1
Insakh Pan Dukka
Faran bin Yusoff 2
Kota Bharu Kelantan Darul Naim
Hikayat Kota Dewa Selayang Pandang Insakh pan dukka .. Oh .. Kota Keagungan .. Adapun, telah datanglah kepada kami, suatu ceritera yang paling agung dari perihal bermulanya, hidup makhluk berakal pertama di atas tanah sujiha yang diberi nama mankh. 3
Ceritera yang kejadiannya telah berlaku, di satu zaman yang entah berentah namanya, lagi tiadalah dapat disebut-sebut akan masa dan ketikanya. Kami sampaikan ceritera ini kepada seluruh umat manusia supaya dapat diambil daripadanya, segala pengajaran dan tauladan. Juga supaya seluruh umat manusia itu dapat pula kembali kepada asal dan usul keadaan keujudannya, iaitu mencari diri sendiri dan mengenal erti sebenar perjuangan kebaikan, atas alam jitrah yang fana ini. Semoga dapatlah manusia itu disempurnakan hidup mereka, dengan kehidupan yang sebenar-benar kesempurnaannya. tanah sujiha – bumi mankh – makhluk kesempurnaan alam jitrah – alam semesta raya
Bermula dan berakhirnya al kisah kami ini adalah di satu kota yang penuh dengan rahmat lagi penuh keberkatannya dari sisi raja sekalian alam, Mahadiri Bolti. Di kota inilah, segala kebaikan maupun kejahatan akan dinyatakan, seumpama menggali keluar, seluruh isi lautan. Kisah ketaatan dan kasih sayang kepada sang bolti, juga kepada sesama makhluk, menjadi tali yang akan menyambung kehidupan. Di kota ini jugalah, 4
semua hati akan bersaksi kepada takdir serta hukum aturan yang telah ditentukan dari Mahadiri Bolti. Maka, inilah kotanya, yang akan menjadi suatu pertaruhan besar buat semua makhluk untuk memilikinya. Sebuah kota yang dinamakan sendiri akan oleh cahaya sang bolti, Sri Cahaya Shakta sebagai .. Kota Dewa .. bolti – tuhan Mahadiri Bolti – nama teragung tuhan
Juga, di kota keagungan inilah, 99 orang raja agung alam akan dilahirkan daripada setiap kematian mankh yang paling berkuasa, yang dapat menguasakan luk-luknya dengan segenap kehebatan dan dengan gagah perkasa. Atas telapak tangan raja agung alam ini, maka tanah Kota Dewa ini, dijadikan sebagai tanah sumpahan bagi segala kejahatan yang bukan dari kalangan alam jitrah sebagai menjunjung akan kedaulatannya. luk-luk – kembaran jin yang lahir dengan setiap mankh
Namun, apabila turutan 99 raja agung alam ini telah disempurnakan, maka akan datanglah kepadanya, kejahatan dari kayangan buat menguji 5
segala nikmat yang telah diterima oleh kota keagungan itu dari sisi Mahadiri Bolti. Lantaran dari itu, maka, inilah ceriteranya dengan siasahnya yang BerTujuh .. dan kami namakan ia dengan nama ..
Hikayat Kota Dewa ! Panlua dukka ata ..
6
Tamat Selayang Pandang
Pembuka Siasah Andika Dan Tok Selimpang Bumi Seri Limbang, Di hujung sebuah desa yang amat terpencil dan di tepi sebatang anak sungai yang sedang mengalir lesu, kelihatanlah seorang anak muda yang sedang duduk memeluk kedua-dua lututnya sambil mulut pula asyik mengepit sebatang rokok daun nipah yang tidak bernyala, apatah lagi hendak berasapnya. Rambut si anak muda itu agak panjang juga, hingga sampai ke paras bahu. Berkulit sawo matang dan bertubuh sasa sementara hidungnya pula, mancung bak seludang ! Jelas sekali bahawa anak muda itu amat tampan rupanya.. Suasana di pagi itu amatlah nyaman dan tenang dengan sesekali, kedengaran nyanyian-nyanyian merdu dari makhluk hutannya, ditambah pula, pada waktu yang sebegitu, belumlah ada lagi penghuni desa yang telah mundar-mandir di 7
sepanjang anak sungai itu, untuk memulakan penghidupan masing-masing. Dari kejauhan, dapatlah dilihat, si anak muda, seakan-akan sedang bertafakur kepada alam dengan penuh kekhusyukan, walaupun, sekali-sekala dia sedikit terganggu oleh kedinginan awal pagi yang telah menusuk ke dalam tulang hitam dan juga dari kejengkelan gigitan-gigitan sang serangganya yang begitu menyakitkan itu. Sungguh masyuk, hingga tidaklah dia bergerak maupun berganjak dari kedudukannya. Namun, jika diperhatikan kepada raut wajahnya yang tidak berseri itu, maka nyatalah apa yang di dalam jiwa itu tidaklah sebagaimana apa yang ada pada alam di pagi itu. Anak muda berambut panjang itu sebenarnya, tidaklah tenteram dan tidak aman, seperti ada sesuatu yang sedang bersawang dalam benaknya ! Daripada air mukanya yang mengelam mendung itu, ia memberikan suatu pertandaan yang seolaholah, anak muda itu sedang memendam persoalan yang tidak dapat dijawab. Sesekali, kelihatanlah dahinya itu berkerutan dengan kedua kelopak matanya, sentiasa dipejam8
pejamkan, tandaan akan betapa beratnya kesusahan yang sedang dialami itu. Agak lama juga dia berkeadaan dengan yang demikian, sehinggalah apabila, dengan tiba-tiba sahaja, anak muda itu telah dikejutkan oleh sapaan daripada seseorang misteri yang datang dari sebelah kanan telinganya ! “ Salam sejahtera ke atasmu wahai anak muda .. “ Adapun, sapaan itu rupa-rupanya datang daripada seorang lelaki tua yang memakai jubah putih dan berselimpang. Demi sahaja mendengar akan sapaan itu, maka bingkas bangun berdiri si anak muda, lalu menghadaplah pandangannya kepada lelaki tua yang menyapa itu. Setelah puas mengamati si lelaki tua, dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, yakinlah dirinya bahawa, lelaki tua itu adalah manusia yang sebenar .. bukan dari kalangan jembalang ataupun jin yang selalu menjelma di hutan belantara yang seperti itu ! Tua benar manusia itu .. janggutnya telah dipenuhi dengan uban dan juga panjang sampai ke paras dada. Dengan tangannya yang sedang menjinjing sebonjot 9
bungkusan kain, maka dapatlah anak muda itu meneka yang bahawa, pak tua itu bukanlah dari daerah itu ! “ Ehhh.....salam kembali pada pak tua .. maafkan cucu yang alpa ini dan sungguh leka, hinggakan tiada dapat menyedari akan kemunculan pak tua tadi .. “ Si anak muda telah memulakan kata-kata sambil wajahnya pula, menampakkan dirinya yang sedang terkulat-kulat, kerana pak tua yang menegur itu, belumlah lagi dapat dikenal siapa gerangannya. Seperti telah dapat menyelam ke dalam akal fikir si anak muda, pak tua itu dengan lemah dan lembutnya segera memperkenalkan dirinya sendiri. “ Oh .. anak muda, pak tua inilah yang sepatutnya memohon kemaafan darimu lantaran telah sampai begitu sekali pak tua telah mengejutkan dirimu. Pak tua ini digelar orang dengan nama Tok Selimpang. Mungkin juga sebab pak tua ini sangat gemar memakai selimpang di bahu agaknya ? Adapun pak tua ini sebenarnya bukanlah berasal dari desa ini. Pak 10
tua hanyalah orang dagang yang berasal dari Tanah Inderapura. Pak tua ke daerah ini kerana hendak membawa barang dagangan berupa wangi-wangian dan batu permata untuk diperdagangkan di Kerajaan Samendra ini ! “ Bertambah hairanlah akan si anak muda itu bilamana pak tua yang telah memperkenalkan dirinya sebagai Tok Selimpang, menamakan desa tumpah darahnya itu dengan nama Samendra, padahal, desa itu sebenarnya dikenal dengan nama Seri Limbang. Lalu berkatalah dia .. “ Emmm ... pak tua, desa ini bukan bernama Samendra tetapi Seri Limbang. Mungkin pak tua ini dah tersalah agaknya ! Samendra, tak pernahlah pula saya dengar suatu nama yang seperti itu ! “ Tok Selimpang itu memegang janggut sendiri, dan tidak lama kemudian dia mengukirkan satu senyuman .. “ Betulkah begitu wahai anak muda ? Barangkali pak tua ini dah terlalu berumur sampai terkhilaf perkiraannya pula ! Kalau 11
begitu ... tak apalah wahai anak muda. Ada baik juga jika pak tua teruskan saja perjalanan pak tua sementara siang ini masih lagi panjang. Terima-kasih kerana kamu sudi meneman bualkan pak tua di sini. Salam padamu wahai anak muda ! “ Sebaik selesai Tok Selimpang berkata-kata, maka berpalinglah dia dari anak muda, lalu berjalan pergi untuk meninggalkan tempat itu. Namun, di hati anak muda, tiba-tiba pula jatuh kasihan kepada orang tua itu. Raut wajah si anak muda telah memperlihatkan kebimbangannya terhadap apa yang bisa berlaku kepada Tok Selimpang. Dia mungkin akan tersalah jalan lagi .. atau mungkin juga dia akan dirampok oleh manusia durjana yang sentiasa berkeliaran di tepian belantara, malahan, bermacam-macam lagi kemungkinan buruk lain yang juga boleh berlaku. Lagipun dia hanyalah seorang tua yang lemah dan keseorangan. Tanpa membuang masa si anak muda terus sahaja menjerit .. “ Tok selimpang, nanti dulu ... “
12
Mendengar namanya telah dipanggil, Tok Selimpang menghentikan langkahnya lalu menoleh kepada si anak muda yang sedang berlari anak pergi mendapatkannya. Tidak lama kemudian, maka berhadapanlah Andika dengan Tok Selimpang itu .. “ Ada apa wahai muda ...”. “ Pak tua, ada baik juga seandainya pak tua bermalam dahulu di pondok saya. Barangkali, akan ada mana-mana penghuni dari Seri Limbang yang tahu akan perihal Samendra itu, dan dapat pula menolong pak tua pergi ke ...... ke .... ya, Samendra itu. Lagi pula aku sendiri berasa amat suka untuk mendengar kisah perjalanan pak tua yang jauh ini ! “ Tok Selimpang tidak terus berkata-kata, tetapi mendongakkan sebentar kepalanya ke langit sambil matanya dipejamkan. Si anak muda terpinga-pinga, sabar menantikan jawaban daripada Tok Selimpang. Dan, dengan tiba-tiba Tok Selimpang telah membuka matanya lalu memandang tepat kepada si anak muda seraya berkata .. 13
“ Dah lama kita berbicara, tetapi pak tua belumlah lagi bertanyakan nama kamu. Siapakah nama kamu wahai anak muda ? “ “ Saya ini dipanggil orang dengan nama Andika, pak tua, Andika Satria .. ! “ Demi sahaja mendengarkan akan nama itu, air muka Tok Selimpang telah berubah dengan sertamerta. Kelihatan pak tua nampak agak terkejut lalu bertanya .. “ Apakah kamu ini seorang yang yatim piatu wahai anak muda Andika ? “ “ Benar pak tua ... tapi, bagaimanakah pula pak tua dapat mengetahuinya ? “ “ Oh ... tiadalah ada apa-apa anakku Andika, pak tua ini saja suka meneka. “ Sebaik Tok Selimpang berkata-kata, dia meletakkan tangannya di atas bahu Andika, merenungnya dengan sekilas pandang lalu memberikan satu senyuman. 14
“ Wahai Andika, tatkala mendengar sahaja namamu, hati pak tua telah tiba-tiba merasa amat senang. Mohlah kita terus saja ke pondokmu, pak tua terima pelawaanmu. “ “ Jika begitu, baiklah pak tua, pondokku tiadalah jauh dari sini hanya ikutilah sahaja langkah kakiku .. di sana nanti, bolehlah pak tua merehatkan diri. “ Andika pun memulakan langkahnya sambil Tok Selimpang itu pula mengekorinya dari belakang. Wajah Andika tiada menunjukkan sebarang kemusykilan, namun di hati kecilnya, dia dapat merasa bahawa pak tua itu adalah seorang manusia yang penuh dengan hikmat dan amat berpengetahuan. Dirinya amat meyakini bahawa orang tua yang dagang itu bukanlah dari kalangan manusia yang sebarangan. Andika dapat mengecamnya melalui sinar dari mata pak tua yang kelihatan begitu hening lagi meyakinkan. Itulah petua yang telah diperturunkan oleh mendiang ayahandanya, Gempita, si penglipur lara dari istana Manjasing, ibu kota kepada Seri Limbang. 15
Akan tetapi, sebaik terkenangkan ayahandanya itu, hati Andika pula telah tiba-tiba menjadi sayu dan syahdu .. ayahandanya, sudah tujuh hari pergi meninggalkan dunia yang fana ini akibat dari sakit tua. Meninggalkan dirinya untuk hidup keseorangan mengharungi penghidupan .. buat selama-lamanya. Adapun, itulah manusia yang paling disayangi dan dicintainya. Mak Simah, sang ibu telah terlebih dahulu dijemput ke hadrat Tuhan setelah mengalami pendarahan yang teruk ketika bersalinkan dirinya. Aduhai, malang sungguh nasib mu wahai anak muda Andika .. Namun begitu, tiada alam yang akan menyangka bahawa, ada satu takdir dari Tuhan yang akan mengubah nasib atas hidup Andika Satria itu untuk selama-lamanya. Umpama kata pujangga, langit takkan selalunya mendung dan laut takkan selalunya surut .. Adapun, sebagaimana diri Tok Selimpnag, Andika juga bukanlah seorang manusia yang kebanyakan. Dirinya sudah terpilih... dan setiap 16
yang telah dipilih, pastilah yang paling baik, tetapi akan sentiasa diuji dengan dengan seribu satu macam ujian atas kehidupannya. Sesungguhnya, pertemuannya dengan Tok Selimpang, bukanlah juga satu pertemuan yang biasa, ia telahpun diaturkan ! Untuk apakah Andika dipilih ? Adapun, dia telah dipilih untuk menjadi seorang pewaris .. pewaris kepada satu rahsia yang paling agong buat seluruh alam. Rahsia berwarisan yang telah diperturunkan dari manusia kepada manusia, sejak mula ujud alam itu lagi ! Suatu rahsia yang tidak akan ada akhirnya, melainkan telah bernoktahlah usia alam itu sendiri. Buat ketika itu, belumlah sampai masanya lagi untuk Andika mengetahuinya, tetapi, detik itu akan tetap menjelma jua. Anak muda itu akan diberitahukan ! Dan, sesungguhnya, tiada manusia yang paling layak untuk menyampaikan amanat alam ini kepadanya, melainkan orang tua misteri, Tok Selimpang itulah. Di istana Kerajaan Manjasing .. 17
Sultan Gah Semerang Di Sukma, pemerintah Manjasing sedang dikelilingi oleh para pembesarnya di dalam balai rong seri. Dari raut wajah baginda, ia menampakkan kemurkaan. Semua manusia lain selain dari diri baginda, menundukkan muka masing-masing ke lantai. Tanda kedaulatan sang sultan .. Agak lama jugalah suasana di dalam balai raja itu menjadi sunyi dan sepi, hinggalah sang sultan yang dengan nada kekecewaan memulakan titah baginda .. “ Wahai para pembesar beta, mengapa kalian semua membisu. Bukankah telah beta perintahkan kamu mencari gantinya si Satria. Siang dan malam sudahpun bersilih ganti tujuh kali lamanya, namun sehingga kini, masih jua tidak diketemukan penggantinya. Apakah sebuah kerajaan yang sebegini hebat sudah kehabisan manusianya yang mampu untuk berlipur lara ? “ Maka menjawab titahlah salah seorang daripada kalangan para para pembesar ..
18
“ Ampun tuanku, adapun sudah dicananglah ke seluruh pelusuk kota dan desa sebagai perkhabaran buat mencari penggantinya Pak Gempita itu. Patik sendiripun berasa amat pelik dan hairan kerana, belumlah lagi ada, walaupun seorang yang datang mohon mengadap. Tidaklah pernah kejadiannya sebegini didalam sejarah negara dan mohon ampun daripada Yang Mulia Sultan kerana akal patik sudahpun tidak berdaya lagi memikirkannya .. justeru itu patik sekalian pembesar semua, mohon titah kebijaksaan dari paduka tuanku, ampun tuanku ! “ Mendengarkan penjelasan pembesar negara, sang sultan mendiamkan diri sejenak. Baginda lantas berdiri daripada duduknya lalu berjalan menuju ke jendela istana. Baginda melontarkan pandangan ke luar taman yang dipenuhi dengan pelbagai pepohon bunga-bungaan. Daripada riak wajah sang sultan, jelaslah bahawa kematian Pak Satria adalah suatu kehilangan besar bagi Manjasing. Penglipur diraja itu sudah sekian lama menceriakan istana dan Manjasing sejak dahulu kala lagi. Setiap purnama, istana akan membuka pintunya kepada seluruh rakyat jelata bagi bersama-sama mendengarkan kisah-kisah teladan 19
dan nasihat yang disampaikan. Dengan upacara yang sebegitulah, maka, hubungan di antara sang sultan dan rakyat jelata akan sentiasa terjalin lalu kemakmuran negara dapatlah pula dirasai. Tetapi kini, semuanya bakal berakhir seandainya pengganti Pak Gempita itu tidak dapat dicari ganti. Sedang para pembesar itu tertunduk mendiamkan diri, dengan tiba-tiba sahaja, maka bertitahlah sang sultan .. “ Wahai pembesar Manjasing sekalian, setahu beta, Pak Gempita berasal dari Seri Limbang, sebuah desa kecil yang menghadap arah naiknya mentari dan juga, setahu beta, Pak Gempita itu sebenarnya memiliki seorang anak teruna. Tidakkah begitu ? “ Sekaliguslah semua pembesar mengiyakan titah sang sultan. Mendengarkan jawaban para pembesarnya, Sultan Gah Semerang Di Sukma kembali menduduki kerusi kebesaran Manjasing, lalu memberikan titah baginda ..
20
“ Jika demikian, segera hantarkan utusan ke Seri Limbang. Bawakan kemari anakandanya Pak Satria itu datang mengadap beta. Sungguh besar keyakinan beta bahawa si anak ini juga memiliki kebolehan sebagaimana ayahandanya. Lekas, bangunlah semua dan jalankan perintah ini serta merta ! “ Selesai bertitah, maka baginda sultanpun berlalu menuju ke kamar beradunya. Sementara para pembesar pula, tinggal duduk bermesyuarah bagi mencari jalan yang paling baik untuk menyempurnakan titah baginda sultan Manjasing. Di sebuah pasar kecil di desa Seri Limbang .. Andika kelihatan agak terburu-buru bergegas pergi ke sebuah pondok yang menjual ubatubatan dari akar kayunya. Sebenarnya, sudah dua malamlah Tok Selimpang itu jatuh sakit secara tiba-tiba. Serba-salah juga Andika dibuatnya ! Masakan tidak, Andika belumlah kenal benar dengan orang tua dagang itu yang penuh misteri lagi berahsia. Hendak dibiarkan saja, kasihan pula rasanya, lagipun, di Seri Limbang ini, Tok Selimpang itu bukanlah memiliki sebarang 21
saudara mara maupun sahabat handai yang bisa saja datang menjengok dan membantu. Di gerai Pak Ali, maka Andika telah membeli sebungkusan dedaunan herba untuk direbus dan dijadikan ubatnya buat Tok Selimpang. Semoga pak tua itu, akan segera sembuh dan bisa pula meneruskan semula pengembaraannya. Namun, sedang Andika itu bersiap untuk segera pulang, tangannya telah dengan tiba-tiba, dipegang oleh seorang lelaki tua yang sangat dikenalinya ! “ Eh .. Pak Suman, ada apa pak ? “ “ Kamu ni Andika, dari tadi lagi bapak perhatikan kamu. Kamu langsung tidak terlihatkan Bapak yang cuma berdiri di gerai sebelahmu sahaja. Nampaknya, kamu ini ribut benar, sampaikan tidak menyedarinya. Hmm .. yang kamu terlalu ingin lekas ini, kenapa pula anakku .. ? “ Adapun, Pak Suman itu adalah teman akrab mendiang Satria, ayahanda si Andika ! Semasa mula-mula ayahandanya dilantik menjadi penglipur diraja, Andika dikala itu, baru 22
mencapai usia tiga tahun. Sentiasa saja Andika ditinggalkan untuk dijagai oleh Pak Suman sekeluarga pada setiap kali mendiang Pak Satria itu berpergian ke kota. Lantaran itu, bolehlah dikatakan bahawa, Pak Sumanlah manusia yang paling dihormatinya oleh Andika selain dari ayahandanya, Pak Gempita. Namun, hari ini, dia terpaksa untuk tidak berbicara lama dengan Pak Suman. Seseorang sedang menantinya .. Seseorang yang sedang dalam kepayahan. Kegelisahan jelas pada riak di wajahnya, tetapi, riak itu dapatlah pula, ianya dibaca oleh Pak Suman. “ Eh ... lain pulak rasanya Pak Suman tengokkan kamu hari ni ! Apakah kamu ini sedang dalam kepayahan ? “ “ Emm ... tiii .. tiiidaklah Pak Suman, cuma, Andika rasa tak sedap badanlah. Bolehkah sekiranya, kita menyambung saja bicara pada kelapangan di lain kalinya ? “ 23
Baru saja Andika hendak memalingkan tubuhnya untuk melangkah pergi, Pak Suman pula mencelah .. “ Eh .. kalau ye pun, nantilah dulu. Bapak dah amat lama ingin ketemu kamu, tapi asyik tak kesampaian, dek keuzuran diri bapak yang sudah terlalu tua ini. “ Bapak tahu kamu perlu segera kembali ke pondokmu .. Tok Selimpang ada di pondok kamu bukan ? “ Bukan alang terkejutnya Andika apabila mendengar nama Tok Selimpang itu disebut oleh Pak Suman sebentar tadi itu. Bagaimana pula dia boleh mengetahui akan perihal Tok Selimpang ini, sedangkan Andika, belumlah lagi membukakan kisah pak tua misteri itu kepada sesiapapun. Maka, yang aneh telah menjadi semakin aneh. Dengan penuh kehairanan, Andika mendekati Pak Suman sambil matanya pula, liar memerhatikan sekeliling, takut-takut ada manusia lain yang akan mendengar katakatanya nanti .. lalu dengan suara yang perlahan dia bertanya .. 24
“ Pak .... bagaimana bapak bisa mengetahuinya. Apakah bapak kenal dengan orang tua dagang itu. Apakah .... “ “ Sabar Andika .. sabar .. nanti bapa ceritakan. Mari kita ke pondok Pak Suman. Di sana kita lebih senang untuk berbicara. Moh ikut Pak Suman. “ Andika yang kebingungan itu hanya mampu mengikut sahaja langkah kaki Pak Suman .. dia belum dapat meneka apa-apa. Apa yang sedang berlaku itu amat menghairankan akal fikirnya. Bagaimana pula Pak Suman boleh mengenal Tok Selimpang sedangkan orang tua itu adalah manusia dagang dari bumi yang lain ? Mungkin di pondok Pak Suman nanti, semuanya akan menjadi lebih jelas ! Ya .. si anak muda itu masih belum dapat untuk mengetahui apa jua kisah di sebalik yang berlaku. Namun, sebentar saja lagi, sebuah rahsia yang begitu besar akan membelenggu kuduknya. Rahsia yang telah menjadi nyawa kepada nyawa 25
sejak dari ujudnya lagi, rahsia yang sebenar rahsia ! Dari Dewa Sri Tunggal, sang empunyanya .. Sementara itu .. Di pondok usang Andika, kelihatan sesusuk tubuh manusia yang penuh misteri, sedang berbicara dengan Tok Selimpang. Berjubah putih dan bertemankan seekor binatang pelik lagi bercahaya dan bersayap. Mereka berhadaphadapan satu sama lain di atas bangku yang sudah agak daif keadaannya, sambil hujan di luar pondok pula bergerimis lembut membasahi bumi. Tok Selimpang kelihatan teramat lemah dan tidak berdaya akibat daripada keadaan kesihatannya yang tidak baik, apatah lagi dengan usianya yang sudah agak lanjut. Walaupun begitu keadaan tubuhnya, jiwanya masih tampak kuat untuk melayani dan memuliakan tetamu yang sedang berada di hadapannya itu. Daripada layanan yang ditunjukkan, jelaslah bahawa mereka berdua itu telah mengenali antara satu sama yang lain. 26
Dengan nada yang perlahan dan tersekat-sekat, maka bersuaralah Tok Selimpang .. “ Wahai kekandaku Pesaka, apakah gerangannya kesakitan yang secara tiba-tiba telah menyerang segenap tubuhku ini. Bagaimana bisa amanat alam ini hendakku sampaikan, sedang kesakitan yang sebegini, umpama sedang mencabut nyawa daripada tubuhku ? “ Si tetamu yang dipanggil Pesaka itu, tidak tergesagesa memberikan jawapan, malah jari-jemarinya masih sempat mengusapi belakang tengkuk binatang pelik bersayapnya yang sejak dari kemunculannya tidak pernah mahu berganjak dari sisi si tetamu, si Pesaka itu. Pertanyaan dari Tok Selimpang seperti tidak didengarnya ! Agak pelik juga jika diperhatikan kepada raut wajah dan tubuh si tetamu, usianya tidak mungkin melebihi dari usia Tok Selimpang, namun, mengapa pula dirinya itu dibahasakan oleh Tok Selimpang dengan panggilan ‘ kekanda’ ! Apakah panggilan itu hanya sebagai menandakan ketinggian martabatnya atau benarlah Pesaka itu sudah memiliki usia yang melebihi dari Tok 27
Selimpang sendiri ? Jika benar, sahlah, bahawa, tetamu yang sedang berkunjung itu, bukanlah sebarangan manusia ! Tambahan pula, dari riak wajahnya yang sentiasa dalam ketenangan itu seperti menyimpan sedang suatu kehikmatan yang amat tersembunyi. Beberapa detik telah berlalu, bilamana, dengan secara tiba-tiba sahaja, suasana bertukar menjadi hening. Angin lembut sepoi-sepoi bahasa menerjah masuk dari luar pondok. Begitu dingin sekali hingga menusuk ke tulang hitam. Tok Selimpang mengamati deruan angin itu sambil tangannya mencapai sehelai kain di sisinya buat menutupi bahagian atas tubuhnya. Angin yang membekukan itu bukan sahaja menyerang pondok Andika, malah juga sedang menyelubungi bumi Seri Limbang. Rata-rata penghuni Seri Limbang menjadi kehairanan dengan perubahan hembusan angin yang amat luar biasa itu. Mereka semua menjadi cemas tetapi tidak dapat mengerti apa-apa. Tiadalah mereka itu mengetahui hakikat bahawa, Seri Limbang sebenarnya sedang didatangi oleh dua orang manusia penyimpan rahsia bagi alam, penuh sakti lagi berilmu. Dan juga, tiadalah jua 28
mereka itu mengetahui bahawa, bumi bertuah Seri Limbang telah melahirkan seorang manusia yang terpilih, yang telah menjadi sebab dan musababnya kedua-dua manusia sakti itu datang berkunjung ke Seri Limbang. Agak lama jugalah Tok Selimpang menunggu kalam dari Pesaka dan akhirnya, si tetamu misteri itupun memulakan bicaranya .. “ Wahai Hati Bumi, apakah dikau telah melupai bahawa, hayatmu kini sudahpun berada pada penghujungnya. Kesakitan yang dirasai bukanlah siksa derita daripada Sri Tunggal, tetapi adalah suatu khabar buat dirimu, bahawa kamu telah menemui manusia yang akan menggantikan kamu untuk dipikul di bahunya apa yang telah kamu pikul selama hidupmu. Dan, sesudah semuanya itu berlalu, maka kamu akan segera diangkat ke kayanagan, menuju kepada rahmat Tuhanmu, inilah takdirmu ! “ Hati Bumi .. Demi mendengarkan namanya telah disebut dengan panggilan yang sedemikian rupa, 29
tergamamlah Tok Selimpang. Serta-merta tubuhnya itu menggigil manakala wajah tuanya menampakkan kejutan yang bukan kepalang. Apakah benar apa yang telah didengarnya dari kalam si tetamu sakti itu ? Hati Bumi adalah suatu nama yang amat besar lagi tinggi martabatnya di sisi Sri Tunggal, sedang dirinya itu hanyalah seorang tua yang lemah yang sudahpun tidak terdaya. Namun, di sebalik wasangka itu, hatinya yang paling dalam telah memperakui akan kebenaran itu. Lagi pula, Pesaka bukanlah sekadar seorang sahabat yang paling setia dan berhati mulia, tetapi juga seorang guru yang amat dipercayai dan lagi, penuh pula dengan kesaktian. Sejak Pesaka mula dikenalnya lebih separuh kurun yang lampau, tidaklah pernah si tetamu itu berkata dengan kata-kata yang sia-sia. Begitu saktinya guru yang seorang itu, hinggakan tubuh dirinya tidaklah pernah dimamah usia, walau sedikitpun. Lantaran itulah, Pesaka sentiasa kelihatan muda ! Pun begitu, Tok Selimpang sendiri, tiadalah pernah mempersoalkan sebarang kesaktian yang dimiliki oleh gurunya itu. Apa yang telah membuatkan mereka itu bersama 30
adalah apa yang akan Tok Selimpang pikulkan kepada manusia terpilih Seri Limbang, Andika. Itulah rahsia mereka .. Kitab Alam ! ( Adapun, Kitab Alam yang amat rahsia lagi misteri itu telah bertahun-tahun ghaib dari simpanan Tok Selimpang. Dia datang ke Seri Limbang kerana mendapat alamat bahawa kitab tersebut telah dibawa ke bumi Seri Limbang oleh Angin Sukma Sari, Putri Kerajaan Ghaib Bunian. Maka, kerana itulah, Tok Selimpang telah mengembara ke bumi itu bagi mendapatkannya semula. Namun, Tok Seimpang tidak dapat meneka bahawa, itu semua adalah suatu aturan yang telah disiasahkan dari Alam Siasah. Itulah tujuannya ke situ .. ) Tetapi, pada hari itu .. tatkala nafasnya sendiri sudahpun hampir di kerongkongan, dengan Kitab Alam, entah di manalah menghilangnya, Pesaka itu pula telah memanggil dirinya dengan nama Hati Bumi ! Satu nama yang sentiasa meniti dibibirnya apabila mendendangkan baris-baris hikayat tua kepada segenap manusia yang mendengar. Nama yang pada pengetahuannya, 31
sudahpun hampir seusia dengan usianya alam itu sendiri. Satu nama yang telah menjadi kunci kepada kesejahteraan alam sejak sekian lamanya lagi .. yang terpahat di dalam Kitab Alam sebagai lambang roh suci. Tanpa disedari, air mata Tok Selimpang telah mengalir dan perlahan-lahan jatuh menitis ke pipi tuanya. Tiba-tiba, datanglah kepada ingatannya, suatu lembaran dari kisah hidupnya sendiri. Seluruh hayat usianya hanya dikorbankan dengan mengembara ke segenap pelusuk bumi yang gersang dengan jiwa ketuhanan, demi memperingatkan kepada manusia akan sejarah diri mereka dan alam. Semua usahanya itu adalah supaya semua manusia dapat kembali mengenal asal-usul bermula ujud alam dan segala kehidupannya. Semoga, dengan usaha itu, jiwa yang telah dikotorkan dengan kepalsuan berTuhan, dapat semula merasai akan kebenarannya yang sebenar. Dalam kesyahduan yang sedang menimpa diri Tok Selimpang, dan pada ketika lidahnya telah menjadi kelu untuk berkata-kata, Pesaka 32
menyambung kembali bicaranya, tetapi, kali ini dengan nada yang seperti membujuk .. “ Apa kamu tidak mempercayai kata-kataku ini ? Bukankah alam ini diempunyai oleh zat yang maha ganjil. Sudah lumrah setiap manusia yang memangku nama sebagai Hati Bumi, mengetahui akan hakikat dirinya yang sebenar, hanya pada ketika nyawanya sudahpun di penghujung. Detik dimana rahsia itu akan dipindahkan kepada seorang penanggung rahsia yang lain. Bukankah ini yang termaktub di dalam Kitab Alam ? Hakikatnya, kamu adalah Hati Bumi yang telah terpilih dari kalangan laksa manusia, dan kamu sendiri tidak menyedarinya. Begitulah Tuhan itu mengaturkannya, dan sekarang, pejamlah matamu dan pergilah ke dalam dirimu serta renunglah ke dalam lubuk jiwamu. Suatu cahaya kebenaran sedang muncul ! Ia akan menjadi pembimbing kepadamu bagi menyempurnakan pekerjaan yang terakhir ini, wahai Hati Bumi ! Demi menuruti perintah gurunya, Tok Selimpang terus saja memejamkan mata, lalu, Pesaka si tetamu saktipun meletakkan tangan kanannya di 33
ubun-ubun Tok Selimpang. Suatu mentera purba dibacakan dan serta-merta jiwa Tok Selimpang seakan-akan telah melayang. Fikirannya menjadi tenang dan umpama seekor burung, ia terbang menuju ke alam ghaib yang begitu ajaib keadaannya .. terbang mencari kebenaran ... Di pondok Pak Suman .. Andika memperbetulkan duduk simpuhnya sambil Pak Suman mengambil sedikit tembakau dan mengulungnya dengan daun nipah kering. Dikeluarkanlah sebatang colok lalu Pak suman menyalakannya. Perlahan-lahan pak tua itu menyedut rokoknya dan menghembuskan asapnya ke udara. Berkepul-kepullah asap itu memenuhi ruang tamu pondok, tidak berkata apa-apa biarpun sepatah bicara. Anak muda Andika sudah mula kelihatan gelisah kerana tidak sabar untuk mengetahui apakah kisah ingin Pak Suman sampaikan berkenaan dengan Tok Selimpang. Masakan Andika tiada kepingin untuk mengetahuinya, sedangkan banyak sekali perihal misteri yang telah dilaluinya semenjak dia menumpangkan Tok Selimpang itu di pondoknya. 34
Dia masih lagi ingat, di suatu malam yang agak telah larut, bilamana dirinya telah tersedar dari tidur lantaran tercium suatu bau-bauan yang sangat mengharumkan, yang semerbak sekali wanginya. Belumlah lagi di hayat hidup Andika, dia pernah mencium wangian yang seumpamanya. Di malam itu juga, anak muda Andika lantas bangkit dari perbaringannya lalu pergi mencari arah datangnya wangian itu .. dan tahulah dia bahawa, ia telah datang daripada dalam kamar Tok Selimpang. Malahan, bukan itu saja, telinganya pula menangkap bunyi satu bacaan mantera oleh satu suara manusia yang dia yakin, bukanlah dari Tok Selimpang sendiri. Malahan, mantera itu, bukanlah juga dari sesuatu yang pernah didengarinya, biarpun dari mulut ayahandanya Pak Gempita, penglipur besar dari istana itu ! Namun, mentera purba tersebut, begitu mengasyikkan jiwanya hinggakan tanpa disedari, Tok Selimpang sudahpun berada di hadapannya. Andika yang amat terkejut separuh mati itu, lalu telah memberikan helah bahawa dia sebenarnya sedang mencari kendi minuman, yang kononnya untuk membasahkan tekak yang sudah kering. 35
Sebaik sahaja mendengarkan penjelasan daripada Andika, Tok Selimpang terus sahaja memalingkan wajahnya sambil dengan perlahanlahan, dia melangkah masuk ke dalam kamarnya semula .. tanpa ada kata-kata yang terhambur keluar daripada mulutnya. Sejak dari peristiwa di malam tersebut, Andika mengesan perubahan tingkah laku pada diri Tok Selimpang. Orang tua itu bertukar menjadi pendiam dan sentiasa sahaja memandang ke arah langit yang luas terbentang. Mahu saja rasanya Andika bertanya kepada Tok Selimpang akan sebabnya, akan tetapi, mulutnya pula umpama telah terkunci. Hinggalah kepada detik Tok Selimpang telah jatuh sakit, Andika masih lagi menyimpan perasaan ingin tahunya yang masih belum dapat terjawab ! Dan, hari itu, dengan tanpa diduga, kata-kata Pak Suman telah menambah lagi kebingungannya dengan mengatakan bahawa dirinya mengenali siapa sebenarnya Tok Selimpang itu. Tambah pelik lagi, cuaca yang tadinya begitu baik sekali, dengan tetiba sahaja telah menjadi sedingin salju. Sekalian manusia di pasar, menjadi tidak tentu 36
arah dibuatnya .. mereka telah diserang ketakutan, sedang apa yang menjadi penyebabnya, masihlah lagi ghaib. Lantaran itu, para peniaga lalu lekas-lekas menutup gerai perdagangan masing-masing. Serta-merta pasar menjadi lengang, umpama telah diserang oleh sang garuda. Malahan, ada juga manusia yang terus sahaja meneriakkan bahawa, tanda kiamat alam sudahpun menjelma ? Gila .. langsung tidak masuk akal .. Hanya seorang sahaja manusia di pasar itu yang masih begitu tenang, malah, bibirnya sempat pula mengukirkan satu senyuman seolah-olah, tiadalah apa-apa yang telah berlaku, itulah dia Pak Suman ! Gerak-geri si tua itulah yang telah memberikan sedikit keyakinan kepadanya bahawa, semua yang sedang berlaku di bumi Seri Limbang itu ada kaitannya .. dan nampaknya, Pak Suman itu seperti amat mengetahui sesuatu ! Justeru, maka, di pondok Pak Suman, anak muda Andika bertekad untuk mencungkil kisah yang sebenar, disebalik apa yang sedang dilaluinya itu.
37
“ Andika .. apa pula yang sedang kamu fikirkan, sampai Melor datang bawakan kopi untuk kamu pun, kamu tak perasan. Moh kita minum ! “ “ Oh .. ya .. ya .. Pak Suman, maafkan saya. “ Tersentak Andika apabila namanya telah dipanggil oleh Pak Suman. Agak tersipu-sipu malunya dia dengan teguran Pak Suman kerana benar, sejak dari mula, fikirannya asyik melayang saja tanpa berkesudahan dengan sebarang jawaban. Melor si anak gadis sunti Pak Suman tersenyum saja melihat gelagat Andika sambil matanya memandang tepat ke dalam anak mata Andika. Adapun, kedua mereka itu adalah sebenarnya teman sepermainan sejak daripada kecil lagi. Berbeza dengan Andika, Melor agak coleteh lagi peramah orangnya dan selalu saja mengusik Andika .. maklumlah, Andika itu teruna yang agak pemalu lagi perahsia. “ Bapak .. nampaknya abang Andika niiii ... tengah asyik memiikirkan kekasih hatinya ... “ Usik Melor .. 38
“ Hisss .. kamu ni Melor .. tak sudah-sudah suka mengusik, sudah, kamu pergi tolongkan bonda kamu siapkan kuih-muih untuk abang Andika kamu ni ! “ “ Maafkan Melor bapak .. Melor pergi ya ... “ Melor dengan sopannya, terus bangkit dari duduk, lalu pergi ke dapur sambil memberikan Andika suatu senyuman yang sangat menawan. Oh .. sungguh cantik dan menawan sekali budak Melor ni .. dah jadi anak dara .. sungguh, masa berlalu begitu pantas ! “ Andika, jangan kamu ambilkan hati sangat dengan kenakalan Si Melor tu. Dia cuma bergurau sahaja. Oh ya .. Pak Suman nak ke kamar sebentar .. kamu tinggal di sini ya ..”. Andika mengangguk dan memerhatikan sahaja Pak Suman meninggalkan duduknya, sedang hati anak muda itu telah dengan tiba-tiba sahaja ingin segera pulang. Hatinya kembali bimbang dengan keadaan kesihatan Tok Selimpang .. ubat-ubatan yang dibelinya itu, perlulah segera disampaikan. 39
Mahu saja dia memohon diri untuk berangkat, tetapi Andika yakin ada sesuatu yang perlu diketahuinya terlebih dahulu dari Pak Suman. Tidaklah lama dia mengelamun apabila Pak Suman kembali duduk di depannya dengan membawa sebuah kotak kayu usang yang berukirkan seekor cenderawasih lalu diletakkan kotak tersebut dihadapannya. Entah mengapa, sebaik sahaja Andika terpandangkan kotak tersebut, jiwanya jadi terpukau dan keliru .. dan hatinya pula, tiba-tiba sahaja berdegup dengan kencang. Apakah gerangannya isi kandung kotak itu, hingga begitu sekali ia memberikan kesannya pada Andika ? “ Bertenang Andika, apa yang kamu sedang kamu alami ini, adalah juga apa yang sudah dialami oleh semua manusia istimewa yang sebelum kamu. Biarlah Pak Suman berterus-terang sahaja padamu .. kamu adalah manusia yang telah jadi pilihan Tuhan untuk membawa kotak ini dalam hidupmu ! “ Bukan kepalang terkejutnya Andika sehinggakan tiadalah dapat ia berkata-kata melainkan 40
melempar suatu pandangan yang serba tidak kena terhadap Pak Suman. Mustahil .. apakah dirinya itu sedang bermimpi atau ini semua hanyalah suatu senda gurauan. “ Andika, bapak mohon kamu supaya dengarkan baik-baik pesanan yang akan bapak ucapkan padamu. Mendiang ayahanda kamu Pak Satria, bukanlah orang lain di sisi bapak .. dialah sahabat, saudara dan rakan seperguruan Pak Suman dan tiada rahsia antara kami ! Sebelum dirinya menghembuskan nafasnya yang terakhir, bapak pernah mengunjunginya di istana. Mendiang telah memberitahu bapak bahawa, sebuah kotak sakti telah diamanahkan kepadanya oleh guru kami, Syeikul Alam namanya. Mengikut katanya lagi, kotak sakti itu hanya bisa dibuka sekali pada setiap satu kurun masanya. Di dalam kotak itulah Roh Alam telah dikandungkan. Tanpanya, maka kejahatan akan memenangi atas kebaikan ! “ Demi mendengarkan nama ayahandanya, tiada disangka-sangka, air-mata Andika jatuh menitis. Biarpun dirinya masih keliru dengan segala kejutan itu, dia mengukuhkan hatinya untuk 41
terus mendengar keseluruhan kisah yang ingin disampaikan oleh Pak Suman. Kekuatan jiwa yang luar-biasa telah tiba-tiba menerobosi dinding hemahnya. Dengan kekuatan itu, maka dia seperti amat bersedia. Dari raut wajahnya, tiadalah lagi dirinya menampakkan kerisauan, malah kelihatan amat tenang sekali. “ Emmm .. bagus. bapak telah dapat merasai kekuatan kamu Andika. Sekarang, inilah pesan bapak .. kotak sakti ini, adalah hak milik Tok Selimpang. Syeikul Alam senantiasa memperingatkan kami supaya mengamati akan tanda-tanda kemunculannya. Orang tua itu amatlah sakti dan sudahpun menjaganya selama sekian lama. Tidak pernahlah sama sekali pak tua itu berjauhan kotak sakti itu, biarpun untuk hanya seketika ! Namun, Tok Selimpang tidak menyedari bahawa bilamana manusia yang ditakdirkan untuk menggantinya telah dilahirkan maka, Kotak Sakti ini akan dighaibkan .. ghaib menuju ke persisian pewarisnya yang baru. Andika ... kamulah pewaris itu ! Inilah apa yang telah disampaikan oleh guru bapak, Syeikul Alam kepada ayahanda kamu Pak Satria. Juga, begitulah apa yang telah bapak terima. Dan, pada hari ini .. 42
telah bapak sampaikan akral itu kepada kamu. Andika, kini, bapak akan serahkan kepadamu kotak sakti ini untuk kamu pelajari daripadanya apa yang telah dipelajari oleh pewarisnya sebelum kamu. Dan kamu syiarkan ilmunya kepada segenap manusia yang kamu temui. Berlaku baiklah kamu sesama manusia dan janganlah kamu membesarkan diri. Sudah .. lekas-lekaslah kamu bawakan kotak sakti ini ke hadapan Tok Selimpang .. adapun manusia sakti itu sedang menantimu ! “ Sebaik selesai Pak Suman menyampaikan amanatnya, Andika terus sahaja mengambil kotak itu lalu mendakapnya. Seakan ada suatu kuasa yang telah menyatukan jiwanya kepada isi kandung kotak itu. Dia harus segera pergi ke pangkuan Tok Selimpang. Hatinya tidak akan tenteram selagi teka-teki itu tidak terjawab. Andika menghulurkan tangannya lalu bersalaman dengan Pak Suman sambil memohon diri untuk pulang. Pak Suman memandang wajah Andika dengan hatinya yang besar, Anak muda ini telah dipilih Tuhan menjadi kunci kepada kesejahteraan alam. 43
Tidak ramai manusia yang akan mengenalnya atau akan menjadi menolongnya. Dengan tibatiba, hatinya begitu syahdu mengenangkan kebesaran Sri Tunggal. Pak Suman memeluk erat anak muda yang berdiri di hadapannya itu sambil air-mata menitis perlahan-lahan ke pipi. Andika mencium tangan Pak Suman lalu membungkusi kotak itu dengan sehelai kain berwarna kuning. Diapun bergegas keluar bersama dengan kotak sakti itu yang telah didakap erat ke dadanya. Tidak lama, Andikapun hilang dari pandangan. Melor dan Mak Suman yang datang membawa kuih-muih tercengang dengan ketiadaan Andika. “ Ehh ... mana pulak budak Andika tu pak nya ? “ Soal Mak Suman kehairanan sementara Melor pula menjengok keluar jendela mencari-cari Andika. Dia belum puas berbicara dengan anak muda yang dalam diam-diam itu, telah amat dikasihinya. “ Sudah pulang .. mak nya. Anak itu sudah pergi, pergi bersama takdirnya .. anak muda yang paling 44
istimewa. Biarkan dia, ada pekerjaan buatnya di luar sana. Melor ... moh, mari kita makan. “ Jawab Pak Suman ringkas. Di dalam hutan .. Sekumpulan manusia yang berpakaian istana sedang melepaskan kepenatan di perdu pepohon hutan. Berhampiran mereka sebatang anak sungai sedang mengalir damai. Nyanyian cengkerik yang bersahut-sahutan tambah menenteramkan jiwa. Sesekali juga, kedengaran pekikan sang kera yang memecah kesunyian hutan. Mereka adalah utusan Sultan Gah Semerang Di Sukma, Raja Manjasing. Mereka ke Seri Limbang atas perintah Sang Sultan mencari Andika, anakanda mendiang Bapak Gempita, penglipur lara istana. “ Laksamana Badai, berapa jauhkah lagi agaknya kita akan tiba ke bumi Seri Limbang ? Adapun perbekalan kita ini sudah hampir kehabisan. “ Kepala utusan yang dipanggil Laksamana Badai itu, dikejutkan oleh pertanyaan daripada salah seorang pengikutnya. Dia merenung ke langit sambil jarinya membuat perkiraan. 45
“ Emm .. mengikut telahan hamba, kita akan tiba di Seri Limbang sesudah terbit fajar keesokan siangnya. Bersabarlah semua. Perbekalan kita pasti masih mencukupi. Kamu ini Endut, hal tembolok kamu sajalah yang dikhuatirkan. Ha, nanti bila tiba saja di Seri Limbang, kamu makanlah sepuas-puasnya. “ Si Endut yang memulakan pertanyaan itu tersipusipu malu sambil tersenyum memandang ketuanya. Memang .. Laksamana Badai itu adalah seorang ketua yang suka berceloteh dengan setiap dari pengikutnya. Tidak pernah sesiapapun yang ambil hati. Lagipun, beliau seorang yang amat baik budi pekertinya. Tetapi, baru saja si Endut itu hendak kembali semula ke tempatnya, dari kejauhan, dia telah terpandang sesusuk tubuh manusia yang sedang menyeberangi anak sungai itu. Dengan perlahanlahan, dia lekas-lekas memberitahu Laksamana Badai lalu laksamana itu memerintahkan beberapa orang pengiringnya untuk pergi mendapatkan manusia itu. Manalah tahu, jika manusia adalah manusia dari Seri Limbang dan 46
mungkin bisa menunjukkan jalan paling cepat untuk ke Seri Limbang. Adapun, manusia itulah Andika .. Andika terkejut bila disapa oleh utusan raja itu. Apa pula yang dibuat mereka di dalam hutan begini ? Andika tiada pilihan melainkan menurut saja kehendak mereka yang mahu dirinya bertemu Laksamana Badai. “ Anak muda, maafkan aku kerana mengganggu kamu. Aku inilah Laksamana Badai dan kami semua adalah hamba Sultan Manjasing. Adapun, kami telah diutuskan ke Seri Limbang untuk suatu urusan yang khas. Perjalanan kami sudah jauh dan perbekalanpun sudah hampir kehabisan. Andai anak muda dapat menunjukkan kami jalannya yang paling pantas, niscaya ia akan memudahkan lagi kami semua. “ Sebenarnya, Andika agak keberatan untuk berbicara lebih lama. Fikirannya hanya tertumpu kepada Tok Selimpang. Dia mahu segera pulang. Lagipun, semua mereka yang menghalangi perjalanan pulangnya itu, tidaklah dikenalnya. 47
Boleh jadi, mereka itu kumpulan perampok yang menyamar .. perasaan anak muda itu amatlah berbelah bahagi kini .. “ Hhhambaa, tak tahu tuan hamba. Hamba bukanlah berasal dari Seri Limbang. Hambapun melalui kawasan ini setelah ditunjukkan oleh orang lain. Tuan hamba boleh mencuba mengikut arah datangnya hamba tadi. Maaf, hamba tidak boleh lama, nenda hamba sedang sakit. Hamba mohon diri dulu. “ Laksamana Badai hanya tersenyum lalu dengan sopan memberi laluan kepada Andika untuk pergi. Kasihan juga dia melihatkan keadaan Andika yang begitu tergesa-gesa untuk menemui nendanya “. Ahh .. baru sahaja Andika hendak melangkah, Laksaman Badai telah terpandangkan bungkusan yang sedang tergantung pada bahu Andika. Perasaan curiga mulai bermain difikirannya .. terus sahaja dia mengeluarkan perintah, sambil isyarat diberikan kepada para pengiring istana supaya menghalang laluan Andika. 48
“ Nanti dulu wahai anak muda .. apa yang sedang kamu bawa di dalam bungkusan kain ini ? “ Andika tersentak dengan perintah Laksamana Badai itu. Kakinya berhenti melangkah dan para sekalian pengiring laksamana mulai mendekati Andika dengan senjata yang terhunus. Dia kini telah terkepung dan demi Tuhan, Kitab Alam itu bisa jatuh ke tangan si laksamana Manjasing. Dengan pantas, si anak muda mencari ikhtiarnya demi menyelamatkan kitab itu. Dengan suara yang terketar-ketar Andika akhirnya berkata-kata .. “ Aduhai datuk laksamana Manjasing, hamba ini tidak melakukan apa-apa kesalahan. Janganlah diperlakukan hamba ini sebegini rupa. Sudah hamba jelaskan bahawa nenda hamba sedang tenat. Hamba perlu segera pulang. “ Rayuan Andika bukan sahaja tidak diendahkan Laksamana Badai, malah beberapa pengiring istana terus saja menangkapnya serta merampas bungkusan yang dibawanya. Andika merontaronta untuk mendapatkan kembali bungkusan itu, tapi sia-sia sahaja. Pengiring istana seterusnya 49
menyerahkan bungkusan yang dibawa Andika itu kepada Laksamana Badai. “ Anak muda, dari mula pertemuan kita, hamba dapat merasakan sesuatu yang tidak kena padamu .. gerak lakumu sungguh mencurigakan. Selaku utusan raja, kami perlu memastikan bahawa kamu ini tidak membahayakan kepada sesiapapun. Sekarang, siapa gerangannya diri kamu yang sebenar, akan terjawab selepas sahaja bungkusan ini dibuka. “ Jantung Andika berdegup kencang dan perasaannya pula menjadi tidak keruan mengenangkan apa yang akan dilakukan oleh Laksamana Badai sebaik melihat Kitab Alam. Sudah pasti dirinya akan dituduh sebagai pencuri memandangkan kitab yang sedemikian rupa, tidak layak untuk berada di sisi rakyat bawahan sepertinya apatah lagi, mendiang ayahandanya dan juga Pak Suman tidaklah boleh dikaitkan dengannya. Andika telah tekad untuk merahsiakan asal-usul kitab itu. Biarlah dia seorang diri sahaja yang menanggung segala akibatnya. 50
Laksaman Badai meletakkan bungkusan itu di atas sebuah batu besar lalu membuka ikatannya. Andika jatuh terduduk ke bumi, dia menyerahkan saja nasib dirinya kepada Tuhan. Barangkali setakat ini sahajalah takdirnya dengan Kitab Alam itu. Namun, Sri Tunggal telah mengasihani akan Andika .. dan keajaibanpun berlaku ! Entah bagaimana, bungkusan yang sepatutnya mengandungkan Kitab Alam telah bertukar menjadi sebuah kotak biasa dengan sepasang persalinan .. maka, tiada apa-apalah yang perlu dicurigakan oleh Laksamana Badai. Setelah berpuas hati, Laksamana Badaipun mengikat semula bungkusan itu seraya berkata .. “ Anak muda, kami telah terkhilaf terhadapamu .. maafkanlah kami. Oh ya .. siapakah namamu wahai anak muda ? “ Andika yang kehairanan dengan perlakuan lembut si laksamana yang secara tiba-tiba itu, mendongakkan kepalanya memandang kepada Laksamana Badai. Bungkusan dihulurkan semula 51
kepada Andika sedang diri anak muda itu masih lagi terpinga-pinga apabila menerimanya. Mengapa pula Laksamana Badai tidak bertindak ke atasnya ? Dia tidak terus menjawab pertanyaan Laksamana Badai tetapi tangannya membuka perlahan-lahan bungkusan itu. Bertambah hairan lagi cemaslah dirinya apabila menyedari bahawa, kotak serta isi kotak itu telahpun bertukar rupa. Bagaimana pula ianya bisa terjadi ? Dalam kebingungan memikirkan apa yang telah berlaku itu, dia sekali lagi dikejutkan oleh pertanyaan dari Laksamana Badai .. dan kali ini, dengan suara sedikit mengeras .. “ Anak muda, apa kamu tiada mendengar aku ini sedang bertanyakan nama kamu ? “ Namun, belumpun sempat anak muda Andika itu membuka mulut untuk memperkenalkan dirinya, bergemalah satu jeritan suara dari manusia lain yang arahnya, datang dari belukar yang berdekatan .. “ Seranggggg … . “
52
Sekonyong-konyong, keluarlah dari dalam belukar itu, sekumpulan manusia yang berpakaian comot, tidak terurus dengan bersenjatakan keris dan pedang, mengepung Andika berserta semua utusan diraja Manjasing itu ! Terkejut dengan jeritan itu, Laksamana Badai bingkas menghunuskan kerisnya .. diikuti juga dengan sekalian pengiring utusan yang lain. Mereka semua kelihatan sungguh cemas .. Mereka telah diserang perampok ... Dalam keadaan yang begitu genting, Andika cepat-cepat mengambil bungkusan miliknya itu lalu mengikatkan ia ke tubuhnya. Tidak lama, berlakulah pertarungan antara pihak yang menyerang dengan para utusan Manjasing. Suasana sungguh kelam kelibut, dan akhirnya Andika mendapat kesempatan untuk menyelamatkan dirinya. Dia berjaya mengundur perlahan-lahan masuk ke dalam hutan tanpa ada sesiapapun yang menyedarinya. Andika memanjat tebing bukit lalu bersembunyi di celah-celah batu besarnya. Dia melihat keadaan pertempuran itu segera bertukar menjadi begitu mengerikan. Anak sungai telah diwarnai dengan 53
darah bersama suara pekikan dan laungan yang membingitkan kesunyian belantara. Ramai yang telah tercedera malahan ramai juga yang hilang nyawanya. Salah seorang manusia dari kumpulan penyerang kelihatan amat gagah perkasa sekali .. bertubuh tegap dan berparut di muka. Satu persatu utusan Manjasing maut di tangannya. Laksamana Badai, kelihatan lemas dengan serangan yang bertali arus dari perampokperampok itu. Walaupun dia sungguh berilmu di dalam ilmu pertahanan diri, semangat membunuhnya tidaklah setebal sebagaimana si penyamun yang bertubuh sasa itu. Pada hemat Andika, Laksamana Badai tidak akan mampu untuk bertahan lebih lama .. dia pasti kecundang. Tiba-tiba, timbul pula rasa kasihan di hatinya terhadap Laksamana Badai. Sanggupkah dia membiarkan utusan raja itu mati dibunuh di hadapan matanya sendiri ? Tidak .. dia tidak boleh melihat sahaja akan kesusahan Laksamana Badai itu .. dia perlu untuk bertindak segera ! Tapi, bagaimana .. ? Pada ketika itulah, terlintas pada ingatan Andika kepada kotak yang dibawanya. Mungkin ada 54
sesuatu yang boleh digunakannya. Dia membuka kotak itu perlahan-lahan, dan pakaian yang entah dari mana datangnya itu, rupanya satu persalinan yang amat indah sekali. Lagak pakaian seorang bangsawan .. dengan segera Andika telah dapat memikirkan helahnya ... Menyamar sebagai putera raja Manjasing untuk dijadikan tebusan si penyamun ! Lagi pula, hanya itulah saja jalan yang mampu difikirnya buat masa itu tambahan lagi, si penyamun itu tidaklah akan mengenal siapa itu Raja Manjasing maupun siapa puteranya. Bagi Laksamana Badai dan pengiringnya, mereka pasti memahami bahawa tindakannya itu hanyalah sebagai satu helah. Perlahan-lahan Andika menyarungkan persalinan itu. Dan bila sudah bersedia, dia mendongak ke langit lalu berdoa kepada Tuhan Alam Semesta, memohon kebaikan untuk dirinya dan bagi para utusan raja diraja itu. Dan bila sudah bersedia, Andika pun berdiri ditepi tebing bukit lalu memekik .. 55
“ Wahai kamu penyamun sekalian, hentikan pertarungan kamu. Beta ini anak raja Manjasing, Tengku Kuning ! Lepaskan semua utusan beta ! Beta ada perhitungan yang lebih baik buat kamu. “ Pertarungan terhenti dengan serta-merta. Semua memandang kepada Andika yang sedang berdiri di atas bukit itu. Laksamana Badai dan saki baki utusannya memandang sesama sendiri dengan kehairanan, tapi tidak mengatakan apa-apa. Barangkali, anak muda ini sedang mengusahakan sesuatu untuk menyelamat mereka semua. Ada juga baiknya jika mereka mengiyakan saja pengakuan palsu Andika itu. Penyamun bertubuh sasa itu, meluru ke kaki bukit lalu merenung tajam kepada Andika dan dengan suara yang sangat garau, dia berkata-kata .. “ Heiii, orang muda, apa benar kamu ini anak Raja Manjasing ? “ “ Benar, wahai penyamun ! Perkenalkan sahaja dirimu kerana beta juga sukacita ingin mengetahuinya. “ 56
“Ha..ha..ha...seorang anak raja sedang membuat perhitungan denganku. Baiklah, hamba ini Bogek, ketua penyamun di Seri Limbang ini. Sekarang, apa perhitungannya ? “ “ Wahai Bogek, ketua penyamun Seri Limbang, kamu bebaskan semua utusan beta. Jadikan saja beta sebagai tebusanmu. Ayahanda beta akan melakukan apa saja demi memastikan keselamatan beta, biarpun seluruh isi perbendaharaan negara terpaksa dihabiskan. Nah, bukankah itu impianmu wahai penyamun. “ Bogek tidak menjawab . tetapi penyamun itu mengerutkan dahinya memikirkan keputusan apa yang patut dipilihnya. Selepas beberapa ketika, dia memandang kepada para pengikutnya seraya berkata .. “ Kamu, pergi dapatkan anak raja itu, dan bawa dia kepadaku. Manakala yang lainnya, bersedia lepaskan utusan raja itu pergi. Lekas .. “ Sebaik Andika dibawa ke hadapan Bogek, para pengikut Bogek melepaskan Laksamana Badai 57
dan utusan raja yang lain. Andika memandang kepada Laksamana Badai, lalu berpura-pura memberikan perintahnya .. “ Wahai laksamana beta, pergilah kamu segera kepada ayahanda sultan. Khabarkan kepada baginda akan perihal beta. Bawakan tujuh dulang berisikan intan dan permata sebagai tebusannya. Dan kamu wahai Bogek, sekiranya mengkhianati perhitungan ini, beta percaya Sultan Gah Semerang al sultan Manjasing akan membuat hidupmu seumpama neraka. “ Perlahan-lahan utusan raja itu pergi meninggalkan Andika bersama Bogek dan beberapa penyamun yang lainnya. Laksamana Badai mengekori para pengikutnya daripada belakang. Sempat juga dia merenung ke arah Andika. Oh .. anak muda ini cukup berani dan berhati mulia. Nyawanya sudah tentu akan melayang dan, yang pastinya, tiada sesiapapun yang akan datang menyelamatkannya. Mengapa sanggup dia melakukan semua itu ? Siapakah anak muda ini sebenarnya ?
58
Kini, hanya tinggal Andika yang tertawan seorang diri oleh Bogek dan penyamun yang tiada berhati perut itu. Utusan raja sudahpun hilang daripada pandangan .. mereka sudah selamat. Tapi, bagaimana pula nasib Andika ? Lambat laun, tipu dayanya pasti terbongkar. Bogek pasti akan menamatkan riwayatnya .. dan Andika tahu semua itu akan berlaku. Mengapa dia melakukan pengorbanan itu adalah, sesuatu yang Andika sendiripun belumlah lagi dapat memahaminya. Dia sebenarnya telah terdorong .. didorong oleh roh kebaikan yang sedang ditiupkan secara batin ke dalam dirinya oleh seorang manusia yang sedang mengukur martabat hati anak muda Andika, dan manusia itulah .. Tok Selimpang ! Adapun, Tok Selimpang sebenarnya tidaklah berada jauh dari medan pertempuran itu, malah sedang memerhatikan peristiwa itu sejak dari mulanya. Dialah juga yang telah menghilangkan Kitab Alam dan menukarkannya dengan sepasang persalinan bangsawan. Sesungguhnya, apa yang dilalui Andika adalah merupakan satu ujian .. ujian yang akan menentukan, apakah Andika itu manusia yang paling layak untuk mewarisi Kitab Alam. Memang Tok Selimpang sudahpun 59
mengesan akan pertandanya pada pertemuan pertama dengan Andika, tapi, ianya perlu disahkan. Dan, di anak sungai itulah, jelas bahawa perkiraan Tok Selimpang itu .. telahpun disahkan. Nyata sekali, Andika itu adalah seorang manusia yang berhati mulia .. justeru, dia sudah melepasi ujiannya. Kini, tibalah masanya untuk Andika diselamatkan .. Tok Selimpang tidak boleh berlengah lagi. Tenaganya sudah kian lemah dek usia yang telah lanjut sedang Rahsia Agung Alam pula perlu segera disampaikan. Tok Selimpang memejamkan matanya dengan mulut pula terkumat-kamit membacakan sesuatu mantera. Kepalanya tertunduk ke bumi dan dengan penuh keajaiban, air sungai yang tenang itu, tiba-tiba menjelma menjadi raksaksa berupa seekor ular yang sangat ganas lalu, dengan pantasnya, menyerang Bogek yang sedang terpaku, tidak dapat mempercayai apa yang sedang disaksikannya. Andika pula terpelanting ke kaki bukit setelah dirempuh oleh beberapa penyamun yang terus sahaja bertempiaran 60
melarikan diri akibat dari ketakutan yang teramat sangat. Dengan sekali terkaman sahaja, Bogek dihumbankan ke dalam anak sungai .. dan tanpa berlengah lagi, Bogek telah berlari dengan sekuat hatinya, jauh ke dalam hutan serta menjerit-jerit seperti orang sasau akibat kengerian yang sungguh dahsyat itu. Setelah tiada lagi manusia yang kelihatan, ular jelmaan itupun berpaling ke arah Andika lalu merenungnya dengan sinar mata yang amat menggerunkan. Sepertimana Bogek dan kuncu-kuncunya, Andika juga merasa takut dengan apa yang sedang dilihat di depan matanya itu. Dia cuba mencari ruang untuk melarikan diri dengan merapati tebing bukit. Tetapi, belumpun Andika sempat melangkah, ular ajaib itupun menundukkan kepalanya lalu berundur menuju ke dalam sungai semula. Dengan sekelip mata, ia pun menghilang ke dasar sungai itu. Walaupun hairan dengan perilaku si ular, Andika berasa sungguh lega kerana tidak dicederakan. Dia menarik sedalam-dalam nafasnya lalu duduk bersandar pada tebing bukit tersebut. Jelas sekali, Andika agak keletihan. Kini, tinggal dirinya 61
sahaja yang keseorangan di dalam hutan itu, dan dia tidak boleh berada lama lagi di situ. Ular raksaksa bisa muncul kembali. Anak muda Andika menggagahi dirinya untuk berdiri ... Tetapi, entah bagaimana, dengan tiba-tiba sahaja, pandangannya telah menjadi kabur serta tubuhnya pula menjadi begitu lemah longlai. Kepalanya sakit dan alam sekeliling pula seolaholah berpusing-pusing. Pada detik itulah, dia tidak boleh mengimbangi badannya sendiri lalu jatuh terbaring ke tanah. Pandangannya gelap. Andika tidak sedarkan diri lagi ..... dia telah pengsan .. Tidak lama selepas itu, Andika akhirnya telah sedar semula daripada pengsannya. Dia membuka matanya perlahan-lahan dan menyedari bahawa dirinya tidak lagi berada di dalam hutan yang sama, tetapi telah terbaring di sebuah taman yang sungguh indah sekali. Di sekelilingnya itu dipenuhi dengan pelbagai pepohon rendang yang mengeluarkan bunga-bungaan yang berwarnawarni .. satu tempat yang begitu asing baginya. Andika terus sahaja bangun dengan penuh kehairanan. Di mana pula dirinya berada ? 62
Suasana pula begitu hening sekali dengan sekalisekala kedengaran cicipan burung-burung kecil yang bertenggek di atas pohon-pohon di taman itu. Dalam kebingungan, Andika menggagahi dirinya berjalan tetapi dengan tanpa ada arah tujuan. Matanya meliar mencari jika ada kedapatan seorang manusia yang boleh ditanyai atau disapa. Malangnya, di taman itu, hanya dia seorang diri sahajalah yang ada ! Apakah yang sedang dialami sebenarnya ? Andika menampar muka sendiri, takut-takut, jika semua itu hanyalah sebuah mimpi. “ Aduh .. sakit sekali pipiku, nampaknya, ini bukanlah dari mimpi yang sedang mengulit. Jika bukanlah mimpi, apakah aku ini telah menemui kematianku ? Dan, inikah tempatnya yang dinamakan dengan alam roh, ataupun syurga ? Ahhh .. tak mungkin ! Mana mungkin aku bisa mati, Kitab Alam itu belum disampaikan kepada Tok Selimpang. Aku adalah pewaris kepada kitab ini. Aku belum memahami apa-apa .. aku tidak boleh mati ! “ 63
Sedang asyik Andika bersoal-jawab dengan dirinya sendiri, tiba-tiba sahaja, telinganya menangkap satu suara manusia laki-laki yang sedang menyanyikan sebuah puisi yang amat indah sekali. Dengan alunan tiupan seruling, iramanya begitu syahdu dan mengasyikkan hati. Lekas-lekas dia berlari anak mencari arah datangnya suara itu. Mungkin manusia ini boleh membantunya ! Selang beberapa lama, pencariannya terhenti di tepi sebuah tasik yang amat luas. Airnya berwarna biru pekat. Pemandangan sungguh ajaib indahnya, tidak dapat digambarkan dengan katakata atau dengan akal fikirannya sendiri. Kesempurnaan alam misteri yang sedang dialaminya telah membuatkan hati Andika tidak sedikitpun merasa cemas atau takut. Pada detik itu, telinganya masih lagi dapat menangkap bunyian merdu daripada si peniup seruling. Siapakah gerangan si peniup seruling itu ? Andika berjalan perlahan-lahan menyusuri tebing tasik sambil telinganya mengamati arah bunyinya tiupan seruling itu. Sementara mata meliar memerhatikan alam sekeliling, hatinya pula tidak 64
sudah-sudah berdoa agar pencariannya itu akan membuahkan hasilnya.. Akhirnya, dengan tiba-tiba, Andika telah menghentikan langkah kaki, bunyi tiupan seruling itu sudah begitu jelas kedengaran ditelinganya. Malahan, matanya pula telah terpandang pada satu susuk tubuh manusia yang sedang duduk membelakanginya di atas sebuah batu di persisiran tasik itu .. pasti sekali, dialah manusianya yang sedang meniupkan seruling dan menyanyikan puisi indah itu ! Entah mengapa, dengan tidak semena-mena, tubuhnya seperti telah dipasakkan ke bumi. Anak muda itu .. tidak lagi boleh menggerakkan dirinya. Jantungnya dengan tiba-tiba saja, berdegup dengan kencang dan helaan nafasnya pula menjadi semakin kencang. Andika ingin sekali memanggil si peniup seruling tetapi mulutnya pula telah terkunci. Anak muda itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi melainkan mendengar saja tiupan seruling itu, disamping matanya, hanya terarah ke batang tubuh manusia yang meniupnya. Ahh .. gerangan apakah yang sedang berlaku ini ? 65
Agak lama juga Andika berkeadaan begitu sehinggalah apabila tiupan seruling tersebut terhenti, tubuhnya yang terpasak, akhirnya dilepaskan, menyebabkan Andika jatuh tersepuk ke lantai bumi. Dengan keadaan yang masih terkial-kial itu, Andika berusaha membangunkan diri, tetapi, dengan tiba-tiba, tangannya telah dipegang oleh seseorang. Perlahan-lahan dia mendongakkan kepalanya untuk melihat gerangan manusia yang sedang menolongnya itu, tetapi, demi terpandang sahaja manusia itu, Andika seperti mati hidup semula, tidak dapat mempercayai apa yang sedang dilihat di hadapan matanya itu ! Dengan sertamerta, Andika bingkas berdiri lalu terus saja memeluk erat manusia itu sambil air-matanya berjurai turun dari pipinya .. “ Ayahanda, ayahanda Satria masih hidup .. ? “ Apakah benar semua itu .. atau barangkali ianya hanyalah jelmaan dari jembalang atau jin yang tergantung antara langit dan bumi ? Dalam taman ajaib yang sebegitu rupa, segala-galanya pasti 66
sekali akan mengelirukan akal yang sedang berfikir. Mana mungkin Pak Gempita itu mampu bangkit semula dari kematiannya. Semasa di Manjasing, jelas sekali semua manusia telah melihat sendiri batang tubuhnya yang sudah tidak bernyawa ! Anak muda Andika perlu berhati-hati dengan perasaan hatinya .. Adapun, manusia yang sedang dipeluk oleh Andika itu hanya mendiamkan batang tubuhnya. Benar, manusia itu amat seiras rupanya dengan arwah Pak Gempita. Keanehan telah berlaku. Keadaan di alam misteri itu senyap dan sunyi seketika. Yang kedengaran hanyalah esakan tangis dari Andika. Sungguh syahdu sekali .. bak kisah kasih rindu antara seorang anak yang telah terpisah dengan ayahandanya oleh maut, dipertemukan semula di alam yang penuh dengan keanehan lagi banyak tanda tanyanya. Aneh kerana, pertemuan itu adalah mustahil sekali untuk berlaku .. semua manusia di Seri Limbang dan di Kerajaan Manjasing telah menyaksikan sendiri pengemubian arwah Pak Gempita di halaman istana Manjasing. Walaupun, Andika tidak menyaksikan peristiwa 67
tersebut dengan mata kepalanya sendiri, seluruh manusia telah mengatakan kejadian yang sama. Mustahil mereka boleh bersepakat untuk membohonginya. Jika bohong sekalipun, apa gunanya semua itu. Namun .. persoalannya, apakah benar manusia itu Pak Gempita atau dia hanyalah sejenis jelmaan yang sedang membuat perencanaan untuk menghalangi takdir Andika ? Akhirnya, maka bersuara jugalah manusia yang dipeluk oleh Andika itu dengan satu suara yang telah mengejutkannya dari kesedihan dan tangisan. Sesungguhnya suara itu amatlah dikenal oleh Andika .. satu suara yang bukannya dari mendiang Pak Gempita, ayahanda tersayangnya ! Andika lekas-lekas menjauhkan dirinya daripada manusia yang dipeluk itu dan dari raut wajahnya, anak muda itu menunjukkan kehairanannya .. “ Ahhh .. Tok Selimpang, bukankah tadi ... ? Tok Selimpang hanya tersenyum sambil tangannya diletakkan dengan penuh kasih sayang atas ubun-ubun Andika. Dia memegang semula tangan Andika lalu memimpinnya menuju 68
kepada satu batu besar di persisian tasik tersebut. Andika seperti orang yang telah dirasuk oleh keajaiban dari permainan Tuhan, hanya mengikut sahaja tanpa terkeluar walau sepatah katapun dari mulutnya. Tok Selimpang dengan lembut, mendudukkan Andika di sebelahnya atas batu besar tersebut .. lalu Tok Selimpang itupun berkata-katanya .. “ Aduhai orang muda, janganlah kamu gundah gulana. Apa yang sedang kamu alami sebentar tadi bukanlah satu khayalan. Ianya adalah benarbenar berlaku. Inilah alam yang menyimpan seluruh ingatan dan kenangan manusia. Tidak ramai manusia yang mampu memasukinya. Hanya manusia pilihan sahajalah yang akan dibawa Tuhan ke dalamnya. “ “ Tok .. hamba tidak memahaminya .. “ Andika semakin menjadi dirinya sendiri setelah terkeliru seketika dengan kejadian yang sedang dialami. Kewarasannya telah dipulihkan sedikit demi sedikit. Mungkin diakibatkan oleh kuasa hemah yang telah Tok Selimpang alirkan semasa memegang ubun-ubun Andika tadi. Belumpun 69
sempat Andika ingin meneruskan kata-kata, Tok Selimpang telah mencelah .. “ Andika .. adapun kita tidaklah memiliki masa yang lama lagi di alam ini. Bayangan ayahanda kamu diujudkan oleh setia kasihmu padanya. Hakikatnya .. Pak Gempita itu telahpun meninggalkan dunia yang fana ini .. kamu yang telah mewujudkannya ! Di alam ini, segala ingatan akan menjadi kebenaran kerana inilah Belanga Maniah ! Alam yang akan menumbuhkan segala ingatan dan kebijaksanaan manusia. Namun, segala yang berlaku di sini, akan menjadi sesuatu yang tidak benar untuk alam kehidupan manusia di luar sana. Adapun, janganlah pula semua ini merunsingkan akal fikir kamu. Cukuplah kamu jadikan ia sekadar pengalaman baru buat dirimu, wahai si Penanggung Rahsia Alam ! “ Demi sahaja kalimat “ Penanggung Rahsia Alam “ itu tersembul keluar dari mulut Tok Selimpang, tenaga dan kesedaran pada jiwa si anak muda Andika, seperti telah dimasukkan dengan sertamerta .. dan kerohanian anak muda pula, telah pulih dengan sepenuhnya. Kejadian yang baru 70
sahaja dialaminya di Alam Maniah itu, seolaholah telah dihilangkan daripada alam pemikirannya. Ingatannya telah kembali semula kepada peristiwa pertarungan dengan Bogek, perampok Seri Limbang, Laksamana Badai, ular sungai dan yang terlebih utamanya, Kitab Alam. Sebaik mengingati kepada kitab itu, maka dengan tiba-tiba Andika berkata dengan cemasnya .. “ Pak tua, Kitab Alam tidak lagi bersamaku .. “ Pelik .. adapun, tidaklah Tok Selimpang itu menunjukkan perasaan terkejutnya, malahan, dengan senyuman di bibir . Akhirnya, pak tua sakti itu dengan nada yang lembut serta penuh dengan ketenangan, dia memberitahukan kebenarannya ! “ Andika .. kitab tersebut tidaklah hilang .. tetapi telah diselamatkan ! Marilah kita sempurnakan pertanggungjawab ini. Sesungguhnya, inilah alamnya, semua rahsia Kitab Alam akan disampaikan kepadamu. Justeru, usahlah kita berlengah lagi .. hanya tinggal sehari semalam sahaja untuk ianya disudahkan. Sebagai penggantiku, engkau perlu menyelam ke dalam 71
tujuh siasah awal dari kisah alam. Aku akan menyampaikannya segera. Moh .. ikutlah langkah kaki pak tua, kita akan ke sana ! ” Jari telunjuk Tok Selimpang telah diarahkan ke sebuah gunung yang sayup-sayup jauh kelihatan di sebalik tompokan-tompokan awan yang memutih laksana mutiara yang sedang menyelubungi langit. Gunung yang telah menyimpan sebuah misteri alam yang amat tersembunyi daripada pengetahuan manusia kebanyakan. Gunung yang akan menyaksikan perpindahan rahsia alam daripada Tok Selimpang kepada Andika. Gunung yang disuatu ketika udom yang dulunya, amatlah digeruni oleh sekalian makhluk yang membenci kebenaran, menjadi rahsia kekuatan perjuangan kebaikan menentang kejahilan. Gunung Suci .. itulah namanya ! Tok Selimpang bingkas berdiri daripada duduknya .. dan tidaklah manusia sakti itu telah berkata apa-apa. Dari wajahnya itu telah menampakkan kesunggguhan yang amat luar biasa .. namun cukup tenang. Andika hanya 72
menurut sahaja langkah kaki Tok Selimpang dari belakangnya. Berbeza dari sebelumnya .. Andika telah menampakkan keyakinan dirinya .. Dia sudah bersedia ..
73
Tamat Pembuka Siasah
Siasah Pertama Sirah Sani ul Bat Cahayaku, Aku namakan dirimu dengan Sri Cahaya Shakta, cahaya daripada diriku sendiri, yang telah ujud udom sebelum udomnya bersama-samaKu, tanpa ada ujud yang lainnya, melainkan Aku dan dirimu. Tidak seperti dirimu yang telah bernama, kerana adanya Aku yang menamakanmu, maka tidaklah diriKu sendiri menjadi bernama lantaran tiada lagi yang telah ujud sebelum diriKu, untuk menamakannya. Dengan kalimah insakh pan dukka, maka dirimu telah Aku jadikan sebagai pengganti buat diriKu, kerana engkau itulah Aku dan Aku itulah engkau. Aku menamakan dirimu dengan nama Sri Cahaya Shakta kerana tiadalah akan ujud yang 74
seumpamamu sesudah ujudnya dirimu kerana hanya engkau sahajalah yang akan mempersaksikan keagungan dan kebesaranKu, maka, nyatakanlah diriKu melalui dirimu. insakh pan dukka - sejahtera atas kamu ..
Lantaran Aku inilah yang menamakanmu, maka tiadalah Aku memerlukan barang sesuatu. Namun, untuk dirimu, maka akan aku adakan keperluanmu demi menyatakan diriKu, dan inilah keperluanmu tetapi bukan keperluanKu. Dengan kalimah pan lua dukka ata, maka akan Aku buntingkan kamu dengan zark yang bukan dari diriKu, juga bukan dari dirimu, supaya dengan zark ini, maka akan terpacullah dari kalam zark itu, satu nama tunggal bagi keagungan dan kebesaranKu, yang dengannya akan menamakan diriKu. Itulah anak-anakmu ! Dan akan aku utuskan kepada zark itu satu ikatan yang teguh kepada dirimu tanpa bercerai tanggal sebagaimana tidak bercerainya dirimu kepada diriKu. Maka, kuasailah dia dan jangan pula dia yang menguasaimu. pan lua dukka ata - atas kami dan kamu jua zark – debu-debu alam yang tercipta dari keadaan tiada
75
Maka apabila zark itu telah meningkat usia dewasanya, ajarkanlah dia dengan kalimat, uhsa mahada sikama ma-amah, ma-amah mahada ahsahu, uhsa pasakta sikama ma-amah, pasakta uhsahu. Cahayaku, tidaklah akan aku hukum dirimu juga zark yang kamu buntingkan itu dengan kalimah ini melainkan mereka sendirilah yang akan menghukum sesama sendiri dengannya. Sesudah zark itu telah menerima ajaranmu dari kalimah yang telah Aku sampaikan kepadamu, maka carilah dari kalangan zark itu yang paling baik namanya untukKu serta jadikanlah dia sebagai pemimpin bagi sekalian zark dan ujilah dia dengan dirinya sendiri di tanah sujiha yang telah Aku penuhkan dengan segala rahmatKu agar dirinya menjadi suci lagi mensucikan. Dan, hendaklah kamu, membimbing si pemimpin itu, agar sentiasalah dia, berdiri pada kalimah mereka, serta, hulurkanlah kepadanya, pertolonganmu. Apabila kitab agungKu dan kalung suciKu telah bersatu di telapak tangan kudusnya, maka, hentikanlah pertolonganmu itu. 76
uhsa mahada sikama ma-amah – aku berdiri zahir batin ma-amah mahada ah-sahu – batin berdiri cahaya bolti uhsa pasakta sikama ma-amah – aku rahsia zahir batin pasakta uh-sahu – rahsia diri bolti
Cahayaku, Sesungguhnya, sempurnakanlah demi anakanakmu itu, empat jalan daripada dua jalan yang telah Aku bedakan, agar mereka melepasinya. Dan abadikanlah dari kalangan mereka yang telah memiliki jalan yang berempat itu, ke dalam dirimu, lalu jadikanlah dia penggantimu. Dengan rahsia kalimah sahu, uh dan ah, maka Aku sembunyikan dia ke dalam dirimu, agar anak-anakmu, dapat mencarinya dalam diri mereka, dengan jalan yang empat itu. Sesungguhnya, itulah nikmat teragung dari sisiKu, buat sekalian anak-anakmu, tanda keadilanKu. Maka, telah sempurnalah jalan dan telah cukuplah nikmat yang telah Aku karuniakan, semoga setiap dari anak-anakmu itu akan menuju titian pengabdian terhadapKu sebagaimana dirimu. Sesungguhnya, Aku namakan sirah ini, dengan nama sirah sani ul bat, siasah agungKu, yang Aku 77
sampaikan kepadamu, demi diriKu, yang akan menaungi, sekalian siasah, menghapuskan segala sengketa. Aku mahada sa-hu, Aku sikama sa-hu, Aku ma-amah sa-hu, Aku pasakta sa-hu .. sani ul bat – suci lagi mensucikan
Aku sa-hu .. Insakh pan dukka ..
Tamat Siasah Pertama 78
TAMAT SIRI 1
Faran bin Yusoff
Kota Bharu Kelantan Darul Naim
79
80
81