NEGARA MADANI DALAM KERANGKA MAQASID SYARIAH Prof. Dr. Jasser Auda Pengerusi, Maqasid Institute Malaysia (MIM) Mukaddimah : Krisis Kemanusiaan dan Krisis Kenegaraan Kedengaran laungan slogan “Rakyat ingin kerajaan tumbang” serta tempikan ‘roti’ – simbolik kepada kekurangan bekalan dan kemiskinan kualiti makanan asasi Timur Tengah-, serta laungan “kebebasan dan keadilan”. Itulah gambaran kemahuan masyarakat marhaen di sebahagian negara-negara Arab yang turun berdemonstrasi dalam merealisasikan impian mereka untuk memperoleh kebebasan di dalam politik, sosial serta sistem ekonomi yang lebih baik pada tahun 2011. Masyarakat Arab khususnya dikejutkan dengan kejatuhan beberapa nama besar yang menguasai pucuk pimpinan yang berdekad lamanya berkuasa hanya selepas beberapa hari rakyat turun berdemonstrasi di jalanan. Kegembiraan dikongsi, semangat dan kejayaan tersebut diraikan, malahan negara dari Timur ke Barat turut dilihat belajar dari Arab Spring lantas berharap mampu mengatur langkah mengikuti jejak langkah kejayaan revolusi berkenaan. Mimpi indah tersebut telah berlarutan selama beberapa bulan sehingga sesetengah masyarakat percaya bahawa situasinya seperti digambarkan oleh peribahasa Arab : ‘bunga melur mampu meleburkan senjata’, ‘semangat keamanan adalah lebih kuat daripada peluru’ dan ‘musim bunga telah tiba selepas musim sejuk’. Sehinggakan sesetengah percaya setelah beberapa pilihan raya kecil diadakan dengan terburu-buru, over optimism dalam perebutan kuasa ditambah reaksi membabi buta segelintir pihak bahawa bangkit mendakwa : “Usaha Islamisasi –versi merekasudah berjaya menampakkan hasil” lalu “Ustaziyat al-‘Alam (ketuanan global) adalah tujuan kita yang seterusnya” dan sebagainya. Namun begitu, impian tersebut nyata sebenarnya berlawanan dengan hakikat, serta fakta telah mendedahkan fantasi. Namun telah terlewat, barulah disedari bahawa rupanya regim kediktatoran dan kezaliman telah mengakar dan merebak di dalam masyarakat dan ianya tidak mudah untuk dicabut atau dihapuskan begitu saja. Slogan “Keadilan Sosial” pula dilihat lebih dekat dengan khayalan berbanding kenyataan. Kita boleh mengamati, negara Arab hanyalah semata-mata rantau yang telah dicorakkan untuk memenuhi keperluan serta kepentingan sesetengah pihak. Mereka ini mendominasi kuasa wang dan juga kuasa ketenteraan di setiap negara. Setiap kumpulan tersebut sering kali dilihat tidak teragak-agak memanipulasi semua mekanisme yang ada termasuk kekuatan tentera kerajaan atau bukan kerajaan tanpa bagi tujuan menindas rakyat sendiri tanpa ada rasa belas kasihan. Tiada ihsan dan kemanusiaan pada riak wajah mereka ketika berhadapan dengan rakyat yang bangkit memperjuangkan perubahan, menentang kediktatoran dan memerangi rasuah, selain kebebasan dan perjuangan hak-hak yang dirampas pemerintah. Meskipun kekerasan yang sama sepatutnya digunakan untuk menentang kezaliman pemerintah. Adalah jelas bahawa regim yang memerintah sesebuah negara itu dan juga kuasa antarabangsa tidak mahu dan tidak sekali-kali akan membenarkan negara-negara Arab menjadi sebuah negara demokrasi dan harmoni. Malah mereka sanggup berhabisan wang,
mengorbankan jiwa, material dan perang saraf untuk membendung perkara tersebut daripada menjadi kenyataan. Apa yang jelas kesimpulan daripada reformasi dan perubahan lanskap sejak 2011 –dalam konteks perbahasan buku ini- adalah menggambarkan situasi yang lebih buruk telah terzahir hari ini berbanding sebelum revolusi tahun 2011 dari segi kebajikan dan kepentingan rakyat, hak kemanusiaan, politik, keselamatan, ekonomi serta agama. Walaupun bangsa Arab berdekad lamanya memendam amarah terhadap kezaliman pemerintah, namun mereka masih lagi berkuasa dengan ditongkat oleh sebahagian masyarakat lain dengan sebab kepentingan masing-masing. Maka lahir dua kumpulan dalam kalangan masyarakat dalam menggerakkan agenda revolusi negara sementara semanagat revolusi rakyat masih membuak-buak. Wujudlah pendekatan berbeza : perjuangan dalam keharmonian atau silmiyyah dan puak dengan matlamat sama tetapi cenderung kepada pendekatan keganasan atau al-‘unf. Revolusi Arab atau Arab Spring lahir melalui dua kaedah utama yang berbeza dan keduaduanya adalah dibuktikan tidak berkesan. Kaedah pertama adalah menggunakan pendekatan keamanan yang telah mengorbankan ramai anak muda Arab yang terbaik, pintar dan paling bearga di dunia Arab serta negara Islam yang lain di dalam matlamat untuk mencapai impian revolusi yang tidak mengguna pakai pelan strategik yang boleh memastikan kebaikan dan pembetulan dibuat secara realiti, situasi ini adalah sangat ganjil. Cara yang kedua adalah revolusi melalui keganasan ekstrem iaitu melibatkan perbuatan jenayah, dengan menjadikan orang Barat sebagai mangsa terrorism di serata dunia, perpecahan kekeluargaan dan monopoli ekonomi golongan ekstremis agama. Semua perkara tersebut kemudiannya hanya memberi faedah kepada musuh Islam dan bukan orang Arab dan kemanusiaan seluruh dunia. Walaupun aktiviti keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah jelas seperti matahari yang menyinari alam, namun para pengikut kumpulan ini masih tega dan senang hati menggelarkan diri mereka dengan menggunakan “pergerakan negara Islam” dan “khilafah Islam”. Hal ini amat menghairankan. Revolusi 2011 telah mengajar kita suatu perkara yang sangat penting iaitu kita sering salah di dalam meletakkan pengharapan dalam usaha mencipta perubahan sejarah yang bermakna, pantas dan kekal. Perubahan yang diharapkan berlaku dalam dunia Islam hari ini tidaklah mudah dan pantas sekelip mata boleh berlaku memandangkan terdapat beberapa halangan besar yang perlu kita ubah dan perbaiki terlebih dahulu. Saya berpandangan bahawa cabaran yang paling utama adalah : Pertama : Cabaran memperbaiki atau mengubah struktur pembinaan manusia itu sendiri; Kedua : Cabaran perubahan dalam pembinaan sebuah negara. Justeru dalam kita berbincang mengenai soal kemanusiaan, kajian dan tinjauan membuktikan bahawa kita bakal menghadapi cabaran besar dalam mengubah masyarakat sudut perubahan yang melibatkan isu pendidikan, budaya, ideologi dan aliran, karier, etika, agama, kesihatan, sosial. Misi islah atau reformasi politik separuh masak atau tidak berstruktur di dalam piramid politik (iaitu sistem piramid yang tertinggi) tidak akan mengubah kezaliman. Walaupun kejayaan revolusi itu disokong dengan kotak undi dan tidak akan kekal selamanya tanpa sokongan
dan kemajuan dari aspek pendidikan, moral, budaya, pekerjaan, kesenian. Maka jelas di sini perubahan berstruktur dengan tunjang yang baik dan kukuh sahaja mampu menyokong serta memberi makna kepada sesebuah perjuangan reformasi politik serta memastikan perubahan itu baik dan berkekalan. Kemiskinan, kejahilan dan penyakit adalah cabaran sebenar kepada sebuah reformasi. Ia tidak akan dapat dilaksanakan di mana-mana negara selagi mana ketiga-tiga isu tersebut masih membelenggu masyarakat serta tidak dapat ditangani dengan baik. Dengan wujudnya kefakiran, masyarakat hilang prinsip, nilai dan kemuliaan. Kerana kejahilan –dan rendah kadar literasi- tercabut kewarasan, hikmah, faham nilai dan faham agama. Oleh sebab penyakit terhakis kemuliaan, harta dan makna kehidupan. Oleh itu, apa yang kita perlukan adalah revolusi dan reformasi akhlak, pemikiran dan tamadun untuk dipasak sedalam-dalamnya ke dalam benak setiap individu yang membentuk sebuah masyarakat. Kemudian dari situ diperkasakan pula agensi, badan atau gerakan sivil-madani yang menjadi penerus kepada agenda perubahan politik yang diharapkan. Kemudian jika menyentuh kata ad-Daulah di dalam konteks dunia Arab, ia membawa kepada gambaran struktur terkini yang mempunyai cabaran utama iaitu tidak bersistematik yang kronik, cenderung memberi sokongan kepada diktator dan menghalalkan semua bentuk penyelewengan. Kesemua ini bermula dari fanatism dan pemikiran jumud kepada pegangan falsafah makna sempadan sesebuah negara adalah sempadan politik (Sykes-Picot, Remo dan Lausanne1) ketika menghuraikan makna gagasan Negara Bangsa Arab –ad-daulah al-wataniyyah al-‘arabiyyah-, dan kita telah lihat melalui begitu banyak insiden yang menunjukkan bagaimana kepentingan sejagat terkorban disebabkan oleh apa yang digelarkan sebagai nasionalisme. Situasi ini jelas menggambarkan betapa prinsip nasionalisme yang diganggam erat oleh mereka mengatasi kepentingan atau maslahat yang dikongsi bersama. Bahkan kita boleh lihat kualiti sikap, etika dan nilai kemanusiaan apabila melayan negara Arab yang lain biarpun serumpun dan sebangsa. Biarpun sebahagian saudara mereka ditindas dianiaya. Biarpun mereka sedar memiliki kelebihan strategik yang boleh dikongsikan bersama dengan negara serantau. 1
Dua menteri masing-masing Perancis dan Britain iaitu Francis George Picot dan Mark Sykes suatu masa dahulu membuat perjanjian sulit pada tahun 1916 dengan persetujuan dari empayar Rusia pada masa itu untuk membahagikan Tunisia dan Maghribi serta bumi Syam antara negara Perancis dan Britain. Ia dapat dihidu oleh blok komunis lantas mereka mengisytiharkan perjanjian bahawa apabila mereka memerintah Russia satu tahun selepas itu, yang menimbulkan kemarahan negara-negara Arab , tetapi rancangan pembahagian itu berjalan di depan dalam persidangan San Remo pada 1920 dan selepas dengan beberapa perjanjian lain seperti perjanjian Lausanne pada 1923. perjanjian-perjanjian ini telah menimbulkan sempadan yang muncul buat kali pertama dalam sejarah. Ia merupakan sempadan baru bagi negara Iraq , Syria, Lubnan , Turki , Jordan dan kemudiannya Palestin di mana sempadan Israel mula menceroboh sebahagian besar tanah Palestin pada tahun 1948. Banyak kisah peristiwa yang hampir sama dengan peristiwa ini yang menunjukan kuasa besar dunia jelas memperkotak-katikkan hal ini.
Kemudian kita dilihatkan dengan kelemahan ketara yang wujud dalam kalangan negaranegara terus cenderung terus bereksperimen dengan cara individualistik dan sudah pasti dengan pendekatan berbeza. Kelemahan tersebut adalah kerana kekuasaan tentera mendominasi semua resolusi politik. Justeru itu, sesiapa yang mempunyai kuasa perintah di peringkat tertinggi dalam institusi ketenteraan mampu mendominasi semua polisi negara hingga ke tahap polisi yang diwujudkan hanya untuk kepentingan ahli-ahli politik, keluarga, penyokong dan ahli perniagaan yang menjadi penyokong dan tulang belakang mereka. Ruang ini tidak dimanfaatkan oleh mereka untuk menjaga kebajikan dan kepentingan awam, rakyat biasa dan masyarakat terbanyak. Kita juga menyaksikan isu monopoli projek dan tender -tanpa syarat- dan perbelanjaan tanpa batasan dengan menggunakan dana rakyat. Kemudian kita melihat bagaimana pendekatan kekerasan seolah-olah halal diguna pakai sehinggakan berlakunya pertumpahan darah, siri-siri pembunuhan dan penderaan terhadap rakyat sendiri –yang juga merupakan kumpulan pembayar cukai- tanpa sebarang pembelaan yang adakalanya mereka mengatas namakan agama. Keganasan juga sering digunakan hanya kerana rakyat mempunyai pendapat yang tidak selari dengan pemerintah, ideologi politik yang berbeza atau untuk terhadap golongan yang bangun menuntut hak asasi manusia, perjuangan reformasi, malah ke atas pihak yang menuntut bela (qisas) ke atas kematian akibat tangan pemerintah. Di samping itu, antara dilema lain dunia Arab yang dapat kita lihat dengan jelas pada hari ini adalah campur aduk yang mampu memberi kesan negatif. Iaitu antara lima badan berkuasa jika boleh kita istilahkan sedemikian- : badan eksekutif, badan kehakiman, badan perundangan, kuasa media dan masyarakat sivil-madani. Juga campur aduk di antara keputusan politik dalam ketetapan polisi. Begitu juga campur aduk antara angkatan bersenjata negara dengan penglibatan penjenayah bersenjata, samseng, kongsi gelap, militia dan apa sahaja gelaran bagi orang-orang yang melakukan kejahatan yang paling dahsyat ini. Selain campur aduk antara kepercayaan atau kecenderungan politik ke dalam kepercayaan agama. Perjalanan ini masih jauh untuk dilalui. Hanya Allah sahajalah lah yang dicari untuk membantu dan sebaik-baik pembantu. Oleh sebab itu kita percaya dan harus berusaha bahawa langkah pertama di dalam proses perjalanan yang panjang untuk keluar dari kezaliman negara-negara Arab dan daripada negaranegara Islam secara umumnya adalah dengan mencapai kefahaman dan faham kemasyarakatan, sosial dan politik yang mampu membina sebuah negara yang sivil-madani (daulah madaniyyah) dan pluralis (ta’addudiyyah), iaitu negara yang menetapkan dasar-dasar yang berasaskan prinsipprinsip moral. Ini diperkukuhkan lagi dengan keyakinan kita bahawa Islam sebagai satu cara hidup, paksi pemikiran insan dan identiti pembentukan tamadun. Saya percaya dan yakin bahawa dengan Islam kita mampu untuk membangunkan kesedaran yang kita harapkan dan islahkan, sama ada perubahan melalui kaedah revolusi atau secara beransur-ansur. Pokok pangkalnya perkara ini harus diletakkan prioriti terlebih dahulu untuk dilaksanakan sebagai prasyarat pelan pelaksanaan perubahan di kalangan negara Arab, dunia Islam malah seluruh dunia.
Namun, masa telah berubah, jurang ilmu Siyasah Syar’iyyah serta fiqh nya semakin melebar dari apa yang kita pelajari melalui teori dalam kitab turath dengan realiti kehidupan masyarakat muslim hari ini dari sudut falsafah ketamadunan, politik dan polisi. Ini kerana mafhum yang membentuk gambaran terhadap waqi’ realiti terbit dari usul dan falsafahnya hinggalah konsep asas dan aspek perkembangannya. Melaksanakan kajian penyelidikan, memperbaharui ilmu dan memperluaskan skop perbahasan sesuatu ilmu terutamanya politik Islam dengan semua asas-asasnya harus menjadi perkara yang utama dan mustahak dalam usaha mengambil cakna tentang masa depan Islam dan kepentingan umat Islam. Kumpulan dan individu yang mempunyai sesuatu perkara yang baik untuk diketengahkan harus mengorak langkah ke hadapan memimpin idea dan gagasan pembaharuan seiring dengan perkembangan semasa selain membincangkan dengan serius beberapa isu-isu pokok yang berkisar dengan konteks dunia Arab dan pemikiran Islam pada masa kini. Terdapat idea-idea yang telah dicadangkan oleh beberapa pihak kepada saya baru-baru ini mengenai isu kenegaraan. Ada pihak mencadangkan idea mengenai negara sivil-madani (addaulah al-madaniyyah) dan idea pluralisme dalam politik (at-ta’addudiyyah as-siyasiyyah) serta beberapa individu yang lain mencadangkan mengenai perbahasan isu sekitar epistemologi dalam kerangka politik yang diistilahkan sebagai Epistemologi Islam (marji’iyyah al-Islamiyyah). Saya akan membangkitkan perbincangan di dalam kajian ini berdasarkan penelitian mengenai perkara yang saya setujui dan idea-idea yang tidak saya persetujui. Saya juga akan membincangkan dan memberi penekanan kepada ketiga-tiga istilah penting iaitu sivil (madaniyyah), pluralisme (ta’addudiyyah) dan epistemologi (marji’iyyah). Perkara tersebut adalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dinyatakan sebelum ini dari perspektif titik temu Islam dengan wajar dan seimbang. InsyaAllah. Saya akan memberi tumpuan kepada kriteria utama bagi negara sivil-madani yang diimpikan dan perlu saya jelaskan kepada para pembaca sekalian bahawa saya hanya menganggap ia sebagai satu langkah di dalam proses untuk membangkitkan kembali perpaduan masyarakat seterusnya kesatuan hati antara negara Islam dengan kaedah dan strategi pelbagai. Saya membayangkan apa yang saudara impikan di peringkat ini iaitu sebuah negara sivil-madani yang mengaplikasikan falsafah Maqasid Syariah (daulah madaniyyah zat marji’iyyah maqasidiyyah). Hal ini membawa bermaksud, maksud yang diertikan dengan kata sivil-madani itu mengikis unsur regim dan diktator dalam pemerintahan di sesebuah negara dan polisi pro-kroni. Lantas mewujudkan kepelbagaian atau pluralisme politik yang mempunyai maksud komprehensif, yang merangkumi semua kumpulan politik walau siapa mereka, termasuk pergerakan serta pertubuhan sivil (civil movement). Ia akan memberi fokus keutamaan kepada implementasi dasar-dasar yang bertujuan untuk mencapai keadilan sosial yang saksama. Maka dengan demikian bahawa epistemologi bagi sesebuah negara sivil-madani, rangka utama pemikiran dan falsafahnya menjadi
kerangka utama yang membentuk prinsip-prinsip, nilai dan matlamat yang terkandung dalam Maqasid Syariah.. Keperluan Umat Kepada Ethical Reform Analisis daripada masalah yang kita alami ini, telah membuktikan bahawa agama, politik, polisi, ekonomi, sosial, kehakiman, seni, kesihatan, alam sekitar dan masalah lain adalah berasal dari penyakit moral dan ideologi yang berakar umbi di kedua-dua peringkat iaitu individu dan sosial. Sementara masalah yang paling serius di dalam dunia Arab dan Islam adalah perlakuan yang tidak beretika, kediktatoran serta pemikiran menyeleweng dan berbahaya yang telah merebak secara meluas dalam semua lapisan masyarakat Islam dan termasuk juga dalam kalangan bukan Islam. Walaupun masyarakat umumnya mahukan perubahan serta proses transisi politik yang mengubah tampuk kekuasaan daripada seorang pemerintah yang rosak moralnya atau daripada sebuah kerajaan yang zalim. Ianya tidak akan berjaya tanpa revolusi yang sebenar serta kesungguhan untuk berubah yang lahir di kalangan sekalian dunia Arab dan negara Muslim serta umum manusia sejagat. Perkara ini demikian oleh sebab revolusi, ideologi, sistem nilai, politik dan polisi kerajaan masa kini adalah menjadi sandaran kepada kehidupan manusia yang nyata mempengaruhi peri nasib mereka. Dunia moden kini mengalami krisis yang teruk di dalam segenap lapangan kehidupan manusia. Namun jika diamati dengan lebih jelas berdasarkan pendekatan sedikit kritis, kita akan mendapati bahawa krisis yang menular ini bukanlah bertitik tolak dari faktor teknikal atau ekonomi, sebaliknya ia bertunas dari apa yang dipanggil krisis keruntuhan moral. Krisis keruntuhan moral ini merangkumi serta menjejaskan kedua-dua perkara iaitu doktrin (tasawwurat manhajiyyah) dan praktis kehidupan (mumarasat ‘amaliyyah) manusia pada masa kini. Allah berfirman dalam al-Qur’an dengan mafhumnya : “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (41 :Surah Ar-Rum ) Sebagai contoh, semua krisis politik adalah berakar umbi daripada faktor moral. Syria adalah merupakan contoh yang paling jelas. Selain Palestin, Mesir, Libya, Iraq, Myanmar, Bangladesh dan apa yang berlaku sekarang di Afrika serta dari Timur ke Barat. Kesemua permasalahan ini adalah berpunca daripada krisis moral dalam kedua-dua doktrin dan amalan atau sebelum ini disebut praktis. Saya berasa amat kehairanan terhadap orang-orang yang berhadapan dengan kedunguan sehingga mampu menjustifikasikan dan mengubah gambaran untuk mereka menghalalkan pembunuhan, penderaan dan penganiayaan pihak yang membangkang dengan alasan melanggar undang-undang negara, legitimasi kuasa, menjejaskan keselamatan negara, dan undang-undang antarabangsa. Tiada alasan konkrit diberikan dalam menjelaskan tindakan mereka
melainkan hanya dakwaan yang tidak berasas. Ini cukup memberi petunjuk bahawa kita menghadapi masalah yang serius dan semakin membarah bukan sahaja dari aspek amalan politik malahan darin aspek definisi teori, tasawwur dan falsafah politik. Seakan-akan negara itu tidak mempunyai pegangan agama serta prinsip moral yang dipegang sebagai tunjang utama. Sebahagian pula dengan imej Islamis. Meskipun begitu, mereka meisytiharkan mengaplikasikan politik dengan pendekatan dan manhaj Islam akan tetapi berada dalam tahap yang sama zalim. Sama diktatornya. Adakala mereka mengamalkan politik dengan cara Machiavelli iaitu pihak yang berkuasa mutlak mengawal kekayaan di dalam pemerintahan negara dan kestabilan sistem hanyalah golongan elitis serta penguasa. Kumpulan ini juga perlukan faham moral dan Maqasid Syariah bagi melurus dan memurnikan pemikiran mereka dalam mempraktikkan politik. Hal ini bagi memastikan dasar-dasar pemerintahan benar-benar dapat membela rakyat dan tidak sia-sia. Lazimnya pemerintahan blok politik Islamis ini dalam manamana ranah di muka bumi ini sekali pun sangat setia mengitar semula idea-idea yang umum ketahui telah lapuk. Mereka sebaliknya harus membina dan menstruktur nilai pemerintahan berteraskan Islam seiring dengan perkembangan semasa di dalam semua tindakan, yang mana ketika ini hampir tidak wujud secara langsung atau tidak langsung. Sungguhpun ia adalah kumpulan politik yang menggariskan Islam sebagai asas utama penubuhan dan perjuangan. Contoh lain adalah krisis kesihatan dan perubatan berpanjangan yang berlaku di dunia hari ini, mereka memutuskan beberapa polisi yang tidak sepatutnya berpunca dari kelemahan memahami persoalan prinsip moral. Sebagai contoh dalam hal ini, isu perubatan yang kini dijadikan sebagai komoditi untuk dijual beli . Ia hanya akan dijual kepada mereka yang mampu untuk membelinya sahaja. Biarpun berjuta-juta manusia miskin di dunia ini akhirnya mati oleh sebab tidak mampu menanggung harga ubat yang cuma berharga dua atau tiga dolar. Apatah lagi dasar-dasar yang membolehkan syarikat-syarikat perubatan dunia melakukan amalan perubatan yang tidak bermoral di dalam penyelidikan bagi membuktikan atau menyangkal keputusan sebenar ubat-ubatan, serum, penciptaan berleluasa bahan makanan sintetik atau tanaman yang dihasilkan. Walaupun perubahan kosmetik melalui pembedahan itu nyata mengubah sifat yang telah Allah SWT ciptakan dan berlawanan dengan fitrah kemanusiaan, bertentangan dengan psikologi dan etika perubatan, ia tetap diterima sehingga ke hari ini sebagai sebahagian daripada industri perubatan tanpa mengambil pusing secara serius tentang prinsip moral dan etika. Begitu juga dengan isu pendidikan, ia hari ini bukan lagi menjadi hak untuk setiap individu yang inklusif ; malah seakan-akan dicipta untuk berada di bawah dasar kawalan bagi dijual hanya kepada individu-individu yang mampu sahaja. Lebih buruk lagi, sekolah turut menjadi mangsa sasaran serangan regim sewaktu peperangan meletus serta dimangsakan apabila berlaku konfrontasi politik. Jurang digital (literasi IT) menjadi kian melebar dari hari ke hari. Apa yang jelas ia adalah satu cabaran yang berhujung pangkal dari soal etika politik. Bukannya isu polisi atau pun dasar. Hak tersebut telah dinafikan sehinggakan rakyat menjadi buta IT dan tidak menguasai teknik komunikasi guna untuk peningkatan nilai individu, sehinggakan mereka tidak boleh berdaya saing atau pun maju. Malah menjadi semakin miskin, lemah, dan jahil. Manakala
syarikat-syarikat pengeluar yang menguasai apa yang dikenali sebagai ‘pengetahuan’ dengan ciptaan terbaru -yang biasanya dicipta oleh para genius negara-negara dunia ketiga pada kos yang sangat rendah- telah berkembang menjadi sebuah industri bersaiz mega yang mengawal transaksi berbilion wang dan memiliki jumlah sumber manusia dengan skala besar. Justeru, ini jelas telah menyokong blok kapitalis yang tidak mengenal erti kemanusiaan yang tidak kisah mengenai keadilan dan kesaksamaan atau kesama rataan peluang (takafu’ al-furas). Maka dapat dilihat bahawa nilai yang dibawakan oleh Islam hampir tidak wujud –sama ada langsung atau tidak langsung- dalam menaggapi kesemua isu-isu ini. Kesenian yang sebenar masa kini dikaburi oleh industri kesenian yang sedikit demi sedikit menyimpang daripada nilai asal. Ianya bertujuan untuk mengikis nilai dan memusnahkan kebaikan. Kesenian yang dihamparkan oleh industri hiburan dengan kebudayaan selebriti serta artis kini telah merosakkan minda belia di dunia pada masa kini. Apatah lagi dengan wujudnya industri permainan elektronik yang perlahan-lahan membunuh rahmah kasih sayang, belas kasihan, dan interaksi sosial sesama manusia. Sekali lagi dapat dilihat bahawa nilai yang dibawakan oleh Islam hampir tidak wujud –sama ada langsung atau tidak langsung- dalam menanggapi kesemua isu-isu ini. Kemudian jika kita menyentuh pula mengenai aspek ekonomi, krisis ekonomilah yang menghimpit dan membunuh ramai orang dan menjadikan mereka miskin serta tiada tempat tinggal, seolah-olah ia adalah krisis moral yang dicipta dengan restu umat sejagat! Dengan adanya kuasa yang campur tangan dalam politik di seluruh dunia, syarikat-syarikat gergasi multi nasional terutamanya syarikat yang terlibat dalam industri pengeluaran senjata telah menguasai pasaran ekonomi dunia. Sedangkan majoriti manusia hidup di bawah paras kemiskinan dan hanya mampu makan daripada sisa-sisa yang terbuang daripada penduduk yang 1% kaya. Forum ekonomi dunia telah kerap dianjurkan, namun tidak pernah membincangkan mengenai isu moral, walaupun soalan ekonomi yang utama sebenarnya adalah persoalan prinsip moral, reformasi politik dan anjakan kualiti pemikiran. Isu riba, politik memegang monopoli, rasuah, korupsi, eksploitasi golongan lemah, terpinggir dan isu kanak-kanak sebagai tenaga buruh murah. Semua ini adalah merupakan krisis moral yang telah di kesampingkan yang sebenarnya jauh daripada apa yang disebut sebagai politik terpimpin dan matang. Ironinya, para pemikir Islam dan pejuang reformasi kebanyakannya memandang sepi akan hal ini. Kesan daripada krisis ekonomi, muncul pula krisis alam sekitar yang disebabkan oleh pembaziran syarikat minyak besar, sisa nuklear daripada negara-negara yang menguasai tenaga tersebut. Mereka hanya menyisihkan buangan industri kimia tersebut di bumi negara-negara dunia ketiga dan mundur seperti sebahagian negara Afrika, Asia dan Amerika Latin tanpa sebarang prosedur pengurusan yang rapi serta selain tiada langsung sebarang pembelaan sekali pun dicabar undang-undang. Sumber asli termasuk yang bersifat universal seperti udara, air dan galian mineral milik tanah air mereka pula dipindahkan kepada beberapa negara kaya serta maju melalui proksi syarikat-syarikat besar multi nasional. Mereka juga telah mengubah struktur muka bumi lalu menyebabkan pencemaran lantas menjejaskan rupa asal bentuk peta asal. Atas nama kemanusiaan
dan kemajuan ekonomi global, beberapa forum dan persidangan antarabangsa dianjurkan. Namun persoalan nilai moral atau etika tidak pernah diutara untuk diperbincangkan oleh kerana tiada polisi diperuntukkan bagi usul keadilan sosial dibangkitkan semasa penganjuran forum serta persidangan tersebut berlangsung. Gambaran betapa beratnya keadaan masyarakat hari ini ; melalui rasuah segolongan manusia mencari nafkah, hasil bumi dan galian dicuri dengan mudah, kaedah yang tidak beretika berleluasa semakin diterima untuk diguna pakai seperti penghasilan genetik atau baka yang mampu mengubah sifat asal haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang bertentangan nilai moral. Realitinya ia telah wujud hasil tangan manusia hari ini. Perdagangan organ manusia dan organ haiwan yang mencecah bernilai jutaan dollar telah mengaburi manusia tanpa ada rasa belas kasihan. Industri penjualan organ ini telah meningkat dan pasarannya semakin berkembang saban tahun terutamanya di negara-negara miskin. Negara yang di mana rakyatnya hanya sekadar cukup makan –itu pun jika bernasib baik. Mereka tiada akses kepada sumber air apatah lagi bekalan air bersih. Apa yang ada cumalah ‘peluang’ untuk merayu bagi mendapatkan roti seperti yang kita dengar sewaktu meletusnya revolusi Arab sebelum ini. Kedudukan wanita –sama ada muslimah ataupun bukan- pula berada di tahap yang ketinggalan dalam sistem budaya dan amalan kehidupan di seluruh dunia termasuk negara-negara yang mencapai taraf negara maju. Statistik di dunia sama ada Timur dan Barat membawa gambaran jurang perbezaan yang ketara antara lelaki dan wanita dari segi kadar kemahiran literasi (celik huruf), kadar penghidap penyakit dan kadar kemiskinan. Wanita pada masa kini pula telah menjadi suatu komoditi yang boleh dijual beli. Kita tidak akan membeli kereta, pen malahan perabot rumah tanpa melihat wanita dimanipulasi sebagai bahan propaganda pemasaran dengan mendedahkan tubuh badan. Selain keganasan terhadap wanita, mereka juga dipinggirkan dalam segenap aspek merentasi sempadan budaya dan geografi. Khususnya dalam perkara melibatkan amalan dan institusi keagamaan, politik, perundangan, pemikiran, perdagangan serta fenomena global yang lain. Akhir sekali adalah menyentuh isu etika dan moral dari perspektif pengamalan media dan kewartawanan dalam memberikan liputan kepada sesuatu perkara. Sejak sekian lama, umat kita dan manusia sejagat dirundung kegusaran dan keresahan apabila dibawakan topik ini untuk diperhalusi dalam perbincangan kritis. Sudahnya, kita sering tertanya-tanya mengenai kredibiliti. Di manakah letaknya ketelusan dan kebenaran. Di manakah integriti. Di manakah fakta yang sebenar. Demikian ini adalah kerana apa yang kita lihat di layar maya dan kaca televisyen hanyalah tidak lebih sekadar penuh dengan fiksyen dan bukanlah menggambarkan hakikat yang sebenar. Lebih-lebih lagi, jika diamati dengan mendalam, saban hari masyarakat dihidangkan dengan berita utama berkaitan kemalangan maut di seluruh pelosok dunia. Malah, setiap pagi kita bersarapan bertemankan berita cuaca dan kedudukan pasaran saham. Di manakah berita mengenai tamadun manusia. Kemanusiaan dan inspirasi? Di manakah berita kisah kejayaan? Atau bahawa dunia hari ini hanyalah tidak lebih dari hanya semata-mata padang penghapusan dan genocide, bencana alam dan pilihan raya?
Krisis Pemikiran Islam : Keperluan Kepada Maqasid Syariah The Higher Objectives of Islamic Jurisprudence atau Maqasid Syariah yang kita akan bawakan perbincangannya di dalam buku ini bermula dari perbahasan epistemologi serta manhaj Islam dalam menguruskan isu dalam usaha memenuhi tuntutan sosial di peringkat masyarakat umum bagi menghadapi permasalahan yang disebut sebagai pertembungan antara syariat Islam dan nilai kemanusiaan. Maqasid Syariah juga menawarkan jawapan kepada persoalan yang penting dalam usaha merealisasi dan menyokong gagasan ethical reform demi maslahat manusia sejagat – sama ada individu Islam atau bukan Islam. Pada hemat saya, masalah terbesar di dalam wacana Islam kini adalah terlalu memberi tumpuan dan penekanan bukan kepada fokus subjek sebanar dan mustahak untuk diperbincangkan bertahun-tahun lamanya. Adalah lebih baik membangunkan wacana khusus dengan tajuk perbincangan yang tidak sempit (serta bersifat dinamik) dan juga juz’iyyat (mikro) yang cuma berlegar di sekitar maslahat kaum muslimin sahaja, apatah lagi yang lebih khusus dan berkisar dalam lingkungan golongan agamawan sahaja. Kita perlu mempergiatkan dan mengaktifkan hiwar (dialog) yang lebih insani dan yang lebih inklusif. Dialog yang menggaris bawahkan isu-isu universal, penting dan kegusaran yang dikongsi sekalian manusia sejagat. Apabila kita bercakap mengenai memimpin masyarakat, kita perlu mengutarakan isu dengan perbincangan kritis yang menyingkap isu kemanusiaan secara komprehensif, menyeluruh dan apa yang lebih penting ditunjangi dengan dhawabit (parameter) pertimbangan Islam yang sebenar. Isu kemanusiaan ini pada realitinya adalah di sisi Islam, tetapi pengajar Islam tidak memberi tumpuan kepada isu ini dan ini adalah isu utama yang boleh menjadikan hubungan antara tenaga pengajar dengan masyarakat (Islam atau bukan Islam) terutamanya golongan remaja. Memutuskan hubungan antara pengajar Islam dengan matlama Malah perkara ini telah lari dari kepentingan asal maksud Islam itu sendiri. Maqasid Syariah adalah mengenai akhlak mulia, mesej yang agung, dan tujuan yang baik yang terkandung dalam syariat seumpama jalan diajarkan kepada kita oleh Sang Pencipta – subhanahu wa Ta’ala. Walaupun Maqasid Syariah ini lahir dari rahim ilmu fiqh dan usul fiqh – dan penting untuk ditegaskan untuk kesekiannya dalam tulisan saya , ia kini telah muncul membangun bagi mengisi ruang sempit dalam perbincangan berkaitan soal kemanusiaan, sosial, dan isu kontemporari. Ini antara perkara yang kita akan tumpukan di dalam perbincangan melalui tulisan ini. Maqasid Syariah adalah jawapan kepada soalan ‘mengapa’? Dan ulama’ fiqh –fuqaha’silam telah menjawab soalan ‘mengapa syariah’ berdasarkan maqasid ‘ammah yang disebutkan sebagai mengurus agama, nyawa, akal, kehormatan, keturunan dan pemilikan harta. Mereka telah menjawab semua bab yang berkaitan fiqh dalam pengkategorian tajuk yang berlainan, yang juga dinamakan sebagai maqasid al-bab. Seumpama contoh maqasid dalam jual beli atau urus niaga adalah transparency, menghalang penindasan, menghalang riba, kualiti barang dagangan dan sebagainya. Ia juga menjelaskan maksud perkahwinan yang di dalamnya harus dimaknai dengan
kasih sayang dan kebersamaan, didikan dan kepentingan anak-anak dan lain-lain. Di samping ia turut menjelaskan maqasid jihad, maqasid hukuman maqasid pemerintahan, maqasid zakat dan selanjutnya. Tetapi ilmu ini telah berubah seiring dengan perubahan dunia, dan apa yang kita perlukan hari ini sesuatu yang baru solusi kepada isu kemanusiaan yang baru. Iaitu perbincangan untuk pengembangan ilmu pengetahuan dan pemikiran manusia. Kita memerlukan jawapan kepada persoalan ‘mengapa’ bukan sahaja berkenaan ilmu fiqh, malahan meliputi aspek politik, perubatan, ekonomi, pendidikan, kesenian dan lain-lain. Jadi jika kita bertanya mengapa perubatan? Kita tidak akan memberi maksud ubat sebagai komoditi sebagaimana yang kita kenal kini. Tetapi kita memberikan definisi etika dan moral berasaskan Maqasid Syariah yang sebenar dan meletakkan amalan perubatan, polisi dan isu-isu yang berkaitan kena pada tempatnya berdasarkan nuansa kemanusiaan. Jika kita bertanya mengapa politik? Dan mengapa negara? Mengapa seni? Mengapa media? Justeru kita boleh merujuk kembali maksud asas etika dan moral yang sama. Maqasid Syariah juga adalah berkaitan sistem nilai dalam Islam. Dalam masa yang sama apa yang disebut sebagai maslahah pula tidak harus terpisah dari nilai kebaikan, hak, keelokan, etika dan prinsip moral. Akan tetapi, wacana etika dan moral Islam seperti yang dipersembahkan kepada umum dalam Maqasid Syariah digambarkan lebih kompleks berbanding falsafah barat seperti kapitalisme, komunisme dan lain-lain. Kita akan mendapati susunan berdasarkan tertib prioriti (tartib lil awlawiyyat) antara dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat, khusus dan umum, kesegeraan (al-‘ajil) dan penangguhan (al-ajil) malahan tidak di setiap bab tersebut ada terdapat subtopik yang diletak berdasarkan susunan mengikut kepentingan. Sebagai contoh, pengurusan alhifz : juga disebut memelihara) jiwa kedudukannya adalah sebelum akal. Akal sebelum tubuh badan. Tubuh badan sebelum harta benda. Semua perkara ini mempunyai perkaitan erat yang akan dilanjutkan dalam tulisan ini terutama membabitkan politik dan polisi seperti mana yang kita lihat secara relatif. Awlawiyyat atau prioriti yang dinyatakan dalam Maqasid Syariah adalah diperlukan untuk membentuk polisi dan undang-undang tersusun serta tindakan pembaikan secara beretika. Aspek prioriti merupakan aspek nilai dan etika dengan meletakkan asas keutamaan kepada perkara apa yang penting kemudian perkara kurang penting. Proses minda ini berlaku dalam pemikiran individu yang melaksanakan keputusan polisi dan politik. Mereka akan mendahulukan perkara terpenting untuk diambil perhatian, gembleng usaha, dan pertimbangan serta mengkemudiankan perkara yang kurang penting. Begitu juga perintah-perintah ketetapan mahu pun arahan yang mustahak dikeluarkan dahulu diikuti dengan peraturan atau ketetapan yang wajar dikemudiankan. Seperti itu juga dalam mengutamakan matlamat (hadaf) dari wasilah, perkara pokok (usul) di atas perkara cabang (furu’), perkara makro (kulliyyat) di atas perkara mikro (juz’iyyat), selain nilai dan prinsip mengatasi individualistik dan kepentingan peribadi. Maqasid Syariah juga mendorong kajian serius dijalankan dan penetapan polisi ke arah lebih berintegrasi yang melibatkan pelbagai sudut. Hal ini kerana tiada isu isu perubatan
berbangkit tanpa dibahas isu ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, pendidikan. Begitu juga dengan setiap isu kesenian padanya ada sisi ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, budaya dan sebagainya. Maqasid Syariah menjangkaui tumpuan serta tidak terhad, skop perbincangannya sangat meluas, malah mempunyai hubung kait antara kesemua aspek yang dilihat sebagai maslahah dan nilai yang dituntut oleh masyarakat. Akhir sekali dapat dilihat bahawa Maqasid Syariah merupakan satu hujah Allah – subhanahu wa ta’ala- ke atas hamba-Nya serta bukti kebenaran risalah dan sumber hukum sekali gus mukjizat dan kebenaran Rasulullah –sallaLlahu ‘alaihi wa sallam- yang penuh hikmah pensyariatan yang sesuai pada setiap masa dan tempat (hikmat at-tasyri’). Lantas ia menggalakkan praktis etika berkesan, dan menghubungkan kesedaran manusia dan hati nurani manusia kepada Allah Ta’ala. Kita meyakini bahawa setiap permasalahan akan ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, bagi mencapai matlamat kajian menerusi penulisan ini, saya memohon kepada Allah Ta’ala agar ini menjadi rujukan berguna untuk mengkaji kaedah terbaik berkaitan isu politikal Islam khususnya, selain reformasi pemikiran umat Islam. Ini penting kerana reformasi pemikiran memastikan kita sedia sebelum berbincang lanjut mengenai konsep, persoalan, analisis fatwa dan isu yang lain. Serta merangka semula metodologi yang diperlukan agar matlamat utamanya untuk memenuhi keperluan realiti berdasarkan etika dan manhaj yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Walaupun saya bukan pakar sains politik yang ada pengaruh dan disanjung, tetapi saya akan akan cuba bentangkan di sini idea-idea daripada pakar Maqasid Syariah serta sedikit kepakaran dalam falsafah sistem, dan bagaimana saya menggunakan kedua-dua kepakaran tersebut dari segi akademik dalam penggubalan dan perencanaan polisi awam, dengan harapan saya mampu berkongsi sesuatu yang bermanfaat –insyaAllah- dalam merungkai permasalahan kini dengan pendekatan Islam dan pemikirannya. Saya juga berharap agar pembaca memaafkan kelemahan penguasaan istilah di dalam ilmu politik apabila kita membincangkan berkenaan isu dalam lapangan berkenaan. Apa yang jelas adalah suatu isu yang besar dan kompleks dengan pelbagai dimensi dalam dunia moden kini memerlukan pendekatan yang pelbagai pengkhususan agar saling melengkapi antara satu aspek dengan dimensi aspek yang lain. Kerap kali kita katakan bahawa sains dibahagikan dari suatu ilmu tunjang kepada banyak cabang. Perlu diperjelaskan, tidak dinafikan bahawa marhalah kepakaran (takhassus) adalah satu bentuk kaedah pembelajaran dan pengajaran. Namun ia tidak sepatutnya menjadi tali monopoli yang mengikat dari wujudnya kreativiti dalam penyelidikan saintifik dan perbincangan intelektual, kerana asas pemikiran adalah kepelbagaian disiplin, perspektif serta sudut penglihatan. Berkaitan isu negara ini, sesetengah orang berfikir bahawa keadaan semasa negara yang ditakrifkan di setiap negara adalah satu konsep alami dengan erti kata tidak mampu dikembang mahupun ditambah baik, dan perkara yang menjadikan ia lebih teruk adalah masyarakat Arab bahkan umat Islam hari ini dilatih sejak awal usia untuk menggelarkan diri mereka sebagai rakyat
Mesir, rakyat Sudan, rakyat Arab Saudi, rakyat Jordan, rakyat Pakistan, rakyat Bangladesh, rakyat Malaysia, rakyat Libya, rakyat Turki, rakyat Palestin dan lain-lain sebagai pentakrifan awal atau memperkenalkan diri. Selain mereka turut berpegang kepada prinsip penyerahan diri kepada nusa bangsa yang berdiri dengan definisi tidak kekal. Walhal pada hakikatnya bahawa semua entiti politik negara berasaskan sempadan pada zaman ini hanya baru wujud beberapa dekad yang lalu sahaja! Sebagai contoh, Mesir merasakan bahawa Sudan dan rakyat Gaza sebagai warga asing. Sebaliknya pada hakikat bahawa Sudan dan Gaza adalah sebahagian daripada Mesir pada masa lalu. Perkara yang sama juga berlaku kepada rakyat Jordan, Palestin, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya. Sungguh hari ini umum masyarakat melihat ahli siyasah sebahagiannya yang berniat jahat mempolitikkan fahaman dengan membawa kekeliruan makna ketaatan dalam bernegara. Hal ini menjadikan ia seakan-akan sama dengan ketaatan kepada kuasa pemerintah dan blok politik tertentu. Kekeliruan dan salah faham yang berlaku ini akhirnya membawa banyak impak negatif ke atas dunia Arab dan Islam sejagat. Natijahnya makna dan definisi ketaatan kepada negara harus distruktur semula dengan mengambil kira faktor perubahan beransur-ansur dalam kesedaran kepada kebenaran dari segenap aspek. Sejarah dan Kisah Kediktatoran Zaman Moden Memandangkan orang-orang Muslim telah melalui pelbagai peringkat kehidupan semenjak mereka golongan minoriti yang lemah bersama Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad –ketika permulaan di Mekah-, orang-orang Muslim dan seluruh dunia kini harus menekuni berkenaan perihal siyasah melalui contoh teladan daripada Nabi Muhammad yang menjadi seorang pemimpin institusi agama (Imam) dan ketua institusi politik (ketua negara). Selain itu, atas dasar kesedaran dan kebijaksanaan untuk mencapai keseimbangan antara perbezaan pendapat di dalam politik, Baginda menggalakkan semua pihak untuk bersatu, bekerjasama antara satu sama lain kerana Allah serta untuk kebaikan ummah. Dan sudah semestinya untuk kebaikan manusia sejagat. Ini adalah ajaran yang baginda Nabi Muhammad tinggalkan kepada kita. Kemudian datang pemerintahan khilafah yang mengambil alih kuasa pemerintahan daripada baginda Nabi Muhammad. Mereka terdiri daripada sahabat Baginda iaitu Abu Bakr asSiddiq yang setia mengikut ke mana sahaja jejak langkah Baginda Nabi Muhammad. Diikuti kemudiannya oleh Umar al-Khattab yang digelarkan Al-Faruq yang mana dunia tidak pernah menyaksikan kepintaran seumpama pintarnya Umar. Kemudian menyusul selepas mereka Uthman dan Ali, iaitu mereka yang telah berbakti kepada ummah ini serta seluruh alam insani dengan memberikan contoh terbaik dalam merealisasikan makna keadilan dan kesaksamaan hakiki, syura, dan kebijaksanaan keputusan di dalam setiap isu. Namun sejarah telah menceritakan bagaimana sejarah pemerintahan politik ummah selepas zaman Khulafa al-Rasyidin telah tergelincir daripada jalan kebenaran. Kita melihat bagaimana limpah kurniaan Allah yang sepatutnya menjadi hak kepunyaan ummah telah bertukar menjadi hak kepunyaan pemerintah, serta bagaimana tanggungjawab dianggap sebagai kemuliaan (tasyrif)
dan bukannya suatu tanggungjawab (taklif) yang berat. Bagaimana pihak pendakwaan dan penghakiman menjadi diktator serta bagaimana syura hanya menjadi sebuah tontonan umum sahaja. Bagaimana kumpulan negara individu pembelot, bagaimana selepas kegemilangan Khulafa al-Rasyidin bertukar menjadi sebuah zaman pemerintahan yang menggigit umat akhirnya. Biarpun mereka menggelarkan diri mereka sebagai khalifah. Walaupun tamadun Islam berkembang secara holistik, namun, umat Islam telah melalui sejarah pembelotan dan penipuan pemerintahan yang panjang. Ia suatu sejarah pembelotan yang sangat panjang kecuali beberapa pemerintah yang benar-benar mengikuti contoh pemerintahan Baginda Rasulullah. Terdapat beberapa pemerintahan yang mengikuti contoh pemerintahan Nabi Muhammad melaksanakan kesaksamaan dan sejarah telah memaparkan siri kejatuhan umat Islam serta semua negara di Timur terutamanya. Manakala kedudukan tamadun Barat kian menjulang tinggi. Allah telah mengangkat kedudukan ranah-ranah yang menerapkan nilai perintah-Nya. Umpama kata Ibn Taimiyyah : “Allah memberikan kekuatan kepada negara yang adil walaupun negara tersebut kafir, dan Allah tidak akan memberikan naungan kekuatan kepada negara yang zalim meskipun negara tersebut adalah negara Islam”. Beliau menambah : “Dunia terus hidup dengan keadilan dalam kekufuran dan tidak akan hidup dengan ketidakadilan dalam Islam yang hanya pada nama2” Kemudiannya negara-negara dunia telah bertelingkah sesama sendiri pada tiga abad yang lepas untuk mendominasi dunia dan untuk mempersembahkan falsafah mereka untuk membangunkan negara sebagai contoh terbaik kepada negara lain. Semua mereka sedar bahawa sesiapa yang mampu mempamerkan contoh -ideologi dan model- terbaik, mereka akan dianggap dan diangkat menjadi sebagai role-model oleh dunia. Keadaan ini berakhir pada abad ke-20 dengan konflik antara haluan kanan demokrasi serta kapitalis dengan haluan kiri komunis dan sosiali., Ia berakhir dengan dominasi haluan kanan iaitu demokrasi blok kapitalis Barat. Malahan penguasaannya meliputi kesemua negara yang mengamalkan dasar sosialisme serta kemudiannya menular ke seluruh dunia. Mereka -golongan kapitalis- mengatakan tiada sistem lain yang lebih baik di dalam sejarah yang dapat mengambil alih sistem ini serta keruntuhan sistem ini adalah penamat kepada sejarah manusia. Umat Muhammad SAW telah bangun dari era keruntuhan sejak abad ke-2, atau lebih awal dari itu selepas lama terlena. Kelenaan panjang ini telah menyebabkan kejatuhan sebuah demi sebuah negara umat Islam. Akan tetapi dengan bermulanya seruan Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, Hasan al-Banna, Ibnu Badis dan Umar Mukhtar serta para pencetus perjuangan seperti mereka, umat Nabi Muhammad mula bangkit dan merdeka daripada penjajahan. Maksud penjajahan adalah pemerintahan orang luar yang mencengkam dan mengambil alih negara serta merampas ranah bumi. Mereka juga berbuat pencemaran dan
2
Ibn Taimiyyah : Majmu’ah Fatawa, jilid 28 muka surat 147
memamah semua hasil yang ada melainkan hanya sedikit cebisan-cebisan yang berbaki sebagai sisa. Inilah yang ditinggalkan mereka.
Pengaruh Dan Kumpulan Sasar Matlamat penulisan ini adalah untuk cuba memberi idea dari perspektif sunnah dan asbab undang-undang Islam apa yang kita panggil sebagai Negara Sivil Dengan Asas Keislaman. Di dalam penyelidikan ini kita akan mengkritik pelaksanaan konsep Islam pada masa kini di dalam rangka politik. Kita juga akan cuba untuk membayangkan garis konsep kepelbagaian awam dan model majmuk. Itulah matlamat saya – dan saya perlu ulangi – sasaran pada peringkat ini dan ia tidak berakhir dalam pembetulan atau pembaharuan yang dikehendaki, kerana pembaharuan tidak akan lengkap kecuali ia menjangkaui model yang diimport masuk. Jangkauan ini tidak ada pertindihan dengan kecintaan pada negara seperti yang telah ditunjukkan sebelum ini. Ia perlu kembali kepada bentuk perpaduan Islam yang lebih meluas yang akan mempengaruhi dunia. Tetapi pada pendapat saya, perpaduan global ini tidak akan berlaku tanpa peringkat realisasi negara sivil-madani serta menghapuskan mimpi ngeri kezaliman dalam semua aspek dan penstrukturan semula sistem politik menyeluruh supaya ia menjadi suatu wahana untuk mencapai kepentingan rakyat, kepelbagaian dengan kebijaksanaan serta dasar toleransi. Dalam konteks yang sama, kita telah melihat kepentingan tertentu kepada pendekatan fundamentalis kepada isu asas iaitu isu epistemologi Islam (marji’iyyah Islamiyyah). Apa yang kita maksudkan dengan rujukan politik Islam di dalam kepentingan awam pada hari ini? Ini adalah satu persoalan yang penting dan jawapannya mempunyai kesan yang signifikan dalam merencanakan sistem yang diingini, yang kita rujuk sebagai Islam. Kami percaya bahawa maksud undang-undang Islam mempunyai peranan asas di dalam merencanakan marji’iyyah itu. Perkara ini kerana ia mewakili mazhab-mazhab Islam dan nilainilai murni dan makna kemanusiaan yang Allah Ta’ala turunkan dengan bukti melalui baginda Nabi Muhammad. Serta Allah juga telah turunkan bersama kitab al-Quran serta neraca mizan untuk mencapai prinsip ini seperti mengurus kepentingan agama, jiwa, akal, tubuh badan, keturunan serta harta benda. Ini termasuklah memelihari nilai atau kualiti seperti keadilan, menjaga fitrah iman, keseimbangan, kepelbagaian, kesaksamaan, toleransi, ketelusan, kebebasan, maruah dan sebagainya. Maksud ini juga turut membantu untuk memahami tujuan akhlak Nabi Muhammad dan hikmah sunnahnya dalam penetapan sesebuah polisi dan ketetapan politik yang akan dihuraikan kemudian. Serta cara ia akan mencapai tujuan undang-undang Islam di dunia kemanusiaan di tengah rencana Islam untuk masyarakat dan negara adalah cara – menurut pendapat saya – untuk pendekatan moden, seimbang, kesamarataan, dan kemanusiaan yang kita gelar sebagai pendekatan Islam (manhaj Islami) yang mungkin akan dicapai melalui keharmonian sosial untuk memelihara kerukunan , iaitu falsafah yang mencapai keseimbangan antara mereka yang menolak sistem serta
warisan kemanusiaan di atas nama salafi atau maksud sebenar antara keduanya serta kebudayaan serta penjajahan minda serta di atas nama kemodenan atau sekularis. Kemudiannya tujuan undangundang Islam kepada semua manusia – di dalam maksud abstrak – yang membenarkan Muslim untuk mempersembahkan kepada dunia moden dan mengambil peranan di dalam membangunkan kepelbagaian Negara Sivil kepada seluruh kemanusiaan. Akhir sekali, Maqasid Syariah membawa maksud kompleks yang mesti dianalisis dengan subjek yang boleh diterjemah melalui ukuran, supaya ia boleh dijadikan sebagai matlamat utama. Semakin banyak hikmah yang mampu diterjemah dan direalisasi, nescaya masyarakat lebih mendekati kepada Islam. Justeru semakin banyak pengiktirafan kepada negara tersebut, maka ia akan menjadi lebih stabil. Oleh itu, kami telah mengambil keputusan untuk membahagikan buku ini kepada tiga bab utama: dua bab berasaskan teori dan satu bab berasaskan praktikal. Bab teori akan membincangkan dua topik yang akan menjadi asas di dalam bab asal politik Islamiah moden, sebelum kita aplikasikan ke atas konsep Negara Sivil-Madani. Bab yang pertama adalah kaedah analisa maksud politik berdasarkan falsafah sistematik secara keseluruhan dan ia akan mengambil konsep Negara Sivil-Madani. Bab kedua akan mengkaji kaedah menghakimi rujukan di dalam lapangan politik berdasarkan kritikan perbandingan antara perbezaan rujukan Islam sehingga bab terakhir akan mengetengahkan undang-undang Islam sebagai tujuan. Berkenaan bab praktikal, ia akan membayangkan “Negara Sivil yang diimpikan” dari perspektif pluralisme politik secara holistik dan komprehensif. Iaitu menurut pengamatan saya ia adalah langkah asas bagi sesebuah perubahan atau reformasi tahap seterusnya ke arah penghapusan kezaliman. Dan kita akan menunjukkan serta menganalisis pendekatan Islam yang terhadap isu pluralisme (at-ta’addudiyyah) ini sama ada pengecualian atau penolakan. Kemudiannya, kita akan membina berdasarkan tesis moden sebuah bayangan definisi kepelbagaian untuk menjadi totalitarian bagi menampung kelemahan yang ditinggalkan oleh blok-blok gerakan politik dalam masyarakat kita kini. Kami memohon Allah SWT untuk memberi pertunjuk kepada ummah dengan pertunjuk dan rahmat serta merahmati kita seluruhnya, juga mengurniakan petunjuk (al-hidayah) dan keselamatan (as-Salamah) di dunia yang akan sirna serta akhirat yang tiada akhir baginya. Semoga Allah merahmati sesiapa yang telah berbakti kepada masyarakat terutamanya kepada para ‘alim ‘ulama dan para pemikir umat. Semoga Allah merahmati dan mengampuni seluruh umat yang berjuang di atas nama kebenaran sehingga terbunuh syahid, juga mereka yang dizalimi sehingga mengorbankan jiwanya, keluarganya, dan hartanya. Selain setiap jiwa yang mengimpikan keadilan serta reformasi-islahi yang ikhlas berjuang di pelbagai medan sama ada berjaya atau tidak. Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman : “Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka, maka mereka pun (pada Perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia agar mereka mendapat pengajaran, dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya ggur sebagai syuhada’. Dan Allah amat tidak menyukai orang-orang yang zalim.”
(Surah Ali ‘Imran : ayat 140) Dan firman-Nya : “Dan Allah Maha Berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf : ayat 21)
Segala puji bagi Allah subhanahu wa ta’ala, Tuhan Sekalian Alam
Jasser Auda Kabin penerbangan, Lautan Atlantik antara Timur dan Barat