Topik
X
9
Perubahan dalam Adat Melayu
HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1.
Membincangkan perubahan yang berlaku terhadap adat Melayu yang sesuai dengan peredaran masa; dan
2.
Menghuraikan secara umum sistem protokol dan keperluannya.
X PENGENALAN Masyarakat Melayu sekarang mengalami perubahan dalam mencorakkan budaya hidup. Masa dan waktu serta kemodenan corak kehidupan telah mengubah adat istiadat Melayu lama. Ini bermakna, mereka tidak lagi mengamalkan adat istiadat lama secara keseluruhan. Mereka telah mengamalkannya secara terpilih. Perubahan ini ada kaitan dengan perkembangan agama Islam. Kalau dahulu, mereka terpengaruh dengan ajaran dan amalan animisme. Disebabkan masyarakat moden sekarang telah mempelajari dan mendalami selok-belok agama Islam, perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai agama diketepikan. Malah, pejabat agama negeri dan persekutuan yang didokong oleh para alim ulama memainkan peranan untuk memberi fatwa serta kupasankupasan secara ilmiah tentang sesuatu perkara atau adat yang bertentangan dengan ajaran agama.
TOPIK 9
9.1
PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
W
103
KONSEP BERUBAH: JELAS DAN KONKRIT
Konsep adat dan istiadat Melayu tidak lagi bersandarkan konsep yang dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu atau agama lain. Masyarakat Melayu telah mengambil sebahagian besar ajaran agama Islam untuk dijadikan adat dalam kehidupan seharian. Zaman sekarang, adat yang diamalkan semakin jelas. Hanya perkara-perkara yang wajib dan yang dituntut oleh hukum agama sahaja yang perlu diamalkan oleh masyarakat Islam.
Amalan dan kepercayaan yang menimbulkan unsur khurafat dan mendatangkan dosa sudah diketepikan. Sekiranya amalan itu menimbulkan waswas atau syak wasangka, mereka akan merujuk sesuatu perkara dengan pihak majlis agama daerah ataupun negeri. Malah, para alim ulama dan ustaz juga menjadi tempat rujukan. Masyarakat Melayu mengamalkan adat yang ringkas atau mudah dari segi pengurusan. Ini untuk menjimatkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat. Contoh yang paling jelas ialah adat istiadat dalam perkahwinan. Antara adat istiadat yang semakin dilupakan oleh kebanyakan masyarakat adalah: (a)
Adat berinai curi, berinai kecil dan berinai besar;
(b)
Mandi berhias;
(c)
Adat bersuap-suapan; dan
(d)
Adat mandi-manda.
Di samping itu, masyarakat Melayu juga telah melupakan: (a)
Adat mengenakan pakaian pengantin secara berlebih-lebihan;
(b)
Kenduri-kendara yang memakan masa dua hingga beberapa hari;
(c)
Peraturan makan oleh tetamu;
(d)
Khemah jamuan yang dihias berlebih-lebihan; dan
(e)
Jenis buah tangan yang diberikan kepada tetamu.
104 X TOPIK 9 PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
9.2
SALAH FAHAM, MERUMITKAN DAN MEMBUANG MASA
Pada zaman sekarang, adat istiadat masyarakat Melayu mengalami perubahan bertujuan untuk menghindarkan salah fahaman dalam kalangan masyarakat. Adat istiadat yang diamalkan berkonsep Islam adalah lebih jelas supaya masyarakat lebih memahami keadaan dan tuntutan mengikut ajaran agama Islam. Hubungan masyarakat di bandar besar yang tinggal di taman perumahan, semakin renggang perhubungannya. Oleh itu, amalan adat istiadat melibatkan keluarga diadakan secara ringkas. Salah satu segi, ini dapat menggelakkan kerumitan dari aspek pengurusan. Contohnya, untuk jamuan makan atau kenduri, tuan rumah lebih senang mengupah tukang masak atau katerer untuk menguruskannya. Ini disebabkan masyarakat Melayu sekarang tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga manusia untuk memasak serta menyediakannya kepada tetamu. Di samping itu, perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam telah mengurangkan pembaziran masa. Masyarakat sekarang hanya menyediakan hal kewangan untuk mengupah orang lain yang lebih pakar untuk menyediakannya. Secara tidak langsung, ini dapat menggelakkan masalah masa yang sebelum ini terpaksa menyediakan segala kelengkapan dalam tempoh masa yang lama. Contohnya, untuk mengadakan majlis perkahwinan, mereka perlu mengupah seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Mereka hanya perlu menyediakan anggaran kewangan persiapan dan penyelenggaraan sahaja. Kehidupan masyarakat sekarang lebih kepada tuntutan masa. Masa bergerak dengan pantas. Oleh itu, segala kerja harus dilaksanakan dengan pantas tetapi cukup meriah. Disebabkan tuntutan waktu, masyarakat Melayu sudah terikutikut dengan sistem masa. Mereka mengambil konsep untuk menyegerakan segala kerja kerana ini akan menjimatkan tenaga, waktu dan penggunaan tenaga manusia.
9.3
DARI ISTIADAT KE PROTOKOL
Majlis yang dikategorikan sebagai rasmi memerlukan adat istiadat. Ini yang diamalkan dan dipraktikkan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu. Namun begitu, majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, pelantikan pembesar atau raja dan lain-lain lagi, adat istiadat masih diguna pakai. Pemakaian adat ini dikekalkan dengan tujuan untuk mempertahankan adat istiadat Melayu itu sendiri.
TOPIK 9
PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
W
105
Namun begitu, pada zaman sekarang, perihal adat istiadat telah bertukar kepada protokol. Protokol bermakna satu sistem yang lebih bersopan santun yang perlu diamalkan dalam hubungan yang lebih rasmi.
Ianya digubal dan disusun untuk merujuk kepada segala perkara dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam menganjurkan sesuatu majlis rasmi. Protokol telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan supaya sesuatu majlis dapat disempurnakan dengan lebih tersusun dan teratur. Majlisnya melibatkan pembesar negara, negeri dan juga daerah. Contohnya, protokol tempat duduk dalam sesuatu majlis, garis panduan yang diadakan dengan tujuan untuk memberikan penghormatan dan penghargaan yang sewajarnya kepada seseorang pembesar. Penghormatan ini termasuklah cara memanggil gelaran, susunan tempat duduk dalam sesuatu majlis dan cara sambutan. Ini untuk menentukan keutamaan dan taraf pegawai yang diraikan.
9.4
PERUBAHAN ISTIADAT
Zaman telah berubah. Generasi sekarang tidak lagi mengambil kira semua adat resam dan istiadat yang telah diamalkan sejak dari dulu. Kehidupan moden menuntut segala perubahan ini. Generasi milenium dianggap generasi yang progresif. Kehidupan mereka adalah untuk ikhtiar hidup (survival). Lantaran itu, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk memikir dan mengambil unsur-unsur yang remeh-temeh. Malah, terdapat adat istiadat yang bertentangan dengan ajaran agama. Oleh itu, banyak perkara yang berunsur animisme dan kepercayaan karut telah diketepikan. Pada bahagian ini, dikemukakan pandangan secara ringkas tentang perubahan-perubahan yang telah berlaku dalam amalan masyarakat Islam sekarang.
9.4.1
Kelahiran
Banyak adat berkaitan dengan kelahiran telah dilupakan dan tidak diamalkan lagi. Banyak perkara yang menjadi pantang larang telah dilupakan. Antaranya ialah berkaitan dengan tingkah laku.
106 X TOPIK 9 PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
Pada zaman dahulu, dikatakan tingkah laku ibu dan bapa akan memberi kesan dan akan berjangkit kepada bayi yang bakal dilahirkan. Contohnya, dengan melakukan perkara berikut dikatakan akan memberi kesan kepada bayi: (a)
Duduk secara terkangkang;
(b)
Makan sambil berdiri; dan
(c)
Ketawa terbahak-bahak dan lain-lain lagi.
Masyarakat sekarang telah didedahkan dengan ilmu agama Islam yang lebih mendalam. Setiap perkara yang berlaku dalam hidup dan pembentukan watak seseorang adalah takdir Allah. Anak yang cacat atau tidak sempurna sifatnya adalah ketentuan Ilahi. Upacara yang merangkumi pantang larang adakala memberi kebaikan kepada ibu yang mengandung. Disebabkan perkembangan masa dan dunia perubatan yang semakin moden, khidmat bidan kampung yang tidak ada tauliah diberhentikan. Kini, bidan kampung tidak dibenarkan sama sekali untuk membidani kelahiran anak di rumah. Ini disebabkan terdapat statistik kematian yang tinggi semasa ibu hendak melahirkan anak. Contoh lain, anak lemas dalam perut tanpa dapat dikesan, pecah ekoran kerana tolakan yang kuat semasa membantu kelahiran anak dan sebagainya. Oleh itu, tugas mak bidan hanya setakat „ritual‰ sahaja bukan untuk proses kelahiran bayi. Zaman sekarang, semua ibu mengandung terpaksa bersalin di hospital atau klinik berdaftar. Kalau dahulu, ibu selepas bersalin menggunakan ubat dalam bentuk rempah-ratus tetapi kini, digunakan ubat yang dalam bentuk kapsul. Namun begitu, terdapat polisi baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) yang mengiktiraf bidan kampung. Khidmat bidan kampung yang mendapat tauliah masih digunakan untuk menyambut bayi yang baru lahir di rumah tetapi mesti diselia sama oleh jururawat Kerajaan. Masalah kelahiran sekarang hanya tertumpu kepada pantang sahaja. Bengkung hanya disapukan krim yang lebih ringkas dan mudah daripada melumur limau yang dicampurkan dengan kapur serta rempah-ratus yang lain. Cara begini lebih ringkas dan tidak kotor.
TOPIK 9
PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
W
107
Namun begitu, terdapat juga pantang yang disyorkan oleh perubatan moden supaya meneruskannya. Antara yang disyorkan adalah: (a)
Pantang bekerja selepas bersalin;
(b)
Urut-mengurut selepas bersalin;
(c)
Menyusukan anak sehingga berusia dua tahun; dan
(d)
Mengelak makanan yang memudaratkan kesihatan.
9.4.2
Perkahwinan
Adat perkahwinan orang Melayu turut mengalami perubahan. Adat-adat perkahwinan zaman dahulu sudah ditinggalkan dan tidak dipraktikkan lagi. Banyak adat perkahwinan telah diubah suai selaras dengan tuntutan semasa. Pengaruh hidup semasa telah menyebabkan masyarakat mengetepikan beberapa elemen adat yang dianggap tidak sesuai lagi dengan tuntutan zaman.
Rajah 9.1: Tiga faktor perubahan dalam adat perkahwinan
Perubahan dalam adat perkahwinan disebabkan oleh tiga faktor (lihat Rajah 9.1): (a)
Pendidikan Generasi sekarang telah memperoleh pendidikan secara formal. Lantaran itu, mereka sudah mampu berfikir secara rasional berkaitan dengan adat istiadat Melayu. Mereka telah mampu berfikir untuk menilai adat-adat lama yang masih dianggap relevan ataupun tidak sesuai dengan kehendak masyarakat zaman sekarang.
108 X TOPIK 9 PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
(b)
Agama Ajaran agama Islam semakin dihayati oleh generasi muda. Pengajaran agama semakin berleluasa di institusi formal, masjid dan madrasah. Oleh itu, generasi muda semakin mendekati agama Islam. Mereka dapat menilai unsur-unsur adat dalam perkahwinan yang bertentangan dengan syariat. Mereka telah mengetepikan adat yang bertentangan dan menyerupai ajaran Hindu. Antara yang diketepikan adalah bersanding dan berhias secara lebih-lebihan.
(c)
Pengaruh Barat Pada masa sekarang, pengaruh Barat amat kuat menyelubungi hidup generasi muda sehingga mempengaruhi adat perkahwinan. Mereka lebih banyak mengamalkan sikap individualistik dan materialistik. Mereka berjaya meringkaskan majlis perkahwinan. Mereka tidak lagi mengambil masa yang lama untuk menyediakan sesuatu majlis kenduri-kendara.
Hubungan sosial dan cara berfikir golongan remaja dan keluarga telah mengubah situasi hidup. Kalau zaman dahulu, hampir keseluruhan pertemuan jodoh ditentukan oleh ibu bapa. Berkenan pada kaca mata ibu bapa, maka itulah yang terbaik untuk anak-anaknya. Namun, sekarang pilihan jodoh ditentukan oleh lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin. Sebelum berkahwin, mereka telah mengenali antara satu sama lain. Pergaulan mereka agak bebas. Mereka sudah mampu berjumpa pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ibu bapa sudah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang perkahwinan. Setelah kedua-dua remaja berkenaan bersetuju untuk berkahwin, majlis merisik berkemungkinan diadakan tetapi ini tidak memberi kesan kepada kedua-dua pihak. Ini disebabkan kedua-dua keluarga sudahpun mengenali bakal menantu masing-masing. Namun, majlis meminang masih diadakan. Majlis peminangan zaman sekarang diadakan secara ringkas sahaja. Tidak ada lagi penggunaan pantun dan perbilangan semasa majlis peminangan berlangsung. Sekarang ini, tidak ada lagi pemantun yang mahir untuk melaksanakan tugasnya. Beberapa adat lain tidak lagi diamalkan. Antaranya adat menyerambi dan tempoh pertunangan yang semakin singkat. Masyarakat sekarang tidak lagi menitikberatkan membaca al-Quran, berqasidah dan berzanji, maka adat menyerambi diketepikan. Malah, pantang larang semasa bertunang sudah diabaikan. Anak perempuan tidak lagi memerap di rumah. Hubungan antara lelaki dan perempuan semakin erat. Mereka sudah bebas untuk keluar bersama ke mana-mana sahaja.
TOPIK 9
PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
W
109
Adat kerja kahwin atau kenduri kahwin juga sudah berubah. Kenduri kahwin diadakan tanpa mengikut masa. Zaman sekarang, kebanyakan kenduri kahwin diadakan pada masa cuti sekolah dengan alasan saudara-mara, sahabat handai berpeluang untuk bersama dan berkumpul. Kini juga, jemputan untuk majlis kenduri kahwin dijemput menggunakan kad jemputan, hubungan telefon dan kemudahan elektronik. Persiapan kenduri yang melibatkan kerja gotong-royong juga telah diabaikan. Masyarakat lebih cenderung menggunakan khemah pasang siap. Khemah ini disewa dengan peniaga yang menyediakannya. Ini bermakna, kerja-kerja persiapan tidak memerlukan lagi pertolongan ahli masyarakat. Sehubungan itu, masyarakat sekarang lebih suka mengupah tukang masak profesional dalam bidang masakan. Ini semata-mata untuk memenuhi kepuasan para tetamu. Dalam banyak hal, tukang andam masih diperlukan. Mak andam sekarang ini, kebanyakannya terdiri daripada golongan muda. Mereka mengenakan alat-alat solek moden dan menyediakan pakaian pengantin yang sesuai dengan perkembangan zaman moden. Ada juga pengantin yang mengenakan beberapa pasang pakaian pengantin. Mak andam juga menawarkan pelamin yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan fesyen dengan mengenakan bayaran yang cukup lumayan. Ini bermakna, zaman sekarang segala keperluan perkahwinan memerlukan perbelanjaan yang besar. Dalam masyarakat Melayu sekarang, sudah ada unsur berlumba-lumba untuk menunjukkan kemewahan keluarga. Sesetengah keluarga yang kaya, mengadakan majlis kendurinya di hotel besar, tempat peranginan dan perkahwinan ala taman. Keluarga pengantin sanggup membelanjakan wang sehingga ratusan ribu ringgit, semata-mata untuk menjaga imej dan tahap kemewahan masing-masing.
9.4.3
Kematian
Dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam, perkara kematian tidak boleh dibuat sesuka hati. Kematian dan pengebumian jenazah masih berlandaskan hukum syarak. Hukum ini kekal yang melibatkan kematian di raja atau rakyat biasa. Dalam Islam, tidak ada perbezaan antara golongan kaya dan golongan miskin. Yang meninggal tetap dikafankan dengan kain putih. Mayat tetap dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan. Dengan ajaran agama Islam yang semakin mendalam, jenazah tidak lagi disimpan sebegitu lama. Sekiranya si mati meninggal di waktu pagi, pada waktu selepas Asar, jenazah digalakkan dikebumikan.
110 X TOPIK 9 PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
SEMAK KENDIRI 9.1 1.
Berikan maksud protokol.
2.
Dengan menggunakan contoh yang sesuai, apakah perbezaan antara protokol dengan adat istiadat?
AKTIVITI 9.1 Berikan pendapat anda tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam adat melahirkan anak dengan adat perkahwinan dahulu dan sekarang. (a)
Adakah anda menyokong perubahan-perubahan begini?
(b)
Apakah kesannya dalam budaya hidup masyarakat Melayu sekarang?
•
Peredaran zaman yang meminta masyarakat bekerja keras kerana tuntutan hidup. Ini menyebabkan berlaku banyak perubahan terhadap adat istiadat Melayu yang melibatkan perihal adat istiadat, pantang larang dan amalan seharian.
•
Tuntutan waktu dalam kehidupan seharian, banyak adat istiadat yang remeh-temeh tidak diamalkan lagi. Masyarakat Melayu telah mengambil perkara yang penting menyebabkan adat istiadat menjadi lebih ringkas.
•
Bagi memenuhi keperluan sambutan di peringkat negara, negeri dan daerah, adat istiadat telah dikemaskinikan dan ditukar kepada sistem protokol.
•
Protokol adalah satu sistem yang lebih bersopan santun yang perlu diamalkan dalam hubungan yang lebih rasmi.
TOPIK 9
PERUBAHAN DALAM ADAT MELAYU
Agama
Pendidikan
Kelahiran
Pengaruh Barat
Kematian
Perkahwinan
Kemodenan
Protokol
W
111
Ismail Hamid. (1988). Masyarakat dan budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. (1999). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain. (1985). Konsep Melayu: Agama, budaya dan bahasa. Petaling Jaya: Agensi Penerbitan Nusantara. Syed Husin Ali. (1979). Orang Melayu: Masalah dan masa depannya. Kuala Lumpur: Penerbit Adabi. Tengku Luckman Sinar TH. (2001). Jati diri Melayu. Medan: Lembaga Pembinaan dan Pengembangan Seni Budaya Melayu.