KEPERLUAN KOPERASI PATUH SYARIAH PADA MASA KINI
Shofian bin Ahmad Jabatan Syariah, FPI UKM.
1.0 PENGENALAN
Koperasi adalah satu bentuk organisasi yang telah dilakukan oleh masyarakat sejak lama dahulu. Dari segi sejarahnya, penubuhan institusi koperasi dicatat bermula sejak kurun ke 18 di Eropah iaitu ketika zaman Revolusi Perindustrian. Revolusi Perindustrian yang dipelopori oleh sistem ekonomi kapitalis, telah menyebabkan pelbagai masalah kepada ekonomi dan masyarakat ketika itu. Antaranya mewujudkan jurang pendapatan yang tinggi dalam masyarakat, meningkatkan jumlah penganguran, merendahkan tingkat dan kualiti kehidupan mereka dan sebagainya. Bahkan lebih buruk lagi, golongan yang lemah seperti kanak-kanak dan wanita, turut diekploitasi tenaga mereka untuk kepentingan ekonomi Kapitalis. Bertitik tolak diatas permasalahan tersebut, maka R. Owen (1771-1885) telah memikirkan satu bentuk baharu dalam ekonomi yang dibina atas dasar tolong menolong sesama ahli untuk membaiki dan meningkatkan tahap kehidupan ekonomi dan sosial mereka. Cara tersebut dikenali sebagai ekonomi koperasi yang mengumpul didalamnya golongan pekerja yang berpendapatan rendah untuk bersatu menghadapi kepincangankepincangan yang terhasil daripada sistem ekonomi kapitalis tersebut. Perlu diingatkan bahawa ekonomi koperasi bukanlah suatu sistem baharu untuk menggantikan sistem kapitalis. Sebaliknya ia hanya bertujuan melengkapkan beberapa bahagian dalam sistem ekonomi kapitalis yang dikenalpasti sebagai punca kepada masalah ini. Sistem Kapitalis tidak dapat menangani masalah ini kerana berpegang dengan prinsip mereka sendiri iaitu mengutamakan hak dan kepentingan pemodal berbanding pengguna dan memaksimumkan keuntungan menjadi matlamat utama mereka. Justeru dengan wujudnya ekonomi koperasi, ia dapat menjaga kebajikan ekonomi para anggotaanggota yang bernaung dibawahnya.
Sejarah koperasi di Malaysia telah bermula semenjak sebelum merdeka lagi. Pada ketika itu masyarakat melayu yang rata-ratanya adalah miskin dan berkerja 1
sebagai petani dan pekebun. Ramai diantara mereka yang terlibat dengan masalah hutang dengan pemiutang dan ceti. Hasil-hasil pertanian mereka akan dijual dengan harga yang rendah kepada pemuitang. Manakala kadar faedah hutang yang dikenakan pula agak tinggi kepada mereka. Oleh yangn demikian pihak Inggeris ketika itu telah memikir dan mencadangkan penubuhan syarikat berkerjasama untuk membantu golongan petani dan pekebun yang tertindas ini. Para ahli yang menyertai syarikat kerjasama tersebut akan diberi kemudahan untuk membuat pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah. Namun sistem pinjaman yang dijalankan oleh syarikat berkerjasama ketika itu masih tertakluk dengan sistem faedah atau riba yang diperkenalkan oleh pihak Inggeris. Reaksi kebanyakan masyarakat melayu Islam ketika itu yang berpegang kuat dengan ajaran agama telah menolak sistem faedah kerana ia haram disisi agama. Walaupun sebenarnya masyarakat melayu ketika itu terlibat dengan jualbeli janji yang dikatakan mempunyai helah kepada riba, namun mereka tetap tidak boleh menerima sistem riba yang diharamkan dengan jelas dalam agama. Justeru pada 22 Jun 1922, satu pertemuan dikalangan alim ulama ketika itu telah diadakan di atas anjuran DYMM Sultan Perak. Dalam pertemuan tersebut telah memutuskan bahawa diharuskan menyertai syarikat berkerjasama dan membuat pinjaman dengannya walaupun menggunakan mekanisme faedah/ riba. Alasan keharusan dibuat kerana mereka menimbangkan antara dua keburukan iaitu keburukan berhutang dengan pemiutang dan ceti dengan kadar faedah yang tinggi dan menindas dan keburukan berhutang dengan syarikat berkerjasama dengan kadar faedah yang rendah. Selaras dengan kaedah fiqh, apabila terpaksa menghadapi dua keburukan, maka dipilih keburukan yang lebih ringan. Walau bagaimanapun tidak dinafikan padangan yang mengharuskan ini turut menerima tentangan yang hebat daripada tokoh-tokoh ulama yang berpegang dengan ilmu tradisi pengajian Islam. Namun setelah berlalu satu tempoh yang lama, pandangan-pandangan yang menetang keputusan mengharuskan pinjaman berfaedah tersebut telah mulai reda dan boleh diterima setelah melihat kebaikan dan faedah yang bawa oleh syarikat berkerjasama ini. Justeru dalam tahun 1930-an dapat dilihat pertambahan ahli-ahli syarikat kerjasama secara drastik.
Pada masakini pandangan masyarakat terhadap keharusan berhutang secara faedah telah berubah dan berbeza lagi dengan pandangan oleh alim ulama suatu ketika dahulu. Hal ini bersesuaian dengan maksud kaedah fiqh iaitu “berubah sesuatu hukum dengan sebab berubah masa dan tempat”. 2
Perubahan paradigma ini kerana
perkembangan pesat telah berlaku dalam sistem ekonomi dan kewangan Islam di Malaysia, berbanding masa dahulu. Dimana banyak institusi kewangan yang patuh syariat telah ditubuhkan. Beberapa akta berkaitan juga telah digubal untuk menyokong dan melancarkan operasi kewangan Islam tersebut. Justeru pandangan tentang keharusan terlibat dengan faedah telah mula berubah. Bahkan masyarakat Islam hari ini mahukan suatu organisasi yang jelas mematuhi hukum syarak dari segi organisasinya dan operasinya atau yang dikenali sebagai patuh syariah. Salah satu institusi yang terkait disini ialah institusi koperasi. Menurut mantan Menteri Kewangan Kedua Malaysia iaitu Tan Sri Nor Mohamaed Yakop, institusi kewangan bukan bank seperti koperasi, menjadi tonggak penting dalam Sistem Kewangan Islam di Malaysia pada masakini. Tambahan pula aset Koperasi Islam di Malaysia bernilai berbilion ringgit perlu dibangunkan dengan sewajarnya untuk menjadi penyokong bagi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam di Malaysia. Justeru pembentangan ini akan menghuraikan apakah konsep koperasi dalam Islam, bagaimanakah konsep patuh syariah dalam koperasi serta kenapakah koperasi masakini perlu untuk memperoleh status patuh syariah.
2.0 KOPERASI DALAM ISLAM
2.1 Definisi Koperasi Perkataan asal koperasi adalah gabungan daripada dua perkataan dari Bahasa Inggeris “Co” dan “Operation” yang membawa erti bersama-sama bekerja. Kamus Dewan mentakrifkan koperasi sebagai: i) Syarikat Kerjasama ii) kerja-sama, perihal bantu membantu; berkoperasi ialah berusaha dengan cara bekerjasama (bantu membantu). Dalam Bahasa Arab koperasi diterjemahkan sebagai al-ta’awun atau alta’awuniah yang membawa maksud sama seperti diatas iaitu tolong menolong dan saling bekerjasama untuk sesuatu tujuan.
Beberapa sarjana telah memberikan pentakrifan kepada istilah koperasi yang hampir sama maksudnya, antaranya: Zainal Abidin Hashim mentakrifkannya sebagai sesebuah organisasi perniagaan atau perusahaan yang ditubuh, dimodali dan diuruskan oleh ahli-ahlinya untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan, ke arah meningkatkan dan memajukan taraf sosioekonomi ahli-ahlinya. Ia merupakan gabungan usaha sekumpulan individu secara 3
bersama-sama, sukarela, cara kawalan yang demokrasi dan menerima ganjaran berasaskan sejauh mana mereka terlibat dalam organisasi tersebut. Syed Abdullah Abu Bakar al-Kherid menjelaskan, kebiasaannya koperasi adalah satu pertubuhan yang dianggotai oleh sekumpulan manusia yang kurang berpendapatan. Mereka dengan sukarelanya bermuafakat untuk menghasilkan kehendak ekonomi yang sama menerusi penyertaan mereka kedalam koperasi tersebut. Ungku Aziz pula menggambarkan koperasi sebagai satu bentuk organisisi dimana
para ahlinya bergiat menguruskan pengeluaran, penggunaan, pemasaran,
simpanan, pinjaman dan sebagainya dengan tujuan menolong satu sama lain tanpa tujuan mencari keuntungan perseorangan. Akta Koperasi 1948 (Akta 287) telah mendefinisikan koperasi sebagai “sesuatu syarikat (pertubuhan) yang terdiri daripada orang-orang individu sahaja yang mempunyai tujuan menggalakkan kepentingan ekonomi ahli-ahlinya mengikut prinsip bekerjasama (prinsip-prinsip koperasi)”.
2.2 Koperasi dalam Islam Dalam Islam tidak terdapat satu definisi yang khusus berkaitan koperasi. Koperasi tidak sama dengan dengan konsep syirkah/ musyarakah mahupun mudarabah, sehingga ia boleh didefinisi berdasarkan konsep-konsep tersebut. Walau bagaimanapun, konsep koperasi atau berkerjasama atau ta’awun sememangnya telah diterima sebagai nilai baik yang digalakkan oleh Islam. Justeru, secara prinsipnya, amalan koperasi adalah suatu amalan yang diterima oleh Islam selagi mana ia tidak bercampur dengan perkaraperkara yang menyalahi hukum syarak dan membawa kepada perbalahan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah (5:2); ...وتعاونوا على البر والتقوى وال تعاونوا على االثم والعدوان... “… dan hendaklah kamu berkerjasama untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...” Al-Qurtubi dalam mentafsir ayat ini menjelaskan bahawa ta’awun iaitu berkerjasama atas suatu perkara yang baik (birr wa taqwa) merupakan satu perintah Allah kepada manusia. Berdasarkan konsep ini, orang yang pandai perlu berkerjasama menolong
4
orang yang tidak pandai, orang kaya menolong orang miskin, orang yang kuat menolong orang yang lemah dan sebagainya. Bahkan konsep kerjasama ini juga telah dijadikan Allah sebagai sunnahNya atau sistem kepada alam ini. Lihatlah sistem cekerawala dan planet-planet yang saling lengkap melengkapi dalam melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing, sistem tubuh badan manusia yang saling bekerjasama antara satu sama lain untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik dan betul. Begitulah sifat ta’awun ini menjadi sunnah atau sistem yang akhirnya boleh melahirkan kebaikan kepada semua. Namun syarat berkerja sama atau ta’awun tersebut mestilah berasas kebaikan dan taqwa. Dalam operasi sesebuah koperasi, gambaran sifat kerjasama ini tergambar melalui usaha para ahli/ anggotanya yang saling menyokong perniagaan atau perusahaan yang dijalankan oleh koperasi yang dianggotai mereka. Para ahli akan bersama-sama memberi sumbangan, membuat penjualan serta pembelian melalui koperasi dan sebagainya. Keuntungan yang terhasil daripada perniagaan ini pula akan dikongsi bersama para ahlinya.
2.3 Contoh-Contoh Amalan Koperasi Dalam Masyarakat Arab Sebelum Islam Masyarakat Arab sebelum kebangkitan nabi SAW telahpun terkenal dengan sikap berkerjasama dan tolong menolong ini. Bahkan bangsa Arab yang terkenal dengan sifat kekabilahannya, sentiasa mengutamakan kebajikan dan survival kabilahnya. Meraka juga terkenal dengan sikap pemurah dan baik hati dalam melayan tetamu dan orang asing yang bertandang kedalam kabilah mereka. Setelah kedatangan Islam, asas ini diperkuatkan lagi oleh baginda SAW dalam pelbagai bidang termasuk ibadat, kemasyarakatan dan perekonomian. Beberapa contoh amalan koperasi atau sifat kerjasama yang terdapat dalam masyarakat Arab dan menjadi budaya mereka sejak dahulu lagi ialah seperti: aqilah, qasamah dan kafalah.
Aqilah Bermaksud ikatan (iqal) atau perjanjian yang dibentuk diantara anggota kabilah yang bertujuan menyediakan jaminan kewangan kepada anggota tersebut dalam keadaan yang tertentu. Contohnya jika seseorang anggota kabilah tersebut disabitkan dengan kesalahan membunuh tanpa sengaja, maka hukuman yang dikenakan kepadanya adalah 5
bayaran diyat kepada keluarga mangsa. Biasanya nilai diyat yang dikenakan adalah besar seperti 100 ekor unta dan sebagainya, kerana ia berkaitan kehilangan nyawa. Nilai yang besar ini tentunya sukar jika mahu ditanggung oleh seseorang individu. Justeru ketua kabilah telah mengambil tindakan pro-aktif dengan mewujudkan satu tabung yang akan disumbang bayarannya oleh setiap anggota kabilah sebagai jaminan kepada mereka jika terlibat dengan bayaran seperti diyat tersebut. Amalan seperti Aqilah ini telah digunakan secara meluas oleh pengendali-pengendali takaful dalam membentuk asas produk mereka.
Qasamah Bermaksud sumpah. Amalan ini hanya dilakukan apabila terdapat seorang anggota kabilah lain yang ditemui mati terbunuh dalam kabilah mereka. Tetapi mereka tidak dapat mengenalpasti pembunuhnya setelah mereka berusaha menyiasat secara bersungguh sungguh. Ekoran itu semua anggota kabilah tersebut diminta bersumpah untuk membersih dan menafikan diri daripada terlibat. Jika semua mereka telah bersumpah bererti pembunuhnya tidak dapat dikenalpasti. Namun bagi menghormati nilai nyawa yang telah terbunuh, maka semua anggota kabilah tersebut dikehendaki membayar sejumlah wang sepertimana diyat kepada keluarga mangsa tersebut.
Kafalah Kafalah pula bermaksud jaminan. Biasanya ia dikaitan dengan jaminan masyarakat atau turut dikenali juga sebagai takaful itima’i. Kafalah juga adalah sejenis kontrak yang diterima dalam muamalat Islam iaitu kontrak jaminan (guarantee). Terdapat banyak banyak hadith yang berkaitan jaminan sama ada jaminan masyarakat mahupun kontrak kafalah.
2.4 Jenis-Jenis Koperasi Terdapat pelbagai jenis koperasi yang menjalankan pelbagai aktiviti mereka. Secara umum jenis-jenis koperasi tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori umum iaitu: i) berdasarkan bentuk aktivitinya, dan ii) berdasarkan keanggotaannya.
6
Koperasi yang berdasarkan aktivitinya pula boleh dibagaikan kepada beberapa jenis lagi. Antaranya: Koperasi Simpan Pinjam, Koperasi Serbaguna, Koperasi Pengguna, Koperasi Pengeluar dan lain-lain Manakala koperasi yang berdasrkan jenis keanggotaannya pula boleh dibahagikan kepada, Koperasi Pegawai Kerajaan, Koperasi Usahawan Desa, Koperasi Peladang, Koperasi Pasar, Koperasi Sekolah dan lain-lain lagi Kadangkala koperasi juga dibahagikan mengikut kluster iaitu koperasi kluster besar dan koperasi kluster sederhana. Pembahagian mengikut kluster ini adalah berdasarkan jumlah anggota, modal syer anggota serta jumlah aest dan perolehannya. Dalam hal ini Bank Kerjasama Rakyat merupakan koperasi dalam kluster besar teratas dari segi kedudukannya.
3.0 KONSEP PATUH SYARIAH
Jika sebelum ini, istilah patuh syariah hanya digunakan oleh industri bank dan takaful sahaja. Tetapi kini istilah tersebut telah diperluaskan penggunaannya kepada sektorsektor lain termasuk perhotelan, pelancungan, kesihatan, pengangkutan dan sebagainya. Justeru terdapat sesetengah syarikat mendakwa mereka sebagai hotel patuh syariah, pelancungan patuh syariah, hospitak patuh syariah, penerbangan patuh syariah dan bermacam-macam syarikat lain yang patuh syariah. Pengukuran aspek patuh syariah yang dibuat antara industry-industri tersebut adalah berbeza-beza mengikut aktiviti asas perniagaan mereka. Sebagai contoh, penentuan aspek patuh syariah oleh syarikat perhotelan tentulah tidak sama dengan penentuan yang digunakan terhadap syarikat pengangkutan dan sebagainya. Walau bagaimanapun untuk tujuan perbincangan disini, kertas kerja ini akan membincangkan konsep patuh syariah kepada organisasi koperasi yang merupakan salah satu bentuk institusi kewangan bukan bank pada masa kini. Sememangnya amat sukar untuk meletakkan satu definisi yang standard bagi menggambarkan maksud patuh syariah dalam semua aspek. Walau bagaimanapun secara umumnya ia boleh difahami sebagai “satu status yang diberikan oleh pihak tertentu kepada sesebuah organisasi yang menjalankan aktiviti yang sesuai dengan hukum Islam”.
7
Berdasarkan definisi tersebut status patuh syariah boleh diberikan diberikan kepada institusi berikut: i-
Institusi yang menjalankan kegiatan yang jelas dibenarkan oleh syarak. seperti perniagaan barangan, perladangan, pengangkutan, dan sebagainya. Aktiviti yang jelas bertentang dengan Islam seperti yang disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM seperti perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah), perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan, insurans konvensional, aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah dan sebagainya. Bahkan pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan dengannya juga diahnggap sebagai tidak patuh syariah.
ii-
Juga, organisasi yang menjalankan aktiviti bercampur antara halal dan haram, seperti sebuah organsasi induk yang menjalankan aktiviti pertanian/ perladangan (halal), tetapi terdapat subsidiari dibawahnya yang terlibat dengan aktiviti riba (haram). Bagi organisasi yang menjalankan aktiviti bercampur seperti ini, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan untuk memperoleh status patuh syariah, iaitu :
a. pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik; dan b. aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan Negara, manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) atau hakhak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
4.0
PATUH SYARIAH VS BERASASKAN SYARIAH
Terdapat sesetengah pengkaji yang membezakan antara patuh syariah (shariah compliant) dan berasaskan syariah (shariah based). Mereka membezakan “patuh syariah” hanyalah satu ukuran minimum bagi menentukan atau mengukur sesuatu operasi dan produk agar menepati dengan hukum syarak. Sebaliknya “berasaskan syariah” adalah lebih konservatif. Ini bermakna, dalam konsep berasaskan syariah, elemen haram dan kekaburan/ syubhat tidak boleh menyelinap masuk 8
sama sekali dalam dalam produk tersebut. Dengan kata lain konsep berasakan syariah adalah ukuran yang paling sempurna bagi menentukan sesuatu operasi atau produk tersebut bertepatan dengan hukum syarak. Manakala konsep patuh syariah masih membenarkan percampuran antara aktiviti halal dan aktiviti haram dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan seperti diatas. Sebenarnya tidak ada perbezaan signifikan antara patuh Syariah dan berasaskan Syariah. Perkara yang penting ialah produk itu sendiri mematuhi peraturan dan prinsip muamalat Islam, seperti menghindari riba, gharar, maysir dan bahan-bahan yang dilarang penggunaannya seperti arak, babi, dadah dan seumpamanya. Termasuk juga perkara-perkara yang dilarang kerana wujud unsur syubhat/ kesamaran hukum tentangnya. Semua larang-larangan ini perlulah dipantau supaya memastikan ia tidak boleh berada dalam mana-mana produk yang mendapat status patuh syariah. Walau bagaimanapun prinsip pematuhan syariah yang diamalkan dalam pengurusan kewangan oleh institusi kewangan Islam masakini, membenarkan sedikit elemen yang tidak patuh syariah sebagai satu kelonggaran untuk mendapat status patuh syariah khususnya bagi syarikat bercampur. Namun kewujudan eleman yang tidak patuh syariah tersebut mestilah kecil dan terkawal serta mempunyai justifikasi tertentu yang diterima oleh syarak seperti maslahat (kepentingan pihak umum) dan umum balwa (keadaan buruk yang tidak boleh dielakkan). Walau bagaimanapun, dakwaan maslahat atau umum balwa tersebut mestilah berbentuk jelas dan tidak boleh melebihi tanda aras tertentu yang telah ditetapkan oleh MPS BNM.
5.0 TANDA ARAS PATUH SYARIAH DALAM AKTIVITI BERCAMPUR
Syarikat bercampur didefinisikan oleh MPS BNM sebagai sebuah syarikat yang aktiviti utamanya terdiri daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga aktiviti sampingan yang haram tetapi nisbahnya kecil. Hukum syarikat bercampur tidak disepakati oleh para sarjana Islam. Pandangan mereka boleh dibahagikan kepada dua, iaitu: 1- Pandangan yang tidak mengharuskan terlibat dalam syarikat bercampur. Pandangan ini menjadikan dalil al-Quran surah al-Baqarah 278-280 dan Ali
9
Imran: 130 serta lain-lain hadis berkaitan pengharaman riba sebagai hujah mereka. 2- Pandangan yang mengharuskan bermuamalat dengan syarikat bercampur selama mana kegiatan asasinya bukan berkaitan haram seperti riba. Antara sandaran yang digunakan ialah pendapat al-Ghazali yang bermaksud “Jika bercampur benda halal yang tidak terbatas dengan benda haram yang tidak terbatas, seperti mana harta-harta yang ada pada masa kini, maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram, meninggalkannya adalah warak’ dan mengambilnya adalah halal yang tidak akan menjadi fasiq memakannya”. Berdasarkan kepada pandangan al-Ghazali mengenai percampuran antara halal dan haram percampuran yang berlaku di syarikat-syarikat tersebut masih tertakluk kepada penentuan keterbatasan dan penentuan adakah yang halal mengatasi yang haram atau sebaliknya
Dalam hal ini MPS BNM telah memutuskan bahawa syarikat bercampur yang elemen haramnya sedikit dan tidak melebihi tanda aras yang telah ditetapkan MPS boleh dimasukan dalam senarai sekuriti patuh syariah. MPS berhujah dengan umum balwa dan gharar yasir perlu diambil kira dalam membuat justifikasi terhadap sesebuah syarikat bercampur yang aktiviti utamanya adalah halal Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu berdasarkan ijtihad mereka. Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah.
Tanda aras tersebut boleh dibahagikan kepada dua tanda iaitu 5% dan 20%:
Tanda aras 5% Secara umumnya tanda aras 5% ini diguna pakai bagi aktiviti bercampur yang mempunyai unsur yang jelas pengharamannya, seperti: riba, gharar, maysir, babi, arak dan tembakau/ rokok. 10
Bagi perniagaan/aktiviti yang mempunyai unsur yang jelas pengharamannya seperti diatas, sumbangan daripada perniagaan/aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan keseluruhan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat mestilah tidak lebih daripada 5%.
Tanda aras 20% Tanda aras 20% ini diguna pakai bagi perniagaan yang aktiviti bercampur yang pada asasnya tidak mempunyai masalah. dari segi hukum syarak seperti perhotelan dan rumah peranginan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada masyarakat. Namun kemungkinan boleh terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status patuh Syariah kerana kebanyakan sektor seperti ini turut menyediakan penjualan arak dan aktiviti yang tidak bermoral dari segi Syarak. Begitu juga dengan jual-beli saham dan pembrokeran saham kerana berkemungkinan terdapat saham tidak menepati kehendak syarak. Demikian juga sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah seperti menyewa alat/ kelengkapan hiburan yang digunakan untuk tujuan melalaikan. Status “patuh Syariah” yang dimiliki oleh sesebuah organisasi bukan hak mutlak mereka atau untuk dimiliki oleh organisasi untuk selama-lamanya. Tetapi ia akan sentiasa dipantau dan diaudit bagi memastikan ia menepati dengan standard syariah. Berkemungkinan ia boleh bertukar menjadi “tidak patuh Syariah” jika ia tidak mematuhi hukum syarak.
6.0 KOPERASI PATUH SYARIAH
Seperti yang telah dijelaskan tentang konsep patuh syariah, untuk menjadikan sesebuah koperasi patuh syariah, dua aspek berikut perlulah dipastikan iaitu: i-
Asas organisisi dan aktiviti yang selaras dengan prinsip syariah
ii-
Menghindari aktiviti yang dilarang oleh Syarak
6.1 Asas organisasi dan aktiviti yang selaras dengan prinsip syariah
11
Dari segi prinsip Secara prnsipnya, konsep koperasi tidak bercanggah dengan ajaran Islam seperti mana yang telah dijelaskan. Prinsip koperasi seperti mana yang telah diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Koperasi 1993 (Akta 502), terdiri daripada enam prinsip asas yang bertepatan dengan ajaran Islam. Prinsip-prinsip tersebut adalah: i.
Keanggotaan sukarela dan terbuka
ii.
Pengurusan yang demokratik
iii.
Pulangan terhad keatas modak yang disumbangkan oleh peserta
iv.
Pembahagian keuntungan yang saksama
v.
Menggalakkan pendidikan koperasi
vi.
Kerjasama aktif dikalangan koperasi-koperasi berdaftar
Jika diteliti, matlamat prinsip-prinsip ini diadakan adalah bertujuan untuk mewujudkan identiti sebuah organisisi yang bersifat kerjasama sesama ahlinya dan menjalankan pengurusan yang demoktarik serta adil. Prinsip-prinsip sebegini adalah sah disisi Islam, selama mana ia tidak mencampur adukkan dengan perkara-perkara lain yang dilarang seperti riba, penindasan, penipuan dan lain-lain aktiviti yang diharamkan oleh hukum.
Dari segi bentuk akad atau takyif syarikat koperasi Para sarjana Islam mempunyai beberapa pandangan. Sebahagian mereka berpendapat koperasi yang berjalan sekarang ini terangkum di dalam konsep syarikat al-Inan yang diterima pengharusannya oleh seluruh ahli perundangan Islam. Jika dilihat syarat-syarat syarikat al-Inan, seperti yang dijelaskan di bawah maka ia sama seperti syarat dalam koperasi.
Pertama: Modal terkumpul dari saham anggota digunakan di dalam perniagaan atau pelaburan yang dipersetujui oleh semua anggota. Anggota telah dijelaskan cara bagaimana wang modal koperasi dilaburkan. Apabila seseorang menyertainya maka bererti dia menyetujui cara-cara yang ditentukan itu.
Kedua: Persetujuan setiap anggota bagi pengurusan syarikat dan persetujuan mewakilkan kepada beberapa anggota syarikat tertentu bagi melaksanakan aktivitinya. Sekiranya persetujuan ini tidak diperolehi maka tidak sah manamana anggota di dalam syarikat mengurus harta/saham anggota lain. Di dalam koperasi, pentadbirannya dijalankan oleh Jemaah Lembaga Pengarah yang dilakukan di dalam Mesyuarat Agung Koperasi membawa erti setiap anggota 12
telah mewakilkan haknya kepada Lembaga Pengarah yang dipilih itu untuk menguruskannya.
Ketiga: Pembahagian keuntungan dan tanggungan kerugian adalah berdasarkan kepada modal saham. Cara yang sama juga dipraktikkan di dalam koperasi. Hanya sedikit berbeza di dalam amalan koperasi jika dibanding dengan pembahagian keuntungan di dalam syarikat biasa; pertama: keuntungan hanya diberi dengan kadar tidak melebihi 10% daripada keuntungan koperasi dan kedua: jika seseorang anggota menarik diri, dia hanya diberi kembali wang sahamnya dengan tambahan keuntungan sebenar bagi tahun berkenaan sahaja dan tidak diberi keuntungan dari nilai harga koperasi keseluruhannya
Namun sebahagian sarjana lain melihat akad koperasi tidak menyamai dengan akad syirkah ataupun musyarakah seperti mana yang dibincangkan dalam fiqh. Ini kerana akad syirkah terutamanya syirkah al-inan adalah berbeza dengan akad koperasi dari tiga sudut, iaitu: i-
Jumlah minimum peserta akad koperasi sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta Koperasi 1993 (Akta 502) adalah seramai 100 orang. Sedangkan dalam akad syirkah hanya diperlukan sekurang-kurangnya 2 orang sahaja.
ii-
Sebahagian besar rakan kongsi tidak aktif dalam perniagaan koperasi kerana pengurusan koperasi hanya dibenarkan kepada antara 6 hingga 15 orang ahli koperasi sahaja seperti yang diperuntukkan dalam akta.
iii-
Bentuk perniagaan koperasi pula bukanlah atas nama rakan kongsi, tetapi atas nama pertubuhan perbadanan koperasi tersebut.
Justeru menurut Syeikh Abd Rahman Isa berpendapat, konsep syarikat koperasi sepertimana yang diperkatakan oleh ahli perundangan moden hari ini tidak mempunyai persamaan dengan akad syirkah yang dibincangkan oleh para fuqaha terdahulu iaitu syirkah al-inan, al-mufawadah, al-abdan dan al-wujuh. Namun menurut beliau, jika syarikat-syarikat moden tersebut diwujud untuk menjalankan kegiatan perniagaan yang tidak terlibat dengan riba atau lain-lain perolehan haram, dalam masa yang sama juga ia dikawal oleh undang-undang untuk memastikan ia tidak berlaku zalim dan penindasan serta dapat menjamin hak-hak pemegang sahamnya, maka syarikat yang seperti itu adalah halal tanpa sebarang keraguan.
13
Mengenai penetapan had jumlah minimum ahli dalam syarikat koperasi, ia tidak boleh dianggap sebagai bertentangan dengan syarak. Bahkan penetapan had minimum oleh undang-undang tersebut boleh dilihat sebagai satu yang positif dan memenuhi kehendak siyasah pemerintah untuk menjamin maslahah. Oleh yang demikian penubuhan syarikat koperasi adalah sah dari segi hukum Islam. Cuma ia bukanlah berasaskan syirkah yang dibincangkan oleh fuqaha terdahulu. Sebaliknya ia adalah satu bentuk syarikat yang baharu dan tidak bertentang dengan Islam.
Dari segi had umur menyertai koperasi Kelayakan menjadi ahli koperasi sepertimana yang ditetapkan dalam Akta Koperasi 1993, Seksyen 26, mestilah telah mencapai umur 18 tahun. Kebenaran juga diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 tahun untuk menjadi ahli koperasi sekolah. Perkara ini mungkin menimbulkan persoalan dari segi hukum jika kanak-kanak yang berumur 12 tersebut belum baligh ketika itu. Sepertimana yang dibincangkan oleh fuqaha, urusan kanak-kanak yang belum baligh adalah di bawah urusan walinya. Oleh yang demikian jika kanak-kanak tersebut belum baligh mereka harus mendapat persetujuan daripada wali mereka terlebih dahulu untuk menjadikan penyertaan mereka sebagai ahli koperasi sekolah dianggap sah dari segi hukum Islam. Perkara yang sedemikian iaitu memperoleh keizinan wali/ penjaga bagi kana-kanak haruslah dinyatakan dengan jelas dalam seksyen 26 akta berkenaan supaya ia menjadi lebih patuh kepada hukum syarak. Manakala seksyen 27 akta berkenaan memperuntukan orang yang tidak layak menyertai koperasi ialah orang yang tidak upaya dari segi mental, bankrup, dan telah melakukan kesalahan dibawah akta koperasi.
Peruntukan ini adalah selaras dengan hukum Islam. Ketidakupayaan dari segi mental menurut Islam boleh terjadi dengan sebab di bawah umur iaitu belum baligh mahupun yang dewasa iaitu telah baligh. Bagi mereka yang belum baligh ia dikenali dengan beberapa istilah/ peringkat seperti sabiy dan mumayyiz. Manakala bagi mereka yang telah baligh pula ketidak upayaan mental dikenali dengan beberapa istilah lain seperti majnun, ma’tuh, safih, ghaflah dan marad al-mawt. Golongan bankrupt pula diletakkan di bawah ketidakupayaan harta/ material, kerana semua harta orang bankrup adalah untuk tujuan bayaran hutangnya. Manakala melakukan kesalahan dibawah akta koperasi pula dibuat selaras dengan konsep siyasah syariyyah oleh pihak pemerintah.
14
Dari segi kaedah pelaburan dan pinjaman Pindaan peratuturan baharu koperasi 1995 telah memberi kebenaran kepada pengendali koperasi untuk membuat pelaburan dan pinjaman yang sesuai selagi tidak melanggar syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bermakna tidak terdapat halangan kepada koperasi untuk menggunakan prinsip muamalah Islam dalam menjalankan pelaburan dan memberi perkhidmataan pembiayaan kepada anggotanya. Dengan itu koperasi boleh memilih untuk melaburkan lebihan kewangannya ke dalam mana-mana institusi kewangan yang sesuai dengan dengan matlamat mereka. Mereka boleh memilih untuk melabur dalam sistem kewangan Islam yang patuh syariah dengan menggunakan prinsip pelaburan seperti musharakah dan mudarabah yang berbentuk perkongsian keuntungan dengan kadar yang telah ditetapkan ketika kontrak.
Manakala bagi pinjaman pula, pihak koperasi boleh menggunakan prinsip-prinsip pembiayaan hutang yang terdapat dalam IKI seperti BBA, ijarah, bai’ inah, tawarruq dan lain-lain yang bersesuaian dengan matlamat koperasi.
Pengeluaran zakat Selain itu diantara ciri-ciri koperasi yang patuh syariah juga ialah komitmen untuk mengeluarkan zakat daripada aktiviti perniagaannya. Para fuqaha menetapkan bahawa syarikat yang menjalankan perniagaan seperti koperasi perlu juga membayar zakat kerana wujud shaksiyyah i’tibariyyah (legal entity). Justeru koperasi yang patuh syariah hendaklah mengeluarkan zakat perniagaan mereka.
Terdapat dua kaedah pengiraan zakat perniagaan yang diamalkan iaitu model berkembang (growth model) dan modal kerja (working capital). Dalam kaedah model berkembang, modal dicampur dengan keuntungan dan dikeluarkan kadar 2.5% daripadanya. Manakala kaedah modal kerja pula mengambilkira kedudukan harta semasa dalam pengiraan zakat. Justeru akan terdapat pelarasan iaitu dengan mencampur atau menolak beberapa perkara dalam pengiraan jumlah zakatnya. Dengan kata lain kaedah modal kerja ini lebih detil dan teliti dalam pengiraan zakat, manakala kaedah model berkembang pula lebih bersifat mudah dan memberi maslahat kepada penerima zakat.
15
Secara amalannya koperasi yang bergerak atas nama Islam memang telah membuat pembayaran zakat masing-masing. Namun untuk menjadikannya lebih bertanggung jawab dari segi perundangan, maka pindaan akta koperasi perlu dilakukan terhadap seksyen 2 iaitu dalam mendefinisikan wang lebihan sebagai … “wang yang melebihi amaun yang diperlukan oleh sesebuah koperasi berdaftar bagi kegunaan segera sebagai modal kerja bagi perniagaannya dan selepas pembayaran zakat…” Pindaan seperti ini adalah selaras dan mengikut amalan yang terdapat dalam perbankan Islam, dimana Akta Bank Islam 1993 menerusi seksyen 15 (1) dan (2) menjelaskan “sebelum sesuatu dividen diishtiharkan, bank hendaklah memindahkan sejumlah wang daripada keuntungan bersih ke dalam tabung rizab pada setiap tahun setelah ditolak dari pembayaran zakat…”
Panel penasihat syariah Selain itu juga untuk menjadikan sesebuah koperasi patuh syariah, pihak Jabatan Pembangunan Koperasi perlulah melantik Panel Penasihat Syariah yang berperanan memantau kegiatan mana-mana koperasi yang berdaftar di bawahnya dalam menjalankan aktiviti dan pelaburan secara Islam. Secara teorinya koperasi tidak perlu mempunyai panel penasihat syariahnya yang tersendiri. Ini kerana pewujudan panel penasihat syariah sendiri melibatkan kos dan tidak semua koperasi mampu menyerap kos tersebut. Lebih-lebih lagi bagi koperasi yang bersaiz kecil. Faktor lain dibimbangi dengan banyaknya Panel Penasihat Syariah pada setiap koperasi boleh menyebabkan pelbagai pandangan dan hukum yang berbeza yang dikeluarkan bagi sesuatu produk. Keadaan ini tentulah menimbulkan kecelaruan dan mengurangkan kepercayaan orang ramai, khasnya para ahli terhadap status patuh syariah di koperasi berkenaan. Justeru untuk masa ini hanya dicadangkan pewujudan Panel Penasihat Syariah tersebut diperingkat Pusat sahaja iaitu di Jabatan Pembangunan Koperasi.
Disamping itu, Panel Penasihat Syariah ini juga boleh berperanan sebagai mengesah dan meluluskan mana-mana produk yang hendak ditawarkan oleh koperasi secara Islam. Ini akan menjadikan kepercayaan para ahli lebih tinggi tentang kesahan produk tersebut dari sudut hukum Islam dan status patuh syariah.
Bagi melaksanakan hasrat ini, tiga cadangan berikut boleh dipertimbangkan (Ahmad Hidayat Buang 2004): 16
i-
Menggunasama fungsi majlis penasihat syariah di bank Negara Malaysia untuk menyelia dan menasihati koperasi-koperasi Islam dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan yang selaras dengan hukum Islam
ii-
Melantik perunding-perunding syariah luar yang bebas dan berkelayakan untuk menyelia dan menasihati koperasi-koperasi Islam dalam aktivitinya.
iii-
Menubuhkan jawatankuasa tetap penasihat syariah di bawah ketua pendaftar koperasi. Dalam hal ini panel penasihat syariah tersebut akan diletakkan dibawah pengawasan ketua pendaftar koperasi.
6.2 Menghindari aktiviti yang dilarang oleh Islam Diantara ciri-ciri yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan sesebuah organisasi seperti koperasi yang dianggap tidak patuh syariah adalah seperti berikut: I.
Membuat marketing (promosi) menggunakan imej dan gambar orang yang membuka aurat. Hukum menutup aurat adalah wajib bagi lelaki dan wanita Islam yang telah baligh. Meskipun terdapat perselisihan pendapat fukaha tentang batasan aurat, namun mereka bersepakat bahawa hukum menutup aurat adalah wajib. Justeru meninggalkan sesuatu yang wajib adalah tidak mematuhi hukum syarak.
II.
Melabur dalam pelaburan yang tidak patuh syariah. Pelaburan yang tidak patuh syariah bukan sekadar kerana aktiviti syarikat yang dilabur itu dan produknya yang haram seperti arak dan babi, tetapi juga kerana sistem pulangannya yang menjamin duit pelabur iaitu sistem riba. Konsep pelaburan dalam Islam adalah satu perkongsian dalam modal/usaha dan juga perkongsian dalam hasilnya sama ada untung atau rugi. Oleh kerana untung atau rugi adalah suatu yang belum pasti dalam pelaburan, maka jaminan terhadap keuntungan menjadikannya tidak mengikut hukum pelaburan Islam yang sebenar sama ada musharakah atau mudarabah. Dengan wujudnya jaminan keuntungan tetap yang dijanjikan, menjadikannya ia tidak berbeza dengan hutang yang dijanjikan pulangan tetap oleh satu pihak terhadap pihak lain. Hukum nya adalah riba yang diharamkan.
III.
Menggunakan akaun bank konvensional sebagai simpanan atau menerima bayaran dari pelanggan adalah tidak patuh syariah. Pada masakini telah terdapat banyak kemudahan simpanan secara Islam yang boleh dipilih seperti Wadiáh, Mudarabah dan sebagainya. Justeru adalah dianggap tidak perlu untuk menyimpan dalam simpanan konvensional yang terdedak dengan riba. Selain 17
memastikan simpanan yang patuh syariah, membuat caruman bagi mendapatkan perlindungan insurans konvensional juga menjadikan sesebuah syarikat tidak patuh syariah. Pada masa kini terdapat banyak kemudahan insuran secara Islam atau dikenali sebagai takaful yang menggunakan konsep tertentu bertepatan dengan hukum syarak. IV.
Membuat representasi palsu. Para fukaha telah membincangkan beberapa bentuk transaksi yang menyerupai representasi palsu spt tadlis, taghrir dan ghabn. Tadlis adalah sejenis transaksi dimana satu pihak menyembunyi fakta sebenar kepada pihak lain dengan tujuan menipunya. Taghrir pula adalah satu pihak memujuk memperdayakan pihak lain secara perkataan atau perbuatan sehingga pihak tersebut memasuki kontrak bukan dengan pilihan bebasnya. Manakala ghabn pula adalah suatu bentuk penipuan dengan cara meletakkan harga yang melebihi harga pasaran. Semua jenis pemalsuan tersebut termasuk dalam makna gharar yang menyebabkan ketidakpastian dalam berkontrak. Justeru para fuqaha membahagikan aspek-aspek yang boleh berlaku gharar kepada empat, iaitu: harga, kuantiti, kualiti dan waktu/masa.
V.
Menghindari daripada perkara-perkara syubhat. Syubhat didefinisikan sebagai perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dikalangan para mujtahid. Terdapat hadis yang sahih lagi jelas supaya manusia menghindari syubhat kerana dibimbangi terjatuh kedalam haram. Syubhat boleh berlaku kerana: 1. Dalil yang tidak jelas tentangnya, atau 2. Pemakaian dalil yang tidak sesuai dengan maqasid syarak (seperti helah). Bukan semua helah membawa kepada syubhat. Sesetengah helah dibenarkan apabila ia menepati dengan kehendak syarak. Contoh penggunaan kaedah bay al-inah sebagai helah kepada riba adalah dibenarkan oleh sesetengah fukaha. Helah didefinisikan sebagi dalihan atau alasan untuk mengubah sesuatu hukum asal. Jika dalihan tersebut menepati dengan konsep syarak maka dalihan tersebut boleh diterima dari segi hukum, sekalipun terdapat pandangan yang kontrak dengannya. Namun jika dalihan tersebut tidak mempunyai asas syarak, maka ia dianggap sebagai helah yang tercela. Inilah helah yang tidak dibenarkan dalam Islam. Contohnya mengaburi pembeli/ pengguna dengan iklan atau bahan yang tidak betul, menipu dan sebagainya.
VI.
Membenarkan mana-mana pihak luar mengiklan produk tidak syariah di laman web/ akaun facebook/ forum/ blog mereka. Ini kerana membenarkan 18
pengiklanan seperti produk arak, bermakna syarikat tersebut juga bersubahat dalam menyebarkan budaya minum arak di kalangan masyarakat. Dalam hal ini nabi SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak iaitu: peminum, penghidang, penjual, pembeli, pemerah (pembuat), peminta perah (pengedar), peminta arak, penuang arak, pembawa dan pemakan harganya. VII.
Menekan pekerja dan tidak menjaga kebajikan mereka. Para pekerja ada hak untuk berehat pada masanya, balik rumah, kesihatan dan sebagainya. Memelihara kebajikan para pekerja bawahan juga adalah suatu tuntutan Islam. Islam menggesa supaya berlaku adil bahkan juga berlaku ihsan dengan manusia. Al-Quran juga menggalakkan syura dalam membuat sesuatu keputusan penting. Sikap tidak memelihara kebajikan mereka adalah suatu yang zalim dan ia bukanlah suatu yang diterima dalam Islam. Justeru pemberian status patuh syariah juga mestilah mengambilkira perkara sebegini.
VIII.
Tidak menjelaskan dengan jelas syarat-syarat atau ciri-ciri barang jualan atau sebagainya sehingga menyebabkan pihak pembeli atau agen tersilap dan terkhilaf dalam membuat transaksi dikenali sebagai khata’. Contohnya pembeli membeli sebentuk cincin dengan anggapannya ia diperbuat daripada emas. Oleh kerana penjela tidak menerangkan kepadanya bahawa cincin tersebut bukanlah emas, maka berlaku khata’ keatas pembeli. Sekalipun khata’ ini sekilas pandang adalah kesilapan dari pihak pembeli, ia boleh dihindari jika penjual mengambil langkah pro aktif dengan menjelaskan bahan sebenarnya. Justeru Islam memberikan hak kepada pembeli yang tersilap untuk memfasakhkan akad beliannya yang dilakukan secara salah tadi, kerana kesilapan tersebut juga turut disumbangkan oleh penjual. Apa yang pasti perbuatan penjual yang tidak menjelaskan sifat barang yang dijual telah menyusahkan pembeli di kemudian hari kerana penjelasan yang tidak diberi sebelum pembelian atau pendaftaran berlaku. Sekalipun pembeli boleh meneliti dan mengetahui barang tersebut secara langsung, tetapi kemungkinan mereka tersalah. Justeru penjual kadangkala perlu juga menerangkan kepada pembeli barang jualannya, sekalipun pembeli telah maklum mengenainya.
IX.
Memburuk-burukkan produk lain, bagi menunjukkan produknya sahaja yang hebat. Islam membenarkan persiangan yang sihat bukannya persaingan bebas yang dibawa oleh sistem Kapitalis. Justeru membuat perbandingan secara umum adalah lebih baik berbanding menyebut nama pesaing yang 19
dibandingkan. Perbandingan hendaklah dibuat secara adil dan jujur iaitu mengikut adab dan akhlak yang dianjurkan oleh Syarak.
7.0 KEPERLUAN TERHADAP KOPERASI PATUH SYARIAH DIMALAYSIA DALAM KONTEKS MASAKINI
Diantara beberapa faktor yang utama kenapa masyarakat hari ini amat memerlukan kepada sebuah koperasi yang menjalankan aktiviti yang selaras dengan hukum syarak, adalah: 1- Kewajiban untuk menerapkan hukum syarak kedalam aktiviti koperasi. Amar makruf dan nahi mungkar adalah dua kewajiban utama kepada umat Islam untuk ditegakkan dalam kehidupannya. Apatah lagi perkembangan yang berlaku dalam Sistem Kewangan Islam di Malaysia mutakhir ini, mengukuhkan lagi justifikasi umat Islam untuk perlu terus menyokong perkembangannya dan berusaha membebaskan diri mereka daripada aktiviti-aktiviti yang diharamkan oleh syarak seperti riba, gharar, maysir dan sebagainya. Allah SWT telah memberi banyak peringatan dan ancaman dalam al-Quran kepada mereka yang terlibat dengan amalan riba dan lain-lain amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam konteks yang lain, terdapat hadith daripada Baginda SAW yang bermaksud: mencari yang halal adalah fardu/wajib. 2- Mengambil peluang kedudukan Malaysia yang telah terkenal sebagai model Negara Islam dan hub kewangan Islam serantau. Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh Negara Malaysia dalam sektor perbankan, takaful dan pasaran wang Islam. Bahkan industri kewangan Islam Islam juga turut berkembang dinegara-negara lain yang bukan Islam sekalipun. Ini menunjukkan hukum syariat amat releven dan ampuh dalam memenuhi keperluan semua manusia tanpa mengira agama, masa dan tempat. Justeru dengan perkembangan dan pengiktiran Malaysia sebagai hub kewangan Islam serantau ini, amatlah wajar diperluaskan pengiktirafan ini kepada institusi lain bukan bank seperti koperasi untuk sama-sama menonjolkan diri dalam sektor ini. 3- Mempermudahkan anggota koperasi untuk memperoleh modal usaha secara yang lebih inovatif dan pelbagai. Jika sebelum ini cara memperoleh modal hanyalah dengan hutang yang melibatkan riba sahaja, namun dengan memperkenalkan 20
pembiyaan secara Islam banyak kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk membiayai para ahli, sama ada secara pembiayaan ekuiti mahupun secara pembiayaan hutang. Kedua-dua bentuk kaedah pembiayaan tersebut menggunakan konsep-konsep kontrak tertentu yang dibenarkan dalam syariat. Sudah pasti ia menekankan aspek-aspek yang murni yang dibawa dalam ajaran Islam seperti aspek kerelaan, kejelasan, saling bantu-membantu dan lain-lain. Aspek-aspek positif sebegini akhirnya boleh memberi kebaikan kepada kedua belah pihak. 4- Menghindarkan anggota koperasi dari putaran ganas sistem konvensional ribawi. Riba bukan sahaja merosakkan harta dan ekonomi sesebuah Negara, bahkan ia juga boleh merosakkan cara pemikiran dan juga usaha masyarakat. Riba dianggap perosak dalam diam, dimana para pengamalnya akan terus leka dengan keuntungan mudah secara riba. Sehingga akhirnya ia telah menjadi wabak dan mengganggu sistem ekonomi dunia dengan pelbagai masalah seperti inflasi, peningkatan kos, penganguran dan sebagainya.
5- IMPLIKASI HUKUM TIDAK PATUH SYARIAH
Hukum mencari yang halal dan patuh syariah adalah wajib dan dianggap jihad. Kerana teribat dengan aktiviti yang tidak patuh syariah seperti riba adalah haram. Apatah lagi telah terdapat pelbagai kemudahan yang patuh syariah dan diitawarkan kepada pengguna pada masakini. Justeru melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak patuh syariah bukanlah lagi pilihan antara keburukan yang paling ringan sepertimana suatu masa dahulu iaitu diperingkat awal perkembangan koperasi. Sebaliknya para peserta yang terlibat dengan organisasi yang menjalankan aktiviti tidak patuh syariah perlu berusaha dan berazam untuk membebaskan diri dari aktiviti yang tidak patuh syariah.
Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009 menjelaskan: “...harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
21
1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”
Menurut al-Qaradawi, sesuatu harta yang tidak patuh syariah tidak boleh dimiliki, sebaliknya ia menjadi milik umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan. Bagi orang-orang Islam yang telah terlibat dengan aktiviti pelaburan tidak patuh syariah dan memperoleh keuntungan daripadanya, mereka perlu melepaskan pelaburan tersebut serta menyalurkan keuntungan yang terhasil sepanjang tempoh pelaburan yang tidak patuh syariah kepada badan-badan kebajikan. Walau bagaimanapun, para pelabur dibenarkan untuk terus memegang pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah sekiranya harga pasaran sekuriti tersebut adalah bawah kos pembelian asal. Dalam tempoh pegangan itu, pelabur juga dibenarkan untuk menerima dividen sehingga jumlah keseluruhan dividen yang diterima dan nilai pasaran sekuriti tidak patuh Syariah tersebut menyamai kos pembelian asalnya. Pada ketika itu, mereka perlu segera melepaskan pemegangan mereka terhadap elaburan yang tidak patuh syariah tersebut.
8.0 PENUTUP
Secara umumnya koperasi adalah sebuah pertubuhan yang selaras dengan Islam dari segi konsep dan penubuhannya. Amalan berkoperasi telah lama wujud dalam masyarakat Arab sebelum Islam, dan disuburkan setelah kedatangan syariat Islam oleh nabi Muhammad SAW. Justeru secara teorinya tiada masalah untuk sesebuah koperasi memperoleh status patuh syariah dengan syarat aktiviti-aktiviti yang dijalankan 22
olehnya bertepatan dengan hukum syarak, disamping melaksanakan kewajibankewajipan yang diperintah oleh syarak seperti berzakat dan sebagainya. Kewujudan koperasi patuh syariah dapat menyokong perkembangan sektor kewangan dan perbankan Islam masakini. Walaupun saiz dan modal koperasi lebih kecil berbanding IKI, namun ia mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada perkembangan kewangan Islam kerana bilangannya yang banyak. Namun apa yang penting koperasi yang berteraskan Islam haruslah berani mengemukakan produk-produk semasa yang inovatif dan selari dengan hukum syarak. Dalam hal ini, dua perkara perlu dilakukan oleh koperasi:
Pertama: meneliti semula semua produk yang sedia ada agar ia sesuai dengan kehendak syarak. Misalnya pinjaman peribadi dan pinjaman pengguna di koperasi, yang dilakukan dengan berasaskan faedah (riba). Pinjaman tersebut perlu diganti dengan mekanisme kontrak yang sesuai dengan syarak seperti kontrak murabahah bagi pinjaman pengguna dan kontrak al-inah bagi pinjaman peribadi.
Kedua: berinovasi dalam mengemukakan produk-produk baharu yang diperlukan oleh anggota koperasi. Koperasi patuh syariah pada masa kini perlu lebih berani menawarkan produk-produm pembiayaan yang diperlukan oleh ahlinya seperti produk al-rahn, al-sarf, musyarakah, mudarabah dan lain-lain walau bagaimanapun produk-produk ini mestilah dipastikan selari dan patuh dengan hukum Syarak.
Amat penting bagi sesebuah koperasi untuk memperoleh status patuh syariah bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan duniawi, tetapi lebih penting dari itu adalah untuk mendapat keredaan Allah dalam setiap usaha dan aktiviti yang dijalankan. Seperti mafhum hadith SAW “mencari yang halal adalah fardu”.
23