Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
LARANGAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH NONMUSLIM: ANTARA TEORI ILMIAH DAN REALITI MASLAHAT SEMASA Muhamad Zuhaili Saiman Anwar Fakhri Omar PENDAHULUAN Isu ini mula timbul pada 31 Disember 2007, apabila pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah „Allah‟. Bagaimanapun kerajaan menegaskan bahawa larangan penggunaan kalimah „Allah‟ masih kekal. Pada 3 Januari 2008, kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah „Allah‟ dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini, kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah (E-Fatwa JAKIM). Pada 19 Mac 2008, gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah „Allah‟. Pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (bahagian rayuan dan kuasa-kuasa khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan kalimah „Allah‟ dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly. Dalam isu ini, terdapat pandangan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan larangan tersebut ke atas non-Muslim berhujahkan situasi di negara Arab yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh nonMuslim. Bahkan penggunaan tersebut bukanlah suatu perkara yang baharu namun sudah diguna pakai sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW (Mohd Asri Zainul Abidin 2013).
75
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Sebaliknya, larangan yang dituntut oleh pihak yang tidak bersetuju pula dilihat dari sudut menjaga kesucian kalimah Allah dari disalah tafsir oleh pihak Kristian dan mendakwa wujudnya agenda kristianisasi dalam permohonan terjemahan majalah Herald tersebut bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam (Zaizul Azizi Zaman 2013). KONTROVERSI YANG BERLANJUTAN Walaupun keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan pada 14 Oktober 2013 berhubung larangan majalah Herald menterjemah perkataan God, Father atau Lord kepada perkataan Allah pada tahun 2013, dilihat masih tidak mampu menyelesaikan kontroversi yang wujud apatah lagi ilmuwan di Malaysia masih mengeluarkan pandangan yang berbeza. Ia semakin rumit apabila satu kenyataan dikeluarkan oleh Dato Mohd Noh Gadut yang agak keras dengan menyifatkan mereka yang mempertikaikan keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan boleh jatuh murtad jika dilakukan dengan sengaja dan waras (http://www.beritaterkini.my/isu-kalimah-allah-malaysiakeputusan). Kenyataan beliau dikritik hebat oleh mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan mempersoalkan keislamaan masyarakat Arab yang sudah lama membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim di negara Arab (http://www.malaysiakini.com/news/ 243978). Bahkan beliau menyifatkan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak wajar kerana menjadi satu isu yang baru kerana isu penggunaan kalimah Allah di negara Arab tidak menjadi satu isu atau masalah (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tidak-wajar-katamuslim-kafir-kerana-soal-penggunaan-kalimah-allah-kata-asr). Dr Mazlee Malik juga menemplak gesaan Dato Nor Gadut sebagai satu kenyataan yang terburu-buru kerana pihak yang tidak bersetuju dengan Mahkamah Rayuan Persekutuan adalah bercanggah dengan keputusan mahkamah dari sudut prosedurnya sahaja bukan dari sudut akidah (http://www.malaysiakini.com/news/244023). Selain itu, pendirian yang dikeluarkan oleh beberapa ulama dalam parti PAS seperti Dato‟ Dr Harun Din (http://www.themalaysianinsider. com/bahasa/article/haron-din-berbeza-pandangan-dengan-pakatandalam-isu-allah) dan Dato Harun Taib (http://www.utusan.com.my/ utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_01/Bersatu-pertahan-kalimah76
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Allah) menampakkan perbezaan dengan pendirian yang telah dikeluarkan oleh keputusan majlis pimpinan Pakatan Rakyat (http://www.sinarharian.com.my/nasional/pr-setuju-bukan-islam-gunakalimah-allah-1.119165) yang membenarkan non-Muslim menggunakan kalimah Allah. Dato‟ Seri Abdul Hadi Awang memperincikan bahawa kebenaran tersebut selagi ia tidak disalah guna kerana penggunaan asal oleh non-Muslim dapat dirujuk di dalam alQuran (http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/15774-kalimahallah-islam-benarkan-tapi-jangan-salah-guna). Justeru, pandangan yang pelbagai berdasarkan hujah-hujah yang diberikan menjadikan isu ini tidak mencapai kata sepakat oleh umat Islam di Malaysia. Ia menjadikan walaupun sudah ada keputusan dari Mahkamah Rayuan Persekutuan namun masih belum memberikan kata sepakat dari golongan ilmuwan di Malaysia ini. TEORI ILMIAH BERKAITAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH Dalam menilai isu yang kontroversi ini, maka kita mesti merujuk kepada hujah yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak sama ada yang membenarkan dan melarang penggunaan kalimah Allah oleh nonMuslim khususnya dalam konteks terjemahan dalam majalah Herald berhubung dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan. Perkara ini boleh dilihat kepada teori ilmiah yang sedia ada dalam alQuran dan juga kehidupan yang berlaku di Tanah Arab khsusunya. Terdapat beberapa teori ilmiah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim, iaitu: 1.
Allah Merupakan Tuhan Bagi Sekalian Alam Bukan Ke Atas Umat Islam Sahaja
Dr Yusuf al-Qaradawi dan Dr Wahbah al-Zuhayli memberikan hujah bahawa nas dalam al-Quran merujuk bahawa Allah merupakan Tuhan bagi sekalian alam iaitu sekalian makhluk tanpa mengira perbezaan bangsa, tempat, warna kulit dan darjat. Bahkan ayat ke-2 dalam surah al-Fatihah jelas membuktikan akidah dalam Islam bahawa Allah adalah Tuhan bagi sekalian alam, bukan bagi umat Islam sahaja Zaharuddin 2012). Maka, mana-mana manusia boleh menggunakaan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan (Haslina Kamaludin 2013). 77
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Sehubungan itu, penggunaan kalimah Allah yang mengkhususkan kepada hak milik umat Islam menjadikan ia bercanggah dengan apa yang terdapat dalam al-Quran sedangkan umat Islam di awal penyaksiaannya menyatakan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Maka mengkhususkan Allah hanya bagi umat Islam dan mengumumkan perkataan Tuhan kepada selain non-Muslim boleh mendorong wujudnya Tuhan yang berlainan selain Allah bagi nonMuslim. 2.
Penggunaan Kalimah Allah Oleh Non-Muslim Disebut Dalam al-Quran
Terdapat beberapa tempat dalam ayat al-Quran yang jelas menunjukkan non-Muslim sama ada kaum Yahudi, Nasrani dan pihak musyrikin Mekah menggunakan kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan. Maka jelas ia bukanlah perkara baru dalam Islam. Bahkan penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim diiktiraf oleh al-Quran dengan menceritakan kembali sebagaimana yang disebutkan oleh mereka. Pihak mushrikin Mekah mengakui akan kekuasaan Allah. Ini disebutkan di dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? (Surah al-„Ankabut: 61) Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah! (Jika demikian) maka bagaimana 78
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
mereka rela dipesongkan (daripada menyembah dan mengesakanNya)? (Surah al-Zukhruf: 87) Selain itu, penggunaan kalimah Allah oleh kaum Yahudi dan Nasrani terdapat di dalam firman Allah SWT:
Dan berkata kaum Yahudi bahawa Uzair merupakan anak Allah manakala kaum Nasrani al-Masih (Isa) merupakan anak Allah. (Surah al-Tawbah: 30) Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Mereka (kaum Nasrani) mengatakan bahawa Allah mempunyai anak. (Surah Maryam: 88) 3.
Kalimah Allah adalah dimaklumi dan sudah lama digunakan oleh bangsa Arab
Dalam konteks negara Arab, kalimah Allah mempunyai dua sudut yang khusus dan umum. Dari sudut yang khusus adalah merujuk kepada Tuhan yang sebenarnya mengikut agama Islam. Maka Allah adalah Tuhan yang Maha Esa dan memiliki segala keagungan serta tidak ada sekutu dan sama dengan-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya: Tidak ada yang sama dengan-Nya (Allah) akan sesuatu pun. (Surah al-Shura: 11) Dr Yusuf al-Qaradawi (1996) berkata ayat di atas merupakan kemuncak dalam menyatakan zat serta sifat bagi Allah yang menafikan sekian makhluk yang mempunyai persamaan dengan Allah apatah lagi 79
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
sekutu bagi-Nya. Ayat di atas menjadi kata putus yang membezakan antara seruan Allah oleh umat Islam dan golongan non-Muslim yang menggunakan pakai kalimah Allah. Dr Mohd Asri Zainal Abidin (2013) memberikan hujah bahawa nama bapa bagi Nabi Muhammad SAW iaitu Abdullah menunjukkan bukti bahawa penggunaan kalimah Allah oleh bangsa Arab adalah perkara yang dimaklumi bahkan sebelum bangkitnya Nabi Muhammad SAW. Ini jelas nama Abdullah menggambarkan gabungan dua perkataan iaitu ‘abd yang beerti hamba dan Allah yang bererti Tuhan. Walaupun musyrikin Mekah memiliki patung berhala yang menjadi sembahan yang banyak sama ada diletakkan di sekeliling Kaabah dan di dalam rumah-rumah mereka serta mereka memiliki Tuhan yang mempunyai nama khusus seperti al-Lat dan al-„Uzza, namun mereka juga menggunakan kalimah Allah dalam penyembahan Tuhan yang mereka sekutukan. Ini dibuktikan apabila ayat al-Quran mendedahkan alasan musyrikin Mekah yang menyembah berhala kerana kepercayaan mereka bahawa bahala-bahala tersebut menjadi medium mendekatkan hubungan mereka dengan Tuhan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan mereka yang menjadikan selain-Nya (Allah) akan wali (mereka berkata:) kami tidak menyembah ia melainkan ia (berhala-berhala sembahan) mendekatkan kami kepada Allah sebagai pengganti (mendekatkan hubungan dengan Allah). (Surah al-Zumar: 3) Namun perlu dinyatakan di sini bahawa kesemua ayat-ayat al-Quran yang dinyatakan di atas yang menunjukkan non muslim sama ada terdiri daripada kalangan Yahudi, Nasrani atau musyrikin menggunakan kalimah Allah, tetapi selepas ayat-ayat tersebut, ada kenyataan daripada Allah yang mengherdik, mengutuk dan mempersoalkan perbuatan syirik mereka itu.
80
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
KEWAJIPAN MENJAGA KESUCIAN DAN KEMULIAAN ALLAH Menjaga kesucian dan kemuliaan Allah termasuklah juga menjaga kalimah Allah serta sifat-sifat yang layak baginya. Allah telah menjelaskan bahawa bagi-Nya nama-nama yang elok serta baik untuk manusia khususnya umat Islam menyeru nama-nama tersebut dalam doa mereka. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Bagi Allah nama-nama yang elok maka serulah (berdoalah) dengannya (nama-nama Allah tersebut). Dan tinggalkan mereka yang mengingkari akan nama-nama-Nya. Kelak mereka akan menerima balasan terhadap apa yang mereka lakukan. (Surah al-A„raf: 180) Sehubungan itu, umat Islam wajib menjaga kalimah Allah daripada dicaci, dikeji dan disalah gunakan kerana ia merosakkan nama-nama Allah yang mempunyai sifat yang mulia dan selayak bagi-Nya. Antara bentuk penjagaan kemuliaan dan kesucian Allah dalam berhadapan dengan non-Muslim ialah: 1.
Mencegah non-Muslim daripada melakukan penghinaan dan celaan. Disebabkan itu, umat Islam ditegah untuk mencaci dan menghina sembahan-sembahan non-Muslim kerana ia akan mengundang permusuhan yang menyebabkan non-Muslim mencaci dan menghina Allah kembali. Firman Allah SWT:
81
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Maksudnya: Dan jangan kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah. (Sekiranya kamu memulakan cacian dan hinaan ke atas sembahan mereka) maka nanti mereka akan mencela Allah dalam keadaan melampuai batas dan tidak berpengetahuan. (Surah al-An„am: 108) Para ulama menyatakan bahawa tegahan yang dilakukan adalah berbentuk pencegahan awal iaitu disebut sebagai sad al-dhara’i‘. Pencegahan awal ini dilakukan kerana jangkaan akan menyebabkan kemuliaan dan kesuciaan Allah dicela oleh nonMuslim yang marah jika sembahan-sembahan mereka dihina dan dicela. 2.
Meletakkan penggunaan kalimah Allah pada tempat terjemahan bagi ketuhanan yang sebenarnya. Jangan dibiarkan berlaku pendustaan dan penyelewengan ke atas-Nya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Mereka (kaum Nasrani) berkata bahawa Allah memiliki anak lelaki. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan suatu yang sangat mungkar. (Surah Maryam: 88-89) Kisah di atas digambarkan oleh Allah SWT bagaimana kemarahan makhluk Allah yang terdiri daripada langit, bumi dan gunungganang terhadap pendustaan yang didakwakan oleh kaum Nasrani ke atas Allah atas dakwaan Tuhan memiliki anak lelaki. Jelaslah penyalahgunaan dalam menterjemahkan dan menerangkan Tuhan yang sebenarnya merupakan satu tindakan jenayah yang bukan sahaja dimurkai oleh Allah bahkan seluruh makhluk yang lain termasuk langit, bumi dan gunung-ganang. Maka ia adalah dilarang kerana merupakan satu pendustaan terhadap Allah. Firman Allah SWT:
82
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Maksudnya: Dan siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang melakukan pendustaan ke atas Allah dengan penipuan? Surah al-An„am: 21) 3.
Menjaga ketinggian kemuliaan Allah dengan tidak memperakui adanya kedudukan yang sama taraf yang boleh menyekutukanNya.
Membiarkan kalimah Allah mempunyai maksud yang sama dengan kalimah Tuhan yang diguna pakai oleh non-Muslim secara salah membuka ruang wujudnya Allah dalam dua konteks. Sedangkan akidah yang sebenar adalah akidah Islam dengan mengesakan Allah dan menafikan segala Tuhan selain-Nya. Inilah ketegasan yang diperintahkan oleh Allah agar tidak berlaku kecelaruan dan menjadikan kedudukan Allah sama dengan kedudukan Tuhan yang didakwa oleh pihak mushrikin Mekah dalam sembahan mereka. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad)! Wahai golongan kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku sesekali tidak menjadi penyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu juga tidak menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah al-Kafirun: 1-6) Bertegas dengan maksud ketuhanan yang layak bagi Allah selaku Tuhan agar tidak berlaku kekeliruan. Dalam dakwah Nabi Muhammad SAW kepada non-Muslim, terdapat dialog antara Baginda SAW dengan Ahli Kitab yang mengajak kepada kembali kepada Allah dengan makna yang sebenar. Dialog ini dirakamkan oleh Allah di dalam firman-Nya:
83
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad)! Wahai Ahli Kitab marilah kepada satu kalimah yang disepakati antara kami dan kamu. Iaitu kita menyembah Allah dan kita tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Surah Ali Imran: 64 Ayat di atas jelas menerangkan seruan kembali kepada menyembah Allah dengan makna yang sebenar iaitu tanpa menyekutukannya. Maka tiada makna yang lain selain mentauhidkan Allah. REALITI SEMASA DI MALAYSIA Dalam isu yang berlaku, kita seharusnya menilai kepada realiti maslahat semasa di Malaysia dan tidak hanya menumpukan kepada negara Arab dan Indonesia yang membenarkan penggunaan kalimah Allah di kalangan non-Muslim. Ia berikutan keizinan penggunaan adalah termasuk dalam perkara yang ijtihadi yang berbeza-beza pandangan ulama manakala menjaga kemuliaan dan kesucian kalimah Allah merupakan perkara dasar yang tiada perbezaan pandangan ulama dalam mempertahankannya. Perbezaan dalam perkara ijtihad adalah suatu perkara yang diraikan di dalam Islam. Ia dikaitkan dengan kaedah yang berbunyi: Perubahan hukum hakam berlaku dengan berubahnya masa dan tempat („Abd al-„Aziz „Azzam 2005). Maka apa yang perlu diperhatikan dalam konteks realiti semasa dalam isu ini ialah: Kalimah Allah merujuk kepada kalimah khas dalam penggunaan Bahasa Melayu. Ia ditujukan kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam secara ekslusif tanpa merujuk kepada ketuhanan yang umum. Maka membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim bagi merujuk kepada Tuhan mereka menjadikan kalimah Allah tidak bersifat khusus dan ekslusif. Pengkhususan kalimah ini adalah satu pendekatan yang diguna pakai dalam kalangan masyarakat melayu Islam bagi menjaga kehormatan, 84
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
kemuliaan dan kesucian terhadap perkara yang berkaitan dengan agama. Ia seumpama terjemahan dalam Bahasa Melayu bagi perkataan “qal” yang diterjemahkan secara berbeza dengan pembahagian pengkhususan kepada tiga bahagian iaitu firman Allah, sabda Nabi Muhammad SAW dan kata-kata oleh selain keduanya. Walaupun kalimah adalah sama, namun terdapat terjemahan yang dikhususkan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah sebagai suatu pendekatan dalam meninggikan kemuliaan yang layak bagi Allah dan Rasul-Nya. Ini dipanggil sebagai salah satu uruf dalam kalangan masyarakat melayu yang beragama Islam. Dan uruf yang tidak bertentangan dengan syariat dan kaedah yang umum adalah dibenarkan dan terpakai. Dr Khadijah Mohd Hambali (T.th.) berkata, kefahaman masyarakat Melayu di Malaysia adalah berbeza dengan kefahaman bangsa Arab kerana masyarakat Melayu ditanamkan kefahaman yang dimurnikan bahawa Allah merujuk kepada Tuhan yang disebutkan di dalam alQuran tidak pada maksud Tuhan yang umum sebagaimana kefahaman bangsa Arab mengenai kalimah Allah ini. Menjadikan kalimah Allah sebagai hak eklusif bagi umat Islam kerana menterjemahkan ketuhanan yang sebenarnya dan selayaknya bagi Allah berdasarkan nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Hak ekslusif ini menjadikan kebenaran yang ada adalah yang diperjuangkan oleh umat Islam tidak agama yang lain. Inilah sebagaimana hak ekslusif yang diberikan oleh Allah SWT ke atas umat Islam disebabkan agama Islam. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam. Al „Imran: 19) Firman Allah SWT lagi:
85
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Maksudnya:“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agama maka tidak sesekali akan diterima darinya. Surah Al „Imran: 85) Dato‟ Dr Harun Din menegaskan bahawa kalimah Allah adalah hak ekslusif bagi umat Islam kerana hanya umat Islam yang mempertahankan kebenaran manakala non-Muslim pula tidak membawa kebenaran kepada kalimah Allah bahkan melakukan pendustaan ke atas Allah sebagaimana kaum Nasrani yang meletakkan konsep triniti dalam ketuhanan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahwasanya Allah salah seorang daripada yang tiga”, padahal sekalikali tidak ada Tuhan selain daripada Tuhan Yang Esa. (Surah alMa‟idah: 73) Apatah lagi di Malaysia yang terdapat pelbagai agama seperti Hindu, Buddha dan sebagainya ekoran wujudnya kepelbagaian bangsa menjadikan seruan ketuhanan di peringkat agama masing-masing adalah berbeza. Maka hanya kepercayaan umat Islam sahaja yang meletakkan kalimah Allah di tempat yang selayaknya sekaligus menjadikan kalimah tersebut sebagai hak ekslusif bagi umat Islam. Justeru, Mohd Aizam Mas‟od (2008) berpendapat bahawa penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia mempunyai sejarah dan pengaruhnya terutama dalam konteks yang melibatkan agama. Sehubungan itu, walau kalimah Allah berasal daripada Bahasa Arab yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, namun masyarakat Melayu Islam di Malaysia tetap menggunakan kalimah Allah yang dijadikan kalimah khas. Maka bahasa sesuatu masyarakat dan negara sudah tentu berbeza dengan negara-negara lain melihat kepada pengaruh budaya dan tamadunnya. Agama lain memiliki kalimah yang tersendiri dalam menggambarkan Tuhan yang mereka dakwa dan sembah. Realiti yang berlaku antara penganut agama selain agama Islam di Malaysia, mereka memiliki nama-nama yang khusus bagi Tuhan
86
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
mereka. Nama-nama tersebut sudah mencerminkan sembahan mereka tanpa memerlukan kepada penggunaan kalimah Allah. Agama Hindu menggunakan nama Tuhan seperti Brahman, Indra, witra dan sebagainya. Begitu juga dengan bagi penganut Kristian yang menggunakan perkataan God, Father dan Lord yang merujuk kepada Tuhan. Ini kerana dimaklumi bahawa bagi mereka perkataan yang khusus yang merujuk kepada Tuhan mereka seperti Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ibu yang berkonsepkan triniti. Justeru, penganut agama selain Islam sudah memiliki nama Tuhan yang khusus yang telah diguna pakai sebelum ini bahkan dimaklumi dalam kalangan mereka termasuk juga kalangan umat Islam. Penggunaan nama-nama yang berbeza bagi Tuhan yang didakwa oleh semua agama adalah untuk menterjemahkan Tuhan berdasarkan kefahaman mereka yang tidak sama dengan kefahaman Islam yang terasnya adalah akidah Islam. Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam (Abu Bakar Yang 2009). Ini disebabkan kalimah Allah tidak lagi menjadi kalimah khas yang membawa kepada satu maksud akan tetapi menjadi kalimah umum yang mempunyai makna yang pelbagai mengikut tafsiran pihak yang menggunakannya. Masyarakat Islam di Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu berbeza dengan kalangan bangsa Arab yang lebih memahami perkataan Arab memandangkan ia bahasa bangsa dan menjadi kegunaan seharian dalam kehidupan mereka. Telah termaktub di antara larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam (Abu Bakar Yang 2009). Kekeliruan yang timbul ialah apabila terjemahan yang dilakukan akan memberikan maksud yang berlainan. Asalnya kalimah Allah yang merupakan kalimah khas merujuk kepada Allah iaitu Tuhan yang Maha Esa dan memiliki segala sifat yang layak baginya.
87
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Namun jika diberikan untuk terjemahan bagi God yang diguna pakai oleh pihak Kristian, ia akan menjadi umum iaitu Tuhan. Dan sudah pasti Tuhan yang mereka maksudkan adalah berlainan dengan Tuhan yang difahami oleh bangsa Melayu Islam. Maka kalimah Allah menjadi satu kekeliruan kerana kalimah dan tulisan yang sama namun kehendak maksud adalah berbeza mengikut fahaman agama yang pelbagai. MEMAHAMI PERTIMBANGAN ANTARA TEORI ILMIAH DAN REALITI SEMASA Ulama ada menggariskan kaedah untuk memahami pertimbangan akan sesuatu permasalahan. Ia dipanggil dengan fiqh al-muwazanat. Melalui fiqh al-muwazanat ini, isu yang timbul dapat dilihat daripada beberapa sudut: Pertama: Menjaga perkara dasar yang disepakati iaitu memelihara kemuliaan dan kesucian Allah termasuk kalimah-Nya daripada sebarang pendustaan dan penyelewengan berbanding dengan membenarkan atas hujah ia telah diguna pakai sejak sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW. Maka membenarkan terjemahan God, Father atau Lord kepada Allah sebagaimana yang dituntut oleh majalah Herald akan menyebabkan kalimah Allah diterjemahkan mengikut kefahaman dan kepercayaan Kristian yang bertentangan dengan Islam. Sedangkan penggunaan kaum Yahudi, Nasrani dan pihak musyrikin Mekah akan kalimah Allah adalah dimurkai oleh Allah secara jelas sebagaimana yang diterangkan dalam ayat-ayat al-Quran sebelum ini. Maka mendahulukan perkara yang dasar yang disepakati oleh semua pihak merupakan satu yang ditekankan dalam Islam. Imam Ibn Taimiyyah berkata: Agama Islam dibina atas dasar kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya serta apa yang disepakati oleh ummah. Maka tiga perkara ini adalah usul atau dasar yang terpelihara (Salah Sawi 2004). Kedua: Menghalang perkara yang harus bagi mencegah mudarat ke atas umat Islam berbanding membenarkan sehingga membuka ruang berlaku fitnah ke atas kalimah Allah.
88
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Kaedah ini dipanggil sebagai sad al-dhara’i‘. Walaupun penggunaan kalimah Allah adalah harus bagi non-Muslim secara teori ilmiah yang dibentangkan, namun ia tidaklah menjadi suatu kemestian. Keharusan yang ada bukanlah dalam bentuk suruhan namun ia dilihat dari sudut tiada dalil yang menghalangnya. Sehubungan itu, penggunaan non-Muslim ini termasuk dalam konteks perkara yang tidak ditetapkan oleh nas syarak maka ia bergantung kepada kebijaksaan pemerintah bagi meraikan dan menjaga maslahat umum. Jika pemerintah membenarkannya ia merupakan kaedah masalih mursalah namun jika ditegah ia termasuk dalam kaedah sad aldhara’i‘. Kaedah ini disebutkan oleh Imam Hasan al-Banna dalam usul yang ke5 iaitu: Pandangan seorang pemerintah dan penggantinya adalah terpakai pada perkara yang tidak ada nas, juga pada perkara yang terdapat banyak pandangan serta konteks masalih mursalah selama mana tidak bertentangan dengan kaedah syarak. Dan ia kadang kala berubah-ubah mengikut kesesuaian keadaan, uruf dan adat (al-Qaradawi 2011). Bertegas dalam meraikan sensitiviti semua agama dengan menjaga hak ekslusif masing-masing adalah lebih menjamin keharmonian berbanding meraikan tuntutan dalam mengubah hak eklusif yang khusus kepada umum. Setiap agama memiliki kepercayaan masing-masing dan ia tidak boleh dipaksa untuk meninggalkannya. Begitu juga dengan hak eksklusif dalam konteks nama-nama Tuhan yang didakwa bagi setiap agama termasuk juga agama Islam. Maka setiap agama tidak berhajat kepada nama khas bagi agama selainnya untuk menterjemahkan dan menjelaskan Tuhan yang mereka dakwa. Ini kerana nama khusus yang sedia ada sudah menterjemahkan kehendak dakwaan apa yang dipercayai oleh setiap agama tersebut. Membiarkan perkataan God diterjemahkan kepada kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu menjadikan pencerobohan ke atas agama Islam secara tidak langsung kerana terjemahan tersebut telah menukar kehendak maksud dalam Islam bagi kalimah Allah yang dipercayai oleh umat Islam.
89
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
Justeru, Islam juga meraikan hak eksklusif setiap agama yang ada dengan menyebut al-din dan ilah sedangkan dari sudut kepercayaan umat Islam bahawa agama di sisi Allah hanyalah agama Islam sahaja tidak ada yang lain dan Tuhan yang wujud dan layak disembah hanyalah Allah yang Maha Esa tanpa ada selain-Nya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam. Al „Imran: 19) Firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah. (Surah Muhammad: 19) Maka hak eksklusif ini diraikan dalam Islam sehinggakan Islam melarang umatnya daripada mencela tuhan-tuhan sembahan musyrikin Mekah walaupun jelas kepercayaan umat Islam bahawa setiap kepercayaan yang batil adalah najis. Ruang ini diraikan adalah untuk menjaga maslahat yang lebih besar. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang muysrikin itu adalah najis. (Surah al-Tawbah: 28) KESIMPULAN Berdasarkan perbahasan di atas, isu mengenai penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslimin khususnya dalam tuntutan menterjemahkan kalimah God kepada kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu dapat diberikan perhatian kepada beberapa perkara:
90
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
1.
Penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim dengan makna yang sebenar adalah tidak menjadi masalah kerana ia menepati kehendak bagi kalimah Allah tersebut.
1.
Keharusan penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim pada makna yang sebenar merupakan perkara yang tidak disuruh oleh nas dan tidak juga terdapat nas larangan. Ia hanya dinyatakan penggunaannya di dalam al-Quran. Sehubungan itu, bergantung kepada pemerintah sama ada untuk menghalang dalam konteks sad al-dhara’i‘ atau membenarkan berdasarkan kaedah masalih mursalah.
2.
Mana-mana penggunaan kalimah Allah yang menyeleweng dan terdapat pendustaan maka ia adalah dilarang kerana menceroboh kemuliaan Allah dan agama Islam. Sebab itu walaupun dalam alQuran, Allah merakamkan non-Muslim menggunakan kalimah Allah, namun mereka mendapat kemurkaan Allah kerana melakukan penyelewengan dan pendustaan.
3.
Keputusan larangan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Persekutuan ke atas majalah Herald untuk menterjemahkan perkataan God, Father atau Lord kepada kalimah Allah merupakan satu pencegahan kerana terjemahan tersebut mensyirikkan Allah. Ia juga bagi memelihara kefahaman yang murni secara asas oleh masyarakat Melayu Islam mengenai kalimah Allah merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, bukan yang lain.
4.
Umat Islam mestilah bersatu dalam isu ini pada perkara yang dasar iaitu menjaga kesucian kalimah Allah serta berlapang dada pada perkara ijtihad dalam menerima keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan untuk menutup ruang fitnah.
Di samping itu, hasil suasana yang berlaku ekoran isu ini maka tulisan ini mencadangkan beberapa saranan untuk tindakan bersama iaitu: 1.
Pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang efisyen dan tegas dalam menguruskan hal yang melibatkan keistimewaan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan pada Perkara 3 (1).
91
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
2.
Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut-pengaut Agama (JKMPKA) mestilah berperanan dan aktif dalam mewujudkan medium dialog antara agama dalam membentuk suasana yang harmoni bagi kesejahteraan negara.
3.
Mahkamah Syariah wajar mengenakan tindakan ke atas usahausaha dakyah yang didapati sebarannya ke atas penganut Islam menurut peruntukan enakman yang sedia ada.
4.
Para ilmuan dan asatizah perlu duduk berbincang dalam membincang sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam agar memudahkan kefahaman masyarakat Islam dalam konteks yang tepat dan berdisplin.
Semoga dengan perbincangan yang telah dibentangkan mampu memberikan pencerahan mengenai kefahaman dalam melakukan pertimbangan antara teori ilmiah dengan realiti semasa di Malaysia dalam isu ini. Lantaran itu, kerajaan dan umat Islam perlu peka dengan setiap isu yang mendatang agar tidak menyebabkan kesatuan umat Islam terjejas sehingga membuka ruang kepada pihak musuh Islam untuk menjajah pemikiran umat Islam dengan perbalahan sesama sendiri dalam kalangan umat Islam. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Sesiapa yang berpaling daripada agama-Nya maka kelak Allah akan datangkan satu kaum yang Dia mengasihi mereka serta mereka mengasihi-Nya (Allah), dalam keadaan rendah diri ke atas orang beriman dan tegas ke atas orang kafir. Mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut akan sebarang celaan. (al-Ma‟idah: 54) RUJUKAN al-Quran al-Karim
92
Isu Syariah & Undang-undang Siri 19
„Abd al-„Aziz „Azzam. 2005. al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah. Kaherah: Dar al-Hadith Abu Bakar Yang. 2009. Isu Penggunaan Kalimah Allah. http://www.ikim.gov.my/index.php/en/utusan-malaysia/8052-isupenggunaan-kalimah-allah1 Haslina Kamaludin. 2013. Kalimah ALLAH Milik Semua. http://www.sinarharian.com.my/kalimah-allah-milik-semua1.212758 Khadijah Mohd Hambali. Perbezaan Penggunaan Kalimah Allah Dalam Agama Islam Dan Agama Kristian. Mohd Aizam Mas‟od. Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian. (Jurnal Penyelidikan JAKIM Bil 21 Tahun 2008) Mohd Asri Zainul Abidin. 2013 Kalimah Allah: Emosi dan Realiti. http://drmaza.com/home/?p=2528. al-Qaradawi, Yusuf „Abdullah. 1996. Jarimat ‘Uqubatuha. Kaherah: Maktabah Wahbah
al-Riddah
wa
al-Qaradawi, Yusuf „Abdullah. 2011. al-Siyasah al-Shar‘iyah fi Daw’ Nusus al-Shari‘ah wa Maqasidiha. Kaherah: Maktabat Wahbah. Salah Sawi. 2004. al-Thawabit wa al-Mutaghayyirat. Arab Saudi: Dar al-Anfus al-Khadra‟. Sharif Muhsin Mahmud. 2004. Masadir Tashri‘ al-Ahkam fi al-Fiqh alIslami. Kaherah: al-Muqattam. Zaharuddin Abd Rahman. 2012. Nama Allah: Hukum Asal, Dakwah dan Siyasah. http://zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/910nama-allah-ekslusif-atau-tidak-hukum-asal-dakwah-a-siyasah.html Zaizul Azizi Zaman. 2013. Polemik Kalimah Allah: Pembohongan Media & Gambaran yang Salah. http://www.ismaweb.net/v4/2013/10/polemik-kalimah-allahpembohongan-media-gambaran-yang-salah/.
93