Kandungan Model selesai konflik .............................................................................................................................. 2 Kedudukan strategik WPI........................................................................................................................ 5 Kuasa minyak Asia Barat ......................................................................................................................... 9 Fahami sejarah, politik Bangladesh ...................................................................................................... 12 Menguasai dua Asia .............................................................................................................................. 15
RENCANA ARKIB : 13/12/2006
Model selesai konflik Oleh MD. SHUKRI SHUIB ACEH merupakan sebuah wilayah di Indonesia yang unik serta mempunyai sejarah politik yang panjang serta memerlukan pengkajian mendalam. Dalam era moden, Aceh lahir sebagai salah sebuah wilayah berdaulat bersama-sama dengan penyertaan wilayah tersebut menjadi sebahagian dari Kesatuan Indonesia yang diisytiharkan oleh Presiden Sukarno pada 17 Ogos 1945. Sejak itu, Aceh menjadi sebuah wilayah di dalam Indonesia yang memberikan kekuatan kepada Republik Indonesia di bawah Sukarno dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Pemimpinpemimpin politik Aceh seperti Hasan Krueng Kalee, Muhammad Daud Beureueh, Jakfar Siddiq Lamjabat dan Ahmad Hasballah Indarapuri yang merupakan ulama dan tokoh politik terkemuka, memberikan sokongan penyatuan Aceh bersama-sama kewujudan Republik Indonesia. Penyatuan Aceh bersama-sama Indonesia kemudiannya mula goyah serta dipenuhi dengan perbezaan pandangan serta mencetuskan kemaraan aliran politik yang dilihat kontra dengan aspirasi Jakarta. Ia membuatkan hubungan wilayah Aceh dengan Jakarta menjadi tegang dan tidak lagi sealiran seperti yang pernah dicapai sewaktu Indonesia mula mendapat kebebasan daripada penjajahan Jepun dan Belanda. Pergolakan politik di antara kepimpinan pusat di Jakarta dengan tokoh-tokoh tempatan di Aceh sekali gus mendorong kepada terjadinya pergolakan dan konflik yang lebih serius. Dekad-dekad kesukaran dan kepayahan kehidupan rakyat Aceh sejak 1960 hinggalah berlakunya tsunami pada 26 Disember 2004 telah dilihat bukan sahaja mengubah Aceh secara fizikal. Lebih daripada itu, ia telah membawa bersama keinsafan daripada kalangan rakyat untuk mula menyedari betapa perlunya keamanan dicapai demi masa depan Aceh itu sendiri. Kini, Aceh telah kembali damai dengan termeterainya perjanjian keamanan yang dipersetujui pada 15 Ogos 2005 di antara pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan wakil pemerintah Republik Indonesia. Perdamaian di Aceh membuktikan bahawa konflik yang telah berpanjangan lebih tiga dekad kini telah mencapai satu tahap penyelesaian yang konstruktif. Usaha mengadakan pilihan raya pada Disember 2006 memaparkan bahawa Aceh mula membuka lembaran baru di dalam penstrukturan semula pentadbirannya yang mahukan pembangunan dan kemakmuran bagi manfaat masyarakat. Sejak sekian lama, ia berada di dalam ketidaktentuan akibat konflik yang berlaku meragut nyawa manusia tidak berdosa.
Sejarah GAM yang ditubuhkan pada 4 Disember 1976 oleh Hasan Di Tiro, yang merupakan waris bagi Kesultanan Aceh semestinya berlapang dada melihat proses transisi bagi memartabatkan Aceh sebagai wilayah yang ditadbir urus oleh rakyat sendiri. Penegakkan hukum Islam seperti yang dikehendaki pasti menyenangkan kedua-dua pihak yang bertelagah iaitu GAM dan Jakarta. Pada lapis lain, pilihan raya Aceh yang baru selesai dilihat sebagai satu kaedah yang mampu membawa harapan besar kepada empat juta penduduk Aceh. Ia mampu membawa bersamanya satu gelombang terbesar kepada perubahan corak pembangunan sosioekonomi Aceh itu sendiri. Tolak ansur yang dicapai oleh kedua-dua pihak seharusnya diteladani oleh pihak pemerintah dan pihak bertelagah di selatan Thailand dan Filipina. Kejayaan perundingan di Aceh bukan sahaja memaparkan satu sikap toleransi yang jitu bagi melahirkan keamanan dalam konsep ‘ menangmenang’ tetapi ia jauh dari itu telah mendorong kepada pengiktirafan besar dunia antarabangsa terhadap usaha murni tersebut. Dengan penyelesaian jitu di antara golongan ‘ penentang’ dan pemerintah, maka Aceh yang dahulunya bergolak kini telah kembali mengecapi kedamaian. Jika pemerintah di Thailand dan Filipina turut sama mengambil langkah proaktif bagi memenangi hati golongan ‘ penentang’ dengan inisiatif yang tulus, maka jika konflik Aceh yang berusia lebih dari tiga dekad mampu diselesaikan, sudah pastilah konflik di wilayah selatan Thailand dan Filipina juga turut sama mampu menggerakkan perdamaian dan membawa kesan positif kepada negara tersebut. Namun, di sebalik kejayaan damai yang dikecapi, rasa hormat dan pujian juga harus diberikan kepada pihak ketiga yang berusaha begitu gigih dan tulus serta telah mampu membawa perdamaian di antara kedua pihak bertelingkah. Inilah satu contoh terbaik penyelesaian krisis yang mampu memberikan wadah dan contoh bagi melahirkan teori dan aplikasi baru pendekatan penyelesaian krisis bukan sahaja bagi Aceh di Indonesia, tetapi juga mungkin boleh diadaptasi sebagai asas kepada pencarian kaedah perundingan menyelesaikan krisis di wilayah bergolak lainnya di Asia Tenggara. Jangan hanya mungkin mahu menunggu tsunami baru, maka wilayah lainnya mengecapi damai, tetapi yang lebih perlu ialah perubahan sikap dan sifat ke arah yang positif demi untuk mencapai hasrat perdamaian yang tulus. Kini Aceh yang telah bebas daripada belenggu keganasan dan peperangan saudara, perlulah dimajukan. Ini penting kerana Aceh adalah merupakan sebahagian daripada kawasan Pembangunan Segitiga Indonesia-Malaysia dan Thailand (IMT-GT). Jika dahulunya, wilayah di utara Semenanjung Malaysia hanya seolah-olah keseorangan dalam mencari jalan memajukan segi tiga pertumbuhan ASEAN tersebut, maka diharapkan dengan perdamaian di Aceh, pembangunan dan pelaburan mampu digerakkan di wilayah tersebut dengan Malaysia turut berperanan.
Kini, hanya selatan Thailand menunggu giliran untuk menunggu hembusan angin damai. Jika ia berjaya, maka IMT-GT akan muncul sebagai segi tiga pertumbuhan yang pesat membangun menyaingi segi tiga pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (SIJORI). IMT-GT dengan perdamaian di Aceh dan selatan Thailand dilihat mampu menjana pelaburan yang besar menerusi penerokaan petroleum, perindustrian, perladangan serta juga perikanan selain sektor pelancongan. Jika Aceh mampu didamaikan, usaha harus segera digerakkan bagi mendamaikan selatan Thailand dan Filipina bagi memesatkan pembangunan ASEAN secara menyeluruh. - MD. SHUKRI SHUIB ialah pensyarah Pengajian Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1213&pub=utusan_malaysia&sec=Rencan a&pg=re_05.htm#ixzz2rzD4J4we © Utusan Melayu (M) Bhd
RENCANA ARKIB : 06/11/2006
Kedudukan strategik WPI
Oleh MD. SHUKRI SHUIB MALAYSIA merupakan sebuah negara yang memiliki daya saing yang tinggi di pasaran antarabangsa. Ini dapat dilihat menerusi pengiktirafan antarabangsa yang diterima Malaysia. Secara jelas, Malaysia dilihat mencapai tahap terbaik dari segi penggalakan pelaburan akibat dari dasar kerajaan yang menumpukan kepada aspek pembangunan ke arah keselesaan hidup rakyat. Melalui usaha pembangunan dan juga keprihatinan kerajaan bagi menjayakan matlamat negara maju menjelang 2020, maka kini Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai daya saing terbaik di peringkat antarabangsa. Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah memperlihatkan Malaysia sebagai negara antara ekonomi paling cekap di rantau ini. Kini Malaysia berada di tempat ke-26 di dalam senarai Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi tahun 2006-2007. Sekali gus, pengiktirafan antarabangsa ini memperlihatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak terpinggir dari arus globalisasi, dan Malaysia dilihat kompetitif di dalam persaingan bagi membina kejayaan yang cemerlang. Dalam proses membangunkan negara, Malaysia jelas tidak hanya statik kepada beberapa projek sedia ada semata-mata. Ini dapat dilihat secara jelas menerusi komitmen kerajaan menjana pembangunan yang lebih seimbang dan dinamik bagi berhadapan dengan situasi pasaran sejagat. Dalam konteks ini, Malaysia yang masih memiliki keupayaan tanah serta tenaga buruh yang jauh lebih baik serta murah, maka pembangunan demi pembangunan dirancakkan menerusi suntikan dana dan insentif kerajaan. Johor kini menerima nikmat di sebalik keprihatinan Kerajaan Persekutuan menjayakan pembangunan di wilayah selatan yang dilihat mampu menjadi pesaing hebat kepada ‘ negara kota’ Singapura yang telah tepu dari segi perluasan pembangunan. Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER) atau juga secara rasminya pada 4 November 2006 dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah merupakan pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini sebaik sahaja pembangunannya selesai. Tempoh pembangunan kawasan (WPI) itu adalah sehingga tahun 2025 dianggarkan memerlukan kos lebih dari RM47 bilion yang bertujuan untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama pelaksanaannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu berucap pada majlis pelancaran WPI turut menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan di dalam menjayakan pembangunan wilayah baru tersebut. Untuk itu, bagi menjayakan pembangunan fasa pertama, sebanyak RM4.3 bilion telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk dijadikan modal permulaan pembangunan WPI. WPI yang mempunyai keluasan melebihi dua setengah kali ganda Singapura dengan 2,217 kilometer persegi merangkumi bandar raya Johor Bahru, Nusajaya, Pontian, Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas jelas menggambarkan WPI ini sebagai satu mercu tanda Malaysia yang bersedia menjadi hab pelaburan dan perdagangan utama dunia. Strategik SJER dilihat mampu menggabungkan elemen strategik dari segi pengukuhan Malaysia sebagai alternatif kepada pelabur di Singapura dengan kedudukannya yang telah tersedia dengan lapangan terbang, pelabuhan serta pusat pentadbiran dan perindustrian yang memudahkan pelabur-pelabur berurus niaga. Infrastruktur di WPI yang bertaraf antarabangsa jelas jika dibangunkan dengan terbaik, ia mampu menjadi hab dagangan antarabangsa. WPI dilihat sebagai ‘ Putrajaya kedua’ Malaysia, diyakini mampu menarik firma besar bertaraf antarabangsa menjalankan perniagaan di situ WPI dilihat mampu menjanakan lebih pendapatan kepada bukan sahaja Johor secara khususnya, tetapi juga Malaysia secara amnya. Kejayaan SJER mampu memberikan impak pelaburan yang mencecah berbilion ringgit. Kini, Johor yang berkeupayaan menarik pelaburan bernilai lebih dari RM5 bilion pada 2005, merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan, justeru, wajarlah WPI dibangunkan sebagai penggalak kepada aliran terus pelaburan langsung asing. Pembangunan yang dicetuskan Perdana Menteri jelas memperlihatkan aplikasi model pembangunan yang berteraskan ‘ persaingan’ serta strategik serantau. WPI mampu menjanakan pertumbuhan seperti yang dinikmati Shenzhen di China hasil dari peralihan dan kekuatan Hong Kong yang sekian lama menjadi hab dagangan dan ekonomi di rantau Asia Timur. Kini, dalam konteks Malaysia, WPI mampu ‘ menyerap’ dan ‘ mengalihkan’ kekuatan Singapura menerusi keupayaan infrastruktur serta kemampuan menampung pembangunan baru yang disediakan. Wilayah pembangunan baru WPI ini dijangkakan akan menarik peluang pelaburan terkemuka di dalam pelbagai sektor yang di antaranya melibatkan bidang-bidang seperti elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, perkhidmatan logistik serta pelancongan di samping perubatan dan kesihatan, pendidikan, kewangan serta industri kreatif. Melalui WPI, gabungan dua pelabuhan yang menjadi gerbang logistik antarabangsa dilihat sebagai satu strategi Malaysia menguasai perdagangan dari timur dan barat Semenanjung Malaysia. Dalam menjana gerbang logistik timur-barat, maka gabungan strategik Tanjung Pelepas serta Pasir Gudang
dilihat akan mampu berperanan sebagai pusat dagangan laut di Selat Melaka dan China Selatan secara integrasi. WPI dilihat mampu menyediakan suasana kehidupan, perdagangan, serta perusahaan dan pertanian yang unggul bertaraf antarabangsa. Kini, hanya sikap masyarakat Malaysia sahaja yang akan menentukan kejayaan WPI sebagai ‘ permata’ hubungan Timur dan Barat seperti yang telah dilakukan pada era sejarah Kesultanan Johor suatu masa dahulu. Menerusi komitmen kerajaan di dalam merancakkan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), maka kecemerlangan di sektor ekonomi dan sosial haruslah dilihat sebagai satu keperluan negara bagi mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Rakyat dan sektor swasta juga seharusnya berperanan di dalam menjayakan setiap dasar dan projek yang dicetuskan kerajaan. Semua pihak haruslah bergerak bersama-sama bagi menjayakan pembinaan Malaysia yang bermatlamatkan daya saing dengan pembangunan fizikal yang rancak bagi berdepan dengan cabaran global masa kini. WPI juga dilihat sebagai satu wilayah pembangunan yang unik dan eksklusif dengan keupayaan sedia ada seperti pembangunan bandar pesisir pantai Teluk Danga, bandar Nusajaya, kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) dengan ditambah nilai menerusi projek-projek pembangunan yang baru dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. WPI dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang mampu menjana keutuhan Johor sebagai ‘ gerbang’ pembangunan selatan sebagai pusat tumpuan perdagangan serantau WPI mampu dilihat menjadi magnet perdagangan antarabangsa jauh lebih hebat dari keupayaan yang dimiliki Singapura yang sekali ganda kerdil berbanding WPI itu sendiri. Diharapkan dengan pembangunan WPI ini, maka seharusnya dalam jangka masa kurang dari 20 tahun, Malaysia mampu menjana ‘ Singapuranya’ sendiri. Pembangunan yang merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara memperlihatkan kestrategikan WPI dari segi kemudahan logistik dan pengangkutan bertaraf antarabangsa. Menerusi usaha yang dilakukan Malaysia, ia dilihat akan mampu menjana kejayaan untuk memajukan Malaysia menjelang tahun 2020. - MD.SHUKRI SHUIB ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=utusan_malaysia&sec=Rencan a&pg=re_01.htm#ixzz2rzD947Ao © Utusan Melayu (M) Bhd
RENCANA ARKIB : 04/11/2006
Kuasa minyak Asia Barat Oleh MD. SHUKRI SHUIB SEKIRANYA Antartika menjadi satu kawasan terpenting ekologi iklim dunia sejagat, dan perlu dipertahankan kepentingannya, maka Asia Barat juga begitu penting untuk dianggap sebagai ‘ antartika ekonomi’ bagi dunia sejagat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus mencari jalan menyelesaikan krisis di Asia Barat yang dicetuskan Washington, sekali gus menubuhkan satu ‘ badan amanah’ atau sekretariat antarabangsa yang dapat memantau secara strategik rantau Asia Barat agar bebas dari ancaman ‘ asing’ yang cuba menguasai rantau tersebut secara agresif. Badan antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus dibentuk bagi menjadikan Asia Barat sebagai kawasan ‘ aman, bebas dan berkecuali’ atau ZOPFAN yang diamalkan ASEAN. Cuma, mungkin yang akan menggagalkan usaha tersebut ialah Israel yang dilihat proksi Washington di dalam mengucarngacirkan Asia Barat dengan cetusan konflik yang tidak berpenghujung. Namun, usaha harus digerakkan agar Asia Barat tidak hanya menjadi negara ‘ budak’ kepada Washington. Persoalannya, kenapa Asia Barat begitu penting kepada ekonomi dunia? Dan perlukan perlindungan antarabangsa? Adakah negara-negara di rantau tersebut begitu maju sehingga mampu mempengaruhi geoekonomi dunia? Bagi mereka yang faham, Asia Barat begitu penting sebagai asas ekonomi dunia, kerana kepentingan strategik sumber asli yang dimiliki oleh rantau tersebut. Sumber asli tersebut ialah petroleum atau minyak dan gas asli. Inilah wujud kepentingan rantau tersebut kepada dunia sejagat. Jika dilihat kepada situasi semasa, kenyataan oleh Joseph S. Nye iaitu seorang sarjana ilmu strategik amatlah bertepatan dengan hasrat mengamankan Asia Barat. S. Nye telah memperkatakan mengenai betapa pentingnya Asia Barat sebagai satu kawasan strategik dunia dengan melihat kepada kepentingan minyak yang terdapat di rantau bergolak tersebut. Katanya, jika sekiranya tidak ada keamanan di situ, maka ia sekali gus memberikan juga kesan kepada masyarakat dunia secara langsung, sama ada disedari atau tidak. S. Nye menyatakan: ‘ ‘ Harga akan naik mendadak jika konflik mengganggu bekalan daripada Teluk Parsi. Drama ‘ minyak’ tidak akan berakhir.’ ’
Ia ada asasnya. Kini ia bertepatan dengan situasi konflik di Asia Barat yang dilihat semakin merebak serta mengundang implikasi negatif terhadap pasaran minyak antarabangsa secara umumnya. Gelombang konflik yang semakin melebar menyemarakkan ketidakstabilan, sekali gus mengundang bencana ekonomi kepada dunia sejagat. Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggugat satu persatu negara-negara di rantau tersebut, dengan menguasai Iraq, membiayai Israel di dalam memusnahkan Palestin selain menyokong langkah serangan ke atas Lebabon/Hizbullah serta diikuti dengan propaganda untuk menguasai Syria dan Iran telah mewujudkan ketidaktentuan di rantau tersebut. Ketidaktentuan itu, turut mengheret sama masyarakat ‘ pengguna’ serta negara-negara lain di dunia. Jika dibiarkan berpanjangan, negaranegara di Teluk Parsi khususnya dan dunia amnya berada di dalam satu dilema gugatan ‘ bahana ekonomi’ yang merunsingkan. Akibat konflik ciptaan Washington yang berterusan di Iraq, gugatan dan ancaman sekatan ekonomi ke atas Iran dan Syria, serta ancaman ke atas telaga minyak Arab Saudi oleh golongan radikal, maka Asia Barat terjerumus dengan masalah keselamatan yang menggugat. Akhirnya keluaran minyak Asia Barat terjejas dan mengganggu pasaran antarabangsa dengan pembekalan minyak yang tidak menentu. Nikmat Di sebalik kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa (tetapi kini menunjukkan kestabilan), ia sebenarnya memberikan nikmat tersembunyi yang perlu dimanfaatkan. Harus difahami bahawa 11 anggota OPEC, 10 daripadanya adalah merupakan negara-negara Islam. Ia seolah-oleh membentuk satu ‘ kelab minyak Islam’ di dalam OPEC itu sendiri. Peranan utama minyak sebagai punca ekonomi dan peningkatan pendapatan negara-negara Islam jelas dapat dilihat, di mana dalam konteks Malaysia, Bajet 2007 telah memperlihatkan hasilan petroleum dan industri berkaitan dengannya telah membantu menyumbangkan 40 peratus dari sejumlah RM134.8 bilion yang diperuntukan untuk pengurusan dan pembangunan bajet tahun 2007. Maka dengan kesan daripada kenaikan harga minyak pada paras harga tertinggi sekitar AS$70-AS$80 setong pada sekitar tahun 2005-2006, dapat dikesan peranan petroleum atau minyak adalah penting dan memberikan impak yang mendalam bagi menjana pendapatan sesebuah negara pengeluar minyak sama ada secara ‘ runcitan’ atau monopoli. Ini sekali gus menunjukkan bahawa industri petroleum pada masa kini begitu menguntungkan negara dan syarikat peneroka petroleum. Sudah semestinya, kesan kenaikan harga minyak juga telah meningkatkan pendapatan negaranegara ‘ minyak’ di Asia Barat dan di negara-negara Islam lainnya.
Jika Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) mampu menggerakkan penubuhan ‘ Kelab Petroleum OIC’ , yang menggabungkan 10 daripada 11 buah negara anggota OPEC yang merupakan anggota OIC, maka ia akan dapat membentuk satu pakatan strategik pembekalan ‘ minyak dunia Islam’ . Jika gabungan ‘ negara-negara Islam OPEC’ iaitu Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Iran, Iraq (kini dikuasai AS), Libya, Algeria termasuk Nigeria dan Indonesia, maka OIC akan menguasai ‘ nadi’ penggerak ekonomi dan perdagangan dunia secara sejagat. Inilah yang ditakuti oleh AS dan sekutunya. Kekuatan yang hegemoni akan terbentuk lebih-lebih lagi jika ‘ gabungan negara-negara Islam OPEC’ mampu menggabungkan negara-negara Islam yang mengeluarkan minyak di peringkat antarabangsa secara ‘ runcitan’ . Jika gabungan ‘ negara-negara minyak Islam’ dapat dibentuk maka, satu pakatan ‘ hegemoni ekonomi’ dapat direalisasikan bagi membendung ‘ hegemoni rakus’ Washington di dalam menguasai pasaran minyak dunia, terutamanya ancaman kestabilan ke atas lapan buah negaranegara ‘ minyak’ di Asia Barat yang meliputi pembekal kepada 75 peratus dari pasaran minyak antarabangsa. Sekiranya konflik Asia Barat berterusan, maka tidak mustahil gugatan minyak dunia akan menjadi serius dengan penutupan Selat Hormuz yang secara strategiknya menyambungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab yang digunakan untuk mengangkut bekalan minyak sebanyak 10 peratus bagi kegunaan Eropah Barat, 60 peratus bagi Jepun dan 5 peratus bagi kegunaan bekalan minyak AS. Namun, hakikatnya Selat Hormuz bukan sahaja menjadi laluan pembekalan minyak negara-negara di Eropah, Jepun dan AS semata-mata, tetapi ia menjadi laluan strategik minyak kepada dunia sejagat. Justeru, Asia Barat seharusnya diselamatkan dari kerakusan ‘ hegemoni rakus’ AS yang menggunakan alasan ‘ memerangi pengganas’ sebagai cubaan menguasai ‘ Antartika ekonomi’ dunia bagi menguasai pembekalan dan penawaran minyak antarabangsa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1104&pub=utusan_malaysia&sec=Rencan a&pg=re_05.htm#ixzz2rzDF2Fuv © Utusan Melayu (M) Bhd
RENCANA ARKIB : 02/11/2006
Fahami sejarah, politik Bangladesh Oleh MD.SHUKRI SHUIB SETIAP benua mempunyai keunikan tersendiri sama ada dari segi sejarah dan tamadunnya. Ini tidak terkecuali benua Asia Selatan yang dihuni oleh masyarakat berteraskan keindiaan atau Indo. Ia merangkumi wilayah-wilayah seperti Pakistan, India, Bhutan, Nepal, Sri Lanka, Maldives serta Bangladesh. Pakistan, Maldives serta Bangladesh merupakan negara-negara Islam. Bangladesh merupakan antara negara yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam di antara yang tertinggi di dunia. Statistik tahun 2004 menunjukkan, masyarakat Islamnya berjumlah 130 juta orang penduduk dan menjadi negara keempat terbesar dari segi bilangan penduduk Islam selepas Indonesia (216 juta), Pakistan (161 juta), India (153 juta). Sebelum terbentuknya Bangladesh yang merdeka, dahulunya republik ini dikenali sebagai Pakistan Timur (1947-1971) dan telah berpisah dari Pakistan secara rasmi pada 17 April 1971. Pemisahan Bangladesh dari Pakistan telah membolehkan sebuah kerajaan tersendiri dibentuk dan dipimpin oleh Presiden pertamanya iaitu Sheikh Mujibur Rahman yang juga merupakan pejuang pemisah Bangladesh dari Pakistan. Mujibur Rahman merupakan pemimpin parti politik Liga Awami yang kini diterajui oleh Sheikh Hasina Wajed yang juga merupakan anaknya. Mujibur Rahman mati dibunuh pada 1975, kejadian yang menjadi titik mula Bangladesh diperintah oleh junta tentera di bawah Jeneral Ziaur Rahman. Ziaur Rahman telah menjadikan Bangladesh sebagai sebuah Republik Islam dan satu perlembagaan berteraskan Islam telah dibentuk. Pada 1988, demokrasi mula dikecapi semula oleh Bangladesh setelah Jeneral Hossain Ershad mengisytiharkan pilihan raya yang turut membolehkan beliau terus menjawat jawatan Presiden untuk selama lima tahun. Namun, di sebalik pendemokrasian Bangladesh, ia turut mengundang satu lagi konflik, di mana pada 1987, berlaku rusuhan yang diketuai pihak pembangkang. Sejak itu, politik Bangladesh terus tidak pernah sunyi daripada pergolakan termasuk disebabkan ketidaktentuan kepimpinan dan sebagainya.
Pergolakan politik di Bangladesh seolah-oleh tidak sunyi dari cetusan konflik dan permusuhan. Ini menjadikan Bangladesh gagal membina satu kestabilan negara yang kental. Sekali gus menyebabkan proses pembangunan di negara tersebut mengalami kelembapan akibat dari suasana politik yang tidak menyumbang kepada kestabilan. Ini dapat dilihat pada April tahun 2001, Liga Awami telah dikalahkan di dalam pilihan raya oleh BNP dan juga pada tahun yang sama, berlaku peperangan dengan India yang menyebabkan tiga askar Bangladesh dan 16 askar India terbunuh. Ini memburuk situasi Bangladesh untuk meneroka kestabilan bagi menjayakan pembangunan negara ‘ muara’ terbabit. Pada Julai 2001, Sheikh Hasina meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya dijalankan. Beliau adalah pemimpin pertama Bangladesh yang berjaya menamatkan mandat kerajaan dalam tempoh lima tahun yang diberikan. Maka, buat pertama kalinya, sebuah kerajaan sementara seperti yang dilakukan pada Oktober 2006 ini dilaksanakan. Kerajaan sementara di Bangladesh adalah bersifat ‘ kerajaan peralihan’ bagi mengendalikan urusan negara dan pada masa yang sama mengendalikan pilihan raya yang adil dan telus. Di sebalik keghairahan menghadapi pilihan raya, seperti kebiasaan di Bangladesh, kempen pilihan raya tercemar dengan pembunuhan dan pertumpahan darah. Pada September 2001, lapan orang terbunuh dengan beratus-ratus yang lain cedera akibat dari pengeboman sewaktu rapat umum diadakan parti politik dalam kempen pilihan raya. Tahun 2001 menyaksikan BNP di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri wanita pertama Bangladesh kembali semula ke ‘ persada kuasa’ . Khaleda Zia berjaya membentuk gabungan BNP dan tiga parti minoriti bagi membentuk kerajaan campuran. Kerajaan pimpinan BNP kekal berkuasa dan tamat pada 27 Oktober 2006 serta kini Bangladesh buat kali kedua menyaksikan kerajaan demokrasi berjaya menamatkan tempoh sepenggal mentadbir. Kini, seperti yang diamalkan pada 2001, sebuah ‘ kerajaan peralihan’ perlu dibentuk bagi mentadbir Bangladesh serta bertanggungjawab mengadakan pilihan raya umum yang adil dan telus. Di sebalik keunikan yang dicipta menerusi sistem politik ‘ peralihan’ Bangladesh telah menyebabkan ketidakstabilan berlaku. Politik Bangladesh seolah-olah dalam era demokrasi didominasi oleh dua parti terbesar iaitu BNP dan Liga Awami. ‘ Permusuhan’ politik dua wanita utama iaitu Khaleda Zia dan Sheikh Hasina jelas mencorakkan politik Bangladesh yang dihuni oleh 130 juta umat Islam. Uniknya politik Bangladesh, walaupun didominasi lelaki, tetapi negara Islam tersebut menerima kehadiran wanita selaku ‘ ketua rumah’ bagi negara ‘ muara’ tersebut.
Kini sejak 27 Oktober 2006, sebuah ‘ kerajaan peralihan’ yang utuh gagal dibina akibat dari bangkangan parti-parti politik serta juga menyebabkan politik dan ekonomi negara ‘ muara’ tersebut gagal terbina dengan kukuh dan stabil. Apabila ini berlaku, sudah semestinya, perancangan Bangladesh untuk pembangunan jangka panjang akan terganggu serta menyebabkan agenda sosial negara gagal dicapai. Kini ‘ kerajaan peralihan’ dengan pimpinan Presiden Iajuddin Ahmed haruslah diberikan kepercayaan penuh oleh rakyat bagi membolehkan suasana aman dan sebuah pilihan raya yang telus dapat dijalankan dengan terbaik. Realitinya, politik Bangladesh kini memerlukan perubahan drastik bagi melonjakkan negara ke arah pembangunan yang seiring dengan kepesatan dunia global. Kini, penentu kelangsungan kestabilan dan kemakmuran Bangladesh adalah di tangan rakyat itu sendiri.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1102&pub=utusan_malaysia&sec=Rencan a&pg=re_08.htm#ixzz2rzDL6uOI © Utusan Melayu (M) Bhd
RENCANA
ARKIB : 21/10/2006
Menguasai dua Asia Oleh: MD. SHUKRI SHUIB DUNIA pada abad ke-21 ini seolah-olah digegarkan dengan pelbagai masalah dan konflik yang dilihat sebagai tidak berpenghujung. Seawal tragedi 11 September 2001, dunia dibebani dengan satu dogma baru pemikiran strategis Barat dalam menguasai dunia. Golongan pentadbir yang bersifat neo-konservatif dilihat menuding jari ke atas umat dan agama Islam sebagai satu ‘ ancaman’ dunia yang harus diperangi. George W. Bush memulakan kempen yang digelar ‘ memerangi pengganas’ . Sejak bermulanya era Eropanisasi serta membaratkan dunia oleh umat Eropah, maka dunia tidak pernah mengecapi hegemoni unggul. Hegemoni Eropah berbeza berbanding hegemoni Islam. Islam berjaya membentuk hegemoni dari segi akidah, ekonomi, politik, perpaduan bangsa-bangsa serta berjaya membentuk rumpunan empayar yang luas dari Afrika, Eropah hinggalah ke China. Sejak permulaan pemerintahan Khalifah Islam pada kurun ke-7 hingga berakhirnya empayar Turki Uthmaniah pada 1920-an, maka hegemoni Islam secara mutlaknya tamat dan bermulalah era pembaratan yang ketara di kalangan umat dan dunia Islam. Bezanya ialah, dunia sewaktu Islam dan empayarnya menjadi kuasa hegemoni, tidak berlaku unsur penindasan dan monopoli yang dilakukan oleh pemerintah Islam. Islam tidak meletakkan syarat dominasi ke atas dunia sebagai prasyarat keamanan. Tiada pula yang lemah digelar ‘ pengganas’ dan tidak pula yang kuat bergelar ‘ polis dunia’ . Dunia yang secara globalnya dihuni dan ditadbir urus oleh pelbagai dimensi kuasa tetap tidak terjejas dan bebas berkembangan sejajar dengan hegemoni Islam. Namun, apabila sahaja Barat berjaya mengalahkan Islam dan membentuk hegemoni mereka, maka bersama-sama hegemoni tersebut, wujud percaturan dominasi dan penindasan yang bersifat manipulasi dan monopoli satu pihak yang kuat ke atas pihak yang tidak berdaya. Inilah bezanya zaman hegemoni Islam dan hegemoni acuan Barat. Kini, pada abad ke-21, dengan acuan hegemoni Barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS), jelas dunia dikucar-kacirkan dengan pelbagai agenda dengan tujuan pengukuhan kuasa dan hegemoni mereka. Pelbagai dimensi ideologi dicipta bagi tujuan tersebut. Dunia dijadikan medan percaturan kuasa bagi membolehkan yang kuat berkuasa dan yang lemah ditindas. Cetusan Perang Dingin, membahagi-bahagikan wilayah, menguasai perdagangan telah menjadi kebiasaan dunia di bawah hegemoni dan dominasi Barat. Bagi perspektif Barat, dunia seolah-olah wujud hanyalah bertujuan untuk diperalatkan bagi mendapatkan kemewahan dan kesenangan bagi mereka sahaja. Menerusi hegemoni Barat, konflik dunia semakin merebak, bukan lagi bersifat terpendam, tetapi dizahirkan secara terang-terangan. Sebagai contoh, konflik di Asia Timur, dengan pengupayaan Korea Utara memiliki senjata pemusnah besar-besaran serta nuklear, maka ia dianggap menjadi ancaman kepada dunia. Dunia manakah yang diancam oleh Korea Utara tersebut? Jika benar dengan
memiliki senjata nuklear, maka sesebuah negara itu dianggap sebagai ‘ pengganas’ dan mengancam dunia, maka kenapakah tidak Israel dianggap sebagai pengganas dan pengancam dunia? Hegemoni Barat, bererti penindasan kepada dunia selain Barat. Asia Timur yang dilihat memulakan fasa konflik aktif berkemungkinan jika dibiarkan merebak, akan menyebabkan gangguan ke atas perdagangan dunia yang sangat strategik. Perang Dingin ciptaan Barat, kini telah menampakkan kelainan, negara-negara yang menerima kesan Perang Dingin tersebut kini beralih arah untuk ‘ menuding senjata’ bukan lagi kepada sesama bangsa, tetapi kepada aktor asal yang mewujudkan Perang Dingin tersebut. Kini, dua Asia semakin tersepit dengan percaturan Barat, satunya rumpun ‘ Sino’ di Timur dan satu lagi ‘ Arab’ di Barat. Cubaan demi cubaan dilakukan bagi membolehkan keseluruhan kawasan Asia Barat berada di bawah genggaman erat AS. Palestin yang ‘ dihadiahkan’ kepada Israel terus-menerus menjadi bahan percaturan politik AS. Kini, menerusi laporan yang dikeluarkan, AS dilapor memberikan sejumlah RM154.65 juta (AS$42 juta) kepada golongan yang tidak sehaluan dengan Hamas yang merupakan parti pemerintah yang dipilih rakyat Palestin. Bantuan tersebut merupakan satu lagi provokasi Washington dalam mencaturkan politik Palestin. Melalui usaha mewujudkan jawatan Presiden dan Perdana Menteri, maka dua individu penting masyarakat Palestin tersebut akan saling cuba bersaing bagi mendapatkan dominasi kuasa di wilayah bergolak tersebut. Maka, dengan campur tangan Barat yang diibaratkan duri dalam daging, maka elemen kestabilan akan terganggu, sekali gus memusnahkan asas perjuangan bagi ‘ pembebasan’ kepada perjuangan demi kepentingan diri dan politik. Kini, Palestin pasca-Arafat dengan digantikan Mahmoud Abbas sebagai pengerusi PLO dan Presiden Palestin seolah-olah membentuk satu corak baru perjuangan Palestin. Pergolakan demi pergolakan dilihat semakin memuncak. Ancaman Israel dilihat berleluasa dan tidak mengenal erti kemanusiaan. Ditambah pula dengan kemenangan Hamas yang dianggap radikal, maka ia seolah-olah memberikan ‘ nafas’ baru bagi Israel untuk melenyapkan Palestin terus dari peta dunia. Percubaan AS menguasai ‘ dua Asia’ iaitu di Timur dan Barat menerusi cetusan konflik jelas memaparkan satu objektif yang nyata, iaitu perdagangan. Asia Barat yang kaya dengan pemilikan lebih daripada 60 peratus pengeluaran minyak dunia cuba dipastikan tetap berada di bawah kekuasaannya, maka Asia Timur yang kaya dengan sumber serta pasaran yang luas juga pastinya menguntungkan Barat. Ini semua dapat dilakukan dengan syarat tiada mana-mana kuasa yang dapat menyaingi ketuanan Barat. Sebarang cubaan membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap Barat, akan digelar sebagai ‘ pengganas’ . - MD.SHUKRI SHUIB ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1021&pub=utusan_malaysia&sec=Renca
na&pg=re_06.htm#ixzz36WniWiss © Utusan Melayu (M) Bhd