This is pre‐published version
Tradisi Merantau Masyarakat Melayu Dahulu Dan Sekarang: Suatu Perbandingan Shida Irwana Omar Nurbaidura Salim Badaruddin Mohamed
Pengenalan Kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat sinonim dengan aktiviti merantau. Tradisi merantau dianggap sebagai semangat atau motivasi dalam membina kehidupan dan menentukan arah tuju masa depan setiap individu, keluarga dan juga masyarakat. Istilah merantau berasal daripada perkataan Indonesia yang bermaksud belayar mencari penghidupan di sepanjang rantau dari satu sungai ke sungai yang lain (Kamus Bahasa Indonesia Online 2011). Perkataan rantau yang menjadi kata akar kepada istilah ini merujuk kepada nama-nama tempat yang terdapat di seluruh kepulauan dan Semenanjung Nusantara (Khazrin 2001: 76). Wujud perkaitan yang rapat antara alam rantau dan tradisi merantau di Nusantara. Hal ini dapat diperjelaskan menerusi corak kehidupan orang Melayu yang berasaskan konsep dan amalan hidup yang sentiasa berpandukan kepada kerjasama serantau (Khazrin 2001: 76). Bagi pentakrifan yang lebih menyeluruh, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2011) mendefinisikan merantau sebagai belayar, berjalan atau mengembara ke negeri lain dari tempat asalnya untuk mencari penghidupan lain. Golongan perantau dalam kalangan masyarakat Melayu dapat dikategorikan dalam tiga kelompok berdasarkan kepada pola pergerakan inter dan intra kawasan. Kelompok pertama dikenali sebagai orang dagang atau orang luar. Orang dagang ini merujuk kepada mereka yang merantau dari daerah atau negeri di tanah seberang Kepulauan Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu dengan tujuan seperti meneroka,
This is pre‐published version
berdagang, mencari kehidupan baru, menuntut ilmu, menyebarkan ajaran agama atau melarikan diri atas sebab-sebab tertentu dari tempat asalnya untuk menetap di kawasan baru. Kelompok kedua pula terdiri daripada pengembara yang merantau keluar daripada Semenanjung Tanah Melayu untuk menunaikan haji di Mekah, menjalinkan hubungan diplomatik dan perkahwinan antara kerajaan dalam kalangan kerabat diraja atau pembesar negeri dan sebagainya. Manakala, kelompok ketiga merupakan perantau yang mengembara antara negeri dan daerah dalam Semenanjung Tanah Melayu. Para pemerintah negeri dan pembesar daerah pada zaman dahulu sentiasa berusaha untuk membina kekuatan pemerintahan mereka yang lazimnya diukur berasaskan kepada bilangan penyokong (Khazrin 2001: 80). Ini bermakna mereka memerlukan penduduk yang ramai. Hal ini secara tidak langsung, menarik para perantau untuk bermastautin di negeri atau daerah tersebut untuk membolehkan kegiatan pertanian dan perdagangan dijalankan dengan lancar. Oleh itu, jawatan Dato’ Dagang telah diwujudkan di negerinegeri Semenanjung Tanah Melayu bagi menggalakkan kedatangan perantau dan pedagang.
Perkembangan Tradisi Merantau Sorotan sejarah menyatakan bahawa tradisi merantau oleh masyarakat Melayu kuno atau Melayu proto telah wujud sejak Zaman Batu Tengah lagi (Syed Husin 1979:13). Teori menyatakan bahawa mereka telah keluar merantau dalam beberapa kumpulan dari kawasan Hoa Binh di Indochina sejak 5000 hingga 3000 tahun yang lalu. Pengembaraan mereka bukan sahaja melibatkan perjalanan ke sekitar Semenanjung Kepulauan Melayu, malah melibatkan kawasan Sumatera dan kepulauan Melanesia di Lautan Teduh. Manakala pada Zaman Batu Baru, masyarakat Melayu proto didapati
This is pre‐published version
telah mengembara dari Selatan China melalui Formosa ke Borneo dan seterusnya ke Filipina kira-kira 3000 hingga 1500 tahun yang lalu. Terdapat kemungkinan bahawa kedua-dua teori ini benar atau berlaku secara serentak, namun apa yang penting ialah masyarakat Melayu telah mendiami kawasan Semenanjung pada zaman tersebut. Tradisi merantau kemudiannya telah mengalami perubahan kerana sentiasa terdedah kepada pengaruh luar. Misalnya, kajian yang dilakukan oleh Khazrin (2001) menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke rantau Nusantara telah membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme dalam masyarakat Melayu. Umat Islam dituntut untuk membuat penghijrahan dalam aspek kehidupan dan minda dengan menekankan soal pendidikan, penghijrahan daripada sikap negatif kepada positif dan pencarian rezeki. Peribahasa seperti “jauh perjalanan, luas pemandangan” telah menanamkan motivasi dalam diri masyarakat Melayu untuk berikhtiar di luar lingkungan setempat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ‘Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supayadengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada,’(al-Hajj: 46). Semasa zaman pentadbiran kerajaan British, tradisi merantau dalam kalangan masyarakat Melayu telah membantu kerajaan British dalam menjayakan rancangan pembangunan ekonomi kolonial (Khazrin 2001: 81). Orang Melayu digalakkan berhijrah sebagai peneroka ke kawasan Semenanjung untuk meneroka hutan dan membina kampung-kampung baru. Kedatangan peneroka Melayu secara sukarela
This is pre‐published version
beserta keluarga, saudara-mara dan rakan sekampung telah menjimatkan kos pentadbiran kerajaan British berbanding proses membawa masuk imigran asing dari China dan India yang menelan modal yang banyak. Pada zaman pasca merdeka, tradisi merantau telah berubah kepada skop perjalanan untuk tujuan hubungan budaya dan sosial. Masyarakat Melayu luar bandar khususnya menganggap peluang merantau atau ‘melancong’ selalunya muncul apabila terdapat orang kampung yang ingin menunaikan haji ke Mekah dengan kapal laut. Peluang mengiringi para jemaah haji ke Pelabuhan Klang atau Pelabuhan Pulau Pinang dianggap sebagai suatu kesempatan buat mereka untuk melancong dan pada masa yang sama, menziarahi saudara-mara yang tinggal di bandar. Apabila kapal terbang mula diwujudkan dan digunakan bagi menggantikan kapal laut, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang beroperasi pada tahun 1965 menjadi tumpuan orang ramai untuk mengiringi dan menyambut jemaah haji ke Mekah. Dekad 1990an menyaksikan sektor pelancongan terus berkembang maju dengan penglibatan aktif daripada pihak kerajaan. Aktiviti melancong telah menjadi salah satu bentuk aktiviti rekreasi kepada sebahagian masyarakat Melayu moden bagi menggantikan tradisi merantau. Hal ini selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah, kualiti hidup masyarakat Melayu dan kemajuan negara dalam bidang pengangkutan dan perhubungan.
Persediaan Seorang Perantau Tradisi merantau merupakan salah satu faktor dalam meningkatkan imej, status, taraf sosial dan ekonomi individu dan masyarakat (Khazrin 2001: 74). Oleh sebab itu, motivasi untuk merantau telah disemat dalam jiwa anak-anak lelaki Melayu sejak
This is pre‐published version
mereka kecil lagi. Sebelum merantau, mereka perlu terlebih dahulu dilatih untuk mempersiapkan diri mereka. Pendidikan asas pada zaman tersebut lebih tertumpu kepada kecerdasan emosi dan fizikal berbanding kecerdasan intelek. Anak-anak lelaki diajarkan dengan seni mempertahankan diri agar selamat daripada sebarang gangguan binatang buas atau manusia jahat semasa mengembara kelak. Selepas kedatangan agama Islam, ilmu keagamaan dan seni mempertahankan diri turut diterapkan sebagai suatu bentuk pendidikan asas sebelum keluar merantau. Anak-anak lelaki yang telah mencapai akil baligh akan tinggal di surau atau musala untuk belajar mengaji dan ilmu silat. Surau pada masa itu, berfungsi sebagai sebuah institusi yang membentuk karektor seorang lelaki sebelum keluar merantau. Selain itu, surau juga menjadi tempat untuk bergaul sesama sendiri supaya hubungan silaturahim dapat dieratkan kerana masyarakat Melayu dahulu sangat menitikberatkan hubungan persaudaraan walaupun tidak mempunyai pertalian darah. Masyarakat Minang sangat berpegang kepada prinsip untuk tidak membawa sebarang bekalan atau modal semasa keluar merantau. Apa yang dibawa hanyalah ilmu yang dipelajari semasa menuntut di surau dan ilmu tersebut akan diamalkan semasa berada di perantauan (Afif & Savaria 2008). Pemergian anak-anak muda untuk merantau akan diiringi oleh pelbagai nasihat, pesanan, petua dan pantang larang daripada orang-orang tua dalam kalangan keluarga dan jiran tetangga. Keluarga lazimnya akan mengadakan kenduri membaca doa selamat supaya perjalanan yang ditempuh menjadi mudah, selamat dan mereka ditetapkan iman semasa di perantauan. Dalam majlis tersebut, seorang ketua keluarga akan berucap dan menyeru agar si perantau menjaga kelakuan dan pertuturan, berbuat kebaikan kepada orang lain dan bersabar dalam menghadapi segala dugaan semasa di perantauan. Umpamanya berkatalah beliau (Abdullah dalam Roshana 1985: 45):
This is pre‐published version
Korek perigi di parit seberang Tepi parit tumbuh mengkudu Berselang dengan pohon puding Hidup subur kanan dan kiri Tuan pergi dagang seorang Tiada saudara tempat mengadu Tiada sahabat tempat berunding Pandai-pandailah membawa diri
Pantang Larang Di Perantauan Setiap perjalanan hendaklah dimulai dengan langkah kanan dan turut disebut dengan nama Allah s.w.t kerana akan membawa berkat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan (Wan Ramli 1999: 58). Amalan ini adalah selari dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda sentiasa memulakan pekerjaan dengan kalimah Bismillah dan diikuti oleh tangan atau langkah kanan. Si perantau akan memulakan pengembaraan ke kampung-kampung berdekatan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke tempat-tempat lain sehingga ke pelosok benua untuk memenuhi pelbagai tuntutan dan tujuan. Perjalanan mereka selalunya mengambil masa berbulan-bulan, malahan bertahun-tahun sama ada menerusi jalan darat, sungai mahupun pelayaran di lautan. Pada zaman dahulu, sebahagian besar Semenanjung Tanah Melayu diliputi oleh hutan tebal. Golongan perantau dan pengembara perlu meredah kawasan hutan, paya dan sungai serta mendaki bukit dan gunung untuk sampai ke sesuatu kampung atau petempatan. Memandangkan masyarakat Melayu mempunyai kepercayaan yang sangat
This is pre‐published version
kuat terhadap semangat hutan, justeru mereka mengamalkan pelbagai pantang larang semasa di dalam hutan. Masyarakat Melayu dahulu percaya bahawa hutan merupakan tempat tinggal hantu jembalang. Oleh sebab itu, apabila seseorang itu berada di dalam hutan, mereka dilarang bersiul atau melaung dengan kuat kerana dikatakan akan disambar langsuir atau disahut hantu. Simbolik di sebalik pantang larang ini adalah untuk mengelakkan haiwan atau musuh mengetahui kedudukan pengembara tersebut dan seterusnya boleh mengancam keselamatan diri sendiri (Wan Ramli, 1999:44). Pengembara juga dinasihatkan untuk memakai payung ketika berteduh di bawah pohon agar ranting, dahan, ular ataupun serangga berbahaya tidak jatuh ke atas badan mereka. Pengembara juga diingatkan supaya tidak memegang pokok berwarna merah ketika berada di dalam hutan kerana pokok tersebut dipercayai sebagai pokok berbisa (pokok rengas) dan jika terkena batangnya, bisa batangnya boleh menyebabkan badan menjadi gatal-gatal. Bagi pengembara yang tersesat di dalam hutan, mereka dilarang untuk tidur di atas pokok dan di tepi sungai tetapi sebaliknya, dinasihatkan untuk tidur di banir iaitu lubang besar yang terdapat di sesetengah pokok besar atau di celah lereng yang tidak berair. Larangan tidur di atas pokok adalah kerana dikhuatiri akan jatuh semasa tidur, manakala larangan tidur di tepi sungai pula adalah kerana takut diancam oleh binatang buas yang turun minum di sungai pada waktu malam. Pengembara juga perlu sentiasa bersikap rendah diri. Mereka dilarang untuk bersikap takbur, bercakap besar dan berbangga diri ketika berada di dalam hutan. Hal ini kerana, dikhuatiri perkara yang disebut-sebut itu akan menjadi kenyataan. Misalnya, pengembara bercakap besar bahawa mereka akan membunuh harimau jika bertemu dengan harimau di hutan. Maka dipercayai mereka pasti akan bertemu dengan harimau kemudiannya.
This is pre‐published version
Selain itu, pengembara dahulu gemar menggunakan sungai sebagai laluan alternatif semasa mengembara. Mereka juga percaya bahawa sungai mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Sebagai contohnya, pengembara dilarang untuk mendekati atau menggunakan laluan sungai jika ternampak air sungai berpusar kerana ia memberi alamat bahawa buaya sedang bergerak atau mengiring. Tambahan pula, jika terdengar suara seperti kerbau di tebing sungai, ia bermaksud ada buaya sedang mengawan atau bertelur dan dilarang untuk menghampirinya. Kumpulan pengembara dahulu turut merentasi lautan untuk sampai ke tanah seberang. Mereka dikatakan sangat berkebolehan dalam bidang pelayaran. Sehubungan itu, terdapat beberapa kepercayaan terhadap laut yang dipegang kuat oleh masyarakat Melayu. Bagi pengembara, laut merupakan satu dunia lain yang perlu dipatuhi peraturannya. Laut mempunyai para penunggu yang terdiri daripada kuasa-kuasa ghaib seperti jin, hantu dan syaitan serta dipercayai bersifat sensitif. Jika pengembara melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan, ia akan memberi pertolongan kepada mereka. Dan jika pengembara melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemarahan penunggu, maka ia akan mengusik, mengganggu dan mendatangkan malapetaka buruk kepada mereka. Oleh sebab itu, semasa berada di lautan, pengembara perlu menjaga semua tutur katanya, tingkah lakunya dan perbuatanya supaya tidak mengganggu dan mendatangkan kemarahan kepada penghuni dan penunggu laut tersebut. Mengembara menggunakan kapal laut memerlukan kemahiran yang tinggi dalam ilmu pelayaran khususnya dalam aspek-aspek geografi seperti keadaan ombak, jenis angin, kedudukan batu karang, beting dan sebagainya. Jika tersesat di lautan, pengembara dinasihatkan untuk ikut arah matahari terbenam kerana dengan berbuat
This is pre‐published version
demikian, mereka dapat mencari jalan pulang. Arah angin dan kedudukan bintang juga turut menjadi petunjuk arah kepada perantau yang sesat semasa merantau. Orang Melayu dahulu selalu berpesan, jika berlindung di Pulau Rang iaitu pulau yang berbatubatu, mempunyai gua dan tidak didiami orang, jangan berlindung di dalam gua kerana dipercayai akan dimakan hantu. Hakikatnya, ia bukanlah bermaksud sedekimian tetapi kiasan semata-mata yang bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada orang yang merantau memandangkan gua jarang sekali didiami manusia dan barangkali terdapat ular berbisa di dalamnya. Bagi para pengembara yang merantau bersendirian, mereka lebih gemar menggunakan perahu atau sampan untuk merentasi sungai dan laut. Perahu dikatakan mempunyai pengaruh dalam menentukan keselamatan dan hidup matinya semasa berada di lautan (Wan Ramli 1999:70). Sekiranya perahu bocor atau pecah kerana terlanggar batu dan tenggelam akibat dipukul ombak dan ribut, maka hidup dan mati pelayar adalah bergantung kepada nasib; bak kata pepatah “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Di samping itu, perahu mempunyai semangat dan penunggu yang boleh menjaga keselamatan pendayung perahu itu. Jika penunggu ini menyenangi pengembara, maka ia akan senang memberi pertolongan jika diminta. Penggunapengguna perahu dilarang bercakap menggunakan perkataan-perkataan yang kesat, kasar, menyumpah, mencarut ataupun menyebut kata-kata cabul dan takbur semasa dalam pelayaran. Dipercayai bahawa dengan pengucapan kata-kata yang tidak baik itu akan menyakitkan hati penunggu-penunggu laut dan mengundang kemarahan mereka lalu mendatangkan bencana serta kecelakaan kepada pengguna-pengguna perahu. Semasa di lautan, para pengembara yang menggunakan dayung adalah dilarang untuk meletakkan dayung atau pengayuh mengadah ke langit. Simboliknya, larangan ini
This is pre‐published version
adalah supaya pendayung-pendayung tidak berhenti mengayuh atau berdayung, bagi mengelakkan perahunya bersimpang-siur, melambatkan perjalanan dan kemungkinan akan menempuh ribut di laut. Para pengguna perahu juga dilarang sama sekali untuk membuang air kecil atau besar di bahagian haluan perahu kerana dikhuatiri akan terkena sakit perut atau kecelakaan.
Komunikasi Sang Perantau Kedatangan ke kawasan baru tanpa adanya kenalan dan saudara-mara, membuatkan seseorang perantau perlu menghormati budaya, peraturan, undang-undang dan adat tempatan demi menjaga kerukunan hidup (Abdul Latiff dalam Azmie 2008:68). Bak kata pepatah “haruslah air disauk, dan ranting dipatah; lama hidup banyak merasa, jauh berjalan banyak dilihat”. Dari sudut komunikasi, masyarakat perantau dikatakan lebih berjaya berinteraksi, berintegrasi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan (Azmie, 2008:68). Orang Melayu yang berasal dari utara akan mengubah loghat utara untuk bercakap seperti orang selatan apabila berada di Johor walaupun kadangkala masih ada loghat utaranya. Apabila bercakap dengan orang Cina pula, lidahnya akan mengikut telor Cina pula. Sepertimana pepatah Melayu, “masuk kandang kambing mengembek dan masuk kandang kerbau menguak”, pepatah ini menyarankan agar pengembara dapat menyesuaikan diri mengikut adat tempat menumpang semasa mengembara. Menumpang tinggal di rumah orang adalah antara kelaziman seorang perantau. Hajat untuk menumpang tinggal dizahirkan dengan bahasa yang sangat halus yang berbentuk kiasan dan pantun. Hal ini menggambarkan sikap masyarakat Melayu tradisional yang malu berterus-terang dan bersopan-santun dalam menyampaikan
This is pre‐published version
maksud kerana mereka tidak mahu menyinggung perasaan orang lain. Sebagaimana resmi perantau, “hinggap mencengkam (dahan), terbang menumpu (dahan)” dan “laksana jauh mencari suku, dekat mencari induk” membawa erti serupa yang menasihatkan pengembara supaya mencari kenalan atau saudara yang dikenali sebagai tempat untuk menumpang diri semasa merantau (Mohd, 2008). Empat rangkap pantun yang dipetik dalam Hikayat Awang Sulong Merah Muda seperti berikut merupakan satu contoh bagaimana sang pengembara mengemukakan hajat kedatangannya (Tajul Kelantan 1958: 88). Kerikil digulai maman, Digulai dengan daun cheap, Apa abang tengok di laman?, Naik ke rumah abang mengapa.
Bagaimana hendak menjahit, Menjahit jarum pun patah, Bagaimana hendaklah naik, Tuan rumah belum lagi nampak.
Batang padi terbelah-belah, Yang sebelah dimakan api, Bujang selamat datang tak pernah, Apalah hajat datang ke mari.
Encik menambang dari Johor,
This is pre‐published version
Tersangkut di dalam padi, Dato’ Bidan terbilang masyhur, Itulah hajat datang kemari.
Analisis Perbandingan Perubahan zaman menyaksikan tradisi merantau dalam kalangan masyarakat Melayu telah mengalami evolusi dan revolusi yang signifikan terhadap aktiviti melancong pada masa kini. Analisis perbandingan antara tradisi merantau masyarakat Melayu pada masa dahulu dengan aktiviti melancong pada masa kini dibuat dengan berpandukan kepada 6 perkara iaitu (1) tujuan perjalanan; (2) tempoh menetap di destinasi; (3) jenis penginapan; (4) pengangkutan yang digunakan; (5) bekalan semasa perjalanan dan (6) kaedah yang digunakan sekiranya sesat. Data pelancong Melayu seramai 870 orang, dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah direkodkan menerusi satu kaji selidik. Responden terdiri 44.9% lelaki dan 55.1% perempuan yang berumur antara 18 hingga 62 tahun. Majoriti mereka adalah golongan pekerja di sektor awam dan swasta, diikuti oleh pelajar, suri rumah dan pesara.
Tatalaku Pelancong Melayu Domestik Hasil kajian mendapati bahawa aktiviti melancong dalam kalangan pelancong Melayu di Malaysia didominasi oleh kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Mereka melancong untuk 5 tujuan utama iaitu rekreasi (78.4%), melawat rakan dan saudaramara (25.5%), perniagaan dan persidangan (20.1%), membeli-belah (19.7%) dan balik kampung (19.7%). Responden dibenarkan untuk memilih lebih daripada satu jawapan dalam kaji selidik tersebut. Tanggapan bahawa aktiviti balik kampung sebagai sebab
This is pre‐published version
utama golongan Melayu keluar melancong khususnya semasa musim cuti sekolah dan perayaan dianggap kurang tepat kerana daripada jumlah responden, hanya 19.7% yang memilih balik kampung sebagai tujuan utama perjalanan mereka. Sebaliknya, aktiviti membeli-belah lebih menarik minat responden berbanding balik kampung. Sebanyak 732 orang responden atau 86.9% telah merancang perjalanan mereka sebelum keluar melancong. Sumber maklumat yang digunakan oleh responden adalah maklumat dari mulut ke mulut daripada rakan dan saudara-mara (53.6%), majalah dan suratkhabar (34.4%), pengalaman sendiri sebelum ini (32%), risalah pelancongan (29.4%) dan televisyen serta radio (27.8%). Kebanyakan responden gemar melancong secara berkumpulan bersama rakan (46.3%) dan keluarga serta saudara-mara (38.7%) sama ada dalam bentuk kumpulan kecil seramai 3 hingga 5 orang (33.4%) ataupun kumpulan sederhana seramai 6 hingga 10 orang (22.8%). Hanya terdapat segelintir responden (10.6%) yang melancong bersendirian. Bilangan responden yang melancong menggunakan kenderaan sendiri (43.6%) dan mereka yang menggunakan bas (43.2%) adalah hampir sama. Kemudahan lebuhraya di seluruh negara telah memungkinkan lebih ramai responden menggunakan pengangkutan awam. Dengan adanya penerbangan tambang murah seperti AirAsia dan Firefly, semakin ramai responden (28.3%) memilih pengangkutan udara untuk ke sesuatu destinasi. Ini diikuti oleh perkhidmatan kapal, feri dan bot (26.1%) serta lainlain pengangkutan. Semasa di destinasi, majoriti responden menginap kurang daripada 2 malam (62.6%) diikuti oleh mereka yang menginap antara 3 hingga 5 malam (24.1%). Hanya 1.6% responden sahaja yang tinggal di destinasi melebihi 15 malam. Terdapat juga responden yang tidak bermalam di destinasi (2.9%). Jenis penginapan yang menjadi
This is pre‐published version
pilihan responden adalah hotel (38.7%), resort (25.1%), rumah rakan dan saudara-mara (23.6%), serta chalet/rumah tumpangan (21%). Terdapat juga responden yang tinggal di kawasan perkhemahan (7.7%) dan di atas kapal pelayaran (1.4%). Jika dahulu masyarakat Melayu gemar menumpang tinggal di rumah rakan atau saudara-mara semasa melancong, namun kini tren tersebut menjadi semakin kurang popular dengan pembinaan lebih banyak hotel dan rumah tumpangan pelbagai bajet yang dapat memenuhi keperluan semua peringkat masyarakat. Semasa melancong, aktiviti membeli-belah (76.1%), bersiar-siar di bandar (54.5%) dan makan-makan di kafe dan restoran (50%) merupakan tarikan utama responden. Ini diikuti oleh lawatan ke tempat-tempat bersejarah (37%), taman tema (34.1%) dan muzium serta galeri seni (30.2%). Impak daripada program televisyen “Jalan-jalan, cari makan” telah mendorong sebahagian besar responden untuk tidak melepaskan peluang menikmati makanan tempatan semasa melancong. Terdapat segelintir responden (27%) yang menggunakan pakej percutian semasa melancong seperti pemandu pelancong, kenderaan sewa, penginapan, makanan dan sebagainya.
Evolusi Merantau Kepada Melancong Tradisi merantau dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional menjadi permulaan kepada evolusi melancong masyarakat moden pada hari ini. Jika dahulu pengembara hanya dikhususkan kepada golongan lelaki, tetapi pada masa kini, lebih ramai golongan wanita sama ada berstatus bujang atau berkahwin telah keluar melancong bersama-sama dengan golongan lelaki. Persepsi masyarakat bahawa wanita hanya perlu berada di ceruk dapur telah berubah selari dengan peredaran masa dan
This is pre‐published version
pengaruh pelbagai faktor seperti peningkatan isu keselamatan, keselesaan dan kemampuan untuk melancong dalam kalangan wanita Melayu di Malaysia. Masyarakat Melayu tradisional mengembara untuk tujuan meneroka, berdagang, mencari kehidupan baru, menuntut ilmu, menyebarkan ajaran agama dan menunaikan ibadah haji, tetapi masyarakat Melayu kini melancong untuk tujuan rekreasi, perniagaan dan persidangan, melawat rakan dan saudara-mara, membeli-belah, balik kampung dan sebagainya. Tujuan merantau untuk berdagang atau perniagaan masih lagi relevan pada masa kini dan menjadi keutamaan bagi golongan pelancong peniaga atau business travelers. Berdasarkan keadaan ekonomi negara yang semakin berkembang, kestabilan politik tempatan, peningkatan tahap pendidikan, peluang pekerjaan, lebihan pendapatan dan pendedahan terhadap aktiviti melancong sejak kecil telah mendorong lebih ramai masyarakat Melayu moden untuk melancong bagi tujuan rekreasi berbanding tujuantujuan lain. Antara destinasi pelancongan utama negara yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu adalah seperti Pulau Langkawi, Kota Bharu, Cameron Highlands, Port Dickson, Bandaraya Melaka, Pulau Pangkor dan sebagainya. Kemajuan dalam bidang automatif, pembinaan infrastruktur jalan raya dan kemampuan dalam pemilikan kenderaan persendirian telah mendorong majoriti responden menggunakan pengangkutan persendirian dan awam seperti bas dan kapal terbang. Berbeza dengan orang Melayu tradisional, mereka merantau dengan menaiki kapal layar, perahu, haiwan tunggangan seperti kuda ataupun berjalan kaki yang mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya untuk sampai ke destinasi. Secara tidak langsung, perkembangan teknologi yang semakin pesat membangun sedikit sebanyak telah mengubah cara dan taraf hidup masyarakat Melayu. Jika dahulu pengguna perahu memerlukan pendayung untuk merentasi sungai,
This is pre‐published version
masyarakat Melayu moden kini mengubahsuai perahu menjadi bot dengan meletakkan enjin di hujung bot untuk menggerakkannya. Pelancong kini lebih cenderung merancang perjalanan mereka. Mereka menggunakan pelbagai sumber maklumat untuk memastikan percutian mereka berjalan dengan lancar. Sumber maklumat utama yang sering digunakan adalah maklumat lisan daripada rakan atau saudara-mara, majalah dan suratkhabar serta pengalaman sendiri sebelum ini. Semasa di destinasi, perkhidmat pemandu pelancong misalnya, menjadi antara perkara wajib apabila melancong menggunakan pakej percutian. Penggunaan sistem kedudukan global (GPS) dan kompas juga banyak membantu pelancong apabila mereka sesat semasa dalam perjalanan baik di darat mahupun di dalam hutan. Majoriti pelancong tidak gemar melancong bersendirian. Rata-rata mereka suka bergerak dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada ahli keluarga atau rakan-rakan rapat. Berbanding dengan perantau dahulu, perjalanan mereka lazimnya bersendirian dan tiada agenda khusus. Arah perjalanan mereka adalah berdasarkan gerak hati dan panduan lisan yang diberikan oleh rakan dan ahli keluarga yang baru pulang daripada perantauan. Berpandukan kepada bantuan alam seperti aliran sungai, kedudukan bintang, arah terbenamnya matahari, arah dan jenis angin serta keadaan ombak, para perantau akan menentukan agar laluan perjalanan atau pelayaran mereka tidak tersasar. Perantau juga seboleh mungkin akan mengikut segala pantang larang yang dibekalkan oleh orangorang tua mereka untuk mengelakkan diri ditimpa bencana. Apabila mereka menghadapi masalah atau gangguan ketika di perantauan, hanya bekalan ilmu agama dan persilatan yang menjadi sandaran mereka. Hal ini menunjukkan bahawa kearifan tempatan menjadi tunjang kepada kelangsungan hidup para perantau semasa di perantauan.
This is pre‐published version
Dari aspek tempat penginapan pula, para perantau akan menumpang tinggal di rumah orang atau saudara-mara, masjid dan surau untuk tempoh yang tidak tetap dan tidak melibatkan sebarang urus niaga. Perhubungan yang terjalin antara perantau dengan tuan rumah serta masyarakat setempat adalah erat memandangkan perantau seboleh mungkin akan berintegrasi dengan budaya tempatan. Sebagai imbalan kepada kesudian tuan rumah menumpangkan mereka, terdapat perantau yang membantu mengerjakan tanah atau sawah tuan rumah. Jika dibandingkan dengan golongan pelancong pada masa kini, kemudahan penginapan berbayar telah banyak disediakan di sekitar tempat-tempat pelancongan seperti hotel, resort dan chalet. Kaedah tempahan juga boleh dibuat secara atas talian atau menerusi emel dan telefon. Komunikasi antara hos dan tetamu adalah terhad kecuali jika para pelancong menginap dan menyertai program inap desa atau homestay. Malah, tempoh menginap di destinasi pula adalah singkat berbanding dengan para perantau dahulu yang menumpang tinggal di rumah tuan rumah dalam tempoh yang agak lama. Persamaan dan perbezaan antara tradisi merantau dan aktiviti melancong telah dikenalpasti dan dirumuskan seperti dalam Jadual 1. Jadual 1 Perbandingan antara tradisi merantau masyarakat melayu tradisional dan aktiviti melancong masyarakat melayu moden pada masa kini Sebelum abad ke-19 hingga abad ke-20
Perkara
Tujuan utama perjalanan
1. 2. 3. 4. 5. 6. 7.
Berdagang Menuntut ilmu Menyebarkan ajaran agama Menunaikan ibadah haji Meneroka Mencari kehidupan baru Menjalinkan hubungan diplomatik dan perkahwinan antara kerajaan
Abad ke-21 sehingga kini 1. Rekreasi 2. Melawat rakan dan saudaramara 3. Perniagaan dan persidangan 4. Membeli-belah 5. Balik kampung
This is pre‐published version
Tempoh menetap di destinasi
Jenis penginapan
Pengangkutan yang digunakan
Bekalan semasa perjalanan Kaedah yang digunakan sekiranya sesat
Tempoh yang lama (berminggu-minggu, berbulanbulan ataupun bertahun-tahun 1. Menumpang rumah orang 2. Masjid/surau 3. Rumah rakan dan saudaramara
1. 2. 3. 4.
Kapal layar Perahu/sampan Haiwan tunggangan Berjalan kaki
1. Ilmu agama 2. Ilmu persilatan 1. 2. 3. 4. 5.
Mengikut arah aliran sungai Kedudukan bintang Arah jatuhnya matahari Arah dan jenis angin Keadaan ombak
Tempoh yang pendek (kurang daripada 2 malam dan 1-2 minggu) 1. Hotel (pelbagai bajet) 2. Resort 3. Rumah rakan dan saudaramara 4. Chalet dan rumah tumpangan 1. Kereta persendirian 2. Bas 3. Kapal terbang 4. Feri/bot 5. Keretapi 1. Duit perbelanjaan 2. Pakaian 3. Telefon bimbit 1. Sistem kedudukan global (GPS) 2. Kompas 3. Khidmat pemandu pelancong
Sumber: Wan Ramli (1999); Afif & Savaria (2008); Kajian lapangan penulis
Penutup Analisis perbandingan seperti di dalam Jadual 1 menunjukkan bahawa terdapat banyak elemen kearifan tempatan yang diamalkan oleh golongan perantau dahulu, tidak lagi dipraktikkan oleh golongan pelancong masa kini. Hal ini mungkin disebabkan generasi sekarang tidak mengetahui tentang perkara tersebut ekoran tiada pendedahan diberikan oleh ibu bapa atau datuk nenek mereka. Terdapat juga sebilangan pelancong yang menganggap ilmu ini tidak lagi relevan dengan zaman sekarang memandangkan kecanggihan teknologi dan komunikasi mampu menyelesaikan masalah dalam kadar yang cepat. Namun begitu, dalam aktiviti pelancongan tertentu seperti program inap desa dan eko-pelancongan, elemen-elemen kearifan tempatan didapati masih terus diamalkan bagi menjamin kelestarian budaya dan adat di samping menjamin kelangsungan hidup semasa menyertai aktiviti tersebut.
This is pre‐published version
Konsep menumpang tinggal di rumah orang semasa merantau telah diintegrasikan ke dalam program inap desa. Program inap desa dirangka bagi memberi peluang kepada golongan pelancong khususnya pelancong antarabangsa untuk tinggal bersama keluarga, berinteraksi, menimba pengalaman kehidupan seharian keluarga dan mempelajari budaya masyarakat tempatan. Para pelancong diajak untuk membantu dalam gotong-royong, aktiviti memasak, menguruskan kenduri dan sebagainya. Daripada segi pemakaian pula, peserta program digalakkan untuk memakai kain batik, kain pelekat, baju kurung dan baju Melayu seperti resmi tuan rumah. Banyak lagi adat dan pantang larang masyarakat Melayu yang turut diajarkan seperti membuka kasut sebelum masuk ke rumah, makan menggunakan tangan kanan, membasuh tangan sebelum makan, menganyam ketupat, mengupas dan mengukur kelapa dan sebagainya. Selain itu, amalan kearifan tempatan turut diterapkan kepada para pelancong semasa melakukan aktiviti eko-pelancongan seperti merentas hutan, ekplorasi gua, mendaki gunung dan bukit. Sebelum memulakan aktiviti, ketua renjer atau pemandu pelancong akan memberi taklimat ringkas kepada para pelancong tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dalam perjalanan dan di destinasi. Misalnya, apabila memasuki hutan, para pelancong dinasihatkan untuk tidak bercakap besar, menjerit, bersiul, tidur di atas pokok dan meredah sungai tanpa kasut bagi megelakkan sebarang kecelakaan. Mereka juga perlu diajar tentang kaedah alternatif untuk menghidupkan unggun api iaitu dengan menggeselkan dua ketul batu di atas kayu yang kering. Sampah-sarap selepas perkhemahan pula perlu ditimbus dengan tanah untuk mengelakkan binatang buas mengesan jejak peserta khemah. Memandangkan, peluang memperturunkan ilmu kearifan tempatan kepada generasi muda ini sedikit terbatas, maka adalah lebih baik jika ilmu-ilmu ini dapat
This is pre‐published version
diserapkan sebagai sebahagian agenda kokurikulum dalam aktiviti persatuan, unit beruniform dan kelab di semua peringkat sekolah dan universiti seperti Kelab Pelancongan, Kelab Rakan Muda, Kelab Rekreasi, Persatuan Pengakap, Renjer Puteri dan Kelab Kembara. Hal ini secara tidak langsung mampu mendidik dan mendisiplinkan generasi muda untuk mempunyai semangat berdikari yang tinggi. Sehubungan itu, dapat disimpulkan bahawa tradisi merantau masyarakat Melayu tradisional telah memberi implikasi positif terhadap evolusi pelancongan pada masa kini. Walaupun terdapat sebahagian tradisi merantau yang telah dilupakan, namun hakikatnya titik tolak permulaan budaya melancong sebenarnya lahir daripada sikap masyarakat dahulu yang suka mengembara. Pemahaman terhadap alam rantau dan alam kembara bukan sahaja dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat sekarang tentang asal-asul merantau masyarakat Melayu pada masa dahulu, malah dapat memupuk nilainilai murni dalam kalangan generasi muda kini untuk lebih menghargai tradisi merantau yang suatu ketika dahulu pernah menjadi amalan nenek moyang kita.
Bibliografi Khazrin, M. T. 2001. Dinamika Adat dan Tradisi Merantau di Alam Melayu. Dalam Abdul Latif, A. B. (Ed.), Adat Melayu Serumpun (pp. 73-85). Melaka: Perbadanan Muzium Melaka. Afif,
F., dan Savaria. 2008. Kebudayaan Minangkabau dan Perantauan. http://www.scribd.com/doc/50636800/16376462-Kebudayaan-MinangkabauDan-perantauan. (Diakses pada 25 Ogos 2011).
Azmie, M. Z. 2008. Sopan: Daripada Perspektif Pengurusan Organisasi. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distribution Sdn.Bhd. Dewan
Bahasa dan Pustaka. 2011. Pusat Rujukan http://prpm.dbp.gov.my/ (Diakses pada 15 Ogos 2011).
Persuratan
Melayu.
This is pre‐published version
Kamus
Bahasa Indonesia Online. 2011. Kamus Besar Bahasa Indonesia. http://kamusbahasaindonesia.org/merantau (Diakses pada 10 Ogos 2011).
Mohd, A. 2008. Kamus Peribahasa Kontemporari: PTS Professional. http://books.google.com.my/books?id=D7oNGh3CNF8C. (Diakses pada 22 Julai 2011). Roshana, A. 1985. Peranan Pantun dalam Masyarakat Melayu Tradisional. Jabatan Pesuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Syed Husin, A. 1979. Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya. Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn.bhd. Tajul Kelantan. 1958. Perinchis Pantun. Kota Bharu: Saudara Sinaran Berhad Bros. Ltd. Wan Ramli, W. M. 1999. Pantang Larang Orang Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn.bhd.