PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011 Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin © Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm
Prof. Dr. H. Mahmud Yunus: Tokoh Mujaddid dari Minangkabau Eficandara Masril, Mohd. Nasran Mohamad, Muhammad Adib Samsudin & Anwar Fakhri Omar Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor
Abstrak: Sebagai seorang ulama yang berasal dari Minangkabau, Mahmud Yunus telah mengabdi dan melakukan pelbagai peranan dan aktiviti dalam rangka perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia. Karya-karya yang dihasilkan beliau hampir menyamai dengan karya ulama-ulama lainnya, seperti; Buya Hamka, Hasan Bandung dan sebagainya. Namun demikian, kepopularan dan ketokohan Mahmud Yunus belumlah sebanding dengan ulama-ulama tersebut. Objektif kajian difokuskan untuk mengetahui dan mengenalpasti profil Mahmud Yunus serta untuk memaparkan, menonjolkan, dan menganalisis ketokohan dan sumbangan beliau terhadap perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia. Kajian ini merupakan kajian kualitatif. Data utama diperoleh daripada karya-karya/buku-buku Mahmud Yunus, sedangkan data sokongan terdiri daripada buku-buku serta sumber lainnya yang bersesuaian, kemudian dianalisis dengan teknik analisis kandungan (content analysis) melalui kaedah deskriptif, analitis dan perbandingan. Selain itu, data juga diperoleh dari pelbagai informan melalui temu bual (indepth interview), kemudian dianalisis, ditelaah dan dibentangkan dalam bentuk laporan yang bersifat deskriptif. Adapun hasil kajian menunjukkan bahawa Mahmud Yunus ialah seorang tokoh mujaddid di Indonesia yang berasal dari Minangkabau, terutama dalam bidang pendidikan. Hal ini terlihat daripada biodata, aktiviti dan pengiktirafan ulama lain kepada beliau. Ketokohan dan sumbangan Mahmud Yunus sebagai seorang “pendidik sejati” terhadap bangsa dan negara Indonesia cukuplah strategis dan amat bernilai. Hal ini terlihat daripada peranan, kapisiti dan pengalaman antarabangsa beliau. Begitu juga, banyak antara idea, pemikiran dan karya-karya beliau yang masih diamalkan, digunakan dan dijadikan sebagai rujukan dan referensi oleh umat Islam di Indonesia. Baik dalam bidang pendidikan, bahasa Arab dan metod pembelajarannya, tafsir mahupun dalam bidang fiqh/hukum Islam. Kajian ini amat penting ertinya untuk dijadikan acuan dan pedoman dalam memajukan Islam dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Indonesia, baik pada masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang.
PENGENALAN Pada abad ke-20M, menurut H. Hamidi B. Husain et al. (2007), roh perjuangan dan idealisme tokoh mujaddid dunia, seperti Syed Jamaluddin al-Afghani (1839-1897M), Syeikh Muhammad Abduh (18491905M) dan Syed Muhammad Rashid Rida (18651935M) dalam menggerakkan ummah yang kehilangan kebebasan untuk tegak berdiri membela maruah, telah melahirkan tokoh-tokoh tempatan yang disegani kawan dan lawan. Misalnya ‘Abd alQadir al-Maghribi di Syria (1867-1956M), Mahmud Shaltut (1893-1963M) di Mesir dan juga di Malaysia, Syekh Tahir Jalaluddin (1869-1957M). Mereka telah mencurah bakti untuk Islam, mengasuh generasi penerus perjuangan, berjuang membina tapak yang kukuh ke arah pembangunan semula tamadun Islam yang moden yang disegani dan maju. Kebangkitan pembaharuan Islam (tajdid) dalam pelbagai aspeknya, juga berlaku di Indonesia. Menurut Mafri Amir (2008) seruan pembaharuan pada awal abad ke-20M ini dipelopori oleh sejumlah putera Minangkabau yang baru kembali dari tanah suci Makkah. Mereka ialah murid-murid dari Syekh Ahmad Khatib al-Minangkabawi (1860-1916M).
Antara mereka ialah Syekh H. Muhammad Djamil Djambek (1862-1947M), Syekh H. Muhammad Thaib Umar (1874-1920M), Syekh H. Abdullah Ahmad (1878-1933M), Syekh H. Abdul Karim Amrullah (biasa dikenal dengan Haji Rasul, 18791945M), dan ulama-ulama lainnya. Mereka ini di Minangkabau popular dengan sebutan dengan Kaum Muda (Reformis). Di samping ketika itu ada juga yang disebut dengan Kaum Tua (Tradisional), seperti; Syekh Khatib Ali (1863-1936M), Syekh Sulaiman Ar-Rasuli (1871-1970M), Syekh Muhammad Djamil Jaho (1875-1941M) dan lainnya. Begitu juga di Pulau Jawa idea-idea pembaharuan dibawa dan dikembangkan oleh KH. Ahmad Dahlan (pelopor pertubuhan Muhammadiyah) dan KH. Hasyim Asy’ari (pelopor pertubuhan Nahdhatul Ulama/NU). Kedua-duanya juga murid dari Syekh Ahmad Khatib al-Minangkabawi. Ulama-ulama di atas, sekarang ini popular di Indonesia sebagai tokoh pembaharuan Islam (mujaddid) di Indonesia. Hal ini disebabkan banyak antara idea, pemikiran, aktiviti dan peranan mereka secara langsung atau tidak langsung turut memberi pengaruh kepada kemajuan dan peradaban dalam rangka kehidupan berbangsa dan bernegara di
134
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Indonesia, sama ada sebelum Indonesia merdeka atau selepas Indonesia merdeka. Pelbagai generasi dalam setiap masa bermunculan selepas mereka, bahkan sampai saat ini ramai antara ulama yang menjadi tokoh pembaharuan Islam (mujaddid) di Indonesia seperti Buya Hamka, M. Natsir, Hasan Bandung dan sebagainya. Prof. Dr. H. Mahmud Yunus (selanjutnya disebut Mahmud Yunus) sebagai seorang ulama yang berasal dari Minangkabau telah mengabdi dan melakukan pelbagai peranan dan aktiviti beliau dalam perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia, baik sebelum Indonesia merdeka mahupun selepas Indonesia merdeka. Begitu juga, idea dan pemikiran Mahmud Yunus dalam menubuhkan dan memimpin pelbagai institusi pendidikan di Indonesia. Di sisi lain, dari sisi karyanya, buku-buku yang ditulis dan dikarang oleh Mahmud Yunus hampir menyamai dengan karya ulama-ulama lainnya, seperti Buya Hamka, Hasan Bandung dan sebagainya. Antara karya-karya Mahmud Yunus tersebut terdiri daripada pelbagai disiplin ilmu dalam Islam. Setakat ini, antara karyakarya tersebut masih banyak yang dijadikan rujukan dan referensi, baik dalam bahasa Indonesia mahupun dalam bahasa Arab. Namun demikian, menurut hemat penyelidik, kepopularan dan ketokohan Mahmud Yunus belumlah sebanding dengan ulama-ulama tersebut. Sedangkan, jika dilihat daripada peranan, aktiviti dan pemikirannya, Mahmud Yunus boleh dikatakan seorang ulama yang amat berperanan dalam perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia, terutama dalam bidang pendidikan. Berdasarkan huraian permasalahan kajian di atas, sebagai inti dan rumusan masalah kajian ini adalah bagaimana profil, ketokohan dan sumbangan Mahmud Yunus sebagai ulama yang berasal dari Minangkabau terhadap perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia? Oleh itu, agar perbahasan dan kajian ini terarah, maka objektif kajian difokuskan pada hal-hal sebagai berikut: Untuk mengetahui dan mengenalpasti profil Mahmud Yunus. Untuk memaparkan, menonjolkan, dan menganalisis ketokohan dan sumbangan Mahmud Yunus terhadap perkembangan dan pembaharuan Islam (tajdid) di Indonesia. Untuk mencapai hasil yang dapat dipertanggungjawapkan secara ilmiah dan agar penyelidikan yang dilakukan dapat terlaksana dengan baik dan sesuai prosedur keilmuan yang berlaku, maka kajian ini menggunakan bentuk kajian kualitatif. Sumber datanya terdiri daripada: Sumber data utama; buku-buku karya Mahmud Yunus.
Sumber data bukan utama (data sokongan) terdiri daripada: Buku- buku serta sumber-sumber lainya yang bersesuaian. Bab dalam buku dan artikel-artikel yang terdapat dalam jurnal. Maklumat dan akhbar daripada data yang diperolehi dalam internet yang berhubungkait dengan Mahmud Yunus. Informan, iaitu; keluarga dan tokoh-tokoh lainnya yang pernah berinteraksi dengan Mahmud Yunus. Baik yang berkaitan dengan kehebatan dan kemampuan fiqh tokoh yang diteliti mahupun konteks sosial yang melingkupi kehidupannya. Hal ini disebabkan kerana bagaimana pun pemikiran seseorang akan dipengaruhi oleh masa dan tempat atau kondisi sosial masyarakatnya. Manakala teknik pengumpulan data yang digunakan di samping kumpulan buku-buku karya Mahmud Yunus dan buku-buku lainnya ialah temu bual mendalam (indepth interview) dengan pelbagai pihak informan. Di samping itu, juga dilakukan penelusuran bahan dokumentasi yang berhubungkait dengan penyelidikan ini. Dalam analisis yang dilakukan, buku-buku karya Mahmud Yunus dikumpulkan kemudian dibahas dengan mempergunakan teknik analisis kandungan (content analysis) yang dalam penganalisaan datanya dilakukan melalui kaedah deskriptif, analitis dan perbandingan. Selain itu, data yang diperoleh daripada temu bual mendalam (indepth interview) dengan pelbagai pihak informan dianalisis, ditelaah dan dibentangkan dalam bentuk laporan yang bersifat deskriptif bersama dengan data yang diperoleh daripada bahan-bahan rujukan yang relevan dengan penyelidikan ini. Profil Prof. Dr. H. Mahmud Yunus: Mahmud Yunus dilahirkan di Nagari Sungayang, Batusangkar, Kabupaten Tanah Datar, Sumatera Barat pada hari Sabtu tarikh 30 Ramadhan 1316 Hijriyah bersamaan 10 Februari 1899 Masehi. Beliau berpulang ke rahmatullah pada hari Sabtu tarikh 20 Rabiul Awal 1402 Hijriyah bersamaan 16 Januari 1982 Masehi di Jakarta dalam usia 83 tahun (Mahmud Yunus t. th).Tanah kelahiran Mahmud Yunus berada kurang lebih 7 KM dari Kota Batusangkar sebagai pusat ibu kota Kabupaten Tanah Datar dan 12 KM dari Nagari Pagaruyung sebagai pusat Kerajaan Minangkabau dahulunya. Secara adat dan budaya, tanah kelahiran beliau ini sentiasa memegang teguh nilai-nilai adat dan agamanya dalam kehidupan sehari-hari yang selari dengan falsafah hidup orang Minangkabau: Adat Basandi Syarak, Syarak Basandi Kitabullah (ABSSBK), dengan maksud adat bersendikan shara’, shara’ bersendikan Kitabullah, iaitu al-Qur’an.
135
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Mahmud Yunus dilahirkan dari keluarga terkemuka di Nagari Sungayang. Ayah beliau bernama Yunus bin Incek (dari suku Mandailing). Di samping menjadi guru di surau kampungnya sekaligus juga menjadi imam menurut sepanjang adat dalam nagari (dikenal dengan sebutan Imam Nagari). Ibu Mahmud Yunus bernama Hafsah binti Imam Sami’un (dari suku Chaniago). Ibu Hafsah bernama Doyan binti Muhammad Ali, sedangkan datuk Hafsah bernama Syekh Muhammad Ali, bergelar Engku Kolok, seorang ulama yang cukup popular di Sungayang pada masa itu. Oleh itu, secara salasilah Mahmud Yunus boleh dikatakan adalah keturunan daripada seorang ulama di Sungayang. Saudara lelaki Hafsah (ibu Mahmud Yunus) bernama Ibrahim dengan gelar Dt. Sinaro Sati (Munira Hanim & Neni 2011), seorang saudagar kaya di Batusangkar pada masa itu. Ibrahim sangat memperhatikan bakat serta kecerdasan yang dimiliki oleh anak lelaki kepada saudara perempuannya, yakni Mahmud Yunus (di Minangkabau disebut dengan “kamanakan”). Ibrahim yang mendorong Mahmud Yunus untuk melanjutkan pendidikan dan belajar ke luar negeri dengan disertai sokongan perbelanjaan untuk keperluan itu. Hal ini memberikan gambaran tanggungjawab seorang saudara lelaki kepada ibu (di Minangkabau disebut dengan “mamak’) terhadap kamanakan yang berlaku di Minangkabau pada masa itu dalam struktur masyarakat yang menganut sistem matrilineal, seperti pepatah adat yang berbunyi: Anak dipangku, kamanakan dibimbiang, urang kampuang dipatenggangkan (anak dipangku, kamanakan diarahkan, masyarakat persekitaran dipertimbangkan). Suatu kelaziman yang berlaku sepenuhnya ketika itu bahawa tanggungjawab mamak terhadap kamanakan bukanlah berasaskan atas ketidakmampuan dari ayah kamanakan itu sendiri, akan tetapi lebih kerana tanggungjawab dan kuatnya peranan seorang mamak di Minangkabau. Sebagai putera yang berasal dari Ranah Minang/Minangkabau, Mahmud Yunus hidup dan dibesarkan dalam masyarakat persekitaran yang sentiasa memegang teguh kultur dan nilai adat Minangkabau. Ketika usia beliau beranjak 7 tahun (Mahmud Yunus t. th), Mahmud mulai pergi belajar ke surau (semacam pesanteren/ma’had), layaknya lelaki Minang masa itu pada umumnya. Dari satu surau ke surau lainnya Mahmud Yunus belajar mengaji dan ilmu dasar keislaman lainnya pada petang dan malam harinya. Pada awalnya, beliau belajar dengan datuk beliau sendiri, Muhammad Thaher bin Muhammad Ali dengan gelar Engku Gadang. Kebetulan datuk beliau itu (saudara lelaki dari Doyan binti Muhammad Ali/ibu Hafsah) memiliki surau, yang bernama Surau Talang. Selepas Mahmud khatam al-Quran, beliau pun dipercaya oleh datuknya menjadi guru pembantu untuk mengajar anak-anak yang menjadi pelajar
pada peringkat awal/rendah sambil beliau mempelajari dasar-dasar tata bahasa Arab (ilmu saraf) dengan datuknya. Pada tahun 1908 M (Mahmud Yunus t. th), warga Nagari Sungayang menubuhkan sekolah desa yang bertempat di surau masjid di bawah Balai Senayan. Mamud pun tertarik untuk memasuki sekolah ini. Dengan demikian mulailah Mahmud bersekolah di surau masjid itu. Beliau pun mengikuti pelajaran di sekolah desa pada tengah hari, tanpa meninggalkan tugas di surau datuknya untuk mengajar al-Quran pada malam harinya. Semasa beliau belajar di kelas empat pada sekolah desa tersebut, Mahmud menunjukkan ketidakpuasannya terhadap mata pelajaran, kerana pelajaran yang diberikan di kelas empat boleh dikatakan hampir sama sahaja dengan pelajaran kelas tiga dahulu. Bertepatan pula pada masa yang bersamaan, Syekh Haji Muhammad Thaib Umar (tokoh mujaddid dari Minangkabau dan beliau termasuk sebagai Kaum Muda/Reformis) membuka dan menubuhkan Madras School (Sekolah Surau) di Surau Tanjung Pauh Sungayang (Mahmud Yunus t. th). Di madrasah ini Mahmud mempelajari pelbagai pelajaran, terutamanya; ilmu nahu (menggunakan Kitab Durus al-Nahwiyah), ilmu saraf (menggunakan papan tulis sahaja tanpa kitab), berhitung (menurut sistem ahli hisab Arab/sistem faraidh) dan bahasa Arab (dengan mengadakan perbincangan). Mahmud belajar setiap hari di sekolah tersebut bermula dari pukul 09:00 pagi hingga pukul 12:00 tengah hari, sementara pada malam harinya beliau tetap mengajarkan al-Quran sebagai guru pembantu di surau datuknya. Dalam perkembangan selanjutnya, kerana keinginan dan kemahuan belajar yang cukup tinggi pada diri Mahmud Yunus, akhirnya pada bulan Mei tahun 1911 M bersamaan bulan Jumadil Awal 1329 H, Mahmud menarik diri dari surau datuknya. Kemudian menggunakan masa sepenuhnya siang dan malam untuk mempelajari ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab secara lebih mendalam dengan Syekh Haji Muhammad Thaib Umar terutamanya ilmu fiqh di Surau Tanjung Pauh itu. Siangnya belajar di Madras School hingga zuhur, selepas zuhur sampai malamnya belajar ilmu fiqh, iaitu Kitab Fath alQarib. Mahmud Yunus belajar dengan rajin dan tekun dengan tokoh mujaddid ini, hingga beliau menguasai ilmu-ilmu agama dengan baik. Pada tahun 1913 M, Mahmud telah menjadi guru pembantu (guru tua kecil) yang telah telah mempunyai murid 5-6 orang (Mahmud Yunus t. th). Mahmud bukan sahaja mengajarkan kitab-kitab yang telah dipelajarinya, bahkan juga mengajarkan kitab-kitab yang belum pernah dipelajarinya sama sekali. Sekalipun kitabkitab tersebut untuk ukuran seusia beliau cukuplah berat. Di samping itu, sebagai salah seorang guru tua di surau itu, Mahmud juga mulai belajar secara
136
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
langsung dengan Tuan Syekh bersama-sama guruguru tua yang lain dalam satu halaqah. Menurut Mahmud, mempelajari ilmu fiqh secara totaliti merupakan suatu kemestian adanya. Bukanlah secara bahagian-bahagian sahaja. Oleh itu, selepas belajar suatu kitab fiqh dengan seorang guru, maka mesti dikembangkan dengan belajar kepada kitabkitab lainnya secara mandiri atas dasar prinsipprinsip yang telah diajarkan dan dituntun guru sebelumnya. Selepas beberapa lama penubuhan dan berjalannya proses pembelajaran Mahmud Yunus di Madras School, pada tahun 1917 M semasa Syekh H. Muhammad Thaib Umar sedang mengalami sakit, Mahmud Yunus secara langsung ditugasi untuk menggantikan gurunya mengajar dan memimpin Madras School tersebut. Didikan langsung oleh Syekh H. Muhammad Thaib Umar dan interaksi beliau yang semakin rapat dengan jaringan ulama pembaharu di Minangkabau semasa itu telah ”memprovokasi” Mahmud Yunus untuk menimba pengetahuan lebih jauh lagi. Beliau berkeinginan dan punya kemahuan yang kuat untuk belajar juga ke “pusat Islam” itu sendiri. Mahmud Yunus merasa belum puas dan senang hati terhadap wawasan dan keilmuan yang didapatnya selama ini, bahkan hal ini menjadi spirit dan motivasi tersendiri baginya untuk lebih mendalami dan memperluaskan lagi ilmu-ilmu keislamannya. Oleh itu, selepas Mahmud berkesempatan menunaikan ibadah haji ke Makkah, beliau berkeinginan untuk melanjutkan pendidikannya ke tingkat yang lebih tinggi ke negara Timur Tengah, iaitu Mesir. Setidaknya ada dua alasan/matlamat penting mengapa Mahmud Yunus hendak pergi belajar ke Timur Tengah, khususnya Mesir (Mahmud Yunus t. th), iaitu: Hendak menambah ilmu pengetahuan, terutama pengetahuan umum yang biasa diajarkan di sekolah-sekolah menengah umum. Kerana guru beliau menganjurkan supaya para pelajar madrasah/pesanteren/ma’had selain mempelajari ilmu pengetahuan agama hendaklah mempelajari ilmu pengetahuan umum. Apatah lagi salah seorang Mamaknya juga mengatakan: “Akhir orang-orang dahulu adalah awal orang kemudian”. Ertinya, seseorang pada masa sekarang sepatutnya mempunyai nilai lebih dibandingkan dengan orang-orang sebelumnya. Sehingga kalau ilmu-ilmu orang yang kemudian sama sahaja dengan ilmu orang-orang dahulu, tentu negara takkan maju. Oleh itu, ilmu orang yang kemudian mesti lebih tinggi daripada ilmu orang-orang dahulu. Hendak menyelidiki keadaan ulama-ulama di Mesir. Adakah di sana ulama kaum muda dan ulama kaum tua seperti di Indonesia? Apatah lagi hendak mempelajari dalil-dalil mereka masingmasing, mana yang lebih kuat.
Disebabkan oleh kegigihannya, pada tahun 1924 M, Mahmud Yunus mendaftar sebagai salah seorang pelajar Indonesia yang belajar di Universiti Al-Azhar. Mahmud secara bersemangat mengikuti seluruh proses akademik yang telah ditetapkan, bermula daripada menghadiri kelas dalam subjek tertentu sampai pada mengikuti aktiviti-aktiviti ilmiah di universiti tersebut. Setelah satu tahun masa belajar, Mahmud Yunus langsung masuk peperiksaan akhir untuk menamatkan pendidikan di Universiti Al-Azhar dan mendapatkan Shahadah Alimiyah (titel alim dan syekh/ulama al-Azhar) sebagai ijazah tertinggi di Universiti Al-Azhar semasa itu. Ada 12 cawangan ilmu yang diujikan dalam peperiksaan akhir tersebut dan Mahmud Yunus dinyatakan lulus, mabruk, dengan hasil yang amat memuaskan. Beliau merupakan orang Indonesia yang kedua mendapat shahadah alimiyah. Oleh itu, hal ini boleh dikatakan sebagai salah satu prestasi khas atas kemampuan Mahmud dalam bidang ilmu agama Islam untuk menamatkan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar. Keinginan untuk lebih menguasai ilmu keislaman terlihat jelas dalam diri Mahmud. Dengan adanya ijazah shahadah alimiyah daripada Universiti Al-Azhar, Mahmud amat termotivasi untuk melanjutkan pendidikannya ke peringkat yang lebih tinggi dan penguasaan terhadap ilmu pengetahuan umum dan ilmu-ilmu baru lainnya. Dalam usaha memenuhi keinginan tersebut, Mahmud mendaftar menjadi pelajar di Darul Ulum Ulya atas rekomendasi Syekh ’Ilid (Universiti Al-Azhar) dan diterima sebagai pelajar di kelas bagian malam. Beliau menjadi orang Indonesia pertama yang mendaftar dan belajar di Darul Ulum. Setelah empat tahun lamanya belajar di Darul Ulum Ulya ini, Mahmud mengikuti dan memasuki peperiksaan kelayakan untuk mendapatkan ijazah/sijil Darul Ulum. Hasil daripada peperiksaan ini, Mahmud dinyatakan lulus dan layak mendapatkan ijazah/sijil dari Darul Ulum. Persyaratan nilai sastra Arab sekurang-kurangnya 60% berhasil diraih oleh Mahmud dengan nilai 67%. Suatu prestasi bagi Mahmud dalam subjek insya, di mana Mahmud memperoleh nilai 7. Suatu nilai yang cukup tinggi masa itu, kerana amat jarang pelajar memperoleh nilai setinggi itu. Suatu hal yang menjadi prestasi lain bagi Mahmud selama empat tahun di Darul Ulum, yakni beliaulah satu-satunya pelajar asing yang sampai menamatkan perkuliahannya hingga peringkat keempat. Di samping itu, selama di Darul Ulum, Mahmud juga seorang pelajar yang berkesempatan mendapatkan pengecualian yuran pengajian dan wang makan. Pengecualian ini beliau peroleh atas amaran dan rekomendasi Menteri Pendidikan Mesir masa itu kepada Pimpinan Darul Ulum. Rekomendasi ini didapatkan setelah Sang Menteri terkesan dengan surat rayuan yang dibuat oleh Mahmud dengan melampirkan buku bahasa Arab hasil karangannya sendiri sebagai sebuah
137
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
prestasi baginya selama di Mesir, di samping alasan lainnya. Atas dasar ini boleh dikatakan bahawa Mahmud adalah orang Indonesia pertama yang belajar di Mesir yang mendapat pengecualian yuran pengajian. Selepas menjalani masa pendidikan dan menimba pelbagai pengalaman di Mesir, yakni belajar di Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum Ulya, pada bulan Oktober tahun 1930 M Mahmud pun kembali ke tanah airnya, Indonesia (Mahmud Yunus t.th.). Perjalanan pulang ke Indonesia dilakukan beliau melalui Singapura yang disambut oleh ulama yang masyhur di tanah melayu/nusantara masa itu yang bernama Syeikh Ahmad Thaher Djalaluddin dan H. M. Kasim Bakri. Pulang belajar dan menuntut ilmu dari Mesir serta menimba pelbagai pengalaman di sana, Mahmud Yunus menetap di Minangkabau. Dari kampung halamannya ini, Mahmud Yunus bermula untuk mengabdi dan melakukan pelbagai aktiviti serta melontarkan idea-idea pembaharuan Islam (tajdid) di Minangkabau khasnya dan di Indonesia amnya, terutama dalam bidang pendidikan. Begitu juga, aktiviti Mahmud Yunus dalam rangka interaksi bersama-sama dengan ulama-ulama pembaharu Islam di Minangkabau masa itu, seperti Syekh H. Abdullah Ahmad, Syekh H. Abdul Karim Amrullah, dan ulama-ulama lainnya. Sehingga atas dasar ini boleh dikatakan bahawa Mahmud Yunus ialah salah seorang ulama yang termasuk kepada tokoh mujaddid di Indonesia. Hal ini disebabkan kerana semangat dan spirit kemajuan serta pembaharuan Islam (tajdid) dalam pelbagai aspeknya dalam rangka kehidupan berbangsa dan bernegara di Indonesia pada masa itu amatlah tinggi dan mengalir dengan cukup deras, terutama dalam bidang pendidikan. Apatah lagi ketika itu bangsa Indonesia sedang dijajah oleh Belanda dan Jepun. Bahkan selepas Indonesia merdeka pun masih dalam situasi dan kondisi yang relatif belum aman daripada tekanan dan gangguan penjajah. Begitu juga, pada masa selanjutnya dalam mengisi kemerdekaan, secara beransur-ansur pelbagai usaha pembaharuan (tajdid) telah dilakukan oleh Mahmud Yunus dalam rangka memajukan bangsa dan negara Indonesia. Di samping itu, pemikiran pembaharuan Islam (tajdid) yang disampaikan oleh Mahmud Yunus sebagai seorang ulama di Indonesia juga mendapat pengiktirafan langsung dari Buya Hamka (ulama terkemuka nusantara yang masyhur). Pengiktirafan Buya Hamka tersebut beliau ungkapkan ketika menulis bukunya. Buya Hamka merujuk hasil pemikiran pembaharuan oleh Mahmud Yunus yang pernah dibentangkannya dalam bentuk kertas kerja sewaktu seminar di Padang tahun 1978 M dengan tajuk ”Harta Tua atau Harta Pusaka Tinggi Minangkabau”. Ungkapan Buya Hamka (H. Ryusdi & Afif (ed) 1983), sebagai berikut: Dalam seminar itulah, Prof. Mahmud Yunus memberikan anjuran agar orang-orang yang mempunyai banyak harta pencaharian
memberikan juga wasiat, agar harta pusaka tinggi itu dilambuk (diperbesar, ditambah) juga, jangan sampai habis kerana berkembangnya anak buah, Prof. Mahmud Yunus dikenal juga sebagai seorang Ulama anak Minang.
Pemikiran Mahmud Yunus dalam seminar itu, menurut hemat penyelidik, merupakan suatu bentuk pembaharuan (tajdid) dalam pemikiran fiqh/hukum Islam semasa yang bersifat moden yang selari dengan kemaslahatan dalam Islam. Dengan bertambahnya anggota famili atau kerabat dalam sistem kekerabatan matrilineal di Minangkabau, maka sangat menghendaki pula untuk semakin bertambahnya “harta tua atau harta pusaka tinggi” tersebut, sebagaimana maksud dan maklumat semula harta tersebut ada dalam sistem dan struktur adat Minangkabau. Oleh itu, Mahmud Yunus menganjurkan bagi orang-orang yang mempunyai banyak harta pencaharian untuk melakukan wasiat dalam rangka menambah dan memperbesar “harta tua atau harta pusaka tinggi” di Minangkabau. Demikian beberapa alasan yang membuat Mahmud Yunus termasuk salah seorang tokoh mujaddid di Indonesia yang berasal dari Minangkabau. Setakat ini, profil dan contoh tauladan Mahmud Yunus sentiasa menjadi acuan dan panduan bagi kerabat, murid dan bangsa Indonesia sampai sekarang ini (Salman Harun 2011 & Arpinus 2011). Sikap wara’, tawadhu’, ikhlas, dan istiqamah-nya dalam kepentingan dan kemaslahatan umat Islam sentiasa menjadi figur yang susah untuk dilupakan. Begitu juga, kepintaran dan kegigihan Mahmud Yunus untuk tidak mahu menyerah dalam menggapai cita-citanya. Penampilannya yang sentiasa terlihat kemas, gagah, selalu memakai tali leher, pakai jas/sut dan berkopiah tinggi merupakan ciri khas beliau bagi murid-murid dan rakan-rakannya. Ketokohan dan Sumbangan Prof. Dr. H. Mahmud Yunus: Akhir abad ke-19M dan awal abad ke-20M, di Minangkabau sedang tumbuh suatu gerakan pembaharuan Islam yang dibawa oleh putera-putera Minangkabau alumni Timur Tengah, khususnya Makkah al-Mukarramah yang pernah belajar bersama Syekh Ahmad Khatib alMinangkabawi. Hal ini merupakan impak daripada kepergian mereka pada masa-masa sebelumnya yang pergi belajar dan menuntut ilmu ke pusat Islam itu. Adapun kepergian mereka untuk belajar dan menuntut ilmu ke pusat Islam itu merupakan salah satu bahagian yang terintegral daripada budaya orang Minangkabau yang suka pergi merantau dan menuntut ilmu ke daerah lain. Di samping juga adanya sokongan daripada kefahaman dan pengamalan keagamaan yang agak kental dan tinggi, serta keteguhan mereka untuk sentiasa berpegang dengan nilai-nilai filosofi adat Minangkabau; adat basandi syarak, syarak basandi Kitabullah. Dalam situasi dan kondisi itu, Mahmud Yunus mulai terlibat dalam gerakan pembaharuan (tajdid)
138
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
ketika berlangsung rapat besar alim ulama Minangkabau di Surau Jembatan Besi Padang Panjang pada tahun 1919 M (Mahmud Yunus t. th). Dalam pertemuan akbar itu, Mahmud Yunus hadir sebagai wakil (delegasi) daripada gurunya yang sedang mengalami sakit, Syekh H. Muhammad Thaib Umar. Sebagai impaknya, pertemuan itu telah mempengaruhi pola pemikiran Mahmud Yunus, terutama berkat pandangan-pandangan yang dikemukakan sejumlah tokoh pembaharu (mujaddid) seperti H. Abdullah Ahmad, H. Abdul Karim Amrullah, dan ulama-ulama lainnya. Daripada pertemuan itu juga diputuskan untuk mendirikan sebuah pertubuhan yang bernama Persatuan Guru Agama Islam (PGAI) sebagai tempat berkumpulannya ulama-ulama Minangkabau yang peduli terhadap kemajuan pendidikan Islam. Adanya PGAI sangat berkaitan dengan situasi sosial politik masyarakat Minangkabau pada masa itu, terutama sistem pendidikan yang kurang menguntungkan. Sehingga boleh dikatakan bahawa Mahmud Yunus adalah salah seorang anggota muassis PGAI semenjak mula ditubuhkan sampai dengan sekarang (Abuddin Nata 2005). Di sisi lain, kehadiran Mahmud Yunus dalam pertemuan akbar tersebut, menunjukan bahawa Mahmud Yunus dapat”duduk sama rendah, tegak sama tinggi” membincangkan kepentingan-kepentingan umat Islam dan isu semasa di tengah para tokoh mujaddid senior masa itu di Minangkabau. Sebagai impak lain daripada pertemuan itu juga, Mahmud Yunus diinspirasikan menubuhkan sebuah pertubuhan dalam rangka mewadahi keinginan dan cita-cita kaum intelek muda di Sumatera. Pada akhir tahun 1919M, Mahmud Yunus bersama sahabat-sahabatnya membentuk perkumpulan/pertubuhan pelajar-pelajar Islam di Sungayang Batusangkar dengan nama Sumatera Thawalib (Abuddin Nata 2005 & Ahmad Rifa’i 2010). Adapun salah satu kegiatan perkumpulan/pertubuhan ini yang strategis adalah menerbitkan majalah Islam yang bernama al-Basyir (Februari 1920M) dengan Mahmud Yunus sendiri sebagai pimpinan redaksinya (rais tahrir). Melalui majalah ini juga, Mahmud Yunus sentiasa menghembuskan pembaharuan Islam (tajdid) di Minangkabau secara khusus dan di Indonesia amnya. Di samping itu, Mahmud Yunus juga turut serta mendirikan Majelis Islam Tinggi Minangkabau sebagai wadah persatuan alim ulama seluruh Minangkabau untuk menghadapi politik kerajaan Jepun masa itu. Majelis Islam Tinggi ini didukung dan disokong oleh seluruh rakyat Minangkabau. Pada tahun 1943 M Mahmud Yunus dipilih sebagai penasehat Residen mewakili Majelis Islam Tinggi dan pada tahun itu juga menjadi anggota Chu Sangi Kai. Sehingga pada saat menjadi anggota Chu Sangi Kai inilah Mahmud Yunus mengusahakan masuknya pendidikan agama di sekolah-sekolah kerajaan dan
alhamdulillah usaha tersebut berjaya. Melalui Majelis Islam Tinggi Minangkabau ini juga Mahmud Yunus menjadi salah seorang delegasi alim ulama Minangkabau untuk menghadiri Muktamar Alim Ulama di Singapura (bersama-sama dengan Syekh Haji Sulaiman Ar-Rasuli, Syekh Haji Ibrahim Musa, A. R. Sutan Mansur dan Haji Sirajuddin Abbas). Selepas Indonesia merdeka, dalam kehidupan berbangsa dan bernegara, Mahmud Yunus pernah diamanahkan untuk memegang beberapa jawatan dalam kerajaan Indonesia. Antaranya ialah sebagai Anggota Pengurus Komite Nasional Sumatera Barat, Anggota Komite Nasional Sumatera, Ketua Mahkamah Syar’iyyah Propinsi Sumatera, Setia Usaha Menteri Agama Pemerintah Darurat Republik Indonesia (PDRI) dan pimpinan di pelbagai jawatan yang strategis pada Kementerian Agama. Dalam bidang pendidikan, sebelum Indonesia merdeka, peranan dan aktiviti Mahmud Yunus lebih fokus dalam dunia pendidikan sebagai seorang guru/pendidik. Pelbagai institusi pendidikan ditubuhkan dan diperbaharui oleh Mahmud Yunus, seperti Al-Jami’ah Al-Islamiyyah di Sungayang Batusangkar (1931–1932M) dan Kulliyyatul Mu’allimin al-Islamiyyah (KMI) Normal Islam di Padang (1932–1946M). Hal ini tentunya bermaksud untuk memajukan pendidikan rakyat pribumi yang didiskriminasikan dan ketinggalan oleh penjajah masa itu, bahkan sampai menubuhkan sebuah pengajian tinggi di Minangkabau, iaitu Sekolah Islam Tinggi (SIT) di Padang (1940–1942M). Idea dan semangat pembaharuan (tajdid) dalam aspek pengajaran diterapkan Mahmud Yunus pada institusi-institusi tersebut, sehingga terlihat adanya kemajuan bagi rakyat pribumi dalam bidang pendidikan. Pembaharuan ini meliputi asas-asas pendidikan yang meliputi aspek tujuan pendidikan, sistem dan metod pengajaran, bahan pelajaran/kurikulum dan kelembagaan/pertubuhan institusi pendidikan. Menurut Mahmud Yunus (1978) “al-Tariqah Ahammu min al-Maddah” (metod itu lebih penting daripada bahan pelajaran). Lebih lanjut menurut Mahmud Yunus (Arpinus 2011), “Wa lakinna Ruhu al-Mu’allim Ahammu min al-Tariqah” (Akan tetapi jiwa seorang guru/pendidik jauh lebih penting daripada metod itu sendiri). Begitu juga, dalam metod pembelajaran bahasa Arab peningkatan kemampuan untuk mendengarkan dan berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan kaedah langsung (tarîqah almubâsyirah) menurut Mahmud Yunus merupakan suatu kemestian adanya. Lebih lanjut, peranan dan akiviti Mahmud Yunus dalam bidang pendidikan, selepas Indonesia merdeka, sentiasa mengajar sebagai seorang pendidik (guru/dosen) dan penggagas serta pelopor penubuhan beberapa pengajian tinggi di Indonesia sekaligus menjadi pimpinannya. Seperti institusi pengajian tinggi yang bernama Akademi Dinas Ilmu
139
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Agama (ADIA) Jakarta (1957-1960M) yang dikenal dengan UIN Syarif Hidayatulah Jakarta sekarang. ADIA ini akhirnya menjadi asal usul penubuhan dan pengembangan institusi pengajian tinggi agama Islam awam yang berkembang di Indonesia hari ini, iaitu, UIN, IAIN dan STAIN. Sampai di akhir pengabdiannya, Mahmud Yunus juga pernah diamanahkan sebagai rektor pertama IAIN Imam Bonjol di Padang (1966 – 1970M). Berdasarkan hal-hal di atas, menurut hemat penyelidik, boleh dikatakan bahawa Mahmud Yunus adalah seorang “pendidik sejati”, sebab sebahagian besar hidupnya dihabiskan untuk mengajar di pelbagai institusi pendidikan, baik peringkat rendah, menengah mahupun peringkat pengajian tinggi dalam rangka pencerdasan anak bangsa dan memajukan pendidikan di Indonesia. Bahkan menurut Mahdi Mahmud (2011), sampai akhir hayat beliau, ramai pelajar pascasiswazah di bawah penyeliaan Mahmud Yunus yang sentiasa berdatangan ke rumahnya dalam rangka penulisan disertasi/tesis. Mereka datang dari pelbagai daerah, seperti Jakarta, Bandung, Yogyakarta dan sebagainya. Begitu juga, para pelajar yang hendak pergi ke Mesir, mereka terlebih dahulu berjumpa dan berbincang dengan Mahmud Yunus di rumahnya. Akibatnya, ketika ini ramai murid dan anak didikan beliau secara langsung tersebar di pelbagai daerah di Indonesia. Antara mereka sekarang ini menjadi orang yang berjaya dan berpengaruh di Indonesia, seperti; K. H. Imam Zarkasyi (pelopor Pondok Pesanteren Modern Darussalam Gontor), Prof. Dr. H. Amir Syarifuddin (Mantan Rektor/Guru Besar IAIN Imam Bonjol Padang), Prof. Dr. H. Muardi Chatib (Guru Besar UIN Syarif Hidayatullah Jakarta), Prof. A. Hasyimi (Sastrawan/ Mantan Gubernur Aceh), Prof. Teuku Ismail Ya’kup, S. H., M. A. (Mantan Rektor IAIN Ar-Ranniri Aceh), Dr. Kaharuddin Yunus (Mantan Rektor Perguruan Tinggi Akabah Sumatera Barat), dan lainnya. Di samping sebagai “pendidik sejati”, Mahmud Yunus juga menjadi pegawai kerajaan dan pernah diamanahkan dengan pelbagai jawatan strategis di Kementerian Agama RI (1947–1956 M). Ketika itu, Mahmud Yunus sentiasa memperlihatkan keperihatinannya terhadap pendidikan agama di pelbagai institusi pendidikan agama yang ada. Hal inilah yang mendorong dan membuat Mahmud Yunus terus berjuang dan berusaha untuk memajukan pendidikan agama tersebut. Tidak hanya untuk madrasah/pesantren/ma’had sahaja, akan tetapi juga untuk sekolah-sekolah umum. Situasi dan kondisi bangsa Indonesia yang baru sahaja merdeka belumlah kondusif dalam pelbagai aspeknya, bahkan terkesan adanya kompetisi dengan pelbagai agama, kecenderungan politik, ras dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai idea dan pemikiran tentang pendidikan agama sentiasa dipikirkan, disusun, dikombinasikan dan dikonsultasikan oleh Mahmud Yunus supaya
menjadi peraturan/undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan untuk boleh menyokong kemajauan pendidikan agama di Indonesia. Dalam hubungan dan pengalaman antarabangsa, menurut Tim Peneliti-Penulis FIBAdab IAIN Padang (2010), Mahmud Yunus juga berkesempatan menghadiri Sidang Majlis Acla Istishariyy Al-Jamicah Al-Islamiyyah di Madinah bulan April 1962 M atas jemputan Yang Mulia Raja Sa’ud yang diterima beliau melalui Kedutaan Besar Arab Saudi di Jakarta. Kemudian aktif sebagai peserta Mu’tamar Majma’ Buhuth al-Islamiyyah di Universitas Al-Azhar yang berlangsung di Mesir sebanyak empat kali Muktamar, berturut-turut tahun 1964 M, 1965 M, 1966 M dan 1967 M. Dalam Muktamar tahun 1967 M, Mahmud Yunus membentangkan kertas kerja yang berjudul “AlIsrailiyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith” yang mendapat sambutan dan tanggapan serius dan meriah daripada peserta. Pada tahun 1969 M, Mahmud Yunus kembali dijemput untuk menghadiri Majlis Acla Istishariyy Al-Jamicah Al-Islamiyyah di Madinah Munawwarah. Kegiatan Mahmud Yunus dalam pertemuan antarbangsa itu telah menjadikan beliau semakin menonjol sebagai salah seorang tokoh Islam yang popular di Indonesia, kerana didukung oleh pengalaman-pengalaman antarabangsa yang diperoleh beliau daripada kegiatan-kegiatan tersebut. Di sisi lain, dalam hal tulis menulis, sepanjang perjalanan hidupnya Mahmud Yunus dikenal juga sebagai seorang penulis dan pengarang yang produktif. Menurut anak beliau, Mahdi Mahmud (2011), hal ini menjadi keseharian Mahmud Yunus setelah selesai solat subuh sampai pukul 10:00 pagi. Aktiviti beliau dalam melahirkan karangankarangannya dalam pelbagai bidang keislaman tak kalah pentingnya daripada aktivitinya dalam bidang pendidikan. Buku-buku hasil karya beliau tersebar pada setiap peringkat pendidikan. Buku-buku tersebut juga menjangkau hampir setiap tingkat kecerdasan, bermula daripada buku-buku untuk konsumsi kanak-kanak dan masyarakat awam dengan bahasa yang ringan dan sederhana sampai pada literatur dan rujukan bagi mahasiswa pada institusi-institusi pengajian tinggi. Setakat ini, bukubuku hasil karya Mahmud Yunus tercatat sejumlah 83 buah. Daripada jumlah itu Mahmud membahas pelbagai bidang ilmu, yang sebahagian besar adalah bidang-bidang ilmu agama Islam, seperti bidang fiqh, usul fiqh, bahasa Arab, tafsir, pendidikan, akhlak, tauhid, sejarah dan lain-lain. Sesuai dengan kemampuan bahasa yang beliau miliki, maka karangan-karangan Mahmud Yunus tidak hanya ditulis dalam bahasa Indonesia, akan tetapi juga dalam bahasa Arab. Secara terperinci buku-buku hasil karya beliau dapat diklasifikasikan dan dihuraikan sebagai berikut (Mahmud Yunus t. th., Mahmud Yunus 1977 dan Irhash Shamad 2010):
140
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Pendidikan: 8 karya Bahasa Arab: 13 karya Fiqh dan Usul Fiqh: 19 karya Tafsir: 17 karya Akhlak: 8 karya Sejarah: 5 karya Tauhid dan Perbandingan Agama: 3 karya Lain-lain: 10 karya
Melalui karya-karya beliau ini, seakan-akan Mahmud Yunus masih hidup dan sentiasa berbincang dengan para pembacanya. Menurut cucu perempuan beliau, Nila Fitri (2011), setakat ini antara karya Mahmud Yunus yang terus dicetak berulang kali (popular di Indonesia dengan perkataan “best seller”) adalah Kamus ArabIndonesia, Tafsir al-Qur’anul Karim, Durus alLughah al-Arabiyah dan Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia. Hal ini disebabkan tingginya permintaan dari pelbagai pihak, terutama pondok pesanteren/ma’had yang ada di Indonesia. Bahkan menurut Azyumardi Azra, sebagaimana dikutip oleh Armai Arief (2009), bahawa buku Mahmud Yunus yang bertajuk “Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia” adalah sebuah sampel karya representatif yang mengkaji bidang historitas (sejarah) pendidikan. KESIMPULAN Demikian penyelidikan ini dikemukakan sebagai perbahasan tentang profil Mahmud Yunus, ketokahan dan sumbangan beliau terhadap pembaharuan Islam (tajdid) dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Indonesia. Kajian ini menunjukkan bahawa Mahmud Yunus ialah seorang tokoh mujaddid di Indonesia yang berasal dari Minangkabau, terutama dalam bidang pendidikan. Hal ini terlihat daripada biodata, aktiviti dan pengiktirafan ulama lain kepada beliau. Ketokohan dan sumbangan Mahmud Yunus sebagai seorang “pendidik sejati” terhadap bangsa dan negara Indonesia cukuplah strategis dan amat bernilai bagi acuan dan pedoman dalam memajukan Islam dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Indonesia, baik pada masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Hal ini terlihat daripada peranan, kapisiti dan pengalaman antarabangsa beliau. Begitu juga, banyak antara idea, pemikiran dan karya-karya beliau yang masih diamalkan, digunakan dan dijadikan sebagai rujukan dan referensi oleh umat Islam di Indonesia. Baik dalam bidang pendidikan, bahasa Arab dan metod pembelajarannya, tafsir mahupun dalam bidang fiqh/hukum Islam. RUJUKAN Amir, Mafri. 2008. Reformasi Islam Dunia MelayuIndonesia, Jakarta: Badan Litbang dan Diklat Departemen Agama RI.
Amir, Mafri. 2011. Jakarta. Temu bual, 3 Ogos. Arief, Armai. 2011. Jakarta. Temu bual, 5 Ogos. Arief, Armai. 2009. Pembaharuan Pendidikan Islam di Minangkabau, Jakarta: Suara ADI. Arief, Armai. 2002. Prof. Dr. H. Mahmud Yunus (Dekan ADIA 1957-1960); Perintis Jalan Menuju terbentuknya IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta. Dlm. Badri Yatim (ed), Membangun Pusat Keunggulan Studi Islam: Sejarah dan Profil Pimpinan IAIN Starif Hidayatullah Jakarta 1957-2002, hlm. 43-74. Jakarta: IAIN Jakarta Press. Arief, Armai. t. th., Menelisik pembaharuan di minangkabau, http://www.padangtoday.com/?mod=tokoh&today=detil&id=64. Arpinus. 2011. Batusangkar. Temu bual, 17 Ogos. Azra, Azyumardi. 1998. Jaringan Ulama Timur Tengah Dan Kepulauan Nusantara Abad VII dan VIII. cet. ke-4. Bandung: Mizan. Akademik Centre, Koleksi Makalah. 2008. Tafsir alQur’an al-Karim Mahmud Yunus, http://pusatakademik.blogspot.com/2008/10/tafsir-al-quranal-karim-mahmud-yunus.html Chatib, Muardi. 2011. Jakarta. Temu bual, 4 Ogos. Fitri, Nila. 2011. Jakarta. Temu bual, 3 Ogos. Federspiel, Howard. M. 1996. Kajian Al-Qur’an di Indonesia: Dari Mahmud Yunus hingga Quraish Shihab. Jakarta: Mizan. Hamka, H. Rusydi & Afif. (ed.). 1983. Membahas Soal-soal Islam. Jakarta: Pustaka Panjimas. cet.ke-2. Hanim, Munira & Neni. 2011. Batusangkar. Temu bual, 27 Julai. Harun, Salman. 2011. Jakarta. Temu bual, 6 Ogos. Husain, H. Hamadi B., Jaffary Awang & Suhermanto Ja’far (pnyt.). 2007. Islam dan Isuisu Kontemporer: Respon Islam terhadap Problematika Global & Kearifan Lokal, Surabaya: Lembaga Kajian Agama dan Filsafat (eLKAF). Ilham, Muhammad. 2010. Syekh Muhammad Thaib Umar (1874-1920), http://ulama-minang. blogspot.com/2010/06/syekh-muhammad-thaibumar-1869-1956.html yang disadur dari skripsi Helvitanengsih (1994) di Fakultas Sastra Universitas Andalas Padang. Mahmud, Fachruddin. 2011. Jakarta. Temu bual, 3 Ogos. Mahmud, Mahdi. 2011. Jakarta. Temu bual, 8 Ogos. Nata, Abuddin. 2005. Tokoh-tokoh Pembaruan Pendidikan Islam di Indonesia. Jakarta: Raja Grafindo Persada. Padoe, Marthias Duki Padoe. 2010. Risau, siapa pelanjut ulama besar, http://www.padangtoday.com/?mod=berita&today= detil&id=20848. Pranata, Eddy. 2008. Prof Mahmud Yunus pembaharu pengajaran bahasa arab, http://hembus.multiply.com/
141
PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
Ramayulis & Samsul Nizar. 2010. Ensiklopedi Tokoh Pendidikan Islam: Mengenal Tokoh Pendidikan Islam di Dunia Islam dan Indonesia. Jakarta: Quantum Teaching. Rifa’i, Ahmad. 2010. Perjuangan 29 Ulama Besar Ranah Minang. Padang Panjang; Diniyyah Research Centre (DTC) Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang. Shamad, Irhas A.. 2010. Padang. Temu bual, t. tkh Nop. Shamad, Irhash A. 2010. Tokoh Pendidikan Islam, Prof. Dr. H. Mahmud Yunus (1899-1982). http://irhashshamad.blogspot.com/2008/12/profdr-h-mahmud-yunus-dan-perkembangan.html Shihab, M. Quraish. 2002. Tafsir al-Misbah: Pesan. Kesan dan Keserasial al-Qur’an. Vol. 6. Yakarta: Lentera Hati. Syahruddin, Amir. 2010. Padang. Temu bual, 21 Okt. Syarifuddin, Amir. 2011. Padang. Temu bual, 12 Ogos. Syarifuddin, Amir. 1993. Pembaharuan Pemikiran dalam Hukum Islam. Jakarta: Angkasa Raya. Syarifuddin, Amir. 1995. Pengaruh Madhhab dalam Pengajian Fiqh dan Usul Fiqh di Asia Tenggara (Makalah Seminar Antarbangsa Pengajian Islam di Asia Tenggara, Universiti Brunei Darussalam. Syarifuddin, Amir. 1984, Pelaksanaan Hukum Kewarisan Islam dalam Lingkungan Adat Minangkabau, Jakarta: Gunung Agung.
Tim Peneliti-Penulis FIB-Adab IAIN Padang, Prof. Dr. H. Mahmud Yunus (1899-1992), http://ulama-minang.blogspot.com. Yunus, Mahmud. 2008. Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia. Jakarta: P.T. Mahmud Yunus Wadzurriyyah. Yunus, Mahmud. 2010. Tafsir al-Qur’anul Karim.. Jakarta: P.T. Mahmud Yunus wa Wadzurriyyah. Yunus, Mahmud. 1974. Turutlah Hukum Warisan dalam Islam. Jakarta: CV. Al-Hidayah. Yunus, Mahmud. 1979. Hukum Perkawinan dalam Islam. Jakarta: PT. Hidakarya Agung. Yunus, Mahmud. t. th. Riwayat Hidup Prof. Dr. H. Mahmud Yunus: 10 Pebruari 1899-16 Januari 1982. Jakarta: PT. Hidakarya Agung. Yunus, Mahmud. 1978, Pokok-pokok Pendidikan dan Pengajaran, Jakarta: Hidakarya Agung. Zaini, Hasan. 2011. Batusangkar. Temu bual, 16 Ogos. al-Zuhayli, Wahbah. 1425 H/2004 M. al-Fiqh alIslamiyy wa Adillatuhu. Jil. 4. Damshiq: Dar alFikr. al-Zuhayli, Wahbah. 1986. Usul al-Fiqh al-Islamiyy. Bayrut: Dar al-Fikr. Zulmardi. 2009. Mahmud Yunus dan Pemikirannya dalam Pendidikan. Ta’dib. Volume 2, No. 1 (Juni):11-21.
142