KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN SEBAGAI MEKANISME PENYELESAIAN TREND BELANJA KAHWIN MASA KINI
Syh Noorul Madihah Binti Syed Husin Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu,
[email protected] Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Azahari Dr. Asmak Binti Ab. Rahman Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,
[email protected],
[email protected] Tengku Fatimah Muliana Binti Tengku Muda Siti Khatijah Binti Ismail Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu,
[email protected],
[email protected]
ABSTRAK Al-taysir merupakan satu konsep yang dianjurkan dalam Islam bagi memudahkan umatnya mengamalkan perintah Allah S.W.T. Ia bukan sahaja dianjurkan dalam ibadat, malah turut dijadikan asas dalam urusan perbelanjaan perkahwinan. Masyarakat hari ini semakin didedahkan dengan isu perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Ia bukan sahaja melibatkan elemen-elemen perbelanjaan wajib dan sunat, malah pelbagai bentuk perbelanjaan yang tiada asas dalam syarak terpaksa dibelanjakan. Fenomena ini telah memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat. Pasangan yang akan berkahwin terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan di luar kemampuan. Ia juga boleh menyumbang kepada perkahwinan di lewat usia dan sekali gus menafikan konsep targhib al-zawaj yang dianjurkan oleh Islam. Justeru, melalui analisis dokumen terhadap teks-teks fiqh berkaitan perbelanjaan perkahwinan, kertas kerja ini akan mengupas konsep al-taysir dalam perbelanjaan perkahwinan sebagai salah satu mekanisme untuk menyelesai trend belanja kahwin masa kini. Dapatan kajian menunjukkan konsep al-taysir sememangnya telah wujud dalam anjuran perbelanjaan perkahwinan menurut Islam. Dapatan ini diharapkan dapat memberi garis panduan kepada pasangan yang akan mendirikan rumah tangga agar dapat berbelanja dalam urusan perkahwinan seperti yang telah dikehendaki syarak. Kata Kunci: Perbelanjaan Perkahwinan, Konsep al-Taysir, Elemen Perbelanjaan Perkahwinan
1
PENDAHULUAN Perkahwinan sememangnya merupakan satu amalan yang mulia dalam Islam. Justeru, tidak hairanlah apabila Rasulullah S.A.W telah menyeru para pemuda untuk berkahwin sekiranya telah mempunyai kemampuan. Galakan ini perlu disambut oleh umat Islam, dan bukan memandangnya sebagai satu perkara yang sukar. Islam tidak pernah membebankan umatnya dengan pelbagai bentuk perbelanjaan bagi mendirikan sesebuah rumah tangga, bahkan telah mempermudahkannya.
Namun realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini, perkahwinan semakin dilihat sebagai satu perkara yang membebankan. Ini adalah rentetan dari trend belanja kahwin yang semakin tinggi sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kesan negatif kepada pasangan yang ingin berkahwin. Situasi ini akan menjadi bertambah serius sekiranya masyarakat tidak didedahkan dengan asas dan pendirian Islam dalam isu tersebut. Justeru itu, kertas kerja ini akan cuba mengupas konsep al-taysir dalam perbelanjaan perkahwinan Islam bagi membendung isu ini berlarutan.
PENGENALAN UMUM TENTANG AL-TAYSIR Dalam bahasa Arab, al-taysir merupakan kata terbitan dari kata perbuatan [س َر َّ َي
َ
– يُيَ ِّس َُر
] yang
memberi maksud mudah atau senang. Ia juga biasa disebut dalam bahasa Arab sebagai al-layn, al-tashil, al-tasahhul dan al-tassamuh. Al-taysir digunakan dalam al-Quran untuk perkara kebaikan dan keburukan. Dalam surah al-Lail, Allah S.W.T berfirman dalam ayat yang ke-7 [
]
yang
bermaksud
“maka
sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)”. Dalam
ayat
ke-10
pula
]
Allah yang
S.W.T bermaksud
berfirman “maka
[ sesungguhnya
Kami
akan
memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. Al-taysir dalam ayat ke-7 digunakan untuk kebaikan dan pada ayat ke-10 adalah untuk keburukan (Ibn Manzur t.t, 5: 295). Dalam Islam, al-taysir merujuk kepada berpegang kepada hukum hakam agama sepertimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T, dan beramal dengannya melalui konsep mempermudahkan 2
sebagaimana yang ditunjukkan oleh manhaj nabawi (Kamil 2000, 47). Dalam membincangkan konsep ini, Ibn ‘Ashur telah menerangkannya dengan menggunakan terma al-samahah yang lebih kepada maksud toleransi. Ia merujuk kepada memudahkan sesuatu perkara yang dianggap sukar atau susah untuk dilaksanakan oleh manusia (Ibn ‘Ashur 2001, 269).
Menurut Imam al-Shatibi, pentaklifan yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada setiap mukallaf bukan bertujuan untuk menyusah dan membebankan mereka (Al-Shatibi 1997, 2: 210). Bahkan, syariat Islam sentiasa menghindarkan mukallaf dari sesuatu bebanan yang berat bagi mengelakkan kebosanan dan rasa benci terhadap pentaklifan. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan daripada mengganggu tugas-tugas kehidupan yang lain (Al-Shatibi 1997, 2: 233).
ANJURAN AL-TAYSIR MELALUI AL-QURAN DAN AL-SUNNAH Al-taysir merupakan sebuah manhaj al-Quran dan al-Nabawi. Rasulullah S.A.W telah mendidik para sahabat agar menggunakan prinsip ini sama ada secara peribadi mahu pun dalam bentuk kelompok (Al-Qaradhawi 2006, 151). Hukum-hukum yang didatangkan oleh Allah S.W.T banyak terbina atas asas al-taysir.Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menganjurkan konsep ini dalam menjalankan kehidupan seharian, sama ada dalam konteks ibadat, muamalat dan sebagainya. Antara firman Allah S.W.T berkaitan perkara ini adalah: Terjemahannya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran… ” (Al-Baqarah 2: 185) Secara khususnya ayat ini telah membincangkan hukum kelonggaran dalam puasa. Namun ayat ini secara umumnya menunjukkan Allah S.W.T tidak ingin menyusahkan hamba-Nya dalam melaksanakan syariat Islam, malah ingin memberi kemudahan, kebaikan dan manfaat. Konsep memudahkan merupakan satu asas dalam agama, dan ayat ini telah dijadikan dasar utama dalam penetapan kaedah “al-musyaqqah tajlib al-taysir” (Muhammad Rashid Ridha 1947, 2: 164). Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T sekali lagi menerangkan kehendak-Nya: Terjemahannya: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah” (Al-Nisa’ 4: 28) 3
Ayat ini secara jelas menunjukkan kehendak Allah S.W.T untuk memudahkan hamba-Nya dalam melaksanakan syariat Islam dan meninggalkan segala larangan-Nya, bersesuaian dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang lemah (Ibn Kathir 1998, 1: 541). Seterusnya, Allah S.W.T berfirman lagi: Terjemahannya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama… ” (Al-Hajj 22: 78) Dalam ayat di atas, Allah S.W.T telah menyatakan segala apa yang ditaklifkan kepada manusia adalah sesuatu yang berada di bawah batasan kemampuan mereka. Dia sesekali tidak akan mewajibkan hamba-Nya dengan sesuatu yang berat dan tidak mampu dilakukan oleh mereka, melainkan akan disediakan jalan keluar (Ibn Kathir 1998, 3: 262). Perkara ini bertepatan dengan syarat sah taklif yang memestikan perbuatan yang ditaklif adalah berada dalam batasan kemampuan mukallaf (Zaydan 2009, 60).
Selain al-Quran, Rasulullah S.A.W turut memaparkan beberapa buah hadis yang mementingkan konsep al-taysir dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai mukallaf. Baginda pernah bersabda dalam beberapa buah hadis, antaranya:
"َالديَ ََنََيُسَر َِّ َ"َإِّ ََّن
Terjemahannya: “Sesungguhnya agama ini adalah mudah.”
ِّ َ "اَوََلَتُ َع ِّس ُروا َ "يَس ُرو
(Riwayat Bukhari no. 39)
Terjemahannya: “Permudahkanlah urusan kamu dan janganlah menyukarkannya.” (Riwayat Bukhari no. 6125) Kedua-dua hadis di atas dengan nyata menunjukkan Islam merupakan sebuah agama yang ingin mempermudahkan urusan umatnya. Menurut Imam Ibn Hajr al-Asqalani, Islam merupakan sebuah agama yang mempunyai konsep kesenangan dan kemudahan, berbeza dengan agamaagama sebelum kedatangan Islam. Sebagai contoh dalam Islam, taubat boleh diterima dengan menjauhi dosa yang telah dilakukan, berazam untuk tidak melakukannya lagi dan menyesal atas perbuatan tersebut. Adapun taubat sebelum kedatangan Islam adalah dengan cara yang 4
melampau, apabila mereka yang bersalah mesti membunuh diri bagi tujuan menebus dosa (AlAsqalani 2001, 1: 140). Dalam menjalankan urusan seharian, Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk melakukan perkara yang lebih mudah dan senang untuk diuruskan. Saidatina Aisyah R.A pernah meriwayatkan:
َ "اَما َلََيَ َُكنَََإِّ َثما ََ َسََرَُه ََ ََخ َذََأَي ََ ََاَخِّ ََيَََر َُس َو َُلَهللاَب َُ "م ََ َ يََأَمَََريَ َِّنَقَطَََإِّ ََلََّأ
Terjemahannya: “Rasulullah tidak memilih ketika menentukan antara dua perkara, melainkan baginda mengambil perkara yang lebih mudah, selagi mana ia tidak termasuk dalam dosa.” (Riwayat Bukhari no. 6126) Pemilihan antara dua perkara yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah perkara berkaitan dengan urusan dunia. Ini kerana perbuatan Rasulullah S.A.W berkaitan agama, tidak akan ada padanya dosa (Al-Asqalani 2001, 6: 804). Ini bermakna, dalam melakukan urusan dunia, Rasulullah S.A.W tidak akan menyusah dan membebankan dirinya untuk melakukan sesuatu perkara, selagi mana ada perkara lain yang lebih mudah untuk dilaksanakannya.
TREND BELANJA KAHWIN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MASA KINI Sambutan perkahwinan dalam kalangan masyarakat masa kini telah merubah corak perbelanjaan bagi pembinaan sesebuah perkahwinan. Kewujudan kepelbagaian adat resam perkahwinan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu (Halimah Abdul Rahman 2010, 4) seperti majlis merisik, pemberian wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan dan pertukaran hadiah hantaran dalam majlis pertunangan serta perkahwinan (Iman Ahmad, 2010, 10-11), telah menyumbang kepada peningkatan belanja kahwin masa kini. Pada kebiasaannya, rata-rata sambutan perkahwinan di Malaysia kini boleh mencecah ribuan ringgit yang melibatkan pelbagai pemberian tidak wajib seperti belanja hangus, wang hantaran dan pemberian (Zainunnisaa Abdul rahman 2007, 16). Nilai wang hantaran yang diletakkan oleh keluarga pihak perempuan dilihat semakin meningkat pada masa kini. Menurut seorang pensyarah jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Fatimah Daud, budaya menetapkan wang hantaran tinggi ini telah berlarutan dari tahun 1990-an, dan keadaan itu semakin membimbangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini (Kosmo, 2013). Hasil sebuah kajian tentang kadar wang hantaran dalam kalangan masyarakat di utara semenanjung telah menemukan majoriti responden menyatakan kadar yang paling munasabah bagi wang 5
hantaran adalah di antara RM5000 hingga RM8000 (Raihanah Azahari et.al 2009, 123). Ini menunjukkan rata-rata masyarakat kini telah melihat wang hantaran perlu diletakkan dengan nilaian yang tinggi. Selain wang hantaran, kos untuk menyediakan hadiah hantaran turut termasuk dalam senarai perbelanjaan perkahwinan semasa. Ini kerana pada kebiasaannya, dulang hantaran bukan hanya dua atau tiga, malah ia terdiri daripada lima sehingga tiga belas dulang (Syed Mahadzir 2009, 17.).
Di samping pelbagai adat resam, norma perkahwinan yang dilihat sentiasa berkembang dalam masyarakat dari masa ke semasa telah merubah gaya hidup dan cita rasa masyarakat dalam urusan sambutan majlis perkahwinan. Dalam memenuhi cita rasa ini, masyarakat telah didedah dengan pelbagai kemudahan untuk menjayakan sambutan perkahwinan termasuklah penawaran pakej-pakej perkahwinan oleh perunding-perunding perkahwinan. Sambutan perkahwinan secara pakej semakin menjadi budaya masyarakat tempatan. Kekangan masa, tenaga dan kepakaran yang dihadapi oleh pasangan dan pihak keluarga telah mendorong masyarakat khususnya bagi kumpulan kelas menengah lebih mudah untuk menyerahkan urusan sambutan majlis perkahwinan kepada pihak profesional. (Fatimah Abdullah 2009, 106). Kesannya mereka terpaksa menanggung bebanan belanja kahwin yang lebih tinggi.
Fenomena belanja kahwin yang semakin tinggi boleh memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat, khususnya kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga. Antara isu yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah isu bebanan hutang yang perlu ditanggung oleh pasangan yang baharu berkahwin, kerana secara purata majlis perkahwinan masyarakat Melayu Islam kini boleh mencecah puluhan ribu ringgit (Fatimah Abdullah 2009, 106). Adalah satu perkara sukar bagi muda-mudi sekarang untuk menyediakan wang sejumlah itu dalam masa yang singkat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian, antara punca utama mereka yang terperangkap di dalam belenggu hutang adalah melibatkan pinjaman bagi menguruskan perbelanjaan perkahwinan. Faktor kos untuk persiapan perkahwinan, wang hantaran dan hadiah hantaran yang tinggi telah menyebabkan bakal pengantin terpaksa berhutang melalui pinjaman-pinjaman peribadi dan lain-lain bentuk pinjaman. (Laman Sesawang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, 2012). Terbaru akhbar Kosmo turut melaporkan beberapa pengakuan oleh pasangan yang 6
baharu berkahwin terpaksa membuat pinjaman bank sehingga menjangkau puluhan ribu ringgit (Kosmo, 2013).
Belanja kahwin yang tinggi juga sebenarnya akan semakin menyukarkan urusan perkahwinan kepada kaum muda. Penetapan kadar wang hantaran yang tinggi menyebabkan pasangan lelaki terpaksa berfikir beberapa kali sebelum memberi persetujuan untuk berkahwin dan mengambil masa yang lama bagi menyimpan wang sebelum boleh mendirikan rumah tangga (Haslina Hassan et al., 1995, 63). Sebuah kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2010 telah mendapati faktor utama kaum lelaki tidak berkahwin adalah kerana masalah kewangan, diikuti dengan faktor tiada calon sesuai (Kosmo, 2013). Alasan kewangan sememangnya perlu diambil kira dalam soal perkahwinan kerana perkahwinan akan memberi pelbagai implikasi terhadap tanggungjawab dari sudut kewangan, terutamanya bagi kaum lelaki. Namun sekiranya faktor kewangan itu berpunca dari masalah belanja kahwin yang tinggi seperti mana trend sekarang, ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menangguhkan perkahwinan. Keadaan seperti ini telah menyebabkan kaum belia semakin merasa khuatir untuk berkahwin pada usia muda (Fatimah Abdullah 2009, 106), sedangkan Rasulullah S.A.W amat menganjurkan perkara tersebut (Al-Asqalani 2001, 9: 12). Keadaan ini juga seterusnya boleh memberi impak negatif kepada usia pertama perkahwinan. Merujuk kepada hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, umur min perkahwinan pertama rakyat Melayu semenanjung Malaysia bagi golongan lelaki adalah 28.8, manakala bagi perempuan pula adalah 24.1 tahun (Laman Sesawang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 2013). Bagi kaum lelaki, statistik ini adalah satu peningkatan jika dibandingkan dengan umur min perkahwinan pertama pada tahun 2000, di mana umur minnya adalah 27.9 (Laman Sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia, 2013). Peningkatan ini mungkin ada kaitannya dengan masalah bebanan belanja kahwin yang tinggi.
Selain itu, fenomena ini secara tidak langsung akan membawa kepada isu-isu sosial yang lain seperti masalah pergaulan bebas antara pasangan ajnabi yang akhirnya boleh membawa kepada perzinaan. Muda-mudi kini lebih gemar untuk berpasangan secara haram dan meminggirkan perkahwinan memandangkan kos belanja kahwin yang tinggi. Masalah ini seterusnya boleh 7
berlarutan sehingga berlakunya perkahwinan secara tidak sah atau pun tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama tempatan. Nilai mas kahwin dan kos perkahwinan yang tinggi boleh menjadi faktor sampingan berlakunya perkahwinan di luar sempadan (Amani Ali Mutawalli 2010, 119). Pasangan lelaki terutamanya akan sanggup bernikah di Thailand apabila tidak mampu lagi untuk memenuhi kehendak keluarga perempuan yang menetapkan kadar mas kahwin yang terlalu tinggi (Zurita Mohd Yusoff 2008, 55).
ELEMEN PERBELANJAAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM Bersesuaian dengan kedudukan perkahwinan sebagai akadz yang akan menghasilkan pelbagai bentuk hak dan tanggungjawab berbentuk material (Muhammad Uqlah 2000, 2: 17), ia sudah pasti akan melibatkan sebuah perbelanjaan yang tertentu. Berikut dikemukakan elemen perbelanjaan perkahwinan yang ada di dalam Islam:
1.
Mas Kahwin
Mas kahwin merupakan suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab perkahwinan atau persetubuhan (Al-Malbari 2008, 487), berasaskan kepada nas al-Quran dan hadis. Firman Allah S.W.T: Maksudnya: “Dan berikanlah wanita yang kamu kahwini itu suatu pemberian (mas kahwin)”. (Al-Nisa’4: 4) Rasulullah S.A.W juga pernah bertegas tentang kewajipan suami membayar mas kahwin di dalam sabda baginda kepada seorang lelaki:
ٍ اَمنَح ِّد ِّ "التَ ِّمسَولَوَخاَتَم َ "يد َ َ َ
Maksudnya: ”Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang yang diperbuat daripada besi” (Riwayat Bukhari no. 5149) Dalam Islam, mas kahwin mestilah terdiri daripada sesuatu yang mempunyai nilai, suci dan boleh diambil manfaat pada pandangan syarak. Ia hendaklah merupakan sesuatu yang dimiliki secara halal oleh suami dan perlu disebut secara jelas dan spesifik, bagi mengelakkan berlaku sebarang penipuan padanya (Al-Jaziri 1999, 4: 80-86). Mas kahwin tidak semestinya terdiri daripada bentuk harta, bahkan ia boleh diberi dalam bentuk manfaat kepada sesuatu barang seperti manfaat 8
menduduki sebuah rumah atau pun manfaat bercucuk tanam di atas sebidang tanah (Muhammad Uqlah 2000, 2: 234). Ada pun sekiranya manfaat itu bukan dari sesuatu barangan, seperti manfaat mengajar cara menjahit atau bacaan al-Quran, ulama’ Syafi’e dan Hanbali, mengharuskannya (Al-Mawardi 1999, 9: 403, Ibn Qudamah 1997, 10: 101-103). Manakala bagi ulama’ mazhab Maliki, sebahagian daripada mereka ada yang mengharuskannya dan ada yang
tidak
mengharuskannya (Ibn Rushd 1982, 2: 21, Al-Jaziri 1999, 4: 189). Ulama’ Hanafi daripada kalangan mutaqaddimin turut tidak mengharuskan pembayaran mas kahwin dengan manfaat yang bukan dari barangan seperti pengajaran al-Quran atau hukum-hukum berkaitan agama (Al-Kasani 1987, 2: 277).
Dari aspek kadar pula, Islam tidak menetapkan kadar yang tertentu padanya, kerana setiap individu adalah berbeza dari segi taraf hidup dan kemampuan. Justeru itu, Islam telah memberi kebebasan kepada umatnya untuk menetapkan sendiri kadar tersebut berdasarkan kemampuan setiap individu (Al-Sabuni t.t, 1: 322). Ulama' fiqh telah bersepakat menyatakan bahawa tiadanya had maksimum pada mas kahwin. Namun mereka berbeza pandangan dalam menentukan kadar minimumnya. Menurut mazhab Hanafi, batasan minimumnya adalah sebanyak sepuluh dirham (Al-Kasani 1987, 2: 275), manakala mazhab Maliki menetapkannya sebanyak ¼ dinar (Ahmad Dardir t.t: 3/206). Bagi mazhab Syafe’i dan Hanbali pula, mereka tidak menentukan kadar yang khusus terhadap batasan minimum (Khotib Syarbini 1994, 4: 367, Bahuti 1997, 4: 116).
2)
Walimah al-Urs
Al-walimah adalah merujuk kepada hidangan sempena perkahwinan (Ibn Qudamah 1997, 10: 191). Jumhur ulama’ menyatakan ia sebagai satu tuntutan sunat (Al-Dirdir t.t, 3: 296, Al-Khatib Al-Sharbini 1994, 4: 404, Ibn Qudamah 1997, 10: 191) berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah S.A.W yang pernah melakukan walimah al-‘urs sempena perkahwinan baginda dengan isteriisteri baginda. Safiyyah binti Shaibah pernah meriwayatkan:
ِّ َ(ص)َعلَىَبَع َ ((ََشعِّ ٍي َِّب َ ضَنِّ َسائِِّّه َِِّبُدَّي ِّن َِّمن ُّ ِّ))َأَوَلََالن َ
Terjemahannya: “ Nabi pernah mengadakan walimah untuk beberapa orang isterinya dengan dua cupak barli.” (Riwayat Bukhari no. 5172)
9
Rasulullah S.A.W turut menganjurkan kepada sahabat baginda ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf supaya mengadakan walimah al-‘urs setelah dengan sabda baginda:
َ ((ٍَ))َأَوِّل ََولَوَبِّ َشاة
Terjemahannya: “Lakukanlah walimah walau pun dengan menyembelih seekor kambing.” (Riwayat Bukhari no. 5167) Tuntutan mengadakan walimah al-urs pada hakikatnya adalah kepada pihak suami (Zaydan 1994, 6: 151, Atiyyah Saqr 2003, 1: 392), berdasarkan kepada perintah Rasulullah S.A.W kepada ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf dan sirah perkahwinan baginda sendiri yang telah mengadakan walimah al-urs sempena perkahwinan baginda dengan Zainab bint Jahsy (Al-Asqalani 2001, 9: 184, Al-Nawawi t.t, 9: 212) dan Safiyyah Binti Huyaiyy (Al-Nawawi t.t, 9: 207). Ia boleh dilakukan dengan memberi makan kepada tetamu dengan sesuatu kadar yang menyenangkan pihak penganjur (Zaydan 1994, 6: 152). Islam tidak menetapkan kadar tertentu untuk melakukan walimah al-urs (Al-Asqalani 2001, 9: 189), bahkan boleh dilakukan dengan apa bentuk sajian sekali pun (Al-Husayni t.t, 2: 499), mengikut adat tempatan walau pun bukan dari sajian daging (Al-Albani 1409H, 151).
3)
Elemen sampingan
Di samping dua elemen yang telah dikemukakan di atas, terdapat beberapa elemen sampingan yang diperlukan bagi pembinaan sesebuah perkahwinan. Namun ia hanyalah dikira pelengkap dan bukan merupakan elemen asas dalam Islam, kerana tuntutannya bukan melalui nas-nas khusus. Elemen-elemen yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
i-
Pemberian hadiah sesama pasangan
Amalan memberi hadiah sesama pasangan adalah sebuah adat masyarakat Islam kini. Walau pun adat ini tiada asas yang khusus dalam Islam, namun pemberian hadiah sesama muslim adalah satu perkara yang telah dianjurkan oleh syarak. Menurut sebahagian ulama’, pemberian hadiah adalah satu perkara sunat (Ibn Qudamah 1997, 2: 512) kerana ia dapat membantu kesempitan orang lain dan mengurangkan perasaan kedekut dalam diri seseorang (Al-Rahibani 2009, 4: 379). Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
َ (( اََتَابُوا َ ادو ُ ))َتَ َه 10
Terjemahannya: “Saling beri hadiahlah sesama kamu, nescaya kamu akan saling menyayangi”. (Riwayat Tibrani) Hadis ini secara umumnya telah menggalakkan umat Islam untuk saling memberi hadiah antara satu sama lain agar kasih sayang terjalin sesama mereka. Ini menggambarkan amalan pemberian hadiah sesama pasangan ketika perkahwinan adalah sesuatu yang tidak menyalahi syarak, bahkan ia merupakan satu cara untuk menambat kasih sayang antara pasangan.
ii-
Penyediaan persiapan majlis perkahwinan
Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk bergembira sempena perkahwinan mereka (Muhammad Uqlah 2000, 1: 403). Pasangan dibenarkan untuk membuat pelbagai persiapan bagi majlis perkahwinan agar kegembiraan dapat dirasai. Persiapan-persiapan ini mungkin memerlukan perbelanjaan tertentu. Antara persiapan untuk menzahirkan kegembiraan adalah dengan mengadakan nyanyian yang tidak mengandungi unsur maksiat (Muhammad Uqlah 2000, 1: 407, ‘Atiyyah Saqr 2003, 1: 489), di samping pukulan rebana atau alunan muzik yang dibenarkan oleh syarak (Al-Albani 1409H, 179). Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa dia pernah menyerahkan seorang wanita kepada suaminya yang baharu dinikahi dari golongan kaum Ansar. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
ِّ َ "ص َارَيُع ِّجبُ ُهمَاللَّه َو؟ َ َ"ي َ َفَا ََّنَاألَن،ة!َماَ َكا َن ََم َع ُكمَ ََلو َ اَعائش
Terjemahannya: “Wahai Aisyah, apakah tidak ada hiburan, sesungguhnya orang-orang Ansar senang akan hiburan?” (Riwayat Bukhari no. 5162) Selain persiapan dari sudut nyanyian, Islam juga menganjurkan kepada pasangan perempuan untuk berhias kepada suaminya sempena perkahwinan. Saidatina Aishah ketika kali pertama ingin diserahkan kepada Rasulullah S.A.W, telah dihias oleh sekumpulan wanita (Al-Nawawi t,t, 9: 192). Beliau juga pernah meminjam sebentuk kalung dari Asma’ untuk tujuan perhiasan sempena hari perkahwinannya (Al-Asqalani 2001, 9: 179). Perbuatan ini merupakan sebuah adab seorang isteri untuk bertemu kali pertama dengan suaminya (Muhammad Uqlah 2000 1: 405) dan dapat menambat kasih sayang sesama mereka (Al-Istanabuli 2001, 103).
11
iii-
Pemberian hadiah kepada tetamu
Amalan memberi hadiah kepada tetamu seperti manisan dan sebagainya adalah tidak salah dan ia merupakan salah satu cara untuk menzahirkan kegembiraan. Namun, ia perlu dilakukan dalam batas kemampuan setiap individu (Zaydan 1994, 6: 154). Rasulullah S.A.W diriwayatkan pernah membahagi-bahagikan buah kurma kepada sahabat-sahabat baginda dengan setiap seorang mendapat tujuh biji (Al-Asqalani 2001, 9: 651). Amalan seperti ini adalah satu amalan yang dibolehkan dan tidak makruh sebagaimana amalan al-nuthar (Ibn Qudamah 1997, 10: 210). Ini kerana al-nuthar adalah amalan menabur makanan seperti buah badam, kismis dan manisan atau duit kepada tetamu dalam majlis walimah al-urus (Zaydan 1994, 6:153). Ia memaksa tetamu memungut bagi mendapatkannya. Imam Syafi’e berpandangan amalan al-nuthar sebaiknya adalah ditinggalkan kerana mengambil barangan yang ditabur itu menyerupai memungut barangan rampasan. Manakala bagi ulama’ Hanbali, sebahagiannya menyatakan ia sebagai satu perbuatan makruh, dan satu riwayat mengharuskannya (Ibn Qudamah 1997, 10: 208).
KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN Islam amat menganjurkan konsep al-taysir dalam urusan perkahwinan (Mahmud Hasan 1980, 41) dan tidak pernah menyukarkan bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumah tangga. Ia adalah sebagai satu langkah untuk memastikan muda-mudi yang telah berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga dapat memelihara maruah mereka dan memenuhi anjuran Rasulullah S.A.W untuk berkahwin di usia muda (Al-Mutawalli 2010, 183). Justeru itu, berikut adalah berapa anjuran telah diketengahkan oleh Islam dalam menguruskan perbelanjaan perkahwinan:
1)
Berbelanja secara sederhana, bukan secara al-mughalah
Islam menganjurkan konsep bersederhana dalam menguruskan perbelanjaan, termasuklah dalam urusan perkahwinan. Ukuran sederhana adalah terletak antara perbelanjaan yang boros dan bakhil (Surtahman Kastin Hassan & Sanep Ahmad 2010, 77). Konsep ini banyak dibincangkan dalam urusan penetapan kadar mas kahwin. Menurut Imam al-Syafi’i, bersederhana dalam urusan menetapkan kadar mas kahwin adalah lebih baik daripada al-mughalah atau meninggikannya (Al-Nawawi t.t, 18: 8). Imam al-Ghazali turut menyatakan adalah sunat bagi seseorang untuk tidak menetapkan kadar mas kahwin secara al-mughalah (Al-Ghazali 1997, 5: 216), walau pun sebahagian ulama’ berpandangan hukum meninggikan mas kahwin adalah harus 12
(Al-Yasin 1992, 72). Perkara ini berasaskan kepada beberapa buah hadis yang menganjurkan penetapan kadar mas kahwin secara sederhana. Antaranya adalah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita adalah yang rendah kadar mas kahwinnya” (Riwayat Abu Daud no. 2117) Hadis ini jelas menunjukkan penentuan mas kahwin dengan kadar yang rendah dan sederhana adalah sesuatu amalan yang digalakkan dalam Islam. Intipati hadis ini juga merupakan kaedah asas dalam menentukan corak berbelanja dalam urusan perkahwinan (Muhammad Nabil Kazim 2006, 146).
2)
Berbelanja mengikut tahap kemampuan
Perbelanjaan mengikut tahap kemampuan individu adalah satu tuntutan dalam Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak membebani kamu melainkan pada apa yang kamu mampu…” (Al-Baqarah 2: 286) Jika dilihat kepada elemen perbelanjaan perkahwinan yang utama dalam Islam iaitu elemen mas kahwin dan walimah al-urus,kedua-duanya tidak menetapkan kadar yang tertentu sebagaimana dalam beberapa ibadat harta yang lain, seperti ibadat zakat dan diyat. Pihak pasangan bebas untuk menentukan kadarnya selagi mana ia diterima oleh syarak. Kebebasan untuk menetapkan kadar ini adalah bagi memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin untuk menetapkannya berdasarkan kepada tahap kemampuan masing-masing. Anjuran berbelanja mengikut tahap kemampuan dapat dilihat dari kisah Rasulullah S.A.W yang telah menentukan bacaan al-Quran sebagai mas kahwin bagi seorang lelaki yang ingin dinikahkan oleh baginda dengan seorang perempuan yang pernah disebut sebagai “al-wahibah”. Dalam kisah tersebut, pada peringkat awal Rasulullah S.A.W telah menanyakan lelaki itu apakah harta yang dimilikinya yang sesuai dijadikan mas kahwin. Setelah lelaki tersebut menyatakan tidak mempunyai apa-apa, baginda memerintahkannya untuk mencari apa-apa yang sesuai bagi dijadikan mas kahwin walau pun hanya dengan sebentuk cincin besi. Lelaki itu turut mengakui tidak mempunyai sebarang harta. Kemudian, Rasulullah S.A.W telah menanyakan adakah dia menghafal sebarang ayat al-Quran. Setelah membaca beberapa potong ayat al-Quran, baginda telah menikahkan lelaki tersebut dengan apa yang dibaca olehnya (Al-Asqalani 2001, 9: 148). Langkah Rasulullah S.A.W 13
menanyakan lelaki tersebut dari satu peringkat ke satu peringkat adalah bertujuan untuk mengetahui apakah bentuk harta yang dimiliki oleh lelaki itu. Setelah baginda mengetahui tahap kemampuannya yang tidak memiliki apa-apa ketika itu, baginda terus menikahkan lelaki tersebut dengan mas kahwin yang bukan berbentuk harta, iaitu manfaat dari bacaan al-Quran.
Rasulullah S.A.W bukan sahaja mengajar umatnya berbelanja mengikut tahap kemampuan, malah baginda tidak menyukai orang yang tidak berkemampuan membebankan dirinya sendiri dengan sesuatu perbelanjaan yang tinggi. Baginda pernah menegur seorang lelaki yang berkahwin dengan mas kahwin sebanyak empat awaq, iaitu menyamai 160 dirham dengan sabdanya yang bermaksud: “Dengan 4 awaq? Seolah-olah engkau sedang mengukir perak pada permukaan gunung ini. Kami tidak mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada kamu, tetapi mudah-mudahan kami dapat mengutus rombongan bersamamu untuk memberi bantuan.” (Riwayat Muslim no. 1424) Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi menyatakan adalah makruh bagi seseorang lelaki membayar mas kahwin kepada isterinya dengan kadar yang melebihi tahap kemampuan diirinya (Al-Nawawi t,t, 9: 197).
Konsep berbelanja mengikut kemampuan turut boleh dilihat dalam kategori pembayaran mas kahwin dalam Islam. Mas kahwin boleh dibayar secara mu‘ajjal (segera) dan mu’ajjal (bertangguh). Walau pun ulama’ fiqh mempunyai pandangan berbeza dalam menentukan syarat bagi pembayaran secara bertangguh (Al-Jaziri 1999, 4: 126), namun secara umumnya mereka membenarkan pembayaran melalui cara tersebut. Keadaan ini memberi ruang kepada individu yang tidak berkemampuan untuk menangguhkan pembayaran mas kahwin pada hari akad nikah. Pembayaran tersebut mungkin boleh dilakukan secara beransur, atau bertangguh secara keseluhurannya. Bagi mazhab Syafi’i, pembayaran bertangguh sama ada secara keseluruhannya atau sebahagiannya adalah satu perkara yang diharuskan (Al-Nawawi t.t, 18: 9).
Selain dalam urusan pembayaran mas kahwin, perbelanjaan secara mengikut tahap kemampuan juga dapat dilihat dalam elemen perbelanjaan walimah al-urus. Mereka yang ingin melakukan walimah disunatkan agar menyediakan makanan mengikut tahap kemampuan masing-masing (Al-Asqalani 2001, 9: 189). Rasulullah S.A.W sendiri melakukan walimah al-urus mengikut 14
tahap kemampuan baginda (Al-Sibbagh 2004, 23). Baginda pernah menyajikan hays ketika mengadakan walimah untuk Saidatina Safiyyah bint Huyaiy (Al-Asqalani 2001, 7: 680) yang diadakan dalam perjalanan pulang dari perang Khaibar. Hays ialah sejenis makanan yang diadun dari buah kurma, keju dan minyak sapi (Al-Asqalani 2001, 9: 653). Ia merupakan sejenis makanan yang agak ringan dari sudut perbelanjaan untuk menyediakannya, berbanding dengan hidangan dari daging. Hidangan yang disediakan oleh Rasulullah S.A.W dalam kisah ini adalah bersesuaian dengan kesukaran baginda yang masih berada dalam keadaan musafir (Al-Sibbagh 2004, 23).
3)
Galakan bekerjasama
Sirah perkahwinan Rasulullah S.A.W dengan isteri-isteri baginda telah memaparkan beberapa kisah yang menunjukkan berlakunya konsep tolong menolong dan kerjasama oleh sahabat dan mereka yang berada di sekeliling baginda ketika baginda mengadakan walimah al-urs. Antara kisah yang telah diriwayatkan adalah ketika perkahwinan baginda dengan Zainab Binti Jahsh dan Safiyyah Binti Huyaiyy. Anas bin Malik telah meriwayatkan setelah Rasulullah S.A.W mengahwini Saidatina Zainab bint Jahsh: Ibuku Ummu Sulaim telah membuat hays dan dia telah meletakkannya di dalam sebuah bekas. Lalu dia berkata: “Wahai Anas, bawalah makanan ini kepada Rasulullah S.A.W dan katakanlah kepada baginda, ibu saya telah mengirimkan kepadamu dan dia menyampaikan salam kepadamu. Ummu Sulaim berkata, ini adalah untuk kamu wahai Rasulullah sedikit makanan dari kami”. Kemudian aku pergi bertemu Rasulullah S.A.W dan berkata: “Ibuku menyampaikan salam kepadamu, dan dia berkata, ini adalah untuk kamu wahai Rasulullah sedikit makanan dari kami”. Sabda Rasulullah S.A.W: “letakkanlah ia”, kemudian baginda bersabda lagi: “pergilah dan undanglah untukku si fulan dan si fulan, dan setiap orang yang kamu jumpa”. (Riwayat Muslim no.1428) Kisah ini telah memaparkan bagaimana Ummu Sulaim telah membantu Rasulullah S.A.W ketika baginda ingin mengadakan walimah sempena perkahwinan baginda dengan saidatina zainab. Ini menunjukkan kerjasama dalam mengadakan walimah al-urus adalah satu anjuran khusus dalam Islam. Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ini menyatakan adalah sunat bagi sahabat handai kepada pasangan untuk menghulurkan sebarang bentuk makanan dan hidangan bagi tujuan mengadakan walimah al-urus (Al-Nawawi t.t, 9: 213). Bantuan yang dihulurkan oleh kaum keluarga, jiran dan sahabat handai yang mempunyai kemampuan dari segi harta ini adalah melambangkan tanda kasih sayang dan berkongsi kegembiraan dengan pasangan yang berkahwin (Nasih Ulwan 1983, 105). Manakala dalam kisah perkahwinan baginda dengan Saidatina 15
Safiyyah binti Huyaiy pula yang diriwayatkan berlaku setelah peperangan Khaibar, Anas turut meriwayatkan: “Ketika dalam perjalanan pulang, Ummu Sulaim mempersiapkan Safiyyah untuk perkahwinannya dengan nabi, kemudian beliau diserahkan kepada nabi malam itu. Maka di pagi hari esoknya, nabi telah menjadi seorang mempelai, lalu bersabda: “Sesiapa yang mempunyai sedikit makanan, hendaklah dibawa. Lalu ditebarkan sebuah tikar dari kulit. Ada yang membawa keju, ada yang membawa kurma dan ada yang membawa minyak sapi. Kesemuanya diadun dan itulah jamuan Rasulullah S.A.W.” (Riwayat Muslim no. 1365)
4)
Menghindari Unsur Pembaziran
Pembaziran merupakan satu sifat yang amat tidak dianjurkan dalam Islam. Allah S.W.T telah menjelaskan kedudukannya dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan…” (Surah Al-Isra’ 17: 26-27) Berdasarkan ayat di atas, Islam melarang untuk membelanjakan harta ke arah pembaziran. Pembaziran dalam Islam merupakan salah satu bentuk penggunaan harta secara haram (M. Sholahuddin 2007, 135).
Dalam isu perbelanjaan perkahwinan, pasangan yang ingin mengadakan majlis perkahwinan amat tidak digalakkan untuk melakukan pemborosan dan pembaziran, seperti mengadakan majlis tersebut di hotel-hotel terkemuka dengan sebuah perbelanjaan yang terlalu besar di samping wujudnya unsur-unsur negatif pada pandangan syarak seperti konsert, pergaulan bebas dan sebagainya (Muhammad Uqlah 2000, 1: 407).
PENUTUP Konsep al-taysir merupakan satu konsep yang telah dianjurkan oleh Islam dalam mengatur perbelanjaan perkahwinan. Walau pun dalam Islam, elemen perbelanjaan perkahwinan lebih tertumpu kepada pembayaran mas kahwin dan walimah al-urus, namun penerapan al-taysir dalam dua elemen tersebut perlu dijadikan asas kepada corak perbelanjaan perkahwinan masa kini. Perbelanjaan yang melibatkan adat adalah tidak salah sekiranya masyarakat menjadikan konsep tersebut sebagai panduan dan pengukur dalam mengatur perbelanjaan tersebut. Aplikasi 16
konsep ini dalam pengurusan perbelanjaan perkahwinan sudah pasti dapat membendung trend belanja kahwin yang dilihat semakin tinggi dan menimbulkan pelbagai isu kepada masyarakat. Melalui amalan berbelanja secara sederhana, mengikut kemampuan, bekerjasama dan mengelakkan pembaziran, masyarakat diharapkan dapat mampu mengurus perbelanjaan perkahwinan mereka mengikut kehendak Islam, dan terhindar dari masalah berhutang, kahwin lewat dan sebagainya.
17
RUJUKAN ‘Atiyyah Saqr, 2003, Mausu’ah al-Usrah Taht Ri’ayah al-Islam : Marahil Takwin al-Usrah, Jld. 1, Qaherah: Maktabah Wahbah. Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din, 1409H, Adab al-Zifaf fi al-Sunnah al-Mutahharah, Amman: al-Maktabah al-Islamiyyah. Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajr, 2001, Fath al-Bari bi al-Sharh Sahih al-Bukhari, Jld. 1, 6 & 9, Qaherah: Maktabah Misr. Al-Dirdir, Abu al-Barakat Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ahmad, t.t, al-Sharh al-Saghir ‘ala Aqrab al-Masalik ila Madzhab al-Imam Malik, T.Tpt: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi wa Shurakahu. Al-Ghazali, Muhammad Ibn Muhammad, 1997, al-Wasit fo al-Mazhab, Qaherah: Dar al-Salam. Al-Kasani, ‘Ala’ al-Din Abi Bakr Ibn Mas’ud, 1987, Kitab Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib alShara’i‘, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Al-Husayni, Taqy al-Din Abi Bakr Ibn Muhammad, t.t., Kifayah al-Akhyar fi Hill Ghayah alIkhtisor, Jld. 2, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Al-Istanabuli, Mahmud Mahdi, 2001, Tuhfat al-Arus aw al-Zawaj al-Islami al-Sa’id, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif. Al-Jaziri, Abd al-Rahman, 1999, Kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, Jld. 4, Qaherah: Dar al-Manar. Al-Khatib al-Sharbini, Shams al-Din Muhammad Ibn Muhammad, 1997, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, jld. 4, Beirut: Dar al-Ma’rifah. Al-Malbariy, Zain al-Din Ibn Abd al-Aziz 2008, Fath al-Mu’iin, Terjemah oleh MKA Kreatif Enterprise, Johor: Perniagaan Jahabersa. Al-Mawardi, Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Muhammad Ibn Habib, 1999, al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Madzhab al-Imam al-Shafi’i, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Al-Mutawalli, Amani Ali, 2010, al-Dawabit al-Qanuniyyah wa al-Shari’ah wa al-Mushkilat alIlmiyyah li al-Anwa’al-Hadithah li al-zawajwa al-Talaq, Qaherah; Dar al-Kutub al-Hadith. Al-Nawawi , Abu Zakariyya Muhy al-Din Ibn Sharf, t.t., Al-Majmu‘ Sharh Muhadzdzab, Makkah Mukarramah: Maktabat al-Irshad. _________________________________________, t.t, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, Jld. 9, T.Tmpt: Maktabah al-Safa. Al-Qaradhawi, Yusuf, 2006, Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Syari’ah bayna al-Maqasid alKulliyyah wa al-Nusus al-Juz’iyyah,Qaherah: Dar al-Syuruq. Al-Rahibani, Mustafa al-Suyuti, 2009, Matalib Uli al-Nuha fi Sharh Ghayat al-Muntaha, Jld. 4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Al-Sabuni, Muhammad Ali, t.th, Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Quran, Jld. 1, Beirut: Dar alKutub al-Ilmiyyah. Al-Sibbagh, Rafif Abd al-Aziz, 2004, Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh al-Islamiy Dawabituh wa Ahkamuh, Tesis Peringkat Sarjana, Universiti Damsyiq, Syiria. Al-Shatibi, Abu Ishak Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad, 1997, Al-Muwafaqat, Jld. 2, Jeddah: Dar Ibn Affan. Al-Yasin, Jasim Ibn Muhammad, 1992, Min Qadhaya al-Zawaj: al-Mahr – al-Khitbah – Zinah al-Sya’r, Qaherah: Dar al-Wafa’. Fatimah Abdullah, 2009, “Dari Halaman Rumah ke Dewan Merak Kayangan”, dalam Jurnal Alam dan Tamadun Melayu, Jilid 27 (1), June - Dicember 2009, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. 18
Halimah Abdul Rahman, 2010, Pegangan Adat Turun Temurun, Kuala Lumpur: Penerbit Sinar Cemerlang. Haslina Hassan dan Ann Wan Seng, 1995, Wanita dan Perkahwinan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ibn ‘Ashur, Muhammad Tahir, 2001, Maqasid al-Shari‘ah al-Islamiyyah, Amman: Dar alNafa’Islam. Ibn Kathir, Abu al-Fida’ al-Hafiz, 1998, Tafsir al-Qur’an al-Azim, Jld. 1& 3, Beirut: Dar al-Fikr. Ibn Manzur, Muhammad Ibn Mukrim, t.t, Lisan al-Arab, Jld. 5, Beirut: Dar al-Sadir. Ibn Qudamah, 1997, al-Mughni, Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub. Ibn Rushd, Muhammad Ibn Ahmad al-Qurtubi, 1982, Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat alMuqtasid, Beirut: Dar al-Ma‘rifah. Iman Ahmad, 2010, Adat Budaya, Kuala Lumpur: Goodmark Enterprise. Kamil, Umar, 2000, al-Rukhsah al-Shar’iyyah fi al-Usul wa al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Jeddah: al-Maktabah al-Makkiyyah. Kosmo, 10 Ogos 2013. Kosmo, 11 Ogos 2013. Laman Jabatan Perangkaan Malaysia, dicapai pada 13 Mac 2013, http://www.statistics.gov.my/portal/download_Labour/files?BPTMS/PST-Siri6.pdf. Laman Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dicapai pada 13 Mac 2013, http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/95f9e1b3-24bb-4cce-af4b-da 9bf8317f2e. Laman Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, artikel “Pengantin Dibelenggu Hutang”, dicapai pada 10 Mac 2013, http://www.akpk.org.my/happenings/news/press-release/id/486/ M. Sholahuddin, 2007, Asas-asas Ekonomi Islam, Jakarta: PT Raja Grafindo Persada. Mahmud Hasan, 1980, Ahkam al-Usrah fi al-Islam,Beirut: Dar al-Nahdhah al-’Arabiyyah. Muhammad Nabil Kazim, 2006, Kayfa Tukhattit Masyru’ Zawaj Najih, Qaherah: Dar al-Salam. Muhammad Rashid Ridha 1947, Tafsir al-Qur’an al-Hakim, Jld. 2, Qaherah: Dar al-Manar. Muhammad ‘Uqlah, 2000, Nizam al-Usrah fi al-Islam, Jld. 1 & 2, Amman: Maktabah al-Risalah al-Hadithah. Nasih Ulwan, Abdullah, 1983, Adab al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjain, Qaherah: Dar al-Salam. Raihanah Azahari, Khairun Najmi Saripudin dan Raihana Abd Wahab, 2009, “Hubungan di antara Faktor Demografi dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian di Perlis, Kedah, Pulau-Pinang dan Perak”, dalam Jurnal Fiqh, Jilid 6 2009, Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Syed Mahadzir, 2009, Adat Resam dan Makanan Masyarakat Melayu, Kuala Lumpur: E1 Publication Sdn. Bhd. Surtahman Kastin Hassan & Sanep Ahmad, 2010, Ekonomi Islam Dasar dan Amalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zainunnisaa Abdul Rahman, 2007, “Mahar in Malaysia: The Law Revisited” dalam Shariah Law Reports, October-December 2007, Kuala Lumpur: Malayan Law Journal Sdn. Bhd. Zurita Mohd Yusoff , 2008, “Amalan Pemberian Mas Kahwin di Malaysia” dalam Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, Jil 1 Julai 2008, Kuala Terengganu: Universiti Darul Iman Malaysia. Zaydan, Abd al-Karim, 1994, al-Mufassal fi Ahkam al-mar’ah wa al-bayt al-Muslim, Jld. 6, Beirut: Muassasah al-Risalah. 19
____________________, 2009, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh,Beirut: Muassasah al-Risalah.
20