Hubungan Pasangan (HP) 1. Sesangkar dua burung. Seorang beristeri dua disimpannya dalam sebuah rumah. 2. Biar berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersuka sama paras, bertimbang sama berat. Perihal keadilan seorang beristeri dua tidak berlebih berkurang di antara keduanya; barang sebagainya. Yakni jangan dilebihkan seorang daripada yang seorang. 3. Laksana kasihkan bunga seceper terbuang sekaki. Sebab kasihkan yang ramai tiada dapat terpeliharakan yang seorang. 4. Dia sudah berpatah arang. Orang itu sudah bercerai talak tiga, atau bercerai tidak berbalik lagi. 5. Buruk perahu buruk pangkalan. Seorang yang telah bercerai dengan isterinya tiadalah ia hendak melihat rumahnya pun. 6. Potong hidung rosak muka. Serba salah oleh kecederaan yang jadi daripada seorang yang kasihi atau anak isteri. 7. Kasih tidak bersekutu dengan bijak. Hati yang kasih itu tidak memilih tempat yang dikasihinya jika tiada patut atau layak atau yang bahaya sekalipun pada fikiran orang yang bijaksana dan penilik. (ataupun bila hati telah suka akan sesuatu itu tiadalah nampak pada mata apa-apa kecacatannya. 8. Seperti buah si malakamo, dimakan mati mak tak dimakan mati bapa. 9. Digengam takit mati, dilepaskan takut terbang. 10. Hendak ditelan termengkelan, hendak diluahkan tiada keluar. Keadaan yang serba salah, umpama sesuatu perolehan yang kita dapati dan kita kasihi (benda atau perempuan) tetapi ada cacat di dalamnya. 11. Umpama buah kepayang dimakan mabuk dibuang sayang. Umpama seorang perempuan yang elok rupanya, tetapi jahat pekertinya, dibuang sayang kerana keelokannya, tiada dibuang sakit hati kerana kejahatannya. 12. Bergantung tiada bertali bersalai tiada berapi. 13. Diapit tidak bersanggit ditambat tidak bertali. Seorang perempuan yang ditinggalkan oelh suaminya dengan tiada diberi belanja tetapi tiada pula diceraikannya. 14. Hendak ditelan termengkelan, hendak diluah tiada keluar.
15. Sayang buah kepayang dimakan mabuk dibuang sayang. Seorang kekasih atau isteri yang melaku kejahatan, padahal kita terlalu kasih akan dia, jadi serba salahdibuang hati terlekat kasih, tak dibuang hati sakit. 16. Ayam berlaga sekandang. Berkelahi dengan orang serumah. 17. Kasih itu roh (semangat) yang buta. Kasih itu tidak memilih yang baik atau molek sahaja-seorang yang kasih akan seorang itu tidak nampak ia apa jua cacat orang yang dikasihinya itu. 18. Kain lama dicampak buang, kain baharu pula dicari. Seorang yang bercerai dengan isterinya kerana jemu lalu beristeri lain pula. 19. Jauh berbau harum, dekat berbau kencing. Jauh berkasih-kasihan, dekat berbantah-bantahan. 20. Bunga dipetik perdu ditendang./ 21. Bunga dipersunting pangkalnya dikencing. 1. Orang yang kasih akan isterinya tetapi benci akan mentuanya. 2. Seseorang yang suka akan sesuatu hak orang tetapi benci akan tuannya-(demikian jugalah erti bidal yang terdahulu itu). 22. Bunga dipersunting itu sudahnya akan layu. Tiada sama kasih yang telah lama daripada yang baharu kahwin; ataupun sesuatu yang dipakai itu akan buruk. 23. Umpama bunga sedap dipakai, layu dibuang. Tiap-tiap kasih itu ada jua benci dalamnya pada suatu masa oleh sesuatu sebab yang mendatang. 24. Seperti embun dihujung rumput. Kasih tidak tetap, lambat bangat akan hilang jua 25. Makan hati berulam rasa. Seorang selalu memberi percintaan kepada seorang, terutama seorang suami yang jahat kepada isterinya. Atau kedukaan seorang isteri yang kasih akan suaminya yang jahat laku. 26. Anak kunci jahat, peti derhaka. Kejahatan seorang suami itu kelak menyebabkan isterinya melawan dia.
27. Tak usah bimbang gula di dalam mulut, bila hendak telan, telan. Sesuatu yang telah di dalam milik kita itu apa yang disusahkan lagi bila suka boleh digunakan. 28. Seperti anjing dengan kucing. Selalu berbantah (kerap pada orang laki bini yang tiada bersetuju). 29. Berjauhan bau harum, berdekatan bau hancing. Peri perangai setengah orang yang berlaki bini, masa berjauh-jauhan si laki pergi musafir umpamanya merasa kasih seorang akan seorang, akan tetapi bila balik berbantah selalu keduanya. 30. Timur beralih ke sebelah barat. Lelaki menurut perintah perempuan. 31. Berkemudi di haluan bergilir ke buritan. Bapa yang menurut rundingan anaknya;atau suami yang menurut perintah isterinya. 32. Bagai layang-layang putus terajunya, atau talinya. Orang yang berkasih-kasih itu apabila ada sesuatu kecederaan menguranglah kasihnya itu. 33. Nasi’ basi penolak nafsu. Putus kasih oleh lama-kelamaan, atau ada sesuatu kecederaan , dan juga seperti seorang tua tiada siapa yang ingin akan dia lagi. 34. Sama lebur sama binasa. Bersama-sama tahan menanggung kesusahan. 35. Berkuah sama menghirup bersambal sama mencolek. Apa yang ada bersama-samalah, jika banyak sama banyak jika sedikit sama sedikit. 36. Terlentang bersama menadah embun tiarap sama memakan pasir. Susah senang bersama-sama. 37. Seduit dibelah tujuh sirih sehelai dicabik-cabik. Tanda muafakat itu berbahagia sama dalam tiap-tiap perolehan. 38. Bertukar jiwa dengan semangat. Dua orang berkasih-kasih itu sama menyimpan hati keduanya. 39. Berjarak serasa hilang bercerai serasa mati Perihal seorang yang rindu kerana penceraian dengan kekasihnya atau orang yang dikasihinya.
40. Hitam mata itu takkan boleh ebrcerai dengan putihnya. Dua orang yang berkasih-kasihan itu tiada dapat dipercerai-beraikan. 41. Pecah kapi putus suai. Apabila telah bercerailah seseorang putuslah kasih antara keduanya. 42. Bunyi semacam kumbang menyeri bunga. Bunti tuturan yang lemah lembut di antara laki-laki dengan perempuan pingitan, antara kedengaran dengan tidak. 43. Bertemu birah dengan keladi. Berpadanlah kedua-dua orang jahat itu (laki-laki dengan perempuannya). 44. Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang. Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan. 45. Ada wang abang saya, tak ada wang abang payah. Kasih sayang hanya memandang harta benda. 46. Ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang. Kasih sayang hanya memandang harta benda. 47. Anak baik, menantu molek. Sangat berbahagia. 48. Anak kunci jahat, peti penderhaka. Suami yang jahat, lambat-laun akan ditentang oleh isterinya. 49. Angus (hangus) tiada berapi, karam tiada berair. Menderita kesusahan kerana kematian atau kehilangan kekasih. 50. Bagai dakwat dengan kertas. Tak pernah bercerai, sangat cocok. 51. Bagai ilak bercerai dengan benang. Bercerai untuk selama-lamanya. Ilak= ukuran untuk menentukan lebar kain yang akan ditenun. 52. Bagai kucing takut akan balur. Lelaki yang takut kepada perempuan. 53. Bakar tak berapi. Cinta tidak dengan sebenarnya;cinta dengan diam-diam.
54. Balam dua sesangkar. Seorang perempuan dicintai oleh dua orang lelaki. 55. Bergantung sehasta tali./ 56. Bergantung tidak bertali Hal seseorang yang menjadi gundik tidak sah atau yang telah ditinggalkan suaminya tetapi belum talak. 57. Berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati. Sangat rindu;sangat berkasih-kasihan. 58. Berkemudi di haluan, bergilir ke buritan. Orang yang menurut nasihat atau perintah anaknya (isterinya, orang sebawahannya dsb.) 59. Bersunting bunga keduduk : berdiri tak sama tinggi, duduk tak sama rendah. Suami isteri yang tidak sama derajat (darjat) keturunannya. 60. Bertepuk sebelah tangan, bersiul sambil menganga. Cinta kasih yang hanya datang daripada sebelah pihak saja. 61. Berteras ke hujung dahan. Suami yang tunduk di bawah perintah suami. 62. Bertongkat tebu. Berjalan bersama-sama isterinya atau kekasihnya. 63. Biang menanti tembak. Suami isteri yang hampir bercerai;perkara yang hampir putus,biang = hampir tembus. 64. Bulan mengambang dikandung awan. Lelaki yang merindukan seorang perempuan, dan perempuan itu telah diambil oleh orang lain. 65. Buruk perahu buruk pangkalan. Tak mahu lagi menginjak rumah isterinya atau tempat bekerja yang telah ditinggalkan. 66. Diapit tidak bersanggit, ditambah tidak bertali. Perempuan yang tidak dipelihara oleh suaminya;tapi tidak pula diceraikannya; hidup di luar nikah. Sanggit = geser, gosok. 67. Di belakang ia menendang kita, bila di depan ia mengeting kita, jika di tengah ia berpusing ligat pula. Menghadapi seseorang yang kita kasihi, yang menyebabkan kita menjadi serba-salah. Mengeting = memotong urat keting.
68. Gelang tidak laga sebentuk, laga keduanya. Cinta kasih mestilah datang daripada kedua-dua pihak. 69. Gajah seekor gembala dua. Sesuatu pekerjaan dikepalai oleh dua orang; dua orang lelaki mencintai seorang perempuan. 70. Genting putus, biang tembak. Perkara yang sudah putus dan tidak dapat diubah lagi, suami isteri yang sudah bercerai. 71. Gantung tak bertali, salai tak berapi. Isteri yang ditinggalkan suaminya tanpa diceraikan dan tanpa nafkah hidupnya. 72. Hitam mata itu takkan boleh bercerai dengan putihnya. Orang yang sedang berkasih-kasihan tak dapat dipisahkan satu sama lain. 73. Hidup sandar menyandar umpama aur dengan tebing. Suami isteri yang berkasih-kasihan;sahabat yang setia dan bertolong-tolongan. 74. Ibarat dawat (dakwat) dengan kertas : bila boleh renggang terlepas. Suami isteri yang berkasih-kasihan. 75. Ibarat bunga : sedap dipakai layu dibuang. Perempuan yang dikasihi sementara muda, tetapi setelah tua lalu diceraikan. Sedap = maksudnya : segar. 76. Janda belum berlaki. Gadis yang sudah ditinggalkan oleh lelaki yang menjadi kekasihnya. 77. Jangan berkemudi di haluan. Jangan terlalu sangat mengikut kata isteri. 78. Jatuh di atas tilam. Beruntung kerana mendapat pangkat, isteri yang kaya dsb. 79. Kerana cenderawasih, merak mas (emas) dilepaskan. Sesudah mendapat kekasih baru, kekasih lama dilepaskan. 80. Kasih sepantun tulisan pinggan. Kasih yang tak hilang-hilang. 81. Kasih tidak bersekutu dengan bijak. Apabila hati telah kasih, maka hilanglah cacat-celanya.
82. Kelimpanan mata dek pengelan. Dikecewakan oleh orang yang diharapkan. Kelimpanan = kelilipan; mata kemasukan debu atau sebagainya; pengelan = galah buat menjolok buah-buahan. 83. Laksana kumbang menyeri bunga, kumbang pun terbang bunga pun layu. Lelaki yang mempermain-mainkan perempuan, ia pergi perempuan itu pun merana. 84. Lapuk oleh kain sehelai. Beristeri atau bersuami hanya seorang saja, tidak bercerai-cerai dan tidak diduakan. 85. Lecah di kaki. Seorang lelaki yang kahwin tanpa ada tanggungjawab, melainkan sebagai orang menumpang saja. 86. Mata satu pertemuan, mata dua penceraian. Kasih yang tidak berbelah bagi akan mengekalkan kerukunan hidup suami isteri, sedangkan kasih yang berbelah bagi akan mengakibatkan penceraian. 87. Mengadu air dengan garam. Suami yang lebih mengasihi isterinya yang muda daripada yang tua, tetapi syarat-syarat untuk menyatakan kasihnya itu tidak ada padanya. Mengadu = mencampur. 88. Muat tebu di haluan, muat halia di buritan. Waktu berdepan berkasih-kasihan, bila di belakang berdengki-dengkian. 89. Padi selumbung dimakan orang banyak. Fikiran isteri daripada seorang suami yang beristeri dua tiga. 90. Puntung sekerat, penyiar rimba. Orang yang banyak anaknya. Siar = bakar. 91. Putus timba tinggal tali, putus tali tinggal timba. Perempuan yang kematian suaminya atau seseorang yang berpisah daripada sahabat yang diharapkan olehnya. 92. Rumah gedang ketirisan. Perempuan yang tidak membawa bahagia kepada suaminya. Ketirisan = kebocoran. 93. Sayang buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang. Keadaan yang serba salah dalam menghadapi kekasih atau isteri yang curang. 94. Sebagai aur dengan tebing. Suami isteri yang sangat berkasih-kasihan; persahabatan yang sangat karib.
95. Segar dipakai layu dibuang. Selagi perempuan itu muda dan cantik dicintai dan disayangi, tetapi setelah tua ditinggalkan. 96. Seperti embun di hujung rumput. Kasih sayang yang lekas hilang. 97. Seperti hulam (ulam) dengan sambal. Tentang perhubungan lelaki dan perempuan yang sama-sama jahat. 98. Seperti kemi lekat di ikan. Pasangan kekasih (suami isteri) yang tidak dapat dipisahkan. 99. Seperti kuang (= kuar) memekik di puncak gunung. Orang yang sedang bercinta dengan kekasihnya, perempuan yang bercakap dengan suara yang kuat. 100. Seperti pungguk merindukan bulan. Dalam percintaan (lelaki merindukan perempuan). 101. Seperti puyuh, mahu yang betina daripada yang jantan. Suami yang hanya mengharapkan pencarian isterinya. 102. Tanam tiada berbenih, tumbuh tiada bermata. Anak yang dilahirkan di luar nikah. 103. Tangguk lerak dengan bingkainya. Suami isteri yang kekal sampai tua. Lerak = rosak bercerai-berai. 104. Tangguk rapat, keruntung bobos. Suami pandai mencari wang, isterinya pemboros. 105. Telaga di bawah gunung. Perempuan yang membawa untung dan bahagia kepada suaminya. 106. Terlindung oleh sanggul. Suami yang selalu menurut kata isteri. 107. Termakan (di)cirit berendang. Di bawah kuasa isteri cirit = ampas. 108.
Tidak dapat diungkit dengan besi hangat.
Dua orang yang amat berkasih-kasihan yang tidak dapat dipisahkan.
109.
Umpama bunga, sedap dipakai, layu dibuang.
Kasih sayang sementara disukai, sudah bosan lalu dibuang. 110. Jangan berkemudi di haluan. Jangan tertakluk di bawah perintahan bini, atau perempuan. 111. Seperti cincin dengan permatanya. Ibaratnya berpatutan dua orang laki isteri yang sama elok keduanya. 112. Manis laksana gula serawa. Keadaan yang sangat molek dipandang yang membawa terlekat di hati. 113. Bagai tanduk bersendi gading. Rupa yang sangat berpatutan di antara keduanya. 114. Bagai susu dengan sakar dibuat tengguli. Pertemuan yang sangat padan di antara kedua bersama elok. 115. Badan sudah dua senyawa. Berkasih sayang kedua laki isteri hendak bersama hidup bersama mati. 116. Terlentang bersama menadah embun, tiarap bersama memakan pasir. Senang susah bersama-sama. 117. Ibarat dakwat dengan kertas bila boleh renggang terlepas. Peri kedampingan dua orang berkasih-kasihan, terutama laki isteri. 118. Asam di darat garam di laut lagi bertemu. Walau berapa jauh sekalipun di antara seorang lelaki dan seorang perempuan itu jika ada jodoh pertemuannya akan bersatu juga. 119. Mata satu pertemuan, mata dua penceraian. 1. Makna bidal-Perempuan yang tunggal kasihnya kepada suaminya itu membawa perkekalan kepada suaminya itu; dan perempuan yang menduakan suaminya itu membawa pada penceraian. 2. Makna teka-teki-Jarum matanya satu menghubungkan dua keping kain menjadi sehelai, gunting matanya dua mengerat sehelai kain menjadi dua bercerai-cerai. 120. Ditatang seperti minyak yang penuh. Dipeliharakan dengan sangat kasih sayang dan sempurnanya, tiada diberi sesuatu cacat cedera.
121. 122. 123.
Bagai isi dengan kuku, atau kuku dengan isi. Bagai hempedu lekat di hati. Seperti labah-labah kasih sayang akan telurnya.
Peri kasih yang amat sangat sehingga tiada bercerai. 124.
Seperti si mandul baharu beranak.
Seseorang yang terlalu mengasihi akan seseorang. 125.
Seperti dua senyawa.
Sangat berkasih-kasih berdua laki isteri. 126.
Seperti belangkas.
Tidak bercerai, ke mana pergi pun bersama-sama. 127.
Seperti kuku dengan isi.
Sangat berkasih-kasihan di antara dua orang. 128.
Minum air serasa duri.
Hal orang yang dalam percintaan dan kesusahan. 129.
Karam di laut dapat ditimba, karam di hati sedih sekali.
Orang yang dalam kesusahan sebab kematian kekasihnya itu putuslah segala pengharapannya. 130.
Putus tali dapat dihubung patah arang bercerai lalu.
Bercerai hidup itu adakalanya dapat bertemu pula jika bercerai mati hilanglah sekali. 131.
Seperti pinang dibelah dua.
Orang yang dua serupa atau anak yang serupa seperti bapa atau ibunya;ataupun sebarang benda yang dua serupa.