BAB 1 PENGENALAN
1.0
PENDAHULUAN
Bab ini membincangkan tentang latar belakang kajian yang menjadi dasar kajian ini. Seterusnya, bab ini juga membincangkan tentang pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian, batasan kajian dan definisi operasional konsepkonsep tertentu kajian ini.
1.1
LATAR BELAKANG KAJIAN
Latar belakang kajian ini merangkumi aspek-aspek seperti yang dibincangkan berikutnya.
1.1.1 AKHBAR DAN PERANANNYA Sejarah kewartawanan dan perkembangan media massa berkait rapat dengan usaha manusia mencari kebebasan diri, iaitu sejak mereka berpeluang untuk bercakap dan menulis. Lima abad yang lalu, selepas wujudnya teknologi percetakan, manusia mula dapat menyalurkan idea dan pandangan mereka kepada orang ramai. Salah satu komponen media massa yang berpengaruh dalam membantu masyarakat melahir dan menyalurkan idea ialah akhbar. Seperti di kebanyakan negara lain, akhbar adalah media cetak yang utama di Malaysia (Jamudin Idris, 1996). Akhbar dan para wartawan, terutamanya dalam negara membangun, mempunyai peranan yang tertentu dan mereka juga seperti golongan profesional yang lain, memikul beban tanggungjawab yang berat (Jamudin Idris, 1996). Apatah lagi apabila media massa ini berfungsi dalam masyarakat yang bukan sahaja sedang pesat membangun tetapi juga masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini. Dalam keadaan yang 1
sedemikian, wartawan dan akhbar khususnya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Kedua-dua wartawan dan akhbar juga bertanggungjawab memastikan agar kegiatan mereka tidak bercanggah dan tidak menghalang arus pembangunan negara. Dalam konteks ini akhbar sentiasa menentukan bahawa sebarang penulisan, sama ada berita, rencana atau laporan yang disiarkan hendaklah bersifat objektif, tidak berat sebelah dan membina untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemusykilan dalam kalangan rakyat. Dalam hubungan ini juga, penulisan-penulisan yang dapat memberi sumbangan ke arah meningkatkan lagi tahap pencapaian dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan lain-lain perlu diberi tumpuan dan keutamaan (Jamudin Idris, 1996). Akhbar sebagai sumber maklumat harian termurah dan terpenting dalam kehidupan masyarakat, seharusnya berupaya mempengaruhi sasarannya supaya bertindak selaras dengan hasrat yang mahu dicapai. Jelaslah di sini pihak akhbar perlu mempunyai segala kekuatan dalam membentuk ketajaman minda golongan sasaran dalam usaha menyampaikan maklumat yang tepat. Fungsi akhbar adalah sebagai alat penyampai maklumat kepada masyarakat. Dalam konteks ini maklumat yang disampaikan berkaitan dengan dasar kerajaan dan ilmu pengetahuan bagi membolehkan masyarakat membuat keputusan dan bertindak seperti yang diingini. Semenjak kemerdekaan lagi, dasar-dasar pembangunan negara telah mendapat perhatian daripada akhbar-akhbar (Jamudin Idris,1996). Wringht, C.R. (1975:17-23) menganggap akhbar ini bukan lagi sekadar pernyataan biasa tetapi fungsi akhbar sebagai pemerhati cukup teguh. Situasi ini menimbulkan kesedaran bahawa kebenaran dan ketepatan berita merupakan matlamat utama bidang kewartawanan yang menjalankan fungsi sebagai tanggungjawab sosial.
2
Berger (1991) mengungkapkan bahawa berita adalah sesuatu yang terkini (baru) yang dipilih oleh wartawan untuk dimuatkan dalam akhbar sehingga dapat menarik atau mempunyai makna dan dapat menarik minat bagi pembaca. Dari pendapat di atas, dapat memperkuat pernyataan pengkaji bahawa berita pada media massa khususnya akhbar mempunyai kemampuan memberikan informasi tentang sesuatu hal yang menarik dan bermanfaat bagi pembacanya. Akhbar ditentukan untuk menyajikan hal-hal baru yang pada kebiasaannya memikat para pembacanya. Akhbar diwujudkan antara lain bertujuan untuk (Jamudin Idris, 1996): 1.
Memberitahu pembaca secara objektif apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka, sama ada dalam atau luar negara.
2.
Memberikan komen mengenai sesuatu berita agar ia dapat dijadikan satu isu supaya menjadi tumpuan keseluruhan masyarakat tempatan dan luar negara.
3.
Untuk memberikan ruang kepada mereka mengiklankan sesuatu barangan atau perkhidmatan kepada orang ramai.
4.
Untuk memberikan hiburan kepada pembaca dengan mewujudkan ruangan seperti ruangan kartun, liputan berita bercorak hiburan dan rencana tertentu.
5.
Untuk bertindak sebagai badan yang boleh memberikan bantuan sekiranya seseorang itu inginkan pandangan dan sokongan mengenai sesuatu isu.
6.
Bertindak sebagai saluran untuk mengubah pemikiran pembaca supaya tidak mempunyai pandangan yang negatif atau buruk sangka kepada pihak tertentu terutamanya kerajaan. Walaupun akhbar-akhbar ini bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar
kebebasan dan bermatlamat untuk menyampaikan maklumat, ilmu pengetahuan dan berita kepada pembaca, tetapi ia masih tertakluk kepada dasar-dasar utama yang
3
ditetapkan oleh pihak Lembaga Pengarah dan peranan yang mainkan oleh jabatan atau bahagian pengarang sesebuah akhbar (Mustaffa Suhaimi, 1986).
1.1.2 SEJARAH PERKEMBANGAN AKHBAR TAMIL 1.1.2.1 Sejarah Perkembangan Akhbar Tamil Nesan Akhbar Tamil Nesan telah ditubuhkan pada 10 September 1924 oleh Narasimha Iyanggar. Pada peringkat awal akhbar Tamil Nesan diterbitkan sebagai akhbar mingguan iaitu setiap hari Rabu. Kemudian akhbar tersebut diterbitkan
dua kali
seminggu dan kemudian tiga kali seminggu. Mulai 29 Februari 1937 akhbar Tamil Nesan menjadi akhbar harian Tamil sehingga kini. Pada zaman kependudukan Jepun penerbitan akhbar Tamil Nesan diteruskan dengan empat helai muka surat sahaja. Selepas kependudukan Jepun,
akhbar Tamil Nesan telah dijual kepada seorang
pengusaha Cina. Kemudian akhbar tersebut telah dibeli oleh Mayandy Chettiar dan Palaniappa Chettiar. Sejak itu, Tamil Nesan telah memperkukuh kedudukan kewangan kerana pengurusan dan pengawasan dikuasai oleh kaum-kaum Chetti, yang merupakan peniaga dan usahawan. Pada tahun 1982, majoriti saham dalam Syarikat Tamil Nesan dibeli oleh Datin Indrani Samy Vellu, iaitu isteri kepada Dato’ Seri S. Samy Vellu, mantan Presiden parti Kongres India Malaysia (MIC) yang juga merupakan seorang mantan Menteri Kabinet. Dengan itu, Datin Indrani Samy Vellu telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Urusan akhbar itu. Akhbar Tamil Nesan mempunyai sokongan kewangan dalam bentuk iklan dan pembacaan daripada penyokong Dato’ Seri S. Samy Vellu. Jadi, akhbar Tamil Nesan boleh dikatakan sebagai akhbar yang menyokong Dato’ Seri S. Samy Vellu khususnya 4
dan kerajaan amnya. Akhbar ini dicetak di Kuala Lumpur dan diedarkan ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.
1.1.2.2 Sejarah Perkembangan Akhbar Malaysia Nanban Sejarah perkembangan akhbar Malaysia Nanban berkait rapat dengan sejarah akhbar Tamil Osai. Semasa penerbitan pertamanya pada 1 Mei 1981, akhbar Tamil Osai dimiliki oleh K. Sivalingam, seorang pemaju perumahan dan peniaga yang dikenali sebagai penyokong Datuk S. Subramaniam, mantan Timbalan Presiden MIC serta mantan Timbalan Menteri. Pada ketika itu, K. Sivalingam merupakan pemilik tunggal serta pengarah urusan akhbar tersebut. Tambahan pula, permit penerbitan Kementerian Dalam Negeri
(KDN) telah keluarkan
atas nama beliau (Sankaran Ramanathan,
1997:9). Pada tahun 1984, Syarikat asalnya telah diperbesar lagi melalui pembelian saham kepunyaan K. Sivalingam oleh beberapa orang lain, termasuk R. Balakrishnan, bekas pengarah Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD) yang juga merupakan penyokong
Datuk S. Subramaniam. Dengan pembelian saham ini,
Balakrishnan telah dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pengarah syarikat Tamil Osai. Di antara tahun 1984 hingga tahun 1988, nilai saham-saham kepunyaan K. Sivalingam telah dikurangkan (melalui penambahan modal asas syarikat ini) sehingga K. Sivalingam mempunyai hanya 5% saham dalam syarikat itu. Pada tahun 1988, pemegang-pemegang saham lain telah cuba menamatkan perlantikan K. Sivalingam sebagai pengurus syarikat Tamil Osai. Ini dilakukan kerana K. Sivalingam telah bergiat aktif dalam politik dengan memihakkan kepada Dato’ Seri S. Samy Vellu. Oleh itu, pemegang-pemegang saham lain yang lebih memihak secara politik kepada Dato’ S. Subramaniam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada ketika itu
5
khuatir bahawa beliau boleh menggunakan kuasanya sebagai pengurus akhbar untuk mempengaruhi kandungan editorial akhbar tersebut. Sebagai langkah membalas dendam, K. Sivalingam mengemukakan aduan kepada Mahkamah Tinggi supaya penerbitan akhbar Tamil Osai diberhentikan dan syarikat berkenaan ditutup operasinya. Akibatnya penerbitan akhbar Tamil Osai telah diberhentikan operasi pada hari yang sama. Kemudian ia telah ditukar nama kepada Malaysia Nanban. Malaysia Nanban telah mula beroperasi mulai April 1990 tetapi tertangguh beberapa kali di bawah pentadbiran Encik. Aathi Kumanan, bekas ketua pengarang akhbar Tamil Osai (P. Malayandi - ketua editor Malaysia Nanban, wawancara).
1.1.2.3 Sejarah Perkembangan Akhbar Makkal Osai Akhbar Makkal Osai telah ditubuhkan dan memulakan perkhidmatannya pada Disember tahun 2005. Ia merupakan akhbar harian. Pada tahun 2006, akhbar ini menjadi akhbar yang paling popular dalam kalangan pembaca India di Malaysia (M. Rajan- ketua editor Makkal Osai- wawancara). Jumlah peredaran akhbar Makkal Osai adalah 55,000 naskah pada hari biasa dan mencecah 92, 000 naskah pada hari minggu. Jumlah pekerja akhbar Makkal Osai adalah 100 orang. Pada masa kini akhbar Makkal Osai merupakan akhbar yang kedua terpopular dalam kalangan pembaca Tamil di Malaysia. Akhbar ini disokong oleh bekas Timbalan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), iaitu Dato’ S. Subramaniam. Akhbar ini menentang dan mengkritik secara terbuka mantan presiden Parti MIC Dato’ Seri S. Samy Vellu dalam isu pelaburan
6
MAIKA Holdings dan polisi serta sikap beliau. Oleh itu, permit penerbitan akhbar tersebut tidak diperbaharui oleh kerajaan mulai tahun 2008. Akhbar Makkal Osai telah membuat rayuan, dan kerajaan telah bersetuju untuk membaharui permit penerbitannya mulai 24, April 2008. Pada tempoh akhbar Makkal Osai diberhentikan operasinya ia mengalami kerugian sebanyak Ringgit Malaysia 400,000 tetapi pekerjanya begitu setia dan tidak berhenti kerja. Kini Dato’ S. Subramaniam (bekas Timbalan Menteri) menjadi penasihat kepada akhbar ini dan ketua pengarangnya ialah Encik M. Rajan.
1.2
BAHASA
Bahasa merupakan sesuatu yang hanya dimiliki oleh manusia dan inilah yang membezakan manusia daripada makhluk-makhluk yang lain. Dengan bahasalah manusia dapat berhubung dan melahirkan pandangan, perasaan serta pendapat (Kamarudin Hj. Husin, 1998:3). Menurutnya lagi, bahasa
dikategorikan menurut
fungsinya, sebagai alat untuk berkomunikasi dan menurut bentuknya, bahasa adalah terdiri daripada kalimat-kalimat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung (Kamarudin Hj. Husin 1998:4). Menurut Kamus Dewan (2007:87) bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia di antara seorang individu dengan individu yang lain. Kamus Oxford (2005) pula mentakrifkan bahasa sebagai satu kaedah komunikasi manusia sama ada lisan atau tulisan meliputi penggunaan perkataan dengan cara berstruktur atau konvensional. Harimurti Kridalaksana (1993) telah mendefinisikan bahasa sebagai satu sistem lambang yang arbitrari yang telah digunakan oleh setiap masyarakat untuk bekerjasama, 7
berinteraksi dan mengidentifikasi diri. Pendeknya, bahasa boleh dikategorikan sebagai satu set peraturan untuk menjana komunikasi manusia. Menurut Asmah Hj Omar (1992:1), bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit atau pun sesuatu yang abstrak, supaya dengan demikian, pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu. Manakala Labov (1976) dalam S. Nathesan (1997) berpendapat bahawa bahasa merupakan satu perlakuan sosial di mana bahasa digunakan oleh manusia dalam hubungan sosial iaitu untuk menyampaikan kehendak, pandangan dan perasaan mereka antara satu sama lain. Sebagai kesimpulannya, kita dapat menjelaskan bahawa bahasa itu sebagai suatu alat perhubungan yang digunakan oleh kelompok-kelompok manusia bagi tujuan komunikasi antara mereka untuk menyampaikan maklumat yang tertentu bagi memenuhi kehendak masing-masing.
1.3
WACANA
Wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dan terbesar atau tertinggi di atas ayat atau klausa dengan koherensi dan kohesi yang berkesinambungan, yang mempunyai awalan dan akhiran yang nyata disampaikan secara lisan atau tertulis (Tarigan 1995:27). Harimurti Kridalaksana (1978) juga berpendapat bahawa satuan bahasa yang lengkap bukanlah kata atau kalimat sebagai mana yang dianggap oleh beberapa kalangan dewasa ini, melainkan wacana. Halliday (1978:2) menegaskan bahawa sesungguhnya bahasa bukan terdiri daripada ayat-ayat, tetapi terdiri daripada teks atau wacana, iaitu tukar-menukar maksud dalam konteks interpersonal antara seseorang dengan seseorang yang lain. Analisis 8
wacana merupakan telaah tentang aneka fungsi (pragmatik) bahasa. Kita menggunakan bahasa dalam kesinambungan atau untaian wacana. Tanpa konteks, tanpa hubunganhubungan wacana yang bersifat antara ayat dan supra-ayat, maka amatlah sukar bagi kita berhubung dengan tepat antara satu sama lain (Brown dan Yule 1983:189-190). Analisis wacana merupakan sebahagian daripada metod interpretatif yang menonjolkan interpretasi dan penafsiran. Tarigan (1995:24) pula mendefinisikan analisis wacana sebagai kajian mengenai struktur mesej dalam komunikasi. Analisis wacana bertujuan untuk mengetahui bagaimana sesuatu teks yang telah dipilih dalam kajian
disampaikan dengan melihat bentuk struktur bahasa dan makna yang
tersembunyi untuk mendapatkan mesej bagi teks tersebut.
1.4
WACANA RENCANA PENGARANG Berita akhbar merupakan genre bahasa yang utama dalam media. Ia juga
merupakan satu jenis wacana tulisan yang menjadi bahan bacaan setiap lapisan masyarakat pada setiap hari. Dalam proses menyampaikan fakta, pendapat dan hujah tidak ada teknik yang mampu menandingi keunggulan akhbar kerana ia dianggap mempunyai mekanisme yang paling berkuasa dalam kehidupan masyarakat (Asma Yusoff, 2003). Kesedaran atas kuasa akhbar untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat memang sedia ada sejak berkembangnya industri persuratkhabaran. Pihak pembaca sentiasa memberi kepercayaan kepada akhbar yang berupa pengakuan bahawa apa yang tersiar adalah benar, berguna dan mencerminkan sikap tanggungjawab akhbar yang berkenaan (Bukhory Haji Ismail, 1997).
9
Peranan spontan akhbar yang utama adalah untuk membina masyarakat secara wajar. Melalui pendedahan maklumat yang serupa dan pentafsiran yang sama tentang kejadian yang berlaku, manusia belajar untuk berfikir secara sama. Mereka tidak seharusnya menemui kesudahan yang sama, walaupun ini mungkin berlaku, tetapi mereka memberi fokus yang sama terhadap sesuatu isu. Ini telah disifatkan sebagai menetapkan agenda akhbar (McCombas dan Shaw 1972) atau lebih sesuai dengan konteks sekarang, peranan “membina agenda” bagi media massa (Lang dan Lang 1982). Lang dan Lang mengkonsepsualkan akhbar seperti berinteraksi dengan masyarakat terhadap sesuatu isu, dalam proses membentuk pendapat yang sesuai tentang isu tersebut. Selain itu, dasar juga boleh ditentukan oleh sikap akhbar terhadap sesuatu perkara yang menjadi isu masyarakat. Di samping menyiarkan berita mengenai isu itu, akhbar juga menyatakan sikap dan pandangannya secara terus terang di ruangan rencana pengarang atau lidah pengarang. Melalui ruangan ini, suara “kita” itu ialah suara pengarang, suara lembaga pengarang dan lembaga pengurusan akhbar berkenaan. Jadi apabila sesebuah akhbar menyatakan pendirian dalam sesuatu isu, ia adalah pendirian seluruh akhbar itu. Walaupun kerap kali, akhbar berkenaan ada juga menyiarkan berita yang bertentangan dengan pendirian akhbar berhubung sesuatu isu tetapi ini dilakukan dengan tujuan untuk memberi ruang dan mendengar suara orang yang tidak sependapat (Jamudin Idris, 1996). Malcolm M. Willey, seorang tokoh yang berwibawa dalam bidang kewartawanan menggariskan fungsi akhbar seperti berikut: (Bolivar, A, 1986) •
Fungsi berita
•
Fungsi editorial
•
Fungsi latar belakang 10
•
Fungsi hiburan
•
Fungsi iklan
•
Fungsi ensiklopedik
Menurut beliau, fungsi berita adalah yang paling penting berbanding fungsi lain dalam akhbar. Namun, fungsi editorial (rencana pengarang) juga tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan maklumat atau pendapat. Ini kerana aspek yang selalunya dibincangkan dalam ruangan ini adalah aspek yang berhubung dengan isu semasa. Pandangan dan kritikan pemilik akhbar ini akan dimasukkan di dalam ruangan ini. ‘Editorial’ atau dikenali juga sebagai lidah pengarang atau rencana pengarang merupakan suara rasmi atau pendirian organisasi akhbar berkenaan. Ruangan editorial adalah pandangan ketua pengarang, pengarang atau wartawan kanan sesebuah akhbar. Wacana rencana pengarang merupakan suara akhbar yang ditulis berdasarkan berita dan menggambarkan buah fikiran, ulasan atau teguran. Teks rencana pengarang seharusnya menarik minat pembaca dengan tujuan memberi maklumat dan penerangan kepada mereka. Wacana rencana pengarang yang dihasilkan harus mempunyai unsur linguistik, iaitu pertautan atau perkaitan semantik yang meliputi aspek kohesi dan koheren. Rencana pengarang yang kohesif ialah rencana yang mempunyai perkaitan semantik melalui penggunaan sarana kohesi yang betul, sesuai dan tepat.
1.5
FUNGSI RENCANA PENGARANG AKHBAR TAMIL DALAM MASYARAKAT Rencana pengarang yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar Tamil di Malaysia
memainkan peranan yang penting dalam membentuk minda masyarakat. Rencana pengarang yang ditulis adalah berdasarkan kepada berita yang disiarkan dalam akhbar11
akhbar tersebut. Topik-topik yang dipilih pula adalah bergantung kepada isu yang terkini dan mempunyai nilai sosial dalam masyarakat. Ia adalah bertujuan untuk menjadikan idea-idea yang disalurkan melalui ruangan ini sebagai alternatif kepada permasalahan yang ada. Rencana pengarang yang ditulis dalam akhbar-akhbar Tamil ini berfungsi untuk membentuk minda masyarakat di samping menyampaikan maklumat yang benar dan tepat tentang sesuatu isu yang hangat diperkatakan. Dalam pada itu, penulis-penulis rencana pengarang bersikap suka menyelidik dan mencari fakta yang tepat sebelum menulisnya. Ketepatan dan kebenaran fakta menjadikan rencana pengarang yang baik dan kukuh dari segi fakta yang dikhaskan. Pilihan raya di Ulu Selangor pada 25hb April 2010 menjadi salah satu contoh yang tepat di mana pengundi-pengundi tidak mempunyai satu pendirian yang kukuh dalam memilih wakil rakyat bagi kawasan tersebut. Lebih-lebih lagi ia merupakan kawasan yang terletak di bawah pemerintahan parti pembangkang. Dalam pada itu, rencana pengarang dalam akhbar-akhbar Tamil ini berfungsi untuk menjelaskan keadaan politik sebenar dan memberi gambaran jelas kepada para pembaca untuk mengambil keputusan. Selain itu, rencana pengarang juga berfungsi untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pembaca tentang sesuatu masalah yang dihadapi. Contohnya, kekurangan gula di pasaran adalah disebabkan oleh sikap segelintir peniaga yang menyoroknya untuk mengaut keuntungan yang lebih. Menyedari hakikat ini, rencana pengarang menyeru para pengguna untuk membeli gula mengikut keperluan dan tidak menyimpan gula yang berlebihan agar para peniaga tidak menyembunyikan gula. Rencana pengarang dalam akhbar-akhbar Tamil ini juga menjelaskan tentang hak-hak masyarakat dalam negara dari segi pendidikan dan ekonomi yang selaras 12
dengan konsep ‘Satu Malaysia’ seperti yang diusulkan oleh Perdana Menteri. Justeru itu, rencana pengarang menjadi landasan kepada para pembaca dalam mengambil keputusan yang tepat berkaitan dengan isu-isu tertentu. Secara kesimpulannya, rencana pengarang dalam akhbar-akhbar Tamil ini mempunyai beberapa dasar tertentu. Antaranya ialah tidak berat sebelah dalam menyampaikan maklumat, tidak mengkritik secara melulu, tidak mengulas tanpa membentang fakta-fakta di sebalik topik yang dipersoalkan dan tidak memaksa pembaca menerima bulat-bulat hujah yang diketengahkan oleh penulis. Penulis-penulis rencana pengarang dalam akhbar Tamil juga mencuba sedaya upaya untuk memuatkan berita-berita yang dapat mencuit hati pembaca dan tidak menimbulkan keraguan pada pembaca semasa menilainya.
1.6
PERNYATAAN MASALAH
Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, akhbar menjadi saluran kepada pelbagai pihak untuk menyampaikan hasratnya dan rakyat umumnya memerlukan akhbar yang adil dan tidak memihak kepada golongan tertentu. Tujuan akhbar bukan terhad kepada golongan majoriti yang berkuasa sahaja, sebaliknya akhbar mempunyai tanggungjawab kepada semua lapisan masayarakat. Kewujudan akhbar utama (mainstream) adalah penting bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat dan mengetahui situasi semasa yang berlaku di dalam negara dan di luar negara. Penyampaian sesuatu berita yang baik bukan sahaja bergantung kepada fakta yang disajikan tetapi juga kepada aspek lain seperti sama ada berita itu disusun dengan teratur dan padu hingga memperlihatkan pautan dan keteraturan fikiran di dalamnya. Teks yang kohesif amat diperlukan bagi menjelaskan maklumat yang hendak disampaikan kepada pembaca. Perkara ini amat diperlukan dalam teks rencana 13
pengarang sesuatu akhbar yang ingin menyampaikan pendapatnya kepada masyarakat pembaca. Adakalanya didapati teks-teks rencana pengarang yang tersiar dalam akhbarakhbar Tamil kurang mempunyai ciri-ciri kewacanaan yang utuh untuk menyampaikan sesuatu maklumat atau pendapat. Oleh itu, kajian ini akan melihat penggunaan kohesi dalam wacana rencana pengarang, akhbar Tamil Malaysia Nanban, Tamil Nesan dan Makkal Osai. Ia adalah berdasarkan sarana kohesi yang dikategorikan oleh Halliday dan Hasan (1976), yang telah disesuaikan dan diterapkan dalam Bahasa Tamil.
1.7
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah seperti berikut: i)
Untuk menghuraikan jenis-jenis kohesi nahuan dan leksikal yang digunakan dalam rencana pengarang.
ii)
Untuk melihat bagaimana penggunaan kohesi nahuan dan leksikal dapat memantapkan penghasilan sesuatu wacana.
iii)
Untuk mengenal pasti ciri-ciri kewacanaan rencana pengarang yang utuh dari segi penggunaan kohesi nahuan dan leksikal.
1.8
PERSOALAN KAJIAN
i)
Apakah jenis-jenis kohesi nahuan dan leksikal yang digunakan dalam teks rencana pengarang?
ii)
Apakah perbezaan yang terdapat dalam kekerapan penggunaan kohesi nahuan dan leksikal antara teks wacana rencana pengarang yang baik, sederhana dan lemah keutuhan?
iii)
Bagaimanakah teks rencana pengarang yang baik berbeza daripada teks rencana pengarang yang sederhana dan lemah keutuhan dari segi penggunaan kohesi nahuan dan leksikal?
iv)
Adakah terdapat korelasi antara tahap keutuhan wacana dan kekerapan penggunaan sarana kohesi? 14
1.9
KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini memberi sumbangan kepada bidang kajian yang berkaitan dengan analisis wacana. Ini kerana perkembangan analisis wacana dalam bidang bahasa Tamil adalah agak baru jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain di negara ini. Oleh itu, sehingga kini tiada kajian yang menganalisis penggunaan kohesi dalam wacana rencana pengarang dalam akhbar bahasa Tamil. Kajian ini amat penting bagi para wartawan, khususnya dalam usaha untuk meningkatkan aspek kebahasaan dalam rencana yang dihasilkan yang bukan hanya terhad kepada domain ayat sahaja tetapi lebih besar daripada ayat, iaitu melihat domain sebuah teks yang kohesif. Kajian ini diharapkan akan memberi faedah kepada pihak media dalam penghasilan berita khususnya rencana pengarang yang utuh dari segi penggunaan kohesi nahuan dan leksikal. Analisis kohesi yang menunjukkan perkaitan semantik serta kesinambungan dan kesepaduan teks dalam penampilan idea dan fakta bagi rencana pengarang, juga dapat memberikan mesej yang tepat kepada para pembaca. Secara tidak langsung, kajian ini juga akan memberi petunjuk kepada para pendidik khususnya guru-guru dalam usaha mengajar kemahiran menulis yang lebih baik, mantap dan berkesan. Bentuk pengajaran ini boleh meliputi cara-cara memilih, menyusun atau membina perkataan supaya menjadi ayat-ayat yang mempunyai tautan makna antara satu sama lain dan tidak lagi terhad kepada domain ayat semata-mata. Ini akan dapat membantu para pelajar untuk melihat dengan lebih jelas lagi bagaimana sesebuah teks itu mempunyai keutuhan dan kesatuan wacana yang utuh di samping menghasilkan karangan jenis rencana yang lebih kohesif yang dapat menunjukkan perkaitan sintaksis dan semantik secara jelas dan terancang. Secara tidak langsung,
15
kajian ini akan memberi sumbangan kepada pengembangan kerangka konsep kohesi Halliday dan Hasan (1976) dengan mengaplikasikannya dalam teks berbahasa Tamil.
1.10
BATASAN KAJIAN
Kajian ini hanya memfokuskan pada analisis penggunaan sarana kohesi nahuan dan leksikal dalam rencana pengarang dalam akhbar bahasa Tamil Malaysia Nanban, Tamil Nesan dan Makkal Osai. Rencana pengarang yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar ini dari bulan Januari hingga Februari 2010 akan digunakan sebagai data bagi kajian ini. Pemilihan ketiga-tiga akhbar dibuat supaya penyelidikan ini dapat membuat perbandingan secara menyeluruh tentang rencana pengarang yang dikeluarkan dari bulan Januari hingga Februari 2010. Walaupun tempoh yang dipilih adalah dua bulan tetapi kuantiti rencana pengarang yang dapat dikumpulkan daripada setiap akhbar adalah tidak sama. Ini kerana penulisan rencana pengarang bergantung kepada editor atau pengarang sesuatu akhbar itu. Dengan memilih tiga jenis akhbar bahasa Tamil, kajian ini menjadi lebih menyeluruh di mana data dan dapatannya dapat dibandingkan. Ini juga boleh dianggap sebagai satu kekuatan penyelidikan ini sendiri kerana data dari tiga jenis akhbar ini akan memperlihatkan stail penulisan dan ciri-ciri kewacanaan yang digunakan oleh pengarang setiap akhbar. Pengkaji membataskan kajian ini dengan hanya menghuraikan secara deskriptif jenis-jenis sarana kohesi yang mewujudkan perkaitan sintaktik dan semantik dalam menghuraikan fakta dalam rencana pengarang. Selain itu, pengkaji juga menjelaskan tentang ciri-ciri kewacanaan rencana pengarang yang utuh dari segi penggunaan kohesi nahuan dan leksikal.
16
1.11
DEFINISI OPERASIONAL
1.11.1 Analisis wacana Analisis wacana merujuk kepada usaha mengkaji organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat atau peringkat klausa (Stubbs, M 1983:1). Hal ini bermakna analisis wacana mengkaji unit-unit linguistik dan menumpukan perhatian kepada hubungan antara unsur-unsur dalam sesuatu teks tertentu. Oleh itu, analisis wacana ialah satu usaha mengkaji organisasi bahasa dan aneka fungsinya secara menyeluruh pada semua peringkat unit linguistik dalam konteks sosial yang berkaitan dengan pelbagai disiplin ilmu yang mempunyai kesinambungan. 1.11.2 Akhbar Media merupakan saluran untuk menyampaikan mesej dan maklumat. Media massa ialah sebaran am yang mempunyai atau menyiarkan maklumat melalui media cetak dan elektronik kepada orang ramai. Kamus Dewan (1993:19) mendefinisikan akhbar atau surat khabar sebagai warta. Sementara persuratkhabaran dapat difahami sebagai agensi yang menghasilkan berita untuk disebarkan kepada khalayak. Dalam masyarakat yamg pesat membangun, akhbar menduduki tempat yang penting, khususnya sebagai pemberitahu tentang apa-apa yang berlaku di mana-mana sahaja (Awang Sariyan, 1981). 1.11.3 Rencana pengarang Rencana pengarang yang disebut sebagai editorial ialah satu bentuk penulisan atau karangan yang amat bernilai dalam akhbar. Rencana pengarang adalah suara akhbar. Buah fikiran, ulasan atau teguran yang tersiar dalam rencana pengarang adalah suara rasmi penerbit akhbar itu dan bertanggungjawab bagi pihak dirinya sendiri atau kepentingan pihak lain yang diwakilinya (Sanat Md. Nasir, 1996). Ia tidak semestinya 17
merupakan buah fikiran pembaca umum atau disetujui oleh sebahagian besar pembacanya. Halaman rencana pengarang dalam akhbar terdapat di satu halaman khas yang peranannya berbeza sama sekali dengan halaman-halaman rencana lain kerana ia boleh dianggap sebagai gambaran dasar atau pendirian yang diambil oleh akhbar berdasarkan rencana yang tersiar. 1.11.4 Kohesi Konsep kohesi merujuk kepada hubungan makna yang wujud dalam sesebuah teks. Ini kerana kohesi wujud apabila satu perkataan dalam satu ayat bergantung kepada perkataan lain dalam ayat yang sama mahupun ayat yang berikutnya atau sebelumnya. Kohesi ini seharusnya boleh ditafsirkan oleh pembaca untuk memahami makna yang sebenar. Inilah yang dikatakan sebagai konsep semantik iaitu perhubungan makna dalam ayat yang difahami oleh pembaca (Van Dijk, T. A., 1977). 1.11.5 Keutuhan Wacana Keutuhan wacana merupakan satu aspek penting kerana ia akan memastikan sama ada sesuatu kesatuan itu boleh dikatakan wacana atau hanya satu kumpulan ayat yang tidak teratur (Harimurti Kridalaksana, 1978). Keutuhan wacana terhasil daripada wujudnya susunan yang berurutan atau teratur dalam sesuatu wacana. Terdapat dua aspek penting yang menghasilkan wacana yang utuh iaitu kohesi dan koheren. Keutuhan wacana dapat diteliti daripada wujudnya kaitan-kaitan daripada aspek semantik, leksikal dan gramatikal.
18
1.12
KESIMPULAN
Oleh sebab pentingnya berita dalam kehidupan manusia, maka kaedah penulisan berita turut menjadi penting juga agar masyarakat pembaca dapat memahami tentang sesuatu berita dengan tepat dan jelas. Keadaan yang sama juga harus diutamakan
dalam
penulisan rencana pengarang. Wacana rencana pengarang harus mempunyai ciri-ciri bahasa yang ringkas, tepat dan padat. Selain itu, wacana rencana pengarang harus mempunyai kekohesifan dalam usaha mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.
19