KONSEP ILMU DAN PENDIDIKAN SEPADU KONSEP ILMU Dalam Islam, ilmu sebenar datangnya daripada Allah S.W.T yang ditanzilkan kepada rasul-rasul pilihan dan melalui alam ciptaan-Nya termasuklah manusia, yang mengandungi aspek zahir dan aspek ghaib. Syed Naquib Al-Attas juga memberi tekanan bahawa semua ilmu datang dari Allah, tetapi dia agak prihatin terhadap kesatuan bidang-bidang sains berhubungan dengan pendidikan untuk muslimin. Ia telah mengkategorikan ilmu kepada dua, iaitu: ilmu ma’rifah (ilmu pengenalan) dan ilmu sains (ilmu pengetahuan). Menurut AlAttas, ma’rifah adalah untuk roh manusia, dan ini diturunkan kepada Rasulullah dalam bentuk al-Quran ditafsir dan diamalkan dan kita terimanya sebagai Sunnah. Kedua-duanya dimanifestikan dalam Syari’ah, Ilmu Ladunni dan Hikmah. Ilmu ma’rifah yang dikurniakan kepada Rasul lebih tinggi dari segala ilmu dan harus menjadi panduan dan arah dalam pembentukan konsep dan kegiatan semua bidang sains. Dengan itu, bolehlah kita tafsirkan bahawa semua ilmu akan menjadi sepadu sebab datangnya dari Allah dan didasarkan kepada ma’rifah Justeru itu ruang lingkup ilmu amat luas, malah tidak terbatas. Oleh kerana kuantiti ilmu tidak terbatas, agak mustahil bagi setiap manusia mengetahui semua bidang ilmu. Oleh sebab itu pengkelasan ilmu kepada ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah amatlah sesuai dan pratikal. Ini dipersetujui oleh semua ilmuwan Islam walaupun mempunyai sedikit perbezaan dari segi kandungan di kalangan mereka. Ilmu fardu kifayah merujuk kepada bidang yang diperlukan oleh masyarakat dan wajib dituntut oleh sebahagian yang mencukupi dalam masyarakat itu. Ini bererti pengkhususan ilmu amat diperlukan. Sehubungan dengan ini, ilmu yang salah atau palsu (dalam ertikata ia bertentangan dengan kebenaran dari segi agama dan ketauhidan), mesti juga dituntut oleh sebahagian anggota masyarkat untuk melindungi masyarakat seluruhnya daripada terpengaruh dengan kepalsuan tesebut. Inilah sebabnya maka ilmuwan Islam terkenal dari Sepanyol, Ibn Hazm menyatakan bahawa astrologi, walaupun sebenarnya bukan satu ilmu, tetapi perlu dipelajari oleh sebahagian anggota masyarakat untuk tujuan yang disebutkan di atas tadi. Tetapi pengkhususan diizinkan hanya setelah seseorang itu mempunyai dasar yang kukuh dalam bidang ilmu asas, yang merupakan fardu ‘ain, manakala ilmu khusus, yakni fardu kifayah yang diminati pun harus sentiasa dihubungkaitkan dengan ilmu-ilmu lain. Ilmu asas bermaksud ilmu fardu ‘ain yakni ilmu yang wajib diketahui oleh semua orang, sesuai dengan tugas dan peranan hidupnya sebagia insan individu dan sebagai ahli masyarkat yang beriman teguh kepada Allah. Pengkelasan herarki ilmu kepada fardu ‘ain dan fardu kifayah tidak boleh disifatkan sebagai satu manifesti dualisme atau penduaan . Kedua-duannya memang tidak boleh dipisahkan dan kedua-duanya adalah aspek-aspek daripada satu hakikat bersepadu dengan keutamaan lebih diberi kepada fardu ‘ain. Jika seorang mengamalkan fardu ‘ain dalam pengertian sebenar, dia pasti mempunyai ilmu fardu kifayah. 1
Kita boleh mengatakan bahawa ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Di sini juga takrif ilmu membezakan ilmu Allah dengan ilmu manusia tentang Allah, tentang agama, alam, benda-benda yang boleh dirasai dan difikir, tentang ilmu kerohanian dan hikmah. Justeru itu istilah ilmu dalam Islam meliputi pelbagai perkara dan bermaksud al-Quran, syariah, sunnah, Islam, iman, ilmu kerohanian (ilmu al-ladunni), hikmah, makrifah, pemikiran, sains dan pendidikan. Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas mentakrifkan ilmu seperti berikut: Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepda diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. Takrif ini amat lengkap dan membayangkan peranan Allah S.W.T sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk aktif dalam usaha mendapatkan ilmu. Allah S.W.T. adalah Wujud, yang Maha Mengetahui, yang memberikan makna sesuatu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi Allah S.W.T. tidak akan memberikan ilmu tanpa sebarang persediaan daripada pihak manusia, justeru itu manusia perlu berusaha untuk mendapatkan makna dan memperoleh ilmu. Sehubungan dengan ini perlu diterangkan bahawa ilmu wahyu yang datang kepada para rasul, mengikut para ulama dan ahli kalam Islam serta ahli tasawuf, tidak berdasarkan usaha mereka. Takrif di atas tadi dengan sendiri bermakna ilmu tidak sama dengan fakta, kemahiran atau maklumat, walaupun tentunya ilmu meliputi maklumat dan kemahiran. Malah ilmu haruslah berdasarkan maklumat yang benar yang memberi makna kepada pemiliknya. Dalam hal ini terdapat juga maklumat yang benar dan tidak benar. Maklumat yang tidak benar adalah sekadar perasaan (dugaan), syak, atau zan. Perasaan, syak dan zan atau gejala lain yang anti ilmu akan hancur jika ditentangi oleh ilmu yang benar. Dalam perkiraan yang luas, segala pernyataan, ajaran serta amalan yang palsu kerana tidak berdasarkan ilmu di dunia ini, tetapi dianggap sebagai benar kerana pada zahirnya berguna dan bermakna, akan diperlihatkan hakikat kepalsuannya pada hari akhirat. Ini menunjukkan bahawa “kepercayaan kepada Hari Pembalasan” yang merupakan salah satu rukun iman agama Islam, mempunyai peranan penting, walaupun tidak langsung, dalam budaya ilmu. Sejauh ini yang jelas kepada kita ialah, semua ilmu datangnya dari Allah. Segala konsep serta aktiviti-aktiviti dalam semua bidang sains (ilmu pengetahuan) mesti berlandaskan kepada agama. Ini adalah asas konsep kesepaduan atau kesatuan ilmu. Di negara kita masa kini, lebih khusus di madrasah-madrasah, terdapat penggunaan istilah mata pelajaran agama, mata pelajaran sekular atau mata pelajaran akademik. Mata-pelajaran seperti sains dan mathematiks biasanya dikategorikan sebagai mata-pelajaran sekular atau pun akademik. Penggunaan ini agak kurang susuai jika kita halusi makna sekular dan akademik.
2
Mengikut Kamus Dewan, sekular bermakna yang berkaitan dengan keduniaan dan tidak berkaitan dengan keagamaan. Dan sekularisme pula bermakna faham, doktrin atau pendirian yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia. Ini bertentangan dengan konsep kesatuan ilmu di mana semua ilmu berlandaskan agama dan datang dari tuhan. Berdasarkan kepada definisi sekularisme, mata-pelajaran sekular bererti mata-pelajaran yang tidak berkaitan dengan agama dan menolak nilai-nilai agama. Sedangkan semua penemuan sains (bukan teori sains) adalah diilhamkan oleh Allah kepada manusia yang menyebabkan ia sedar dan mengetahui lebih sedikit tentang alam yang dicipta Allah itu.
Menurut Kamus Dewan juga, akademik ialah yang mengenai atau berkaitan dengan pusat pengajian tinggi, atau bersifat / mengandungi ilmu pengetahuan tinggi dan mendalam. Berdasarkan kepada definisi ini, mata-pelajaran seperti sains dan mathematiks bila dikategorikan sebagai mata-pelajaan akademik, bererti ia bersifat atau mengandungi pengetahuan tinggi dan mendalam atau ilmiah. Dan sebaliknya matapelajaran seperti fiqeh dan tauhid, jika tidak dikatogerikan sebagai mata-pelajaran akademik tidak bersifat ilmiah. Oleh itu penggunaan istilah sekular dan akademik sebagai kategori matapelajaran harus digantikan dengan yang lebih sesuai. Di antara kategori lain yang boleh difikirkan ialah Fardu ‘ain dan Fardu kifayah, atau Agama, Sains kemanusiaan dan Sains tabii.
MAKNA DAN TUJUAN PENDIDIKAN Makna dan tujuan pendidikan telah menjadi perbincangan ahli falsafah dan para pendidik sejak berzaman-zaman. Pada umumnya terdapat dua teori mengenainya. Yang pertama dinamakan pendidikan yang berpusatkan masyarakat dan yang kedua pendidikan yang berpusatkan individu. Yang pertama bertujuan untuk menghasilkan rakyat yang baik dan yang kedua bertujuan untuk menghasilkan individu yang bahagia. Dari segi Islam tujuan pendidikan ialah supaya individu menjadi manusia baik di dunia dan akhirat. Al-Attas juga berhujjah bahawa seorang yang berpendidikan ialah seorang yang baik. Dan di sini, berpendidikan bererti berpendidikan dunia dan akhirat, dan baik yang sebenar meliputi aspek kehidupan kerohanian dan material. Maka itu Al-Attas mendefinisikan seorang yang berpendidikan dalam Islam ialah seorang yang beradab (insan adabi). Menurutnya, Seorang yang baik ialah yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang hak; memahami serta menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dalam setiap aspek untuk mencapai taraf insan adabi. 3
Pendidikan ialah proses ta’dib iaitu proses menyemai dan memupuk adab dalam diri manusia. Pada pendirian Al-Attas, ta’dib dengan sendirinya sudah merangkumi pengertian dan proses ta’lim dan tarbiyah. Maka itu cukuplah digunakan istilah ta’dib sahaja untuk makna pendidikan dan tidak perlu menggunakan istilahistilah ta’lim dan tarbiyah
PENDIDIKAN SEPADU Pada umumnya, dan sebagaimana terdapat di negara kita juga, ada dua pendekatan utama terhadap pendidikan. Yang satu berdasarkan falsafah sekularisme dan yang satu lagi berdasarkan tradisi agama. Dalam pendekatan agama, dan sebagai muslimin, kita percaya kepada Allah, adanya roh, nilai-nilai mutlak dan hidayah dari Allah. Kehidupan dunia berkait rapat serta menentukan kehidupan akhirat. Kehidupan di dunia adalah sementara dan kehidupan akhirat adalah berkekalan. Pendekatan sekularisme menafikan atau meminggirkan kewujudan tuhan dan roh. Alam dan kehidupan manusia sentiasa dalam keadaan evolusi dan berubah-ubah. Maka itu nilai-nilai dan hasil atau produk sosial akan berubah mengikut perubahan sosial. Perubahan sosial ialah perubahan keadaan alam sekitar di segi materialisme, yang dengan sendirinya mempengaruhi hubungan antara manusia. Sains telah mencetuskan teknologi dan teknologi telah memodenkan/memadanikan masyarakat. Hal ini pula telah membawa kepada perubahan-perubahan dalam suasana dan situasisituasi hubungan antara manusia. Maka itu terdapatlah perubahan-perubahan corak hubungan-hubungan antara lelaki-perempuan, ibu-bapa-anak dan keluarga-negara. Apa yang terjadi ialah materialisme atau kebendaan menjadi lebih penting dari hubungan spiritual. Ini bertentangan dengan pendekatan agama. Di segi agama hubungan kekeluargaan dianggap sebagai tetap dan susunan nilai pula sebagai sejagat dan tidak boleh diubah. Agama memupuk sikap hormat kepada yang tua dan menetapkan tanggungjawab untuk setiap anggota keluarga mengikut statusnya dalam keluarga. Nilai-nilai ini ada manifesti luaran kemurnian kehidupan dan ketulusan hubungan kekeluargaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memupuk nilainilai ini pada setiap anaknya. Tradisi sekular pula menekankan bahawa tugas pendidikan ialah untuk memberi kesedaran bahawa nilai-nilai sentiasa berubah dan dengan itu norma-norma juga turut berubah. Dan dalam sistem itu, kanak-kanak pula dibiarkan membuat keputusan mereka sendiri. Pakar sosiologi bersetuju bahawa ini besar kemungkin akan membawa kepada ketidaktentuan dan menyebabkan masalah-maslah juvenil.
4
Pendekatan sekular disokong oleh dua falsafah iaitu falsafah rasionalisme dan empirisisme. Kedua-dua falsafah ini adalah terbatas kerana kedua-duannya tidak mengambil kira unsur spiritual atau kerohanian. Mengikut Kamus Dewan definisi-definisi Rasionalisme dan Empirisisme ialah seperti berikut: Rasionalisme: fahaman bahawa taakulan adalah asas yang paling baik dalam melakukan sesuatu tindakan dan menyelesaikan masalah. Rasionalistik: berkenaan fikiran yang berdasarkan logik dan bukan emosi atau ajaran agama. Empirisisme: fahaman atau doktirn bahawa pengalaman praktis teori), adalah asas pengetahuan.
bukan
Empirik/Empirikal: berdasarkan pemerhatian atau eksperimen, (bukan teori), dan kaedah yang digunakan adalah melalui kajian-kajian untuk mengumpulkan data.
Pendekatan agama pula lebih komprehensif kerana ia mengambil kira dan menggunakan unsur-unsur kerohanian, intelektual, rasional dan aspek-aspek fisikal manusia. Pendekatan sekular bepegang dan percaya kepada data atau maklumat yang dikumpulkan melalui deria-deria dan teori-teori yang terdapat melalui akal fikiran berdasarkan data-data deria. Pendekatan agama menerima ilmu yang hakiki melalui wahyu dan tajalli.. Quran memberi ilmu ini kepada manusia dan Rasul memberi kepada umatnya, kaedah untuk menghayati ilmu ini supaya dapat mentransformasi personaliti manusia menjadi insan kamil. Kaedah-kaedah yang terdapat dalam kedua-dua falsafah ini sangat berbeza. Untuk pendekatan sekular, empirisisme dan rasionalisme memberi objektif dan kaedah yang boleh didemostrasikan. Ini sesuai untuk penganalisaan benda-benda maujud, tetapi langsung tidak sesuai untuk keadaan intelektual dan mental manusia, yang tidak terbatas potensinya.
STRATEGI INTEGRASI TOTAL; FALSAFAH DAN KAEDAH Kesepaduan pendekatan sekular dan pendekatan agama dalam bidang pendidikan tidak mungkin berlaku di peringkat konseptual. Dari segi epistemologi, (teori tentang pengetahuan – terutamanya yang berkaitan dengan kajian kritis tentang kesahihan, kaedah dan skop sesuatu pengetahuan ), kedua-duanya jauh berbeza. Pendekatan sekular dikawal oleh epistemologi naturalisme yang berdasarkan kepada rasionalisme, empirisisme, evolusi dan kemajuan hasil perubahan. Pendekatan agama dikawal oleh epistemologi yang berdasarkan kepada makna perkataan-perkataan 5
seperti wahyu, roh, nilai-nilai kudus dan mutlak (seperti yang dilahirkan melalui asma al-husna), amanah, khilafah, risalah atau kenabian dan kehidupan akhirah. Jelas sekali di sini bahawa kedua-duanya mempunyai asas falsafah yang bertentangan dan tidak boleh di sepadukan. Walaubagaimana pun, satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil pedekatan yang berdasarkan kepada akidah atau kepercayaan, tanpa membuat sebarang tolak ansur. Di sini, beberapa konsep kemanusiaan akan dengan sendirinya termasuk dalam pendekatan ini. Dalam hal ini, kita harus bermula dengan 2 perkara asas: konsep fitrah manusia dari segi agama Islam dan konsep ilmu. Mengikut pendapat al-Ghazali, sesuai dengan fitrah manusia, tujuan pendidikan ialah pembangunan personaliti individu yang total dan seimbang. Maka itu, aspek atau kuasa yang terpenting dalam personalti individu, iaitu roh, perlu diberi peranan sebagai Raja. Intelek pula diberi peranan sebagai menteri yang menggunakan akal fikiran dan logik, dan deria-deria serta nafsu pula diberi peranan untuk memelihara tubuh badan. Dan tubuh badanlah yang membolehkan roh untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dalam hal ini, kemajuan kerohanian manusia, dalam pengabdiannya untuk mendapatkan keredaan Allah serta menghampirkan diri kepadaNya, tidak terbatas
Mengenai ilmu, sudah diterangkan di atas. Dan kita sudah pun faham bahawa ilmu ialah punca segala kemajuan dan pembangunan. Maka itu Islam tidak meletakkan sebarang batasan atau had dalam usaha mencari ilmu. Manusia harus berusaha mendapatkan ilmu dalam semua bidang untuk pembangunan yang total dan seimbang. Aspek-aspek kerohanian, moral, intelektual, imaginasi, emosi dan fisikal dalam personiliti manusia perlu diberi perhatian dalam mejalin hubungan antara semua bidang ilmu. Kemudian, langkah-langkah yang harus diambil untuk merealisasikan integrasi total ialah seperti berikut:1. Falsafah pendidikan mesti diletakkan pada asas akidah, kepercayaan atau iman kepada Allah. Dengan cara itu barulah boleh kita ketepikan falsafah sekular. Falsafah ini mesti berasaskan kepada kepercayaan kepada Allah dan adanya ruh sebagai pengerak utama yang berkuasa atas intelek, imaginasi, perasaan dan keinginan serta nafsu. 2. Ilmu harus dikategorikan semula atas dasar hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam tabii. Suatu pengkategorian yang boleh diambil ialah seperti berikut:• Yang pertama dinamakan Sains Agama, • Yang kedua dinamakan Sains Kemanusiaan • Yang ketiga dinakaman Sains Tabii. 3. Segala nilai dan andaian dalam bidang Sains Kemanusiaan dan Sains Taabii mesti berlandaskan kepada Sains Agama, terutama sekali mengenai fitrah manusia. 6
4. Konseptualisasi, atau pembentukan konsep bagi setiap bidang ilmu mesti dibuat dari kacamata agama. Ini bererti semua ilmu seperti psikologi, sejarah, ilmu alam, ekonomi dan lain-lain, perlu dilihat dan disusun semula, kemudian ditulis semula mengikut tasawwur agama Islam.
5. Demikian juga yang perlu dilakukan dalam bidang kurikulum perguruan dan persekolahan. Falsafah, prinsip-prinsip pendidikan dan kaedah-kaedah pengajaran perlu diletak atas paradigma yang baru. Ini adalah suatu tugas yang amat besar, tetapi boleh dan mesti dilakukan. 6. Walau bagaimana pun, sementara menunggu langkah-langkah ini dapat dilaksanakan, kita harus merebolusikan sikap dan tasawwur para pendidik dan guru. Oleh kerana para pendidik dan guru-guru adalah barisan hadapan dalam proses pendidikan kanak-kanak, mereka harus membatinkan dan menghayati falsafah dan konsep kesepaduan ilmu dan pendidikan yang berpaksikan kepada tauhid dan iman kepada Allah. Dengan itu, walaupun belum terdapat buku-buku teks yang baru, mereka boleh menggunakan buku-buku teks yang ada dan mentafsirkannya mengikut pendekatan yang berpaksikan tauhid dan berteraskan akhlak. 7. Tetapi yang penting ialah usaha untuk mengkonseptualisasikan atau pun membentuk konsep pendidikan dan program pendidikan guru, untuk menghasilkan kerja-kerja mengenai kaedah-kaedah mengajar. Ini kemudiannya diikuti dengan mengadakan kursus-kursus serta bengkel-bengkel untuk para guru. Dan yang amat penting ialah kesedaran dan kesediaan para pendidik dan guru untuk melakukan anjakan paradigma ini.
7