BIOGRAFI DATO’ DR. USMAN AWANG Julai 31, 2009
Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman Awang. Meniti
Ranjau
Kehidupan
Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap kejayaan yang lebih baik. Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa
minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah. Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Melangkah ke Dunia Persuratan Melayu Pada tahun 1951, beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf di Melayu Raya selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita. Sesudah itu beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Bermula pada Mei 1982,beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985. Antara Karya Hebat Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia persuratan Melayu moden dengan penulisan sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Lantaran keistimewaan yang ada dalam sajaknya yang menarik, ia acap kali menjadi pilihan anakanak sekolah juga masyarakat awam dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular ialah Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan, dan Salam Benua. Manakala novel penulisannya yang masyhur sehingga kini ialah Tulang-tulang Berserakan. Begitu juga dengan cerpennya yang hebat seperti Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan sebagainya. Di samping itu, drama beliau yang bertajuk Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam turut dipentaskan. Petikan esiswa Ogos 2009
Usman Awang permata Melayu yang sukar diganti Februari 12, 2008
Oleh: AZMAN ISMAIL USMAN Awang. Nama ini tidak hanya sebahagian daripada khazanah keilmuan Melayu. Tetapi ia juga merupakan permata intelektual yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam sejarah kepengarangannya, Allahyarham berkarya bukan hanya di atas nama kaum Melayu semata-mata tetapi
juga merentas sempadan etnik dan sistem kepercayaan – atas nama
kemanusiaan serta kesejagatan. Persoalan besar yang sentiasa diutarakan olehnya ialah bagaimana pengarang menjadi lidah masyarakat dalam menyuarakan hak, rasa, pandangan dan kepentingan mereka kepada kelompok yang berkuasa. Bagaimanapun, Allahyarham tidak meletakkan ‘perjuangan’ masyarakat bawahan dalam wacana konflik. Sebaliknya ia disampaikan melalui ketajaman pena dan kehalusan kata. Sebagai pembaca, kita jangan mengharapkan pemikiran Allahyarham diterapkan dalam karya-karya berbau penentangan dan kekerasan. Sebaliknya, keadilan dituntut melalui kejernihan akal rasional. Sesekali bila membaca karya-karya Allahyarham sama ada genre puisi, novel mahupun drama pentas, ia akan mengingatkan kita pada Justice is Conflict, karya Stuart Hampshire. Dalam erti kata, sama seperti Hampshire, Usman berpandangan bahawa kejernihan akal rasional dalam memperjuangkan keadilan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat. Oleh itu, karya-karya Allahyarham setia mendukung semangat persahabatan sebagaimana jiwa kemelayuan itu sendiri. Menikam dalam kelembutan kata-kata dan kepetahan bermain bahasa. Seperti yang diungkapkan oleh penulis, Zaen Kasturi, Allahyarham merupakan permata intelektual Melayu yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya. “Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya. Keterpesonaannya tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya. “Jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen. Cintanya tidak mengenal batas. Daripada nelayan dan buruh kasar
sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut dan menusuk,” katanya. Zaen berpendapat, membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah atau terhina akan tegurannya itu. Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri. Oleh hal yang demikian itu, karya-karya Allahyarham akan tetap subur sebagai khazanah bangsa yang begitu berharga. Memang Allahyarham adalah sebutir permata di dalam kesusasteraan tanah air yang sukar dicari ganti. Hari ini, setelah enam tahun pemergiannya, perjuangan dan idealismenya dalam memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan sentiasa hidup dan mekar mewangi. Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata, ‘kekuatan’ utama Allahyarham ialah unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya. Allahyarham dalam beberapa karyanya melontarkan kritikan terhadap kepincangan-kepincangan dalam birokrasi serta terhadap segelintir pemimpin yang tidak jujur. Namun, teguran tersebut dilontarkan dalam kerangka pemikiran Melayu yang sentiasa berlapik dan bersopan. Kehalusan kata sentiasa menjadi keutamaan kepada Allahyarham. “Semangat untuk membela nasib orang Melayu dalam karya-karya Allahyarham cukup kuat. Ia ditulis dalam bahasa yang mudah tetapi memadai untuk menyedarkan semua pihak. “Inilah kelebihan yang ada pada beliau. Dengan bahasa yang mudah, ringkas tetapi padat, karyakaryanya mampu menegur banyak pihak secara halus serta berlapik,” katanya. Di sisi lain, Mohamad Mokhtar berpendapat karya-karya Usman membuktikan Allahyarham berfikiran jauh dalam melihat pelbagai isu khususnya berkaitan dengan masa depan orang Melayu. Kebanyakan isu yang diutarakan tidak hanya menggambarkan situasi semasa. Sebaliknya juga idealisme untuk memajukan orang Melayu pada masa depan. “Pandangan-pandangan seperti ini tidak banyak ditemukan dalam penulis-penulis Melayu yang sezaman dengan Allahyarham. Apa yang diutarakan adalah isu semalam, hari ini dan masa depan.
“Saya rasa ini kekuatan utama dalam karya-karya Allahyarham. Ia membuktikan Usman seorang pengarang yang berpandangan luas meskipun tidak mempunyai pendidikan tinggi,” tambahnya. Pandangan-pandangan Zaen dan Mohamad Mokhtar sebenarnya hanyalah contoh kecil daripada segudang jasa Allahyarham dalam memartabatkan bahasa, sastera dan masa depan orang Melayu sendiri. Bagaimanapun, berapa ramai barangkali antara penyanjung, peminat dan pengagum Usman yang terus mengingati makna sebenar 29 November dalam erti kata `pergi sebutir permata keilmuan Melayu?’ Usman tidak hanya sekadar pengkarya besar yang pernah dilahirkan oleh sebuah negara bernama Malaysia tetapi juga seorang pemikir agung yang merentasi zamannya. Ketika meletus peristiwa permogokan Utusan Melayu pada Oktober 1961, Allahyarham dan temanteman seperjuangan menunjukkan harga diri yang tinggi demi masa depan bahasa dan orang Melayu. Di Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), suara Allahyarham begitu lantang memperjuangkan maruah bahasa Melayu. Begitu juga ketika Peristiwa Keranda 152. Peranannya telah membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan itu. Ketika kampus universiti di negara ini bergolak, Allahyarham turut meletakkan dirinya dalam peristiwa berkenaan. Beliau menunjukkan keprihatinan sebagai seorang manusia yang hidup dan sedar kepada persekitarannya. Kesimpulan ringkas, pengkaryaan dan perjuangan Allahyarham sentiasa dekat dengan dunia nyata, dan di mana perlu menyatakan pendirian melalui tulisan yang beralas tetapi tetap mengesankan. Kini sudah beberapa tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, ketajaman pena dan kehalusan bahasa beliau tidak pernah mengikuti jasadnya. Ia terus subur, sesubur jasanya yang ditabur demi kelangsungan bangsa Melayu dan negara Malaysia.
Prosa Air Mata Mac 19, 2008
Bahawasanya air mata tiadalah ia memilih tempat untuk jatuh… tidak pula memilih waktu untuk menitis… Air mata adalah kepunyaan bersyarikat… dipunyai oleh orang-orang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk oleh tukang sabit yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni-penghuni gedung-gedung yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situ lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka di jiwa yang mereka hidapkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang luar atau yang mereka ketahui hanya senyuman saja, padahal senyum itu penuh dengan kepahitan ~ Usman Awang
Uda Dan Dara ~ Usman Awang Disember 26, 2007
Uda dan dara Bersumpah keramat cinta Wajah seri terukir Berbiduk hilir kasih Uda dan dara Bersanding tak berpelamin Tempat yang berwali Di laut malam saksi Daraku nantikan abang Emas ringgit membakar kita Uda hamba tunggu angin lalu Uda dan dara Bersanding di pusara Nisan yang bersabda Keramat kisah cinta ~ Usman Awang “Berat kupikul sakit kutanggung, ibu, tetapi Dara hanyalah satu tak dapat ditukar ganti, tak dapat dijual beli. Jika begini penanggunganku kerana Dara, maka relalah hamba menerimanya.”
Pahlawan Kemerdekaan ~ Usman Awang Ogos 21, 2007
(Kepada Pahlawan Pahang) PAHLAWAN jika hilangmu tanpa pusara jika pusaramu tanpa nama jika namamu tanpa bunga penjajah mengatakan engkau derhaka maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya Gema seabad silam Inggeris datang meredah Pahang bersama peluru bersama senapang membunuh menangkap setiap pejuang Sungai Semantan berubah merah bukan sarap hilir ke kuala bukan rakit mudik ke hulu arus merahnya menjulang mayat pahlawan bangsa pahlawan rakyat tujuh liang dadanya tersayat Pahlawan! Untukmu derita untukmu penjara bukan bintang tersemat di dada semangatmu api negara berdaulat namamu terukir di jantung rakyat. ~ Usman Awang (Dalam Puisi-puisi Pilihan, DBP)
Salam Benua ~ Usman Awang Ogos 14, 2007
I MEREKA memisahkan kita pasport visa wilayah segala tempoh nama mereka merompak kita dengan undang-undangnya peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya kita dipaksa memilih salah satu dan kita mesti memilihnya tiada jalan lain II Telah saudara pilih senapang dan peluru banyak pemimpin memilih dollarnya untuk ini saudara membasahi baju rumput-merah sungai-merah tangis anak-anak darah rakyat tertindas III Saudara memerah kaktus melumat batu menjadikannya minuman makanan gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya anak-anak kecil menyandang senapang saudara menghitamkan langit menyelubungi saluran minyak setengahnya menyanyi di penjara untuk pembebasan Palestin IV Kami bertatih di sawah semakin kering petani-petani mulai menebang hutan dara permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam ketenangan yang di belakangnya memangkas kami yang sedikit ini sedang belajar
dari tiap pengalaman saudara dan pengalaman sendiri kami memampatkan gerhana bulan mei pada tujuan tempat nusantara ini V Salam tanpa visa pasport golf warna kemanusiaan rakyat seluruh benua Usman Awang 1970
Korban Tanah Air ~ Usman Awang Ogos 10, 2007
Biar dia telah pergi Atau gugur ke persada ibu Yang…takkan kembali Meninggalkan bakti dan jasa Dia hanya seorang mata-mata Atau perajurit yang berbakti Meninggal bingkisan jasa Pada bangsa dan ibu pertiwi Dia gugur di medan perjuangan Di tengah-tengah hutan belantara Atas kuburnya ditabur kembangan Disiram dengan air mata Kekasih yang menuggu dia Putus cinta…bisikan jiwa Usman Awang 1984
Dunia Yang Senyum ~ Usman Awang Ogos 9, 2007
(Surat Buat Khrushchev dan Eisenhower dalam Pertemuan) Siapa pun juga kita, merah atau apa warna, Dan di mana juga berada, mengenal bahagia neraka. Tuan bisa mengeti kerana dunia kepunyaan bersama. Di antara kita dan dunia yang mesti hidup, Ada dua manusia dalam satu denyut, Kuasa yang besar padanya segala terpaut. Keliling kita udara pecahan atom, Kilang-kilang kawah api bukan untuk senyum; Ke mana berlindung bila muntah suaranya meraung? O dengarlah harapan yang banyak ditumpahkan, Suara cinta-damai tebang bersayap membumbung. Jadikanlah senapang itu kecapi dan gitar Petiklah, bukan candit bedit yang pelurunya bergegar. Gantilah bom-bom itu dengan bola mainan anak-anak, Panggillah pemuda dan gadis-gadis menari Di tangan mereka bunga-bunga warna-warni Dunia yang senyum bakal kita miliki. Usman Awang 1959
Pak Utih ~ Usman Awang Ogos 8, 2007
I Punya satu isteri mau dakap sampai mati, Lima anak mau makan setiap hari, Teratak tua digayuti cerita pusaka, Sebidang tanah tandus untuk huma. Kulit tangan tegang berbelulang, Biasa keluarkan peluh berapa saja, O Pak Utih, petani yang berjasa. Tapi malaria senang menjenguk mereka, Meski dalam sembahyang doa berjuta, Dan Mak Utih bisa panggil dukun kampung, Lalu jampi matera serapah berulang-ulang. Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang, Wang dan ayam dara diikat bersilang. II Di kota pemimpin berteriak-teriak, Pilihanraya dan kemerdekaan rakyat, Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat, Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat. Ketika kemenangan bersinar gemilang, Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka, Ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka. Di mana-mana jamuan dan pesta makan, Ayam panggang yang enak di depan, Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran. Pak Utih masih menanti dengan doa, Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar? Usman Awang 1954
Mahkota Cinta ~ Usman Awang Ogos 6, 2007
Ladang kita air mengalir di segala liku tanaman subur menghijau dan rumput-rumput baldu ia datang matanya bintang suaranya lagu membawa khabar mesra salam dari ibu Kucintai tanah ini kerana kami di sini rumah kecil tapi telah didirikan oleh lelaki teguh dan keramat seperti gunung besi ladang tercinta, kubenam hati di sini Tumbuh segala kasih berbuah berbunga ladang comel sekarang milik kita bersama akan lahir manusia baru sudah bernama setia, putera kasih mewarisi mahkota cinta! Usman Awang 1966 ( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )
Suasana ~ Usman Awang Ogos 3, 2007
Seorang perempuan bersamfu hijau dari tingkap dapur rumahnya berteriak dan bertanya sambil membungkus Nien Kau lalu tertawa mengangkat tudung periuk wap panas menjulang harum kanji nasi Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak perempuan berbaju kurung menjawab senyum sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat dan sesekali menyudip serunding di kuali segar selera dicecah baunya yang wangi. Dari kejauhan suara-suara muda yang riang pekikan dan tertawa di antara letupan mercun dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik hati mereka bersalaman dan saling berpelukan atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama. Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan dan dari kedua telaga hati berkocak mesra mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya
Usman Awang 1965 ( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )
Mahasiswa ~ Usman Awang Ogos 2, 2007
Mahasiswa dari kota tanah air bangunlah! angkat matamu dari buku lampaui dinding lampaui tembok semua menunggu mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini sebaris dengan kami para buruh dan petani di jalan sungai besi sederap belajar dari hidup berani
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik atau bersamanya berjalan ke parlimen kerana tenagamu dengan ilmu di dada akan merombak erti hidup sebuah negara.
Usman Awang, September 1961
Cinta Ladang Getah ~ Usman Awang Julai 30, 2007
Jika ladang-ladang getah yang kita tumpahkan kasih ini tiada menerima lagi dan terpisah kita akan membunuh ketakutan, sebab bumi adalah terbentang di mana-mana untuk kita menyemai benih kemanusiaan yang telah ternoda
Tidak ada yang dapat membunuh cinta ini, tidak ada, sebab pembunuhnya telah mati. USMAN AWANG – Antologi Duri & Api
Ibuku ~ Usman Awang Julai 27, 2007
IBUKU mempunyai seribu mimpi Yang dipikulnya tiap hari Sambil menimangku ia pun menyanyi: Timang tinggi-tinggi, Dapur tak berasap, Bila besar nanti, Jangan masuk lokap. Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah. Hatinya selalu teringat Suaminya yang mati melarat Setelah dikerumuni lintah darat Ibuku tangannya kasar berbelulang Mengangkat bata-bata bangunan Wajahnya dibedaki debu berterbangan. Ibu tidak pernah mengenal supermarket Tinggal di bilik sempit Upahnya buruhnya sangat sedikit Ibuku tidak punya TV Tidak berpeluang pula menontonnya Tak pernah mengikuti laporan parlimen Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan Atau pertunjukan masak-masakan Dengan resepi yang sangat menakjubkan Ibuku setiap pagi berulang ke kilang Bekerja dengan tekun hingga ke malam Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam kaburlah mata ibu diselaputi logam Ibuku tidak tahu tentang hak asasi Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur Nama-nama saham yang menjanjikan makmur Atau tentang dasar pandang ke timur, Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur Yang melimpah kanji beras hancur O ibuku sayang Di negerimu kau menumpang. Sesekali kudengar ibu menyanyi Pantun tradisi caranya sendiri: Siakap senohong, Gelama ikan duri, Bercakap bohong, Tak boleh jadi menteri Usman Awang ( Dipetik dari Puisi-puisi pilihan Usman Awang)
Pesan ~ Usman Awang Julai 26, 2007
Jika kau berikan dengan kedua tanganmu yang mengalir dari hati dan kandungan dari ujud rasa yang maha agung akan ku tatang ia di dulang hatiku.
Telah kita tunggu sejak pertama kali hati menguntum tiada terusik oleh segala selisih rasa sebab ia tinggi mengepak di puncak menara dengan kedamaiannya dalam jalinan setangkai senyum.
Bila ia menjelma dengan suaranya memanggil nama bapa bisikkan padanya segala kisah yang tercipta antara ibu dan ayah yang mewujudkan nama setia.
USMAN AWANG – Singapura, Jan 1964 Antologi Duri & Api
Salji Hitam ~ Usman Awang Julai 25, 2007
dedaunan pine di remang bulan merah berjajar mengisi sesak kota bergerak dan bergerak seperti perpohonan di mata macbeth di sini salji lain warna hitam Hitam HITAM warna paling gagah itulah warnanya tidak gugur dari bintang bukan turun dari langit mengalir dari arus sejarah tulang-tulang HITAM membajai ladang-ladang subur amerika makmur salji hitam HITAM hitam sekali warna gaung gema WE SHALL OVERCOME di selatan di utara di mana saja mengusapi luka-luka sejarah nenek-moyang hari ini sekarang ini paling gemilang salji hitam.
~ Usman Awang
Satu Mei ~ Usman Awang Julai 24, 2007
Merekalah menyusun lapis-lapis besi waja Merekalah membina batu-bata Membancuhnya dengan titik peluh – bangunan tinggi itu masih jua meminta lalu diberikanlah nyawanya. Merekalah yang menyedut udara kotor Racun gas itu berbaur di rongga menjalari saraf pernafasannya menghentikan detak jantungnya –segalanya untuk upah beberapa sen cuma. Merekalah membunyikan mesin-mesin kilang debu dan serbuk logam berterbangan hari demi hari berkumpul bersarang di jantung dan paru-parunya –jentera kilang itu masih lagi meminta lalu kudunglah jarinya lalu kudunglah tangannya lalu kudunglah nyawanya segalanya untuk upah beberapa sen cuma. Merekalah menggali perut bumi yang sakit lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati menimbusi membungkus tubuh para pekerja melindunginya dari pemerasan kejam –upah yang diterimanya sekadar beras segenggam. Merekalah mewarisi pusaka zaman seluar sehelai baju bertampal tikar buruk di sudut bangsal tulang selangka dapat dibilang. Mereka kini menyedari kekuatan diri Mengubah wajah sebuah negeri Menukar nama seorang menteri Di matanya api di tangannya besi.
~ Usman Awang
Majlis Amanah Rakyat ~ Usman Awang Julai 23, 2007
Sebuah nama keramat Lahir dari percikan amarah suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya masih menadah tangan menjadi peminta di tanah airnya yang hampir sepuluh tahun merdeka. Bermula di zaman penjajah dikenal dengan RIDA-Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan Suatu bayangan tipis cara Inggeris melonggarkan Kritik tajam rakyat terhadap dasar penjajahan. RIDA yang berdetik pada tahun 1953 Ketika bara nasionalisma marak menyala Tidak mampu menampung ghairah rakyat merdeka Suara Bumiputera yang semakin keras bergema Kemunduran dan kemiskinan yang ketara. Tahun seribu sembilan ratus enam puluh lima Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama Merumuskan segala duka nestapa bangsa Bahawa kita memiliki telaga Mengapa masih memegang talinya Sedang orang mencapai timba Maka segala gaung amarah dileburkan Menjadi sumpah amanah suatu wawasan Pada detik 1966 yang menentukan RIDA pun dikerandakan dalam sejarah Untuk sebuah nama baru yang keramat Majlis Amanah Rakyat Kini lebih 25 tahun telah berdetik MARA mencapai kedewasaan usia Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan
Menilai kembali keberkesanan AMARAH dan Amanah Rakyat yang dipahatkan ~ Usman Awang
Doa ~ Usman Awang Julai 5, 2007
( Khas untuk puteri-puteri TKC ) Jika malam ini tiada bulan tanah Seremban kau masih tetap bercahaya dari sinar mata dan bening wajah pelajar-pelajar dari istana ilmu Kolej Tunku Kurshiah Hari ini manis belajar dari buku dan suara mesra dari guru bersedialah untuk esok yang menunggu kedatanganmu untuk belajar dari hidup mungkin bahaya dari kemuliaan darjat mungkin air mata dan pedih luka Tapi apapun arus gelombangnya berdiri di bawah bendera keberanian di bumi kebenaran kemanusiaan laksana permata yang mengukir kehalusan budi Maha wangi istana ilmu bening ombak sambut dan tirai selendang daulat seorang permaisuri keramat seorang wali semoga dalam rahmat dan lindungan Ilahi… ~ Usman Awang Dedikasi buat puteri-puteri Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.
Beli Buatan Malaysia ~ Usman Awang Julai 4, 2007
Sekiranya kami rakyat negara ini berjanji membeli barangan buatan Malaysia Bagaimana pula anda, Para pemilik para pengarah para pengurus Syarikat-syarikat pengeluar terbesar Malaysia membeli dengan wang yang anda terima dari kami? Kami rakyat bersetuju sekiranya Malaysia ingin maju dan jaya, pekerja kita mendapat pekerjaan dengan gaji selesa maka kami sendiri mesti membeli dan menggunakan barang buatan negara kami Ertinya rakyat jelata senantiasa perlu membayar harga yang agak tinggi untuk mendapat barangan yang kadangkala bermutu tidak tinggi. Maka lebihan yang mesti kami bayar ini membolehkan anda melonggokkan keuntungan besar di samping memperoleh ganjaran yang juga besar. Kami rakyat ingin pula mengetahui Bagaimanakah anda membelanjakan dividen dan pendapatan dari harga mahal yang semuanya datang dari saku kami yang membeli pengeluaran Syarikat anda? Kami ingin bertanya pula Adakah anda juga membeli barang buatan Malaysia? Mari kita mulakan dengan pakaian yang anda pakai Di manakah pakaian itu dijahit? Dan pakaian dalam yang menyaluti bahagian-bahagian penting dan sulit tubuh anda itu
anda beli di mana dan buatan mana? bagaimana dengan pakaian isteri anda? Baju dan pakaian dalamnya yang tentu mahal itu dari jenama apa dan buatan mana? Bagaimana dengan rumah anda? Adakah kerusi meja itu hasil tangan tukang Malaysia? Adakah jubin dan segala perkakas bilik air dan tandas tempat anda melepas itu diimport? Dan putera-putera anda, adakah mereka sedang menuntut di sekolah rendah dan menengah di luar negeri? Bercakap tentang negara kita yang indah ini di manakah anda menghabiskan cuti bersama keluarga? Tentang kekayaan pula, di manakah anda melabur? Cerahlah masa depan anda! Orang-orang seperti anda sangat mementingkan kesihatan Adakah anda mendapat rawatan perubatan di luar negeri? Adakah anda dan keluarga anda dirawat dengan biaya Syarikat? Apakah Syarikat anda menggunakan perkhidmatan jurubina (arkitek) Malaysia atau jurubina asing, dan jurubina tempatan sekadar untuk mendapatkan tandatangan mereka saja? Dan sebagai pelanggan berapakah jumlah yang perlu anda bayar untuk peguam asing? Mungkinkah anda begitu baik hati dan pemurah dengan konsultan asing, tetapi begitu berkira dan kedekut apabila anda mesti membayar konsultan tempatan? Pertanyaan lain yang amat dekat dengan hati nurani saya sebagai penulis, ialah: Pernahkan anda membeli dan membaca buku puisi, cerita pendek dan novel yang ditulis oleh penulis Malaysia? Adakah lukisan yang tergantung di dinding perbadanan, syarikat atau rumah anda itu ciptaan pelukis Malaysia atau salinan daripada pelukis-pelukis asing? Bahasa apakah yang anda gunakan dalam pertuturan sehari-hari?
Pernahkah anda menghadiri teater tempatan atau mendengar majlis pembacaan puisi yang semuanya adalah buatan Malaysia? Saya pasti Syarikat anda akan menyokong derma amal jika ia ditaja oleh para Menteri dan Diplomat. Anda pun cukup berjasa untuk membawa masuk artis asing. Anda sanggup pula membayar meskipun harganya ratusan ringgit bagi sesebuah kerusi untuk menonton dan mendengar lagu-lagu dalam bahasa Itali yang dinyanyikan oleh suara-suara Amerika, meskipun anda tidak mengerti maknanya. Begitu hebat,tetapi berapa pula yang telah anda sumbangkan kepada artis tempatan? Berapa pula kepada penerbitan drama tempatan yang kita namakan buatan Malaysia? Sudah pasti kami memang membeli barang buatan Malaysia Tetapi anda, anda sendiri bagaimana? Adakah anda menyokong dan membeli barang buatan Malaysia atau anda sebenarnya sekumpulan manusia aing yang memilik pasport Malaysia. Usman Awang 1984 ~ Puisi-puisi Pilihan Usman Awang (Edisi Pelajar)
Bunga Popi ~ Usman Awang Jun 15, 2007
Dari darah, dari nanah yang punah di tanah, rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata, hasil manusia gila perang membunuh mesra, bunga merah berkembang indah minta disembah. Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita, kering, bongkok, cacat, tempang dan buta, perang dalam kenangan penuh kengerian, sekarang dalam kepahitan, dalam kesepian. Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih, hilang pergantungan, hilang pencarian, hidup kebuluran, ribuan janda, ribuan kcewa, ribuan sengsara, jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta. Manusia gila perang telah membunuh segala mesra! perang berlangsung mencari untung tanah jajahan! perang berlangsung membunuh anak dalam buaian! perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan! Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan, bunga darah merah menyimbah, penuh kengerian. Kami benci pada perang penuh pembunuhan! kami rindu pada damai sepanjang zaman! Usman Awang 1955
Usman Awang 1955 Sajak ‘Bunga Popi’ itu merupakan nukilan Sasterawan Negara Datuk Usman Awang akan peperangan. Nukilan beliau pada tahun 1955 itu hasil inspirasi daripada pemerhatiannya terhadap pergolakan dunia pada masa itu.
Jiwa Hamba ~ Tongkat Warrant Mei 15, 2007
Menung seketika sunyi sejenak kosong di jiwa tak berpenghuni hidup terasa diperbudak-budak hanya suara melambung tinggi Berpusing roda, beralih masa berbagai neka, hidup di bumi selagi hidup berjiwa hamba pasti tetap terjajah abadi Kalau hidup ingin merdeka takkan tercapai hanya berkata tetapi cuba maju ke muka melempar jauh jiwa hamba Ingatan kembali sepatah kata dari ucapan seorang pemuka di atas robohan Kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka ~ Tongkat Warrant (Usman Awang) ~ Dipetik dari Puisi Baharu Melayu
Kurang Ajar ~ Usman Awang April 21, 2007
Sebuah perkataan yang paling ditakuti Untuk bangsa kita yang pemalu. Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku; Kau harus menjadi manusia kurang ajar Untuk tidak mewarisi malu ayahmu. Lihat petani-petani yang kurang ajar Memiliki tanah dengan caranya Sebelumnya mereka tak punya apa Kerana ajaran malu dari bangsanya. Suatu bangsa tidak menjadi besar Tanpa memiliki sifat kurang ajar ~ Usman Awang
Puisi Pendek Dari Usman Awang April 15, 2007
Keris di atas batu air menjulang buih seribu dagang lalu berapa yang menoleh? ~ Usman Awang
Mereka Telah Bangkit ~ Usman Awang April 11, 2007
Mereka telah bangkit Dari buku yang dibacanya Dari tembok yang melindunginya Dengan bendera dan lilit kepala Mereka telah bersuara Demi bumi tanahair yang subur Demi Islam yang mengajar hidup berani Demi janji yang kini telah dimungkiri Mereka sekarang telah bangkit Di tengah-tengah gelombang zaman Dari keperibadian yang telah tertindas Untuk masa depan warisan keturunan Dari BAHASA lidah zaman hidup kita Kebangkitan ini pancang detik batu-tanda Untuk pelaksanaan SATU BAHASA Yang berdaulat menyinar mutiara ~ Usman Awang
Gadis Dan Ayat Suci ~ Usman Awang April 1, 2007
Suara yang manis dalam bisik daun-daun Beralun lagu Tuhan di sayap angin malam Redup menyusup di bawah langit bertirai sepi Gadis tetangga (simpatiku pada matanya yang buta) Dari sinar hatinya membaca ayat-ayat suci Awan-awan berderetan dalam arakan sejarahnya Di mana lagu dan suara menjangkau pula Semakin tinggi, meninggi tak tercapai mata Disaputnya langit di atas awan berarak Gema merdu meresap mengocak ke bintang terserak Lalu melayah menurun mengusap puncak gunung Melayang manis mencapai bukit-bukit gundul Menurun lagi merendah mencecah hujung pucuk-pucuk Dari ranum dalam kembang-kembang segar senyum Ah, merendah pula ia meratai bumi Tanahair Semakin malam lagu Tuhan dari bibir syurga (Gadis buta melanjutkan khatam bulan puasa) Membawa para malaikat menjengah dada manusia Hidup yang damai dari keyakinan dan cinta Berdetiklah di hati, meski manusia paling ganas sekali Suara yang manis dalam bisik daun-daun Gadis cacat dan ayat suci beralun Meski tidak melihat, malah itulah pula Kesuciannnya syurga hidup perdamaian manusia Berdetiklah di hati, meski manusia paling ganas sekali ~Usman Awang
Thaurah Palestin ~ Usman Awang Mac 26, 2007
Saudaraku Rakyat Palestin Semangatmu lebih waja dari kereta kebal Israel Genggaman tanganmu lebih kuat dari bom Zionis Kau berikan cakrawala baru Thaurah Palestin Dengarkan di mana-mana suara menjawabnya Perjuangan berani yang tak terkalahkan Suara rakyat sejagat mengutuk penindasmu Lihat jutaan mata terbuka sudah Siapa tulang belakang menjulang kekejaman Yang membunuh anak-anakmu Saudaraku Rakyat Palestin Tiba-tiba airmata jadi bara Tiba-tiba anak-anak jadi dewasa Tiba-tiba bilik kuliah jadi api Senjata musuh sekadar dapat mematikan Tetapi tidak berhasil membunuh semangat kepahlawanan Penjara musuh sekadar memagari insan Tetapi tidak dapat menahan gema menjerit keberanian Yang dijawab oleh jutaan suara kebenaran Semuanya dengan satu slogan Mara Palestin Thaurah Palestin Karya : Allahyarham Datuk Usman Awang
Ke Makam Bonda ~ Usman Awang Mac 24, 2007
Kami mengunjungi pusara bonda Sunyi pagi disinari suria Wangi berseri puspa kemboja Menyambut kami mewakili bonda Tegak kami di makam sepi Lalang-lalang tinggi berdiri Dua nisan terkapar mati Hanya papan dimakan bumi Dalam kenangan kami melihat Mesra kasih bonda menatap Sedang lena dalam rahap Dua tangan kaku berdakap Bibir bonda bersih lesu Pernah dulu mengucupi dahiku Kini kurasakan kasihnya lagi Meski jauh dibatasi bumi Nisan batu kami tegakkan Tiada lagi lalang memanjang Ada doa kami pohonkan Air mawar kami siramkan Senyum kemboja mengantar kami Meninggalkan makam sepi sendiri Damailah bonda dalam pengabadian Insan kerdil mengadap Tuhan Begitu bakti kami berikan Tiada sama bonda melahirkan Kasih bonda tiada sempadan Kemuncak murni kemuliaan insan ~Usman Awang
Mata Ayah ~ Usman Awang Mac 15, 2007
Kujabat mesra tangan ayah Urat-urat daging-daging tua keras terasa Mataku tersenyum, matanya menyapa Anak yang pulang disambut mesra. Tapi matanya, mata yang menatapku Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu. Kelibat senyum matanya masih jua ramah Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang Memintaku pulang menikmati beras baru. Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah merasakan kepedihan yang tercermin di mata Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia. ~Usman Awang
Dari Bintang Ke Bintang ~ Usman Awang Mac 8, 2007
Ketika mata saling menyapa senyum berbunga Tasik hati mu mencecah jiwaku mesra Betapa debar dada kurnia alam kasih bertakhta Kau datang tanpa suara, menjamahku tanpa sabda Subur laksana ladang petani di lereng gunung Ranum menguntum dalam wujud rasa maha agung Mata yang memberi hati ini penuh menanti Kureguk kasih menghadapi hidup seluruh berani Kini kulihat kepalamu tersandar di jinjang pelamin Rambutmu tersanggul terandam mengilau di cahaya lilin Gemersik kainmu membisikkan bahagia malam pengantin Melimpah tumpah bahagia dalam tawa teman keliling Ketika malam kulihat matamu pada bintang Senyummu melambai di gemilang sinar bulan Dari bintang ke bintang kunantikan lagumu Hanya kerdipan dalam bisu suara hatiku bimbang Jika aku berdiri di muka jendela hati terluka Bulan sedang mengintai di balik awan kusapa Angin yang datang dari pelaminmu kutanya Ia bisa mengabarkan saat adinda sedang bahagia ( 1960 – Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara, DBP 1991)
Guru O Guru Mac 6, 2007
Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang Berburu ke padang datar Dapat rusa belang kaki Berguru kepala ajar Ibarat bunga kembang tak jadi (dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) Dialah pemberi paling setia Tiap akar ilmu miliknya Pelita dan lampu segala Untuk manusia sebelum jadi dewasa. Dialah ibu dialah bapa juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat. Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca. Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu Dia adalah guru mewakili seribu buku; Semakin terpencil duduknya di ceruk desa Semakin bererti tugasnya kepada negara. Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat Menjadi kenangan ke akhir hayat. USMAN AWANG 1979
Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya ~ Usman Awang Mac 5, 2007
Beringin tua di pinggir jalan raya di sebuah ibu kota yang setengah muda ratusan tahun usianya berdiri menadah matari memayungi bumi burung-burung berterbangan menyanyi di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya anak-anak bermain di keteduhan perdunya. Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang geregasi teknologi menyerangnya dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi sehingga terdengarlah jeritan ngeri suara Beringin rebah ke bumi. Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan: Selamat tinggal, selamat tinggal wahai awan Selamat tinggal matari selamat tinggal bulan Selamat tinggal kupu-kupu sayang Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang Selamat tinggal anak-anak bermain riang. Namaku Beringin pohon tua yang terbuang dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.
Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini ~ Usman Awang Februari 28, 2007
Dalam keruncingan manusia bimbang curiga terbanglah ia menjelajahi dunia putih sayapnya melambai cinta damai bersih bulunya mengibar panji hidup bersama Merpati putih, jelajahlah dunia ini hembuskanlah udara baru yang kau hirup dari malam bunga-bunga mekar menguntum bibir-bibir segar tersenyum Siapa manusia yang tiada ptus ada hiruplah udara baru yang segar berkembang isilah dunia ini dengan keyakinan perdamaian hembuskan nafas pada malam yang lena Siapa manusia yang pernah berkhianat jadilah debu yang terbang mengakhiri hayat duniamu tenggelam bersama patung-patung usang di cermin hidup ini wajahmu telah menghilang ~ Usman Awang
Penjual Air Batu ~ Usman Awang Februari 14, 2007
Pelan-pelan di pinggir jalan kota, Penjual air batu suaranya ditelan deru kereta, Ia bisa ditulikan dengan pekikan hon-hon, Tuan-tuan yang terganggu bisa pula menghamun. Undang-undang ialah suatu kekuasaan, Yang biasanya untuk orang-orang bawahan, Dan berseraklah orang-orang pakaian seragam, Memburu tangkapan yang ‘melanggar aturan’. Anak-anak di bawah kolong, perutnya kosong, Ah’ ayah belum pulang, manakah dia? Isteri menanti dengan hati separuh bingung, Tunggulah, betapa ia pulang jua. (Sampai gelap merangkak menghampiri, Penjual air batu belum pulang lagi) Tapi berapa kali tangkapan terjadi, Ia usahakan untuk berjual mencari rezeki. Bilakah ruang keadilan memberi isi, Para penjaja dalam hayatnya wajah berseri? Bila nanti undang-undang jadi perlindungan, Semua manusia tanpa kasta menerima keadilan ~ Usman Awang
Jentayu Yang Luka ~Usman Awang Februari 12, 2007
Untuk Wan Azizah) Tiba-tiba dia bangkit Dengan kelembutan yang tetap sopan Berdiri di barisan paling hadapan Sebagai pahlawan keadilan Lama dulu wajahnya tersembunyi Di belakang pemimpin berani sang suami Mengintip dengan mata kecilnya Segala tingkah dan senyuman pura-pura Si pengampu yang bermuka dua Si penyembah yang berjiwa hamba Si pengemis segenggam laba Dia adalah jentayu yang luka Terbang mengepak menyonsong gumpalan awan Mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan Mencabar dunia yang semakin kejam. ~Usman Awang ~ditujukan puisi ini kepada Wan Azizah.
Kekasih ~ Usman Awang Februari 8, 2007
Akan kupintal buih-buih menjadi tali mengikatmu akan kuanyam gelombang-gelombang menjadi hamparan ranjang tidurmu akan kutenun awan-gemawan menjadi selendang menudungi rambutmu akan kujahit bayu gunung menjadi baju pakaian malammu akan kupetik bintang timur menjadi kerongsang menyinari dadamu akan kujolok bulan gerhana menjadi lampu menyuluhi rindu akan kurebahkan matari menjadi laut malammu menghirup sakar madumu Kekasih, hitunglah mimpi yang membunuh realiti dengan syurga ilusi. ~Usman Awang
Duri dan Api Februari 7, 2007
Kawan-kawanku yang dikasihi semalam kita bertemu kembali memadu ketika matari tersangkut di bumbung Utusan kita tidak menerima apa yang ada yang dinyanyikan dari hati berani dengan tangan erat pada keyakinan terpahat. Lagu kita telah mulai terpancar ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar di luar udara basah dalam matari bersinar semua antara kita lagunya seluruh sedar. Apakah ini derita diri dalam mimpi atau kenyataan pahit menjepit pada lena yang membunuh kehidupan manusia sama-sama kita rangkul menguji diri. Kawan-kawanku yang dikasihi di belakang duri di depan api kita tidak bisa undur lagi duri dan api, tajam panasnya kita hadapi. Semalam dan hari ini kita diukir sejarah di mana air mata tidak akan menitik tumpah sebab kebulatan ikrar tak akan berubah apa saja kita tidak akan menyerah. Oleh: Usman Awang. (Catatan pertama Pemogokan Utusan Melayu) 1961
Gadis Kecil Februari 6, 2007
Tubuh itu mengingatkan daku sebatang pinang di desa sepi kurus dan tinggi ketika ribut besar pohon sekitarnya rebah terkapar dan pohon pinang tegak menanti sinar matari pagi Demikianlah gadis kecil itu kurus seperti sebatang pinang bertahun berulang-alik melalui penjara kawat duri menemui ayahnya yang bertahun pula sendiri menentang tiap penderitaan tabah dan beriman. Gadis kecil itu mengagumkan daku tenang dan senyuman yang agung dengan sopan menolak pemberianku ‘saya tak perlu wang, pak cik, cukuplah kertas dan buku.’ Usianya terlalu muda Jiwanya didewasakan oleh pengalaman tidak semua orang mencapai kekuatan demikian ketabahan yang unik, mempesonakan. Bila aku menyatakan simpati dan dukaku rasa pilu terhadapnya sekali lagi dia tersenyum dan berkata: ‘jangan sedih, pak cik, tabahkan hati banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.’ Aku jadi terpaku dia, si gadis kecil itu menenteramkan mengawal ombak emosiku jangan sedih melihat derita pahitnya.
Alangkah malunya hati seorang lelaki dewas yang mahu membela manusia derita terpenjara menerima nasihat supaya tabah dan berani, dari anak penghuni penjara sendiri? Sepuluh anak seperti dia akan menghapuskan erti seribu penjara. ~Usman Awang
Selamat Hari Lahir Februari 6, 2007
SAUDARA ANWAR IBRAHIM (Selamat Hari Lahir) Palu telah dijatuhkan Lama sebelum tanganmu terikat ke belakang Kau gegar aras kayangan Kekuasaan yang mula tergoncang Sekali tanganmu terancung ke udara Sejuta teriakan menyambutnya Sekali suaramu terpancar ke angkasa Sejuta gelombang gema menyahutnya Demi sumpah perjuangan Demi maruah keadilan Tabah dan gagah Tidak pernah menyerah. Demi sumpah perjuangan Demi maruah keadilan Tabah dan gagah Tidak pernah menyerah. ~Usman Awang
Melayu – Usman Awang Februari 1, 2007
Melayu itu orang yang bijaksana Nakalnya bersulam jenaka Budi bahasanya tidak terkira Kurang ajarnya tetap santun Jika menipu pun masih bersopan Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu berani jika bersalah Kecut takut kerana benar, Janji simpan di perut Selalu pecah di mulut, Biar mati adat Jangan mati anak. Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya: Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu Malah mua’alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu) Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan Melorongkan jalur sejarah zaman Begitu luas daerah sempadan Sayangnya kini segala kehilangan Melayu itu kaya falsafahnya Kias kata bidal pusaka Akar budi bersulamkan daya Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak Terlalu ghairah pesta temasya Sedangkan kampung telah tergadai Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual Meski telah memiliki telaga Tangan masih memegang tali Sedang orang mencapai timba. Berbuahlah pisang tiga kali Melayu itu masih bermimpi Walaupun sudah mengenal universiti Masih berdagang di rumah sendiri. Berkelahi cara Melayu Menikam dengan pantun Menyanggah dengan senyum Marahnya dengan diam Merendah bukan menyembah Meninggi bukan melonjak. Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Tapi jika marah tak nampak telinga Musuh dicari ke lubang cacing Tak dapat tanduk telinga dijinjing Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan Berdamai cara Melayu indah sekali Silaturrahim hati yang murni Maaf diungkap senantiasa bersahut Tangan diulur sentiasa bersambut Luka pun tidak lagi berparut Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan Selagi yang ada sanggup diberikan Sehingga tercipta sebuah kiasan: “Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan Kera di hutan disusu-susukan Anak di pangkuan mati kebuluran” Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu Masihkan tunduk tersipu-sipu? Jangan takut melanggar pantang Jika pantang menghalang kemajuan; Jangan segan menentang larangan Jika yakin kepada kebenaran; Jangan malu mengucapkan keyakinan Jika percaya kepada keadilan. Jadilah bangsa yang bijaksana Memegang tali memegang timba Memiliki ekonomi mencipta budaya Menjadi tuan di negara Merdeka ~ Usman Awang