Latihan 1-Soalan Pemahaman Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya. Selaku Ketua Kampung Paya Dalam, Tuk Mat sering mengingatkan anak-anak buahnya agar sentiasa berwaspada. Beliau berasa bimbang kalau-kalau kejadian pecah rumah akan berlaku di kampungnya. Suatu hari, Tuk Mat mengadakan mesyuarat tergempar dengan memanggil penduduk kampung ke rumahnya untuk membincangkan cara terbaik bagi mengatasi masalah kejadian pecah rumah di kampung itu. "Tuk Ketua, saya mencadangkan rondaan diadakan pada waktu malam secara berkumpulan, " kata Pak Jusoh. “Saya menyokong saranan Pak Jusoh, Tuk, ” ujar Pak Mail. Tuk Mat menganggukkan kepalanya. Semua yang hadir pada malam itu turut bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh Pak Jusoh. Penduduk Kampung Paya Dalam akan membuat rondaan mengikut jadual yang ditetapkan. Langkah itu mula diadakan pada minggu yang berikutnya. Mereka akur akan keputusan yang ditetapkan oleh ketua mereka. Selang beberapa malam, penduduk Kampung Paya Dalam digemparkan oleh suatu kejadian ganjil. Kanak-kanak yang pulang daripada mengaji telah terserempak dengan lembaga hitam berkepala anjing. Penduduk kampung, terutama kaum wanita dan kanak-kanak mulai takut hendak keluar malam. Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak mematahkan semangat Tuk Mat dan anak buahnya untuk meneruskan rondaan. Suatu malam, hujan turun dengan lebat. Namun, Tuk Mat dan anak buahnya membuat rondaan seperti biasa. Tepat pada pukul 2.00 pagi, mereka melihat sebuah perahu terdampar di pantai Kampung Paya Dalam. Tiga orang lelaki dengan gerak-geri yang mencurigakan melangkah tergesa-gesa meninggalkan perahu itu menuju ke Kampung Paya Dalam. Tuk Mat dan anak buahnya berjaya memberkas ketiga-tiga lelaki berkenaan. Setelah disoal siasat, ruparupanya merekalah yang selama ini menjalankan kegiatan pecah rumah di Kampung Kaki Bukit dan menakut-nakutkan penduduk Kampung Paya Dalam. Ketiga-tiga penjenayah itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke muka pengadilan.
1.Mengapakah Ketua Kampung Paya Dalam sering mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada setiap masa ? A Terdapat lembaga hitam berkeliaran di kampung itu pada waktu malam. B Kemungkinan akan berlaku kejadian pecah rumah di kampung itu. C Kampung itu sering didatangi oleh orang yang mencurigakan. D Ada penduduk yang telah terserempak dengan lembaga hitam berkepala anjing.
2.Apakah langkah yang diambil oleh penduduk Kampung Paya Dalam untuk menangani masalah kemungkinan berlakunya kejadian pecah rumah di kampung itu ? A Melaporkan perkara itu kepada pihak polis. B Mengadakan kawalan pada waktu malam. C Membuat jadual rondaan. D Menangkap orang yang bersalah. 3. Di manakah kejadian pecah rumah telah berlaku ? A Di rumah Ketua Kampung Paya Dalam. B Di Kampung Kaki Bukit. C Di Kampung Paya Dalam. D Di pantai Kampung Paya Dalam. 4.Rangkai kata mematahkan semangat dalam petikan bermaksud A mengalahkan kuasa. B membuat keputusan. C mengalihkan pendapat. D mengalahkan kemahuan. 5.Apakah kesalahan ketiga-tiga orang lelaki yang diberkas oleh Tuk Mat dan anak buahnya ? A Menjalankan kegiatan menyamun. B Menjalankan kegiatan pecah rumah. C Menjalankan kegiatan menakut-nakutkan penduduk kampung. D Menjalankan kegiatan pecah rumah dan menakut-nakutkan penduduk kampung.
Latihan 2- Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya. Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung, 54300 Kuantan, Pahang Darul Makmur. _________________________________________________________________________ Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan, 54400 Kuantan, Pahang Darul Makmur. 7JULAI2012 Tuan, Aduan Tentang Kerja-Kerja Pemungutan Sampah Perkara di atas dirujuki. 2. Untuk makluman pihak tuan, kami tidak berpuas hati dengan jadual kutipan sampah sekarang. Dahulu sampah dipungut tiga kali seminggu, iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Jumaat, tetapi sekarang sampah hanya dipungut dua kali seminggu. Adakalanya sampah hanya dipungut sekali seminggu sahaja. 3. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa penduduk di sini kerana bau busuk daripada sampah yang tidak dikutip itu. Suasana seperti ini bertambah teruk apabila terdapat anjing dan kucing liar yang menyelongkar sampah sarap ini. 4. Lori sampah juga selalu datang pada waktu petang. Pada waktu ini banyak kanak-kanak beriadah di halaman rumah. Hal ini membahayakan mereka. 5. Kami berharap agar pihak tuan memandang serius masalah ini. Sekian dimaklumkan, terima kasih. Yang menjalankan tugas,
Mazlan (MAZLAN ABU BAKAR)
1. Mengapakah surat ini ditulis? A Untuk menjelaskan keadaan sampah yang berbau busuk. B Untuk membuat aduan tentang pemungutan sampah. C Untuk membuat aduan tentang anjing liar yang berkeliaran. D Untuk meminta penjelasan tentang jadual lori sampah. 2. Perkataan beriadah dalam petikan di atas membawa maksud A bersenam B bersembang C berkumpul D beristirehat 3. Pada pendapat kamu, siapakah Mazlan Abu Bakar? A Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung B Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Seri Tanjung C Pengarah Bahagian Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kuantan D Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan 4. Harapan penulis daripada aduan ini adalah agar A lori sampah datang pada waktu malam. B anjing dan kucing liar dapat ditangkap dengan segera. C masalah penduduk mendapat perhatian pihak terbabit. D sampah dapat dikutip setiap hari. 5. Semua pernyataan berikut benar, kecuali A Persatuan penduduk mahu sampah dikutip setiap hari. B Lori sampah yang datang pada sebelah petang tidak disenangi penduduk. C Masalah bau sampah terjadi setelah lori sampah hanya datang dua kali seminggu. D Kadang-kadang lori sampah hanya datang seminggu sekali.
Latihan 3- Baca dan garis kata nama khas yang terdapat dalam ayat-ayat di bawah ini. 1.
Aliza telah membeli sepasang kasut Alfio Raldo.
2.
Sekolah itu telah banyak melahirkan pelajar cemerlang.
3.
Puisi yang telah dibaca oleh Shakila adalah tentang masalah alam sekitar.
4.
Mardiana telah diserahkan kepada keluarga angkatnya ketika dia berusia tiga hari.
5.
Laporan itu perlu dihantar kepada gurunya untuk disemak.
6.
Semua murid dikehendaki duduk di tempat masing-masing kecuali budak yang besar itu.
7.
Permohonan itu akan diurus oleh Jabatan Kewangan.
8.
Anak-anak muda itu tabah menghadapi cabaran hidup.
9.
Barangan seramik yang bermutu tinggi itu adalah hasil ciptaan Suki.
10.
Mereka bersatu menghadapi serangan musuh.
11.
Ah Seng terduduk sejenak setelah mendengar berita itu.
12.
Permaidani Korea itu terbentang di ruang tamu.
13.
Pak Mustaffa tidak terbuat kerja yang berat itu.
14.
Ibu bapa mereka baru sampai dari Sarawak.
15.
Kelas tambahan akan diadakan pada setiap hari Sabtu.