PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Epistemologi Sejarah Ibn Athir dalam ‘Kata Pengantar’ al-Kamil fi al-Tarikh Norsaeidah Jamaludin & Azmul Fahimi Kamaruzaman Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor
Abstrak: Ibn al-Athir merupakan antara sejarawan Islam berkaliber dan berdedikasi terhadap penulisan sejarah Islam. Kehebatan dan ketekunan beliau dalam menghasilkan yang terbaik tentang sejarah Islam dapat dilihat menerusi sebuah karya agung yang ditulis olehnya iaitu kitab al-Kamil fi al-Tarikh. Ia merupakan salah satu di antara karya beliau yang masih dijadikan sumber rujukan utama sejarah Islam. Sehubungan dengan itu, kebanyakan para ilmuan kini turut menjadikan karya Ibn al-Athir itu sebagai sumber sejarah Islam disebabkan kepadatan dan kejelasan maklumat sejarah yang terdapat di dalamnya. Oleh yang demikian, bukti kesesuaian maklumat yang dinukilkan oleh Ibn al-Athir itu dapat diketahui berdasarkan idea sejarah yang dinyatakan oleh beliau di dalam kitab al-Kamil itu sendiri. Berikutan itu, penulisan ini secara khususnya bertujuan memahami dan mengetahui idea sejarah yang di bawa oleh Ibn al-Athir dengan merujuk kepada “kata pengantar” yang terdapat di dalamnya. Selain itu, esei ini juga bertujuan memahami penulisan sejarah Ibn al-Athir. Oleh itu, penulisan ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menggunakan instrumen analisis teks. Hasil kajian mendapati, Ibn al-Athir mempunyai idea sejarahnya yang tersendiri yang mana ia menepati landasan penulisan al-Kamil. Kepentingan kajian ini amat relevan kerana penulisan mengenai idea sejarah Ibn al-Athir ini masih kurang dibincangkan dan secara tidak langsung penulisan ini dapat membantu dalam mengenalpasti idea sejarah yang dibawa oleh sejarawan lain. Oleh itu, kajian lanjutan perlu diteruskan untuk mengenalpasti idea sejarah yang ditulis oleh Ibn al-Athir dengan mengkaji beberapa sumber muktabar lain sebagai subjek kajian. Sehubungan dengan itu, kajian seumpama ini perlu dilakukan dengan menganalisa dan melakukan kajian perbandingan antara beberapa sumber sejarah yang lain.
PENGENALAN Kebanyakan karya-karya agung mempunyai kata pengantar yang ditulis oleh penulis kitab itu sendiri. Oleh itu, hendaklah diketahui dan difahami tentang kata pengantar bagi sesebuah karya itu yang kebiasaannya ia dicatatkan pada halaman yang terawal bagi setiap buku. Kata pengantar atau dikenali juga sebagai kata alu-aluan mengenai sesebuah buku yang ditulis oleh seseorang yang bukan pengarangnya. Ia juga memberi maksud kata alu-aluan oleh tokoh tertentu (yang mengandungi kata pengenalan atau ulasan) untuk sesebuah buku atau ringkasnya mukaddimah sesebuah buku. Oleh itu, dalam mendapatkan maklumat berkaitan dengan idea sejarah Ibn al-Athir penulis menilai terlebih dahulu kata pengantar al-Kamil itu disebabkan ia merupakan salah satu bahan terpenting dalam memberi tambahan ilmu kepada kajian ini. Ekoran dari itu, melalui kandungan kata pengantar tersebut memberi pengaruh kepada idea sejarah Ibn al-Athir. Selain itu, terdapat beberapa maklumat yang diperoleh untuk mengetahui apakah ciri-ciri kata pengantar al-Kamil dengan lebih jelas. Biografi: Nama sebenar Ibn al-Athir adalah Abu alHasan cAli bin Abi al-Karam Muhammad bin Muhammad bin cAbd al-Karim bin cAbd al-Wahid
al-Syaibani (Ibn Khallikan 1970, 3: 348). Beliau diberi gelaran Abu al-Hasan dan cIzz al-Din. Namun beliau lebih popular dikenali dengan nama Ibn alAthir al-Jazari yang mana perkataan al-Jazari tersebut dinisbahkan kepada tempat lahir beliau iaitu sebuah kampung yang dinamakan al-Jazirah Ibn c Umar berhampiran dengan Sungai Tigris (Mesapotamia) yang terletak antara Mosul dan Baghdad. Beliau telah dilahirkan pada 4 Rabic alawal 555H/1160M iaitu pada abad ke-12 di kampung tersebut dan dibesarkan di sana (Ibn alAthir 1965, 1: 9-10). Selain itu, Ibn al-Athir mempunyai tiga orang adik beradik dan beliau merupakan anak yang kedua. Abangnya bernama Majd al-Din yang lahir pada tahun 544-606H/11491210M Manakala adik bongsunya bernama Diya’ alDin yang lahir pada tahun 558-637H/1163-1239M (F. Rosenthal 1986, 3: 723-724, Mahayudin 1986: 460). Kesemua adik-beradik beliau adalah terkenal dengan kehebatan serta kepakaran dalam ilmu pengetahuan. Sehubungan dengan itu, abangnya Majd ad-Din mahir dalam bidang Hadith an-Nabawi, al-Quran dan tatabahasa Arab (Mona Joma 1987: 116). Maka, abangnya telah menghasilkan dua buah kitab yang berkait dengan ilmu Hadith an-Nabawi iaitu “Kitab Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul” dan “Kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith”. Adiknya pula Diya’ al-Din terkenal dalam bidang sastera dan
536
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
telah menghasilkan beberapa buah karya atau kitab yang unggul seperti “al-Mithal as-Sa’ir fi Adab alKatib wa as-Sha’ir” (Ibn al-Athir 1965, 1 : 9). Ketika usianya masih kanak-kanak, Ibn alAthir dan dua orang saudaranya itu telah mengikut ayahnya iaitu Abi al-Karam Muhammad bin Muhammad berhijrah daripada al-Jazirah Ibn cUmar ke Mawsil. Hal ini disebabkan ayahnya merupakan pegawai Bandar Mawsil di bawah Ketua Mawsil iaitu Qutb al-Din Maudud bin Zanki ketika itu. Ayahnya dan Qutb al-Din Maudud bin Zanki merupakan pemilik bersama terhadap kampung “Aqimah” yang terletak di sebelah timur al-Jazirah Ibn cUmar (Ibn al-Athir 1965, 1 : 10). Ibn al-Athir pernah tinggal di Mawsil dan dari sana beliau mengembara ke beberapa tempat seperti Baghdad, Damsyik, Palestin dan Hijaz. Semasa di Damsyik beliau telah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang ilmiah dan penulisan. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu hadith dari para ulama, fuqaha dan fuqarac ketika berada di wilayahwilayah tersebut. Ibn al-Athir bukan sahaja hidup pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Saljuk dan Kerajaan Atabik di Iraq, namun beliau juga hidup di bawah pemerintahan Kerajaan cAbbasiyah di Baghdad dan ketika sedang meletusnya Perang Salib Ketiga yang berlaku pada tahun 1189M sehingga 1192M iaitu selama empat tahun. Sebelum itu, Ibn al-Athir pernah menyertai tentera Salah al-Din bagi menentang tentera Kristian (Salib) ketika usianya 28 tahun (Mahayudin 1986: 460, Mona Joma 1987 : 131). Ibn al-Athir merupakan ahli sejarah Arab pada abad ke-6-7H/12-13M. Beliau mempunyai kelebihan tertentu sehingga digelar al-Athir kerana kebolehannya dalam bidang sejarah dan beliau terkenal dengan karya sejarahnya yang berjudul alKamil fi al-Tarikh (Mahayudin 1986: 460). Beliau menjadi begitu pakar dalam sejarah kerana beliau menghafaz sejarah-sejarah awal dan sejarah yang terkemudian ketika itu. Malah beliau juga adalah ketua dalam menghafaz hadith dan pengetahuannya meliputi yang berkaitan dengan bangsa Arab, harihari kebesaran mereka dan sebagainya sehinggakan beliau begitu rapat dengan sultan dan masyarakat malah beliau turut dikenali dengan kebaikan, kemuliaan akhlak dan sifat tawaduknya (Ibn al-Athir 1965, 1: 10). Kemudian pada bulan Syacban tahun 639H/1232M, beliau meninggal dunia pada usianya 75 tahun dan dikebumikan di Mawsil. Ibn al-Athir juga menulis beberapa buah kitab iaitu kitab al-Labab fi Tahzib al-Ansab. Kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab al-Ansab lil Simcani. Kitab yang seterusnya ialah kitab Usid alGhabah fi Macrifah al-Sohabah, Tarikh al-Daulah al-Atabikiah dan al-Kamil fi al-Tarikh (Ibn al-Athir 1965, 1: 11). Antara penulisan beliau yang muktabar adalah kitab al-Kamil fi al-Tarikh. Kitab ini merupakan salah satu kitab sejarah yang terbesar di
mana ia mengandungi sejarah “Bad’ al-Khaliqah” (permulaan alam) hingga ke tahun 628H/1230M iaitu pada zaman Ibn al-Athir. Kitab ini ditulis berdasarkan Kitab Tarikh al-Tabari tetapi metode penulisannya adalah mengikut cara dan bentuknya yang tersendiri. Kitab ini telah dicetak beberapa kali yang mana melalui naskhah cetakan Leiden pada tahun 1861 (Mahayudin 1986: 460). Epistemologi Sejarah Ibn Al-Athir: Sejarah merupakan suatu bidang ilmu yang luas yang mana ia banyak menyentuh aspek individu yang terlibat dan zaman sesuatu peristiwa itu berlaku. Sejarah juga dilihat sebagai sumber penting dalam memperoleh maklumat yang tepat dan jelas berhubung dengan fakta dan kenyataan para sejarawan. Selain itu, ia juga menjadi perkara penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat ke atas kesan dan pengajaran yang diperoleh dari sesuatu peristiwa yang dihuraikan. Sehubungan dengan itu, sesuatu sejarah itu ditulis bukan disebabkan oleh tanpa matlamat khusus tetapi ia ditulis dengan tujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Perkara ini dapat dilihat menerusi perenggan yang ketiga kata pengantar, Ibn al-Athir ada menyatakan minatnya dalam bidang sejarah (cAshur 1988: 189). Beliau juga menyatakan dalam kata pengantarnya tentang kecenderungan untuk mengetahui lebih lanjut akan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku. Sebagaimana kenyataan beliau: “saya gemar membaca buku-buku sejarah dan mengetahui kandungannya serta berminat untuk mengikuti peristiwa-peristiwa yang jelas lagi tidak tersembunyi di dalam lembaran buku tersebut dan saya cenderung untuk mengetahui pengetahuan, sastera dan pengalaman-pengalaman yang terdapat padanya” (Ibn al-Athir 1965, 1: 2). Selain itu, pada perenggan ini juga memperlihatkan beberapa kritikan dan rasa tidak senang Ibn al-Athir terhadap penulisan sejarah terdahulu. Kritikan-kritikan tersebut adalah hasil dari faktor atau matlamat beliau menulis al-Kamil. Kebanyakan sejarawan didapati menulis disebabkan oleh keinginan yang mendalam terhadap sejarah malah mereka menulisnya dengan bersungguh-sungguh serta mempunyai identiti yang tersendiri. Berikutan itu, terdapat beberapa sejarawan seperti sejarawan Islam didapati menulis sejarah dengan konsep sejarah atau idea sejarah masing-masing. Oleh yang demikian, salah seorang sejarawan Islam iaitu Ibn al-Athir didapati mengaplikasikan idea sejarah terhadap penulisan sejarahnya. Justeru itu, bagi mengetahui apakah idea sejarah Ibn al-Athir maka penulis cuba mendapatkan maklumat-maklumat penting dengan meneliti kenyataan yang dilontarkan oleh Ibn al-Athir melalui “kata pengantar” di dalam kitab karangannya iaitu al-Kamil fi al-Tarikh.
537
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Berhubung dengan kata pengantar al-Kamil tersebut, Ibn al-Athir ada mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan tentang epistemologi beliau dalam menulis sejarah. Oleh demikian, penulis cuba meneliti satu persatu kenyataan beliau bagi memperoleh dapatan yang sesuai dengan isi kandungan al-Kamil itu sendiri. Oleh yang demikian, hasil pembacaan dan penelitian penulis mendapati Ibn al-Athir ada menyatakan beberapa aspek iaitu cara, sumber, metodologi penulisan dan skop sejarah yang dipilih oleh beliau bagi melengkapkan maklumat sejarah yang dihimpunkan di dalam al-Kamil. Jika diteliti pada huraian “kata pengantar” alKamil, Ibn al-Athir ada menyatakan bahawa cara beliau memulakan penulisan sejarahnya adalah dengan mengumpulkan segala maklumat tentang raja-raja di Timur dan Barat di Mawsil serta orang dikalangannya terlebih dahulu (Ibn al-Athir 1965, 1: 2). Permulaan penulisan sejarahnya ini ditulis dengan membawa maklumat berkaitan peristiwa dan perkara-perkara yang berlaku dari zaman awal sehingga kepada zaman raja-raja tersebut. Menerusi kenyataannya ini, ia memperlihatkan sikap Ibn alAthir yang begitu prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di kalangan raja-raja di sekitar Mawsil. Keprihatinan Ibn al-Athir terhadap negaranya itu dapat diketahui dengan pengakuan beliau yang mana setiap maklumat yang dikumpulnya itu bukanlah keseluruhannya adalah peristiwa sejarah sahaja tetapi beliau turut mengambil apa sahaja peristiwa yang berlaku di Mawsil sama ada sejarah mahupun bukan sejarah. Cara kedua yang dilakukan oleh Ibn al-Athir adalah dengan hanya memilih dan mengumpulkan maklumat yang pernah dicatatkan di dalam manamana kitab sejarah dan mengambil sesuatu maklumat yang telah disaksikan sendiri oleh sesiapa yang pernah melihat sesuatu peristiwa itu. Selain itu, beliau turut mengambil maklumat sejarah hanya dari kitab-kitab sejarah yang dikenalinya dan kitab-kitab yang masyhur serta diketahui penulis-penulisnya bersikap jujur dalam penulisan (Ibn al-Athir 1965, 1: 3). Oleh yang demikian, cara yang kedua ini telah dilakukan oleh Ibn al-Athir dengan merujuk kepada kitab al-Tarikh al-Kabir yang ditulis oleh sejarawan yang masyhur iaitu al-Tabari sebagai rujukan utamanya. Kaedah yang digunakan oleh Ibn al-Athir terhadap kitab al-Tarikh tersebut adalah dengan mengambil keseluruhan isi kandungannya tanpa rasa ragu-ragu terhadap kebenaran kandungannya. Hal ini disebabkan riwayat-riwayat hadith yang terdapat di dalamnya adalah sempurna. Sehubungan dengan itu, Ibn al-Athir telah bertindak dengan hanya memilih riwayat yang paling sempurna kemudian memetiknya dan menambah beberapa perkara yang tidak terdapat padanya sehingga ia menjadi satu riwayat hasil dari gabungan riwayat yang lain. Selain itu, Ibn al-Athir juga tidak membuat kritikan terhadap mana-mana maklumat yang
diambilnya. Hal ini kerana menurutnya segala maklumat yang diambil itu adalah benar dan tepat serta tidak perlu kepada ulasan dan tambahan berikutan keperibadian al-Tabari yang jujur, baik dan berilmu membuatkan Ibn al-Athir begitu yakin dengan maklumat yang dikumpulkannya itu. Keadaan ini juga memperlihatkan bahawa kebergantungan Ibn al-Athir begitu tinggi terhadap kitab al-Tarikh sebagai panduan penulisannya. Kenyataan ini bermaksud bahawa kebanyakan riwayat yang diriwayatkan oleh al-Tabari adalah hadith yang sempurna. Perkara ini juga boleh diteliti dengan menilai keperibadian al-Tabari yang mana beliau merupakan seorang sejarawan yang pakar dalam sejarah malah menguasai ilmu hadith, fiqh dan tafsir (Ismail 2009: 193). Sehubungan dengan itu, beliau turut menjadikan maklumat al-Tarikh sebagai pelengkap kepada maklumat sejarah lain yang diambil untuk dimuatkan pada penghujung sejarah yang terdapat di dalam al-Kamil. Bagi mengumpul bahan-bahan yang digunakan untuk menulis al-Kamil, beliau lebih banyak bergantung kepada buku-buku rujukan yang teliti serta buku-buku yang paling dipercayai. Sebagaimana kenyataan beliau dalam kata pengantarnya, “ saya tidak memetik kecuali dari buku-buku yang masyhur serta diketahui pengarangpengarangnya bersikap jujur dalam nukilan dan tepatnya catatan yang dibuat oleh mereka” (Ibn alAthir 1965, 1: 3). Oleh itu, jelasnya di sini bahawa beliau amat teliti dalam mengambil sebarang rujukan dengan mementingkan sikap dan keperibadian penulis sejarah itu. Pada penelitian penulis, sumber kitab al-Kamil adalah berdasarkan rujukan yang dibuat olah Ibn al-Athir terhadap karya Imam Abu Jaafar al-Tabari iaitu kitab Tarikh alRusul wa al-Muluk. Beliau telah mengambil semua terjemahan yang terdapat di dalam kitab Tarikh alTabari ini dengan tidak meragui satu pun terjemahannya. Hal ini dikatakan kerana di dalam kandungan kitab tersebut terdapat banyak riwayat hadith yang sempurna sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Selain itu, pemilihan sumber sejarah itu juga dinilai dari sudut sumber itu sendiri yang mana kitab al-Tarikh al-Tabari yang dirujuk oleh Ibn al-Athir itu merupakan sumber yang unik. Kenyataan ini turut diakui oleh ramai sejarawan yang menganggap bahawa karya al-Tabari itu merupakan suatu yang unik kerana ia bukan sekadar pemaparan kisah-kisah lama dan baru seperti kebanyakan kitab sejarah yang lain, tetapi ia juga merupakan karya pensejarahan yang menggunakan metodologi tersendiri iaitu berasaskan sistem urutan tahunan (nizam al-sanawi) di samping huraian fakta berkonsepkan falsafah sejarah. Sementara penjelasan mengenai sejarah dunia pula dilakukan secara rasional dan praktikal (Ismail 2009: 194). Dengan kekuatan-kekuatan yang ada pada kitab al-Tarikh al-Tabari itu, ini mengukuhkan lagi keinginan Ibn al-Athir untuk
538
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
merujuk al-Tarikh al-Tabari sebagai sumber utama dalam kitab al-Kamil dan mengambil sepenuhnya sejarah yang terdapat di dalam kitab tersebut malah Ibn al-Athir sendiri menyakini bahawa keseluruhan sejarah yang dipaparkan oleh al-Tabari adalah sebuah sejarah lengkap dan ini melengkapkan lagi sejarah yang terdapat dalam kitab al-Kamil. Oleh yang demikian, maka jelas bahawa Ibn alAthir lebih memberi penumpuan pada kitab sejarah milik al-Tabari sebagai sumber rujukannya yang utama. Beliau tidak hanya merujuk tetapi benarbenar mengambil sepenuhnya sejarah yang terdapat di dalamnya dengan tidak menambah sebarang maklumat lain. Selain itu, Ibn al-Athir juga dikatakan bergantung kepada beberapa sumber lain di mana sumber-sumber tersebut dirujuk bagi mendapatkan maklumat tertentu. Dalam memperolehi maklumat berkaitan sesuatu wilayah, beliau memberi perhatian kepada pengkhususan setiap daerah atau negeri yang disentuhnya, umpamanya ketika menyentuh tentang negeri Iraq beliau bergantung kepada buku-buku yang ditulis oleh al-Jauzi dan al-Hamazani. Ketika menyentuh negeri Maghrib pula beliau banyak mengambil dari sumber Ibn Shaddad al-Sanhaji dan sewaktu menulis tentang negeri Sham beliau banyak mengambil dari buku-buku Ibn al-Qalansi dan al-Uzaimi (cAshur 1988: 192). Aspek ketiga yang dihuraikan di dalam kata pengantar tersebut adalah metodologi penulisan yang digunakan oleh Ibn al-Athir. Metodologi penulisannya banyak dipengaruhi oleh cara penulisan sejarawan terdahulu seperti menulis tahun secara tersusun mengikut peristiwa (metodologi kronologi). Oleh yang demikian, beliau turut menulis sejarah dengan menyatakan tahun bagi setiap peristiwa-peristiwa utama dan tahun kematian bagi para ulama yang terkenal. Walau bagaimanapun, dalam menggunakan metod kronologi tersebut bukanlah suatu cara yang baik menurut Ibn al-Athir dan pada beliau cara ini memecahkan sesuatu peristiwa kepada beberapa bahagian yang terpisah. Oleh itu, beliau berusaha sebaiknya dengan mengolah sesuatu peristiwa dalam satu tempat walaupun peristiwa tersebut berterusan untuk beberapa tahun. Sebagaimana yang dilakukan terhadap seseorang raja atau pemerintah, beliau akan menulis kegiatan dan usaha individu tersebut mengikut susunan tahunnya tetapi jika masa pemerintahannya pendek maka beliau akan mencatatnya sekaligus dari awal. Malah menurut cAbd Ghani (1961: 172-173), metodologi Ibn al-Athir secara umum dalam pensejarahan Islam adalah berdasarkan tajuk-tajuk khusus terhadap peristiwa-peristiwa besar sahaja yang mana ia berlaku pada setiap tahun dan bulan menyebabkan peristiwa-peristiwa yang kecil-kecil tidak diambil kerana ia tidak begitu masyhur dan penting bagi Ibn al-Athir. Maka, kesemua peristiwa itu telah dikelaskan mengikut tajuk-tajuk tertentu
dan akan disebut tahun atau bulan berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut supaya lebih teratur susunan peristiwanya. Beliau tidak menggunakan metode berdasarkan kronologi tahun seperti yang digunakan oleh al-Tabari pada awalnya tetapi disebabkan beliau tidak berkesempatan untuk menulis sejarah dengan lebih baik maka beliau turut menggunakan metodologi penulisan yang digunakan oleh al-Tabari. Selain itu, terdapat juga perbezaan metode pensejarahan beliau dengan metode yang digunakan oleh sejarawan al-Yacqubi dan al-Mascudi yang mana mereka berdua telah mengggunakan metode pensejarahan berdasarkan tajuk-tajuk khusus mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum Islam dan selepas Islam seperti Ayyam al-Khulafa’ dan para pemimpin. Keadaan ini berbeza dengan Ibn al-Athir yang mana beliau tidak meletakkan tajuktajuk khusus terhadap peristiwa yang berlaku tetapi beliau hanya menyusunnya mengikut tahun hijrah sesuatu peristiwa itu berlaku. Justeru, Ibn al-Athir telah menggunakan metode tersebut di mana beliau telah menyusun dan mengumpulkan peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku dalam sesebuah tahun dan mengakhirinya dengan tarikh kewafatan tokoh-tokoh terkenal yang mana ia terkandung dalam tajuk “Dhikru ‘iddah alHawadith”. Manakala ketika membicarakan tentang peristiwa-peritiwa besar dan penting, beliau akan mengkhususkan di bawah tajuk-tajuk tertentu di dalam tahun ia berlaku. Bahkan Ibn al-Athir tidak membicarakan peristiwa-peritiswa yang berlaku dalam sesebuah tahun itu secara meleret-leret hingga masuk ke tahun-tahun yang berikutnya melainkan untuk menjaga kesinambungan peristiwa-peristiwa tersebut atau untuk mengelakkan terputusnya plot penceritaan (cAbd Ghani Hasan 1961: 172). Berdasarkan penelitian penulis, aspek yang keempat bagi melengkapkan idea sejarah Ibn alAthir ini adalah merujuk kepada aspek skop sejarahnya. Merujuk kepada al-Kamil didapati Ibn al-Athir menggunakan skop subjek pilihan bagi memuatkan maklumat sejarah di dalamnya. Sebagaimana yang dinyatakan Ibn al-Athir dalam kata pengantarnya, “saya memulakan dalam menulis sejarah dengan maklumat raja timur dan barat dan dikalangannya….” (Ibn al-Athir: 1965, 1: 2). Oleh itu, jelas beliau menulis sejarah adalah melibatkan subjek pilihannya yang tertentu iaitu di antara golongan raja dan bangsawan. Bagi penentuan subjek sejarahnya, Ibn al-Athir telah memilih subjeknya yang berada dalam lingkungan kawasan tempat tinggalnya. Walau bagaimanapun, pemilihan subjek ini dibuat atas sebab apa yang hanya terdapat di dalam sumber rujukan yang dipilih olehnya sahaja. Beliau tidak memilih subjeknya selain dari apa yang hanya terdapat dalam sumber sejarah yang dirujuknya. Oleh itu, apabila beliau memilih subjeknya yang tertentu, maka sudah pasti subjeknya itu berada dalam kawasan yang tertentu. Sehubungan dengan
539
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
itu, penulis dapati skop penulisan Ibn al-Athir adalah mengikut tempat. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan Ibn al-Athir sendiri iaitu “ …tidak dapat tidak ia berkaitan peristiwa di timur dan barat Mawsil” (Ibn al-Athir 1965: 3). Berdasarkan kenyataan inilah, penulis menganggap bahawa Ibn al-Athir meletakkan tempat sebagai skop penulisan di dalam kitab al-Kamil. Selain itu, penulis dapati adanya skop zaman dan masa yang dijadikan ruang untuk Ibn al-Athir menulis al-Kamil. Ia bertujuan sebagai mengenalpasti sejarah yang ditulis olehnya itu berada di mana dan ketika zaman mana. Dengan menjadikan skop zaman dan masa, maka penulisan sejarah Ibn al-Athir akan menjadi lebih tersusun. Hal ini dapat diketahui melalui pengakuan Ibn al-Athir dalam kata pengantarnya bahawa beliau memasukkan peristiwa yang berkaitan dengan zaman awal dengan susunan waktunya. Perkara ini boleh dilihat dari kenyataan Ibn al-Athir iaitu “ saya berikan di dalamnya dengan peristiwa dan objek dari zaman awal mengikut waktunya” (Ibn al-Athir 1965, 1: 2). Berdasarkan kenyataan di atas, maka dapat diketahui bahawa Ibn al-Athir meletakkan beberapa skop seperti skop subjek pilihan, kawasan dan skop zaman dan masa sebagai landasan penulisan sejarahnya. Justeru itu, dengan penelitian sebegini ia dapat memberi penjelasan bahawa terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian bagi mengenalpasti idea sejarah para sejarawan yang kebanyakannya tidak dinyatakan secara langsung. Oleh itu, secara keseluruhannya kata pengantar atau Muqaddimah Ibn al-Athir ini mempunyai perkaraperkara penting yang perlu diteliti dan diperhalusi isinya agar memberi manfaat buat semua manusia. Selain itu, kata pengantarnya ini meliputi aspek penting dalam membantu kajian yang mana ia menyentuh perihal kritikan pengarangnya terhadap penulisan dan sejarawan terdahulu, sumber rujukan, metod penulisan, usaha-usaha Ibn al-Athir dalam melengkapkan al-Kamil dan faedah mempelajari sejarah menurutnya. KESIMPULAN
Idea sejarah yang dibawa oleh Ibn al-Athir juga dilihat menepati landasan al-Kamil itu sendiri yang mana ia berteraskan prinsip-prinsip yang digunakan untuk memperolehi sejarah yang tepat dan benar. Tambahan pula, skop-skop perbincangan yang diambil oleh Ibn al-Athir adalah skop yang selari dengan epistemologi yang dikehendakinya. Begitu juga dengan kekuatan sumber yang ada menambahkan lagi kelayakan kitab ini untuk dianggap sebuah kitab sejarah Islam yang lengkap dan sempurna. Oleh itu, wajarlah untuk kitab alKamil itu dikatakan mempunyai fakta sejarah yang benar dan sememangnya berlaku kerana ia berasal dari sumber-sumber yang utama seperti al-Quran dan hadith. RUJUKAN c
Abd al-Ghani Hasan, Muhammad. 1961. Ilm alTarikh ‘inda al-‘Arab. Beirut: Muassasah alMatbuat al-Hadithiah. c Ashur, Abdul Fattah. 1988. Mengenali buku ‘alKamil fi al-Tarikh’ karya Ibn al-Athir. hlm:185206. Pengenalan buku-buku utama Islam. Kuala Lumpur: al-Rahmaniah. Ibn al-Athir. 1965. Al-Kamil fi al-Tarikh. Jil.1. Beirut: Dar Beirut. Ibn Khallikan. 1970. Wafayat al-cAyan. Jil.3. Beirut: Dar al-Sadiq. Ismail Bakar. 2009. Sejarah historiografi Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mahayudin Yahya. 1986. Ensiklopedia sejarah Islam. Jil.2. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Al-Maturiy, Muhammad al-cArusiy. 1998. Perang salib di alam islami. Kuala Lumpur: pustaka Syuhada. Mona Joma Hammad. 1987. Latin and Muslim historiography of the Crusades: acomparative study of William of Tyre and ‘Izz al-Din Ibn alAthir. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Sejarah: University Pennysylvania. Rosenthal, Franz. 1986. Ibn al-Athir. Dlm. The encyclopaedia of Islam. Jil.3. hlm: 723-725. Leiden: E.J Brill.
Oleh itu, secara keseluruhannya kata pengantar atau Muqaddimah Ibn al-Athir ini mempunyai perkaraperkara penting yang perlu diteliti dan diperhalusi isinya agar memberi manfaat buat semua manusia. Selain itu, kata pengantarnya ini meliputi aspek penting dalam membantu kajian yang mana ia menyentuh perihal kritikan pengarangnya terhadap penulisan dan sejarawan terdahulu, sumber rujukan, metod penulisan, usaha-usaha Ibn al-Athir dalam melengkapkan al-Kamil dan faedah mempelajari sejarah menurutnya.
540