FUNGSI DAN BIDANG KUASA MAJLIS AGAMA ISLAM Muhammad Haniff Baderun Zuliza Mohd Kusrin
Abstrak Majlis Agama Islam wujud di setiap negeri sejak pra kemerdekaan lagi rentetan daripada hasrat kesultanan Melayu untuk mendaulatkan Islam di dalam pemerintahan negeri masing-masing.Setelah beberapa kurun penubuhannya masih terdapat beberapa kekeliruan dan salahfaham tentang fungsi dan bidang kuasa Majlis yang perlu kepada perbincangan dan penjelasan berdasarkan peruntukan perundangan di negeri masingmasing.Objektif artikel ini ialah mengkaji latar belakang, fungsi dan bidang kuasa Majlis Agama Islam di negeri-negeri.Kaedah penulisan adalah secara analisis kandungan dengan merujuk kepada tesis, disertasi, kertas kerja-kertas kerja lalu laporan, jurnal, dan buku yang berkaitan.. Kajian juga merujuk kepada undangundang dan peraturan yang berkuatkuasa semasa membincangkan operasi Majlis Agama Islam itu sendiri.Hasil perbincangan mendapati terdapat 3 aspek salah faham masyarakat terhadap terhadap fungsi dan peranan Majlis Agama Islam, iaitu terhadap bidang kuasanya, namanya dan amalan kerja Majlis Agama Islam. Pengenalan Majlis Agama Islam memang dikenali umum namun, kefahaman umum terhadap fungsi Majlis Agama Islam itu masih perlu dinilai lagi. Hal ini kerana terdapat kalangan masyarakat yang berpandangan Majlis Agama Islam hanya sekadar tempat memohon bantuan zakat, derma, dan seumpamanya. Pemahaman sebegitu mudah terbentuk di kalangan masyarakat kerana fungsi baitulmal dan zakat sering ditonjolkan sehingga menjadi sinonim dengan Majlis Agama Islam.Tidak kurang juga yang masih kabur dan keliru antara fungsi Majlis Agama Islam dan fungsi Jabatan Agama Islam atau Jabatan Hal Ehwal Islam.Bidang kuasa kedua-dua agensi masih berkaitan agama cuma dibezakan dengan majlis dan jabatan yang diletakkan pada pangkalnya.Walau bagaimanapun, masyarakat seringkali beranggapan fungsi keduadua agensi itu atas nama „Pejabat Agama‟. Wujud juga pihak yang beranggapan fungsi Majlis Agama Islam itu tidak ubah seperti fungsi Majlis Daerah atau Majlis Bandaran. Tanggapan-tanggapan seumpama ini sedikit sebanyak telah mengkaburkan fungsi dan bidang kuasa sebenar Majlis Agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam perundangan.Akibatnya, apabila Majlis Agama Islam menetapkan satu-satu dasar dan bertindak atas kapasiti peranannya menurut perundangan, ianya dianggap sebagai melampaui bidang kuasa, mencampuri bidang tugas agensi lain, dan adakalanya dipolitikkan.Berdasarkan permasalahan tersebut kertas kerja ini membincangkan fungsi dan bidang kuasa Majlis Agama Islam menurut perundangan.Perbincangan juga mengulas berkenaan beberapa isu yang menyebabkan berlaku salah tanggapan terhadap fungsi dan bidang kuasa Majlis tersebut. Sejarah Penubuhan Majlis Agama Islam Berdasarkan fakta-fakta sejarah terdahulu, pada peringkat awal, pentadbiran mengenai hal ehwal agama Islam bagi Negeri-negeri di Tanah Melayu dijalankan oleh
Raja/Sultan bagi setiap negeri dengan bantuan ulama‟. Mereka antara lain dikenali sebagai ‟Guru Sultan‟, ‟sheikhul Islam‟, ‟majma‟ masyikhatul Islam‟, ‟Komiti Syarak‟, dan ‟Komiti Quran‟. Badan yang ditubuhkan secara tidak rasmi ini disokong dengan jawatan Mufti dan Kadi yang telah diwujudkan lebih awal daripada kewujudan Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam. Pada peringkat ini, mereka inilah yang pada prinsipnya menjadi ‟Majlis Agama Islam‟ bagi NegeriNegeri di Tanah Melayu1. Merujuk kepada sejarah penubuhan Majlis Agama Islam, pembentukannya secara rasmi dilaksanakan di sekitar tahun 1940an. Pada asasnya, pembentukan Majlis Agama Islam tersebut bergantung pada status negeri itu sebagaimana yang dilaksanakan oleh pihak Inggeris. Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu mempunyai Majlis Agama Islam secara rasmi lebih awal berbanding dengan Negeri-negeri Selat yang ditadbir secara langsung oleh Inggeris. Ketiadaan Raja/Sultan sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-negeri Selat mungkin menjadi faktor yang mendorong perkara ini berlaku. Bagi sesetengah negeri, asas kewujudan Majlis Agama Islam merupakan hasil buah fikiran Raja/Sultan yang menjadi penaung kepada Majlis Agama Islam berkenaan. Sebagai contoh, kelahiran dan pengisytiharan Majlis Agama Islam Kelantan telah dibuat pada 24 Disember 1915 dan dinaungi oleh Sultan. Begitu juga di negeri Perak, Majlis Agama Islam pada awal penubuhannya dinaungi oleh Sultan dan dipengerusikan oleh seorang pembesar dari kerabat diraja. Situasi yang sama berlaku di Pahang di mana Majlis Ugama Islamnya diketuai oleh Sultan dan kerabat baginda sendiri sejak penubuhannya pada tahun 1926 sehingga sekarang2. Manakala di Selangor, Pengerusi Majlis Agama Islamnya sebelum Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 adalah secara automatik dilantik daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor3. Di Kedah pula, Yang Dipertua Majlis Agama Islam di awal penubuhannya dipilih dari kalangan alim ulama‟ seperti Syeikhul Islam atau Kadi Besar.4 Dengan siyasah syareiyyah yang terdapat pada Sultan, pentadbiran hal ehwal agama Islam berubah dari semasa ke semasa mengikut perubahan pemerintahan dan pengaruh politik yang terdapat pada satu-satu masa itu. Perubahan yang paling besar berlaku pada zaman pentadbiran Inggeris. Pada masa itu, pentadbiran Islam dibirokrasikan, selepas merdeka, sistem pentadbiran hal ehwal agama diperkukuhkan lagi terutamanyakewibawaan Mahkamah Syariah. Tidak kurang pentingnya ialah kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam.Walaupun di beberapa negeri seperti Kelantan dan Pahang, Majlis Agama Islam telah pun ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua, di kebanyakan negeri Melayu, badan itu hanya muncul
1
Zaini Nasohah, 2000, Pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia: Perkembangan serta Bidang Kuasa Menurut Peruntukan Akta dan Enakmendalam Jurnal UndangUndang IKIM Vol. 6 No. 1 Januari-Jun 2000, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, hlm. 71-72. 2
http://www.muip.gov.my/v3/index.php/mengenai-kami/sejarah-muip
3
http://www.mais.net.my/index.php?option=com_content&view=article&id=2&Itemid=51
4
http://www.maik.gov.my/index.php?q=content/senarai-ydp-maik
185
selepas tahun 1945.Di perak, Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu hanya ditubuhkan pada tahun 1949. Pada zaman kerajaan Melayu tradisional, Sultan adalah amat rapat dengan alim ulama‟ untuk mendapatkan nasihat dalam perkara-perkara berkaitan dengan agama.Gelaran yang diberikan kepada ulama itu ialah „Guru Sultan‟ dan „Guru Sultan‟ biasanya menjadi imam di Masjid Sultan.Beliau juga menjalankan upacara seperti pertabalan, kemangkatan, dan perkahwinan diraja yang melibatkan agama Islam. British mulai mengambil alih pentadbiran negeri-negeri Melayu pada tahun 18741875.Kedudukan agama Islam dan orang Melayu diberi perhatian khas oleh British supaya tidak timbul masalah yang boleh menjejaskan kedudukan British di Tanah Melayu.Pihak British memahami bahawa agama adalah perkara yang amat sensitif. Oleh yang demikian, apabila British campur tangan di negeri Perak, dalam Perjanjian Pangkor (1874) yang dinyatakan bahawa Residen British yang akan dilantik itu tiada kewibawaan dalam hal-hal agama: Fasal yang keenam – Arakian maka adalah Yang di-Pertua Perak itu mahu terima dan buat sebuah rumah yang layak bagi tempat duduk suatu tuan yang dibawah pemerintah British Government gelarannya Tuan Residen negeri Perak menjadi orang kerajaan government. Akan Yang di-Pertua itu mahulah menempah dengannya dahulu daripada fasal sekelian perkara dan pekerjaan negeri Perak itu melainkan tiada ia boleh masuk daripada fasal Agama Islam dan „Adat Melayu itu adanya5. Selepas Kadi Besar dilantik maka Komiti Syarak6 ditubuhkan dengan Kadi Besar sebagai salah seorang daripada ahlinya. Komiti Syarak menjadi penasihat Sultan dalam Majlis Agama Islam dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan „adat istiadat Melayu. Daripada Komiti Syarak pula tumbuhnya Komiti Quran iaitu sebuah badan yang mengelolakan sekolah-sekolah Quran di Perak mulai tahun 1917.Sebelum itu, sekolah-sekolah tersebut tidak didaftarkan.Komiti Syarak itu sebenarnya merupakan sebuah „Majlis Agama dan „Adat Melayu‟ yang terawal di Perak. Berdasarkan kepada prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri, kedudukan Majlis Agama Islam sebagai pihak Berkuasa Agama Islam yang bertanggungjawab secara langsung kepada Raja/Sultan/Yang di-Pertuan Agong dalam semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam turut dijelaskan dalam semua Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. Contohnya seksyen 4, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] adalah seperti berikut; Maka hendaklah ada suatu badan yang dikenali sebagai “Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan”, untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam. 5
Mohamad Amin Hasan (ed.), 1966, The Pangkor Treaty in Malay dalam Peninjau Sejarah Vol. 1 No. 1 Julai, History Teacher „s Association of Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 55. 6
Komiti Syarak adalah nama terawal bagi Jawatankuasa Fatwa atau Lembaga Fatwa Syareiyyah.
186
Sultan sebagai Ketua Agama Islam melaksanakan tugas dengan dibantu oleh Majlis Agama Islam dalam perkara selain daripada perkara hukum syarak dan pentadbiran keadilan yang berada dalam fungsi Mufti dan Mahkamah Syariah 7. Kepentingan Majlis Agama Islam Negeri dari sudut sejarahnya mungkin boleh dilihat kepada peranan Majlis Agama Islam Kelantan dalam menguruskan pentadbiran agama Islam di negeri di Kelantan yang diwujudkan pada tahun 19158. Antara peranan Majlis Agama Islam termasuk memelihara kebajikan umat Islam dari aspek kerohanian, kemasyarakatan, pelajaran, dan ekonomi9. Sultan ialah institusi yang tidak berada atas politik kepartian. Oleh itu, operasi Majlis Agama Islam juga perlu mencerminkan kedudukan Sultan yang menjadi pelindung kepada umat Islam dalam sesebuah negeri dan bukannya kelompok yang tertentu sahaja. Sekiranya pihak Majlis tidak menjalankan peranannya secara berhemah, tentulah ia menyebabkan tanggapan yang kurang baik terhadap institusi Raja. Pengalaman selepas Pilihan Raya Umum pada tahun 2008 dan pembentukan kerajaan Negeri Perak membuktikan tentang kepentingan institusi Raja dalam menjamin keharmonian negeri-negeri. Institusi Raja perlu dipelihara daripada sebarang pencemaran masalah akibat ketidakcekapan atau sikap tidak profesional Majlis Agama Islam. Sekiranya pentadbiran agama Islam seperti dalam hal ehwal pentadbiran masjid dilihat tidak telus dan adil, institusi Raja mungkin akan disalahkan. Pada masa yang sama Majlis Agama Islam juga perlu menegaskan kedudukannya sebagai pihak berkuasa utama dalam sesuatu negeri mengenai Islam selepas Sultan dan tidak membiarkan jentera kerajaan mengambil alih peranan tersebut10 (Farid Sufian Shuaib 2012)11. Fungsi & Bidang kuasa Majlis Agama Islam di Malaysia Fungsi dan bidang kuasa Majlis Agama Islam di Malaysia dapat disimpulkan seperti berikut : a) Memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan menghormati kedaulatan agama Islam sebagai agama negeri dan agama Negara; Memelihara, mempertahankan kedaulatan, dan menghormati kedaulatan agama Islam sebagai agama negeri dan agama Negara adalah kewajipan semua pihak terutama yang terlibat dengan kerajaan.Namun fokus utama kewajipan ini adalah tertakluk kepada Majlis Agama Islam, atas sifat dan kedudukannya sebagai Pihak Berkuasa Utama dalam hal ehwal Islam di bawah naungan Ketua Agama Islam.
7
Lihat Seksyen 6, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor), 2003.
8
Abdullah Alwi Hassan, 1996, The Administration of Islamic Law in Kelantan, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, hlm. 69-70. 9
Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor)2003.
10
Seksyen 6, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor)2003.
11
Farid Sufian Shuaib, 2012, Komentar dan Cadangan Kajian Semula Terhadap Undangundang Pentadbiran Agama Islam dalam Korpus Undang-undang Islam di Malaysia : Semakan dan Cabaran, Siti Shamsiah Md Supi (ed.), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, hlm. 18-19.
187
b) Menggubal dasar serta mentadbir hal ehwal agama Islam dan undang-undang Islam; Majlis Agama Islam bertanggungjawab untuk menggariskan dasar-dasar dalam penguatkuasaan undang-undang kesalahan jenayah Syariah dan pendakwaan, pengurusan dakwah, pentadbiran kumpulan wang dan baitulmal termasuklah pungutan dan agihan zakat, pembangunan tanah wakaf atau pusaka yang terletak hak kepada Majlis, pentadbiran masjid dan surau, kewajipan-kewajipan atau kuasa-kuasanya berhubung dengan kemajuan ekonomi dan sosial orang Islam12, memantau perbadanan atau perusahaan Majlis Agama Islam13, penyelidikan, dan pembangunan dan lain-lain perkara termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri. c) Memastikan semua dasar dan hukum hakam yang diperkenankan oleh Sultan/Raja sebagai Ketua Agama Islam dipatuhi oleh semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ; Majlis Agama Islam bertanggungjawab untuk memastikan kedaualatan agama Negeri terpelihara dengan sempurna. Majlis Agama Islam bertanggungjawab memberikan teguran kepada Kerajaan Negeri atau Kerajan Persekutuan termasuk jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang beroperasi dalam negeri berkenaan sekiranya dasar, amalan, dan tindakan pihak-pihak berkenaan didapati bercanggah dengan prinsip Islam dan Hukum Syarak bukan sebaliknya di mana Majlis Agama Islam perlu akur dan tunduk kepada arahan Kerajaan Negeri atau Persekutuan dalam hal ehwal Islam. Dalam hal ini, pihak-pihak yang bukan Islam pula berkewajipan untuk menghormati dasar-dasar dan undang-undang yang diluluskan oleh Baginda Sultan atas sifat sebagai seorang rakyat yang taat dan setia kepada Raja dan Negara. d) Memelihara kemaslahatan umat Islam dan syi‟ar Islam berdasarkan prinsip Islam dan hukum Syarak; Dalam apa jua dasar atau undang-undang yang digubal oleh mana-mana pihak, Majlis Agama Islam berkewajipan untuk memastikan ketinggian syi‟ar dan kemaslahatan umat Islam terpelihara dengan baik berdasarkan prinsip Islam dan hukum Syarak. Majlis Agama Islam berkewajipan untuk mamastikan dasar-dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak sama sekali menjejaskan kemaslahatan umat Islam. Ini termasuklah dasar ekonomi, dasar pendidikan, dasar sosial, dan lain-lain yang digubal yang menyentuh umat Islam dalam negeri berkenaan. Segala perkara berhubung dengan pelaksanaan dasar dan keputusan yang dibuat oleh Raja/Sultan dan Majlis Agama Islam dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri sebagai jentera pelaksana kepada polisi dan dasar yang ditetapkan oleh Majlis Agama
12
Seksyen 9, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.
13
Seksyen 9, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.
188
Islam dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong/Sultan/Raja. Pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam/Jabatan Hal Ehwal Islam merupakan kakitangan awam negeri tersebut yang bertanggungjawab kepada Majlis Agama Islam. Oleh itu, kuasa Pegawai Hal Ehwal Islam negeri adalah berdasarkan bidang kuasa eksekutif Negeri yang tertakluk pada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh Mufti dan Kadi yang bertindak untuk membantu dan menasihati Raja/Sultan dalam pengurusan hal ehwal Islam dapat dilihat sebelum dan semasa zaman Inggeris. Sejarah juga memperlihatkan bahawa penubuhan „Syaikh al-Islam‟ atau „Majma‟ Masyikhatul Islam‟ di Negeri Kedah dan „Komiti Syarak‟ di Negeri Perak yang dinyatakan sebelum ini merupakan contoh institusi Islam yang diberikan pengiktirafan oleh Raja/Sultan seterusnya membuktikan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh Mufti dan Kadi sejak dahulu. Kini, institusi-institusi agama tersebut diselaraskan di setiap negeri dan dinamai sebagai Majlis Agama Islam dan memainkan peranan untuk menasihati Raja/Sultan dalam hal ehwal agama Islam (Mahamad Naser Disa 2011). Salah Faham Terhadap Majlis Agama Islam Setelah lima puluh enam (56) tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah empat belas (14) Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgahsana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas (13) kali Pilihan Raya Umum dilangsungkan, dan setelah enam (6) Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula malah, wajib terus diperingatkan sepanjang masa14.Sejarah telah mencatatkan fakta yang jelas mengenai kedudukan agama, Raja sebagai Ketua Agama Islam dan mempunyai kuasa mutlak serta Majlis Agama Islam sebagai Pihak Berkuasa Agama Islam di bawah naungan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja walaupun semasa pendudukan Inggeris di Tanah Melayu sehingga diiktiraf dan diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan atau UndangUndang Tubuh Negeri-Negeri. Kewujudan dan penubuhan Majlis Agama Islam bukan selepas Negara mencapai kemerdekaan, malah ia adalah warisan kedaulatan Islam zaman berzaman asas penubuhannya, kedaulatan, fungsi, dan peranannya masih berterusan sehingga kini (Muhamad Naser Disa 2011)15. Walau bagaimanapun, beberapa persepsi salah yang membawa kepada tindak tanduk yang salah telah menjadi penghalang kepada usaha Majlis Agama Islam memainkan peranannya yang sebenar. Antaranya, apabila pihak badan eksekutif merasakan bahawa mereka berkuasa penuh ke atas setiap agensi di bawah pentadbiran mereka termasuk Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam/Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah, dan agensi-agensi seumpamanya. Maka, pihak kerajaan cuba memaksa ketetapan-ketetapan dan dasar-dasar mereka diterima pakai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan agensi-agensinya seperti dalam kes serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas orang Islam yang menghadiri
14
Raja Dr. Nazrin Shah, 2011, Titah DiRaja Kongres Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia Kali Pertama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, hlm. 4. 15
Mahamad Naser Disa, 2011, hlm. 10.
189
majlis di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya16. Memandangkan kedudukan Majlis Agama Islam sebagai Pihak Berkuasa Agama, sepatutnya pihak kerajaan yang perlu akur terhadap ketetapan dan dasar berkaitan hal ehwal Islam yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam dan pihak kerajaan sepatutnya mengembeling seluruh jentera kerajaan mematuhi ketetapan tersebut tetapi hal itu terjadi sebaliknya. Campurtangan badan eksekutif dalam pentadbiran Majlis Agama Islam juga memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan fungsi dan bidang kuasa Majlis Agama Islam.Ianya boleh dilihat dalam kes penangguhan17 pelantikan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang18 dan kes pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang19.Amat sukar untuk individu berjawatan politik mengasingkan pandangan politiknya dari tugasan rasminya dan bertindak secara profesional. Campurtangan badan eksekutif dalam pentadbiran Majlis Agama Islam turut dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah (2011) dalam Titah DiRaja di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama dengan menegaskan; Jabatan Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya. Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada Majlis dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam adalah berbeza dengan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang lain. Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis.Tanggungjawab Jabatan Agama Islam adalah kepada Majlis dan kepada Raja.Untuk itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menghormati batas sempadan dan bidangkuasa yang terletak secara langsung di bawah budi bicara Raja, demi mengelak dari berlakunya keadaan satu kapal dua nakhoda.Apa jua hasrat Pihak Berkuasa Negeri menyentuh Islam dan „Adat Melayu hendaklah disampaikan melalui saluran Majlis atau dipersembahkan untuk pertimbangan Raja Pemerintah. Keputusan dan ketetapan Majlis Agama Islam juga acap kali dipolemikkan dengan memainkan sentimen tertentu oleh pihak yang berkepentingan sehingga menjejaskan kewibawaan umat Islam, institusi Islam, dan Islam itu sendiri seperti dalam kes permohonan penggunaan istilah/perkataan „Allah‟ dalam „Herald – The Catholic Weekly‟ oleh Tetular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur 20. Ianya bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil, dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah maka, umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah ; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.
16
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JAIS_polisserbuumatIslamdalamgereja/Article
17
http://www.malaysiakini.com/news/114519
18
http://www.sinarharian.com.my/nasional/adun-pas-salleh-man-ydp-maipp-1.70620
19
http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/YDP_Agong_Titahkan_Pemilihan_Jawatank uasa_Kariah_Masjid_Ditangguhkan.html 20
http://www.kehakiman.gov.my/node/1490
190
Kadang kala pentadbir atau pekhidmat Majlis Agama Islam dipandang rendah dan dengan mudah dibuli oleh pemerintah kerana beranggapan bahawa mereka cuma setaraf dengan penjawat dan petugas di Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah dan penjawat-penjawat awam lain. Sedangkan pentadbir atau pekhidmat Majlis Agama Islam bertindak bagi pihak Raja Pemerintah selaku Pihak Berkuasa Agama. (Mahamad Naser Disa 2011)21. Pertindihan dan ketidakselarasan tugas antara Majlis Agama Islam dengan agensiagensi berkaitan hal ehwal Islam yang lain terutama Jabatan Agama Islam/Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti, dan Jabatan Kehakiman Syariah memburukkan lagi persepsi yang telah sedia terbentuk.Aliran pengurusan yang bercelaru, pembahagian tugas yang tidak jelas, dan ketidaksefahaman antara pentadbir dan kakitangan antara agensi-agensi tersebut antara cabaran dalam pelaksanaan fungsi dan bidang kuasa Majlis Agama Islam yang sebenar.Keadaan ini dapat dilihat dalam kes bekas Ketua Hakim Syar‟ie Terengganu didakwa atas pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu22. Penggunaan nama Majlis Agama Islam untuk merujuk kepada pengurusan hal ehwal zakat, wakaf, dan baitulmal semata-mata amat jelas dalam pentadbiran Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu Perak23. Berlainan dengan Majlis Agama Islam di negerinegeri lain yang menubuhkan entiti berasingan untuk pengurusan zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Selangor24, Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Pulau Pinang25, dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Wilayah Persekutuan26. Ini juga antara punca fungsi Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu Perak dilihat sempit di kalangan masyarakat iaitu dalam lingkungan pengurusan zakat, wakaf, dan baitulmal. Tindakan Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu Perak juga yang sewenangwenangnya mencampuri urusan di bawah kendalian agensi-agensi lain menyebabkan pertindihan dan ketidakselarasan tugas berlaku seperti dalam kes penempatan bertugas Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) di Majlis Agama Islam dan „Adat Melayu Perak sedangkan Bahagian Pengurusan Masjid dan Pegawai Tadbir Agama Daerah yang dipertanggungjawabkan dalam urusan hal ehwal masjid terletak di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Daripada perbincangan ini, salah tanggapan masyarakat terhadap fungsi dan peranan Majlis Agama Islam dapat dibahagikan kepada aspek-aspek berikut : 1. Salah Faham Terhadap Bidang Kuasa Majlis Agama Islam, 2. Salah Faham Terhadap Nama Majlis Agama Islam, 21
Mahamad Naser Disa, 2011,Kedaulatan Majlis Agama Islam Negeri Sebagai Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri di Bawah Naungan Raja-Raja Melayu, Kongres Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia Kali Pertama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, hlm. 1. 22
http://www.bharian.com.my/articles/BekasKetuaHakimSyarieTerengganumengakutidakbers alahtuduhanhinaMAIDAM/Article/ 23
http://www.maiamp.gov.my/maiamp/maipk/index.php
24
http://www.e-zakat.com.my/
25
http://www.zakatpenang.com/zpp/
26
http://www.zakat.com.my/
191
3. Salah Faham Terhadap Amalan Kerja Majlis Agama Islam. Penutup Majlis Agama Islam sebenarnya menghadapi cabaran yang besar.Cabaran yang besar memerlukan institusi yang berwibawa untuk menghadapinya.Jika Majlis Agama Islam bersungguh mahu menghadapi cabaranbesar ini dan dilihat bertenaga sertaberupaya melaksanakan tanggungjawab besar inisecara berkesan dengan memberi impak yang signifikan maka, Majlis Agama Islam hendaklah mempertingkatkan dan memperkasakan keupayaan dengan memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit mengenainya. Peranan Majlis Agama Islam harus diluaskan dan dimerdekakan dari minda lama yang seolah-olah dengan sengaja disempitkan.Peranan Majlis Agama Islam hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran, dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik. Selagi tindak tanduk Majlis Agama Islam tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, pihak eksekutif hendaklah mengiktiraf Majlis Agama Islam sebagai institusi strategik,berpotensi menyempurnakan tanggungjawab fardhu kifayah, berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untukmenjamin kelangsungan Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara. Rujukan Abdullah Alwi Hassan. 1996. The Administration of Islamic Law in Kelantan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Zaini Nasohah. 2000. Pentadbiran Islam Negeri-Negeri di Malaysia : Perkembangan serta Bidang Kuasa Menurut Peruntukan Akta dan Enakmen dalamJurnal Undang-Undang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Vol. 6 No. 1 Januari-Jun. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia. Farid Sufian Shuaib. 2012. Komentar dan Cadangan Kajian Semula Terhadap Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dalam Korpus Undang-Undang Islam di Malaysia : Semakan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Mahamad Naser Disa. 2011. Kedaulatan Majlis Agama Islam Negeri Sebagai Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri di Bawah Naungan Raja-Raja Melayu. Putrajaya : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mohamad Amin Hasan. 1966. The Pangkor Treaty in Malay dalam Peninjau Sejarah Vol. 1 No. 1 Julai. Kuala Lumpur ; History Teacher „s Association of Malaya. Raja Dr. Nazrin Shah. 2011. Titah DiRaja Kongres Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia Kali Pertama. Putrajaya : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. 2013. Enakmen Originol. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor 20013. http://www.esyariah.gov.my/portal/page/portal/UndangBM/Selangor [7 Disember 2013].
192
BH Online. 2011. Nasional. JAIS, Polis Serbu Umat Islam Dalam Gereja. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JAIS_polisserbuumatIslamdalamger eja/Article [29 November 2013]. Malaysiakini. Malay. 2009. Utama. Perebutan YDP Majlis Islam Jejas Gaji Kakitangan. http://www.malaysiakini.com/news/114519 [29 November 2013]. Sinar Online. 2012. Nasional. ADUN PAS Salleh Man YDP MAIPP. http://www.sinarharian.com.my/nasional/adun-pas-salleh-man-ydp-maipp1.70620 [29 November 2013]. Portal Berita TV3. 2011. Tajuk Utama. YDP Agong Titahkan Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Ditangguhkan. http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/YDP_Agong_Titahkan_Pemilihan _Jawatankuasa_Kariah_Masjid_Ditangguhkan.html [29 November 2013]. Lawan Web Rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. 2013. Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan. Keputusan Kes Kalimah Allah. http://www.kehakiman.gov.my/node/1490 [29 November 2013]. BH Online. 2013. Mutakhir. Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Hina MAIDAM. http://www.bharian.com.my/articles/BekasKetuaHakimSyarieTerengganumengak utidakbersalahtuduhanhinaMAIDAM/Article/ [29 November 2013]. Portal Web Majlis Agama Islam dan ‟Adat Melayu Perak. 2013. Utama. http://www.maiamp.gov.my [23 November 2013]. Lembaga Zakat Selangor. 2013. Utama. http://www.e-zakat.com.my/ [29 November 2013]. Zakat Pulau Pinang. 2013. Utama. http://www.zakatpenang.com/zpp/ [29 November 2013]. Pusat Pungutan Zakat. 2013. Laman Utama. http://www.zakat.com.my/ [29 November 2013]. Laman Web Rasmi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.2013. Mengenai Kami. Sejarah Penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang. http://www.muip.gov.my/v3/index.php/mengenai-kami/sejarah-muip [14 Disember 2013]. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). 2013. Korporat. Latar Belakang MAIS. http://www.mais.net.my/index.php?option=com_content&view=article&id=2&It emid=51 [14 Disember 2013]. Laman Web Rasmi Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. 2013. Mengenai MAIK. Sejarah Penubuhan. http://www.maik.gov.my/index.php?q=content/sejarah-penubuhan (14 Disember 2013].
193