International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
PENDEKATAN DAKWAH DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG: KAJIAN TERHADAP KESALAHAN BERKAITAN AKHLAK DI SELANGOR AZIZAH BINTI MAT RASHID, NOR 'ADHA BINTI ABDUL HAMID, NOOR SYAHIDA ABD. RAHMAN, NORUL HUDA BINTI BAKAR
[email protected],
[email protected],
[email protected]
ABSTRAK Islam sangat menekankan pendidikan akhlak kerana ia menjamin pembentukan peribadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Peribadi yang berasaskan akhlak yang mulia, seterusnya melahirkan masyarakat yang aman dan bebas dari masalah sosial. Selaras dengan kepentingan akhlak yang ditekankan dalam Islam, pendidikan akhlak turut diberi penekanan dalam sistem pendidikan Negara. Persoalannya, mengapa masih terdapat pelbagai masalah sosial yang serius seperti zina, khalwat, sumbang mahram, kelahiran anak tak sahtraf dan kes pembuangan bayi yang berleluasa dalam masyarakat. Penulisan ini bukan bertujuan mengupas persoalan keberkesanan sistem pendidikan tersebut, tetapi menjelaskan bagaimana pendekatan dakwah boleh diterapkan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap golongan yang terlibat dalam kesalahan berkaitan akhlak. Pendekatan ini bertujuan menangani masalah kerosakan akhlak yang sangat membimbangkan dalam masyarakat. Bagi mencapai obektif tersebut penulisan ini memfokuskan kepada kesalahan berkaitan akhlak yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Metod pengumpulan data secara dokumentasi dan kaedah temubual telah digunakan bagi mencapai objektif penulisan ini. Kata Kunci: akhlak, masalah sosial, dakwah, undang-undang
PENGENALAN Kajian ini dihasilkan bagi melihat bagaimana pelaksanaan undang-undang berfungsi sebagai medium dakwah dalam membentuk akhlak dan sahsiah individu dalam masyarakat. Kajian menumpukan kepada permasalahan akhlak kerana masalah sosial berkaitan akhlak seperti berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai, perlakuan sumbang mahram, khalwat, persetubuhan haram, pelacuran dan kelahiran anak tak sahtaraf berada pada tahap yang sangat membimbangkan walaupun masyarakat di Malaysia telah diberi penekanan tentang pendidikan akhlak. Bagi menangani masalah ini, penulis berpandangan bahawa pendekatan dakwah yang berkesan mampu mendidik masyarakat ke arah pembentukan akhlak dan peribadi yang baik. Ini kerana Islam menganjurkan pendekatan dakwah yang penuh dengan hikmah dan berhemah. Kejayaan pendekatan dakwah ini telah dibuktikan oleh Rasulullah saw dalam pelbagai posisi dan dimensi. Melihat kepada keberkesanan pendekatan dakwah ini, maka penulisan ini membentangkan bagaimana pendekatan ini juga dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah1995 khususnya berkaitan kesalahan tatasusila.
1
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
Di Malaysia, mahkamah syariah di setiap negeri mempunyai kuasa terhadap pelaksanaan undang-undang Jenayah Syariah melalui Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Bidangkuasa mahkamah syariah dalam menjatuhkan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 19841 yang telah memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau kombinasi dua atau ketiga-tiga hukuman tersebut. Persoalannya, adakah hukuman yang diperuntukan tersebut memadai dan berkesan untuk memberi pengajaran kepada pesalah atau berupaya mencegah masyarakat daripada terlibat dengan kesalahan-keslahan jenayah syariah? Jasri Jamal dan Siti Nor Farahiyah Zakariah (2007) dalam memetik pandangan Y.A.A Datuk Haji Aidi bin Haji Mokhtar dan Y.A Tuan Abd Walid bin Hj Abu Hassan berpandangan penambahan hukuman amat perlu dan berharap dalam masa yang sama penambahbaikan dan mutu penghakiman akan berubah menjadi lebih baik. Walau bagaimanapun, hasil temubual penulis bersama hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan Ketua Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan di Jabatan Agama Islam Selangor, penulis merumuskan bahawa keberkesanan sesuatu hukuman itu perlu dinilai pada kualitinya dan bukan pada kuantitinya. Ini bermaksud ia perlu dinilai kepada sejauh mana hukuman tersebut mampu memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan sejauh mana ia berupaya mencegah perlakuan jenayah. Penguatkuasaan undang-undang Jenayah Syariah akan melalui beberapa peringkat pelaksanaan. Ia bermula dengan adanya aduan oleh mana-mana pihak terhadap perlakuan yang menyalahi mana-mana peruntukan enakmen jenayah syariah. Meskipun penguatkuasaan enakmen ini tertakluk kepada prosedur tertentu dan dilihat menggunakan pendekatan yang lebih tegas, namun metod pelaksanaannya berasaskan kepada prinsip keadilan yang berhemah selari dengan pendekatan dakwah yang diajar oleh Islam.
METODOLOGI KAJIAN Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang dilakukan dengan mengumpul data dan maklumat secara dokumentasi. Rujukan terhadap penulisan-penulisan ilmiah seperti jurnal, makalah, bukubuku, laporan akhbar serta dokumen-dokumen dari jabatan tertentu telah dilakukan bagi mendapatkan data dan maklumat yang diperlukan. Metod temubual turut dilakukan bagi mengesahkan maklumat-maklumat sekunder yang telah diperolehi. Kesemua rujukan yang dirujuk adalah berautoriti walaupun terdapat banyak rujukan yang bersifat sekunder. Bahan berkenaan dianalisis secara historis, induktif dan deduktif.
KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BERKAITAN AKHLAK Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan tatasusila sebagai adat sopan santun dan budi pekerti yang baik manakala akhlak didefinisikan sebagai budi pekerti, kelakuan atau tabiat. Persamaan antara kedua-dua istilah ini mempunyai pengertian yang sama di mana kedua-duanya merujuk kepada budi pekerti. Berdasarkan kepada kedua-dua definisi ini, penulis merumuskan bahawa kesalahan berhubungan tatasusila dilihat amat bersesuaian untuk diteliti dalam membincangkan permasalahan berkaitan akhlak. Sebagai contoh, dalam Enakmen Kesalahan Syariah Selangor 1995, tedapat beberapa kesalahan berhubungan tatasusila seperti khalwat, 2
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
persediaan melakukan persetubuhan haram, persetubuhan luar nikah, sumbang mahram, muncikari dan sebagainya. Kesalahan berkaitan akhlak ini juga seringkali dirujuk sebagai kesalahan berkaitan moral. Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan moral sebagai ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang berasaskan atau diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak. Jelas, ketiga-ketiga istilah ini saling berkait dan merujuk kepada pengertian yang sama. Menurut Nasimah Hussin et al. (2007) dalam satu ulasannya tentang kesalahan berkaitan dengan kesusilaan dan moral dalam undang-undang kesalahan jenayah syariah di Malaysia, akhlak merupakan satu komponen asas agama Islam. Maka tidak hairanlah mengapa undang-undang Islam amat menitikberatkan persoalan akhlak dan memastikan supaya setiap muslim berkelakuan baik sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dan hadith. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith, rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”. Artikel ini menilai bagaimana pendekatan dakwah diaplikasikan dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan akhlak. Masyarakat pada hari ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah kerosakan akhlak seperti khalwat, sumbang mahram, zina, kelahiran anak tak sahtaraf dan pembuangan bayi. Analisis terhadap peruntukan enakmen jenayah syariah mendapati bahawa perlakuan tersebut merupakan kesalahan jenayah syariah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabitkan bersalah. Maka jika seseorang melakukan mana-mana perlakuan yang menjadi kesalahan di bawah peruntukan enakmen kesalahan jenayah syariah, di mana tatacara pelaksanan atau prosedur penguatkuasaannya adalah tertakluk kepada Prosedur Tatacara Jenayah Syariah. PENDEKATAN DAKWAH DALAM PELAKSANAAN BERKAITAN KESALAHAN TATASUSILA
UNDANG-UNDANG
Siti Zubaidah (2008) dalam penjelasannya tentang maksud penguatkuasaan jenayah syariah telah merujuk kepada melaksanakan peraturan yang diperuntukkan di bawah mana-mana undangundang Islam yang sedang berkuatkuasa seperti peruntukan yang terdapat di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Penjelasan ini memberi satu kefahaman bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang adalah merujuk kepada proses yang sama. Tatacara penguatkuasaan yang tertakluk kepada prosedur tertentu ini memberi persepsi bahawa pendekatan undang-undang yang digunakan bersifat tegas tanpa mempunyai ruang untuk menggunakan budibicara. Walaubagaimanapun, penelitian terhadap pendekatan pelaksanaan undang-undnag tersebut mengubah persepsi awal terhadap ketegasan pendekatan yang digunakan dalam menguatkuasa undang-undang. Penekanan terhadap prinsip-prinsip keadilan dan ketelitian pertimbangan dalam proses penguatkuasaan undang-undang hakikatnya memperlihatkan bahawa proses penguatkuasan undang-undang tidak pernah mengetepikan pendekatan dakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Siti Zubaidah (2008) dalam kajiannya mendedahkan bahawa pihak berkuasa berhadapan dengan pelbagai kerenah dan cabaran yang tersendiri. Bagi kesalahan berkaitan moral atau tatasusila misalnya, terdapat langkah-langkah menangani suspek di tempat kejadian yang kadang- kadang dilihat sebagai tidak sesuai sehingga tidak menyenangkan mereka yang terlibat. Terdapat 3
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
segelintir masyarakat yang menuduh pihak penguatkuasa agama mencampuri urusan peribadi dan kebebasan mereka apabila menangkap dan menyiasat golongan yang disyaki terlibat dengan kesalahan moral. Maka, dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam melaksanakan tugas ini, pihak yang terlibat perlu memahami tujuan dan matlamat pelaksanaan tugas tersebut yang mana antara objektif utamanya adalah menjalankan amanah Allah supaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Artikel ini menjelaskan bagaimana pelaksanaan atau proses penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan akhlak itu perlu dilihat sebagai satu tindakan yang menerapkan pendekatan dakwah dalam mencegah kemungkaran. 1.
Pendekatan Dakwah dalam Penguatkuasaan
Siti Rahmaniah Bachok (2010) menerangkan maksud penguatkuasaan sebagai suatu tindakan yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) yang berbidang kuasa ke atas seseorang yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah yang berkuatkuasa di sesebuah negeri. Proses penguatkuasaan bermula selepas menerima sesuatu maklumat atau aduan berkaitan suatu kesalahan yang berlaku. Ia meliputi siasatan sebelum melakukan tagkapan, siasatan semasa melakukan tangkapan dan siasatan selepas berlakunya sesuatu tangkapan sehingga kes dipanjangkan ke Bahagian Pendakwaan. Konsep melakukan siasatan sebaik-baik sahaja menerima aduan tentang sesuatu perlakuan jenayah juga bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam Al-Hujrat, ayat 659 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq dengan perkhabaran berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya kerana ditakuti kamu akan bertindak buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan maka kamu menyesali atas apa yang kamu telah lakukan. Dalam ayat ini, Allah s.w.t. telah memerintahkan orang-orang yang beriman agar menyelidik dan menyiasat kebenaran tentang sesuatu berita yang dibawa oleh seorang fasiq sebelum mengambil tindakan kerana dibimbangi jika tidak diselidiki dan berita yang dibawa itu pula terbukti tidak benar, maka mungkin ada tindakan-tindakan yang terburuburu telah diambil yang kelak membawa kepada ketidakadilan serta kezaliman ke atas manamana pihak. Penyiasatan dan penyelidikan ini membuktikan Islam menekankan keadilan dan menutup ruang penindasan atau kezaliman sekalipun terhadap orang yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan. Proses penguatkuasaan undang-undang ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada prosedur dan peraturan tertentu. Ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu atau ketidakaturan dalam menjalankan tugas yang mungkin boleh memprejudiskan mana-mana pihak. Abdul Monir Yaakob (2013) dalam penulisannya menyatakan bahawa prosedur yang digunakan oleh mahkamah syariah di seluruh Negara pada hari ini adalah berdasarkan kepada Kanun Prosedur Jenayah Syariah yang diadaptasi daripada Kanun Prosedur Jenayah yang dipakai oleh Mahkamah Awam Malaysia. Sebagai usaha meningkatkan tahap profesionalisme dari aspek penguatkuasaan dan pendakwaan jenayah syariah, satu Standard Operating Procedure (SOP) telah diwujudkan agar pelaksanaan proses penguatkuasaan dilakukan dengan betul dan tidak menyalahi peraturan. Siti Zubaidah (2008) dalam tinjauannya mendapati Melaka dan Negeri Selangor merupakan antara negeri yang terlebih dahulu mempunyai dasar atau arahan tetap pengurusan penguatkuasaan. Di Selangor, Arahan Tetap Pengarah JAIS 2002 (Pindaan 2004) yang khusus berkenaan dengan kaedah 4
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
menangani maklumat dan aduan daripada orang awam telah wujud di mana terdapt 67 peruntukan di bawah Arahan Tetap terbabit yang wajar diikuti oleh semua PPA dalam menjalankan tugas mereka. Menyentuh isu berkaitan perlakuan tidak sopan, apakah sebenarnya yang boleh difahami dengan maksud perlakuan tersebut? Sesetengah pihak tidak memahami maksud kesalahan tersebut dan ada sesetengahnya pula tidak memandang serius tentang perlakuan tidak sopan. Ini mungkin disebabkan istilah perlakuan sopan yang diperuntukkan dalam enakmen kesalahan jenayah itu sendiri bersifat terlalu umum. Arahan Amalan No. 8 Tahun 2005 mentakrifkan perlakuan tidak sopan sebagai apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh mana-mana orang di mana-mana tempat awam termasuk bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan, pertuturan atau isyarat lucah atau berpakaian yang mengghairahkan, atau lain-lain perbuatan yang tidak sopan yang bertentangan dengan Hukum Syarak. Tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa perlakuan tidak sopan adalah kesalahan serius yang tidak harus dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Menurut Shahzehan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan yang terlibat secara langsung dengan penghasilan Arahan Tetap S.S JAIS 2015 bilangan 3 bagi melaksanakan tindakan pencegahan perlakuan tidak sopan di khalayak ramai di bawah seksyen 31, perlakuan tidak sopan merangkumi beberapa perbuatan yang telah diperincikan dan perbuatan-perbuatan tersebut perlu ditangani dengan cara yang berbeza. Tindakan pertama yang perlu dilakukan bagi mencegah perlakuan tidak sopan ialah memberi nasihat dan arah beredar. Jika penguatkuasa mendapati terdapat mana-mana pasangan lelaki dan perempuan bukan mahram dalam keadaan berjalan sambil berpegangan tangan, duduk rapat bergurau senda, duduk tangan di atas bahu, duduk rapat berpegangan tangan, suap-menyuap atau berjalan tangan di bahu, mereka tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan melakukan perlakuan tidak sopan, tetapi perlu ditangani dengan cara memberi nasihat dan diarahkan beredar. Jika didapati mana-mana lelaki atau perempuan bukan mahram yang terlibat dalam mana-mana perbuatan seperti duduk merangkul pasangan, berdepan atau membelakang di celah kangkang pasangan, berjalan merangkul pasangan, menyandar kepala di bahu atau dada pasangan dan mengusap atau menyelat rambut pasangan, mereka akan diarahkan untuk menghadiri kursus yang dijalankan oleh JAIS. Arahan ini turut menggariskan supaya pegawai penguatkuasa yang menerima kahadiran pelaku-pelaku yang dikeluarkan surat arah hadir kursus ini dilayan dengan baik dan bersopan santun. Panduan ini menunjukkan betapa pentingnya adab dan kesopanan yang membentuk akhlak seseorang ditonjolkan sekalipun dalam menangani masalah akhlak yang dilakukan oleh pesalahlaku akhlak itu sendiri. Pendekatan ini merupakan satu metod dakwah yang baik dan perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana ia dilihat mampu melembutkan dan menjinakkan jiwa menyimpang dari landasan syariat Islam. Seterusnya, bagi mana-mana pasangan bukan mahram yang terlibat dengan perlakuan yang lebih serius seperti baring di atas riba atau di celah kangkang pasangan, meraba atau saling membuat rabaan, mengucup, berkucupan, mencium atau bercium, berpeluk secara berdepan atau memasukkan tangan ke dalam pakaian pasangan boleh dikenakan tindakan mahkamah. Mereka akan dibawa ke mahkamah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang yang berkuatkuasa. 5
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
Penulis tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh pihak penguatkuasa semasa menjalankan penguatkuasaan. Shahzehan menjelaskan proses penguatkuasaan dijalankan berdasarkan prinsip amar makruf nahi mungkar. Pendekatan dakwah yang digunakan bagi mencegah kemungkaran telah diterapkan kepada pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS. Maka, niat yang perlu ada pada setiap penguatkuasa seharusnya adalah untuk menjalankan perintah yang diamanahkan oleh Allah untuk mengajak manusia ke arah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Keberhasilan sesuatu tugas dan amanah tersebut tidak perlu dinilai dengan kuantiti, tetapi perlu diukur dengan kualiti. Penulis berpandangan sekiranya setiap penguatkuasa menyedari tanggungjawab sebenar mereka dalam menjalankan amanah ini, maka nasihat dan teguran yang diberikan kepada orang yang terlibat dengan kesalahan akhlak ini mungkin dapat dilakukan dengan penuh berhemah. Teguran yang berhemah mampu memberi impak yang lebih berkesan kepada mereka yang melakukan kesalahan berbanding berkasar dalam membuat teguran yang hanya mungkin mengundang dendam. Walau bagaimanapun, penulis berpandangan satu kajian yang lebih khusus perlu dilakukan bagi menilai sejauh mana pendekatan yang diamalkan ini berkesan menangani masalah berkaitan perlakuan kurang sopan ini. Menurut beliau lagi, sekiranya siasatan gagal mengumpul bukti-bukti yang kukuh untuk diteruskan dengan pendakwaan, orang yang disyaki melakukan kesalahan akan diperintahkan menghadiri kursus amar makruh nahi munkar yang dikendalikan oleh JAIS. Ia bertujuan memberi bimbingan, kesedaran dan keinsafan kepada mereka agar tidak mensia-siakan diri dengan melakukan perbuatan maksiat yang boleh kengundang kemurkaan Allah. Langkah JAIS dalam mengadakan kursus seumpama ini jelas menunjukkan bahawa mereka bukan hanya menggalas tugas sebagai penguatkuasa undang-undang, malah merupakan seorang pendakwah. Pendekatan dakwah yang dilakukan ini juga harus disambut baik dan dilihat sebagai satu usaha murni yang boleh mengubah persepsi umum terhadap penguatkuasaan undang-undang yang bersifat tegas. Justeru, penulis bersetuju dengan Siti Zubaidah (2008) dalam kajiannya yang merumuskan bahawa sepanjang melakukan siasatan, PPA hendaklah menahan mulut dari mengeluarkan katakata yang tidak sedap didengar baik dalam bentuk sindiran mahupun gurauan. Nasihat ini sebenarnya amat bertepatan dengan konsep ʻ amar makruf nahi mungkar’ yang merupakan tunjang operasi hisbah dalam pentadbiran Islam.
2.
Memastikan Kekukuhan Bukti dalam Pendakwaan
Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) dalam memetik penjelasan Tuan Ibrahim bin Deris, Ketua Pendakwa Syarie, Bahagian Pendakwaan, JAWI setelah sesuatu siasatan oleh pegawai penguatkuasa agama itu selesai serta berjaya mengumpul keterangan yang cukup kukuh untuk mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan, kertas siasatan hendaklah dimajukan kepada pendakwa syarie negeri. Ketua pendakwa syarie seterusnya akan meneliti kertas siasatan dari semua sudut sebelum memutuskan samada sesuatu pertuduhan dan pendakwaan akan dibuat ataupun sebaliknya. Sekiranya pendakwa syarie masih belum berpuashati dengan keterangan yang dikemukakan, beliau boleh mengarahkan pegawai penguatkuasa agama untuk meneruskan siasatan bagi mengumpul lagi keterangan-keterangan lain dalam usaha memperkukuhkan lagi 6
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
keterangan yang sedia ada. Tetapi sekiranya ketua pendakwa syarie berpuashati dengan kertas siasatan serta kekukuhan keterangan yang dikumpulkan dalam siasatan, maka Ketua pendakwa syarie akan memulakan tugas-tugas melakukan pendakwaan ke atas tertuduh. Berdasarkan penjelasan ini, sikap berhati-hati dan kesungguhan dalam memastikan kekukuhan keterangan di peringkat siasatan membuktikan bahawa dalam perundang Islam, keadilan bukan hanya boleh dinilai pada peringkat penghakiman, malah usaha memastikan keadilan yang dicapai itu boleh dinilai sejak dari peringkat awal di mana hak seorang yang disyaki dipastikan terpelihara walaupun masih dalam peringkat siastan. Keindahan perundangan Islam yang ditonjolkan pada peringkat ini boleh melembutkan hati mereka yang melakukan kesalahan untuk menginsafi kesalahan diri. Ini kerana Islam masih memelihara adab dan prinsip keadilan walaupun dalam urusan membuktikan pendakwaan terhadap orang yang bersalah. Prinsip syariah berkaitan prosedur pendakwaan dilihat selari dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al Nisa’ ayat 581 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil”. Dalam ayat 42 surah Al-Maidah pula Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu menghukum (perkara mereka) maka hukumlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil. Kedua-dua ayat ini secara jelas menuntut supaya keadilan ditegakkan dan dilaksanakan dalam sesuatu penghukuman. Perlu difahami bahawa keseluruhan prosedur pendakwaan yang dilakukan ke atas tertuduh adalah untuk mencapai keadilan bagi pihak pendakwa dan pihak peguambela tertuduh. Sebagaimana Siti Zubaidah (2008), Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) dalam kajiannya juga mendapati Melaka dan Selangor sebagai pelopor mengadakan arahan tetap penguatkuasaan sebelum penyelarasan dibuat. Walaubagaimanapun dalam konteks pendakwaan pula, didapati Sabah adalah negeri yang mula-mula sekali mempunyai Arahan Ketua Pendakwa Syarie iaitu sejak tahun 2000 lagi. Arahan yang diletakkan dalam buku kecil ini disediakan oleh Bahagian Pendakwaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Namun kini, Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan di bawah JAKIM juga telah mengeluarkan Arahan Ketua Pendakwa Syarie dan ia telah pun diterima untuk digunapakai di negeri- negeri. Antaranya Sarawak telah menamakannya Arahan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sarawak dan telah dikeluarkan pada awal 2008. Negeri-negeri lain juga juga difahamkan telah menerima pakai garis panduan ini yang merangkumi carta alir kerja dan tindakan yang dihuraikan untuk kegunaan Ketua Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie. Ia merangkumi peraturan bermula dari penyediaan buku daftar semenjak penerimaan Kertas Siasatan dari Bahagian Penguatkuasaan dan diikuti dengan kaedah menyemak Kertas Siasatan, penyediaan draf pertuduhan jenayah dan segala tatacara berkaitan prosiding pendakwaan dan ketika perbicaraan. Dalam konteks prinsip pendakwaan, ketika membuat keputusan untuk mendakwa, Arahan Ketua Pendakwa Syarie menetapkan bahawa Pendakwa Syarie hendaklah mengambilkira perkaraperkara berikut: 1. Prima facie, maksudnya kecukupan keterangan yang diterangkan sebagaimana di bawah: a) Keterangan telah ditapis b) Keterangan telah melalui proses penilaian c) Keterangan mencukupi untuk mensabitkan kes 7
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
d) Saksi-saksi yang kompeten berkredibiliti dapat dibawa ke mahkamah. 2. Kepentingan awam, yang merangkumi: a) Keseriusan kes tersebut b) Terdapat faktor keringanan dan pemberatan c) Usia muda, kecerdikan, tiada cacat akal, sihat fizikal kepada tertuduh, atau saksi tertuduh. d) Latarbelakang dan riwayat hidup tertuduh e) Tahap keterlibatan tertuduh f) Kesan kesalahan terhadap agama, ketenteraman awam dan moral atau akhlak masyarakat serta imej pihak berkuasa agama. 3. a) b) c)
Kebolehterimaan pengakuan dan keterangan lain: Terdapat keterangan pada diri tertuduh sendiri Terdapat dokumen-dokumen yang menyokong dan Tidak terdapat unsur-unsur paksaan.
Beberapa prinsip boleh difahami dari pegangan di atas, iaitu kepentingan awam adalah faktor utama sesuatu kes didakwa. Justeru tidak semua kes berakhir dengan pendakwaan. Prinsip asas yang mesti dipegang oleh Pendakwa ialah seorang suspek patut didakwa hanya sekiranya bukti mencukupi untuk didakwa. Prinsip yang dipegang dalam pendakwaan ini turut diperakui oleh Shahzehan yang turut berpengalaman dalam perkhidmatannya selama lebih kurang 20 tahun. Beliau turut memaklumkan bahawa antara punca kegagalan pendakwaan terhadap sesuatu kesalahan adalah kekurangan bukti.
Keberkesanan Hukuman bagi Mencegah Kemungkaran Menurut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Apabila tertuduh dibawa ke Mahkamah, pertuduhan akan dibacakan serta diterangkan kepada tertuduh mengikut bahasa yang difahaminya. Kemudian mahkamah perlu merekodkan pengakuan tertuduh iaitu sama ada mengaku salah atau minta dibicarakan. Sekiranya tertuduh memilih untuk mengaku salah mahkamah hendaklah memastikan tertuduh memahami implikasi pengakuannya. Pihak Pendakwa selepas itu hendaklah mengemukakan fakta kes mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh. Sekiranya tertuduh mengakui fakta tersebut, maka barang-barang bukti yang lain seperti laporan polis, laporan bertulis kepada pegawai penguatkuasa, laporan perubatan, laporan kimia dan lain-lain akan dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah. Setelah mahkamah berpuashati wujudnya cukup keterangan untuk mensabitkan tertuduh, maka mahkamah hendaklah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya. Pada peringkat ini, tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman. Dalam pada itu, Pihak Pendakwa diberi peluang membuat hujahan balas terhadap rayuan mitigasi yang dikemukakan olej tertuduh dengan mengemukakan alasan-alasan yang kukuh. Setelah mempertimbangkan segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, maka mahkamah akan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Bagi kes yang melibatkan pengakuan tidak salah, tertuduh biasanya akan memohon untuk dibicarakan. Pendakwa Syarie akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan dakwaannya. 8
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
Pada peringkat ini, keterangan saksi pendakwa syarie penting bagi menentukan wujudnya prima facie atau sebaliknya. Mahkamah akan menentukan sama ada wujud prima facie atau tidak setelah mendengar hujah Tertuduh dan pendakwa syarie. Sekiranya tidak wujud prima facie, Tertuduh akan dibebaskan dan sekiranya wujud prima facie, tertuduh akan dipanggil untuk membela diri. Pada ketika ini terduduh mempunyai pilihan untuk memilih memberi keteragan secara bersumpah yang mana implikasinya beliau boleh disoal balas oleh pendakwa syarie dan diperiksa semula oleh peguamnya, atau memberi keterangan tidak bersumpah yang mana beliau tidak boleh disoal balas dan disoal semula oleh peguamnya atau berdiam diri tanpa memberi keterangan yang mana mahkamah akan merekodkan keterangan daripada saksi-saksinya sahaja. Mahkamah akan membuat keputusan bagi menentukan sama ada tertuduh disabitkan bersalah atau tidak selepas menengar hujah kedua-dua pihak. Maka hukuman akan dijatuhkan mengikut skop hukuman yang ditetapkan jika tertuduh disabitkan bersalah dan dibebaskan sekiranya didapati tidak bersalah. Ahmad ‘Azam Mohd Shariff (2011) berpandangan dalam hal ini seorang hakim mahkamah syariah seharusnya bersikap objektif dan terbuka dengan menilai setiap hujah serta keterangan yang dikemukakan. Beliau seharusnya tidak memihak kepada mana-mana pihak demi mencapai keadilan. Sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh kedua belah pihak sehingga membantu beliau mencapai satu penghakiman yang adil. Inilah keadilan yang menjadi matlamat sebenar sesuatu prosedur pendakwaan jenayah syariah. Zaini Nasoha (2008) dalam memetik pandangan Abd qadir Audah, menekankan prinsip-prinsip hukuman berikut bagi memastikan keberkesanan dalam hukuman: 1. Hukuman hendaklah menjadi pencegah perlakuan jenayah dan menjadi pengalaman yang memeritkan selepas penjenayah mengalaminya serta menjadi peringatan kepada orang lain supaya takut untuk melakukan kesalahan tersebut. 2. Batasan hukuman adalah berdasarkan keperluan masyarakat. 3. Sekiranya keperluan masyarakat terhadap kesan daripada sesuatu perbuatan jenayah itu sampai ke tahap perlu menghapuskan penjenayah atau menjauhkannya, maka hukuman yang sesuai dan perlu adalah hukuman mati atau penjara seumur hidup. 4. Setiap hukuman yang diperuntukan oleh syarak adalah untuk kebaikan individu dan melindungi masyarakat. 5. Pelaksanaan sesuatu hukuman bukan bertujuan membalas dendam Prinsip-prinsip ini perlu diteliti bagi melihat sama ada hukuman sedia ada memenuhi prinsip tersebut. Hukuman yang tidak mematuhi prinsip-prinsip tersebut mungkin menyebabkan hukuman yang dijatuhkan akan menjadi sia-sia. Akhirnya, sesuatu kesalahan jenayah tidak akan berjaya ditangani. Peruntukan bidang kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah untuk menghukum orang Islam yang melakukan kesalahan jenayah pada hari ini ialah penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau hukuman sebat tidak melebihi enam sebatan atau kombinasi mana-mana jenis hukuman tersebut. Berdasarkan peruntukan “3-5-6” tersebut, didapati bahawa peruntukan ini mempunyai skop yang kecil. Malahan, secara realitinya hakim 9
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
syarie lebih cenderung mengenakan hukuman denda berbanding hukuman penjara atau sebatan. Dalam temubual bersama Yang Arif Tn. Hj Salehan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 6 Ogos 2015, beliau menjelaskan bahawa seorang hakim perlu membuat pertimbangan dengan mengambilkira semua aspek sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman bagi sesuatu kesalahan agar hukuman tersebut mencapai objektif penghukuman dan bukan menambahkan kemudharatan ke atas pesalah. Sebagai contoh dalam menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas seseorang pesalah jenayah syariah, perlu dilihat implikasinya jika pesalah tersebut ditempatkan bersama pesalah-pesalah jenayah sivil yang lebih serius. Ini kerana dibimbangi pesalah-pesalah syariah syariah ini akan dipengaruhi melakukan perbuatanperbuatan lain yang lebih serius. Langkah berhati-hati bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih buruk ini merupakan satu tindakan yang berasas, namum ia tidak harus dijadikan alas an yang berterusan bagi mengelakkan hukuman penjaraan yang mungkin lebih memberi kesan dalam penghukuman. Ainul Bashirah Bt Ismail et al. (2012) dalam kajiannya mendapati peningkatan kes-kes khalwat dan perlakuan tidak sopan secara tidak langsung menunjukkan bahawa hukuman yang sedia ada seolah-olah kurang memberi pengajaran kepada masyarakat agar menghindari perbuatan tersebut. Hal ini telah menyebabkan matlamat penghukuman untuk memulihkan dan mencegah pesalah sukar untuk dicapai. Penulis berpandangan sesuatu hukuman yang mampu mencegah perlakuan jenayah ini sangat penting untuk dilaksanakan agar ia bukan sekadar menjadi pengajaran kepada pesalah, malah boleh menghalang orang lain daripada melakukannya. Sekiranya hukuman denda dan pemenjaraan dilihat sebagai kurang bersesuaian untk dilaksanakan, maka pihak mahkamah perlu mempertimbangan pelaksanaan hukuman alternatif lain seperti perintah khidmat masyarakat. Menurut kajian Arifah Rahimah Ismail dan Mohd. Al Adib Samuri (2014), di Malaysia, hukuman perintah khidmat masyarakat sememangnya telah dilaksanakan oleh badan perundangan di mahkamah sivil terhadap pesalah muda yang terlibat dalam kesalahan jenayah. Walaubagaimanapun, dalam sistem perundangan syariah, peruntukan berkaitan perintah khidmat masyarakat ini masih dalam peringkat cadangan untuk diimplementasikan sebagai hukuman tambahan di mahkamah syariah Malaysia atas beberapa faktor termasuk kegagalan matlamat asas penghukuman serta kelemahan peruntukan sedia ada. Bagi kesalahan yang berhubungan tatasusila, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 melalui seksyen 54 memperuntukkan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pesalah perempuan yang terlibat dengan kesalahan tatasusila menjalani tempoh pemulihan di rumah-rumah perlindungan yang diiktiraf untuk satu tempoh yang tidak melebihi enam bulan. Peruntukan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak mahkamah dalam menjatuhkan hukuman kerana kebanyakan rumah-rumah perlindungan mempunyai modul-modul tersendiri yang mampu memperkasa pembentukan peribadi dan rohani. Ruang dan peluang yang wujud melalui perintah mahkamah supaya dihantar ke rumah perlindungan yang diiktiraf ini merupakan permulaan untuk menyediakan pesalah kepada platform dakwah melalui pelaksanaan undang-undang. Maka penulis merumuskan bahawa dakwah masih boleh dilaksanakan selari dengan pelaksanaan undang-undang dan integrasi kedua-dua pendekatan ini mampu memberi impak yang lebih maksima.
10
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
PENUTUP Akhlak merupakan elemen penting yang menjadi asas dalam agam Islam. Ia tidak dapat dipisahkan daripada aqidah dan syariah kerana ia saling melengkapi antara satu sam lain. Terdapat pelbagai kategori perlakuan yang bertentangan dengan akhlak Islami yang berlaku dalam masyarakat. Enakmen Jenayah Syariah mempunyai peruntukan khas berkaitan kesalahan yang berkaitan dengan akhlak. Tatacara pelaksanaan undang-undang terhadap kesalahan tersebut adalah tertakluk kepada Enakmen Tatacara Prosedur Jenayah Syariah. Satu siasatan akan dimulakan apabila adanya aduan salahlaku terhadap seseorang dilakukan. Bagi kes-kes yang diteruskan dengan siasatan, didapati konsep penyiasatan tersebut adalah berdasarkan kepada prinsip menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar ma'ruf nahi mungkar. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T dalam Ali-Imran, ayat 104 yang bermasud “Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat yang baik dan melarang daripada berbuat yang mungkar dan mereka itu adalah terdiri daripada orangorang yang Berjaya”. Pengaduan kepada pihak berkuasa tentang berlakunya sesuatu jenayah yang menjadi asas permulaan kepada sesuatu siasatan juga sebenarnya boleh dianggap sebagai satu cara mencegah kemungkaran dengan menggunakan lidah atau perkataan, selari dengan sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud “ barang siapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya, barang siapa yang tidak mampu, maka dengan lidahnya, barang siapa yang tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”. Dalam penguatkuasaaan undang-undang, masih terdapat ruang-ruang dakwah dan toleransi di mana bagi sesetengah kesalahan seperti berkelakuan kurang sopan di khalayak ramai, pihak penguatkuasa menggunakan pendekatan dakwah terlebih dahulu dengan memberi nasihat atau diarahkan beredar tanpa terus mengambil tindakan yang lebih tegas. Bagi mereka yang terlibat dalam kesalahan yang berkaitan, ruang dan peluang ini harus digunakan sebaik mungkin sebagai peringatan dan terus bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut. Walaupun pelaksanaan undang-undang dilihat sebagai satu pendekatan yang tegas, namu peruntukan undang-undang yang membolehkan hakim memerintahkan pesalah dihantar ke pusat-pusat pemulihan yang diiktiraf menunjukkan bahawa tujuan sesuatu hukuman bukanlah sebagai balasan atau denda akibat perbuatan salahlakunya, namum ia mempunyai matlamat yang jauh lebih murni daripada itu iaitu memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri. Oleh itu, pendekatan dakwah melalui modul-modul di pusat perlindungan diyakini mampu mendidik jiwa dan membentuk jatidiri pesalah agar menjadi insan yang lebih sempurna akhlak dan peribadinya.
11
International Conference on Aqidah, Dakwah And Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12th – 13th October 2015 Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah Dan Syariah 2015 (IRSYAD2015), Kuala Lumpur, 12-13 Oktober 2015
RUJUKAN Abdul Monir Yaacob. Ulasan Buku “Mahkamah Syariah di Malaysia” Jurnal Syariah, Jil 21 Bil.1 (2013) 75-88 Ahmad ‘Azam Mohd Shariff. 2011. Prosedur Pendakwaan Jenayah Syariah: Analisis ke atas Peruntukan Undang-undang di bawah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997. (2011) 15 JUUM 1-18 Ainul Bashirah Bt Ismail, Zuliza Bt Mohd Kusrin, Mat Noor Mat Zain, Kesalahan Khalwat Dan Perbuatan Tidak Sopan Dan Hukumannya Menurut Islam, Jurnal Hadhari 4 (2) (2012) 65 – 88 Arifah Rahimah Ismail, Mohd. Al Adib Samuri. 2014. Perintah Khidmat Masyarakat Sebagai Hukuman Alternatif Di Mahkamah Syariah Malaysia. 26 Kanun (2) 192-217. Hajah Noresah et. al. 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jasri Jamal, 2003. “Konsep Hukuman Takzir di dalam Kanun Jenayah Syariah di Malaysia”. Kertas Kerja Prosiding Seminar Kebangsaan Fiqh Semasa, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, hlm. 181. Jasri Jamal & Siti Nor Farahiyah Zakariah, Kes-kes Jenayah Syariah yang Dilaporkan dalam Jurnal Hukum JKSM dari Tahun 2007-2011: Satu Analisa Ringkas, JH 35 Bhg 2, ms 179200. Nasimah Hussin et al. 2007. Undang-undang Islam Jenayah, Keterangan dan Prosedur.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Siti Zubaidah Ismail. 2008. Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di Malaysia: Satu Analisis. Shariah Journal, Vol. 16, Special Edition (2008) 537-554 Siti Zubaidah Ismail. 2011. Hukuman Alternatif dari Perspektif Undang-undang Syariah, Shariah Law Reports Articles. Siti Rahmaniah Bachok. Pelaksanaan penguatkuasaan kes hamil dan melahirkan anak luar nikah di negeri Melaka dan Negeri Sembilan : Satu kajian bandingan.2010 Zaini Nasohah, Beberapa Aspek Mengenai Hukuman Jenayah dalam Islam. Al- Syariah Jilid 4, Fiqh Jenayah, Siti Zalikhah Md Nor et al. Dewan Bahasa dan Pustaka 2008. Rujukan lain Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 19841 Arahan Tetap S.S Pengarah JAIS 2015 Arahan Amalan No. 8 Tahun 2005 Enakmen tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selngor) 2003 Kamus Dewan Edisi Keempat
12