Ensiklopedia Umum Pelajar
A Famosa, kota yang dibina pada zaman penjajahan Portugis di Melaka pada tahun 1511. A Famosa dalam bahasa Portugis bermakna “yang terkenal” atau dalam bahasa Inggeris ialah “The Famous”. Kota yang diberi nama Porta de Santiago ini merupakan salah satu tinggalan seni bina Eropah yang tertua di Asia yang terdapat di Banda Hilir, Melaka. A Famosa menjadi objek tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Tinggalan ini merupakan monumen sejarah yang amat bernilai kepada negara. Semasa angkatan perang Portugis mendarat di Melaka, berlaku pertempuran antara angkatan
Portugis
dengan
tentera
kerajaan
Melaka.
Angkatan
Portugis
berjaya
mengalahkan tentera Melaka. Portugis menawan Melaka kerana hendak menguasai perdagangan di Timur dan menjadikan Melaka sebuah bandar pelabuhan penting seperti Macau di China dan Goa di India. Alfonso de Albuquerque, panglima perang Portugis, telah mengarahkan pembinaan kubu pertahanan di sekitar kawasan bukit berhampiran pantai. Tujuannya untuk mempertahan kota Melaka daripada serangan balas tentera Melaka dan kuasa kerajaan Melayu yang lain seperti Johor dan Acheh. Kubu ini terdiri daripada benteng yang panjang dan empat menara utama. Salah satu menara itu setinggi empat tingkat digunakan sebagai tempat berkawal, manakala menara yang lain dijadikan tempat simpanan senjata, tempat tinggal kapten, dan tempat tinggal pegawai.
Di dalam kawasan kubu ini terdapat
perkampungan dan rumah kedai yang menjalankan kegiatan perdagangan dan urusan harian yang lain. Pihak Portugis hanya menguasai Melaka di sekitar kawasan kubu. Dengan pertambahan jumlah penduduk Melaka, maka kawasan kubu ini diperluaskan pada tahun 1586.
Pada tahun 1641, Belanda berjaya mengalahkan Portugis di Melaka. Berikutan itu, Belanda telah mengubah suai kota berkenaan pada tahun 1670. Terdapat tulisan “ANNO 1670” dan logo Syarikat Hindia Timur Belanda pada satu pintu gerbang tersebut. Pada awal abad ke-19, kubu berkenaan bertukar tangan kepada British yang menguasai Melaka daripada Belanda berikutan perjanjian yang dimeterai di Eropah semasa berlaku Perang Napoleon (1796-1815). Kubu tersebut telah hampir dimusnahkan pada tahun 1806. Apabila Stamford Raffles melawat Melaka pada tahun 1810, beliau mengarahkan kubu tersebut diselamatkan, dan hanya tinggal satu pintu gerbang yang masih utuh. Tinggalan inilah yang dapat dilihat hingga ke hari ini.
Abaka, sejenis tumbuhan yang ditanam untuk mendapatkan serat atau jerami daripada upih daunnya untuk dibuat tali dan pelbagai barang. Tumbuhan ini dikenali juga sebagai jerami Manila (Manila hemp). Nama saintifiknya ialah Musa Textilis Nee dan tergolong dalam famili Musaceae (pisang). Abaka berasal dari kepulauan Filipina.
Ia mula ditanam secara perladangan di
Filipina pada pertengahan abad ke-18, semasa penjajahan Sepanyol. Selama beberapa tahun, pengeluaran abaka merupakan industri pertanian utama di Filipina yang telah menyumbang lebih dua per tiga jumlah nilai eksport Filipina dari tahun 1901 hingga 1905. Pada abad ke-19, tumbuhan ini cuba ditanam di negara-negara lain seperti India, Kepulauan Andaman dan Singapura, tetapi tidak berjaya. Walau bagaimanapun, tanaman ini berjaya diusahakan di Kepulauan Caribbean pada awal abad ke-20 dan pengeluarannya secara komersial bermula selepas Perang Dunia Kedua. Semasa Perang Dunia Kedua(1939-1945), permintaan gentian
abaka
untuk
kegunaan ketenteraan,
perkapalan,
pembuatan,
perlombongan dan pertanian meningkat amat tinggi di pasaran dunia. Abaka sesuai hidup di negara-negara tropika lembap.
Di Filipina, ia ditanam di
kawasan dengan ketinggian kurang daripada 500 m di atas aras laut dengan taburan hujan
2000 mm hingga 2300 mm, suhu purata kira-kira 29oC dan kelembapan bandingannya kirakira 80%. Abaka amat sesuai ditanam di tanah gambut peroi tidak bertakung air yang kaya dengan humus dan kalium. Pada umumnya, pokok abaka kelihatan sama seperti pokok pisang, tetapi ia lebih lampai, daunnya lebih kecil, dan buahnya mempunyai biji. Batang sebenarnya berupa umbisi bawah tanah yang berbentuk silinder pendek yang daripadanya sulur-sulur dikeluarkan bagi menghasilkan pokok-pokok baharu. Ini menjadikan tanaman abaka tumbuh sebagai sekumpulan pokok dengan berbagai-bagai peringkat tumbesaran. Upih di pangkal pelepah daunnya bertindih-tindih rapat antara satu sama lain seperti upih pokok pisang dan membentuk batang palsu (pseudostem). Daunnya seperti daun pisang dengan panjang lai daunnya antara 160 cm hingga 200 cm dan lebarnya antara 25 cm hingga 30 cm. Pembentukan dan ciri jambak bunga, bunga dan buahnya juga sama seperti pisang. Namun buahnya lebih pendek, lebar dan kulitnya lebih tebal daripada pisang. Isinya tidak boleh dimakan dan dipenuhi dengan biji keras yang berwarna hitam. Sulur digunakan sebagai bahan pembiakan tanaman abaka.
Selain itu, umbisi
digunakan sebagai bahan pembiakan dengan cara menanam keratannya atau keseluruhan umbisi di dalam tanah. Abaka tersebar sebagai tanaman perladangan di beberapa negara di Asia Tenggara dan Amerika Tengah. Di Asia Tenggara, kawasan penanaman utama ialah di selatan Luzon, Kepulauan Visayan dan Wilayah Davao di Pulau Mindanao, Filipina. Tanaman ini juga terdapat di Sabah, Sumatera dan Papua New Guinea. Di Amerika Tengah, abaka ditanam di Panama, Costa Rica, Guatemala dan Honduras. Pelepah daun pada lapisan luar batang palsu pokok abaka menghasilkan serat yang kuat, tahan dan kental. Kegunaan utama serat ini adalah untuk membuat tali yang tahan kelembapan, garam dan air masin, dan digunakan dengan meluas dalam industri perikanan, perkapalan dan perlombongan. Serat abaka juga digunakan untuk membuat kertas, kain,
tikar, guni dan bungkusan barang. Pada zaman dahulu, masyarakat peribumi di Filipina telah menggunakan serat abaka untuk membuat pakaian mereka. Kini di Filipina, serat abaka digunakan untuk menghasilkan berbagai-bagai jenis tali dan pintalan dan barang seperti buaian, selipar, topi dan alas meja. Abaka ialah salah satu bahan mentah komoditi antarabangsa. Amerika Syarikat, Jepun dan Britain ialah negara pengimport utama bahan ini. Serat abaka mendapat persaingan daripada jerami Rusia (Cannabis sativa L.), sunnhemp (Crotalaria juncea L.), jut (Corchorus spp.), kenaf (Hibiscus cannabinus L.) dan aramina (Urena lobata L.). Kini, serat abaka bersaing dengan serat tiruan yang dihasilkan oleh negara-negara maju. A. Samad Said, Datuk (1935-
), penulis, wartawan dan Sasterawan Negara yang
keempat. Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Nama sebenarnya ialah Abdul Samad bin Mohamed Said. Beliau pernah menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. A. Samad Said mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1947) dan Victoria Institution, Singapura hingga lulus sijil Senior Cambridge (1956). Beliau melibatkan diri dalam bidang kewartawanan dengan menyertai akhbar politik Fikiran Rakyat sebagai penolong pengarang. Setelah itu, beliau bekerja dengan kumpulan akhbar Utusan Melayu sebagai penyunting majalah Mastika selama setahun. Kemudian, beliau bertugas di akhbar Berita Harian sebagai penyunting. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Penolong Pengarang Kumpulan Akhbar The New Straits Times, di samping mengetuai Unit Pengembangan Sastera kumpulan tersebut. A. Samad Said mula bergiat aktif dalam bidang penulisan cereka dan puisi setelah memenangi hadiah penghargaan Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958 dengan novel Gerhana. Novel ini kemudiannya diterbitkan dengan judul Salina dan diterjemahkan ke dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris, Rusia, Mandarin, Tamil, Tagalog dan Perancis. Novelnya Daerah Zeni memenangi Hadiah Sastera Malaysia
1984/85, diikuti dengan novel Hujan Pagi yang juga memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1986/87. Esei A. Samad Said telah diterbitkan dalam beberapa kumpulan seperti Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama-sama Usman Awang, 1968) dan Tangan yang Simpatik (1981). Bukunya yang lain ialah sebuah autobiografi tentang proses penulisannya yang diberi judul Dari Salina ke Langit Petang (1979) dan kumpulan eseinya Antara Bulan dan Wira yang telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989.
Catatan
perjalanannya termuat dalam Warkah Eropah (1991). Pada tahun 1989, A. Samad Said melancarkan “mogok seni” kerana tidak berpuas hati dengan birokrasi yang mengendalikan urusan karya seni. A. Samad Said menerima beberapa anugerah seperti Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award daripada kerajaan Thailand (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah Sastera Nusantara pada tahun 1999. Beliau dikurniai Darjah Mahkota Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk (1997) dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2003).