SEPANJANG JALAN KE KEMBOJA 2014 Minah Sintian Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan Email:
[email protected] Chum-reap-sur, kenyum cemur Minah. Kenyum chia Sabah, Malasi. Sewaktu pengerusi Kelab Staf FBK, Dr. Mazura mengumumkan lawatan akademik ke Kemboja pada 14-17 Februari 2014, saya segera mendaftarkan diri. Takut terlepas. Tanggal 14 Februari 2014, pesawat AK1472 Airasia pun melayangkan sayapnya ke bumi Kemboja. Dari atas pesawat, sebelum mendarat ke bumi Phnom Penh, Cambodia International Airport, kelihatan petak-petak sawah padi yang baru selesai dituai terbentang luas. Tanggapan pertama saya tentang negara Kemboja ialah negara ini merupakan salah sebuah negara pengeluar padi yang terbesar di dunia. Dataran Tasik Tonle Sap dikatakan sangat subur dan merupakan pusat agraria terkenal di Angkor, Kemboja pada kurun ke-12. Selain itu, deretan pokok seolah-olah spesies
palma yang tumbuh merata di atas
permatang sawah padi juga menarik perhatian dan menjadi tanda tanya saya.
Pokok yang menjadi perhatian pertama penulis semasa berada dalam perut pesawat
1
Sesampainya di lapangan terbang Phnom Penh, rombongan kami dipandu oleh pemandu pelancong berbangsa Cham yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu iaitu En. Rahman. Beliau membawa kami untuk bersarapan sebelum meneruskan lawatan ke tempat yang telah ditentukan. Sambil tersengih-sengih, beliau mengatakan bahawa beras Kemboja sangat sedap dan mungkin lebih sedap daripada beras di Malaysia. Saya terdengar suara-suara protes daripada ahli rombongan di belakang. Namun kenyataan beliau terbukti tepat apabila kami menjamah sarapan nasi lemak dan makan tengah hari di Mamark Corner Restaurant. Rasanya, tanpa lauk pun saya mampu menghabiskan dua piring nasi. Mungkinkah beras Kemboja itu enak lantaran limpahan air sungai Mekong bercampur dengan air tawar dari Tasik Tonle Sap yang mengairi sawah petani Kemboja? Selepas sarapan, kami dibawa melawat ke Cheung Ek Killing Field sementara menunggu check in di Holiday Villa Hotel. Sebelum lawatan ke Killing Field, En. Rahman terlebih dahulu memohon maaf kepada kami. Menurut beliau, pelawat-pelawat sepatutnya dihidangkan dengan acara-acara meriah atau sekurang-kurangnya dibawa melawat ke tempattempat yang menarik pada hari pertama ketibaan mereka namun di Kemboja terutama di kawasan Phnom Penh, acara sebaliknya pula dilakukan. Di Cheung Ek Killing Field, kami dikisahkan berkaitan dengan peristiwa pembunuhan sadis terhadap golongan lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi berbangsa Khmer di bawah rejim Khmer Rouge.
Tugu peringatan Cheung Ek Killing Field
2
Mereka dibunuh secara beramai-ramai di kawasan itu semasa pemerintahan rejim Pol Pot atau nama sebenarnya Solath Sar yang lahir pada tahun 1925 di provinsi Kampong Thom. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1975. Pokok-pokok yang merimbun menjadi saksi setia pembunuhan itu. Sebatang pokok sebesar dua pemeluk lelaki dewasa dan mempunyai lubang ternganga masih menyimpan rahsia pembunuhan sadis itu. Menurut En. Rahman, pada lubang kayu itulah kepala mangsa dimasukkan dan dibantai sehingga nyawa bercerai dengan jasadnya tanpa mengira jantina dan usia. Bayi yang tidak tahu apa-apa juga kepalanya dimasukkan ke dalam lubang itu. Ketika ditanya rasional membunuh mangsa dengan cara memasukkan kepala mereka pada lubang kayu itu, En. Rahman mengatakan supaya suara mangsa tidak didengari oleh penduduk lain yang masih tinggal di kawasan itu.
Lubang kayu tempat kepala bayi disumbat
Di Killing Field, kelihatan beberapa lubang besar yang tidak dalam (lebih kurang 1 meter) bertaburan di kawasan itu. Pada lubang itulah mangsa-mangsa dihumban beramai-ramai selepas dibantai. Terdapat sebuah pondok yang ditimbuni pakaian bayi dibina di kawasan itu. Terasa sebak di dada melihat pakaian bayi yang hanya terdiri daripada kain plain berwarna biru terpamer dalam pondok itu. Jika bayi itu masih hidup sehingga kini, usia mereka mungkin lebih kurang 40 tahun. Anehnya, di Killing Field, pokok-pokok tumbuh dengan subur meskipun musim kemarau di Kemboja pada ketika itu. Pokok spesies palma yang dikenali sebagai pokok kelapa laut atau nama botaninya lodoicea maldivica tumbuh dengan subur di situ. Terjawablah 3
tanda tanya saya sewaktu berada dalam perut pesawat. Buah kelapa laut yang tumbuh di kawasan Killing Field telah menjadi sumber rezeki penduduk kampung di sekitar kawasan itu. Kelihatan seorang wanita sekitar 30-an sedang mengait buah kelapa laut. Menurut pemandu pelancong, buah kelapa laut itu akan dijual. Air kelapa laut sangat laris dijual pada musim panas. Kelihatan beberapa peniaga di kawasan itu sedang menjual air kelapa laut. Peristiwa ngeri, zalim dan sadis yang berlaku di kawasan itu bukan menjadi penghalang untuk mendapatkan rezeki jikalau hendak meneruskan hidup. Bak kata En. Rahman, Killing Field merupakan punca pendapatan negara Kemboja. Sungguh ironi. Saya teringat semasa zaman kanak-kanak, kami akan menjauhkan diri dari kawasan perkuburan. Meskipun di kawasan itu terdapat pokok buah-buahan seperti jambu batu, buah tarap1, nangka, dan langsat, kami tidak tergiur untuk mengambilnya. Dalam masyarakat Kadazandusun tradisional, kawasan perkuburan merupakan kawasan yang patut dijauhi kecuali masa pengkebumian kerana dipercayai boleh mendatangkan penyakit. Keluar dari Killing Field, kami dibawa melawat Tuol Sleng Museum. Muzium ini merupakan bekas bangunan sekolah tinggi di bandar Phnom Penh sekitar tahun 1960-an. Jika dilihat dari luar, bangunan ini seperti bangunan biasa. Ciri-cirinya menepati bangunan sekolah yang mempunyai kawasan lapang untuk perhimpunan pelajar dan guru-guru. Istimewanya tempat ini sehingga diangkat menjadi sebuah muzium yang terkenal sebagai pusat pelancongan dan sumber pendapatan negara Kemboja (sebagai mana yang dikatakan oleh pemandu pelancong) kerana bangunan ini pernah dijadikan pusat tahanan pemuda-pemudi intelektual Khmer yang dituduh mengkhianati parti atau revolusi. Zaman pemerintahan rejim Pol Pot telah mengambil bangunan sekolah itu yang sepatutnya dijadikan sebagai pusat pembentukan dan pengembangan ilmu pelajar yang bekal menjadi pemimpin negara. Sebaliknya, golongan intelektual telah disumbat ke dalam bangunan ini untuk melalui proses penyiasatan, penyiksaan dan eksekusi. Beberapa buah bilik tahanan berukiran 1 meter x 2.5 meter dalam bilik darjah berjaya menarik perhatian saya. Binaannya sangat hodoh dan mengerikan.
Dari sebuah
bangunan tempat pelajar menimba ilmu pengetahuan dan bersosialisasi berubah menjadi bilik tahanan untuk mengorek kesalahan mangsa (dari tiada kesalahan menjadi bersalah). Akhirnya, tahanan itu akan meninggal selepas melalui beberapa fasa penyiksaan yang zalim dan mengaibkan. 1
Nama saintifiknya artocarpus odoratissimus. Pokok ini banyak terdapat di kawasan Borneo seperti Sabah, Sarawak, Kalimantan Timur dan Brunei.
4
Bangunan sekolah yang pernah dijadikan penjara Hari kedua tanggal 15 Februari bersamaan hari Sabtu, kami memulakan misi utama lawatan kami ke bumi Kemboja iaitu melawat sekolah angkat Upsi di Phum Pray Bis. Masyarakat yang tinggal di situ ialah masyarakat Cham yang beragama Islam dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu terutama golongan tua. Perjalanan dengan bas yang disewa khas mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Sepanjang perjalanan kelihatan gerai-gerai di kiri kanan jalan berdebu yang sedang dilebarkan. Bumi Kemboja di sebelah selatan merupakan dataran tanah pamah yang sangat luas. Meskipun jalan rayanya lurus namun agak sesak kerana hanya mempunyai jalan dua hala sahaja. Selain itu, pemerintah Kemboja belum menekankan peraturan penggunaan jalan raya kepada penggunanya. Kenderaan boleh dipandu di loronglorong yang mereka suka. Tidak dapat dikenal pasti siapa salah kerana seolah-olah mereka semua merupakan pengguna yang betul. Jika anda penumpang yang duduk di kerusi paling hadapan, anda harus sentiasa menekan brek (jika anda diberi brek). Dalam keadaan jalan raya yang tidak bersistem itu, tidak pula saya nampak kemalangan berlaku. Kalaulah keadaan ini berlaku di negara kita pada masa ini, dengan sikap pemandu yang miskin dengan kesabaran, saya pasti tidak kurang daripada seratus orang akan terbunuh setiap hari terutama kepada pemandu 5
motor dan penumpangnya (tiga sehingga lima orang ) yang tak menggunakan topi keledar dan pemandu ‘tut-tut’ bersama-sama dengan penumpangnya. Saya masih melihat penggunapengguna jalan raya di Kemboja mempunyai sikap toleransi yang tinggi. Saya kurang mendengar bunyi hon kenderaan kecuali hon dari bas yang kami naiki yang sentiasa membunyikan hon dengan purata dua kali seminit (mungkin menjaga para wisata yang menjadi sumberi ekonomi negaranya). Lebih kurang jam 11.00 tengah hari, kami akhirnya sampai ke sekolah angkat UPSI. Kanak-kanak seperti sudah sedia maklum akan kehadiran kami telah pun berkumpul menyambut kami di tepi jalan raya. Wajah ceria yang terpancar pada kulit hitam manis mereka, mengalualukan kedatangan kami. Or-gkun cheran (terima kasih banyak).
Kanak-kanak menyambut ketibaan rombongan kami
Beberapa penduduk kampung tengah memasak sewaktu kami sampai. Saya difahamkan mereka menyembelih seekor lembu untuk disantap bersama dengan ahli rombongan. Amalan bergotongroyong masih sangat erat diamalkan oleh penduduk kampung. Masak-memasak lebih banyak dilakukan oleh para bapa. Para ibu menyediakan bahan-bahan untuk dimasak di sebuah dewan yang tidak berdinding namun berlantaikan tiles. Murid-murid yang menyambut kami sebentar 6
tadi telah pun berada dalam bilik darjah. Guru mereka sedang mengajar membaca beberapa ayat dalam bahasa Melayu. Pada ketika itu terdapat tiga bilik darjah yang sempit memuatkan lebih kurang sepuluh sehingga lima belas orang murid. Purata usia murid adalah antara enam sehingga lapan belas tahun. Saya sempat meluangkan masa mengajar menyanyi lagu bahasa Melayu berjudul ‘Sayang Keluarga’ dalam kelas yang mempunyai murid berusia sekitar tujuh sehingga 14 tahun. Murid-murid sangat teruja mendapatkan ilmu baharu daripada para pensyarah dan dua orang guru pelatih. Para pensyarah dan guru pelatih juga kelihatan begitu teruja mencurahkan sedikit ilmu dalam kesempatan yang singkat itu. Murid-murid dengan setia dan sabar belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selama lebih kurang tiga jam. Mereka kelihatan sungguh seronok belajar bersama tenaga pengajar yang baharu mereka temui disamping tarikan ganjaran yang sangat minimal seperti gula-gula, coklat dan wang bernilai 500 -2000 riel (30 sen – RM1.50) dalam bentuk wang kertas. Para murid kelihatan cerdik, aktif dan ceria. Sekiranya mereka diberi kesempatan belajar dalam keadaan kelas yang kondusif dan sistemetik, saya percaya mereka boleh menjadi bangsa Khmer yang mampu memajukan negara setanding dengan negara-negara lain yang telah maju ke hadapan.
Rombongan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
7
Selepas sesi membahagikan wang dan peralatan menulis kepada para murid serta gaji kepada tenaga pengajar bangsa Cham, kami pun bertolak ke Kampong
Phon Tual untuk
mengagihkan derma berupa beras seberat 5 kg untuk penduduk yang puratanya hidup di bawah paras kemisikinan. Namun adakah di negeri Sabah, Malaysia juga tidak ada yang hidup seperti itu? Saya pasti masih terlalu ramai yang hidup melarat di negeri Sabah. Mereka dipinggirkan daripada menikmati pembangunan meskipun telah 50 tahun merdeka. Bezanya, kebanyakan masyarakat peribumi di negeri Sabah hidup di kawasan pedalaman yang sukar dijenguk oleh pemimpin masyarakat sehingga mereka dilupakan. Sepanjang jalan menuju ke Kampung Phon Tual, kelihatan sawah padi di kiri kanan jalan kampung yang tidak berturap dan penuh debu di musim kemarau. Pokok-pokok kelapa laut jelas kelihatan di atas permatang dan tepi sawah di sini. Atap rumah penduduk kampung yang kami lawati itu masih banyak diperbuat daripada atap daun palma.
Perkampungan Phon Tual
Kami menyerahkan beras menggunakan komunikasi nonverbal sahaja kerana masing-masing tidak memahami bahasa. Perkara yang menarik perhatian saya sepanjang berada di kampung ini ialah masyarakatnya masih kuat dengan amalan nilai kolektif iaitu tolong-menolong. Di salah 8
sebuah rumah yang kami lawati, beberapa orang wanita sedang membuat mee tradisional. Saya mengambil kesempatan mencuba menumbuk beras yang telah direndam untuk dijadikan tepung. Mereka menggunakan lesung dan alu yang diperbuat daripada kayu. Saya juga mencuba menggiling beras yang telah direndam dalam sebuah batu pengisar. Kerja itu kelihatan mudah namun apabila dilakukan, ianya tidak semudah yang disangkakan. Contohnya, sewaktu saya mencuba mengisar beras, pengisar batu itu hampir terpelanting. Rupa-rupanya bukan kekuatan yang diperlukan tetapi seseorang itu perlu menguasai kemahiran selain daripada sifat sabar dan kelemah-lembutan. Masa untuk menyiapkan kerja ini mungkin mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan hasilnya namun mereka tidak mempunyai pilihan. Untuk mendapatkan hasil perlu bersusah-susah dahulu. Saya difahamkan bahawa kebanyakan masyarakat Khmer jarang atau tidak pernah makan di restoran. Saya tidak hairan kerana harga makanan di restoran di Kemboja sangat mahal. Nasi lemak sahaja berharga USD3 dan sebungkus nasi ‘lok-lok’ yang kami tengah hari sebelum menaiki pesawat balik ke Malaysia berharga USD5. Sewaktu meronda Central Market dan Russian Market di Phnom Penh
pun, kebanyakan peniaga membawa
bekalan dari rumah. Hari ketiga bersamaan 16 Februari, kami diberi kebebasan membelah-belah di dua buah pusat membeli belah iaitu Central Market dan Russian Market. Saya gembira datang ke sini bukan kerana tarikan barang-barangnya semata-mata tetapi saya lebih berminat memerhati gelagat manusia. Pelbagai karenah manusia dapat dilihat di kawasan ini. Dari karenah para peniaga, pelanggan sehinggalah karenah pemandu motor dan ‘tut-tut’. Saya tidak melihat peminta sedekah berkeliaran di sini. Peniaga-peniaga juga tidak memaksa pelanggan terutama para pelancong untuk membeli barang mereka sebagaimana di Indonesia. Sekiranya kita tidak membeli barangan mereka, tidak ada maki hamun dihamburkan sebagaimana saya terima di beberapa tempat pelancongan di negara kita. Anda boleh bebas memilih tanpa rasa terancam namun saya rasa sikap pelanggan juga memainkan peranan penting apabila membeli. Janganlah terlalu cerewat, dan kasar. Senyumlah dan berundinglah dengan cara bijak dan sopan, pasti anda tidak kecewa untuk mendapatkan barang yang anda kehendaki. Pada sebelah petang lebih kurang jam 5, kami dihiburkan dengan menaiki bot menyusuri Sg. Tonle Sap yang bertembung dengan Sg. Mekong. Bagi saya, perkara menarik sepanjang sungai bukannya terletak pada kemegahan kawasan Royal Palace dan Chrouy Changvar
9
Peninsular tetapi petempatan penduduk Kemboja yang tinggal di bot-bot dan mengusahakan pertanian di tebing sungai.
Senja yang mempersona sepanjang menyusuri sungai Mekong
Mereka tidak ubah seperti salah satu masyarakat Orang Laut yang tinggal dalam bot di perairan laut di Sempurna, Sabah. Bezanya, Orang Laut tidak mengusahakan pertanian di tepi pantai yang gersang. Hasil tanaman penduduk Kemboja yang tinggal di sepanjang sungai itu kelihatan subur menghijau meskipun musim kemarau. Kelihatan beberapa orang anak muda sedang bermain bola tampar di sekeliling tanaman mereka. Saya rasa pemandangan itu sungguh syahdu. Ibu-ibu dengan bersahaja memandikan anak-anak menggunakan air sungai yang kelihatan kotor dan saya tidak mahu membayangkan lagi perkara yang mereka lakukan dengan air itu selanjutnya.
10
Rombongan bersantai di dalam bot menikmati pemandangan indah sepanjang sungai Tonle Sap / Sg. Mekong Malam itu, buat kali keduanya saya memasang televisyen dalam bilik penginapan. Saya bukan ingin sangat menonton tetapi ingin mendengar bahasa Khmer apatah lagi malam ini adalah malam terakhir saya berada di bumi Kemboja. Jauh-jauh datang ke Kemboja, eloklah mendengar bahasa mereka. Televisyen itu menyiarkan lagu-lagu karaoke dalam bahasa Khmer. Lagu-lagunya kedengaran senada sahaja seperti lagu-lagu zaman P.Ramle (atau mungkin lagu P. Ramle jauh lebih advance dengan pelbagai melodi rancak dan melankoliknya) dan lagu-lagu Kadazandusun dalam RTM rangkaian biru di negeri Sabah yang selalu saya dengar pada tahun 60-an. Video klip yang mengiringi lagu-lagu itu memaparkan muda-mudi Khmer yang sopansantun dengan pakaiannya dan gerak tarinya. Tangan dihayun dengan lemah gemalai ke kiri dan ke kanan seperti penari wanita suku kaum Iban di Sarawak yang sedang mempersembahkan tarian ngajat dengan diiringi oleh alat muzik sape. Video klip itu juga menarik perhatian saya apabila pelakunya seorang gadis yang cantik berbadan tinggi lampai, berbaju ‘t’ putih, berseluar jeans dan berkasut tumit tinggi sedang mengheret luggage berjenamanya di tepi jalan raya berlatarkan sawah padi dengan seekor kerbau sedang meragut rumput. Teka sendiri apa yang bermain dalam fikiran saya. Masih adakah video klip seperti itu di Malaysia? Video klip lagu11
lagu Kadazandusun yang didendangkan oleh penyanyinya pada masa kini pun, telah disesuaikan tema lagu dengan latar tempatnya. Malam itu juga, rakan sebilik saya menjemput seorang tukang urut datang ke bilik kami. Wanita berusia sekitar dua puluh lima tahun itu kelihatan muram. Saya rasa wajahnya agak cantik jika mendung kelabu berlalu di wajahnya. Badannya tinggi lampai. Rata-rata wanita Kemboja mempunyai badan yang langsing. Meskipun bahasa Inggerisnya sepatah-sepatah namun kami masih dapat memahami maksudnya dengan bantuan gerak badannya. Saya tidak pasti apa yang bagusnya dalam diri kami sehinggakan wanita itu sanggup mencurahkan isi hatinya berkaitan keluarganya. Mungkin kerana sewaktu mengurut rakan saya, telefon bimbitnya berbunyi. Dia berbual dengan seseorang lebih kurang seminit. Menurutnya, yang menelefonnya sebentar tadi ialah kakaknya yang tinggal di provinsi sebelah utara Kemboja. Dia juga memperlihatkan gambar anak dan kakaknya pada skrin telefon bimbitnya. Perjalanan ke kampungnya mengambil masa lebih kurang enam jam. Dia jarang balik kerana bekerja. Anak lelakinya yang berusia enam tahun dijaga oleh kakaknya yang juga berkeluarga. Dia telah diceraikan oleh suaminya yang telah berkahwin dengan gadis lain sewaktu anaknya masih kecil. Lantaran kesempitan hidup, dia telah datang ke Bandar Phnom Penh untuk bekerja sebagai tukang urut. Dia juga mengadu sakit di bahagian pinggangnya. Sewaktu mengurut saya, saya rasakan dia kehilangan fokusnya. Mungkin trauma rumah tangganya masih menggoncang jiwanya atau fizikalnya tidak sihat pada ketika itu. Selepas mengurut kami lebih kurang dua jam, dia pun balik. Saya hanya sempat berpesan agar dia pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Semoga USD20 itu mampu membayar rawatannya. Sekembalinya wanita itu, rakan saya telahpun tidur dengan lena sementara saya masih lagi menghayati lagu-lagu Khmer yang senada itu. 17 Februari bersamaan Isnin merupakan hari terakhir kami berada di bumi Kemboja. Pesawat kami akan bertolak pada jam 4.45 petang. Kami diberi kebebasan meninjau sekitar Phnom Penh sehingga pukul 12.30 tengah hari. Saya sekali lagi meninjau Central Market dengan berjalan kaki. Central Market terletak lebih kurang 5 minit dari penginapan kami. Keadaan jalan raya yang kurang sistematik menyebabkan pergerakan agak lambat kerana amalan pandang kiri dan ke kanan, kemudian pandang semula ke kiri di Negara kita kurang berkesan untuk diamalkan di Kemboja. Saya rasa perlu sentiasa pandang ke kiri dan ke kanan, ke kanan dan ke kiri berulang-ulang kali sehingga berjaya melintas jalan kerana kereta, ‘tut-tut’ dan motor boleh 12
muncul di mana-mana sahaja. Lampu isyarat tidak dipatuhi terutama oleh kenderaan kecil seperti motor dan ‘tut-tut’. Kereta yang besar dan berjenama mungkin agak segan melanggar mereka. Jika kita berada di Malaysia, wayar-wayar elektrik mungkin agak kurang atau tidak langsung kelihatan di kawasan bandar besar, namun di ibu negara Kemboja, wayar-wayar bergantungan seperti di kampung-kampung masih kelihatan menghiasi bandarnya. Sepanjang berlegar-legar di Central Market, tidak pula saya menemui peminta sedekah menghulurkan bekas. Ironinya di Kuala Lumpur, terdapat ramai peminta sedekah rakyat Kemboja dan warganegara asing yang lain. Saya agak perasaan bahawa ramai penduduk di sini tidak memiliki telefon bimbit. Sepanjang perjalanan rombongan kami ke Phum Pray Bis pun, saya tidak ternampak muda-mudi memegang telefon bimbit. Di sekolah angkat UPSI pun, ibu bapa yang datang juga tak bertelefon. Di sepanjang jalan ke Central Market , saya tidak melihat pemandu ‘tut-tut’ dan motor bertelefon. Alangkah amannya jika keadaan ini berlaku di Malaysia. Tidak perlulah pejalan kaki yang sibuk bertelefon diingatkan dengan bunyi hon kereta. Kita juga tidak perlu mendengar perbualan orang yang agak kuat bertelefon di dalam bas, di perhentian bas atau di mana-mana sahaja. Suara mereka seolah-olah hendak memberitahu semua orang tentang perkara yang hendak dikatakan dan seolah-olah menganggap orang lain tidak memiliki telefon kecuali mereka. Sepanjang berada di bumi Kemboja juga, saya jarang melihat wanita dan lelaki yang berusia sekitar 58 hingga 70 tahun. Kemanakah mereka? Merekakah yang telah menjadi mangsa kezaliman dan pembunuhan sadis semasa pemerintahan rejim Khmer Rouge dan Pol Pot? Sepanjang jalan ke Kemboja, banyak memberikan pengalaman bernilai kepada saya terutama rasa cinta kepada negara dan bersyukur kepada kepada para pemimpin kita yang berusaha menjadi nahkoda kapal yang sentiasa mempastikan haluannya tepat ke pelabuhan yang dituju meskipun berhadapan dengan tiupan badai. Kita masih jauh lebih baik daripada rakyat Kemboja yang melalui zaman gelap di bawah pemerintahan bangsa yang sama, mengamalkan budaya yang sama malah mempunyai kepercayaan yang sama. Rakyat Kemboja masih memerlukan masa lebih kurang dua puluh tahun lagi untuk membangunkan negaranya. Saya percaya peristiwa-peristiwa ngeri tahun 1975 sehingga 1979 menjadikan rakyat Kemboja lebih berdikari, rajin, dan kreatif. Satu lagi perkara yang saya agak perasaan sepanjang bersama dengan En. Rahman selaku pemandu pelancong ialah beliau berulang-ulang kali mengucapkan kalimat ‘raja kami’. Bagaimanakah dengan rakyat Malaysia? Berapa kalikah kita menyebut kalimat itu yang keluar dari lubuk hati yang paling ikhlas? Or-gkun, chum reap lia. 13
14