Julai-September 2012 Warta suku tahun yang menghubungkan penerbitan sumber dalam BM dengan gereja-gereja berbahasa Malaysia di Malaysia
Satu Bangsa Terpilih, Imamat Rajani “Roh Tuhan ada pada-Ku, oleh sebab Ia telah mengurapi Aku, untuk menyampaikan kabar baik kepada orang-orang miskin; dan Ia telah mengutus Aku untuk memberitakan pembebasan kepada orang-orang tawanan, dan penglihatan bagi orang-orang buta, untuk membebaskan orang-orang yang tertindas, untuk memberitakan tahun rahmat Tuhan telah datang." (Lukas 4:18-19) 16hb September 2012 menandakan masuknya tahun ke-50 pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara. Ia adalah Tahun Yobel dalam konteks Alkitabiah - masa untuk melepaskan, mengembalikan, memperbaharui, menebus dan memulihkan. Dan ketika gereja terus berdoa untuk rahmat Tuhan sepanjang tahun Yobel ini, janganlah kita lupa kepada satu suku yang selalu terlepas pandang (bahkan oleh kita) selama bertahun-tahun : Orang Asli. Ramai daripada mereka telah ditindas, dieksploitasi dan dibiarkan. Hak sumber dan hak tanah mereka sering dicabul dan ditiadakan. Mereka kehilangan tanah mereka kepada skim tanah kerajaan, perbandaran baru, perladangan swasta, konsesi perlombongan, lebuh raya dan empangan, dan lain-lain bentuk 'pembangunan'. Tahun Yobel adalah untuk mereka. Mereka mempunyai tempat yang istimewa di hati Tuhan. Sebagai orang asal di negara ini, mereka sangat signifikan dalam Gereja di Malaysia. Semoga artikel dalam Berita ini akan mencabar kita untuk terus berdoa dan menyokong Gereja Orang Asli. Sesungguhnya, ini adalah tahun rahmat Tuhan untuk Malaysia.
Berita Rakan Penabur ialah penerbitan elektronik yang mengandungi berita dan maklumat tentang pelayanan serta bahan sumber Kristian BM yang baru. Segala maklum-balas sila hubungi: Wawasan Penabur Sdn. Bhd P.O.Box: 8327, Kelana Jaya Post Office 46787 Petaling Jaya, SELANGOR Tel/Fax: 03-5888 4987 Email:
[email protected]
“Tetapi kamulah bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatanperbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib.” (1 Petrus2:9)
Daripada28 juta penduduk Malaysia, 9.2% atau 2.6 juta adalah Kristian. 67% daripada mereka terdapat di Sabah dan Sarawak, masing-masing mewakili 27% dan 42% daripada jumlah penduduk negeri. 33% yang lain (kira-kira 800,000) tersebar di 11 buah negeri di Semenanjung yang membentuk hanya 3.6% daripada 22 juta orang. Tetapi sering terlepas pandang ialah Orang Asli. Jumlah mereka mencecah 178,000 pada tahun 2010, mewakili hanya 0.6% daripada penduduk negara ini. Dan hanya 20% daripada mereka (36,000) adalah Kristian. Bilangan mereka mungkin kecil, tetapi keahlian mereka dalam Tubuh Kristus bukanlah sesuatu yang tidak signifikan. Sebagai orang asal (yang dikenali juga sebagai ‘Anak Sulung’ dalam gerakan profetik Kristian) di Semenanjung, mereka dipercayai adalah di antara pemegang kunci rohani untuk membuka pintu kebangunan rohani di negara ini. Oleh itu, adalah penting bagi gereja-gereja untuk memahami, menerima dan membantu gereja Orang Asli.
Injil Ke Dalam Hutan Kristus telah mengamanatkan Gereja-Nya untuk menyebarkan Injil kepada setiap suku dan bahasa. Hutan adalah rumah kepada sejumlah Orang Asli yang sebahagian besarnya telah diabaikan oleh masyarakat yang telah membangun. Kebanyakan mereka hidup di bawah garis kemiskinan. Mereka sering dianggap sebagai 'kafir', 'bukan manusia', dan 'tidak bertamadun'. Malah, istilah Sakai digunakan untuk merujuk kepada Orang Asli sehingga pertengahan abad ini. Istilah itu bermaksud menghina yang merujuk mereka sebagai hamba. Ramai orang-orang tua yang masih ingat tempoh menyedihkan dalam sejarah mereka ini, dan semua Orang Asli benci dipanggil Sakai. Tetapi Allah tidak pernah melupakan mereka. Injil Kristus menembusi hutan tebal dan mukabumi yang kasar untuk menjangkau Orang Asli. Gereja Katolik memulakan aktiviti penginjilan di kalangan suku Temuan dalam pertengahan abad ke-19. Misi Gereja Methodist pula bermula pada tahun 1930-an apabila seorang guru Batak, Alexander Simandjoentak, dihantar oleh Methodist Mission ke suku-suku Sengoi di Tapah pada Ogos 1931, dan Cameron Highlands pada tahun 1932. Ini diikuti oleh gereja-gereja Brethrens, Lutheran dan Assembly of God. Misionaris Bahai juga mula menjangkau mereka pada tahun 1960-an, sementara kerja-kerja dakwah Islam menjadi semakin aktif sejak dua dekad yang lalu.
Sebelum itu, kepentingan ke atas masyarakat Orang Asli hanya cenderung berkisar menjadikan mereka sebagai objek penelitian antropologi, atau subjek mengagamakan mereka. Jika tidak, sikap masyarakat secara umum terhadap Orang Asli hanyalah acuh tak acuh saja. Bagaimanapun, mubaligh Methodist yang awal seperti Paul Means melihat Orang Asli bukan sebagai 'objek' misi, tetapi sebaliknya sebagai 'subjek'. Selain daripada menyebar Injil, mereka juga memberi respon kepada keperluan ekonomi dan kesihatan orangorang ini. Sangat penting bagi mereka bahawa penerimaan agama Kristian tidak akan mengakibatkan orang-orang Sengoi dikeluarkan daripada tanah dan cara hidup tradisional mereka. Seiring dengan waktu, orang-orang Sengoi ini mula menerapkan nilai-nilai Kristian ke dalam budaya mereka, satu proses yang disebut sebagai ‘pembudayaan’ dalam teologi missiologi. Kesan daripada misi Kristian ini diuji apabila masyarakat pribumi merasakan bahawa budaya, bahasa dan cara hidup mereka tidak disesarkan secara traumatik oleh kedatangan mubaligh-mubaligh Kristian.
Tetapi pelayanan di kalangan Orang Asli bukanlah mudah. Dihalang oleh kekurangan pemahaman dalam kepercayaan primitif mereka dan banyak peristiwa berlaku semasa dan selepas Perang Dunia Kedua, gereja Orang Asli tidak dapat wujud secara independen daripada gereja yang memulakan pelayanan di kalangan mereka.
Penanaman Gereja Penanaman gereja & pelayanan Orang Asli mula berkembang pesat pada tahun 1980-an. Terdapat usaha-usaha oleh Rev Leong Mock Chow dari Lutheran di Cameron Highlands, Rev Lieow Meng Kuang di Tapah, serta Sister Ngeh dari Gereja Methodist yang melayani suku Semelai di Maran dan Bukit Ibam. Rev Lieow kemudiannya mengasaskan JEKOA (Jemaah Kristen Orang Asli) bagi mengajar dan melatih pemimpin Orang Asli. Gelombang kedua kebangunan rohani di Ba Kelalan juga mempunyai kesan ke atas Orang Asli apabila Pak Tagal Paran dan rakan-rakan terbang dari Sarawak pada awal 1980-an untuk berkongsi Injil di kalangan masyarakat Orang Asli di pedalaman Pahang. Pada tahun 1988, Gospel to the Poor telah diasaskan oleh Rev Moses Soo yang menggembara dari Grik, Perak sehinggalah ke selatan di negeri Pahang. Sehingga kini, mereka telah menanam 42 gereja Orang Asli di hutan belantara Pahang dan Kelantan. Pada tahun 1991, Malaysian CARE memulakan pelayanan mereka kepada kumpulan Orang Asli di Perak dengan menggunakan pendekatan pembangunan komuniti. Di bawah Rev Ng Moon Hing, gereja Anglican di Ipoh memulakan “pelayanan kampung-kampung” mereka di Perak pada tahun 1993. Dari tahun 1995, mereka melebarkan sayap pelayanan mereka kepada masyarakat Orang Asli. Kelas-kelas tuisyen Bahasa Inggeris dan chapel telah ditubuhkan. Mereka juga memulakan sekolah Alkitab untuk menyediakan latihan teologi asas kepada Orang Asli.
Penglibatan Gereja SIB pula bermula pada tahun 1960-an tetapi penanaman gereja dipergiatkan pada 1990-an, terutamanya di Bentung, Jerantut dan Temerloh. Pendekatan holistik dan kontekstual dengan menghantar pastor –pastor dari Sabah & Sarawak untuk menjangkau, menggembala dan hidup di tengahtengah mereka telah membuktikan ia satu cara yang berkesan dalam usaha menanam gereja di kalangan Orang Asli kerana latar belakang budaya dan bahasa yang hampir serupa. SIB bahkan telah disebut secara khusus dalam satu seminar dakwah di mana pendakwah-pendakwah Islam digesa untuk mencontohi SIB jika mereka mahu mengislamkan Orang Asli.
Gerakan Dakwah Pada masa yang sama, masyarakat Orang Asli juga telah menjadi sasaran usaha pengislaman oleh beberapa program kerajaan tempatan. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam juga bekerja rapat dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dalam gerakan dakwah mereka. Orang luar sering dihentikan oleh pihak berkuasa dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan penempatan Orang Asli. Dan terdapat banyak kes di mana gereja Orang Asli yang baru dibangun dimusnahkan oleh pihak berkuasa. Pengharaman Alkitab dalam tahun 1981 dan larangan untuk mencetak, menerbit, menjual dan mengedarkan Alkitab pada tahun 1983 telah membuat kerja-kerja di kalangan masyarakat Orang Asli menjadi semakin sukar. Dengan alasan 'untuk melindungi mereka daripada pengaruh luar', pihak berkuasa tidak teragak-agak dalam menghentikan apa sahaja kerja pembinaan gereja/chapel. Sejak tahun 1980-an dasar mengintegrasikan Orang Asli mempunyai konotasi keagamaan yang lebih ketara. Banyak aktiviti-aktiviti JHEOA yang bertujuan membangun kerohanian Orang Asli dilihat sebagai usaha-usaha pengislaman melalui habuan. Pernah dilaporkan bahawa usaha pendakwahan tajaan kerajaan negeri seperti di Kelantan, di mana lelaki Islam yang berkahwin dengan seorang wanita Orang Asli akan diberikan ganjaran 10,000 ringgit!
Sebarang aktiviti dakwah di kalangan masyarakat Orang Asli disokong sepenuhnya oleh JHEOA. Pada tahun 1991, Jabatan Hal Ehwal Agama dan JHEOA melantik dan melatih 250 pendakwah yang dikenali sebagai "Penggerak Masyarakat". Ia juga mengumumkan bahawa balai rayadan sebuah surau akan dibina di kampung-kampung Orang Asli. Matlamat utama mereka adalah untuk mengasimilasikan Orang Asli kepada Melayu (proses meMelayukan) walaupun secara rasmi dikatakan matlamat mereka adalah untuk mengintegrasikan Orang Asli ke dalam masyarakat besar. JHEOA juga telah dituduh menunjukkan sikap pilih kasih terhadap Orang Asli yang memeluk Islam. Orang Asli Muslim mendapat keutamaan dalam pemberian bantuan dan rumahrumah. Kampung mereka cenderung mempunyai kemudahan yang lebih baik seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air. Tetapi gereja dan kampung-kampung Orang Asli Kristian tidak diberikan sebarang kemudahan asas.
Janji Yobel Ketika Malaysia menyambut Tahun Yobel, Tuhan melakukan sesuatu yang signifikan di kalangan Orang Asli sebagai orang asal di negara ini. Pada awal April, "Homecoming: Perhimpunan Anak Negeri" bermula di Kuala Lipis. Beberapa pemimpin Orang Asli yang menghadiri perhimpunan itu mula menangkap visi dan pengertian kedudukan mereka di bumi ini. Mereka kemudiannya terbang ke Kota Kinabalu untuk menyertai orang-orang asal Kristian yang lain dalam "Perhimpunan Anak Negeri", dan kemudian "Kebaktian Suku-Suku Bangsa" di Kuching.
Fakta dan Angka ‘Orang Asli’ adalah satu istilah kolektif untuk 19 kumpulan etnik yang kurang daripada 180,000 orang. Secara umumnya, mereka dianggap sebagai penduduk asal Semenanjung Malaysia (dalam erti kata lain, mereka sudah ada sebelum kedatangan Melayu). Orang Asli terbahagi kepada tiga kumpulan yang berbeza: Negrito, Senoi dan Melayu-Proto. Mereka dijumpai dalam semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pulau Pinang.
(foto ihsan: Chrisanne Chin)
Pada perayaan Hari Malaysia baru-baru ini, Kem Yobel di Bentung telah menyaksikan hampir 800 orang Orang Asli mengisytiharkan tahun rahmat Tuhan ke atas Malaysia. Kanak-kanak Orang Asli juga mengambil tempat di atas pentas untuk berdoa bagi Malaysia semasa “Perayaan Jubilee Hari Malaysia” di Stadium Melawati. Sesungguhnya Orang Asli Kristian sudah mula bangkit!
Cabaran Masa Depan Sejak 20 tahun yang lalu, ramai Orang Asli telah berhijrah dari kampung mereka ke bandar-bandar untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran. Sesetengah daripada mereka terus berulang-alik antara kampung mereka dan bandar, bukan hanya kerana kos sara hidup yang tinggi di bandar, tetapi lebih-lebih lagi kerana mereka merasakan tidak mendapat penerimaan daripada kaum-kaum lain di bandar-bandar. Sesetengah Orang Asli mengaku bahawa mereka merasa terpinggir di dalam gereja-gereja di bandar kerana jurang status pendidikan dan sosio ekonomi yang luas. Bahasa juga adalah satu lagi halangan yang mereka hadapi. Secara umumnya, gereja-gereja di bandar kurang menghulurkan tangan persahabatan mereka kepada saudara-saudara Orang Asli mereka, bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka tidak tahu bagaimana. Sementara itu, gereja Orang Asli juga menghadkan pelayanan mereka di dalam kampung mereka sahaja dan enggan untuk bekerjasama dengan gereja-gereja dari bandar walaupun dalam satu denominasi yang sama - untuk melayani jemaat mereka yang berada di bandar-bandar. Inilah masa yang kairos untuk kita bekerja ke arah gereja Orang Asli yang berdikari, bukan gereja Orang Asli yang selama-lamanya bergantung kepada orang luar. Kalau dahulu kita menghantar mubaligh untuk menjangkau mereka, tetapi sekarang kita perlu untuk menghantar guru, pelatih dan pentadbir; supaya gereja-gereja Orang Asli akan menjadi matang dan mula mentadbir sendiri, menyokong diri sendiri dan menyebar sendiri. Kita berdoa bagi generasi pelapis Orang Asli untuk menjadi pemimpin dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Kuasa di Malaysia.
SENOI Semai Temiar Jahut Che Wong Mah Meri Semoq Beri Temoq
MELAYU-PROTO Temuan Semelai Jakun Orang Kanaq Orang Kuala Orang Seletar
NEGRITO Kensiu Kintaq Jahai Lanoh Mendriq Bateq
Jadual 1: Kumpulan Etnik Orang Asli di Semenanjung
Pada tahun 2010, JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sebelum Januari 2011, melaporkan bahawa penduduk Orang Asli telah meningkat daripada 141,230 pada tahun 2006 kepada 178,197 pada tahun 2010. Hampir kesemua mereka tinggal di 852 kampung terpencil di dalam hutan dan di pinggir bandar. 559 kampung mempunyai penduduk antara 100-500 orang sahaja.
Negeri Pahang Perak Kedah Selangor Kelantan Terengganu N. Sembilan Melaka Johor Total
Negrito 925 2,413 251 3 1,381 34 0 1 1 5,009
Senoi 29,439 50,281 19 5,073 12,047 818 96 28 55 97,856
Melayu-Proto 37,142 605 0 12,511 29 41 10,435 1,486 13,083 75,332
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (2010)
Total 67,506 53,299 270 13,457 13,457 893 10,531 1,515 13,139 178,197
Kira-kira 65% Orang Asli mengamalkan agama tradisional animistik, 15-20% Islam, dan sebanyak 20% telah percaya kepada Kristus sejak 30 tahun yang lalu. Terdapat beberapa kampung yang 100% beragama Kristian. Walau bagaimanapun, kampung mereka mungkin jauh di pedalaman, tanpa jalan yang baik atau kemudahan asas. Sebab itulah ada keperluan mendesak untuk melatih pemimpin-pemimpin Orang Asli supaya mereka dapat berkongsi Injil dengan orang-orang mereka sendiri. Kebelakangan ini, peratusan Orang Asli yang memeluk Islam juga dilaporkan semakin meningkat, terutama di kalangan suku-suku Melayu-Proto. Ada di antara mereka yang tukar agama kerana tarikan yang tulen kepada Islam, tetapi majoriti menukar agama kerana tekanan atau tipu muslihat tanpa mengetahui mereka telahpun diislamkan. Setakat ini semua suku tidak mempunyai skrip bertulis. Hampir tidak ada bahan-bahan sumber Kristian dalam bahasa ibunda mereka. Belum ada Alkitab yang telah diterjemahkan dalam bahasa mereka. Tetapi legasi yang ditinggalkan oleh William Napitapoeloe tetap hidup. Beliau adalah seorang Batak dari Huria Kristen Batak Protestan yang melayani di kalangan masyarakat Orang Asli tanah rendah. Pada tahun 1955, beliau menghasilkan satu risalah bertajuk Nong Selamat (Jalan Penyelamatan), kemudian menterjemah Injil Markus serta Yohanes ke dalam bahasa Sengoi pada tahun 1954. Beliau akhirnya dilihat sebagai satu ancaman dan sering diancam oleh polis dan orang- orang Melayu yang percaya bahawa masyarakat Orang Asli seharusnya diIslamkan dan bukan dikristiankan. Beliau kemudiannya diperintahkan untuk meninggalkan Malaya walaupun sudah 23 tahun tinggal di negara ini.
Arini dan Wang Satu Ringgitnya
"Uncle, boleh saya beli buku ini?" Dengan satu ringgit di tangannya, Arini, seorang budak perempuan Orang Asli yang berusia 4 tahun, mahu membeli sebuah Alkitab Kanak-Kanak. Dia belum pandai membaca dan belum lagi bersekolah. "Tetapi saya boleh melihat gambar-gambar dan mengerti cerita-cerita dari Alkitab." Arini adalah di antara sekitar 200 orang kanak-kanak Orang Asli yang mengikuti Kem Yobel di Bentung baru-baru ini. Alkitab Kanak-Kanak yang kos pencetakannya disumbang oleh individu dan gereja dijual dengan hanya RM 5 senaskah. Itu telah membawa senyuman kepada banyak kanak-kanak Orang Asli. Satu ringgit mungkin tidak signifikan bagi kebanyakan kita. Tetapi untuk Arini dan yang sepertinya, ia mungkin adalah apa yang dia miliki. Apabila kebanyakan kita boleh membeli Alkitab di mana-mana atau membaca Kitab pada klikan butang, hakikatnya adalah bahawa terdapat lebih daripada 500,000 kanak-kanak Kristian berbahasa Malaysia di Sabah & sarawak (dan Orang Asli) yang tidak dapat mengakses Alkitab. Oleh itu, kami mengajak anda untuk menyertai kami dalam pelayanan pemuridan generasi pelapis dan pemimpin masa depan gereja berbahasa Malaysia melalui pengadaan bahan sumber.
Tahun Doa 24/7 untuk Malaysia
10,000 orang Kristian di Sabah berdoa untuk Malaysia pada 16 Sept 2012
Tahun Doa 24/7 untuk Malaysia menyeru semua orang Kristian dan gereja-gereja untuk bersatu dalam doa bagi keamanan, keadilan dan rekonsiliasi bangsa, dengan memokuskan kepada kumpulan pendatang, pelarian, orang asal dan orang miskin. Biarlah Keadilan Ditegakkan! November 20 2012 adalah Hari Kanak-Kanak Sedunia. Marilah kita berdoa untuk kaum belia dan kanak-kanak di negara kita: 1. Berdoalah supaya hak-hak kanak-kanak dan belia dihormati; berdoa supaya lebih banyak orang Kristian akan bangkit untuk menjadi pemikir strategik bagi masa depan kanakkanak dan remaja, menjadi suara bagi kanak-kanak dan remaja yang didera, diabaikan dan yang terlupakan. 2. Berdoalah untuk usaha-usaha dipertingkatkan bagi mendidik keluarga, gereja dan masyarakat. Berdoalah agar sebarang bentuk diskriminasi sosial dapat dipatahkan. 3. Berdoa agar apa-apa saja bentuk perhambaan, pemerdagangan, buruh paksa dan penyalahgunaan kuasa dipatahkan. 4. Berdoalah agar pesalah belia dan remaja dapat dilindungi secara adil dalam sistem keadilan jenayah. 5. Berdoalah agar orang muda dan kanak-kanak dilindungi dari masalah pendidikan berprasangka, yang diburukkan lagi oleh faktor-faktor lain seperti perpecahan keluarga, kemiskinan, kesihatan serta pengaruh buruk dari media dan rakan-rakan. 6. Berdoalah agar kemiskinan generasional dapat dipatahkan yang telah menafikan kanak-kanak dan orang muda untuk mendapat pendidikan kerana mereka terpaksa bekerja bagi membantu menyara keluarga. 7. Berdoalah agar tidak ada kanak-kanak atau orang muda yang dihalang daripada kebebasan memilih kepercayaan atau iman mereka. Berdoalah agar setiap kanak-kanak dan orang muda di negara ini akan mempunyai peluang untuk mendengar Injil Yesus Kristus dan mempunyai pengalaman untuk mengenali-Nya. 8. Berdoalah agar golongan kanak-kanak dan remaja akan diberi peluang, peranan dan akses kesempatan yang sama dalam kehidupan gereja. Berdoalah supaya mereka diberi kesempatan untuk memimpin bagi menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin transformasi bagi generasi ini.
Update SASA - Satu Anak Satu Alkitab (Kempen 1M 100K)
AKK ke Betong (dilaporkan oleh Pr Richard Labung Ganang, Kuching) Shalom Wawasan Penabur,
Kempen Satu Anak Satu Alkitab – Inisiatif 1M 100K yang dirancang pada Januari 2012, hanya mula mendapat sokongan dari individu dan gereja pada bulan April 2012. Tahap kesedaran perlunya memuridkan generasi pelapis masa depan Gereja Kristus di Malaysia masih lagi sangat rendah. Peruntukan untuk misi luar negeri dan bangunan gereja masih lagi diutamakan. Pada masa yang sama, usaha pengislaman ke atas anak-anak kita terus berjalan tanpa menunggu kesediaan Gereja.
Pelayanan Rumah Panjang GerejaTrinity Methodist di Kuching tertumpu kepada 2 pusat: Saratok (Rh. Maya) dan Betong (Rh. Ensudin). Terdapat 6 rumah panjang di setiap pusat, dengan jumlah kira-kira 100 orang kanak-kanak. Kanak-kanak ini belum memiliki Alkitab peribadi lagi. Alkitab Kanak-Kanak yang diterbitkan oleh Wawasan Penabur telah memungkinkan kanakkanak ini dapat membaca Firman Allah dalam Bahasa Malaysia.
Kerana permintaan yang mendesak, kami telah mencetak 30,000 naskah lagi (menjadikannya kini sudah 60,000 buah dicetak untuk tujuan kempen SASA ini) pada bulan Ogos lalu. Segala sumber dana hasil penjualan buku Wawasan Penabur disalurkan kepada kos pencetakan tersebut.
Pada 28 & 29 Julai 2012, saya memimpin satu tim gabungan Gereja Trinity Methodist dan SIB The Way (gereja berbahasa Mandarin) untuk melawat Rumah Ensudin di Betong.
Dan sejurus selepas dicetak, 20,000 buah Alkitab Kanak-Kanak telah dihantar ke Sarawak untuk disebarkan ke 8 kawasan majoriti Dayak melalui projek yang kami panggil sebagai “Projek Membanjiri Sarawak” – membanjiri Bumi Kenyalang dengan Firman Tuhan. Puji Tuhan untuk individu-individu yang telah memberi bagi projek ini yang memungkinkan Alkitab Kanak-Kanak sampai ke kawasan pedalaman Sarawak. Gereja-gereja tempatan (terutamanya SIB) di Kuching, Sibu, Miri , Lawas dan Bintulu telah memainkan peranan penting dalam penyebaran Alkitab Kanak-Kanak tersebut. Kita masih mempunyai 40,000 buah yang harus dicetak dan disebarkan ke pedalaman Sabah & Sarawak sebelum tahun 2012 berakhir. Semua kita boleh memainkan peranan dalam meletakkan sekurang-kurangnya satu Alkitab Kanak-Kanak di tangan seorang kanak-kanak. Setiap buku yang anda beli (dengan harga RM 30 senaskah) samada untuk diri sendiri atau membeli untuk memberkati orang lain, anda sebenarnya menyumbang 3 buah Alkitab Kanak-Kanak ke Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Sila salurkan sumbangan anda kepada: Wawasan Penabur Sdn. Bhd. P.O.Box: 8327, Kelana Jaya Post Office 46787 Petaling Jaya, SELANGOR May Bank Account No: 5623 6663 2813
Selepas kebaktian malam itu, 32 orang kanak-kanak telah menerima Alkitab Kanak-Kanak yang telah disampaikan oleh golongan profesional di kalangan kami seperti doktor dan jururawat. Penyampaian buku-buku tersebut bertujuan untuk memberi galakan dan motivasi kepada mereka bagi membaca Firman Tuhan. Kanak-kanak tersebut berasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk membaca Alkitab Kanak-Kanak yang mereka terima. Kami juga berdoa untuk kanak-kanak. Terima kasih Wawasan Penabur! Richard Labung Ganang Coordinator, Pelayanan Rumah Panjang Gereja Trinity Methodist, Kuching.
Jika anda mempunyai cerita/kesaksian yang serupa, sila kirim kepada kami!