Biografi A. Samad Said Februari 13, 2007
Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946). Kemudian A. Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga memperolehi sijil Senior Cambridge (1956). Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani, pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian, Kumpulan The Straits Times, dan ketua pengarang akhbar Warta Teberau. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya. Sejak di bangku sekolah lagi minatnya terhadap sastera mula berputik apabila beliau berjinak membaca karya sastera dalam dan luar negera seperti karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel Oliver Twist, Wuthering Height, dan Almayer’s Folly. Beliau juga menggunting dan menyimpan cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya sendiri. Kegiatan menterjemah beberapa karya asing juga secaran tidak langsung memperkuatkan minatnya terhadap kesuasteraan Bermula detik alam persekolahan hingga kini A. Samad Said tida jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei untuk mewarnakan dunia sastera di persada tanah
air dan antarabangsa. Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku dan Warkah Eropah, AL-AMIN , Riwayat Hidup Rasululiah s.a.w dalam Puisi (1999) dan kumpulah puisi Suara Dari Dinding Dewan (2003) terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Sentuhan karyanya yang terbaharu ialah novel Adik Datang, kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir dan kumpulan puisi kanakkanak Rindu Ibu yang diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd.Beberapa karyanya diadaptasi menjadi teater/drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie, dan Memori Di Hadapan Pulau Pencapaian
dan
sumbangan
A.
Samad
Said
dalam
memperkayakan
dan
memertabatkan
kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima pelbagai anugerah. Antaranya termasuklah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985), dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999). Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka. (Dewan Sastera Ogos 2003) Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A. Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil di ujana kesusasteraan tanah air. Dalam karya A. Samad Said, khalayak akan melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang pengarang yang menuangkan nurani seninya. A. Samad Said berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas. Antara Hasil karya: A Samad Said (Antologi Puisi) Adik Datang Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri Dirgahayu Dr. Mahathir Dosa Pejuang Lantai T. Pinkie Rindu Ibu Suara Dari Dinding Dewan Sumber: Ujanailmu
Sajak A.Samad Said – Peludah Bahasa Ogos 12, 2009
PELUDAH BAHASA Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama. Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya. Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula. Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasainsan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah. Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan. Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan. Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana. Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit: Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya. Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya; pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas. Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa; masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah. Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya. Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana. Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring. Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur. Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya. Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda. Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga. Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa. Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan. Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah. Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa. - A.SAMAD SAID
Janda Setinggan – A. Samad Said Mac 23, 2009
Hari lahirnya Jumaat lalu lipan menyengat telunjuk kirinya. Dan dalam matanya yang letih berpusar asap dan debu. Dunianya amat sedu. Sesekali angin berang merentap baju di tengkuknya terserlah pulau panau. Derita kembaii menderu. Katanya: Derita itu aku. Dirinya cemas diterjah usia dalam kabus belasungkawa – dia tergigau hampir seminggu diancam lipan, angin dan debu yang sama. Desa bahagia, derita. Katanya: Derita itu aku. Antara jamban dan dapur di sisi parit tohor hari mukanya sabut, tin dan lumpur. Kalut mega direnungi; kenyit kilat tak berbunyi. Memang telinga kirinya kini tuli. Terjulur pegaga segar dan ketip ketam cergas mencakar dalam bakul kenangannya: sanggul-molek-punggung-cantik ulam kehidupan zaman penjajah terlucut colinya suatu pagi dia dicantasi janji lelaki – dirinya bukan perawan lagi. Cinta dan sejarah mencakar langsir dan mencekau pintunya menyembur bara mantera “Aku teringat pandang pertama.”1 Untuk apa? Hingga bila?
Dihantar rayu-resah Sanisah Huri diterimanya lesu-lara dendang R. Azmi simfoninya rimba duri disergah arus mimpi. Dia yakin di situ segala tersumpah sebagai batu; menjadi lebih pasti, sesekali disentap semboyan kereta api. Dalam dakapan cubit tak sakit dia tertipu empat kali dia setinggan janda berganda tercemar di belakang kereta. Tapi, mimpi akhirnya pangsapuri taman-mini-kolam-mandi geli hatinya sepagi, kerana dirinya bas mini mendesah ke Dayabumi bersaing rezeki. Dan sejak anak tunggalnya mati hikayatnya gunung ngeri, kehidupannya puisi elegi. Lalu, di larik bibir gincu tak seri; di bawah kenanga bau tak wangi; di sisi lampu bayangtakjadi. Dia diejek usia, diserapah cinta empat kali dia terbelah. Disedari dirinya janda dijerat rindu – perahu sepi diagah sunyi antara Bidong dan Langkawi. Dia belajar bahagia di sisi lilin dan kucing yang lara. Jumaat lalu, di tengah gempa Armenia,
dirai hari lahirnya – bertunda rekod R. Azmi, käset Sanisah Huri, berlumba kenangan meracuninya. Dia terbiasa – dalam cahaya malamnya siang, dalam gelita siangnya malam. Dan kini semakin payah dikenalnya bila jantan insan-hewani, bila pula hewani-insani. Lelaki tak dipercaya lagi. Sejak itu bergilir tetangga mengadapnya – sedu dalam ayat syahdu Dan ketika racaunya sampai ke puncak Tujuh kali dia tersentak. Darah, najis dan muntah saling mengasak. Dalam biliknya berdinding akhbar, tingkap berkiut, lantai berlumut dia mengucap semput. Tercungap. Tersentap. Terhenti. Matinya di sisi sisa nasi, Rehal retak, subang pengantin, foto anak. Tak mungkin jantan menipunya lagi! ~ A. Samad Said
Nikmat ~ A. Samad Said Mei 12, 2008
Segala yang dihasrat tapi tak didapat adalah nikmat yang paling padat. A. Samad Said (Benih Semalu)
Hidup Bersama ~ A Samad Said Oktober 24, 2007
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar; dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah, tenang dalam segala uji cabar dan debar. Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi. Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh. Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan, inti tunggak dan menara kebahagian. ~ A Samad Said
Ombak ~ A.Samad Said Oktober 10, 2007
Ombak yang menjamah kakiku sekali takkan dapat kukenali lagi. ~ A.Samad Said
Dalam Librari ~ A. Samad Said September 11, 2007
Dalam librari aku tersengguk seorang tua tersenyum menegur: Tak guna membuka buku menutup mata. Kan elok menutup buku membuka mata? Mulai esoknya dalam librari ku tak pernah tersengguk lagi walau orang tua sudah lama tiada kusua Dalam librari kini ku membaca, mataku sering ke kerusi orang tua yang sudah tiada ~ A. Samad Said
Tetamu Senja ~ A. Samad Said April 6, 2007
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja Bila cukup detik kembalilah Kita kepadanya Kita datang ini kosong tangan dada Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Pada tetamu yang datang dan Kenal jalan pulang Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada Insan Pada tetamu yang datang Dan lupa jalan pulang Usahlah derhaka pula Pada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat Atau segera sesat puja darjat Puja pangkat Segera kita insaf kita ini punya kiblat Segera kita ingat kita ini punya tekad
Bila kita lihat manusia terbiar larat Hingga mesti merempat ke laut biru Ke kuning darat Harus kita lekas sedar penuh pada tugas Harus kita tegas sembah Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat Kita datang ini satu roh satu jasad Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat ~ A. Samad Said
Bahasa Terindah ~ A. Samad Said Februari 12, 2007
Yang diucap dalam bahasa terindah, Jawapan yang bertanya didengar nabi, Antara kagum dan khusuk setiap ayatnya, Lereng gunung menjadi amat sunyi, Suara sajak tegas bergema, Disampai arah berkias maksud serentak, Tapi jelas intinya, Tidak sedetikpun Allah menghindar, Atau mencemuh nabi disisi segala didoa, Dipenuhi segala yang dipinta tulus dan, Penuh baraqah, Yatim ia tak berlindung, Tidakkah tersedia juga bumbung baginya. Awal begitu bergantung, Kini tidakkah merdeka, Bebas hidupnya. ~ Dato’ A Samad Said
Menambat Rakit ~ A. Samad Said Februari 9, 2007
Sesudah demikian lama dicintai, sukarlah dilupakan. Inti pengalaman, kepedihan; akar kerinduan keresahan… Memang begitu banyak diperlukan kekuatan, kepangkalan batin, rakit ditambatkan bara kenangan dikuatkan Akhirnya, tak terduga, kekuatan membuak sendiri, dan disedari, semua takkan sampai, ke dasar inti. Tiada lagilah bezanya, sama ada hilangnya kemudian atau tenggelamnya sekarang. Tiada juga bezanya , jika ia langsung tak datang atau tiba-tiba terkorban Kepiluan yang berlanjut akhirnya, ditenterami keyakinan, betapa dielak puntakdir tetap terbuka pintunya bertanya: manusia, engkau ini sebenar-benarnya siapa.. ~A. Samad Said (1985 )
Merindui buku ~ A. Samad Said Februari 6, 2007
Inilah denai jejak seni ke hati, puncak fikir yang indah sekali, tanpa himpunan ilmu di kalbu buku kita tak sempat sampai ke mercu itu. Di sini diri sentiasa di taman menikmati unggas dan puspa menawan; di sinilah vista buku saraf seni, meranum akal mematang peribadi. Kita wajar berpesta di kalbu buku menghayati nikmatnya seindah syahdu dalam tenang waktu khusyuk di pustaka lebih cepat kita terasuh dewasa. Buku adalah denyut nadi utama penting bagi minda waras manusia; dan buku juga gema fakir yang sakti, nyaman dan mesranya sebuah simfoni. Kita memupuk insan yang luhur budi melalui tapisan hikmat berseni; dan buku memang tasik aneka ilmu yang perlu diselami sejujur kalbu. Buku mengasuh diri sasa bersuara; membaca menjadi jambatan bertuah kita merindu buku dan ghairah baca agar sentiasa canggih dan berhemah. A Samad Said 7 Mac 2004 Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50