1
2
METODOLOGI PENTAFSIRAN AL-TABARSI DALAM MAJMA’ AL-BAYAN Dr Ahmad Yunus Mohd Noor (
[email protected] ) Dr Ahmad Dahlan Salleh (
[email protected])
ABSTRAK Tujuan kajian ini adalah untuk melihat sebuah karya ulung pad abad ke-6 hijrah yang lalu iaitu Majma’ al-Bayan. Antara objektif penulisan ini ialah memperkenalkan biodata ringkas al-Tabarsi sebagai pengarang kepada kitab ini yang merangkumi pendidikan dan sumbangan beliau kepada masyarakat ketika itu. Selain itu, kertas ini juga bertujuan mengupas keunggulan yang terdapat pada Majma’ al-Bayan dengan menelusuri sedikit latar belakang, metode, akidah dan idea-idea pemikiran yang terdapat di dalamnya. Manakala kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis dokumen. Kitab Majma’ alBayan menjadi fokus kajian ini kerana ia adalah karya yang mendapat tempat yang istimewa di kalangan ilmuan ketika itu dan berbeza dengan para mufassir yang lain. Terdapat beberapa tafsiran yang berbeza dengan kitab-kitab lain iaitu: prinsip imamah, Ismah al-A’immah, al-raj’ah, Imam Mahdi, taqiyyah, Nikah Mut’ah dan lain-lain lagi. Kajian akhirnya mendapati metodologi penafsiran beliau yang istimewa dan berlainan daripada karya-karya sebelumnya menjadi warisan ulama silam dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul dahulu, kini dan akan datang.
1.1 LATAR BELAKANG IMAM AL-TABARSI
Nama sebenar beliau ialah Haji Mirza Husain bin Muhammad Taqiy al-Nuri al-Tabarsi. Beliau meninggal dunia pada tahun 538 H dan beliau dikebumikan di satu tempat di al-Najaf (Abu Umar 2013: 154).
Imam al-Tabarsi dibesarkan dalam suasana keluarga yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Pada peringkat awal kehidupan beliau, beliau tinggal di Tabakistan. Di sana, beliau 3
mendalami dan memahami ilmu-ilmu keagamaan dan kesusasteraan di samping ilmu falsafah dan bahasa Arab. Kemudian, beliau
berpindah ke Masyhad ar-Ridhawi yang terletak di
Khurasan. Di Masyhad ar-Ridhawi, beliau menghabiskan sebahagian daripada usianya untuk mengajar. Dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang sedia ada, beliau telah menyedari dalam dirinya bahawa beliau mampu untuk menghasilkan sebuah penulisan tentang ilmu tafsir sepertimana yang telah menjadi keinginan beliau semenjak usia muda beliau. Kemudian, beliau telah berpindah ke Sizwar untuk menghasilkan karya-karya beliau sehingga ke akhir hayat beliau (Muhammad Basuni, Faudah 1987: 121-122).
Beliau memiliki seorang putera yang bernama Radliy al-Din Abu Nashar Hasan dan seorang cucu yang bernama Abu al-Fadl Ali bin al-Hasan yang juga menjadi ulama yang besar (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 74).
Selain itu, al-Tabarsi merupakan seorang ulama yang terpenting pada zamannya kerana beliau telah menjadi tempat rujukan utama kepada para ulama lain pada waktu tersebut. Beliau juga terkenal dengan sifat serta budi pekerti yang luhur. Selain merupakan seorang ahli dalam bidang ilmu tafsir, imam al-Tabarsi juga menguasai bidang-bidang ilmu yang lain seperti bidang ilmu fiqh dan hadis (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 74).
Al-Tabarsi juga merupakan seorang tokoh Syiah yang muktabar dan diakui ketokohannya oleh ulama’-ulama’ Syiah yang lain seperti Agha Buzrug at-Tehrani, Syeikh Abbas al-Qummi dan lain-lain (Muhammad Asri Yusoff 2005: 39).
Imam al-Tabarsi menghasilkan begitu banyak karya yang menjadi rujukan kepada golongan Syiah seperti Kitab Majma’ al-Bayan yang terdiri daripada dua jilid, Kitab al-Wasit fi al-Tafsiri yang terdiri daripada empat jilid, Kitab al-Wajiz, Kitab ‘Ilam al-Wara bi A’lam alHuda yang terdiri dariapda dua jilid, Kitab Taj al-Mawalid dan Kitab al-Adab al-Diniyah. Beliau mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid beliau ialah Radliy al-Din, Abu Nashar Hasan bin al-Fadl Ibn Syhr Asyuaub, Syeikh Muntakhab al-Din dan Qutub al Rawandi manakala guruguru beliau pula ialah Syeikh Abu Ali al-Thusiy, Syeikh Abi Wafa’ Abdul Jabbar bin Ali al4
Muqri; ar-Razi, Syeikh al-Ajal al-Hassan bin al-Hussain bin al-Hassan bin Babaweh al-Qummi ar-Razi, Syeikh Imam Muwaffaq Din bin al-Fath al-Wa’idh al-Bakr Abadi, Sayyid Abi Thalib Muhammad bin al-Hussain al-Hussaini al-Jarjani, Syeikh al-Imam as-Sa’id az-Zahid Abi Fath Abdillah bin Abdil Karim bin Hauzan al-Qasyiri dan Syeikh Abil Hasan Ubaidillah Muhammad bin Hassan al-Baihaqi (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 74-75).
Imam al-Tabarsi juga dididik oleh sejumlah besar ulama, sama ada dalam kalangan ahlsunnah wa al-jama’ah mahupun dalam kalangan Syiah. Beliau memiliki ramai pengikut yang meriwayatkan hadis daripada beliau dan kesemua pengikut beliau adalah terdiri daripada ulama yang terkenal. Di samping itu beliau juga menulis pelbagai buku dan risalah mengenai subjeksubjek keagamaan, sains dan kesusasteraan (Ath-Thabrisi 2004: 11).
Selain itu, karya-karya imam al-Tabarsi sangat bernilai dan ia di tempatkan di perpustakaan-perpustakaan Islam. Beliau telah mewariskan khazanah ilmiah yang sangat besar yang mana ia banyak memberikan manfaat kepada kaum muslimin umumnya dan kaum Syiah Itsna Asy’ariyah khususnya. Kesemua karya beliau adalah kitab tentang ilmu tafsir yang sangat bagus. Selain itu, beliau juga telah mengarang kitab tafsirnya yang terbesar, iaitu Kitab Majma’ al-Bayan yang tidak asing lagi termasuk dalam kategori kitab-kitab tafsir yang terbesar. Imam alTabarsi juga telah mengarang kitab tafsirnya yang kedua, iaitu Kitab Jawami’ al-Jami’ yang mana ia dihasilkan untuk kepentingan kitabullah dan juga untuk kepentingan mazhab yang dianuti oleh beliau (Muhammad Basuni, Faudah 1987: 168). 2.1 KITAB MAJMA’ AL-BAYAN Kitab Majma’ al-Bayan ini mengandungi sebanyak 114 surah dan kitab ini ditafsirkan mengikut pendapat atau metodologi daripada imam al-Tabarsi, seorang tokoh muktabar Syiah. Kitab Majma’ al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir yang bercorak Syiah serta kurang dikenali di dunia sunni. Menurut Al-Dzahabi, imam al-Tabarsi dalam muqaddimahnya dalam Kitab Majma’ al-Bayan menjelaskan ilmu-ilmu al-Quran yang dibahagikan kepada tujuh bab 5
iaitu dengan menjelaskan bilangan ayat dalam al-Quran serta kepentingan mempelajarinya, menjelaskan masalah qiraat dan ulama-ulama qurra’, menjelaskan masalah tafsir serta ta’wil, menjelaskan al-Quran dan erti-ertinya, menjelaskan ulum al-Quran seperti i’jaz, ayat-ayat alQuran yang ditambah atau dikurangi, menjelaskan hadis-hadis yang ada kaitannya dengan keutamaan al-Quran dan menjelaskan anjuran-anjuran bagi pembaca al-Quran. Seterusnya imam al-Tabarsi meneruskan dengan mentafsirkan al-Quran dimulai dengan ta’awudh, basmalah serta surah al-Fatihah (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 78). Selain itu, dalam menghasilkan Kitab Majma’ al-Bayan, imam al-Tabarsi mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang mana dapat membezakan beliau dengan para mufassir yang lain. Antara keistimewaan Kitab Majma’ al-Bayan ialah penggunaan metodologinya yang belum dihasilkan oleh para mufassir yang sebelum beliau. Keistimewaan tersebut digambarkan dalam cara penulisan Kitab Majma’ al- Bayan dalam tertib susunan fasal-fasal serta urutan babbabnya, pengisian dan kesempurnaan gaya bahasanya. Di samping itu, Kitab Majma’ al-Bayan juga menghimpunkan riwayat-riwayat dan pandangan-pandangan dalam pelbagai masalah, kemudian menghubungkan masalah-masalah tersebut dalam membicarakan tentang ayat-ayat (Muhammad Basuni, Faudah 1987: 170). 3.1 FAKTOR IMAM AL-TABARSI MENGARANG KITAB MAJMA’ AL-BAYAN Antara faktor yang mendorong imam al-Tabarsi untuk mengarang Kitab Majma’ al-Bayan ialah menurut sebuah kisah telah berlaku kejadian yang pelik ke atas imam al-Tabarsi. Pada suatu ketika imam al-Tabarsi telah mengalami kaku diseluruh tubuhnya sehingga menyebabkan orangorang disekeliling beliau menganggap bahawa beliau telah meninggal dunia. Kemudian mereka telah memandikan, mengkafankan serta mengkuburkan beliau yang disangka telah meninggal dunia (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 75).
Tidak beberapa lama kemudian, beliau telah tersedar daripada rasa kaku tersebut dan berusaha untuk keluar daripada kubur. Pada waktu tersebut beliau telah membuat perjanjian yang mana jikalau beliau diselamatkan daripada musibah yang sedang dihadapinya itu, beliau akan 6
mengarang sebuah kitab ilmu tafsir. Beliau telah berjanji perkara tersebut kepada Allah. Setelah beberapa hari kemudian, telah datang beberapa orang manusia untuk menggali kuburnya serta mengeluarkan beliau daripada kubur dan memapahnya pulang ke rumah.
Selain itu, perkara-perkara lain yang mendorong imam al-Tabarsi dalam mengarang Kitab Majma’ al-Bayan adalah kerana inspirasi daripada kitab at-Tibyan karya Abu Ja’far Muhammad bin al-Hasan at-Thousi sehingga mendorong beliau mengarang kitab tersebut. Di samping itu, beliau turut memenuhi permintaan daripada Maulana al-Amir Muhammad bin Yahya bin Hibatulloh al-Husain untuk menghasilkan kitab tersebut (Muhammad Hussain alDzahabi 1976: 75).
Daripada kisah pelik tersebut yang berlaku ke atas diri imam al-Tabarsi, maka beliau telah menunaikan perjanjian yang telah dibuat untuk mengarang sebuah kitab ilmu tafsir dan terhasillah Kitab Majma’ al-Bayan, iaitu sebuah kitab tafsir yang menjadi rujukan kepada golongan Syiah pada masa ini.
4.1 AKIDAH IMAM AL-TABARSI
4.1.1 Akidah al-tahrif fi al-Quran
Akidah al-tahrif fi al-Quran merupakan satu akidah iaitu kepercayaan bahawa al-Quran yang ada pada tangan umat Islam pada masa ini telah diubah, diselewengkan dan ditokok tambah. Tokoh muktabar Syiah, iaitu Imam al-Tabarsi berpegang dengan akidah ini.
Allamah al-Nuri al-Tabarsi telah meriwayatkan daripada Mulla Baqir al-Majisi bahawa beliau telah berkata, “Tidak tersembunyi lagi bahawa hadis ini dan banyak hadis yang lain jelas menunjukkan bahawa al-Quran yang ada pada waktu ini telah dikurangkan dan diubah. Hadishadis ini sampai kepada mutawatir ma’nawi yang mana jika dibuangkan kesemuanya boleh menghilangkan kepercayaan kita terhadap hadis malah saya yakin bahawa hadis-hadis tentang
7
perkara ini tidak kurang daripada hadis-hadis yang mensabitkan Imamah” (An-Nuuri al-Tabarsi 1842: 353)
Penjelasan daripada Mulla al-Majisi ini jelas menunjukkan bahawa imam al-Tabarsi berpegang kepada akidah bahawa al-Quran pada masa ini telah diselewengkan, diubah dan ditokok tambah. Beliau telah meriwayatkan daripada Mulla al-Majisi yang dengan jelasnya telah menunjukkan bahawa beliau telah berpegang dengan kepercayaan tersebut. Selain itu, imam al-Tabarsi juga telah menukilkan kata-kata daripada Sayyid Ni’matullah alJazaairi di dalam kitabnya, iaitu kitab Fasl al-Khitab, “Bahawa tokoh-tokoh Syiah telah sepakat tentang sahihnya hadis-hadis yang sampai ke peringkat mutawatir yang dengan jelas menunjukkan bahawa berlakunya penyelewengan terhadap kitab al-Quran”. (An-Nuuri atThabarsi 1842: 30). Oleh hal yang demikian, imam al-Tabarsi dengan yakinnya telah mempercayai bahawa al-Quran yang ada pada masa ini telah diselewengkan, hal ini telah membuktikan pegangan akidah beliau.
Antara contoh al-Quran ditahrifkan ialah, imam al-Tabarsi juga telah meriwayatkan di dalam kitabnya, iaitu Kitab al-Ihtijaj bahawa, “Seorang zindiq telah mengemukakan beberapa kritikannya terhadap al-Quran kepada Saidina Ali lalu beliau menjawab kritikan-kritikan tersebut. Antara kritikan yang dibuat oleh beliau ialah tentang ayat al-Quran daripada surah alNisa’ ayat 3. Beliau telah mengkritik bahawa menurut kaedah nahu, ayat tersebut mengandungi jumlah syartiyyah. Apa yang diperlukan oleh jumlah syartiyyah daripada jaza’nya tidak terdapat di dalam ayat ini sedikit pun. Sebagai menjawab kepada kritikan tersebut, Saidina Ali berkata bahawa, “Ia adalah antara ayat al-Quran yang digugurkan oleh munafiqin daripada al-Quran. Sebenarnya antara perkataan itu terdapat lebih daripada 1/3 al-Quran yang terdiri daripada ayat-ayat khitab dan ayat-ayat qasas” (Ahmad bin Ali at-Thabarsi 1966: 119). Kenyatan imam al-Tabarsi ini jelas menunjukkan pegangan akidah beliau.
Di samping itu juga, antara golongan yang bertanggung jawab dalam usaha untuk menokok tambah al-Quran menurut imam al-Tabarsi ialah mereka yang terdiri daripada para sahabat 8
Rasulullah. Imam al-Tabarsi telah meriwayatkan dalam riwayat Abu Dhar al-Ghifari bahawa setelah Rasulullah wafat, Saidina Ali telah mengumpulkan al-Quran dan membawanya kepada golongan Muhajirin dan Ansar. Beliau telah menunjukkan al-Quran itu kepada mereka dan mengingatkan wasiat Rasulullah kepada mereka lalu Abu Bakar membuka al-Quran tersebut. Pada halaman pertama lagi rahsia kejahatan para sahabat telah terdedah. Saidina Umar berkata, “ Wahai Ali, ambillah semula mushaf ini, kami tidak memerlukannya”. Saidina Ali terus mengambilnya dan pulang. Kemudian Zaid bin Thabit dipanggil. Beliau merupakan individu yang arif tentang al-Quran. Lalu Saidina Umar berkata kepadanya, “ Sesungguhnya sebentar tadi Ali datang dengan membawa al-Quran yang di dalamnya tercatat segala kejahatan golongan Muhajirin dan Ansar. Kami bercadang hendak menyusun al-Quran dan membuang daripadanya kisah-kisah yang mengaibkan golongan Muhajirin dan Ansar”. Oleh itu, Zaid bin Thabit telah mengambil tugas tersebut dan berkata, “ Apabila saya selesai menyusun al-Quran sebagai mana yang kamu perintahkan dan Ali pula akan mengemukakan al-Quran yang disusunnya, tidakkah menjadi sia-sia apa yang kamu perintahkan ini?”. Umar menjawab pertanyaan Zaid bin Thabit tersebut, “ Kalau begitu, apakah helahnya?”. Kemudian Zaid menjawab persoalan tersebut dengan mengatakan bahawa Saidina Umar lebih mengetahui akan helahnya. Lalu Saidina Umar mencadangkan supaya Saidina Ali dibunuh agar mereka tidak terganggu lagi oleh Saidina Ali (At-Thabarsi 1966: 76-77).
Kemudian Saidina Umar telah merancang untuk membunuh Saidina Ali melalui Khalid ibn al-Walid tetapi beliau tidak mampu untuk melaksanakan rancangan tersebut. Setelah beliau dilantik menjadi khalifah, para sahabat telah meminta Saidina Ali supaya menyerahkan al-Quran itu kepada mereka (tujuan mereka adalah untuk menyelewengkan isi kandungan al-Quran tersebut). Tetapi Saidina Ali tidak memenuhi permintaan mereka dan beliau berkata, “ Aku hanya akan mengemukakan kepada Abu Bakar supaya hujah tetap ke atas kamu dan kamu tidak akan dapat berkata apa-apa pada hari kiamat kelak. Sesungguhnya al-Quran yang ada padaku ini tidak dapat disentuh, kecuali oleh golongan yang suci dan penerima wasiat daripada anak cucuku sahaja”. Sebaik sahaja mendengar penjelasan daripada Saidina Ali, Saidina Umar bertanya, “ Adakah waktunya al-Quran itu akan dipastikan?”. Lalu Saidina Ali menjawab, “ Ya,
9
apabila bangkit (Imam Mahdi) daripada keturunanku, dia akan mengemukakannya dan mengajak manusia menggunakannya” (At-Thabarsi 1966: 76-77)
4.1.2 Akidah al-Imamah dan al-Walayah iaitu kepercayaan bahawa imam-imam dua belas dalam kalangan Syiah dilantik berdasarkan nas dan mereka adalah ma’sum
Imam al-Tabarsi telah meriwayatkan kata-kata daripada Imam Syiah yang kesembilan, iaitu Muhammad bin Ali di dalam kitabnya iaitu kitab al-Ihtijaj, “ Dialah orang yang kelahirannya tersembunyi daripada orang ramai dan dirinya akan terus ghaib daripada penglihatan mereka. Sahabat-sahabatnya yang bersamaan dengan bilangan ahli Badar iaitu seramai 313 orang daripada seluruh dunia akan berkumpul padanya. Apabila telah berkumpul orang-orang yang ikhlas sebanyak bilangan tersebut bersamanya, pada ketika itu Allah akan menzahirkan urusanNya (akan mengeluarkannya daripada Ghaibah Kubranya)”(At-Thabarsi 1966: 230).
Oleh hal yang demikian, ia jelas menunjukkan bahawa imam al-Tabarsi memperakui kema’suman imam Muhammad bin Ali yang termasuk dalam kalangan imam dua belas. 5.1 METODE PENULISAN KITAB MAJMA’ AL-BAYAN
Dalam mentafsirkan al-Quran, imam al-Tabarsi mengemukakan beberapa metodologi yang digunakan dalam Kitab Majma’ al-Bayan. Antara metodologi yang telah digunakan oleh imam al-Tabarsi dalam mentafsirkan al-Quran ialah mengkategorikan ayat makiyyah dan ayat madaniyyah, menyatakan kekhilafan pada bilangan ayat, mengemukakan setiap perselisihan qiraat pada setiap ayat, menjelaskan ‘illat dan hujah masing-masing, menjelaskan asbab alnuzul, i’rab, ma’ani, hukum-hakam dan kisah-kisah serta kolerasi turutan ayat sehingga alDzahabi menyimpulkan bahawa Kitab Majma’ al-Bayan adalah merupakan perpaduan dalam mazhab Syiah dan Muktazilah (Muhammad Hussain al-Dzahabi 1976: 77).
Selain itu, jika dirujuk kepada kajian yang telah dilakukan oleh Rosihon Anwar (Rosihon Anwar 2001: 218), secara keseluruhannya corak pentafsiran yang digunakan oleh imam al10
Tabarsi adalah sama dengan corak pentafsiran ulama Syiah, iaitu pentafsiran simbolik yang menekankan kepada aspek batiniah al-Quran (Abdul Mustaqim 2003: 85). Kebiasannya, dalam khazanah ulum al-Quran, pentafsiran seperti ini dikenali sebagai pentafsiran batiniah. AlDhazabi menyebut pentafsiran simbolik dengan ungkapan al-Tafsir al-Ramzi, sedangkan Habil Dabashi menggunakan istilah tafsir esoterik (Abdul Mustaqim 2003: 222).
Imam al-Tabarsi juga menekankan pentafsirannya pada aspek batiniah al-Quran yang mana pengklasifikasian al-Quran terbahagi kepada dua bahagian yang terdiri daripada aspek lahiriah dan aspek batiniah. Ia merupakan prinsip terpenting dalam pentafsiran yang dilakukan oleh imam al-Tabarsi, bahkan aspek batiniah dianggap oleh beliau sebagai aspek yang lebih kaya daripada aspek lahiriah. Oleh itu, metodologi yang digunakan oleh imam al-Tabarsi dalam mentafsirkan al-Quran sepertimana yang dikemukakan oleh Rosihon Anwar adalah merupakan metodologi umum yang menggunakan pendekatan pentafsiran esoterismesentris yang merupakan metodologi pentakwilan (Rosihon Anwar 2001: 210). Sebagai pengikut Syiah Itsna ‘Asyariyah, imam al-Tabarsi meneruskan tradisi dalam kalangan ulama Syiah Itsna ‘Asyriyah, iaitu dengan menyesuaikan ayat-ayat Allah dengan prinsip-prinsip ajaran mereka sehingga mereka berusaha untuk menjadikan al-Quran sebagai dalil (justifikasi) bagi mereka yang lebih menekankan kepada metodologi pentakwilan (Muhammad Basuni, Faudah 1987: 135-136).
5.1.1 Prinsip-prinsip imam al-Tabarsi
Prinsip-prinsip imam al-Tabarsi dalam pentafsirannya adalah:
1. Prinsip imamah
Beliau mentafsirkan surah al-Maidah (5:55) : “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)”. 11
Berdasarkan ayat di atas, imam al-Tabarsi menjadikan ayat tersebut sebagai dasar bagi keimanan Saidina Ali selepas Nabi Muhammad secara langsung tanpa terputus. Menurut imam al-Tabarsi, pengertian ‘wali’ dalam ayat di atas adalah ‘yang lebih berhak’ atau ‘yang lebih utama’, iaitu ditujukan kepada Saidina Ali. Selain itu, pengertian ‘orangorang yang beriman’ dalam ayat tersebut juga ditujukan kepada Saidina Ali. Oleh itu, daripada penjelasan tersebut dapat difahami bahawa Imam al-Tabarsi menggunakan metodologi pentakwilan untuk mentakwilkan perkataan ‘wali’ dan ‘orang-orang yang beriman’ (Muhammad Basuni, Faudah 1987: 135-136).
2. Ismah al-A’immah
Beliau mentafsirkan surah al-Ahzab (33:33) : “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”. Imam al-Tabarsi mentafsirkan ayat ‘membersihkan’ dalam ayat di atas yang mana ayat tersebut diyakini sebagai dalil pensucian untuk ahlul bait dan ahlul bait dalam ayat tersebut ditujukan hanya kepada ahlul kisa dengan menafikan isteri-isteri Nabi Muhammad (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 82).
3. Al-raj’ah
Beliau mentafsirkan surah al-Baqarah (2:56) : “Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah mati supaya kamu bersyukur”.
Berdasarkan ayat tesebut, imam al-Tabarsi mentafsirkannya sebagai dasar utama alRaj’ah, iaitu suatu aqidah dalam mazhab Syiah. Apa yang dimaksudkan dengan al12
Raj’ah adalah manusia akan dihidupkan kembali setelah mati kerana ia adalah kehendak dan hikmat Allah. Setelah itu, manusia akan dimatikan kembali bersama-sama dengan makhluk-makhluk yang lain keseluruhannya. Syiah melihat bahawa kembalinya beberapa orang manusia setelah mati nanti iaitu selepas imam Mahdi diturunkan adalah merupakan satu daftar yang esensial. Menurut imam al-Tabarsi ayat tersebut membuktikan kebenaran al-Raj’ah dan kematian sebanyak dua kali.
4. Imam al-Mahdi
Beliau mentafsirkan surah al-Baqarah (2:3) : “Iaitu mereka yang beriman kepada alam ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka”.
Dalam mentafsirkan ayat di aats, imam al-Tabarsi mengatakan bahawa beriman kepada yang ghaib adalah beriman kepada imam al-Mahdi yang hilang dan kemudiannya akan kembali ke dunia untuk menciptakan keadilan di atas muka bumi ini dan akan menghitungkan orang-orang yang tidak memihak kepada Saidina Ali dan membela beliau (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 83).
5. Taqiyyah
Beliau mentafsirkan surah ali-Imran (3:28) : “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa yang berbuat demikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa) Nya. Dan hanya kepada Allah kembali (kamu).
13
Menurut imam al-Tabarsi, taqiyyah merupakan program rahsia, bahkan ia menjadi strategi yang mesti dilaksanakan. Mereka berpura-pura untuk taat sehingga sampai suatu masa akan melaksanakan rencana-rencananya tersebut. Beliau juga mentafsirkan perbuatan imam-imamnya yang dianggap sebagai taqiyyah, contohnya ialah diamnya Saidina Ali atas kekhalifahan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar serta perjanjian perdamaian antara Hassan dengan Mu’awiyah. 6. Nikah Mut’ah Beliau mentafsirkan surah al-Nisa’ (4:24) : “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapanNya atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari ister-isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna) sebagai satu kewajipan dan tiadalah mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya, sesudah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Dalam mentafsirkan ayat tersebut, imam al-Tabarsi menjelaskan bahawa ia adalah dasar utama dianjurkan nikat mut’ah dan tidak ada dalil lain yang menghapuskan hukum tersebut (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86). 7. Kewajipan mengusap kaki dalam berwudhu’
Beliau mentafsirkan surah al-Maidah (5:6) : “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai 14
kedua-dua mata kaki, dan jika kamu junub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan debu yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan debu itu. Allah tidak ingin meyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, supaya kamu bersyukur”. Imam al-Tabarsi mentafsirkan ayat ‘dan sapulah kepalamu dan sapu juga kakimu sampai dengan kedua-dua mata kaki’ kerana ayat tersebut adalah athaf bagi perkataan ‘kepalamu’ (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86).
8. Larangan menikahi wanita ahl al-Kitab
Beliau mentafsirkan surah al-Baqarah (2:221) : “Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik sebelu mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya budak yang mukmin lebih baik daripada orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya
(perintah-perintahNya) kepada
manusia
supaya mereka mengambil
pelajaran”.
Berdasarkan ayat tersebut, menurut imam al-Tabarsi ia merupaka landasan hukum bahawa Allah melarang menikahi wanita ahl al-Kitab (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86).
9. Harta rampasan
Beliau mentafsirkan surah al-Anfal (8:41) : 15
“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasuk, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orangorang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Alaah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa ke atas segala sesuatu”. 10. Ijma’ Beliau mentafsirkan surah al-Nisa’ (4:59) : “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86).
11. al-Huda wa al-Dalal beliau mentafsirkan sural al-An’am (6:125) : “Barangsiapa yang Allah mengkehendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orangorang yang tidak beriman”.
12. Melihat Allah
Beliau mentafsirkan surah al-Qiyamah (75:22-23) : 16
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat”.
Imam al-Tabarsi berpendapat sebagaimana pemikiran muktazilah bahawa manusia tidak akan mampu untuk melihat Allah pada hari akhirat atau di syurga. Walau bagaimanapun, beliau termasuk dalam kalangan golongan Syiah yang tidak begitu ekstrim seperti ulama yang lain-lain. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau tidak mengkafirkan para sahabat (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86).
13. Masalah sihir
Beliau mentafsirkan surah al-Baqarah (2:102) : “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudarat kepdanya dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui”.
14. Syafaat 17
Beliau mentafsirkan surah al-Baqarah (2:48) : “Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun; dan (begitu pula) tidak diterima syafaat dan tebusan daripadanya dan tidaklah mereka akan ditolong” (Muhammad Husain al-Dzahabi 1976: 86). KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa al-Tabarsi merupakan seorang tokoh cendikiawan dan mufassir yang prolifik dan berwibawa pada abad ke-6 Hijrah. Beliau telah meninggalkan warisan yang begitu banyak dalam bidang ilmu pengetahuan terutamanya terhadap golongan syiah menerusi penulisan karyanya. Justeru, jasa dan sumbangan al-Tabarsi perlu sentiasa dikenang menerusi pembacaan dan pengamalan warisan ilmu yang ditinggalkan beliau, khasnya oleh generasi pengkaji dan penyelidik ilmu tafsir dewasa ini. Meskipun terdapat beberapa kritikan daripada tokoh-tokoh ulama Sunni terhadap pentafsiran al-Quran yang dibuat oleh al-Tabarsi, namun, kesungguhan al-Tabarsi dalam menghasilkan suatu bentuk pentafsiran yang berbeza dari pendekatan yang dibawa oleh mufassir Sunni adalah dihargai dan dihormati. Cara al-Tabarsi menuntut ilmu juga dapat dilihat ketika umurnya masih muda dan menjadi rujukan utama kepada para ulama lain ketika itu. Sumbangannya yang besar dalam bidang ilmu pengetahuan dapat dilihat melalui karya-karya yang beliau hasilkan. Penulisannya yang banyak menggambarkan beliau seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang dan mempuyai ramai anak murid. Penulisannya, iaitu kitab Majma al-Bayan dianggap sebagai sumber rujukan golongan syiah yang muktabar. Metode yang berbentuk umum dengan menggunakan pendekatan esoterismesentris dan gaya penulisannya yang teratur dan tersusun memudahkan setiap pembaca dan pengkaji untuk memahami segala fakta dan kisah yang tercatat, khasnya aspek lahiriah dan batiniah. Beliau menghuraikan pelbagai prinsip-prinsip dengan kelainan dengan ulama sezamannya dengan jelas dan kemas. Kesimpulannya, al-Tabarsi merupakan seorang tokoh ilmuan Islam yang mempunyai pengetahuan yang luas dan sentiasa menjadi rujukan masyarakat syiah dahulu dan sekarang. 18
RUJUKAN
AL-Quran al-Karim Abbas Mahmud Aqqad. 2013. Keajaiban Melihat Allah. Selangor: Jasmin Publications. Abdullah bin Din, Azfar bin Abdullah. 2011. Siapa Syiah Sebenarnya?. Kedah Darul Aman: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah Darul Aman. Abdurrohman Syamilah al-Ahdal. T.th. Melihat Wajah Allah di Syurga. Selangor: Nightingale Printing Sdn. Bhd. Abū cUmar, Muhammad bin cAbdul Malik al-Zaghbī. 2013. al-Syīah al-Rawāfiḍ. Qaherah: Dār al-Ghad al-Jadeed. Ahmad Faidzurrahim. 2013. Darah Syiah : Membongkar Pengkhianatan dan Kezaliman Syiah. Kuala Lumpur: Darul Taklim. Al-Tabarsi, Ahmad bin Ali. 1966. Majma’ al-Bayan. Beirut: Dar al-Turath al-'Arabi. Ali Muhammad al-Shalabi. 2007. Khawarij dan Syiah dalam Timbangan Ahlu Sunnah wal Jama’ah. Jakarta: Pustaka al-Kautsar. Ibnu Hajar al-Asqalani. 2008. Fathul Baari, Penjelasan Kitab : Shahih al-Bukhari. Jil. 1. , Jil. 2, Jil. 16, Jil. 25. Terj. Jakarta: Pustaka Azzam. Ibrahim Abdul Halim Abdul Bar. 2006. Kerasukan Syaitan & Sihir. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. Kamaluddin Nurdin Marjuni. 2013. Agenda Politik Syiah : Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat. Selangor: Pts Milennia Sdn. Bhd. M. Mutawali al-Sya’rawi. 1995. Sihir dan Hasut. Kuala Lumpur: Syarikat S. Abdul Majeed. Muhammad Asri Yusof. 2005. Aqidah Syiah yang Bercanggah dengan Islam, Seminar Antarabangsa Mengenai Pemikiran Islam. Malaysia: Institut Pengajian Tradisional Islam Malaysia. Muhammad Hussaīn Dzahabī. 1976. Tafsīr wa al-Mufassīrūn, Juz. 2. Qaherah: Maktabah Wahbah. Muhammad Rida al-Muzaffar. 1982. The Faith of Shi’a Islam. New York: Anjumane Aza KhanaE-Zahra.
19
Sayyīd Quṭb. 2004. Tafsīr fī Zhilāl al-Qurān (di Bawah Naungan al-Quran). Jil 11. Terj. Beirut: Darus Syuruq. Syeikh Muhibuddin Al-Khatib. 1994. Hakikat Agama Syiah Imam Dua Belas (Imamiyah). Selangor: Badan Perkhidmaran Penerangan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan. Wan Zahidi bin Wan Teh, Prof. Dr. Abdul Razak Abdul Rahman as-Saadi, Dr. Ridhuan Jamal alAthrasy. 2012. Hakikat Syiah. Wilayah Persekutuan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri.
20