BAB 1
P
MUKMIN SEBENAR
ada satu ketika, seorang pemuda telah masuk ke dalam hutan bersama rakannya. Beliau adalah seorang yang terpengaruh dengan ideologi free thinker yang kabur dan ragu-ragu tentang kewujudan Allah SWT. Ketika sedang berjalan, tiba-tiba pemuda itu tersentak dan menghentikan langkahnya. Dengan tidak semena-mena, seluruh tubuh badannya menggigil ketakutan. Lantas kawannya bertanya, “Eh, kenapa kau kelihatan takut sangat ni? Apa yang menakutkan kau ni?” Pemuda itu lantas menjawab, “Aku benar-benar yakin, pasti ada harimau di kawasan ini! Itu yang membuatkan aku ketakutan.” Kawannya bertanya lagi, “Bagaimana engkau tahu ada harimau di hutan ini sedangkan engkau tidak nampak pun kelibat harimau?”
1
Pemuda itu lantas menjawab, “Walaupun aku tidak nampak harimau itu, tapi aku yakin kewujudan harimau itu kerana aku melihat bekas tapak kakinya.” Mendengar jawapan pemuda itu, lantas kawannya bertanya, “Bukankah kita telah diingatkan oleh renjer di sini, bahawa hutan ini memang ada harimau? Kenapa tiba-tiba engkau menjadi takut pula? Adakah kau tidak percaya pada peringatan yang renjer tadi berikan?” Pemuda itu merendahkan suaranya sambil berkata, “Sebelum ini, bukan aku tidak percaya pada peringatan renjer tadi. Tetapi selagi aku tidak melihat sebarang bukti, kepercayaan aku mudah diresapi rasa ragu-ragu. Setelah aku melihat kesan tapak kaki harimau dengan mataku sendiri, barulah aku benar-benar yakin.” Dengan tenang kawannya berkata,“Sekarang kau telah yakin akan kewujudan harimau di hutan ini hanya dengan melihat tapak kakinya. Tetapi mengapa engkau selama ini ragu-ragu kewujudan Allah, sedangkan terlalu banyak tandatanda kebesaran dan kewujudan-Nya di dunia ini?” Pemuda itu terus terdiam sambil memikirkan kebenaran kata-kata rakannya tadi. Terlintas di kotak mindanya, adakah hatinya buta kerana tidak nampak kebesaran Allah yang sentiasa wujud di sekelilingnya? Mukmin itu ertinya orang yang benar-benar beriman kepada Allah. Mukmin berasal daripada kata akar aamana yang bererti aman. Seorang mukmin mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kewujudan Allah. Keyakinan ini tidak boleh disamakan dengan kepercayaan. Keyakinan adalah suatu tunjang yang kukuh dan sukar digoyahkan sedangkan kepercayaan itu bagaikan dahan yang rapuh yang mudah dirobohkan. Kepercayaan sering menjadi luntur apabila diganggu dengan perasaan ragu-ragu.
2
Cerita pemuda tadi adalah satu contoh bagaimana seorang manusia boleh meningkatkan tahap kepercayaannya menjadi satu keyakinan yang tinggi. Sekadar percaya tidak mengubah sikap dan perbuatan seseorang. Perasaan ragu-ragu dan waswas sering mempengaruhinya. Hanya keyakinan yang tinggi yang boleh mengubah amalan dan tingkah laku seseorang. Begitu jugalah seorang Muslim memang percaya dan mengakui bahawa Allah itu wujud. Dia percaya syurga dan neraka juga benar. Namun kadang-kadang dia masih lalai dan sering melakukan amalan yang bertentangan dengan apa yang dipercayai. Syaitan mudah meniupkan angin keraguan di dalam jiwa mereka. Namun seorang mukmin bukan sekadar percaya pada Allah, syurga dan neraka. Kepercayaannya orang mukmin berada di darjat yang lebih tinggi yang dipanggil keyakinan. Keyakinan yang jitu itulah yang menyerap masuk minda dan hatinya hingga menyebabkan kesempurnaan pada amalan dan tingkah lakunya. Keyakinan itu menyebabkan seseorang Muslim sering merasakan Allah sentiasa bersamanya. Dia melakukan amal soleh demi mendapatkan istana syurga dan sentiasa menjauhi kemungkaran kerana takut akan kepedihan api neraka. Salah satu sifat manusia ialah takut. Takut pada harimau kerana keganasannya. Namun manusia perlu lebih takut pada pencipta harimau. Sebagai mana gentarnya pemuda tadi kepada harimau, begitu jugalah orang mukmin, apabila disebut nama Allah, hatinya gentar kerana tingginya takwa mereka. Ayat 2 hingga 4 surah Al-Anfal membuktikannya yang bermaksud, “Apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila
3
dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah Al-Anfal, ayat 2) “Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.” (Surah Al-Anfal, ayat 3) “Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (Surah Al-Anfal, ayat 4) Di dalam Surah An Nur, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang sebenarbenarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepada-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Wahai Muhammad) itulah orangorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang Engkau kehendaki di antara mereka, dan 4
mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nur, 24:62) “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, Kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Surah An-Nur, 24:62)
5