gambarkan sekiranya ghulam tidak menceritakan peristiwa tersebut dengan terperinci kepada rahib? Apakah peristiwa seterusnya akan berlaku sebagaimana yang telah berlaku? Rahib dapat menyelami peristiwa yang
1
berlaku dan dapat menggambarkan apa yang akan berlaku. Dengan itu, dia meletakkan ghulam pada marhalahnya yang baru, memahamkan kepadanya apa yang berlaku dan mengarahkannya supaya menyimpan rahsia. 2)
“Maka rahib berkata, “Wahai anakku,...” perkataan “Wahai anakku” mempunyai pengertian kasih sayang dan hubungan hati yang mengikat di antara rahib dan muridnya, sekalipun dia sedang memperkatakan perkara yang penting dan serius. Ini kerana ukhuwwah dan kasih sayang tidak bertentangan dengan kesungguhan, keputusan muktamad, berharakah dan pengurusan. Sesungguhnya kasih sayang kerana Allah dan merendah diri kepada mukminin adalah milik mereka yang merasa kebesaran kurniaan Allah kepada hambahamba-Nya selepas beriman kepada-Nya. Kita tidak sepatutnya lupa terhadap kewajipan berkasih sayang kerana Allah dan rukun ukkhuwwah dalam berhadapan dengan peristiwa yang berlaku, kerja yang dibuat dan tindakan yang diambil. Kedua-duanya adalah senjata mukmin yang ampuh selepas iman dalam pertempuran mereka dengan syaitan manusia dan jin. Firman Allah; “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” (Hujurat:10) firman Allah lagi; “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad dari ugamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya, mereka pula bersikap lemah-lembut terhadp orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir.” (al-Maidah: 54)
3)
kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku. Sesungghnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. Kata-kata ini tidak dituturkan kecuali oleh mereka yang benar-benar ikhlas, faham dan mampu menilai sesuatu dengan tepat. Ini kerana sukakan kemasyhuran, ghurur (tertipu dengan diri sendiri) dan cintakan pangkat kedudukan adalah di antara penyakit hati yang paling merbahaya yang sentiasa menyerang manusia. Sulaiman bin Yassar berkata: orang ramai telah bertebaran dari sisi Abu Hurairah. Maka Naatil berkata kepadanya: Wahai Syeikh, penduduk Syam telah meriwayatkan kepada kami hadis yang anda dengar daripada Rasulullah SAW. Beliau menjawab: ya, saya mendengar Rasulullah Saw bersabda; manusia pertama yang dihukum pada hari kiamat ialah lelaki yang mati syahid. Dia dibawa dan diperkenalkan nikmat yang akan diperolehinya, maka dia mengenalinya. Allah berfirman kepadanya: Apakah yang kamu lakukan untuk mendapatkannya? Dia menjawab: aku telah berjihad kerana-Mu sehingga mati syahid. Allah berfirman: kamu berbohong. Sebaliknya kamu berjihad untuk dikatakan sebagai orang yang berani. Sesungguhnya kamu mendapati apa yang kamu ingini. Kemudian diperintahkan supaya diheret di atas mukanya sehingga dicampakkan ke dalam neraka. Dan lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarnya serta membaca al-quran. Dia dibawa dan diperkenalkan nikmat yang akan diperolehinya, maka dia mengenalinya. Allah berfirman kepadanya: Apakah yang kamu lakukan untuk mendapatkannya? Dia menjawab: aku telah mempelajari ilmu dan mengajarnya serta membaca alQuran kerana-Mu. Allah berfirman: kamu berbohong. Sebaliknya kamu mempelajari ilmu untuk dikatakan sebagai alim dan kamu membaca al-Quran supaya dikatakan sebagai seorang qari. Sesungguhnya kamu telah mendapati apa yang kamu ingini. Kemudian diperintahkan supaya diheretkan di atas
1
mukanya sehingga dicampakkkan ke dalam neraka. Dan lelaki yang dimurahkan rezeki dan dikurniakan berbagai-bagai kekayaan. Dia dibawa dan diperkenalkan nikmat yang akan diperolehinya, maka dia mengenalinya. Allah berfirman kepadanya: Apakah yang kamu lakukan untuk mendapatkannya? Dia menjawab: aku tidak tinggalkan satu perkara pun yang Kamu suka supaya dibelanjakan padanya kecuali aku belanjakan hartaku padanya kerana-Mu. Allah berfirman: kamu berbohong. Sebaliknya kamu melakukan semua itu supaya kamu dikatakan sebagai seorang pemurah. Sesungguhnya kamu telah mendapati apa yang kamu ingini. Kemudian diperintahkan supaya diheretkan di atas mukanya sehingga dicampakkkan ke dalam neraka. Sahih Muslim As-Syahid Syed Qutb pernah berkata: “...hati-hati ini sewajibnya memiliki kekuatan, kemantapan dan tajarrud sehingga ke peringkat tidak mengingini sedikitpun yang ada di dalam dunia ini (dalam waktu yang sama dia membelanjakan semua benda dan sanggup menanggung sebarang kesusahan), dan hanya melihat kepada akhirat serta hanya mengharapkan keredhaan Allah..Tidak mengharapkan balasan yang segera di dunia sekalipun balasan tersebut berupa kemenangan untuk dakwah dan Islam serta keagungan muslimin. Bahkan sekalipun balasan itu berupa musnahnya golongan yang zalim. Kamu akan diuji. 1)
Para daie mestilah memahami dengan baik jalan dakwah supaya dia tidak tercengang atau merasa ragu-ragu apabila berhadapan dengan cubaan dan ujian. Ini kerana ujian adalah sunnah Allah yang pasti akan berlaku. Ia merupakan petanda cintanya Allah kepada orang yang diuji, apabila Dia mencintai seseorang, Dia akan mengujinya. Seseorang akan diuji berdasarkan kepada kekuatan agamanya. Sekiranya ketahanan agamanya kuat, maka kuatlah ujian yang dikenakan kepadanya.
Luqman telah berkata kepada anaknya; “Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perkara mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki mengambil berat melakukannya.” [Luqman: 17] Firman Allah: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, sedangkan belum datang kepada kamu (ujian) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan ancaman musuh), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya berkata: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” Al-Baqarah: 214 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang-orang sebelum kamu telah ditangkap, digalikan lubang dan diletakkan mereka di dalamnya. Kemudian dibawa gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya. Maka terbelah dua badannya. Daging dan tulang mereka disikat dengan sikat besi. Perkara tersebut tidak menghalang mereka daripada agama mereka. Demi Allah! Allah akan menyempurnakan urusan agama ini sehingga mereka yang datang dari Sanaa’ menuju ke Hadraaut tidak takut kecuali kepada Allah dari bimbangkan kambingnya daripada serigala. Tetapi kamu ingin cepat. Sahih Bukhari.
1
Rahib tidak berpada dengan hanya memahami hakikat tersebut, tetapi dia telah mengingatkan hakikat tersebut kepada ghulam pada waktunya yang sesuai sehingga ghulam benar-benar memahami apakah yang akan dihadapi pada marhalah yang akan mendatang. Sesungguhnya menyampaikan kebenaran akan memarahkan golongan batil. Ini kerana sememangnya kebenaran akan membongkarkan keburukan kebatilan dan akan berakhir dengan usaha menghapuskan kebatilan dengan apa cara sekali pun yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, pertentangan, seksaan dan ugutan akan bermula. Juga sehingga rahib mampu meletakkan ghulam untuk berhadapan dengna tanggungjawab marhalah tersebut. Dengan itu, ghulam tidak akan tertipu dengan kata-katan yang didengarnya daripada gurunya “kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku.” Tetapi dia mengajar ghulam bahawa kelebihan tersebut mesti dibayar dengan harga yang mahal iaitu ujian dan cubaan. Kewajipannya ialah bersabar dan beramal untuk dakwahnya sehingga ke titisan darah yang terakhir walau sebesar mana sekalipun bebanan yang terpaksa ditanggung demi melaksanakan kewajipan yang besar ini. “Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku.” Kalimah kamu diuji disebut tanpa menyebut siapakah yang akan menguji. Dan juga disebut sebelumnya kalimah yang menunjukkan syak “sekiranya” sedangkan sebelum ini disebut dengan menggunakan kalimah yang menunjukkan pasti berlaku “kamu diuji ” . Ini disebabkan apa yang disebutkan sebelum ini adalah berdasarkan keyakinannya bahawa perkara tersebut akan berlaku dan apa yang disebut di sini adalah berdasarkan realiti dan apa yang jelas di alam nyata. Ini kerana firasat juga kadang-kadang tersilap, pengalaman berbeza-beza, dan apa yang berlaku tidak menepati kajian yang dilakukan. Atau pun disebabkan rahib bertujuan untuk tidak membebankan ghulam. Oleh itu, dia tidak mengungkapkan untuk kedua-dua ayat tersebut menggunakan kalimah yang menunjukkan bahawa ujian pasti berlaku dengan yakinnya supaya ghulam tidak bersusah hati sebelum tibanya waktu diuji. 1)
Penjagaan terhadap para daie (di mana mereka adalah modal dakwah dan pelopornya) daripada dihapuskan sehingga ke akar umbi oleh ahli batil dengan mengambil semua sebab-sebab yang diharuskan dan termampu merupakan kewajipan yang diwajibkan oleh syarak dan akal. Sekiranya mereka telah mengambil sebab-sebab, merancang dan berusaha, kemudian Allah menentukan apa yang mereka tidak ingini, maka itu hanyalah semata-mata ketentuan daripada Allah yang dikehendaki-Nya untuk hamba-hamba-Nya. “dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya.” (Yusuf: 21) “Dan Allahlah yang menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid” (al-Imran: 140)
2)
Tunjuk ajar yang diberikan oleh rahib kepada ghulam supaya tidak menceritakan kepada dirinya aopabila dia diuji adalah perancangan dan strategi dakwah dan perjalanannya. Ia bukanlah disebabkan oleh tindakan pengecut atau penakut. Ini kerana rahib sanggup berhadapan dengan mata gergaji sehingga rahib tersebut mati. Dia langsung tidak meninggalkan agamanya.
3)
Kemudian, selepas mengambil sebab-sebab, kadang-kadang Allah menentukan sesuatu yang di luar apa yang dirancangkan. Ghulam ketika diseksa, dia tidak mampu menanggung penyeksaan tersebut, maka dia menceritakan tentang rahib. Ini tidak sepatutnya menjadikan kita
1
mengabaikan pengambilan sebab atau menyalahkan diri sendiri kerana sesungguhnya segala urusan adalah di Tangan Allah. “dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya.” (Yusuf: 21) Pengajaran di sudut dakwah 1)
Masalah kerahsiaan dan pengisytiharan (sirriyah dan ‘alaniyah) adalah masalah nisbi (iaitu masalah yang berkait dengan masalah yang lain) dalam perjalanan dakwah pada marhalah-marhalahnya yang berbeza. Ia bukanlah masalah yang mutlak iaitu hanya kerahsiaan semata-mata atau pengisytiharan semata-mata. Di marhalah membina asas, kerahsiaan adalah dilebihkan. Kadang-kadang ia memerlukan kerahsiaan mutlak sebagaimana yang berlaku pada tiga tahun pertama dakwah Rasulullah SAW. Selepas itu, berlakunya pengisytiharan di beberapa sudut dan sudut-sudut yang lain masih kekal tidak diketahui umum sehingga selepas tertegaknya daulah Islamiah. Ini adalah sebagaimana yang telah berlaku kepada mereka yang berhijrah ke Habsyah sehinggalah berlakunya pembukaan Khaibar. Di antara kerahsiaan dan pengisytiharan pula terdapat marhalah-marhalah, pemeringkatan dan keperluan-keperluan dakwah. Sesungguhnya marhalah dan suasana sekeliling, dan kemampuan dakwah untuk menghadapi serangan dan menutup mulut musuh-musuh Allah adalah perkara yang memerlukan pendetailan kerja dan peranan yang berbeza. Kita tidak sepatutnya cenderung kepada kerahsiaan kerana takut menghadapi serangan musuh atau cenderung kepada pengisytiharan disebabkan semangat yang melulu dan tanpa berfikir panjang. Dakwah sepatutnya berpindah dari satu tahap ke satu tahap secara berperingkat-peringkat tanpa dikuasai oleh perasaan ingin cepat sampai dan gopoh. Begitu juga tanpa menghilangkan peluang atau takut ditindas. 2) Dakwah Allah adalah pemilik pertama kepada harta dan jiwa kita. “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, (kerana) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran dan siapakah lagi yang lebih tepat janjinya (selain) dari Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)
Ghulam tersebut mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit buta sejak lahir, sopak dan dia juga mengubati berbagai lagi penyakit. Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; “Semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepadaNya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya.
1
1) Allah mengurniakan kepada ghulam kelebihan doa dimakbulkan. Apabila dia berdoa untuk pesakit, maka penyakitnya disembuhkan pada waktu itu juga (dengan izin Allah). Imam Nawawi telah berkata; “hadis ini membuktikan kewujudan keramat para wali” Perkara luar biasa ada berbagai jenis. •
Mukjizat: iaitu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang mendakwa sebagai nabi untuk membenarkan dakwaan mereka.
•
Keramat: iaitu perkara luar biasa yang berlaku kepada hamba Allah yang salih
•
Ihaanah: iaitu perkara luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang mendakwa sebagai nabi untuk membuktikan pembohongan dakwaan mereka. Contohnya: Musailamatul Kazzab ketika menjampi mata yang buta, maka mata yang celik satu lagi menjadi buta.
•
Istidraj: iaitu perkara luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang mendakwa dirinya tuhan sebagai penipuan dan ujian kepada orang lain seperti Dajjal yang Allah berikan kepadanya berbagai perkara luar biasa.
•
Irhash: iaitu luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang akan dibangkitkan sebagai nabi, sebagai persediaan kepada manusia untuk menerima dan menjadi penguat dakwahnya. Contohnya: peristiwa gajah yang berlaku pada tahun Rasulullah SAW dilahirkan.
2)
Ghulam yang beriman ini telah menggunakan kurniaan Allah kepadanya untuk menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapi oleh orang ramai. Dia telah menjalinkan hubungan dengan orang ramai dengan melakukan kerja-kerja kebajikan dan tolong-menolong dalam melaksanakan kebaikan dan takwa. Alangkah berhajatnya para daie untuk memahami perkara ini. Dengan itu mereka menugaskan sebahagian mereka untuk menjalinkan hubungan dengan orang ramai dan cuba menguatkan pengaruh serta meneylesaikana masalah yang dihadapi oleh orang ramai melalui gerak kerja kemasyarakatan, bantuan kewangan, aktiviti-aktiviti masjid, kesukanan dan lain-lain. Di samping itu, mereka menyeru manusia supaya beriltizam dengan Islam yang mengandungi kebaikan dunia dan akhirat dan membantu para daie dalam menegakkan masyarakat adil, baik dan benar.
3)
Jelas daripada petikan ini bahawa raja tidak mengetahui penyebaran agama baru ini. Perkara ini mengajar kita bahawa gerak kerja umum mestilah tertumpu kepada kefahaman terhadap aqidah yang sahih, memahami ad-deen dan beriltizam dengannya tanpa cepat-cepat ingin bertembung dengan kebatilan. Khususnya di marhalah pertama dakwah dan sebelum kekuatannya mantap. Ini kerana cepat mencabar dan cepat menghadapi kebatilan menyebabkan sistem yang ada akan berlaku zalim kerana takutkan kewujudan dan kekekalannya. Dengan ini maslahah sebenar adalah terletak pada memperbanyakkan penyokong, mentarbiah golongan mukmin yang terpilih secara tenang sehingga dakwah menjadi kuat dan mampu untuk menghadapi kebatilan. Ketika itu dakwah wajib berjihad untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi, mengeluarkan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam tanpa memperdulikan darah dan pengorbanan yang dicurahkan (keduanya merupakan sebahagian daripada dakwah dan jihad) untuk menjadikan kalimah Allah sahajalah yang tinggi.
4)
Manusia, ketika berhajat, sakit atau berada dalam kesusahan, mereka akan lebih bersedia untuk menerima dakwah jika dibandingkan dengan waktu lain (apabila para daie menyampaikan dakwahnya dengan baik). Inilah yang
1
dilakukan ghulam dengan mengambil peluang daripada keinginan manusia untuk sembuh. Maka dia menghubungkan antara sembuh dengan akidah dan iman. Dia telah menggunakan kesediaan manusia untuk menerima dengan baik. Sepatutnya para daie belajar daripada peristiwa ini dan melaksanakannya. Mereka hendaklah mengetuk besi ketika besi panas dibakar dan mengambil peluang daripada berbagai keadaan yang dialami. 5)
Di antara tabiat manusia, apabila mereka berhajatkan sesuatu, mereka akan berusaha menjadikan orang yang dapat memenuhi hajatnya sukakan kepadanya dan mereka akan menghampiri orang tersebut dengan membawa hadiah dan pemberian ataupun sebarang perkara yang berbentuk kebendaan atau spiritual untuk mendpatakan apa yang dihajati (kecuali mereka yang dirahmati oleh Allah). Inilah yang dilakukan oleh pembesar terhadap ghulam. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; “Semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Para daie pembawa risalah tidak menerima pembalasan (upah) daripada sesiapa pun. Bahkan mereka bersikap zuhud. Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepadamu sebarang upah pun.” (As-Syura: 23) firman-Nya lagi: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Apa jua yang aku meminta kepada kamu sebagai upah, maka ianya untuk kamu, upahku hanyalah dari Allah.” (Saba: 47)
6)
Kurniaan Allah tidak menjadikan ghulam terfitnah dengan menganggap dirinya mampu melakukan semua itu walaupun dengan cara yang boleh ditakwil. Dia menjelaskan hakikat sebenar dengan mengatakan : “Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Dengan ini dia telah memindahkan permintaan supaya manusia menyembuhkan penyakit kepada penyembuhnya yang sebenar iaitu Allah. Dialah yang Mencipta, Menghidup dan Mematikan, Menyembuh dan Memberi Rezeki. Dialah Allah yang Esa, Berkuasa dan Kuat yang tiada sesiapa pun dapta menyamainya. Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Para daie tidak sepatutnya tertipu dengan apa jua kurniaan Allah yang diberikan kepadanya. Bahkan hendaklah dia bertakwa kepada Allah dan merendah diri kepada-Nya dan kepada makhluk. Sesungguhnya syaitan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperdayakan manusia dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai kedudukan di dalam dakwah dan sebagainya sehingga mereka tertipu dengan diri sendiri dan takabur. Dengan itu berlakulah fitnah. Kita mohon perlindungan kepada Allah daripada perkara tersebut.
7)
1
Para daie sepatutnya mengemukakan persoalan dakwah kepada orang ramai dengan cara yang baik, berbincang bersungguh-sungguh, menggunakan dengan baik kemampuan yang dikurniakan Allah untuk mempengaruhi orang ramai dan menarik mereka kepada dakwah, menjelaskan sesuatu hakikat dalam bentuk yang mudah dan tidak bertegang leher ketika berbincang. Ini kerana usaha yang dilakukan adalah untuk menggalakkan orang ramai supaya
beriltizam dengan Islam. Peranan daie bukanlah untuk membuktikan kesalahan manusia supaya layak menerima pembalasannya tetapi peranan mereka ialah menjadikan manusia suka kepada iman dan mendekatkan mereka kepada Allah dengan menggunakan cara dan kemampuan yang termampu. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya; “wahai Fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Beliau menjawab; “Tuhanku.” Raja bertanya lagi; “Apakah kamu mempunyai tuhan selainku.” Beliau menjawab; “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” 1)
Pembesar di raja tetap menghadiri majlis raja sebagaimana sebelumnya. Dia tidak mengundurkan diri kerana yakin dengan diri dan kebenaran yang dianutinya. Dia mengetahui bahawa sembuhnya penyakit buat yang dialami akan menjadi bahan perbincangan yang Allah sahaja mengetahui kesudahannya. Mukmin tidak sepatutnya takut menghadiri majlis orang ramai walau bagaimana keadaannya sekalipun. Ini kerana kebenaran yang dibawanya adalah lebih kuat dan agung daripada kebatilan mereka dan kewajiban berdakwah dan menjelaskan kebenaran mewajipkan perkara tersebut.
2)
Penolakan raja terhadap kenyataan pembesarnya adalah perkara biasa yang dilakukan oleh golongan toghut di pelbagai zaman untuk membenarkan dakwaan ketuhanan dan pembohongan mereka yang jelas. Mereka tidak merasa malu dengan dakwaan itu sekalipun penipuannya amat jelas. Ungkapan “Apakah kamu mempunyai tuhan selainku.” mengandungi amaran dan kecaman dengan harapan pembesarnya itu akan menarik balik kenyataannya dan menafsirkannya dengan kenyataan yang menyenangkan hati raja.
3)
Pembesar mukmin itu menghabiskan perbincangan dengan kata pemutus “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Mukmin ini tidak bermuka-muka atau cuba melepaskan diri atau menangguhkan jawapannya kerana perbincangan menemui jalan buntu. Tiga rangkaian kata daripada pembesar bagaikan suara guruh kepada raja dan pembesarnya yang lain yang berada di majlisnya. Agama baru yang diiklankan kepada golongan pembesar di dalam majlis negara yang terpenting di hadapan toghut yang mengakui sebagai tuhan. Pembesar amat amat memahami bahawa raja tidak akan membiarkannya begitu sahaja jika dia mengakui agama barunya. Dia akan diuji dengan ujian yang hanya Allah sahaja mengetahui kesudahannya. Walau bagaimanapun, dia mengutamakan Allah daripada selainnya, mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan kebenaran daripada kebatilan. Pembesar di raja sanggup menjelaskan kebenaran dan tidak takut terhadap celaan orang yang mencela.
Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa menghadap. Raja berkata kepadanya; “Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai lagi yang kamu lakukan.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka dia pun diseksa. Dia terus menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. 1)
1
Itulah yang berlaku tanpa perbicaraan yang adil atau tidak adil. Ditangkap dan dicampakkan kepada penjaga pusat penyeksaan. Setiap mereka yang menyombong diri memilik pusat penyeksaannya tersendiri yang tidak memiliki akal fikiran dan hati. Untuk melaksanakan tugas, tertuduh diserahkan kepada anjing-anjing yang kelaparan untuk menikmati jeritan kesakitan sedangkan mereka bertasbih memuji raja mereka. Syaitan manusia di zaman kita ini telah
melakukan pelbagai penyeksaan yang begitu keji dan tidak dapat digambarkan. Ia adalah hakikat yang berlaku ketika itu dan ia adalah musibah yang sentiasa berulang sepanjang zaman dan tempat. 2)
Beratnya penyeksaan dan kesakitan menyebabkan pembesar di raja tidak mampu menanggungnya. Maka ia menceritakan tentang ghulam yang menjadi penyebab dia diberi petunjuk kepada kebaikan dan kebenaran. Maka ghulam pun dibawa menghadap. Ghulam dibawa menghadap raja tanpa pengetahuan orang ramai kerana raja mengetahui usianya yang masih muda dan kemasyhurannya di kalangan orang ramai sejak peristiwa pembunuhan binatang. Maka raja mahu menyunting, memujuk dan mengetahui hakikat sebenarnya. Raja pun berkata; “Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai lagi yang kamu lakukan.” Raja menggunakan perkataan yang boleh menyentuh perasaan “wahai anakku”. Kemudian dia mengaitkan apa yang berlaku kepada sihir. Memang diakui bahawa rajalah yang menghantar ghulam kepada ahli sihir untuk mempelajari ilmu sihir dengan harapan ghulam akan menjadi ahli sihir raja dan penasihatnya. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kerana ghulam sekarang berdiri di hadapannya menyatakan kebenaran dan mengisytiharkan bahawa dia tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Kemudiannya dia mengisytiharkan akidahnya yang sebenar Yang menyembuhkan hanyalah Allah” sebagai mencabar raja dan kuncukuncunya. Sekali lagi ahli kebenaran mengiklankan kebenaran dan aqidah mereka sehingga menyebabkan ahli batil mengamuk dan menerkam ke arah pembawa aqidah. Ini dilakukan selagi mana mereka meninggalkan agama raja (tuhan sangkaan). Benarlah Allah yang telah berfirman: “dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” [ al-Buruj: 8] Kemudian ghulam diseksa dan natijahnya ghulam menceritakan mengenai sheikh dan gurunya. Gurunya yang suatu ketika dahulu memintanya supaya tidak menceritakan sesuatu mengenainya. Tetapi penyeksaan mempunyai peringkat-peringkatnya yang dalam banyak keadaan tidak mampu ditanggung oleh manusia.
3)
Rahib telah merancang dan mengambil sebab-sebab yang boleh menjaga, berhati-hati dan menjaga rahsia. Tetapi ketentuan Allah mengatasi segalanya. Maka dakwah akhirnya berjalan tidak berdasarkan apa yang dirancang dan diharapkan. Bagaimana pun semua itu adalah kebaikan untuk rahib, ghulam, pembesar di raja dan orang ramai (yang akan beriman). Itulah ketentuan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Perkara ini mengajak kita mengambil berat masalah pengambilan sebabsebab untuk berjaga-jaga dan menjaga rahsia dan berusaha menjaga dakwah dengan menggunakan cara yang dibenarkan syarak. Kita hendaklah mengetahui bahawa apa yang Allah kehendaki tetap akan berlaku dan apa yang tidak dikehendaki-Nya tetap tidak akan berlaku. Ujian adalah di antara sunnah Allah untuk dakwah. Perkara yang berlaku kepada ghulam dan pembesar di raja adalah sebahagian daripada apa yang telah diajarkan oleh rahib. Kecekalan (sabat) dalam berhadapan dengan suasana ini berlaku dengan menjaga akidah dan prinsip dan kemudiannya menjaga rahsia amal yang dilakukan. Apabila yang kedua tidak mampu dijaga, maka yang pertama tidak boleh digadaikan kerana kehilangannya akan menyebabkan kehilangan dunia dan akhirat “kecuali orang-orang yang dipaksa (melakukan kufur), sedang hatinya tenang dengan keimanan (AnNahl: 106).
1
4)
Setiap para daie semestinya memaafkan sesama mereka sekiranya sebahagian daripada mereka tidak mampu menanggung penyeksaan dan terpaksa menyebut apa yang menyakitkan saudaranya yang lain. Syaitan akan sentiasa berusaha dalam masa mehnah dan fitnah untuk memecah-belahkan perpaduan anggota kumpulan mukmin. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuan dari Illahi.
Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. 1)
Apabila rahib muslim, kuat beribadat yang tidak membunuh seseorang pun dan tidak melakukan selain daripada berdakwah kepada Allah dibawa menghadap, maka dikatakan kepadanya: “Dengan perintah raja, tinggalkanlah agamamu demi menyelamatkan nyawamu,” Sesungguhnya pertembungan dengan kebatilan adalah pertembungan aqidah. Hanya pertembungan aqidah dan bukannya pertembungan politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. “dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” ( al-Buruj: 8) Disebabkan kecekalan seorang mukmin yang menghadapi pertembungan dengan kebatilan, rahib tidak menerima permintaan supaya meninggalkan kebenaran yang bersamanya sekalipun terpaksa membayar harga yang tinggi. Di manakah letaknya nilai kehidupannya sedangkan Allah telah menjanjikannya syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Di dalamnya terdapat nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Tidak apa-apa yang boleh dilakukan oleh mukmin ketika menghadapi suasana ini melainkan berkata “Cukuplah Allah menjadi Pelindung kami dan Dia sebaikbaik Pelindung (Al-Imran : 173), “Ya Allah! Hitungkanlah mereka satu-persatu dan jangan Kamu tinggalkan mereka walaupun seorang, “Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun orang-orang kafir tinggal di muka bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka menyesatkan hamba-hambaMu dan mereka tidak melahirkan anak-anak kecuali anak yang jahat, lagi amat kufur.” (An-Nuh : 26-27)
Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai ke kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apaapakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut. Ghulam pun berdoa; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang telah dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” ghulam pun menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak,campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa; ; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam
1
pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang dilakukan oleh kawan-kawan kamu?” dia menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” 1)
Dalam petikan ini kita boleh perhatikan bahawa raja tidak menggunakan cara yang sama yang digunakan kepada rahib dan pembesar di raja. Ia mungkin disebabkan; •
Usia ghulam yang masih muda. Pembunuhannya akan menyebabkan berlakunya simpati yang meluas di kalangan orang ramai lebih-lebih lagi apabila dia dibunuh dengan cara yang sama.
•
Kemasyhuran ghulam di kalangan orang ramai yang menyaksikan peristiwa pembunuhan binatang.
•
Kemasyhuran ghulam di kalangan orang ramai melalui kerja kebaikan yang dilakukannya dan mengubati pesakit (dengan izin Allah).
•
Mengharapkan ghulam menarik balik pandangannya selepas melihat apa yang berlaku ke atas rahib dan pembesar di raja. Dengan ini, raja akan dapat mengawal semula kemampuan khusus yang dimilik oleh ghulam. Maka tapak pemerintahannya akan bertambah kukuh.
2)
Cara yang digunakan oleh raja untuk menekan ghulam supaya kembali kepada agama asalnya adalah cara yang keji dan masih diamalkan sehingga sekarang. Iaitu membunuh para daie melalui peristiwa yang seolah-olah tidak dirancang atau seolah-olah ketentuan takdir tanpa ada campur tangan dari manusia. mencampakkan ghulam dari bukit atau melemaskannya ke dalam laut adalah perkara yang tidak akan menimbulkan syak di kalangan orang ramai. Mainan politik boleh ditambah dengan cara raja sendiri atau wakilnya menghadiri upacara pengkebumiannya dan melahirkan perasaan terharunya di atas kematian ghulam. Bahkan kadang-kadang bantuan dihulurkan kepada keluarga si mati dan lain-lain lagi cara yang memang dipelajari khusus oleh golongan batil.
3)
Apakah senjata yang digunakan oleh ghulam? Ghulam telah berhadapan dengan semua ini menggunakan senjata menyerahkan segalanya kepada Allah, mengingati-Nya, mempercayai kecantikan pertolongan-Nya walaupun memakan masa. Setiap kali berhadapan dengan usaha pembunuhan yang cuba dilakukan, ghulam pun berdoa; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka Allah mematikan tentera raja dengan cara rancangan yang diatur mengena diri sendiri dan ghulam pulang dalam keadaan selamat dan penuh keyakinan terhadap Illahi.
4)
Ghulam pulang berjalan kaki berjumpa raja setelah gagalnya semua usaha untuk membunuhnya. Raja bertanyakan mengenai tentera yang dihantar bersamanya untuk melaksanakan tugas pembunuhan. Ghulam hanya menjawab setiap kali dia berjumpa raja: “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Kenapa ghulam pulang berjumpa raja dan kenapa dia tidak melarikan diri sahaja? Kenapa dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan? Kaedahnya: para daie kepada Allah merancang dan beramal dengan bersungguh-sungguh berdasarkan perancangan yang diatur, kemudian dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah tanpa melupakan kewajipannya, dakwahnya dan hakikat risalah yang dibawanya iaitu menyeru manusia seluruhnya dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Gerak kerja yang telah dilakukan oleh ghulam telah diketahui oleh umum dan pembesar di raja telah menceritakan kepada raja mengenainya. Sekarang dia menjadi tawanan yang ingin dibunuh dengan cara yang khusus. Apabila dia
1
berdoa, Allah menerima doanya dan menyelamatkannya. Di hadapannya ada dua pilihan; Pertama : dia lari dari raja dan kezalimannya. Tetapi bagaimanakah dengan dakwah dan risalah yang diserunya. Siapakah yang akan menyempurnakannya. Adakah tindakan melarikan diri adalah lebih afdal daripada dia menerus dan menyemprunakan tugasnya? Kedua : dia berterusan menjalankan dakwahnya dan pulang menemui raja. Allah telah memperkenankan doanya dan menghancurkan tentera disebabkan hikmah rabbani. Semoga di antara hikmatnya supaya ghulam tahu bahawa peranannya belum selesai. Allah menyelamatkannya untuk dia menyempurnakan risalahnya. Ghulam telah memilih pilihan kedua kerana dia melihat terdapat alamat dan petanda pada ketentuan Allah untuknya supaya dia meneruskan dakwah dan menyampaikan risalahnya. Maka dia pulang dan menemui raja tanpa merasa terbeban dan tanpa takut untuk mengalahkan jiwa raja dan memberikan keyakinan kepada raja bahawa dia tidak mampu membunuhnya. Kisah ghulam dan perubahan di antara corak kerja berahsia dan cara kerja yang diketahui umum, di antara bersembunyi dan menghadapi kebatilan, di antara perancangan dan terkesan dengan perkara baru yang timbul adalah pengajaran buat semua. Bagi setiap kefahaman dan cara kerja serta ijtihad mempunyai tempat di dalam peta amal Islami selagi mana ia dibenarkan oleh syarak. Apa yang penting ialah memahami perkara tersebut dan membahagikan peranan dan tugas setelah disiapkan perancangan serta berusaha mencapai natijahnya melalui kerja berjemaah. Dengan itu, kesemua tenaga mereka yang terlibat akan saling menyempurnakan di antara satu sama lain untuk menuju kepada pengembalian Khilafah Islamiah. Kemudian dia berkata kepada raja; “Sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja berkata; “Apakah dia?” ghulam menjawab; “Kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” dan panahlah aku. Sekiranya kamu melakukan sedemikian, kamu boleh membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang, menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya. Selepas itu raja berkata; “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya. Anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata; “Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam.” 1)
Ghulam yang pada zahirnya kecil dan lemah menyuruh raja yang bermaharajalela dan mengaku sebagai tuhan, yang memiliki kekuasaan dan kekuatan, bagaimana boleh berlaku sedemikian? Suasana ini mempunyai hubungan dengan tiga faktor. Pertama : ketentuan Allah dan pengendalian-Nya terhadap sesuatu perkara berdasarkan apa yang dikehendaki. Allah telah menjadikan perasaan tidak mampu untuk membunuh ghulam dengan cara biasa dan kemestian membunuhnya telah menguasai pemikiran raja. Firman Allah;
1
“Maka Allah mendatangkan kepada mereka (bala) dari arah yang mereka tidak sangka-sangka dan mencampakkan perasaan cemas ke dalam hati mereka (sehingga) mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin.” (Al-Hasyr : 2) “Mereka menjalankan tipu daya (mereka) dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.” (Al-Anfal : 30) Kedua : kelemahan kebatilan dan penyerahan diri mereka. Raja, sekali pun memiliki kekuatan kebendaan dan penguasaan ke atas manusia, dia mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh ghulam. Ini kerana raja sudah berputus asa dalam usaha untuk membunuh ghulam dan penyelesaian yang datang dari ghulam sendiri amatlah diharapkan oleh raja sendiri. Benarlah Allah ketika Dia berfirman : “Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang (sungguh) beriman.” (Al-Imran : 139) “Kalau kamu menderita sakit, maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu, sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan.” (An-Nisa : 104) Ketiga : ghulam adalah daie kepada Allah dan beliau memiliki tiga ciri utama; •
Kecerdikannya. Ia dapat dilihat melalui penilaiannya terhadap kekalahan jiwa yang dihadapi oleh raja, kemudian dia bercakap dengan raja dalam bentuk tersebut dan mencadangkan penyelesaian yang akan menyebabkan (berdasarkan penilaian manusia) kesemua manusia atau sebahagiannya akan beriman dengan Allah.
•
Merasai kebersamaan Allah dan kekuatan kebenaran yang dibawanya. Ini menjadikan ghulam mampu menanggung penyeksaan dan mampu mengatasi cubaan demi cubaan yang ingin membunuhnya. Kekuatan yang lahir daripada tindakan ghulam ini adalah kekuatan kebenaran yang dibawanya dan kekuatan keimanannya terhadap Allah SWT.
•
Kefahaman terhadap dakwah yang dibawanya. Ghulam adalah daie Allah yang membawa seagung-agung risalah dalam kehidupan. Tugasnya ialah untuk menggunakan kehidupan dan harta bendanya semaksimum mungkin demi kemajuan dakwah. Apakah kemajuan yang lebih tinggi daripada berimannya manusia kepada Allah dan masuknya manusia ke dalam agama Allah secara beramai-ramai? Sesungguhnya kehidupan amatlah murah harganya ketika terlaksananya matlamat yang besar ini. “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka,” [at-Taubah : 111] Daie kepada Allah adalah salah seorang daripada tentera dakwah. Dia mengorbankan dirinya dan hartanya untuk agama sehingga agama dan dakwah tersebut hidup dalam orang lain. Dengan itu, dia memperjuangkannyadan berjihad di dalamnya. Daie mengorbankan kehidupannya demi mencapai maslahah dakwah dan baginya sebagai balasan ialah keredhaan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi dan dia kekal di dalamnya.
1
2)
Ghulam meninggal dan tidak sempat mendengar laungan orang ramai “Kami beriman dengan Tuhan ghulam.” Dia tidak hidup sehingga dia dapat melihat hasil penat lelahnya. Cukuplah baginya dia berusaha untuk menegakkan risalahnya dengan mengorbankan rohnya sebagai tebusan kepada agamanya. Bagi Allahlah segala urusan dari awal hingga akhir.
Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya; “Apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman.” Lalu raja memerintahkan supaya digali parit dan dinyalakan api. Raja berkata; “Sesiapa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehingga datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata; “Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.” 1)
Begitulah pendirian mereka yang busuk hatinya selama-lamanya. Takut kehilangan kuasa dan memusuhi golongan mukmin. Golongan pembesar dan mereka yang busuk hati akan sentiasa bekerja untuk kemaslahatan peribadi sendiri dan bukannya untuk kemaslahatan negara, rakyat mahu pun raja sendiri. Apakah yang akan menimpa mereka jika raja juga turut beriman bersama-sama dengan orang ramai. Mereka akan kehilangan segala-galanya kecuali jika mereka turut beriman. Ini kerana mereka akan kehilangan kuasa dan sistem pemerintahan akan bertukar kepada sistem pemerintahan Islam yang menolak pelampauan, penghinaan dan kefasadan. Cubalah kita lihat apa yang berlaku sekarang. Media massa, menteri-menteri dan golongan penulis mempersiapkan pemerintah untuk menentang harakah Islam. Mereka tidak segan-silu menganjurkan hukuman untuk “golongan fundamentalis, golongan ekstremis” contohnya penjara, buang negeri kalau tidak pun hukuman bunuh. Pelampauan yang dilakukan oleh golongan pemerintah pada hari ini adalah hasil daripada kerosakan yang melanda masyarakat hari ini. Para daie semestinya menyedarkan rakyat dan menghubungkan mereka dengan Islam di mana tiada kejayaan di dunia dan di akhirat kecuali melaluinya serta menyiapkan rakyat untuk berhukum kepada Islam sebagai syariat dan manhaj.
2)
Raja dengan begitu mudah mengeluarkan arahan supaya digali parit di jalan dan menyalakan api di dalamnya serta mengugut golongan mukmin dengan mencampakkan mereka ke dalamnya jika mereka tidak kembali kepada agama asal. Golongan batil berusaha menyemarakkan api dan mereka duduk menikmati pandangan benda-benda hidup dimakan api. Golongan mukmin pula semakin bertambah keimanan mereka disebabkan fitnah yang dihadapi. Berlakunya kemenangan aqidah ke atas keinginan untuk hidup. Mereka kesemuanya dapat melepaskan diri daripada ikatan kecintaan kepada dunia dan tarikannya. Mereka juga mampu menguasai diri dengan sebab kemenangan aqidah mereka berhadapan dengan keinginan untuk hidup. Firman Allah; “Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. (Parit) api yang dipenuhi bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Dan mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha terpuji.”) (Al-Burujj : 4-8)
3)
1
Di tengah-tengah gambaran yang menggerunkan ini, Rasulullah menggambarkan ciri kemanusiaan dan keimanan yang tinggi yang
memberikan kepada kita contoh apa yang berlaku ketika itu. Dalam riwayat Ahmad, baginda menyifatkan orang ramai dengan “mereka berlumba-lumba dan berasak-asak untuk terjun ke dalamnya.” Begitu juga dengan kisah perempuan dengan bayinya yang masih menyusu. Orang ramai merasa tinggi dengan keimanan mereka dan membenci kekufuran serta enggan kembali kepadanya. Maka mereka bertindak melarikan diri daripada kekufuran menuju api yang lebih ringan kemudaratannya daripada kekufuran. Dengan itu mereka akan menghadapkan diri mereka kepada Allah dan membebaskan dirinya daripada dunia dan keseronokannya. Gambaran kedua ialah gambaran perempuan mukminah yang menuju kepada api dengan membawa bersamanya bayi yang masih menyusu. Apabila dia melihat api, lahir perasaan belas kasihan, ragu-ragu dan takut untuk mencampakkan diri dan bayinya ke dalam api. Maka Allah mengurniakan kepadanya kecekalan hati dengan menuturkan bayinya yang masih menyusu (ini adalah di antara perkara keramat dan perkara luar biasa). Ia menuturkan perkataan yang kekal dalam hadis nabi: “Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.” Perkataan yang keluar dari mulut bayi ini mengajar para daie bahawa hukum asal berada di atas jalan dakwah ialah kecekalan(sabat) dan kesabaran serta pengorbanan sehingga mati di jalan Allah. Juga mengajar para daie bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan sekalipun dilihat payah dan susah serta menyakitkan namun garis penamatnya adalah dekat. Perkataan yang diucapkan oleh bayi ini seolah-olah perutusan Allah kepada kita di setiap zaman dan tempat bahawa Islam ini dan dakwah ini yang dilingkungi dengan kesakitan dan ranjaunya, tetapi ia menjanjikan kesudahahan yang baik dan kekal bagi mereka yang yakin dan mencintai Allah dan rasul-Nya. Perempuan mukminah ini yang Allah mengetahui kebenaran imannya telah dikurniakan kecekalan hati dalam menghadapi suasana yang menakutkan itu. 4)
Pemilihan perempuan dan bayi yang masih menyusu menunjukkan kepada peranan wanita di jalan dakwah. Dakwah kepada Allah bukanlah hak monopoli lelaki sahaja. Wanita juga wajib berdakwah kepada Allah dan menanggung bebanan dakwah sesuai dengan tugas dan kemampuan mereka. Wanita muslimah hendaklah berada di tahap yang tinggi di bidang ilmu pengetahuan, kesedaran dan harakah (di dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak). Mereka hendaklah berganding bahu dalam usaha untuk mendirikan daulah Islamiah kerana mereka adalah unsur asasi dalam pembinaan ini.
5)
Persoalan yang paling penting sekali ialah yang lahir daripada kesudahan hadis ini. Apakah ia berkesudahan begitu sahaja? Golongan mukmin diseksa, dibelah dua dengan gergaji dan adakah golongna toghut akan terus hidup dalam keadaan aman dan dakwah akhirnya akan berkubur? Nilaian sebenar di neraca Allah ialah nilaian aqidah. Kemenangan dalam bentuk yang paling tinggi ialah kemenangan rohani menghadapi kebendaan, kemenangan aqidah menghadapi penyeksaan dan kemenangan iman menghadapi fitnah. Manusia semuanya mati Cuma yang berbeza ialah sebab kematian. Medan pertembungan bukan hanya di bumi semata-mata dan mereka yang menyaksikannya bukan hanya manusia di setiap generasi. Alam Tinggi juga bersama-sama terlibat dalam setiap peristiwa yang berlaku di bumi dan mereka menjadi saksi. Terdapat akhirat yang merupakan medan asal di mana medan dunia bersambung dengannya. Dengan itu, pertembungan tidaklah
1
berakhir dengan hukuman di dunia dan kehidupan di dunia bukanlah sebagai perhentian terakhir dan bukannya penentu kalah menang pertembungan. Sejarah dakwah telah memperlihatkan pelbagai bentuk kesudahan terakhir bagi dakwah di muka bumi ini. Kesudahan buruk bagi kaum Nuh, kaum Hud, kaum Su’aib dan kaum Luth. Sejarah dakwah juga memperlihatkan kesudahan buruk bagi golongan musyrikin Mekah yang menentang Nabi. Sejarah dakwah juga memperlihatkan kekalahan golongan mukminin dan golongan kafir yang tidak ditimpakan azab. Para daie haruslah faham bahawa tanggungjawab mereka hanyalah melaksanakan kewajipan, kemudian mereka pergi. Kewajipan mereka ialah menjadikan Allah satu-satunya pilihan mereka, mementingkan akhirat daripada dunia, merasa tinggi dengan keimanan ketika berhadapan dengan fitnah dan membenarkan Allah dalam gerak kerja dan niat. Ingatlah bahawa upah terbesar yang para daie akan perolehi ialah keredhaan Allah yang mengatasi segalagalanya.
1