Takaful Semula
139
BAB A7
TAKAFUL SEMULA PENGENALAN Takaful semula (Retakaful) merupakan satu prosedur atau mekanisme melalui perjanjian yang membolehkan pengendali Takaful langsung yang dipanggil ‘cedant’ memindahkan atau menyerahkan sebahagian daripada risiko yang ditanggung kepada Pengendali Takaful atau Pengendali Takaful Semula yang lain. Objektif utama Takaful semula adalah untuk mengurangkan pendedahan risiko dan liabiliti cedant sekiranya berlaku tuntutan. Konsep perkongsian ini akan membolehkan pengagihan risiko yang lebih luas dan membolehkan Pengendali Takaful memanfaatkan sepenuhnya kelebihan peraturan bilangan jumlah besar. Kesimpulannya, Takaful semula berperanan menyumbang kearah mengurangkan beban kewangan dana Takaful. A7.1
DEFINISI TAKAFUL SEMULA
Takaful semula telah ditakrifkan di dalam pelbagai bentuk. Ia adalah “satu kontrak di mana berdasarkan kepada suatu balasan, seseorang itu bersetuju untuk membayar keseluruhan atau sebahagian pampasan kepada pihak ketiga atas kerugian atau liabiliti risiko yang telah dilindungi di bawah kontrak yang berasingan dan berlainan sebagai pengendali pihak ketiga”. Oleh yang demikian, kontrak Takaful semula adalah satu kaedah di mana pengendali mendapatkan pihak ketiga untuk melindunginya daripada kerugian atau liabiliti berdasarkan risiko sebenar perlindungan Takaful asal. 7.1.1
Pandangan Syari’ah terhadap Takaful Semula
Sejajar dengan resolusi ulama mengenai keharusan Takaful sebagai satu sistem insurans Islam, Takaful Semula (Retakaful) juga telah diputuskan sebagai telah mematuhi keperluan Syari’ah, berasaskan penggunaan prinsip-prinsip Takaful yang sama. Resolusi Akademi
140
Amalan Asas Takaful
Fekah (Resolusi No.9 Disember 1985) OIC mengenai subjek ini adalah sebagaimana berikut: ‘... kontrak insurans komersil yang biasa digunakan oleh syarikat insurans komersial adalah kontrak yang mengandungi unsur-unsur utama risiko yang dilarang mengikut hukum Syari’ah. Alternatif bagi insurans dan insurans semula mestilah berasaskan kepada prinsipprinsip insurans koperasi...' A7.2
PRINSIP-PRINSIP ASAS TAKAFUL SEMULA
Takaful semula adalah suatu aturan di mana sebuah syarikat iaitu Pengendali Takaful Semula, bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada Pengendali Takaful iaitu syarikat pemberi (ceding company) atas semua atau sebahagian risiko utama Takaful yang ditaja jamin oleh syarikat pemberi di bawah satu atau lebih kontrak Takaful. Walau bagaimanapun, Takaful semula tidak melepaskan syarikat pemberi daripada liabilitinya terhadap peserta. Dalam hal ini:
Peserta asal (pemegang sijil) tidak mempunyai sebarang hak terhadap Pengendali Takaful Semula dalam apa jua keadaan. Sekiranya Pengendali Takaful Semula menjadi tidak solven (muflis), syarikat pemberi masih menanggung liabiliti di bawah terma-terma kontrak. Sekiranya syarikat pemberi menjadi tidak solven (muflis), Pengendali Takaful Semula juga masih menanggung liabiliti di bawah terma-terma kontraknya. Pengendali Takaful Semula tidak mempunyai hak perundangan terhadap apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh peserta asal.
Berdasarkan dari definisi di atas, elemen-elemen penting Takaful semula boleh diringkaskan seperti berikut:
Takaful semula adalah sama seperti Takaful tetapi ia mempunyai kontrak yang berbeza dan berasingan daripada kontrak Takaful
Takaful Semula
141
yang asal. Kontrak Takaful semula mengambil format kontrak Takaful. Takaful semula boleh menanggung sebahagian daripada risiko, tetapi tidak boleh lebih dari itu. Kontrak Takaful semula hendaklah melindungi risiko yang sama seperti perlindungan Takaful yang asal. Kedua-dua sijil Takaful dan sijil Takaful semula hendaklah wujud pada masa yang sama.
7.2.1
Keperluan Takaful Semula
Takaful semula adalah satu mekanisma pengurusan risiko yang kritikal yang perlu dihadapi oleh Pengendali Takaful bagi mencapai objektif berikut:
Memastikan keberkesanan penyebaran risiko. Melalui proses ini, pasaran Takaful dan Takaful semula akan dapat berkongsi pembangunan dan pertumbuhan pasaran, dan dalam masa yang sama ia melindungi pengendali Takaful daripada pendedahan risiko yang melampau keatas liabiliti yang ditanggungnya.
Menyediakan kapasiti tambahan bagi Pengendali Takaful (penyerah) untuk menerima penyertaan risiko yang lebih besar dan kompleks yang mungkin melebihi keupayaan kewangan dan teknikal yang dimiliki.
Takaful semula mempunyai kesan penstabilan atau melicinkan aliran pendapatan dan kerugian sepanjang tempoh satu tahun, iaitu suatu tempoh yang agak panjang untuk mewujudkan kestabilan dan daya tahan kepada dana Takaful.
Dengan kepelbagaian dan jumlah besar risiko yang ditanggung dalam portfolio mereka, Pengendali Takaful Semula boleh membuat analisa kajian penyelidikan kerana ia mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas mengenai risiko. Ia mampu melihat dari perspektif yang berbeza dan lebih menyeluruh atau perspektif makro, dan dalam kebanyakan kes ia mampu menilai
142
Amalan Asas Takaful
risiko merentasi beberapa bidang kuasa yang berbeza. Maklumat yang unik ini boleh dikongsi dengan pengendali Takaful bagi tujuan memastikan pengurusan risiko yang lebih cekap. Ini seterusnya akan membantu Pengendali Takaful memanfaatkan data yang ada bagi tujuan mereka-bentuk produk baru, penetapan kadar sumbangan, dan yang lebih penting, mampu mewujudkan amalan pengunderaitan yang lebih menyeluruh dan kompetitif.
Dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mereka miliki, Pengendali Takaful Semula mampu menyediakan tenaga pakar dalam bidang pengunderaitan, reka bentuk risiko kewangan, perkhidmatan aktuari, penyelesaian IT, mekanisma pemindahan risiko alternatif (alternative risk transfer mechanism), pengurusan tuntutan, pemasaran, dan lain-lain kepada Pengendali Takaful.
Demi menjaga amanah peserta, Pengendali Takaful bersedia melindungi dan menjaga dana Takaful pada setiap masa dari terdedah kepada risiko buruk /tuntutan yang merugikan. Kepada peserta, keupayaan untuk membayar tuntutan oleh pengendali adalah suatu jaminan. Pengendali Takaful perlu berusaha untuk memenuhi janji seperti yang dinyatakan dalam sijil tentang kesediaannya untuk berkongsi lebihan operasi Takaful. Kemudahan dan kelebihan yang ada pada Takaful semula akan membantu Pengendali Takaful berusaha ke arah mencapai objektif berkenaan.
7.2.2
Bidang kuasa Syari’ah mengenai Takaful Semula dengan Syarikat Insurans Semula
Insurans semula dalam perniagaan Takaful di bawah prinsip-prinsip Islam dikenali sebagai Takaful semula, suatu konsep insurans semula yang mematuhi dan diluluskan oleh Syari’ah. Pada peringkat awal perniagaan Takaful, kemudahan insurans semula disediakan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional kerana:
Takaful Semula
7.2.3
143
Pengendali Takaful memiliki keupayaan yang terhad. Pengendali Takaful tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Tiada kemudahan Takaful semula. Pengendali Takaful semula adalah terhad. Pengendali Takaful Semula kekurangan modal. Pengendali Takaful Semula bertaraf ‘A’ amat terhad. Pepatah Undang-Undang (Legal Maxims) / PrinsipPrinsip Syari’ah
Antara Pepatah Undang-undang yang sesuai dan boleh digunakan dalam urusniaga Takaful semula adalah seperti berikut: Legal Maxims Al-Darurah Tubih alMahzurah
Keterangan Mengikut pendapat Ulama’, prinsip ini boleh digunakan sebagai suatu kelonggaran apabila wujud keadaan yang mendesak (darurat). Prinsip ini membenarkan umat Islam mengerjakan perkara yang dilarang semasa waktu biasa atau perbuatan yang menyalahi hukum Syari’ah.
Al-Darurah Tuqaddaru Biqadariha
Prinsip ini menyatakan bahawa Pengendali Takaful boleh menginsuranskan risiko yang ditanggungnya dengan syarikat insurans semula konvensional hanya pada bahagian risiko yang tidak dapat diTakafulkan dengan Pengendali Takaful Semula.
Ma Ubiha lil-Darurah Yataqaddaru Biqadariha
Prinsip ini menyatakan bahawa setakat mana had tindakan tersebut boleh dilakukan. Ini bermaksud bahawa
144
Amalan Asas Takaful
walaupun Ulama’ membenarkan melakukan perkara yang terlarang dalam waktu darurat, tetapi ia hendaklah tidak melampaui batas. Ma Jaza Li Uzrin Batala Bi Ziwallihi
7.2.4
Prinsip ini menyatakan bahawa perkara yang dibolehkan disebabkan darurat tidak lagi dibenarkan apabila keadaan darurat telah tiada. Apabila tiada darurat, undang-undang Syari’ah akan kembali digunakan, yang bermaksud `Takaful semula dengan syarikat insurans konvensional tidak dibenarkan’.
Garis Panduan untuk Pengendali Takaful Mengurus Takaful Semula dengan Syarikat Insurans Semula Konvensional
Kerjasama dalam urusniaga insurans semula dengan penanggung reinsurans konvensional tidak akan menjejaskan kedudukan kewangan dan ketidakstabilan sistem kewangan negara-negara Islam. Keutamaan hendaklah diberikan kepada Pengendali Takaful Semula sekiranya ada kemudahan tersebut. Pakar-pakar Pengendali Takaful Semula perlu bertindak dengan berhati-hati dalam menentukan kuantum liabiliti yang akan dilindungi. Pengendali Takaful perlu mengkaji semula keperluan Takaful semula setiap tahun dan berusaha seboleh mungkin mengurangkan penggantungan dengan reinsurans konvensional. Pengendali Takaful hendaklah menyatakan secara jelas syaratsyarat pengecualian dari membayar atau menerima sebarang bayaran yang mengandungi elemen faedah / bunga dari reinsurans konvensional.
Takaful Semula
145
Apabila kedudukan rezab kewangan mengizinkan dan terdapat Pengendali Takaful semula baru mula memasuki pasaran, penggantungan kepada reinsurans konvensional hendaklah ditamatkan. Gunakan perkhidmatan reinsurans konvensional hanya apabila risiko yang dilindungi tidak diterima oleh Pengendali Takaful atau Pengendali Takaful Semula. Gunakan perkhidmatan reinsurans konvensional hanya apabila Pengendali Takaful atau Pengendali Takaful Semula tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk menerima risiko berkenaan.
A7.3
JENIS-JENIS TAKAFUL SEMULA
Secara umumnya terdapat dua jenis Takaful semula iaitu fakultatif dan triti. Takaful semula triti boleh dibahagikan kepada dua: Triti Proposional dan Triti Bukan Proposional. Triti proposional boleh dikategorikan kepada tiga jenis: kongsi kuota (quota-share), surplus dan fakultatif obligatori. Begitu juga, triti bukan proposional boleh dibahagikan kepada dua jenis; lebihan kerugian (excess of loss) dan kerugian tersukat (stop loss). Perniagaan Takaful semula dikategorikan mengikut jenis perniagaan iaitu Takaful Semula Am dan Takaful Semula Keluarga. Dalam Takaful Semula Am, terdapat pengendali yang hanya menyediakan kemudahan Takaful semula untuk kelas tertentu sahaja. Sebagai contoh, terdapat pengendali yang menawarkan Takaful semula triti proposional, sementara pengendali lain menerima triti bukan proposional sahaja. Di seluruh dunia, hanya terdapat beberapa Pengendali Takaful Semula kerana ciri-ciri perniagaan yang begitu khusus, di samping memerlukan modal yang besar untuk memulakan perniagaan Takaful semula. Pengendali Takaful Semula berkenaan menawarkan perkhidmatan mereka mengikut pembahagian rantau tertentu di samping di peringkat antarabangsa, dengan pejabat-pejabat yang terletak di
146
Amalan Asas Takaful
pusat-pusat perdagangan dan luar pesisir utama. Contohnya, sindiket insurans Lloyds di London mempunyai keupayaan menyediakan perkhidmatan Takaful semula untuk pasaran antarabangsa. Satu lagi komponen penting dalam pasaran Takaful semula adalah broker. Perkhidmatan broker profesional Takaful semula biasanya digunakan untuk membantu pengendali Takaful mencari dan merundingkan program Takaful semula yang paling efektif. Gambar rajah berikut memberikan gambaran menyeluruh tentang jenis-jenis Takaful semula yang terdapat dipasaran: Carta Aliran Takaful Semula dan Insurans Semula Takaful Semula / Insurans Semula
Fakultatif
Triti
Proposional
Surplus
7.3.1
Bukan-Proposional
Kongsi Kuota (Quota Share)
Lebihan Kerugian
Kerugian Tersukat (Stop Loss)
Takaful Semula Fakultatif
Fakultatif adalah satu bentuk Takaful semula di mana kontrak dirundingkan bagi sijil Takaful atau perlindungan Takaful tertentu.
Takaful Semula
147
Kontrak ini biasanya memerlukan penyertaan kerana risiko atau perlindungan adalah besar atau luar biasa, dan Pengendali Takaful biasanya begitu berhati-hati berhadapan dengan pendedahan risiko yang sedemikian rupa. Syarikat mengesid (pengendali asal) boleh menawarkan kesemua atau sebahagian dari risiko kepada mana-mana syarikat Takaful semula dan syarikat Takaful semula tersebut bebas untuk memutuskan sama ada untuk menerimanya atau tidak. Takaful semula jenis ini biasanya akan digunakan bagi membolehkan syarikat mengesid/memindahkan sebahagian besar risiko merbahaya di mana skop perlindungannya diluar kemampuan kontrak triti. Ini merujuk kepada kaedah di mana sesuatu risiko (kes demi kes) diserahkan kepada Takaful semula dan sebahagian daripada sumbangan Takaful yang asal akan dibayar kepada Takaful semula mengikut peratusan pegangan. Biasanya komisen tertentu akan dikenakan ke atas Pengendali Takaful Semula. Pengendali Takaful Semula mempunyai pilihan untuk menerima atau menolak tawaran risiko berkenaan. Di bawah ini ialah ilustrasi penempatan risiko yang dibuat menggunakan kaedah Takaful semula fakultatif:
Pengendali Takaful X bercadang untuk menerima cadangan perlindungan bernilai RM10 juta Pengendali Takaful X mengekalkan RM1 juta Baki yang perlu disidkan ialah RM9 juta Sumbangan (contribution) Takaful asal ialah RM10,000
148
Amalan Asas Takaful
Takaful / Takaful Semula
Pengendali Takaful X Pengendali Takaful Semula A Pengendali Takaful Semula B Pengendali Takaful Semula C Jumlah 7.3.2
Amaun perlindungan / Kongsi Risiko (RM)
% Pegangan
Pegangan Sumbangan (contribution) (RM)
1,000,000
10%
1,000
2,700,000
27%
2,700
4,500,000
45%
4,500
1,800,000
18%
1,800
10,000,000
100%
10,000
Takaful Semula Triti
Triti adalah suatu perjanjian tahunan yang dibuat secara bertulis di antara Pengendali Takaful Langsung (pejabat pengesid) dan Pengendali Takaful Semula (pejabat penerima), di mana Syarikat Takaful Semula (penerima) secara automatik akan menerima apa-apa penyerahan hak / bahagian perlindungan yang termasuk dalam syaratsyarat perjanjian. Sisen (cession) ialah sejumlah unit / amaun Takaful yang dipindahkan kepada Pengendali Takaful Semula. Perjanjian (triti) ini akan berkuatkuasa untuk tempoh masa tertentu dan tertakluk kepada sekatan kepada jenis risiko atau nilai yang terlibat. Perjanjian itu menyediakan kemudahan secara automatik, iaitu telah dipersetujui lebih awal dan biasanya rundingan hanya perlu diadakan setiap tahun pembaharuan. Kaedah Takaful semula ini biasanya dikendalikan berasaskan ‘portfolio’, iaitu mana-mana nilai risiko yang melebihi had bendungan (retention limit) Pengendali Takaful akan memindahkannya (cede) kepada Pengendali Takaful Semula. Biasanya dalam tempoh setahun perjanjian, semua risiko dalam
Takaful Semula
149
portfolio yang dipersetujui akan dipindahkan dan secara automatik akan diterima oleh Pengendali Takaful Semula. Urusan perakaunan yang berkaitan dengan portfolio ini akan disediakan dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian triti ini setiap suku tahunan. Perbezaan ketara antara fakultatif dan triti ialah dalam fakultatif, risiko dipindahkan mengikut kes (case to case basis) sementara triti pula merujuk kepada program Takaful semula secara pukal (wholesale) yang disidkan dalam tempoh tertentu yang telah dipersetujui. Takaful semula triti boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu proposional dan bukan proposional. 7.3.3
Triti Proposional
Dalam Takaful semula proposional, amaun yang dibendung dan amaun yang disidkan mewakili nisbah tertentu jumlah perlindungan asal yang diterima oleh pejabat mengesid dan sumbangan / premium yang diterima oleh pejabat pengesid akan dikongsi dalam kadar yang sama. Begitu juga, pembayaran tuntutan akan dikongsi bersama oleh pejabat mengesid dan Pengendali Takaful Semula dalam kadar yang sama. a. Kongsi Kuota (Quota Share) Merujuk kepada perjanjian triti di mana pejabat mengesid terikat untuk memindahkan risiko dan Pengendali Takaful perlu menerima bahagian yang ditetapkan bagi setiap risiko dalam portfolio risiko yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Perjanjian ini ditetapkan dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh, sekiranya pejabat mengesid mengambil 20%, syarikat Takaful Semula akan mengambil baki 80%. Caruman Takaful semula dikongsi secara nisbah sumbangan Takaful asal dan setelah mengambil kira kadar komisen yang dipersetujui. Begitu juga dengan liabiliti tuntutan, ia akan dikongsi megikut bahagian masing-masing.
150
Amalan Asas Takaful
Kaedah pengendalian seperti ini biasanya digunakan oleh Pengendali Takaful baru yang tidak mempunyai rekod Takaful semula atau mempunyai pengalaman tuntutan yang buruk. Dengan cara ini, risiko yang baik dan risiko buruk dapat dikongsi bersama bagi mengelakkan anti pemilihan. Syarikat mengesid mesti memindahkan risiko dan Pengendali Takaful Semula mesti menerima bahagian yang dipersetujui bagi setiap risiko yang diambil oleh syarikat mengesid. Syarikat mengesid tidak boleh membendung semua risiko, tidak kira betapa kecil jumlah yang dilindungi. Triti digunakan dalam keadaan berikut:
apabila ia melibatkan perniagaan baru yang amat memerlukan perlindungan Takaful semula pada tahun-tahun awal perlindungan disebabkan kekurangan pengalaman dan kedudukan kewangan tidak mengizinkan. apabila surplus/lebihan milik syarikat mengesid mengalami kemerosotan yang ketara. untuk mencapai skala ekonomi sewajarnya dalam pengendalian Takaful semula.
b. Surplus / Lebihan Pengendali Takaful Semula Triti berhak untuk berkongsi apa-apa risiko lebihan yang diterima oleh pejabat mengesid, iaitu surplus yang melebihi had bendungan pejabat mengesid sehingga ke had triti. Had kapasiti triti ditunjukkan dalam bentuk lini (lines), dimana satu lini menandakan bendungan risiko syarikat mengesid. Oleh itu, triti sepuluh lini bermaksud jumlah keseluruhan kapasiti kasar syarikat mengesid ialah sebelas kali ganda berbanding dengan amaun yang dibendung. Melalui kaedah ini, Pengendali Takaful (cedant) akan menyerahkan surplus/lebihan keseluruhan risiko yang melebihi had bendungan kepada pengendali Takaful semula, sementara
Takaful Semula
151
pejabat mengesid hanya menanggung risiko dengan nilai yang lebih kecil. Sumbangan Takaful semula yang diserahkan kepada Pengendali Takaful Semula adalah seimbang dengan sumbangan asal Takaful, setelah ditolak komisen untuk pejabat mengesid. Bayaran komisen dikenakan untuk menampung kos pengambilalihan oleh pejabat pengesid. Menggunakan kaedah yang sama, liabiliti tuntutan dibayar mengikut bahagian masingmasing. Di samping itu, perkongsian surplus yang digelar ‘komisen keuntungan’ dana Takaful semula juga dimasukkan dalam triti. 7.3.4
Triti Bukan Proposional
Triti ini hanya akan berfungsi apabila amaun tuntutan melebihi had yang ditetapkan oleh pejabat pengesid. Pejabat pengesid dan Pengendali Takaful Semula tidak berkongsi setiap kerugian dalam kadar yang tetap, malah mungkin sebahagian kerugian tidak dikongsi sama sekali. Syarikat mengesid akan bertanggungjawab bagi semua kerugian dibawah had amaun kerugian, sementara Pengendali Takaful Semula akan bertanggungjawab membayar baki pampasan yang melebihi had yang dinyatakan, biasanya untuk had kerugian tertinggi. Ia merujuk kepada satu persetujuan di mana pejabat pengesid akan menggunakan teknik lindung nilai yang meletakkan had tuntutan, terutamanya terhadap kerugian akibat bencana. Tidak seperti triti proposional, kaedah bukan proposional membolehkan pejabat pengesid memindahkan (ceding) jumlah kerugian sahaja, berbanding dengan mengesidkan risiko dibawah kaedah proposional. Kaedah ini menjadi lebih berkesan apabila jumlah kerugian bersih yang ditanggung oleh pejabat pengesid disebabkan oleh satu kes kerugian besar atau beberapa siri kerugian yang melebihi had yang dipersetujui dibawah triti. Caruman Takaful semula yang dipanggil Sumbangan Deposit Minimum MDC) yang dikenakan di bawah Takaful semula bukan proposional tidak berasaskan kepada sumbangan Takaful asal tetapi berdasarkan kepada struktur penentuan harga yang mengambil kira pengalaman kerugian dan anggaran jumlah sumbangan tahunan bagi kelas perniagaan berkaitan untuk tempoh tiga tahun yang lalu.
152
Amalan Asas Takaful
Terdapat dua jenis triti bukan proposional iaitu: a. Lebihan Kerugian Pejabat pengesid membayar pampasan bagi setiap tuntutan dan setiap risiko sehingga mencapai had yang ditetapkan, sementara Pengendali Takaful Semula membayar jumlah tuntutan yang melebihi had tersebut sehingga ke had jumlah tertentu. Urusan Takaful semula dikendalikan dalam bentuk lapisan (layers) dengan penetapan pelbagai had dan deduktibel. Ia mungkin boleh diseleggarakan dalam bentuk akaun menyeluruh atau akaun berasingan mengikut kelas perniagaan. b. Kerugian Tersukat (Stop Loss) Triti lebihan nisbah kerugian juga dikenali dengan nama triti stop loss. Triti ini direka bentuk untuk menghalang turun naik yang drastik dalam nisbah tuntutan portfolio tertentu dalam tempoh satu tahun kewangan. Contohnya, jika akaun Takaful kebakaran mencatatkan nisbah kerugian 60% untuk beberapa tahun yang lalu dan pihak syarikat menetapkan objektif untuk menghalang nisbah tersebut terus meningkat sehingga ke tahap 90% dalam tahun-tahun tertentu, maka pihak syarikat akan membeli polisi perlindungan lebihan nisbah kerugian pada tahap 90% sehingga 120%. Perlindungan ini direka untuk menghalang turun naik dalam nisbah tuntutan. Ia melindungi Pengendali Takaful terhadap agregat jumlah tuntutan sepanjang tempoh tertentu yang biasanya sepanjang tempoh perjanjian, agar tidak melebihi peratusan yang ditetapkan berbanding dengan jumlah sumbangan Takaful. Takaful semula lebihan nisbah kerugian tidak melindungi tuntutan individu. Kaedah kawalan lebihan nisbah kerugian melindungi pejabat pengesid dari kemungkinan jumlah keseluruhan nisbah kerugian melebihi had amaun tertentu yang telah ditetapkan atau peratusan tertentu jumlah sumbangan Takaful dari kelas perniagaan tertentu. Sebagai contoh, sekiranya
Takaful Semula
153
nisbah kerugian portfolio perniagaan melebihi had yang dipersetujui, katakan 120%, maka Takaful semula akan membayar lebihan itu sehingga ke had lain yang dipersetujui, katakan 160%. Pada dasarnya, Takaful semula lebihan nisbah kerugian dirangka bagi tujuan melindungi Pengendali Takaful dari pendedahan baki bersih terhadap pengalaman tuntutan yang merugikan. 7.3.5 RetroTakaful Risiko Takaful semula sama seperti risiko Takaful, iaitu ia perlu diurus dan dilindungi oleh Pengendali Takaful Semula melalui pelbagai mekanisma yang terdapat di pasaran. Dalam hal ini, Pengendali Takaful Semula perlu mempunyai program retroTakaful yang sesuai dengan kaedah proposional dan bukan proposional. Berdasarkan dari perkembangan semasa dan disebabkan ketidakcukupan kapasiti retroTakaful, sebahagian besar daripada risiko retroTakaful dipindahkan ke pasaran konvensional, sehinggalah apabila pasaran Takaful semula telah berkembang maju sepenuhnya dan menyeluruh. A7.4
FUNGSI TAKAFUL SEMULA
Fleksibiliti Tanpa Takaful semula, Pengendali Takaful hanya akan menerima risiko dalam jumlah dan jenis yang mereka mampu menanganinya berdasarkan dari sumber-sumber yang mereka ada. Ini akan menghadkan perkhidmatan yang boleh disediakan kepada orang ramai dan juga akan menimbulkan kesukaran kepada pelanggan.
Pengembangan Takaful semula boleh menyediakan kepakaran tambahan kepada pengendali dalam bidang di mana pengendali mempunyai pengalaman, kepakaran atau pengetahuan yang terhad. Dengan
154
Amalan Asas Takaful
memberikan kemudahan ini dan menerima sebahagian atau semua risiko, syarikat yang menerima risiko dapat membantu pengendali memperkenalkan dan mengembangkan barisan produk yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.
Penghimpunan Pengendali tidak dapat menanggung kerugian atas beberapa risiko yang berbeza yang terhasil daripada satu kejadian atau peristiwa. Sebagai contoh, pengendali mungkin boleh melindungi sekumpulan individu yang bekerja dibeberapa buah syarikat dan lokasi tempat kerja yang berbeza pada satu-satu masa, dan mungkin mereka menaiki kapal terbang yang sama. Jika kapal terbang terhempas dan semua penumpang terbunuh, tuntutan yang perlu dibayar mungkin jauh melebihi kerugian maksimum yang telah ditentukan terlebih dahulu. Takaful semula membantu pengendali menghadkan kerugian kepada suatu jumlah yang mampu ditanggug oleh pengendali berkenaan.
A7.5
PENGURUSAN RISIKO DI BAWAH TAKAFUL SEMULA
7.5.1
Rangka Kerja Kawalan Takaful Semula (BNM/RH/GL/004-12)
Demi memastikan perniagaan Takaful semula dapat berkembang maju sejajar dengan pertumbuhan perniagaan Takaful di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menggubal satu rangka kerja kawal selia (Rangka Kerja Kawalan Takaful Semula (BNM/RH/GL/004-12) untuk Pengendali Takaful Semula seperti berikut: Rangkakerja Kawalan Pengendali Takaful Semula Kekukuhan kedudukan kewangan dan Fleksibiliti Kewangan
Keterangan/Catatan Pemohon mesti mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, sokongan modal yang
Takaful Semula
155
memuaskan dan berupaya mencatat rekod keuntungan operasi yang menggalakkan untuk memastikan Pengendali Takaful semula baru yang dicadangkan mampu menyediakan jaminan perlindungan dan komitmen berterusan terhadap operasi Takaful semula di Malaysia; Pemohon perlu mempunyai gabungan modal berbayar dan lebihan sekurangkurangnya USD100 juta dan mencapai taraf kedudukan antarabangsa atau penarafan yang baik dari agensi penarafan yang diiktiraf. Pengalaman dalam bidang Takaful/Takaful semula
Pemohon perlu mempunyai pengalaman mengendali pelbagai jenis perniagaan Takaful semula. Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepakaran teknikal tertentu yang boleh memberi manfaat kepada pasaran Takaful Malaysia dan rantau ini.
Kemampuan untuk menyumbang ke arah agenda nasional
Pemohon mestilah dapat menunjukkan bahawa Pengendali Takaful Semula yang dicadangkan boleh menyumbang secara
156
Amalan Asas Takaful
berkesan kepada pembangunan industri Takaful dan seterusnya menyokong usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan dan Bank untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. Pertimbangan akan diberikan kepada pemohon yang bercadang untuk menubuhkan Takaful semula di Malaysia dan menjadikannya sebagai pusat perniagaan Takaful semula serantau atau antarabangsa; dan Pemohon juga dikehendaki menyediakan pelan perancangan kearah memindahkan pengetahuan teknikal kepada pasaran Takaful tempatan dan mengoptimumkan bakat tempatan dalam pengurusan syarikat. Daya maju operasi di Malaysia
Pelan perniagaan Pengendali Takaful Semula yang dicadangkan penubuhannya di Malaysia perlu menunjukkan daya maju dalam tempoh 5 tahun berdasarkan unjuran yang realistik.
Takaful Semula
7.5.2
157
Kapasiti Pembendungan (Retention Capacity)
Semua Pengendali Takaful mesti mempunyai had pembendungan (retention limit) kerana adalah penting untuk menetapkan had liabiliti demi melindungi modal, keuntungan, dan juga mampu terus membayar dividen yang munasabah. Yang paling penting ialah dapat menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dalam aset bebas (keuntungan modal dan keuntungan terkumpul) supaya dapat menyokong pertambahan dalam sumbangan / premium. Pembendungan ditakrifkan sebagai "had liabiliti yang biasanya dinyatakan dalam bentuk amaun kewangan, yang ditanggung oleh Pengendali Takaful dalam akaun bersih selepas Takaful semula". Ia juga boleh ditakrifkan sebagai 'jumlah maksimum yang mampu dibayar oleh Pengendali Takaful disebabkan kerugian atas sijil, risiko atau kumpulan risiko. Oleh itu, pembendungan akan melibatkan risiko tunggal atau siri risiko, atau kerugian tunggal atau siri kerugian.
Proses penetapan had pembendungan melibatkan beberapa faktor. Had pembendungan ditetapkan berdasarkan kelas perniagaan secara berasingan (keluarga, kebakaran, kemalangan, marin, penerbangan dan lain-lain) dan dalam setiap kelas perniagaan terdapat beberapa sub-bahagiannya. Ia juga mungkin ditetapkan berdasarkan jumlah pembendungan keseluruhan berbanding dengan gabungan portfolio pelbagai kelas. Walaupun faktorfaktor yang menentukan had pembendungan telah menjadi pengetahuan umum, Pengendali Takaful boleh menggunakan nilai yang berbeza bagi setiap faktor dan seterusnya menghasilkan keputusan yang berbeza juga. Oleh itu, adalah penting untuk menetapkan had pembendungan optimum untuk setiap Pengendali Takaful, bukannya had pembendungan yang paling tepat. Had pembendungan optimum boleh membantu Pengendali Takaful meyediakan rangka kerja untuk mencapai objektif tertentu korporat. Oleh itu, jika terdapat dua Pengendali Takaful dengan portfolio yang sama tetapi mempunyai matlamat korporat yang berbeza, besar kemungkinan mereka mempunyai had pembendungan yang berbeza.
158
Amalan Asas Takaful
Tujuan utama Pengendali Takaful menetapkan had pembendungan adalah untuk mengawal keadaan turun naik dalam: (a) nisbah kerugian, (b) pendapatan perniagaan, atau (c) aliran tunai. Mana-mana Pengendali Takaful akan berhadapan dengan pilihan pengunderaitan samada mengunderait sebanyak mungkin risiko atau meminimumkan risiko. Dengan mengunderait risiko yang lebih tinggi, pengendali akan berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi; tetapi jika pengendali tidak berbuat demikian, ia mampu untuk mengunderait lebih banyak kes. Oleh itu, pengendali mesti menetapkan tahap pembendungan atau kapasiti pada tahap yang optimum. Dalam usaha menentukan had keupayaan pembendungan bagi setiap pengendali, perkara yang juga perlu diberi perhatian ialah pengalaman tuntutan. Selain daripada memberi kesan kepada jumlah pembendungan dan nisbah pendapatan caruman kasar, ia juga akan memberi kesan kepada kos dan / atau amaun Takaful semula yang Pengendali Takaful Semula bersedia untuk menawarkannya. Juga, semakin kurang pengalaman tuntutan, sepatutnya semakin konservatif polisi pembendungannya. Ini adalah kerana tahap ketepatan yang boleh dicapai dalam menganggarkan kos tuntutan masa depan mempunyai kaitan langsung dengan jumlah data yang didapati mengenai kekerapan dan ketenatan sesuatu tuntutan. Cara termudah untuk mengukur pengalaman tuntutan ialah melalui nisbah tuntutan, iaitu nisbah kos tuntutan yang dibayar untuk tempoh tertentu dibahagikan dengan pendapatan caruman/sumbangan bagi tempoh yang sama. Nisbah boleh diukur sama ada untuk akaun kasar atau caruman Takaful semula bersih dan mendapatkan kembali tuntutan. Dengan mengira nisbah tuntutan kasar atau bersih, kita akan mendapati bahawa tahap turun naik kos tuntutan berbanding dengan pendapatan dari caruman / sumbangan, dan sejauh mana berkesannya pengendali menguruskan Takaful semula untuk mengurangkan kadar turun naik akaun pembendungan, berbanding dengan akaun kasar.
Takaful Semula
159
Menurut kajian yang dijalankan, ‘saiz relatif turun naik dalam nisbah tuntutan kasar dari masa ke masa akan cenderung untuk berubah dengan saiz akaun seperti yang diukur oleh pendapatan premium (sumbangan)’. Ringkasnya, semakin kecil pendapatan sumbangan / premium kasar, semakin rendah kapasiti pembendungan. Kesimpulannya, strategi korporat Pengendali Takaful memainkan peranan penting dalam menentukan keupayaan pembendungan pengendali. Pengurusan Pengendali Takaful berbeza dalam falsafah, pandangan, pengalaman, pengetahuan dan juga sikap terhadap risiko.
160
Amalan Asas Takaful