LATIHAN RABBANIAH: FALSAFAH DAN APLIKASI Supyan Hussin Universiti Kebangsaan Malaysia
Kertas dibentangkan di Konvensyen Pusat-Pusat Latihan Islam Malaysia 21 Nov 2012. Institut Latihan Islam Malaysia. Bangi, Selangor. PENGENALAN Pembangunan sumber manusia atau apa yang lebih popular disebut hari ini sebagai pembangunan modal insan adalah satu aspek penting dalam meningkatkan kualiti diri sumber manusia atau kakitangan bagi sesebuah organisasi atau institusi atau jabatan. Sesuai dengan perubahan yang berlaku di dalam persekitaran, terdapat keperluan dan tuntutan semasa yang harus diberi perhatian oleh pemimpin, ketua jabatan dan majikan. Justeru siri latihan bagi memenuhi keperluan dan tuntutan semasa harus dilaksanakan. Dari perspektif Islam, usaha berterusan bagi menambah kebaikan, kemahiran dan kualiti diri kakitangan agar dapat melaksanakan tugas dengan baik ada suatu tuntutan iman. Firman Allah Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (Surah an-Nahl : 128) Terdapat dua hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menyentuh tentang tuntunan iman ini iaitu yang bermaksud “Barang siapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yang beruntung. Barang siapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barang siapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” (Al Hadis) “Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan secara istiqamah (terusmenerus) walaupun ianya sedikit.” (Bukhari dan Muslim) Ayat Al Quran dan hadis di atas, yang berusia lebih 1400 menekankan konsep “pembaikan berterusan” dan “berusaha ke arah penyempurnaan” dalam beramal atau bekerja, memberi implikasi bahawa latihan demi latihan dalam memantapkan etos pekerja dari sudut ilmu, kemahiran dan kewibawaan pekerja perlu dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan teratur. Konsep “pembaikan berterusan” dalam beramal ini telah dipinjam dan dilabel oleh guru pengurusan Jepun dengan nama “kaizen” yang kini menjadi teras kepada pengurusan cemerlang di negara matahari terbit itu. Konsep “kaizen” akhirnya diimport oleh dunia barat dan menjadi sukatan pelajaran dalam pengajian pengurusan di peringkat ijazah. Berbeza dengan “kaizen” Jepun ini yang bertolak daripada keperluan urusan dunia, konsep “pembaikan berterusan” dan “berusaha ke arah penyempurnaan” di dalam Islam adalah bersandarkan kepada keimanan kepada Allah dan Rasul. Usaha dan tindakan pembaikan berterusan ini dikira sebagai 1
kebajikan serta amar makruf dan pastinya diberi ganjaran oleh Allah SWT iaitu keberkatan dalam bekerja di dunia dan pahala kebaikan untuk akhirat. Sehubungan dengan itu, siri latihan yang dijalankan oleh pemimpin, ketua jabatan dan majikan hendaklah mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia, dan manusia dengan alam seperti digambarkan dalam ilustrasi di bawah ini.
Rajah 1: Hubungan vertikal dan hubungan horizontal Dalam erti kata lain, sebagai pemikir dan perancang latihan modal insan termasuk pimpinan serta majikan dan sebagai pelaksana program pembangunan modal insan termasuk jurulatih serta fasilitator, kita haruslah mempunyai tasawur Islami yang jelas mengenai prinsip, dasar, falsafah serta hala tuju latihan dari sudut Islam. Siri latihan yang dirancang dan dilaksanakan mestinya mengukuhkan hubungan menegak (vertikal) antara manusia dengan Pencipta, hubungan melintang (horizontal) antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Ini bermakna apa jua kandungan latihan dan aktiviti dalam siri latihan mestilah memupuk roh aqidah iaitu hubungan manusia dengan Allah serta menanam nilainilai murni Islam yang universal agar menjadi tapak asas dalam diri peserta bagi membentuk akhlak dan gaya hidup yang baik. KERANGKA LATIHAN Bagi menterjemahkan prinsip, dasar, falsafah serta hala tuju dalam siri latihan dari sudut Islam, adalah wajar kita menghasilkan model atau kerangka untuk menjadi panduan dalam perancangan dan pelaksanaan latihan sumber manusia atau modal insan. Misalnya dalam siri latihan yang dijalankan oleh kerajaan Selangor sejak Ogos 2008 dalam membangunkan modal insan, satu model yang diberi nama SPIES oleh YB Dr Halimah Ali dan kemudian diwacanakan dalam satu bengkel pada bulan Jun 2008 melibatkan ahli akademik, guru, ulamak, dan jurulatih berpengalaman. Hasil daripada bengkel berkenaan, Model SPIES ini dilakarkan seperti dalam Rajah 2 di bawah. Model SPIES dicipta bagi mengkonsepsikan falsafah pembangunan modal insan yang bertujuan mengukuhkan hubungan vertikal dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam., dan seterusnya model ini dibangunkan untuk menjadi teras kepada perancangan dan pelaksanaan siri latihan yang dijalankan. Keterangan mengenai SPIES boleh di dapati di http://spiesselangor.wordpress.com.
2
SPIES adalah singkatan atau akronim kepada perkataan, spiritual, physical (fizikal), intelek, emosi, dan sosial. Kelima-lima perkataan ini sudah diterima dari segi sebutan dan ejaan dalam bahasa Melayu kecuali ejaan untuk ‘phyiscal’. Ia disusun begitu rupa dan menjadi satu jenama yang amat sesuai dan rasional. Mengapa? Ikuti perbincangan seterusnya.
Rajah 2: Rasional Urutan S.P.I.E.S. Semua agama percaya bahawa kehidupan ini bermula dengan alam roh atau spiritual kecuali orang yang tidak percaya kepada wujudnya Tuhan. Maka S-Spiritual menjadi asas kepada pembangunan saksiyyah diri atau modal insan. Oleh itu S-Spiritual berada dihadapan sekali dalam ejaan jenama SPIES ini. Di dalam logo SPIES, S-Spiritual.diletakkan di bahagian bawah sekali kerana ia adalah asas dan tapak atau dasar yang menampung dan mendukung 4 elemen seterusnya. Lihat maksud logo SPIES http://spiesselangor.wordpress.com/logo-spies/
Rajah 3: Model SPIES 3
S-Spiritual juga menjadi asas kepada pertumbuhan, perkembangan dan kemajuan diri individu. Dalam SSpiritual, terdapat nilai-nilai murni yang membentuk akhlak, moral, dan etika kehidupan dalam diri dan masyarakat. Apabila nilai-nilai murni dalam diri kuat dan padu, dan disokong oleh elemen lain iaitu PPhysical, I-Intelek , E-Emosi dan S-Sosial, maka individu ini akan mendorong seseorang itu untuk menjadi individu cemerlang dan akan membentuk masyarakat yang cemerlang. Roh adalah milik Tuhan. Ia dipinjamkan ke dalam tubuh fizikal manusia supaya manusia itu boleh bernyawa dan hidup di dunia ini. Oleh itu kita percaya P-Physical yang baik dan sihat, bertunjangkan kepada S-Spiritual yang kukuh, menjadikan seseorang itu menghargai kesihatan dan keselamatan dirinya serta fizikal orang sekelilingnya. Individu yang sihat akan menjadi seorang yang produktif dan menjadi aset modal insan untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Selangor. Selangor inginkan rakyat yang mencegah diri dari penyakit kronik, menjauhi diri dari terlibat dengan dadah, arak dan apa sahaja sumber yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri, agar tenaga manusia di Selangor dapat di manfaatkan oleh masyarakat dan kerajaan Selangor. Apakah pengisian program yang boleh membantu dalam meningkatkan kesejahteraan P-Physical yang baik dalam kalangan rakyat? I-Intelek adalah satu kurniaan Tuhan yang diberikan kepada jasad manusia. Jasad memerlukan daya intelek yang baik dan jika disokong oleh S-Spiritual yang baik dan P-Physical yang sejahtera, maka individu Selangor bukan sahaja tahu menghargai ilmu, tetapi ia akan hargai orang yang ada ilmu, suka kepada mencari ilmu, menyokong aktiviti ilmuan, malah akan menggunakan daya intelektualnya menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kemajuan negeri Selangor yang bercita-cita menjadi HUB ILMU dan HUB ILMUAN di rantau ini. Apakah pengisian program yang boleh membantu dalam memeriahkan elemen I-Intelektual yang hebat dalam kalangan rakyat? I-Intelek harus mendahului E-Emosi kerana ia dapat memandu jasad manusia untuk menjalani kehidupan. E-Emosi yang stabil memerlukan S-Spiritual yang kukuh, P-Physical yang sihat, dan daya IIntelek yang tinggi. Apabila E-Emosi rakyat stabil, tenang, dan sejahtera, rakyat dapat menjalani hidup yang lebih baik dan pastinya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Selangor. E-Emosi yang tidak stabil boleh membawa kepada kadar perceraian, kes dera ahli keluarga, kes bunuh, kes ragut, despresi, dan sikap negatif. Apakah pengisian program yang boleh membantu dalam membina E-Emosi yang stabil dalam kalangan rakyat? S-Sosial adalah manifestasi daripada elemen S-Spiritual, P-Physical, I-Intelek danE-Emosi. Kalau empat elemen ini baik, maka natijahnya baik dan produktif dalam hubungan sosial dalam masyarakat. Sebaliknya apabila S-Spiritual individu tidak kuat,P-Physical tidak sihat, I-Intelek yang rendah dan EEmosi yang tidak stabil, maka isu dan gejala sosial akan berleluasa dan menjadikan individu Selangor sebagai liabliti dan bukan aset yang baik untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Selangor. Apakah pengisian program yang boleh membantu dalam membina hubungan SSosial yang baik dalam kalangan rakyat? Dengan urutan elemen ini, maka ejaan SPIES adalah amat sesuai dan rasional. Ia tidak boleh ditulis dalam bahasa Melayu seperti JERI (jasmani, emosi, rohani, intelektual) yang tidak mempunyai rasional yang kukuh dari segi susunan huruf dan perkataannya kecuali mudah disebut.Tambahan pula JERI tidak lengkap dalam program pembangunan modal insan apabila ia tidak ada elemen S-Sosial.
4
Dalam ertikata lain, SPIES terbina dengan mengambilkira fitrah kejadian manusia dan pertumbuhan serta perkembangan individu manusia. Biarpun jenama SPIES berbunyi bahasa Inggeris, tetapi apa yang lebih penting ialah falsafah dan pengisiannya. SPIESmenekankan kepentingan kesedaran diri dan tanggungjawab diri dan bukan memaksa atau mendoktrin peserta ke arah satu haluan ideologi. PERANCANGAN LATIHAN DAN PENGISIAN PROGRAM Dalam menggariskan program latihan modal insan, pemikir dan perancang Muslim harus mengambil kira perancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang secara menyeluruh bagi memenuhi visi dan misi sesebuah organisasi atau institusi. Dalam masa yang sama, sebagai seorang Muslim kita harus menjadikan Islam sebagai rujukan dalam proses membuat keputusan. Lantas, apabila kita merancang aktiviti bagi sesuatu modul, kita harus menggariskan mesej tersirat dan nilai-nilai Islam universal untuk disampaikan kepada peserta dan dipupuk dalam diri individu peserta secara langsung tidak langsung. Meskipun begitu kita tidak perlu menzahirkan “Islam” sebagai suatu label umum bagi mengelakkan salah anggapan atau stereotaip atau prejudis masyarakat terhadap Islam. Memadai bagi kita memahami akan kayu ukur, rujukan, dan pertimbangan dalam merancang dan melaksana siri latihan mempunyai asas Islam yang kukuh. Sebagai contoh, misalnya dalam aktiviti “Pulau Idaman” (sila lihat lampiran A) yang sesuai untuk modul kepimpinan, modul pemikiran kritikal dan kreatif, dan modul pengurusan strategik, kita boleh menyelitkan mesej tertentu dari Islam dan memupuk nilai-nilai Islam universal dalam proses penyelesaian masalah yang diarahkan kepada peserta. Begitu juga dengan aktiviti “Siapa bersalah dam berapa denda harus dibayar” (sila lihat lampiran B) yang sesuai untuk modul pemikiran kritikal dan kreatif, pengurusan risiko, dan komunikasi interpersonal, sebagai jurulatih/fasilitator Muslim kita boleh menyampaikan nilai-nilai Islam universal untuk diterapkan dalam diri peserta secara tidak langsung dan tanpa disedari oleh peserta. Setiap kursus dan aktiviti yang dijalankan haruslah menjurus kepada pengukuhan hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Bagi memastikan penerapan mesej Islam dan nilai-nilai universal Islam dapat dilaksanakan, pendedahan mengenai tasawur Islam yang syumul, tafsir Quran, tafsir hadis, fiqh as-seerah, fiqh al-aulia, fiqh addakwah, dan tasauf Islam kepada kalangan pemikir, perancang, jurulatih dan fasilitator perlu diberikan. Dengan pendedahan ini melalui dan muzakarah ilmu, halaqah dan usrah, secara berperingkat dan berterusan, pemikir, perancang, jurulatih dan fasilitator akan dapat menjiwai nilai-nilai universal Islam yang ingin diterapkan dalam diri peserta dengan lebih baik. Dengan pendedahan ini juga, jurulatih dan fasilitator Muslim akan memahami bahawa tugas mereka bukan sahaja mengendalikan sesuatu program itu semata-mata tetapi mereka mempunyai peranan lain seperti dai’e atau pendakwah, murabbi, kaunselor, pembimbing dan rakan kepada peserta. Selain itu, jurulatih dan fasilitator Muslim juga akan dapat mengendalikan kursus mengikut batas-batas Islam dan meminimumkan perkara terlarang dari sudut Islam. Mereka boleh mengawal pergaulan bebas lelaki perempuan dalam kalangan peserta dapat mengendalikan aktiviti secara berjemaah termasuk solat berjemaah, makan bersama, dan melakukan aktiviti-aktiviti lain secara berhemah dan cermat. Dari sudut logistik pula, jurulatih dan fasilitator Muslim harus memastikan lokasi kursus serta kemudahan yang ada di lokasi memenuhi keperluan Islam; misalnya bilik air, tempat solat, tempat penginapan, bilik atau dewan aktiviti, serta urusan makanan yang tidak menyulitkan peserta dan tidak 5
menjejaskan pengendalian kursus yang efektif dan efisien. Begitu juga dengan aspek keselamatan dan kebajikan peserta dari perspektif Islam yang harus diberikan perhatian serius apabila jurulatih dan fasilitator Muslim merancang memilih lokasi kursus.
KESIMPULAN Melatih manusia dalam proses pembangunan modal insan tidak harus dilihat sebagai melepas batok ditangga atau “touch and go”, atau satu peluang membuat keuntungan atau membina populariti diri. Dalam siri latihan yang dijalankan, pemikir, perancang, jurulatih dan fasilitator Muslim yang menjadi agen perubahan harus mempunyai fikrah dan tasawur Islam serta sahsiyah yang baik serta menjadi contoh teladan kepada peserta. Usaha mendalami pengetahuan agama dalam bab tertentu harus dipertingkatkan agar jurulatih dan fasilitator dapat memastikan kursus yang dijalankan dapat memberi impak yang berkesan dalam diri peserta yang mengikuti sesi latihan.
RUJUKAN SPIES. 2012. http://spiesselangor.wordpress.com/ Supyan Hussin 2007. Konsep Nilai: Pengurusan Nilai dan Nilai Kumpulan. Kuala Lumpur: FELDA Supyan Hussin & Zainuddin Ismail. 2005. Penilaian Komponen Sistem Nilai dalam Modul Kenegaraaan: Projek Program Latihan Khidmat Negara. Kertas ini dibentangkan di Seminar Membangun Nilai-nilai Murni: Ke Arah Memantapkan Integriti Institusi Sosial. Anjuran Pusat Pembangunan Keluarga, Universiti Malaya. Kompleks Perdanasiswa, UM. 25 Jun 2005.
6
Lampiran A PULAU IDAMAN Kumpulan anda akan dihantar ke sebuah pulau untuk dibangunkan. Anda bersama rakan-rakan perlu berbincang bagaimanakah bentuk masyarakat dan pembangunan yang anda harus cipta atau wujudkan di pulau idaman ini. Anda akan diberikan segala kemudahan bagi membangunkan pulau ini. Tetapi anda hanya mempunyai orang-orang di bawah ini untuk membangunkan pulau ini
7 orang pesara pegawai tinggi kerajaan berusia 56 tahun dan masih sihat: o doktor, o saintis, o peguam, o jurutera, o ketua angkatan tentera, o ketua setiausaha kerajaan negeri, dan o guru besar 3 orang artis 4 orang bekas penagih dadah 15 lelaki usia 18-25 15 perempuan usia 16-27 15 orang kanak-kanak
Tugasan
Lakarkan pulau Tunjukkan pembahagian pulau dan pembangunan Namakan pulau idaman anda Jelaskan rasional anda mengenai pembangunan masyarakat dan fizikal pulau semasa sesi pembentangan
7
Lampiran B Siapa bersalah dam berapa denda harus dibayar? Peranan/Tugas Anda •
Anda sekumpulan telah dilantik oleh Mahkamah Agung sebagai Jawatankuasa Khas Hakim bagi mengendalikan satu kes kemalangan.Seorang peguam kepada mangsa kemalangan mendakwa kesemua mereka di bawah ini bersalah samada secara langsung atau tidak langsung dalam kemalangan yang berlaku di mana seorang pemandu yang mabuk telah melanggar sebuah kereta lain di Lebuhraya ABC sehingga menyebabkan pemandu kereta yang dilanggar, seorang pelajar wanita yang masih belajar dalam bidang perubatan, menjadi koma dan rakannya pula cedera parah. Peguam mangsa menuntut ganti rugi bayaran sebanyak RM2 juta bagi pihak kedua-dua mangsa.
•
Peruntukan undang-undang boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang bersalah secara langsung atau tidak langsung dengan denda tidak kurang dari RM3000 dan tidak lebih dari RM12,000 serta dikenakan hukuman penjara dari 1 hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
•
Anda diminta untuk memutuskan samada mereka yang tersenarai ini bersalah atau tidak, dan memutuskan denda/hukuman yang patut dijatuhkan secara kolektif.
•
Jantina, agama, nama, dan etnik tertuduh tidak perlu disebut di sini.
•
Maklumat tambahan: Menurut rekod yang dikutip: kawasan kemalangan itu menunjukkan jalannya berlubang-lubang. 2 kemalangan jiwa telah berlaku di tempat yang sama seminggu sebelum kemalangan ini. Lampu jalan yang biasanya menyala di kawasan tersebut tidak berfungsi lebih dari sebulan walaupun notis panggilan pembaikan telah dberikan kepada syarikat pembekal tenaga letrik. Lorong kiri lebuhraya tersebut juga didapati berminyak dan masih belum dibersihkan ketika kemalangan berlaku.
Tertuduh •
Tertuduh 1: Berumur 31 tahun. Seorang jurutera. Setelah kematian isterinya beliau sering mabuk. Pernah ditahan dan didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk. Pada malam 13 Jan 2005, jam 4:30 pagi beliau memandu keretat dengan kelajuan 130 km sejam melebihi had laju 110 km sejam dan melanggar kereta mangsa di Lebuhraya ABC. Beliau didapati memandu dalam keadaan mabuk. Beliau dikatakan cuba mengelak beberapa lubang kecil di kawasan tersebut yang agak gelap ketika itu tetapi keretanya terbabas kerana tidak dapat dikawal akibat jalan yang agak licin. Jika beliau tidak mabuk, sudah tentu kemalangan tersebut dapat dielakkan.
•
Tertuduh 2: Berumur 30 tahun. Rakan kepada Tertuduh 1. Beliau menemani Tertuduh 1 dalam kereta yang melanggar kereta mangsa pada malam berkenaan. Beliau dikatakan tidak 8
menghalang Tertuduh 1 membawa kereta walaupun beliau tahu Tertuduh 1 mabuk ketika itu. Jika beliau menghalang Tertuduh 1 memandu dalam keadaan mabuk, sudah tentu kemalangan itu dapat dielakkan. •
Tertuduh 3: Syarikat Lebuhraya ABC sepatutnya meletakkan tanda AWAS jalan tidak rata dan AWAS jalan licin atau seumpamanya atau menutup lorong kiri Lebuhraya ABC. Syarikat berkenaan sepatutnya telah menurap jalan tersebut dan membersihkan bekas minyak setelah dua kemalangan berlaku sebelum ini. Jika Syarikat ABC mengambil langkah segera membetulkan keadaan jalan, sudah pasti kemalangan tersebut dapat dielakkan.
•
Tertuduh 4: Syarikat pembekal tenaga letrik gagal membaiki lampu jalan yang tidak berfungsi walaupun telah diberikan notis sebulan. Jika lampu jalan menerangi jalan berkenaan, sudah pasti kemalangan tersebut dapat dielakkan.
•
Tertuduh 5. Pemilik kedai minuman keras, iaitu BAR XYZ, di Kuala Lumpur, telah menjual arak kepada Tertuduh 1 dan 2 selepas waktu perniagaan iaitu jam 1:00 pagi. Pemilik BAR XYZ juga melayan Tertuduh 1dan 2 sehingga Tertuduh 1 mabuk. Pemilik BAR meminta Tertuduh 1 dan Tertudah 2 meninggalkan premis BAR pada jam 3:15 pagi.
9