PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Sejarah Ketenteraan ‘Uthmaniyyah dalam Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin Karya Shaykh Wan Ahmad al-Fatani 1,2
Ezad Azraai Jamsari, 1,2Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, 1,2 Ermy Azziaty Rozali & 1Mohd Yusrizal Mohd Yunus
1
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam 2 Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor
Abstrak: Sejarah Kerajaan ‘Uthmaniyyah turut dibincangkan oleh golongan ulama Alam Melayu dalam karya-karya mereka. Antara tokoh yang menulis tentang sejarah Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah ialah Shaykh Wan Ahmad al-Fatani melalui karyanya, Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Matlamat kajian ini adalah untuk memaparkan ketokohan Shaykh Wan Ahmad al-Fatani dalam penulisan berkaitan Islam. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk mencerakinkan maklumat tentang sejarah ketenteraan ‘Uthmaniyyah dalam karyanya, Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Keseluruhan kajian ini menggunakan kaedah pendekatan kajian kualtitatif menerusi metode historical study dan content analysis iaitu penelitian terhadap karya Shaykh Wan Ahmad alFatani, Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Hasil kajian mendapati Shaykh Wan Ahmad al-Fatani ada menulis berkaitan isu-isu ketenteraan dalam sejarah Turki ‘Uthmaniyyah. Justeru, karya Hadiqat al-Azhar wa alRayyahin merupakan penulisan tentang Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah berdasarkan perspektif ulama Alam Melayu.
PENGENALAN Nama Shaykh Wan Ahmad al-Fatani cukup istimewa apabila dikaitkan dengan sumbangan beliau terhadap perkembangan Islam di Alam Melayu. Hal ini kerana terdapat banyak hasil tulisan dan kitab-kitab karangan beliau yang menjadi panduan masyarakat Islam dari dahulu hingga masa kini. Shaykh Wan Ahmad al-Fatani ialah tokoh ulama Melayu terawal yang menulis tentang pensejarahan Kerajaan ‘Uthmaniyyah, iaitu dalam sebahagian daripada karya beliau bertajuk Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Shaykh Wan Ahmad al-Fatani dilahirkan di Kampung Sena Janjar, Kampung Jambu, Jerim, Patani pada malam Jumaat 5 Syaaban 1272H/10 April 1856. Nama asal bagi kampung tersebut ialah Kampung Sena yang dibuka oleh datuknya yang keenam, iaitu Faqih Wan Musa al-Fatani. Lantaran itu, nama asal kampung tersebut ditukar kepada Kampung Sena Janjar oleh datuknya, Shaykh Haji Wan Mustafa al-Fatani. Pelbagai peristiwa dikaitkan dengan tahun kelahiran beliau, antaranya tahun kelahiranya bersamaan dengan tahun kemangkatan Sultan Mahmud, iaitu Raja Patani. Penglibatan dan pengabdian Shaykh Wan Ahmad al-Fatani merupakan kemuncak bagi segala kegiatan dakwah Islamiah yang dilakukan nenek moyang dan kaum kerabat beliau yang lain Latar Belakang Shaykh Wan Ahmad Al-Fatani: Nama sebenar beliau ialah Haji Wan Ahmad bin
Wan Muhamad Zain bin Wan Mustafa al-Malayuwi al-Fatani yang berasal daripada keturunan para mubaligh Islam dari Hadhramaut. Nasab keluarga beliau dikatakan bertalian dengan ‘Abbas b. ‘Abd alMuttalib, bapa saudara Rasulullah (s.a.w.) (Ahmad Fathy 2002: 52). Nama Sheikh Wan Ahmad alFatani cukup istimewa apabila dikaitkan dengan sumbangan beliau dalam perkembangan Islam di Alam Melayu. Ini memandangkan terdapat banyak hasil tulisan dan karangan beliau yang menjadi panduan masyarakat Islam, semenjak dahulu hingga kini. Berdasarkan catatan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, iaitu cucu Sheikh Wan Ahmad al-Fatani yang terlibat dengan pengumpulan dan pengkajian manuskrip ulama dunia Melayu, terutamanya dari Patani, mengatakan bahawa Sheikh Wan Ahmad alFatani merupakan seorang ulama yang terkenal pada zaman kehidupannya (Ismail 1998: 55). Antara lain juga, Sheikh Wan Ahmad al-Fatani merupakan tokoh ulama Alam Melayu terawal yang menulis bidang pensejarahan berkaitan Kerajaan ‘Uthmaniyyah. Ini boleh dilihat pada kitab beliau yang bertajuk Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Salasilah Keluarga: Nama lengkap beliau ialah Sheikh Wan Ahmad (1272H-1325H/1856-1908M) bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa (wafat pada usia 120 tahun) bin Wan Muhammad bin Muhammad Zainal Abidin bin Faqih Wan Musa bin Hidhir bin Sheikh Wan Ahmad. Ibu Faqih Wan Musa al-Laqihi bernama Wan Maryam binti Sheikh
158
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Wan Husein bin Sheikh Ibrahim al-Hadhrami yang tiba di tanah Jawa pada tahun 800H/1397M setelah melalui kepulauan Sulu dan Mindano dan wafat di Tuban pada tahun 829H/1420M dan dimakamkan di Nggesik. Sheikh Ibrahim al-Hadhrami juga ialah saudara kandung Sheikh Ali Nurul Alam dan Barakat Zainul Alam. Manakala Sheikh Wan Muhammad Shalil alJarimi al-Laqihi al-Fatani (nama lain ialah Hidhir) merupakan antara pembesar di Legih dan putera kepada Sheikh Ali Nurul Alam. Saudara kandungnya ialah Wan Abdullah atau Sultan ‘Umdatuddin, iaitu Sultan Campa pada masa itu. Wan Abdullah mempunyai dua putera, iaitu Syarif Hidayatul yang dikenali sebagai Sunan Gunung Jati di Jawa Barat dan Babullah yang merupakan Sultan Ternate. Sementara itu Barakat Zainul Alam ialah ayah kepada Maulana Malik Ibrahim yang wafat pada 12 Rabi’ul Awwal 882H (1419M) dan dimakamkan di Gerisik, Jawa Timur. Tiga orang saudara yang dinyatakan sebelum ini, iaitu Ali Nurul Alam, Barakat Zainal Abidin dan Ibrahim alHadhrami ialah anak kepada Sayyid Jamaluddin alAkhbar al-Hussein. Panggilannya al-Patani dan dikenali dengan Abar atau Ibar sahaja. Menurut catatan versi Patani bahawa baik Sayyid Jamaluddin al-Akhbar al-Hussein mahu pun ketiga-ketiga orang anaknya itu merupakan kelahiran Kerisik Patani. Sheikh Wan Ahmad al-Fatani dilahirkan di Kampung Sena Janjar, Jambu, Negeri Jerim, Patani pada malam Jumaat tanggal 5 Sha‘ban 1272H/10 April 1856M. Nama asal kampung tersebut ialah Kampung Sena yang dibuka oleh datuknya yang keenam, iaitu Faqih Wan Musa al-Fatani. Kemudian, nama asal kampung tersebut ditukar kepada Kampung Sena Janjar oleh datuknya, Sheikh Haji Wan Mustafa al-Fatani. Pelbagai peristiwa telah dikaitkan dengan tahun kelahiran beliau seperti tahun kelahiranya itu bersamaan dengan tarikh kemangkatan Sultan Mahmud, iaitu Raja Patani ketika itu. Lantaran daripada itu, puteranya bernama Tengku Putih telah diangkat menjadi Raja Patani yang baru menggantikan tempat ayahandanya (Wan Mohd Saghir 1992: 12). Penglibatan dan pengabdian Sheikh Wan Ahmad al-Fatani merupakan kemuncak daripada segala kegiatan dakwah Islamiah yang dilakukan nenek moyang dan kaum kerabat beliau yang lain. Antara ulama yang termasyhur dalam keluarga Sheikh Wan Ahmad ialah datuknya bernama Sheikh Wan Mustafa bin Muhammad bin Muhammad Zain bin Muhammad bin Musa. Sheikh Wan Mustafa mempunyai empat orang anak yang alim, iaitu Muhammad Zain, Abdul Qadir, Abdul Latif dan Daud. Beliau sendiri merupakan antara Imam dan Panglima Perang Sabil. Sementara itu, Sheikh Wan Ahmad mempunyai tiga orang bapa saudara, iaitu Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif yang merupakan penyiar agama Islam di Kota Bangkok, Sheikh Wan Abdul Qadir atau Tok Bendang Daya (m.1895) dan Sheikh Pak Chik Daud
(m.1936), iaitu guru terkenal di Makkah. Selain itu, beliau juga mempunyai dua orang sepupu terkenal, iaitu Sheikh Wan Ismail bin Abdul Qadir (m.1965) atau lebih dikenali sebagai Pak Da Ail, yang juga merupakan guru terkenal di Makkah. Manakala seorang lagi sepupunya bernama Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Abdul Qadir yang dikenali sebagai Pak Cu Him. Beliau merupakan pengembang Pondok Gajah Mati di Pendang, Kedah dan meninggal dunia pada 11 Januari 1968 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Antara anak saudaranya yang turut dikategorikan sebagai ulama ialah Tuan Guru Haji Nik Daud bin Haji Nik Mat (Ahmad) yang mengusahakan pengumpulan dan penterjemahan kitab al-Fatawa al-Fataniyyah dan juga penegak pondok lama di Tanah Merah, Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Daud bin Haji Nik Mat telah meninggal dunia pada petang 2 Ogos 1977 dan Tuan Guru Haji Nik Abdullah Ahmad, Nibong Baru yang kembali ke rahmatullah pada 3 September 1972. Pendidikan: Pada peringkat awal, Sheikh Wan Ahmad al-Fatani dididik oleh bapanya sendiri, iaitu Haji Wan Muhammad Zain (atau Haji Wan Din) bin Sheikh Wan Mustafa. Beliau kemudiannya berguru pula dengan bapa saudaranya bernama Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Wan Mustafa yang terkenal dengan gelaran ‘Tok Bendang Daya’, iaitu seorang guru pondok yang sangat masyhur di Patani pada pertengahan kedua abad ke-19M. Sheikh Wan Ahmad al-Fatani merupakan seorang yang sangat cerdas otaknya dan sudah diakui alim semenjak berusia 12 tahun. Sekitar umurnya empat tahun, beliau telah mengikut ayah dan ibunya berpindah ke Makkah. Di sana, beliau tidak menampakkan dirinya sebagai seorang anak yang rajin belajar. Oleh yang demikian itu, kedua-dua orang tuanya mulai merasa gelisah jika hal sedemikian terus menerus berlaku kepada anak mereka. Keadaan ini juga boleh mengakibatkan kegagalan semua cita-citanya yang diharapkan agar anaknya itu menjadi seorang yang termasyhur dalam pelbagai bidang dalam ilmu pengetahuan (Wan Mohd Shaghir 2000: 84). Dalam beberapa tempoh kemudian, kedua-dua orang tua Sheikh Wan Ahmad mulai merasa lega dan hairan kerana setiap pertanyaan dan persoalan yang diajukan kepadanya dapat dijawab oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fatani dengan fasih dan jelas, malah daya hafalanya amat luar biasa. Beliau mampu menghafal pelbagai matan berbanding teman-temannya yang lain. Semasa Sheikh Wan Ahmad melanjutkan pelajarannya di Makkah, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru, antaranya seperti berikut: Sheikh Ahmad bin Zaini Dahlan (m.1304H di Madinah). Sheikh Hasbullah atau Muhammad bin Sulaiman (m.1335H).
159
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Sheikh Nik Dir Patani (Abdul Qadir bin Abdul Rahman) (m.1898). Sheikh Wan Muhammad Ali Kutan bin Abdul Rahman al-Kalantani (m.1913). Sheikh Nik Mat Kecik Patani (Muhammad bin Ismail) (m.1915). Apabila Sheikh Wan Ahmad al-Fatani berjaya menamatkan pengajiannya di Makkah, beliau kemudian telah menyambung pelajarannya ke Bait al-Maqdis dan akhirnya menamatkan pengajiannya di Mesir. Sheikh Wan Ahmad al-Fatani merupakan orang Melayu pertama yang menuntut di Universiti al-Azhar. Antara gurunya di sana ialah Sheikh Mustafa ‘Afifi. Semasa menuntut di Mesir, pelbagai rintangan yang dihadapi oleh Shaykh Wan Ahmad al-Fatani. Menurut catatan, pemergian beliau ke Mesir hanya berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan menjunjung sebuah al-Qur’an di kepalanya serta tanpa membawa wang yang banyak. Kehidupan Shaykh Wan Ahmad al-Fatani sangat sederhana. Beliau hanya mempunyai sehelai baju yang berwarna putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Bajunya itu dicuci setiap dua hari sekali. Setelah beliau selesai belajar di Masji Jami‘ al-Azhar, baju itu juga yang dibawa ke Makkah yang mempunyai banyak tampalan. Diriwayatkan selama tempoh pembelajaran tersebut itu, beliau hanya memakan roti yang dibelah empat untuk setiap hari. Satu perempatnya untuk makan siang, satu pereempat pula untuk makan malam dan separuhnya disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak punya apa-apa seperti beliau. Beliau turut memperoleh hasil sedekah daripada murid-muridnya di Mesir, kerana beliau turut mengajar pada masa beliau sendiri sedang masih belajar. Dalam tempoh pengajiannya di Mesir, Shaykh Wan Ahmad al-Fatani tidak pernah mendapat kiriman berupa wang daripada kedua orang tuanya. Hal ini adalah atas permintaan beliau sendiri yang tidak mahu membebankan kedua orang tuanya. Beliau hidup secara berdikari dengan jerih payah sendiri. Beliau pernah menceritakan dalam sepucuk surat kepada anaknya, Ismail, pada 28 Rejab 1324H, katanya: Bahkan terlebih daripada engkau dengan beberapa puluh ganda. Pergi aku ke Mesir dan diam di sana beberapa tahun. Lima diwani tiada bapak aku kirim hingga pulang aku. Dan berkahwin dan beranak kepada engkau, kemudian memeliharakan dikau. Dan sehingga penat dan payah mendapatkan harta. Setelah beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Mesir, Shaykh Wan Ahmad kembali semula ke tanah suci Makkah. Pada ketika itu, umurnya belum mencecah 30 tahun, namun, beliau telah diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjid al-Haram. Orang Melayu Makkah menggelarkan dirinya sebagai Sheikh Ahmad al-Zaki Mesir (Joni Tamkin 2004).
Karya: Menurut Wan Mohd. Shaghir Abdullah, karya-karya Sheikh Wan Ahmad al-Fatani boleh diklasifikasikan dalam tiga bentuk, iaitu karya berbahasa Arab, karya berbahasa Melayu dan kitabkitab yang ditashih, sama ada berbahasa Arab atau bahasa Melayu. Penulisan Sheikh Wan Ahmad alFatani dalam bahasa Arab melebihi 25 buah dan dalam bahasa Melayu melebihi 19 buah yang kebanyakannya ditulis di Makkah dan Mesir. Sementara kitab-kitab yang ditashih terdiri daripada kitab-kitab berbahasa Arab dan bahasa Melayu. Aktiviti pentashihan kitab-kitab berkenaan dilakukan bermula pada tahun 1288H/1871M. Dalam hal ini, Sheikh Wan Ahmad al-Fatani akan membaca keseluruhan kitab dan membetulkan istilah-istilah yang tidak tepat menurut kaedah tatabahasa Arab mahu pun Melayu. Kitab-kitab penulisan Sheikh Wan Ahmad al-Fatani dalam bahasa Arab ialah seperti berikut: Jumanat al-Tawhid (1293H/1876M) di Mesir. Munjiyat al-‘Awam (1293H/1876M) di Mesir. al-Thamar ‘ala al-Shahiyyah (1294H/1877M) di Mesir. ‘Unqud al-La‘ali (1296H/1897M) di Mesir. Manzumah al-‘Awamil (1296h/1879M) di Mesir. Tashil Nayl al-Amani (1300H/1883M.) di Makkah. Sharh Matn al-Sakhawi (1304H/1887M) di Makkah. Sabil al-Salam (1306H/1888H.) di Makkah. Ibriz al-Sari (1306H/1890m) di Makkah. Ghayat al-Idrak (1313H/1895M) di Makkah. ‘Ilm al-Sarf (1317H/1900M) di Makkah. Abniyyat al-Asma’ wa al-Af‘a1 (tanpa tahun). Matn Madkhal fi ‘Ilm al-Sarf (tanpa tahun). al-Risalah al-Fataniyyah (tanpa tahun). Tadrij al-Sibyan (tanpa tahun). ‘Ilm al-Isti‘arah (tanpa tahun). Jadwal al-Mawaqi‘ (tanpa tahun). Fa’idat Buruj Ithna ‘Ashar (tanpa tahun). Misbah al-Ghulam (belum ditemui). Khawas Asma’ al-Husna (tanpa tahun). Manzumat al-Tawhid wa al-Fiqh wa alTasawwuf. ‘Ilm al-Fiqh al-Islami (tanpa tahun). ‘Ilm Tasawwuf (tanpa tahun). Sharh Sharwani (tanpa tahun). ‘Ilm al-Hisab (tanpa tahun). Sementara penulisan Sheikh Wan Ahmad alFatani berbahasa Melayu ialah seperti berikut:
160
Luqtah al-Ajlan (1301H/1884 M) di Makkah. Tarikh Turki ‘Uthmani. Bisharat al-‘Amilin (1304H/1887M) di Makkah. ‘Aqd al-Juman (1306 H/1 888M) di Makkah.
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Sa‘adat al-Mutanabbih (1306H/1888M.) di Makkah. Badr al-Tamam (1307/1890M) di Makkah. Hadiqat al-Azhar (1307H/1890M) di Makkah. Bahjat al-Mubtadin (1310H/1982M) di Makkah. Tuhfah al-Ummah (1310M/1893m) di Makkah. Tayyib al-Ihsan (1312H/1895M) di Makkah. Faridat al-Fara’id (1313H/1895M) di Makkah. ‘Unwan al-Falah (1319H/1902M) di Makkah. ‘Aqidat Usul al-Din (1321H/1904M) di Makkah. Mir’at al-‘Aja’ib (13241-1/1 906M) di Makkah. al-Nur al-Mubin. Risalah Doa. Sejarah Lampung Pecah. al-Fatawa al-Fataniyyah. Fatwa Puasa dengan Hisab Taqwim dan Ru‘yah (Joni Tamkin 2004). Sheikh Wan Ahmad al-Fatani merupakan orang pertama yang menjadi pentashih, sama ada kitab berbahasa Arab mahu pun berberbahasa Melayu. Istilah tashih diguna pakai bagi menunjukkan pemeriksaan sesuatu kitab telah dimulakan oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fatani semenjak tahun 1288H/1871 M. Hingga ke hari ini, istilah tashih masih diguna pakai di seluruh dunia. Ini bererti perkataan tashih merupakan ciptaan Sheikh Wan Ahmad al-Fatani dan kalimah tersebut berasal daripada perkataan Arab. Kitab-kitab berbahasa Arab ditashih dengan cara pembacaan secara menyeluruh dari halaman awal hingga akhir dan sekiranya terdapat kesalahan atau gaya bahasa yang kurang tepat, beliau akan menambah, menghilangkan kalimah yang kurang sempurna atau pun merubah serta memberi pandangan beliau terhadap sesuatu kesalahan tersebut. Manakala proses tashih kitab berbahasa Melayu pula, sekiranya terdapat penggunaan perkataan yang tidak sesuai dalam sesuatu ayat, perkataan tersebut akan dihilangkan. Contohnya seperti yang terdapat pada karya Sheikh Daud al-Fatani yang mencantumkan bahasa Fatani, karangan ulama Aceh yang mencantumkan bahasa Aceh, karangan ulama Banjar yang mencantumkan bahasa Banjar, Sheikh Wan Ahmad al-Fatani telah menggantikan istilah tersebut dengan bahasa Melayu-Jawi yang diguna pakai secara meluas di seluruh Asia Tenggara pada waktu itu. Semua kitab Melayu-Jawi yang dicetak di Makkah, Mesir dan Turki bermula pada tahun 1294H/1877M hingga tahun 1307H/1889M telah ditashih dan dikelolakan oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fatani. Adapun selepas tahun 1307H/1889M, terdapat kitab yang diserahkan kepada dua orang muridnya untuk proses tashih, iaitu Sheikh Daud bin Ismail al-Fatani dan Sheikh Idris bin Husein alKalantani di bawah pengawasan serta penjagaan beliau. Kemasyhuran karya Sheikh Ahmad al-Fatani juga dapat dibuktikan dengan terdapatnya 16 karya beliau yang telah dijadikan sebagai bahan
penyelidikan peringkat Doktor Falsafah di University of Kent, England yang dijalankan oleh Perayot Rahimmula pada tahun 1992. Judul tesis tersebut ialah ‘The Patani Fatawa: A Case Study of the Kitab al-Fatawa al-Fataniyyah of Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani’. Karya Sheikh Ahmad ini ditulis dalam dua bahasa, iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu berkaitan persoalan mengenai Islam dalam pelbagai aspek. Karya berbahasa Arab ialah kumpulan pertanyaan yang datang dari pelbagai tempat dunia Islam yang dijawab oleh Sheikh Ahmad. Pertanyaan-pertanyaan yang datang dari dunia Melayu ditulis dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan dalam beberapa edisi penerbitan (Wan Mohd. Shaghir 2000). Kitab Hadiqat Al-Azhar Wa Al-Rayyahin: Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin merupakan antara karya Shaykh Wan Ahmad al-Fatani. Menurut Wan Mohd. Shaghir (1992), kitab tersebut dibahagikan kepada dua jilid. Jilid pertama membincangkan permulaan kitab Hadiqat al-Azhar hingga manaqib para wali Allah. Manakala jilid kedua membincangkan sejarah Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah. Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin terdiri daripada pelbagai versi iaitu manuskrip dan bahan bercetak. Menurut Wan Mohd. Shaghir (1992), beliau memperolehi manuskrip autograf daripada pusaka koleksi sendiri. Manuskrip tersebut mempunyai 88 halaman dan berukuran 26 x 18 sentimeter. Purata setiap halaman mengandungi 23 baris. Bagaimanapun, manuksrip tersebut tidak lengkap seperti bahan bercetak. Untuk versi bahan bercetak pula, Wan Mohd. Shaghir (1992) menyatakan terdapat lima cetakan yang tersimpan dalam koleksi beliau. Beliau turut memperincikan kelima-lima cetakan Hadiqat alAzhar wa al-Rayyahin seperti berikut: Cetakan pertama diusahakan oleh Matba‘at alMariyyah, Makkah pada tahun 1307H/1889M. Cetakan ini dibuat setelah Shaykh Wan Ahmad al-Fatani selesai pengarang kitab tersebut. Ketika itu, beliau masih menjadi ketua pentashih kitabkitab di syarikat percetakan tersebut. Cetakan kedua diusahakan oleh Matba‘at alMariyyah, Makkah pada tahun 1321H/1903M. Kulit kitab tersebut tertera cop “Cap yang kedua ini kami dapat pada naskhah Muallif lebih daripada cap yang pertama”. Cetakan ini diperolehi daripada peninggalan anak Shaykh Wan Ahmad al-Fatani, Haji Wan Ismail. Disebabkan cetakan kedua ini rosak, Ustaz Wan Mohd. Shaghir telah meminta kerjasama daripada Perpustakaan Negara Malaysia untuk membaik pulih kitab tersebut dengan mematikan hama-hama pada kertas. Cetakan kedua ini mengandungi 225 halaman dan ditambah dengan 6 halaman untuk isi kandungan (fihris). Ukuran
161
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
cetakan kedua ini adalah 26.5 x 19.5 sentimeter dan purata setiap halaman ialah 33 baris. Cetakan ketiga ini merupakan cetakan Persama Press, Pulau Pinang dan ditashih oleh Muhamamd Zain al Haji Ibrahim. Cetakan ini siap pada tahun 1354H/1935M dan mempunyai halaman sebanyak 274 halaman termasuk 8 halaman untuk isi kandungan. Pada halaman pertama cetakan ini ditulis, “bahawasanya dicapkan ini kitab pada kali yang ketiga, kami muqabalah pada tashihnya dengan naskhah Muallif dan kami dapat beberapa faedah yang muhimmah pada naskhah itu, dan kami kekalkan dia. Maka adalah ia jadi bertambah-tambah bersihnya daripada cap yang pertama dan yang kedua kerana lebih ia beberapa fawaid yang elok”. Cetakan ketiga ini berukuran 26 x 19 sentimeter dengan purata setiap muka surat ialah 27 baris. Cetakan ini diperoleh oleh Ustaz Wan Mohd. Shaghir daripada cucu Shaykh Wan Ahmad al-Fatani, Puan Hajah Wan Asiah Wan Ismail. Cetakan keempat diterbitkan oleh Persama Press, Pulau Pinang pada 14 Zulhijjah 1377H bersamaan 1 Julai 1958M. Tebal cetakan ini ialah 242 halaman termasuk isi kandungan. Ukurannya 26 x 18 sentimeter dengan purata 31 baris setiap halaman. Cetakan keempat diperoleh daripada saudara kandung Ustaz Wan Mohd. Shaghir, bernama Muhammad Zain Abdullah, yang menetap di Terempa, Kepulauan Riau. Cetakan kelima pula belum diketahui siapa dan di mana tempat diterbitkan. Menurut Wan Mohd. Shaghir (1992), beliau hanya memperoleh beberapa halaman sahaja daripada cetakan kelima ini, iaitu halaman 65 hingga 104, halaman 145 hingga 154, halaman 159 hingga 168 dan halaman 177 hingga 216. Ukuran cetakan ini ialah 27 x 18.8 sentimeter dengan purata 33 baris setiap halaman. Menurut pengamatan beliau berdasarkan kualiti kertas, jenis dakwat, bentuk huruf dan reka bentuk cetakan tersebut, beliau berpendapat cetakan kali ini merupakan cetakan Istanbul, Turki, yang diusahakan sendiri oleh Shaykh Wan Ahmad al-Fatani. Sejarah Ketenteraan ‘Uthmaniyyah dalam Hadiqat Al-Azhar Wa Al-Rayyahin: Karya Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin turut mencatatkan isu-isu berkaitan sejarah ketenteraan ‘Uthmaniyyah. Antara isu yang dibincangkan oleh Shaykh Wan Ahmad alFatani dalam karya tersebut ialah institusi ketenteraan ‘Uthmaniyyah iaitu tentera Inkishariyyah, aktiviti ketenteraan mencakupi proses pengukuhan kedudukan ‘Uthmaniyyah dan ekspedisi jihad menentang kuasa Eropah. Institusi Ketenteraan ‘Uthmaniyyah: Inkishariyyah: Tentera inkishariyyah, atau janisarry dalam bahasa Inggeris, merupakan tentera
elit Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang telah ditubuhkan oleh Sultan Murad I. Bagaimanapun, tentera tersebut telah dibubarkan oleh Sultan Mahmud II pada tahun 1826 setelah beliau memperkenal institusi ketenteraan baru, yang dikenali sebagai Nizam-I Cedid. Berikutan kepentingan institusi ini dalam ketenteraan ‘Uthmaniyyah, Shaykh Wan Ahmad alFatani membincangkan Inkishariyyah dalam karya beliau, seperti yang dapat dilihat pada transliterasi berikut: (Ini Sebutan Sultanah Sultan Murad Yang Pertama) Maka ditabalkan gantinya Sultan Murad anak Sultan Urkhan kemudian maka tatkala tetap ia di atas kerusi kerajaannya berangkatlah ia melanggar akan negeri Anquriyyah [Ankara] adalah ia dahulunya sudah tunduk kepadanya kemudian menderhaka ia dan adalah negeri itu negeri yang sangat teguh maka dialahkan dia oleh Sultan Murad kemudian melanggar oleh raja negeri Larindah akan Sultan Murad dan serta raja itu tentera yang tiada terhingga banyaknya yang berhimpun daripada beberapa bangsa daripada bangsa Tatar dan bangsa Warshaq dan bangsa Turghud dan bangsa Turkuman dan lainnya maka berlakulah antara keduanya musuh yang amat haru hara kemudian dialahkan mereka itu oleh Sultan Murad dan segala panglimanya (kemudian maka bersiap) Sultan Murad dan membangkit ia satu tentera yang besar karena memperangkan negeri Adirnih [Edirne] dan jadi kepala perangan itu panglimanya yang bernama (Shahin Lala) maka melanggar ia akan negeri Adirnih itu dan hasil perangan yang bersangatan hingga lemah panglimanya Shahin Lala dan segala tenteranya daripada mengalahkan negeri itu maka memintak mereka itu bahawa berangkat sultan pergi sendiri maka berangkat sultan pergi dengan tenteranya yang muwahhidin maka tatkala mendengar dengan berangkat sultan oleh kuffar berasalah ketakutan pada hati mereka itu maka larilah raja mereka itu dan megerempak oleh tentera Muslimin akan mereka itu dan mengambil mereka itu akan negeri itu dan datang sultan masuk padanya dan syukur ia akan Allah Subhanahu wa Ta‘ala (dan adalah) negeri Adirnih itu daripada sebesar2 negeri di dalam dunia deras padanya tiga sungai antaranya dan antara negeri Qastantiniyyah tujuh puluh mayl kemudian dibangkitkan Shahin Lala itu melanggarkan negeri Falbah maka difathkan dia olehnya kemudian difathkan pula akan negeri Zaghrah (dan setengah) daripada langgaran Sultan Murad dan perangannya yang besar2 bahawasanya pergi ia memerangkan benua Serb dan benua Bulgar [Bulgaria] dan membanyak ia padanya akan bunuh dan tawan dan adalah pada bumi Anatul beberapa raja2 yang tiada tunduk kepadanya maka memperang ia akan mereka itu hingga tunduk mereka itu kepadanya kemudian memperang ia akan beberapa negeri pada bumi Makidunia [Macedonia] dan beberapa negeri Arna’ut dan dialahnya akan sekaliannya dan mengambil ia akan beberapa banyak negeri Yunan dan jemberang ia akan laut Marmara dan mefath ia akan beberapa negeri dan beberapa qal‘ah yang pada pihak Tasaliya dan di dalam masa kerajaannya difathkan kadar empat puluh buah negeri dan segala qal‘ah yang masyhur2 (dan) di dalam masanya dirangahkan [xx] ajaran askar yang dinamakan dia dengan askar Inkishariyyah dan mereka itu setengah daripada tawanan yang ditawankan mereka itu di dalam beberapa perangan maka diajar akan mereka itu akan menembak dan menanggung senjata dan segala pelaturan [peraturan] musuh dan lainnya kemudian dibangkitkan mereka itu pergi kepada alShaykh al-‘Arif bi Allah al-Hajj Biktash supaya ditandanya akan mereka itu dengan satu tanda dan dinamanya akan mereka itu dengan nama yang tertentu maka tatkala berhimpun mereka itu di hadapan shaykh itu memotong shaykh akan tangan bajunya iaitu daripada bulu lebat maka dipakainya akan dia pada kepala penghulu mereka itu dan mendoa ia bagi mereka itu dan mempernama ia akan mereka itu dengan Yankijari [Yeniceri] [114] kemudian masyhur mereka itu dengan Inkishari dan maknanya askar yang baharu dan berkekalan bangsa askar itu hingga kepada zaman Sultan Mahmud yang kedua maka membatal olehnya akan mereka itu dan membinasa ia akan mereka itu (dan telah mengalah) Sultan Murad ini akan dua
162
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 tentera bagi beberapa dawlah Eropah dua kali telah muafakat beberapa dawlah itu beratang [xx] memerangkan dia satu tentera yang berhimpun kadarnya seratus ribu serdadu dan satu tentera kadarnya tiga ratus ribu serdadu maka keluar Sultan Murad dan tenteranya kadar empat puluh ribu jua maka bermusuh ia dengan mereka itu akan sebagai musuh yang bersedaging dan demikian itu pada padang Qusuh kemudian maka halah [kalah] dan lari segala tentera kuffar dan dibunuhkan raja yang besar bagi tentera mereka itu maka tatkala lari mereka itu berhadap datang satu panglima daripada mereka itu yang bernama (Milush) di dalam satu jemaah yang berkuda dan menzahir ia akan merendah diri dan mentaat bagi sultan maka tatkala hampir ia dengan sultan dan tunduk ia hendak mengkucupkan tangan sultan maka menikam ia akan sultan dengan pisau yang besar yang disembunyinya di dalam tangan bajunya maka keluarlah perutnya (dan wafat ia) rahimahu Allah Ta‘ala hal keadaannya syahid maka ditanamkan perutnya di sana dan ditanggungkan jasadnya ditanam pada negeri Brosa dan dibunuhkan kafir itu dan chaingkan [keratkan/potongkan] dagingnya halus2 dan yang demikian itu pada tahun tujuh ratus sembilan puluh satu dan masa kerajaannya tiga puluh satu tahun (dan adalah) ia rahimahu Allah Ta‘ala raja yang amat berani hatinya menolongkan segala tenteranya sendiri pada segala gelegang [gelanggang] perang lagi adil ia pada segala rakyatnya (dan pada masanya) membenar segala dawlah Eropah dengan asing dawlah ‘Uthmaniyyah dan ialah yang merengahkan [xx] rupa bendera ‘Uthmaniyyah dan memperbuatkan tughara’ pada perbelanjaan negerinya dan ialah yang menyuruhkan dengan taslim di atas segala menara kemudian daripada yang rahimahu Allah Ta‘ala wasi‘atan wa jaza’an khayran Amin.
Proses Pengukuhan Kedudukan ‘Uthmaniyyah: Isu ketenteraan ‘Uthmaniyyah yang turut dicatatkan oleh Shaykh Wan Ahmad al-Fatani dalam karyanya ialah berkaitan proses pengukuhan kedudukan ‘Uthmaniyyah pada peringkat awal. Kerajaan ini bermula daripada satu ghazi atau imarah telah menyebarluaskan pengaruh ke beberapa wilayah lain sehingga dapat membentuk sebuah kerajaan. Cabaran yang dihadapi ketika mengalami proses tersebut, khususnya daripada tentera kafir, turut dicatatkan oleh Shaykh Wan Ahmad al-Fatani. Transliterasi Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin tentang proses pengukuhan ‘Uthmaniyyah pada peringkat awal dapat dilihat seperti berikut: (Fasl fi Dhikr al-Dawlat ‘Aliyyah al-Turkiyyah al-‘Uthmaniyyah wa Futuhatiha ‘ala Sabil al-Ikhtisar) Ini satu fasal pada menyebutkan dawlah yang amat tinggi yang bangsa Turki yang dibangsa kepada ‘Uthman iaitu nenek yang asal bagi segala raja2nya dan peri beberapa futuh mereka itu atas jalan ikhtisar (maka hamba berkata) seperti barang yang berkata setengah ulama telah muafakat atas bahawasa barangsiapa menilik ia akan perintahan segala dawlah yang bangsa Islam nescaya mengetahui ia akan sebagai pengetahuan yang putus bahawasa dawlah ‘Uthmaniyyah itu perintahannya daripada seelok2 perintahan segala dawlah kemudian daripada Khulafa’ yang Rashidin karena bahawasa mereka itu berpegang dengan mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah lagi menolong mereka itu akan syariat dan membesar akan segala sahabat dan Ahl al-Bayt dan ulama dan salihin dan bagi mereka itu beberapa futuh yang masyhur dan jihad perang sabil Allah yang amat banyak dan mendiri mereka itu akan sha‘a’ir al-Islam istimewa pada dua Tanah Haram yang mulia maka bahawasa bagi mereka itu beberapa sedekah dan kebajikan yang limpah dan ma’man mereka itu akan jalan bagi hujjaj dan zuwwar maka wajib atas tiap2 Muslim mendoakan bagi mereka itu dengan bahawa ditetapkan dawlah mereka itu oleh Allah Ta‘ala dan dikuatkan dia dan ditinggikan dia atas segala seteru agama Islam dan ditaufiqkan dia bagi barang yang dikasihnya dan diredhanya (dan telah dimasyhurkan) bahawasa mereka itu daripada bangsa Turkuman
dan bahawasa titihan mereka itu sampai ia kepada bapanya anak Nabi Nuh ‘alayh al-salam (dan bahawasa) nenek mereka itu Amir ‘Uthman ialah awal mereka yang jadi sultan pada negeri Rum dan iaitu anak Ertughrul anak Sulayman Shah dan lagi akan datang perhamba sebutkan nasab mereka itu in sha’a Allah Ta‘ala pada akhir fasal ini (dan adalah) Sulayman Shah ini dahulunya ia sultan pada negeri Haman hampir dengan negeri Balkh maka tatkala zahir kaum Tatar daripada kuffar yang adalah mereka itu sejahat2 bangsa dan memfasid mereka itu pada bumi dan merubah [110] mereka itu akan beberapa banyak negeri dan mengalahkan beberapa raja2 maka meninggal Sulayman Shah akan negerinya seperti segala raja2 yang lain daripadanya dan kasad ia akan negeri Rum dan mengikut akan dia oleh mahkluk yang banyak maka tatkala sampai kepada negeri Azerbayjan berperang ia dengan kuffar hingga mengalah ia akan mereka itu kemudian berjalan ia hingga sampai kepada sungai Furat maka jemberang ia dan mereka yang sertanya akan dia maka terkaram sekalian mereka itu di dalam sungai itu dan wafat Sulayman Shah di dalam air maka dikeluarkan dia dan ditanamkan dia disisi qal‘ah Ja‘bar dan bagi Shah Sulayman itu tiga anak dan tatkala sampai mereka itu kepada tempat yang bernama Yasin maka pulang dua daripada mereka itu dan tinggal seorang namanya Ertughrul dan baginya tiga anak pula seorang namanya Kunzaralab dan seorang namanya Sarubani dan seorang namanya ‘Uthman maka diam Ertughrul pada tempat itu hal keadaannya memerangi sabil Allah dengan kuffar kemudian membangkit ia akan anaknya yang bernama Sarubani kepada sultan negeri Konya dan Sivas iaitu Sultan ‘Ala’ al-Din al-Saljuqi pergi memintak izin daripadanya hendak masuk pada negerinya dan memintak daripadanya satu tempat supaya diam ia padanya maka dikurniakan akan dia gunung Thumalij dan gunung Armanak dan barang yang antara keduanya maka pergilah Amir Ertughrul serta kaumnya dan mereka itu empat ratus buah rumah dan diam mereka itu di sana maka pada tahun enam ratus delapan puluh lima daripada hijrah tatkala melanggar Sultan ‘Ala’ al-Din akan negeri Kutahya dan sertanya Amir Ertughrul itu dan diserahkan perangnya itu kepada Amir Ertughrul dan pergi Sultan ‘Ala’ al-Din melanggarkan kuffar Tatar dengan sebab melintangi mereka itu akan setengah daripada beberapa negerinya maka bersungguh2lah Amir Ertughrul pada memperangkan negeri Kutahya hingga dialahnya [dikalahnya] akan dia dan dipecahkan qal‘ahnya dan ditawankan ahlinya dan dighanimahkan arta [harta] yang amat banyak maka bertambahlah kasihnya dan hampir martabatnya kepada Sultan ‘Ala’ al-Din maka sentiasa memerang ia akan kuffar dan dialahkan mereka itu kemudian maka wafat ia rahimahu Allah Ta‘ala pada tahun enam ratus delapan puluh tujuh maka dukacita atas kematiannya oleh sultan amat sangat dukacita (maka diangkatnya) ganti pada tempatnya akan Amir ‘Uthman anaknya maka bersungguh2 ia pada memerangkan kuffar dan mengalahkan mereka itu dan mefath [membuka] ia akan beberapa banyak negeri dan nyata padanya handalan dan bijaksana pada mentadbirkan pekerjaan maka tatkala melihat Sultan ‘Ala’ al-Din akan demikian itu makinlah bertambah kasihnya akan dia dan ditingginya akan martabatnya dan dikurnianya akan dia bagai2 kurnia hingga diangkatnya akan dia jadi sultan yang mengetuaikan dirinya dan ditabalkan dia maka didirikan baginya akan panji2 kerajaan dan dipersalinkan dia beberapa persalinan yang amat elok dan dipukulkan gendang kerajaan di hadapannya maka tatkala itu bangun berdiri ia di atas dua kakinya karena membesar ia akan Sultan ‘Ala’ al-Din hingga selesai daripada pukul tubuh itu dan adalah demikian itu pada tahun enam ratus sembilan puluh sembilan tahun dan adalah sultanahnya itu di atas segala negeri yang bapaknya mefathkan dia dan segala negeri yang ia fathkan dia sendiri dan tempat kerusi kerajaannya pada negeri Qurrah Hisar (dan adalah) Sultan ‘Ala’ al-Din telah tuha [tua] ia tatkala disyarikatkan sertanya akan Sultan ‘Uthman dan wafat ia pada tahun tujuh ratus dan tanggal setengah2 negerinya pada tangan anak2nya dan setengah pada tangan [111] anak2 saudaranya serta daif mereka itu daripada memeliharakan dia dan akhir mereka yang tinggal daripada mereka itu Sultan Mas‘ud bin Kaykawas dan wafat ia pada tahun tujuh ratus dan delapan belas tahun dan ada bagi mereka itu beberapa banyak askar daripada bangsa Tatar adalah kepala2 mereka itu telah mengerasi atas raja mereka itu maka jadi terhapuslah dawlah mereka itu maka mengerasi pula atas mereka itu dan atas segala negeri mereka itu
163
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 oleh Sultan ‘Uthman dan anak cucunya yang kemudian daripadanya (dan adalah) Sultan ‘Uthman rahimahu Allah Ta‘ala raja yang adil lagi zahid pada dunia dan gemar ia pada Akhirat lagi amat berani hatinya mengekali pada berperang sabil Allah merai ia akan segala panglima dan memperbuat ia akan kebajikan kepada segala anak yatim dan segala perempuan yang bujang dan setengah daripada zuhudnya bahawasanya tiada tinggal ia kemudian daripada matinya akan sesuatu daripada harta hanya tinggal ia akan beberapa kuda dan kambing maka kekal daripada anak cucu kambing itu hingga sekarang ini dan tinggal ia akan satu baju quftan dan satu serban dan beberapa ikat pigang kapas dan sudu dan tempat isi garam (dan adalah ia) sangat membesar bagi ugama dan bagi ayat al-Qur’an dihikayatkan bahawasanya musafir ia kepada satu tempat dan berhenti ia pada rumah satu orang maka tatkala malam mensediakan baginya oleh tuan rumah itu akan tempat tidur maka tatkala masuk ia ke tempat itu supaya beradu ia di dalamnya maka terlihat ia kepada mushaf yang tergantung pada dinding tempat itu maka berdiri ia dan mendakat tangan kepada dadanya hal keadaannya berhadap kepada mushaf hingga subuh karena membesarkan kalam Allah Ta‘ala (dan adalah ia) banyak pergi datang kepada al-Shaykh al-‘Arif bi Allah Ta‘ala Bali al-Khurmani maka bermimpi Sultan ‘Uthman itu dahulu daripada jadinya sultan bahawasa satu bulan keluar ia daripada dada shaykh itu dan masuk pada dada Sultan ‘Uthman kemudian tumbuh daripada pusatnya satu pohon kayu yang amat besar yang memenuh segala cawangan akan segala pihak langit dan di bawahnya beberapa banyak bukit yang tinggi2 dan beberapa banyak mata air yang deras dan beberapa banyak sungai dan padang dan rimba dan mengambil manfaat segala manusia dengan barang yang di bawah pohon kayu itu maka pergi ia kepada shaykh itu dan dikhabarnya dengan mimpinya dan adalah shaykh itu daripada ahl al-Kashf maka berkata shaykh baginya dapat kesukaan engkau dengan dapat martabat jadi sultan dan lagi akan tertinggi pekerjaan engkau dan mengambil manfaat manusia dengan dikau dan dengan anak cucu engkau dan bahawasa aku telah aku kahwinkan dikau akan anak perempuanku ini maka diterimakan dia oleh Sultan ‘Uthman dan berkahwinlah dengan dia dan beranak daripadanya beberapa anak setengah daripada mereka itu Sultan Urkhan ialah nenek segala sultan Al ‘Uthman * Ayyada Allah Ta‘ala dawlatahum ‘ala mamar al-zaman (ada pun) segala perangannya dan segala negeri yang difathkan dia dan yang ditundukkan dia maka iaitu amat banyak dan tafsilnya di dalam beberapa kitab tarikh yang panjang2 dan telah muafakat segala raja2 Rum melanggarkan dia maka mengia akan mereka itu beberapa kali dan dibunuhkan kebanyakan tentera mereka itu hingga pada setengah daripada segala perangannya dibunuhkan tentera Nasara hingga tiada tinggal mereka itu melainkan yang nadir dan setengah daripada negeri2 mereka itu menerima ia akan jizyah daripada ahlinya pada tiap2 tahun dan setengahnya dirintahnya akan dia dan diramaikan dia dengan Muslimin dan dizahirkan padanya akan tanda Islam (dan wafat ia) rahimahu [112] Allah Ta‘ala pada tahun tujuh ratus dua puluh enam tahun dan umurnya enam puluh sembilan tahun dan masa kerajaannya dua puluh enam tahun rahimahu Allah Ta‘ala rahmatan wasi‘atan wa ghafara lahu maghfiratan jami‘atan Amin.
Ekspedisi Jihad Menentang Kuasa Eropah: Isu ketenteraan ‘Uthmaniyyah yang turut dicatatkan oleh Shaykh Wan Ahmad al-Fatani dalam karyanya ialah berkaitan ekspedisi jihad tentera ‘Uthmaniyyah menentang tentera Eropa. Antara kerajaan Eropah yang menjadi saingan Kerajaan ‘Uthmaniyyah ketika itu ialah Kerajaan Austria dan Perancis. Bagaimanapun, nama kedua-dua kerajaan tersebut disebut sebagai Nimsa dan Afraj dalam kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin. Transliterasi Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin tentang ekspedisi jiad tentera ‘Uthmaniyyah pada peringkat awal dapat dilihat seperti berikut: (Ini Sebutan Sultan Muhammad Yang Keempat Anak Sultan Ibrahim)
Maka ditabalkan anaknya Sultan Muhammad dan adalah umurnya ketika itu tujuh tahun dan adalah segala pekerjaan pada ketika sangat bergembira dan tiada berlatur dan segala seteru pun meliputi pada segala pihak bertambah pula kekurangan arta dan piciknya dan segala askar tiada mengikutkan kepala2nya dan mengerasi segala mereka yang martabatnya terkebawah atas segala wazir2 hingga adalah wazir yang a‘zam diangkatkan beberapa hari kemudian dijatuhkan dia dan segala raja2 yang merintahkan segala negeri yang di bawah takluk dawlah tiada memperduli mereka itu dengan suruh2an dawlah demikianlah berkekalan hal itu kadar sepuluh tahun dan sultan serta kecil umurnya sentiasa memperiksa ia serta ibunya akan seseorang yang berakal yang patut jadi wazir yang a‘zam hingga didapatkan Muhammad Basha Quburli adalah ia seorang tuha lagi amat cerdik mempunyai penilikan yang tetap dan perintahan [136] yang sempurna telah mengajarkan dia oleh lama masanya maka diangkatkan dia jadi al-Sadr al-A‘zam dan jadilah ia bersungguh2 pada membaikikan pekerjaan dawlah dan menampungkan kecederaannya hingga beratur segala pekerjaan sultanah atas seelok2 aturan (kemudian) maka keluar Muhammad Basha wazir itu dengan beberapa tentera memperangkan kuffar Majar dan bangsa Quzaq dan sekalian raja2 yang menderhakakan dawlah hingga diketamkan segala kepala laki2 mereka itu dan ditawankan segala anak2 dan perempuan mereka itu dan ditawankan beberapa buah kapal Raja Bandaqiyyah dan diambil daripada mereka itu akan pulau Bitifdas dan pulau Limunas kemudian maka dilanggarkan negeri Serb dan dialahkan mereka itu dan dibunuh daripada mereka itu seratus lima puluh ribu dan dialahkan segala kuffar pada negeri Aflaq kemudian wafat Muhammad Basha alWazir itu (maka diangkatkan) anaknya Ahmad Basha Fadil jadi wazir gantinya dan adalah ia terlebih pitih dan terlebih cerdik daripada bapaknya telah memahirkan dia oleh bapaknya pada segala ilmu maka keluar ia memperangkan negeri Iwar maka hasil antaranya dan antara kuffar perangan yang amat besar dan menipu mereka itu akan askarnya beberapa kali maka melepas ia akan askarnya daripada mereka itu dengan tadbirnya yang elok dan difathkan negeri mereka itu dan dirutuhkan qal‘ah mereka itu (kemudian) maka berhadap ia memperangkan negeri Qundiyyah yang pada pulau Crete maka dipicik atas dengan tenteranya dan kuffar telah menaruh mereka itu padanya beberapa banyak alat yang menjadi tiada dapat mehisarkan negeri itu sekali2 dan dijadikan baginya dua lapis kota dan datang tentera Dawlah Peransis dan tentera Dawlah Baba Italiya dan tentera Raja Malta menolongkan mereka itu di dalam beberapa banyak kapal perang dan memukul mereka itu akan segala kapal perang sultan maka memukul akan mereka itu oleh segala kapal perang sultan dan dibinasakan mereka itu sekaliannya dan tiada selamat melainkan sedikit kemudian maka menyerahlah Raja Qundiyyah akan negerinya kepada wazir dan keluar ia kepada negeri Nasara dan pulang wazir dengan ghanimah dan tawanan yang banyak setengah daripadanya beberapa kapal Raja Malta dan dapat kesukaan bagi segala Muslimin dengan demikian itu (kemudian berhadap ia) memperangkan Nasara negeri Qurum dan difathkan qal‘ah Qunjah dan madinah Kamina Kurah yang masyhur dan beberapa negeri dan dihantarkan atas mereka itu jizyah diterimakan tiap2 tahun (kemudian wafat) Ahmad Basha Fadil dan dukacita atas kematianya oleh sultan dan segala Muslimin (maka digantikan) pada tempatnya Mustafa Basha maka berhadap ia dengan tentera yang banyak maka difathkan negeri Jahrin dan mengambil ia akan tempat bot karam negeri Maskub dan Quzaq dan tempat bot karam itu setengah daripada sebesar2 manfaat yang masuk kepada dawlah karana tiada ada pada pada negeri Maskub dan Quzaq tempat karam melainkan tempat itu jua dan adalah Nasara sangka mereka itu bahawasa mefathkan negeri itu setengah daripada mustahil dan meawak mereka itu tatkala mendengarkan memperang Muslimin akan negeri itu dengan sebab negeri itu amat teguh lagi pun di bawah dawlah yang amat besar iaitu Dawlah Maskub maka tatkala difathkan dia oleh wazir itu dapatlah kesukaan bagi Muslimin akan sebagai suka yang amat sangat dan dihiasikan negeri Qastantiniyyah tiga hari tiga malam (kemudian) maka keluar wazir itu memperangkan Dawlah Nimsa maka dirobohkan segala qal‘ah mereka itu umpama seratus qal‘ah dan ditawankan daripada [137] mereka itu umpama seratus ribu tawanan dan didapatkan ghanimah tiada terhingga banyaknya dan langgar ia dengan tenteranya hingga rapat kepada madinah Vienna tempat kerusi kerajaan Dawlah Nimsa maka
164
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 diperangkan mereka itu hingga hampir hendak difathkan dia maka tiba2 datang segala tentera Nasara yang tiada memgetahui banyaknya melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada beberapa jenis segala dawlah mereka itu telah memenuh mereka itu akan segala padang hal keadaan bersesak2 mereka itu karena bahawasa Raja Nimsa tatkala lari daripada negerinya membangkit ia kepada segala Dawlah Afranj memintak tolong dengan mereka itu maka menolong tiap2 dawlah itu akan dia maka bermusuh tentera wazir Mustafa Basha dengan mereka itu hingga kelam kabut segala pihak langit dan hampir deras darah di atas muka bumi dan tuli segala telinga daripada suara bedil marayan hingga hundur Mustafa Basha dan pulang ia (kemudian banyaklah) haruhara dan menderhaka Raja Nasara dan muafakat mereka itu setengah dengan setengahnya dan hasil beberapa banyak perangan dan sultan lali ia dengan berburu2 dan bermain2 maka marah segala wazir2 dan dicabutkan dia daripada sultanahya pada tahun seribu sembilan puluh sembilan dan masa kerajaannya empat tahun dan lima bulan
KESIMPULAN Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin karya Shaykh Wan Ahmad al-Fatani merupakan karya yang memuatkan catatan sejarah tentang Kerajaan ‘Uthmaniyyah. Antara isu sejarah ‘Uthmaniyyah yang turut dipaparkan dalam karya tersebut ialah isu ketenteraan. Isu ketenteraan turut disentuh disebabkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah ketika itu mempunyai struktur ketenteraan yang utuh dan kuat sehingga mampu menyaingi kekuataan ketenteraan kuasa-kuasa Eropah. Selain itu, kewujudan ‘Uthmaniyyah sebagai satu-satunya khalifah yang menaungi dunia Islam ketika itu turut menjadi faktor mengapa isu-isu berkaitan Kerajaan ‘Uthmaniyyah, termasuk ketenteraan, turut ditulis dalam karya tersebut. Isu ketenteraan ‘Uthmaniyyah yang menjadi topik perbincangan dalam kitab Hadiqat alAzhar wa al-Rayyahin ialah institusi ketenteraan ‘Uthmaniyyah iaitu tentera Inkishariyyah, aktiviti ketenteraan ‘Uthmaniyyah ketika proses penubuhan dan pengukuhan di wilayah Turki dan ekspedisi jihad menentang kuasa Eropah. Isu tersebut yang dicatatkan dalam bahasa Melayu memberi kefahaman kepada pembaca untuk mengetahui tentang sejarah ketenteraan Kerajaan ‘Uthmaniyyah. Justeru, kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayyahin tidak boleh sama sekali ditinggalkan sebagai rujukan untuk pengkaji yang berminat terhadap sejarah Kerajaan ‘Uthmaniyyah, khususnya sejarah ketenteraan kerajaan tersebut. RUJUKAN Ahmad Fathy al-Fatani. 2002. Ulama besar dari Patani. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Ensiklopedia Islam. 1998. Jil. 11. Kuala Lumpur: Malaysian Encyclopedia Research Center Berhad. Ismail Che Daud. 1988. Tokoh-tokoh ulama’ Semenanjung Melayu. Kota Bharu: Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Joni Tamkin Borhan. 2004. Pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani dalam ekonomi Islam. Dlm.
Mohd. Fauzi Hamat, Mohd. Fakhrudin Abd. Mukti & Che Zarrina Sa’ari (pnyt.). Pemikiran Islam dan cabaran semasa, hlm. 195-212. Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Univesiti Malaya. Mohamad Zaki Jaffar. 2006. Sejarah ‘Uthmaniyyah Dalam Kitab Hadiqat Al-Azhar Wa Al-Rayyahin, Karya Sheikh Wan Ahmad Al-Fatani: Kajian Transliterasi Dari Halaman 110 Hingga 130. Projek Ilmiah. Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd. Fauzi Hamat, Mohd. Fakhrudin Abd. Mukti & Che Zarrina Sa’ari (pnyt.). Pemikiran Islam dan cabaran semasa. Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Univesiti Malaya. Noor Azharan Mohd Noor. 2006. Sejarah ‘Uthmaniyyah Dalam Kitab Hadiqat Al-Azhar Wa Al-Rayyahin, Karya Sheikh Wan Ahmad AlFatani: Kajian Transliterasi Dari Halaman 130 Hingga 150. Projek Ilmiah. Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sheikh Ahmad al-Fatani. 1307H. Kitab hadiqat alazhar wa al-rayyahin fi manaqib al-akhyar wa ahkbar al-salihin. Cet. 1. Makkah: al-Matba‘ah al-Miriyyah al-Ka’inah. Sheikh Ahmad al-Fatani. 1990. Faridatul al-fara’id. Transliterasi dan suntingan Wan Mohd. Shaghir Abdullah. Kuala Lumpur : Khazanah Fathaniyyah. Sheikh Ahmad Al-Fatani. 1999. al-Fatawa alFathaniyyah. Transliterasi dan suntingan Wan Mohd. Shaghir Abdullah. Jil. 2. Kuala Lumpur : Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1990. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan pengarang terulung Asia Tenggara. Shah Alam: Penerbit Hizbi. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1992. Al-‘Allamah Sheikh Ahmad al-Fatani: Ahli fikir Islam dan dunia Melayu. Jil. 1. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1992. Hadiqatul Azhar War Riyahin Syeikh Ahmad al-Fathani: Pemikiran, Hikayat Imam Empat dan Para Wali, Jil. 1. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1993. Penjelasan Nazham Syair Shufi. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1998. Hadiqatul Azhar War Rayahin: Asas teori takmilah dan sastera Melayu-Islam. Jil. 1. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 2000. Wawasan pemikiran Islam ulama Asia Tenggara. Jil. 2. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.
165
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 2002. Seminar Pemikiran Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain. Kota Bharu: Pusat Pembangunan Pondok Berhad dan Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 2005. Wacana Syeikh Ahmad al-Fathani: Pemikir agung Melayu dan Islam. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Persatuan Sejarah Malaysia
166