Penggunaan Hiyal dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq oleh Institusi Kewangan Islam di Malaysia Shofian Ahmad & Samsinar Sulaiman Hiyal merupakan istilah fiqh yang sinonim dengan penggunaan kebijaksanaan seseorang dan pemikiran yang mendalam tentang jalan atau kaedah untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan atau mengatasi sesuatu kesukaran berhubung hukum syarak terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti perekonomian dan perundangan. Hiyal digunakan secara meluas dalam aktiviti muamalat pada masa kini bagi memenuhi keperluan pihak-pihak yang berakad yang sekiranya tanpa penggunaan hiyal tersebut menjadikan sesuatu transaksi sukar dijalankan sehingga boleh merencatkan sistem sedia ada. Namun begitu, penggunaan hiyal tanpa garis panduan yang betul pula boleh membawa kepada pengubahan hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Artikel ini bertujuan mengkaji dua produk pembiayaan yang kontroversi dalam perbankan Islam di Malaysia pada masakini iaitu bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq. Kedua-dua produk ini kadangkala digunakan secara langsung dalam sesuatu produk pembiayaan dan kadangkala ia dipakai bersama dengan produk-produk kewangan lain seperti murabahah, BBA dan sebagainya. Metode kajian ini bersifat kualitatif dengan menggunakan pendekatan analisis kandungan. Bahan-bahan daripada kitab-kitab turath berkaitan konsep hiyal dianalisis dengan pemakaiannya dalam produk-produk pembiayaan secara bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq yang dijalankan oleh institusi kewangan Islam di Malaysia.
Definisi Hiyal Perkataan hiyal secara literalnya berasal daripada perkataan Arab. Menurut Ibn Manzur perkataan hiyal adalah kata nama majmuk bagi perkataan hilah yang bermakna kemahiran dan kebolehan mentadbir sesuatu dengan baik (Ibn Manzur t.th.). Namun dalam budaya masyarakat Melayu perkataan helah sinonim dengan perkara yang negatif. Menurut Kamus Dewan, helah membawa dua maksud; pertama ialah perbuatan atau kata-kata dusta untuk menipu seseorang, muslihat dan tipu daya. Maksud yang kedua pula ialah alasan yang dibuat-buat
36
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
untuk menyembunyikan sesuatu atau untuk melepaskan diri atau dalam kata lain ialah dalih. Manakala dari sudut istilah pula, para fuqaha tidak sependapat dalam mentakrifkan hiyal. Sesetengah mereka mentakrifkan hiyal dengan gambaran yang positif manakala sesetengah yang lain pula mentakrifkannya dengan gambaran yang negatif. Sebagai contoh, Ibn Nujaym (1983) dari kalangan fuqaha mazhab Hanafi mentakrifkan maksud hiyal sebagai kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara iaitu dengan cara menggunakan pertimbangan akal sehingga mendapat jalan penyelesaian untuk mencapai sesuatu maksud. Menurut al-Kashshaf (1314H) pula, hiyal adalah sesuatu yang digunakan oleh seseorang sebagai jalan penyelesaian untuk keluar daripada perkara yang berdosa dan haram kepada yang halal. Sebahagian fuqaha mazhab Shafii seperti Zakariyya al-Ansari (1411H) mendefiniskan hilah sebagai sesuatu yang memalingkan seseorang hamba daripada perkara yang dibencinya kepada perkara yang disukainya. Ibn Taymiyyah (1987) daripada fuqaha mazhab Hanbali pula mendefinisikan hiyal secara umumnya sebagai jalan tersembunyi yang memerlukan kebijaksanaan dan kepandaian bagi mencapai maksud tertentu. Sekiranya maksud tersebut baik, maka ia dikira hilah yang baik. Sebaliknya jika maksud tersebut buruk, maka ia adalah hilah yang buruk. Di samping itu terdapat juga sesetengah fuqaha yang mentakrifkan hiyal dengan gambaran yang negatif. Contohnya Ibn Qudamah (1405H) daripada fuqaha mazhab Maliki mendefinisikan hilah sebagai perbuatan yang menzahirkan perkara yang harus bagi mencapai perkara yang haram. Perbuatan sedemikian adalah jalan tipu daya bagi mencapai tujuan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, menggugurkan apa yang diwajibkan atau menafikan hak dan seumpamanya. Perbezaan pandangan tentang maksud bagi istilah hilah ini telah berterusan sehingga hari ini. Sesetengah sarjana Islam kontemporari seperti al-Buti (1992) berpandangan hilah ialah hasrat untuk mencapai tujuan menukarkan sesuatu hukum kepada hukum yang lain melalui cara atau jalan yang disyarakkan pada asalnya. Manakala golongan yang lain pula berpendapat bahawa hilah ialah melakukan perbuatan yang dilarang oleh syarak dalam bentuk yang diharuskan, atau melakukan perbuatan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam bentuk yang dibenarkan bagi mencapai maksud tertentu (Ibn ‘Ashur 1998). Berdasarkan kepada definisi-definisi hiyal yang telah diberikan oleh para sarjana dan ulama-ulama masyhur pada setiap mazhab, Mohamed
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
37
Fairoz membuat rumusan seperti berikut (Mohamed Fairooz et al. 2010): Pertama: Terdapat takrif umum dan takrif khusus bagi hiyal yang telah digunakan oleh fuqaha. Takrif umum meliputi kedua-dua bentuk hiyal, iaitu helah yang dibenarkan dan dilarang, manakala takrif khusus lebih menjurus penggunaannya kepada helah yang dibenarkan sahaja, atau terhad kepada helah yang dilarang sahaja. Kedua: kaedah yang digunakan dalam kedua-dua situasi (hiyal yang dibenarkan dan tidak dibenarkan) adalah sama, iaitu melalui jalan yang harus (dibenarkan oleh syarak) dan dibuat secara tidak langsung atau tersembunyi. Ia adalah natijah daripada penelitian mendalam, kebijaksanaan dan pertimbangan akal yang mendalam. Ketiga: Ulama secara umum membahagikan hiyal kepada dua kategori utama: 1. Hiyal yang dilarang (al-hiyal al-madhmumah atau ghayr almashru‘ah): sekiranya jalan yang digunakan adalah untuk mencapai tujuan atau maksud buruk yang bertentangan dengan syarak, sama ada bagi membatalkan hukum syarak atau menukarnya kepada hukum lain seperti meninggalkan apa yang wajib dan menghalalkan apa yang haram serta merosakkan qawa‘id al-shari‘ah. Kewujudan hiyal dalam kategori ini disepakati oleh ulama semua mazhab. Ia adalah maksud khas hiyal sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama mazhab Maliki seperti al-Shatibi (1999) dan ulama mazhab Hanbali seperti Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim dan Ibn Qudamah (Ibn Taymiyyah 1987; Ibn Qudamah 1405H). 2. Hiyal yang dibenarkan (al-hiyal al-mahmudah atau al-mashru‘ah) ialah sekiranya jalan yang digunakan adalah untuk mencapai tujuan atau maksud yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak, sama ada bagi menegakkan suruhan Allah atau meninggalkan larangannya (Ibn al-Qayyim 1996). Kewujudan hiyal dalam bentuk ini juga secara umumnya diterima oleh jumhur fuqaha.
Aplikasi Konsep Hiyal dalam Produk-Produk Perbankan Islam di Malaysia Penubuhan dan kewujudan perbankan-perbankan Islam yang menjadikan muamalah Islam sebagai prinsip dan teras operasinya semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terdapat banyak produk muamalah Islam telah dijadikan instrumen dalam transaksi-transaksi yang dijalankan di Perbankan Islam bagi menggantikan produk-produk konvensional yang jelas mengandungi riba yang diharamkan oleh agama. Dalam menjalankan operasinya, perbankan Islam terpaksa melakukan pelbagai pengubahsuaian dan
38
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
dalihan dalam produk-produk muamalah untuk menjamin matlamat kewangan dan kelangsungan bank di samping mengekalkan kedudukan dan hubungannya dengan prinsip-prinsip muamalah Islam. Salah satu cara yang lazim digunakan dalam hal ini ialah penggunaan teknik hilah dalam produk-produk tersebut. Artikel ini akan membincangkan aplikasi hilah dalam produk bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq yang dijalankan di perbankan Islam.
Aplikasi Konsep Hiyal dalam Bay‘ al-‘Inah di Perbankan Islam Produk bay‘ al-‘inah merupakan satu produk yang amat dikecam penggunaannya terutamanya di kalangan ulama timur tengah. Walau bagaimanapun, produk ini masih diguna pakai dalam beberapa perbankan Islam di Malaysia. Bay‘ al-‘inah bermaksud jualan sesuatu barang secara bertangguh atau ansuran dengan satu tingkat harga tertentu dan kemudiannya barang tersebut dibeli balik daripada penjual secara tunai dengan harga yang lebih rendah (Rawwas & Qunaybi 1985). Menurut al-Hattab, bay‘ al-‘inah juga boleh didefinisikan sebagai satu keadaan di mana seseorang yang berkehendakkan wang tunai datang kepada seseorang yang lain untuk memohon pinjaman (alHattab 1992). Pihak pemiutang (al-muqrid) enggan memberikan pinjaman kecuali beliau akan mendapat keuntungan daripada pinjaman itu dan dalam masa yang sama beliau menyedari keuntungan itu akan menyebabkan berlakunya riba yang diharamkan oleh Islam. Sehubungan itu, dalam usaha untuk mengelakkan berlakunya proses pinjaman wang berfaedah yang ternyata haram di sisi Islam, pemiutang bertindak sebagai penjual dan menjual serta mewujudkan satu barangan kepada penghutang dengan harga tertentu secara kredit. Selepas berlakunya proses penyerahan, penjual (pemiutang) membeli semula barangan yang telah dijualnya atau pembeli menjual kembali barangan tersebut kepada penjual asal atau pemiutang dalam konteks sebenar akan mendapat faedah berdasarkan perbezaan harga kredit dan harga tunai. Transaksi ini diistilahkan sebagai al-‘inah kerana pemiutang telah melakukan hilah dengan berpindah daripada kontrak pinjaman kepada kontrak jual beli barangan bagi mengelak riba (Azizi 2009).
Hilah dalam Bay‘ al-‘Inah Kedudukan bay‘ al-‘inah yang mengandungi hilah telah dibincangkan oleh para ulama sejak zaman silam lagi. Imam al-Shafi‘i, Dawud alZahiri, al-Qadi Abu Yusuf dan Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani berpendapat bahawa akad tersebut adalah sah (al-Zuhayli 1989). Walau
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
39
bagaimanapun, jumhur ulama yang terdiri daripada Abu Hanifah, Malik dan Ahmad berpendapat bahawa bay‘ al-‘inah adalah tidak sah (al-Zuhayli 1989). Jumhur ulama mengatakan bay‘ al-‘inah tidak sah kerana unsur-unsur hilah muharramah (helah yang diharamkan) yang terdapat dalam jual beli ini. Di antara bentuk-bentuk hilah muharramah yang terdapat dalam bay‘ al-‘inah adalah seperti berikut: 1. Niat Penjualan Aset untuk Mendapatkan Wang Jika diteliti modus operandi amalan bay‘ al-‘inah, ia jelas mengandungi hilah kerana tujuan asal pelanggan adalah untuk mendapatkan wang, namun demi keuntungan pihak yang satu lagi iaitu bank, maka jual beli ‘inah dijalankan bagi mengelakkan terjadinya riba secara terangterangan. Dalam bay‘ al-‘inah aset yang dijual oleh bank kepada pelanggan akan kembali semula kepada pemilikan bank. Dalam akad ini juga, wujudnya perjanjian antara pelanggan dan bank bahawa pelanggan akan menjual semula aset tersebut kepada bank. Aset tersebut hanyalah sebagai alat untuk mendapatkan wang yang diperlukan oleh bank. Dalam masa yang sama bank boleh mendapatkan keuntungan apabila pelanggan telah membayar aset tersebut secara tangguh dalam masa yang dipersetujui (al-Zuhayli 1989). 2. Aset Hanya Sebagai Alat Melakukan Hilah al-Bay‘ atau jual beli mengikut istilah syarak adalah pertukaran harta dengan harta mengikut cara yang khusus atau pertukaran harta dengan harta yang membawa kepada penyerahan dan penerimaan hak milik (Ibn al-Humam 1356H). Walau bagaimanapun, jika diteliti kesan akhir daripada bay‘ al-‘inah tidak berlaku pertukaran harta dan pemilikan dalam erti kata yang sebenar. Pemilik asal barang akan memiliki semula barang yang telah dijual. Oleh itu, sebenarnya ia adalah kontrak pinjaman dan bukannya jual beli (Azizi 2009). Justeru, jumhur ulama berpendapat bay‘ al-‘inah adalah muslihat undang-undang untuk menghalalkan riba. Ibn Rushd dari mazhab Maliki menegaskan bahawa bay‘ al-‘inah adalah kontrak yang telah dimanipulasi untuk membuat riba al-nasi’ah nampak sah.
Aplikasi Tawarruq di Perbankan Islam Dusuki (2008) mendefinisikan tawarruq sebagai pembelian komoditi atas kredit oleh mutawarriq (orang yang memerlukan tunai) dan kemudian menjualnya kepada orang lain selain daripada yang penjual pertama (pihak ke-3) dengan harga yang lebih rendah secara tunai. Hakikatnya, tawarruq merupakan kontrak jualan, yang mana penjual membeli aset daripada penjual dengan pembayaran tangguh dan seterusnya menjual aset tersebut kepada pihak ketiga secara tunai, dengan harga yang lebih rendah daripada harga tertangguh. Urus niaga
40
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
ini dipanggil tawarruq kerana apabila pembeli membeli aset secara bayaran tertangguh, bukanlah tujuan pembeli untuk menggunakan manfaat daripada aset yang dibeli tetapi bertujuan untuk mendapat kecairan (awraq maliyyah) (Shochrul et al. 2009). Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait mendefinisikan tawarruq merujuk kepada urus niaga muamalah yang melibatkan dua peringkat urus niaga. Pada peringkat pertama, urus niaga tersebut melibatkan pembelian secara kredit antara pembeli dan penjual aset sesuatu aset, dan pada peringkat kedua, pembeli kemudiannya akan menjual aset tersebut secara tunai kepada pihak ketiga (Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah alKuwaytiyyah, 1993).
Unsur Hilah dalam Aplikasi Tawarruq Berdasarkan definisi tawarruq di atas, maka dapat dikenal pasti beberapa unsur hilah dalam produk ini tergambar dalam beberapa keadaan, antaranya: 1. Jual Beli Komoditi Bukan Perkara yang Dimaksudkan dan Diinginkan oleh Pihak-Pihak Berkontrak Pemilikan komoditi oleh pihak pembeli dalam kontrak tawarruq adalah pemilikan yang tidak pasti. Kontrak jualan dilakukan semata-mata sebagai hilah bagi menjadikan transaksi halal dan tidak melibatkan riba. Komoditi bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh pelanggan dalam transaksi ini, namun apa yang diinginkan adalah wang. Penjualan komoditi hanyalah sebagai hilah untuk mendapatkan wang dan keuntungan. Dalam erti kata lain, mustawriq tidak berminat dalam produk yang diniagakan, sebaliknya dia berminat kepada wang, dan jual beli berkenaan hanya sekadar ilusi. Keseluruhan transaksi ini adalah untuk mendapatkan wang dengan segera dan mendapat bayaran yang lebih besar pada masa akan datang (Shochrul et al 2009). Jual beli ini dikatakan sekadar ilusi kerana bank tidak mengambil milik komoditi yang dibeli dari mana-mana pasaran global dalam erti yang sebenar, dan ia tidak menerima apa-apa resit asal dari gudang di mana aset ini disimpan. Komoditi tersebut diniagakan di pasaran saham dan berpindah dari satu pembeli kepada pembeli yang lain sehingga ia berakhir dengan pengguna akhir yang dapat memiliki apa yang telah dibeli (Shochrul et al 2009). Manakala, mustawriq pula tidak mengambil milik produk dalam erti kata yang sebenar atau di atas kertas sekalipun. Oleh itu, dia menjual sesuatu yang dia tidak pernah perolehi dan tahu tentang spesifik komoditi tersebut, kerana bank menjual komoditi kepada pelanggan sesuatu yang dimiliki oleh bank yang diketahui dengan nombor untuk
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
41
mengenal pasti komoditi, dan nombor itu bukan mewakili jumlah komoditi yang sedikit, tetapi ia adalah nombor yang digunakan untuk unit besar yang bank bahagikan di kalangan mereka yang menggunakan tawarruq (Shochrul et al 2009). 2. Pihak Ketiga dalam Tawarruq Tujuan tawarruq dan bay‘ al-‘inah adalah sama iaitu untuk mendapatkan wang. Walau bagaimanapun, yang membezakan antara keduanya ialah wujudnya pihak ketiga dalam kontrak tawarruq (Ab Mumin & Ahmad 2008). Pihak ketiga yang wujud dalam jual beli ini dianggap satu hilah bagi menjadikan kontrak ini halal dan mencapai matlamat akhir jual beli iaitu berlakunya pertukaran hak milik barang. Kontrak ini merupakan penyelesaian kepada isu bay‘ al-‘inah yang sangat kontroversi dan dikecam oleh para ulama sebagai hilah muharramah (helah yang diharamkan). Dalam erti kata lain, pihak ketiga adalah satu jalan di mana barang tersebut tidak kembali kepada penjual tetapi berpindah milik kepada orang lain (Ibn al-Qayyim 1968). Kebanyakan ulama membenarkan tawarruq kerana wujudnya pihak ketiga ini (Asmak et al 2010). Walau bagaimanapun apa yang menjadi isu dalam amalan tawarruq pada hari ini ialah pihak ketiga ini telah berjanji dengan bank untuk tetap membeli komoditi terbabit, sedangkan tawarruq yang sebenar, pihak ketiga tidak berkait apa-apa dan tidak tahu menahu tentang transaksi pertama yang telah dijalankan (Shochrul et al 2009). Ia dikenali sebagai tawarruq munazzam. 3. Bank Dilantik Sebagai Agen untuk Menjual Transaksi tawarruq di mana-mana perbankan Islam masa kini telah melibatkan perjanjian awal antara bank dan pembeli akhir yang menjamin bahawa dia akan membeli apa-apa yang ditawarkan oleh bank pada harga yang sama semasa bank membelinya. Walhal dalam tawarruq klasik yang dibenarkan oleh para ulama, mustawriq sendiri adalah orang yang menjual komoditi atau mengikut harga yang dibeli atau lebih atau kurang (Shochrul et al 2009). Penulis berpendapat bahawa aplikasi tawarruq yang diamalkan oleh perbankan Islam mengandungi salah satu hilah iaitu suatu jalan yang di luar kebiasaan bagaimana sesuatu perkara itu dilakukan. Pada asalnya tawarruq merupakan satu kontrak yang bersifat berdikari yang mana setiap individu yang terlibat dalam transaksi akan melakukan setiap proses transaksi sama ada menjual atau membeli dengan sendirinya, namun dalam aplikasi tawarruq di perbankan hari ini wujudnya akad wakalah yang mana bank dilantik sebagai wakil untuk menjual komoditi bagi memastikan bank mendapat pulangan tetap daripada instrumen ini.
42
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
Apabila wujudnya akad wakalah, maka ia menguatkan lagi bahawa wujudnya hilah dalam instrumen ini kerana mempunyai ciri hilah iaitu dimasukkan dalam sesuatu kontrak akad-akad lain yang tidak dimaksudkan oleh pihak-pihak yang berkontrak. Akad wakalah kepada bank tidak diperlukan oleh pihak-pihak namun ia ditambah bagi mencapai keberkesanan kos dan melancarkan kecairan mata wang.
Implikasi Hilah dalam Produk-Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya hilah dalam produk bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq sama ada dari segi konsep asalnya ataupun cara pengamalannya di institusi kewangan Islam pada masakini. Implikasi hilah yang dimaksudkan dalam kajian ini merujuk kepada implikasi negatif dan positif yang terhasil kesan daripada pengamalan hilah dalam kedua-dua produk. Berikut merupakan implikasi yang wujud dalam pengaplikasian produk bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq: 1. Dapat Mengelakkan Mudarat yang Lebih Besar Sebilangan Sarjana Islam berpendapat, penggunaan hilah dalam bay‘ al-‘inah di Malaysia merupakan suatu keperluan daripada terus membiarkan masyarakat secara terang-terangan bergelumang dengan pinjaman berteraskan riba yang dilakukan melalui sistem konvensional (Azizi 2009). Hal ini selari dengan kaedah fiqh “al-darar al-ashadd yuzal bi al-darar al-akhaff” yang bermaksud mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan (Zaydan 1997). Dalam konteks ini mudarat besar yang dimaksudkan ialah pembiayaan yang ditawarkan oleh konvensional yang jelas mengandungi riba di dalam segenap amalannya, manakala mudarat yang ringan ialah pembiayaan bay‘ al-‘inah yang diketahui merupakan salah satu produk yang hanya mengandungi hilah kepada riba. Dalam masalah ini, kemudaratan membiarkan berterusan amalan riba yang jelas bentuk dan hukumnya adalah lebih berat daripada pelaksanaan produk bay‘ al-‘inah yang hanya salah satu kemungkinan padanya ada mudarat helah untuk mendapatkan manfaat seperti riba. Persoalan pada helah itu sendiri terdapat perbezaan pendapat juga. Ada yang menyatakan hanya berdosa pada helah sahaja tidak membawa kesan kepada kesahihan pemilikan harta. Bahkan pendapat yang lebih ringan lagi mengatakan helah tersebut tidak berdosa kerana ia tergolong dalam hilah shar‘iyyah yang diharuskan (Zamzuri Zakaria 1999). Tambahan pula, Majlis Penasihat Syariah (MPS), dalam mesyuarat kelima pada 29 Januari 1997, memutuskan bahawa bay‘ al-‘inah adalah satu kaedah yang diharuskan dalam pasaran modal Islam di Malaysia.
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
43
MPS membuat keputusan ini dengan menerima pakai pendapat Mazhab Shafi‘i dan Zahiri yang mengharuskan bay‘ al-‘inah kerana sesuatu akad itu hanya dinilai daripada sudut zahirnya sahaja dan perkara berkaitan dengan niat diserahkan kepada Allah SWT. Oleh itu, MPS berpendapat ia boleh dimajukan lagi bagi membentuk sesuatu produk dalam pasaran Islam di Malaysia. Ini boleh terjadi apabila institusi atau individu memerlukan modal untuk tujuan tertentu dapat menggunakan kaedah pembiayaan ini dengan menggunakan aset sebagai sandaran. Oleh sebab ia masih memerlukan aset tersebut. Ia tetap boleh mencairkan aset tanpa kehilangan aset tersebut melalui kaedah ini (Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti 2006). Oleh itu, penulis berpendapat bay‘ al-‘inah yang merupakan hilah pinjaman dijalankan dan diharuskan penggunaannya di perbankan Islam hari ini adalah atas faktor menjaga maslahah umat Islam di negara ini iaitu mengelak riba yang sudah jelas pengharamannya. Namun, sekiranya wujud produk alternatif lain, maka wajarlah produk ini digantikan sedikit demi sedikit agar objektif muamalah Islam dapat dicapai, di samping menepis cemuhan dan pandangan serong terhadap produk-produk yang ditawarkan di perbankan Islam. 2. Dapat Mengelak Isu Bay‘atayn fi Bay‘ah (dua jual beli dalam satu jual beli) Penerimaan bay‘ al-‘inah sebagai salah satu produk muamalah yang harus digunapakai dalam transaksi muamalah Islam adalah berdasarkan pandangan imam al-Shafi‘i. Hal ini kerana Imam al-Shafi‘i melihat secara zahir akad dari segi kesempurnaan rukun dan syarat akad. Walau bagaimanapun terdapat beberapa syarat tambahan atau ciri-ciri yang perlu ada yang harus dipatuhi dalam bay‘ al-‘inah bagi menjadikannya sesuatu transaksi yang sah (Mohamad Rizal Bin Mohamed Nor 2013). Salah satu syarat bay‘ al-‘inah ialah ia perlu mempunyai dua kontrak yang jelas iaitu kontrak penjualan harta oleh penjual atau pemilik kepada pembeli dan dan penjualan semula harta tersebut kepada pemilik asal. Syarat inilah yang menjadi pertikaian utama kerana telah wujud syarat berlakunya dua akad di mana al-ma‘qud ‘alayh (barang) mesti dijual semula kepada pemilik asalnya. Syarat ini jelas bertentangan dengan konsep jual beli dalam muamalah Islam, di mana pembeli mempunyai hak yang penuh ke atas barang yang telah dimilikinya dan berlakunya iaitu bay‘atayn fi bay‘ah (dua jual beli dalam satu transaksi) (Mohamad Rizal 2013). Malah kesan syarat inilah menjadikannya sebagai hilah kerana tidak berlakunya pertukaran hak milik barang antara penjual dan pembeli. Sesetengah sarjana mendakwa pelaksanaan kepada syarat ini menjadikan akad bay‘ al-‘inah termasuk dalam kategori muamalat
44
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
yang ditegah iaitu bay‘atayn fi bay‘ah (dua jual beli dalam satu jual beli) berdasarkan sebuah hadis:
Maksudnya: Daripada Abu Hurayrah RA katanya: Rasulullah menegah daripada dua jual beli dalam satu jual beli (al-Tirmidhi, Sunan, kitab albuyu‘, bab ma ja’ fi nahy ‘an bay‘ah fi bay‘atayn). Menurut Ibn al-Qayyim, bay‘atayn fi bay‘ah ialah seseorang menjual kepada pembeli sesuatu barang dengan harga seratus ringgit secara tangguh dengan syarat menjualnya semula kepadanya dengan harga lapan puluh ringgit tunai (al-Qaradawi 1987). Daripada tafsiran makna bay‘atayn fi bay‘ah tersebut, dapat difahami bahawa apabila seseorang melakukan satu akad jual beli, tetapi mensyaratkan kepada pihak yang kedua agar melakukan akad jual beli yang lain, sama ada ma‘qud ‘alayh adalah sama ataupun berbeza, maka ia telah merealisasikan ‘illah bagi masalah bay‘atayn fi bay‘ah (dua jual beli dalam satu jual beli) sebagaimana yang ditegah dalam hadis di atas. Sama ada syarat tersebut disebut ketika akad, atau memang telah disepakati sebelum akad ataupun telah menjadi kebiasaan dalam sesuatu transaksi, ia tetap merealisasikan ‘illah tersebut iaitu wujudnya syarat mendatang yang mengikat sesuatu akad jual beli supaya berlaku akad yang kedua dengan sebab berlakunya akad yang pertama (Mohamad Rizal 2013). Jika diamati, keadaan yang disebut dalam hadis sememangnya berlaku dalam akad bay‘ al-‘inah yang diamalkan oleh perbankan Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam aplikasi bank hari ini, pihak bank tidak menyebut syarat penjualan semula dalam akad jual beli yang ditandatangani, namun pihak bank telah memberikan taklimat awal kepada pelanggan atau pemohon. Dalam erti kata lainnya, telah ada persepakatan awal antara bank dan pelanggan bahawa mereka perlu melakukan dua akad dan menandatangani dua dokumen yang berlainan sebelum permohonan mereka diluluskan (Mohamad Rizal 2013). Oleh itu, pertikaian bahawa syarat yang mengikat bahawa al-mabi‘ (barang) mesti dijual semula tidak timbul kerana ia tidak dilafazkan dalam akad. Sebaliknya ia merupakan persefahaman sampingan sahaja (al-tafahum al-janibi) antara pihak bank dan pelanggannya dalam menjalankan akad. Pada pandangan penulis, kelonggaran dalam syarat dengan melakukan persepakatan awal mahupun taklimat adalah satu hilah yang memudahkan dan meringankan pihak-pihak, di samping
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
45
dapat menjalankan produk ini tanpa perletakan syarat yang ditegah dalam jual beli serta dapat mengelak isu bay‘atayn fi bay‘ah. 3. Tawarruq Sebagai Produk Pengurusan Kecairan Kecairan bank merupakan elemen penting dalam pengurusan aset sesebuah bank. Pengurusan kecairan bank yang teguh mampu menjana dana bagi memenuhi permintaan pendeposit dan peminjam pada bilabila masa dengan harga yang memuaskan. Tanpa kecairan yang mencukupi, bank mungkin berhadapan dengan risiko fidusiari, risiko displaced commercial di samping risiko-risiko lain yang seterusnya menjejaskan kestabilan serta operasi bank keseluruhan (Hasyimah et al 2013). Selain itu, kecairan juga merupakan ciri terpenting sesebuah bank di mana sesebuah bank mampu menukarkan daripada liabiliti kepada aset. Secara umumnya, risiko kecairan adalah berkenaan kemampuan sesebuah institusi untuk memenuhi permintaan sejumlah nilai wang tunai ketika mana diperlukan. Situasi ini boleh terjadi di institusi perbankan sama ada menerusi kecairan berasaskan aset atau kebiasaannya dinyatakan sebagai peningkatan dalam dana (Muhammad Ibrahim 2010). Risiko kecairan berasaskan aset merujuk kepada kesolvenan sesebuah bank sama ada bank tersebut mampu atau sebaliknya bagi memenuhi permintaan terhadap pendanaan untuk pembiayaan. Ia juga boleh dikatakan sebagai kegagalan bank untuk memenuhi permintaan terhadap pihak ketiga yang meminta untuk pembiayaan. Risiko dana pula merujuk kepada risiko liabiliti di mana risiko oleh bank tidak dapat memenuhi permintaan pendeposit untuk mendapatkan tunai pada sesuatu tempoh masa (Lukman et al 2012). Tawarruq merupakan salah satu produk yang wujud bagi memastikan pengurusan kecairan dalam perbankan-perbankan Islam di Malaysia. Pada asasnya, konsep yang digunakan dalam pertukaran komoditi tawarruq di mana bank yang mempunyai lebihan akan mendapat tawaran daripada bank defisit untuk membeli komoditi, kemudian, bank lebihan (surplus) akan membeli barang dagangan yang tertentu daripada pasaran dengan menggunakan al-bay‘ (membeli dan menjual), perjanjian berasaskan tunai dan kemudian menjualkannya kepada bank defisit dengan cara murabahah dengan tertangguh atau bayaran ansuran. Maka defisit bank akan menjual komoditi ini kepada pasaran komoditi dengan tujuan untuk mendapatkan tunai. Oleh itu, melalui transaksi ini, kecairan tunai dapat diuruskan dengan baik dengan mengatasi kos lebihan dan defisit yang ditanggung oleh bankbank (Asyraf Wajdi 2010). Sebagaimana yang telah dibincangkan di atas, bahawa niat pembeli dalam tawarruq bukanlah untuk mendapatkan barang, tetapi hanyalah
46
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
untuk mendapatkan kecairan. Hakikatnya, pembeli tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman. Oleh itu, ia mencari komoditi untuk dijual bagi mendapatkan kecairan. Inilah yang diamalkan oleh industri perbankan Islam pada hari ini, bagi memastikan kecairan mata wang, maka tawarruq digunapakai dengan menjadikan aset sebagai asas kecairan. 4. Pelantikan Bank Sebagai Wakil Mendorong Keberkesanan Kos Amalan tawarruq yang diaplikasi dalam perbankan Islam ialah pelanggan akan melantik bank sebagai wakil kepada pelanggan untuk menjual komoditi atau aset. Situasi ini dikenali sebagai al-tawarruq almasrafi atau al-tawarruq al-munazzam (Asmak et al 2010). Secara tidak langsung, amalan tawarruq di perbankan hari ini turut menambah akad wakalah sebagai salah satu akad tambahan di dalamnya, yang mana pada pandangan penulis, akad tambahan ini adalah merupakan aplikasi hilah dalam produk tawarruq. Dari sudut bahasa al-wakalah bermaksud pemeliharaan (al-Zuhayli 2005). Sudut pandangan ulama mazhab Hanafi, wakalah ialah menugaskan orang lain melakukan kerjanya dalam mengendalikan perkara yang diharuskan oleh syarak. Ia termasuk segala pengendalian dan pengurusan harta dalam bentuk jual beli dan perkara-perkara lain yang boleh diwakilkan. Bagi ulama mazhab Shafi‘i pula, wakalah didefinisikan sebagai perwakilan iaitu mewakili seseorang untuk menyerahkan apa yang dilakukannya dan boleh dilakukan oleh orang lain supaya boleh dilakukan orang lain dalam hidupnya (al-Zuhayli 2005). Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang ke 17 mengharamkan tawarruq yang diamalkan oleh sesetengah institusi kewangan atau yang diistilahkan juga sebagai al-tawarruq al-munazzam atau al-masrafi. Alasan penolakan bentuk tawarruq tersebut ialah tindakan institusi kewangan menjadi wakil kepada mustawriq (pelanggan yang memerlukan kecairan wang tunai) dalam menjual barangan yang diberi oleh institusi tersebut kepada pihak ketiga mempunyai persamaan dengan amalan bay‘ al-‘inah dan tidak menepati bentuk tawarruq yang diharuskan oleh ulama silam (Asmak et al 2010). Walau bagaimanapun, al-tawarruq al-munazzam telah diharuskan oleh Majlis Penasihat Kewangan Islam Timur Tengah seperti HSBC Amanah, Arab National Bank, The National Commercial Bank dan Shamil Bank (Shamsiah Mohamad 2006). Implikasi pelantikan wakalah ini ialah bank sebagai institusi kewangan dapat mencapai keberkesanan kos (Shochrul 2009). Melalui perlantikan bank sebagai agen untuk menjual aset, bank bukan sahaja dapat menyediakan perkhidmatan kecairan ataupun wang tetapi ia juga akan mendapat upah perkhidmatan daripada kerja yang dijalankan. Secara tidak langsung, bank dapat menjana keuntungan melalui
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
47
perkhidmatan yang ditawarkan. Tambahan pula, pelanggan tidak perlu bersusah payah mencari pihak ketiga untuk menjual aset atau waran. Sudut bank pula, bank dapat memastikan produk tawarruq yang ditawarkan mengikut garis panduan syariah yang ditetapkan dan mengikut aturan dan proses perjalanan akad yang sebenar.
Kesimpulan Hilah yang wujud dalam produk-produk pembiayan Islam seperti bay‘ al-‘inah dan bay‘ al-tawarruq telah dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh para sarjana Islam yang berautoriti. Kemasukan akad tambahan, perjanjian luar akad, hak pemilikan dan isu-isu lain yang boleh dikategorikan sebagai hilah telah dipertimbangkan dan dikaji dari sudut kesan kepada hukum, kesan kemaslahatan masyarakat dan realiti peredaran zaman serta peranan bank itu sendiri sebagai sebuah institusi kewangan. Buktinya, setiap hilah yang dibenarkan oleh badan berautoriti dan digunapakai dalam produk-produk di perbankan Islam lebih banyak mendatangkan implikasi yang positif berbanding negatif. Penulis berpendapat bahawa ia bertepatan dengan hilah yang dibenarkan oleh ulama kerana hampir semua hilah yang dilakukan adalah untuk mengelak daripada perkara yang dilarang oleh syarak. Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat kesan-kesan sampingan negatif yang wujud dalam beberapa helah yang diamalkan dalam produk perbankan. Implikasi negatif ini perlu dielakkan agar helah yang digunakan tidak dikategorikan sebagai helah yang diharamkan syarak kerana wujud unsur zalim yang sangat ditegah oleh syarak dalam muamalah Islam.
Rujukan Ab. Mumin Ab. Ghani. 1999. Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kewangan Islam Malaysia. al-Ansari, Zakariyya. 1411H. al-Hudud al-Aniqah wa al-Ta‘rifat alDaqiqah. Dar al- Fikr al-Mu‘asir. Ashraf Wajdi Dusuki. 2010. Commodity Murabahah Programme (CMP): An Innovative Approach to Liquidity Management. Journal of Islamic Economics, Banking and Finance. Asmak Ab Rahman, Shamsiah Mohammad & Iman Mohd Salleh. 2010. Bay‘ al- Tawarruq dan Aplikasinya dalam Pembiayaan Peribadi di Bank Islam Malaysia Berhad. Jurnal Syariah. Jil. 18 (2).
48
Isu Syariah & Undang-undang Siri 20
Azizi Abu Bakar. 2009. Pelaksanaan Bay‘ al-‘Inah dalam Pembiayaan Peribadi (Personal Loan) di Malaysia. International Conference on Corporate Law (ICCL). Surabaya, Indonesia, 1st-3rd June. Buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti 2006 Edisi Kedua. 2006. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. al-Buti, Muhammad Sa‘id Ramadan. 1992. Dawabit al-Maslahah fi alShari‘ah al-Islamiyyah. Beirut: Mu’assasat al-Risalah. Ibn ‘Ashur, Muhammad al-Tahir. 1998. Maqasid al-Shari‘ah alIslamiyyah. Al-Basa’ir. Ibn al-Qayyim, Muhammad Ibn Abu Bakr. 1993. I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah. Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad. 1356H. Fath al-Qadir. Kaherah: Matba‘at Mustafa Muhammad. Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad. 1995. Sharh Fath al-Qadir. Juzuk 6. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Ibn Manzur, Muhammad Ibn Mukarram. T.th. Lisan al-‘Arab. Beirut: Dar Sadir. Ibn Nujaym, Zayn al-Din Ibn Ibrahim. 1983. al-Ashbah wa al-Naza’ir. Damsyik: Dar al-Fikr. Ibn Qudamah, Ahmad Ibn ‘Abd al-Rahman 1405H. al-Mughni. Beirut: Dar al-Fikr. Ibn Taymiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd al-Halim. 1987. al-Fatawa al-Kubra, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Ibn Taymiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd al-Halim. 1994. al-Qawa‘id alNuraniyyah al-Fiqhiyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Ibrahim. M. et al. 2010. Islamic Liquidity Management- the Malaysian Experience. ISRA Journal of Islamic Finance, Issue 2. al-Kashshaf, Muhammad ‘Uthman. 1314H. Fi al-Hiyal. Kaherah: t.pt Mohamad Rizal bin Mohamed Nor. 2013. Bay‘ al-‘Inah dan Aplikasinya di Malaysia. Dlm. Majalah Iqtisad. Majalah Ekonomi dan Kewangan Islam. Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Malaysia. Mohamed Fairooz Abdul Khir, Marjan Muhammad, Ashraf Md. Hashim, Said Bouheraoua, Lokmanulhakim Hussain & Imran Iqbal. 2010. Parameter Hiyal dalam Kewangan Islam. Kertas kerja Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke 4. Hiyal dan Makharij di Dalam Operasi Perbankan Islam. Anjuran International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 10-11 November.
Penggunaan Hilah dalam Produk Bay‘ al-‘Inah dan Bay‘ al-Tawarruq
49
Muhamad Lukman Samsudin, Mazzatul Raudah Abd Halim, Mohammad Taqiuddin Mohamad & Ahmad Azam Sulaiman. 2012. Pengurusan Kecairan Berasaskan Aset dan Liabiliti Perbankan Islam di Malaysia. Prosiding Perkem Vii, Jilid 2. Muhammad Ibrahim, 2009. al-Hiyal al-Fiqhiyyah fi al-Mu‘amalat alMaliyyah. Tunisia: Dar Sahnun. Muhammad Rawwas Qal’ahji & Hamid Sadiq Qunaybi. 1405/1985. Mu’jam Lughat al-Fuqaha’. Beirut: Dar al-Nafa’is. Norhashimah Mohd Yasin. 2003. Bay‘ Bithaman Ajil (BBA): Sale or Loan Contract? Dlm. Syed Ahmad Idid. Judicial Decisions Affecting Bankers and Financiers. Kuala Lumpur: MLJ. al-Qaraḍāwī, Yūsuf. 1987. Bay‘ al-Murabahah li al-Amir bi al-Shira’ Kama Tujrih al-Masarif al-Islamiyyah. Kaherah: Maktabat Wahbah. al-Qazwani, Jalal al-Din Muhammad Ibn ‘Abd al-Rahman. 1924. Kitab al-Hiyal fi al-Fiqh. Joseph Schact. Resolusi Syariah dalam kewangan Islam 2010. 2010. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia. al-Shatibi, Ibrahim Ibn Musa. 1999. al-Muwafaqat fi Usul al-Shari‘ah. Beirut: Dar al-Ma‘rifah. Shochrul Rohmatul Ajija, Mia Fathia & Agusdiwana Suarni. 2009. Tawarruq: Issue & Challenge. Kuala Lumpur: IIUM. Zaydan, ‘Abd al-Karim. 1997. al-Wajiz fi Sharh al-Qawa‘id alFiqhiyyah fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. Beirut: Mu’assasat alRisalah. Zamzuri Zakaria. 1999. Bay‘ al-‘Inah: Kedudukannya dalam Muamalat Islam dan Pemakaiannya Sebagai Produk serta Perlaksanaannya di Bank Rakyat Malaysia. Bangi: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. al-Zuhayli, Wahbah, 2007. Usul al-Fiqh al-Islami. Damsyik: Dar alFikr. al-Zuhayli, Wahbah. 1989. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Jil. 4. Damsyik: Dar al- Fikr.